Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

BERBICARA MENGIKUT KEPAKARAN MASING-MASING (Isu Dr Zakir Naik)

1) Sejak seminggu ini, kita lihat ramai daripada kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) kita membincangkan isu Dr Zakir Naik (ZN) yang datang ke Kelantan. Isu ini menjadi lebih panas apabila Ustaz Azhar Idrus (UAI) dengan nada yang lantang mempertikai usaha kami ASWJ mengkritik tindakan kerajaan negeri Kelantan menjulang tokoh yang mesra dengan fahaman Wahhabi.

2) Jika dipersoal, adakah benar ZN mesra dengan fahaman Wahhabi? Maka pada kami, senarai dibawah sudah memadai untuk menyimpulkan fahaman beliau:
i. ZN beriman dengan Allah di arah atas dan di Arasy (pada minit 1.55):

ii. ZN mensyirikkan umat Islam yang bertawassul:

iii. ZN beriman dengan pecahan tauhid tiga seperti yang diajarkan Wahhabi:

iv. ZN membidaahkan pahala bacaan Al-Quran kepada si mati:

3) Persoalan yang banyak muncul adalah apabila UAI yang dikenali sebagai pendakwah yang berfahaman ASWJ begitu keras mempertahankan ZN yang sedia maklum dengan fahaman Wahhabi-nya (walaupun ini bukan kali pertama).

4) Berdasarkan video ini (https://www.facebook.com/webtvpas/videos/929188664110083/) bermula pada minit 21.58 UAI mendakwa ZN bukan ulama Wahhabi, bukan ulama aqidah, bukan ulama balaghah, bukan ulama tafsir, bukan ulama hadis, namun beliau pakar perbandingan agama.

5) Persoalan yang muncul, jika ZN bukan ulama wahhabi, bukan ulama aqidah, bukan ulama hadis, kenapakah pada video-video di atas jelas menunjukkan beliau terjun dalam dunia perbahasan aqidah, fatwa dan hadis yang bukan keahlian beliau?

6) Bahkan, beliau dengan mudah menolak semua fatwa ulama ASWJ berkaitan tawassul, bacaan Al-Quran kepada si mati dan lain-lain sebagai tiada nas. Sedangkan para ulama mengharuskan tawassul samada dengan berlaku ijmak iaitu dalam 4 keadaan dan selain daripada 4 keadaan tersebut berlaku khilaf.

7) Manakala isu bacaan Al-Quran kepada si mati dianjurkan dalam 4 mazhab:
i. Mazhab Hanafi boleh rujuk Sharh al-Kitr, juz.5, ms.131 oleh Imam Badruddin Al-Ainiy.
ii. Mazhab Maliki boleh rujuk kenyataan Ibnu Rusyd dan Qadhi Iyadh dalam syarah Muslim-nya.
iii. Mazhab Syafie boleh rujuk Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, juz. 5, ms.311 oleh Imam Nawawi.
iv. Mazhab Hanbali boleh rujuk kenyataan Imam Ahmad sendiri dan juga ulama Hanabilah seperti Imam Ibnu Qudamah dalam kitab Al-Mughni, juz.2, ms.428-429.

8) Oleh yang demikian, pada kami kenyataan UAI sekadar brain wash kepada orang ramai bagi menyembunyikan kewahhabian ZN daripada masyarakat awam. Kenyataan beliau merugikan ASWJ kerana tokoh yang diangkat adalah Wahhabi yang menyebabkan orang ramai akan menjadikan ZN sebagai rujukan sedangkan kebanyakkan permasalahan agama beliau lebih cenderung kepada fahaman Wahhabi.

9) Jika benar, ZN sebagai pakar perbandingan agama, maka kami ASWJ tidak bermasalah untuk beliau berceramah di mana sahaja. Namun, berdasarkan rakaman ceramah beliau, banyak permasalahan yang beliau sentuh di luar bidang beliau. Sebagai bukti yang jelas boleh dilihat pada rakaman ceramah beliau di IMTIAZ Terengganu beberapa tahun yang lalu.

10) Kami menasihati, agar asatizah termasuklah ZN bercakap dalam bidang kepakaran masing-masing dan jangan mencampuri urusan yang bukan bidang kita. Asatizah zaman sekarang tidak menguasai setiap bidang ilmu, melainkan satu dua bidang sahaja yang menjadi kepakaran masing-masing, maka bercakaplah dalam kepakaran sendiri.

11) Lihatlah contoh Imam Al-‘Amasy (pakar hadis) yang merupakan guru kepada Imam Abu Hanifah (pakar fiqh), apabila diajukan soalan fiqh kepada Imam Al-‘Amasy, maka beliau akan meminta Imam Abu Hanifah menjawabnya. Demikian juga Imam Al-Humaidi (pakar hadis) yang juga guru Imam Syafie dalam hadis, namun apabila berkaitan permasalahan fiqh, beliau memilih pendapat Imam Syafie sehingga beliau masyhur sebagai pengikut mazhab Syafie. Imam Al-‘Amasy dan Imam Al-Humaidi bukanlah jahil dalam fiqh, namun mereka lebih memilih untuk menyerahkan permasalah fiqh kepada ahli yang sebenar.

12) Hal sedemikian dicontohkan oleh guru hadis kami, Maulana Hussein Abdul Kadir Al-Yusufi dalam pengajian, apabila diajukan soalan yang fiqh yang halus maka beliau akan menyerahkan jawapannya kepada Ustaz Wan Omar (masyhur dengan panggilan Tok Ime Wan Omar).

13) Contoh-contoh di atas merupakan iktibar yang perlu diambil oleh asatizah kita termasuk ZN dalam dakwah masing-masing. Janganlah kita melampaui batas ilmu kita dengan menjawab sesuatu yang kita tidak mahir. Hal ini yang menimbulkan polemik pada masa sekarang.

Disediakan oleh:
Sekretariat Muzakarah Hadis & Syariat (MUHADIS)
13 Ogos 2019

14/08/2019 Posted by | Madah dan Sajak, wahabi | | Leave a comment

“Nak pakai Imam Syafie atau nak pakai Hadis Nabi?

“Nak pakai Imam Syafie atau nak pakai Hadis Nabi? Imam Syafie dengan Nabi siapa lagi mulia?”

“Hadis dah lengkap kenapa nak pakai mazhab lagi?”

Ini adalah antara ayat ayat yang keluar dari mulut orang yang kononnya bukan Muqallid dan bukan Mujtahid tetapi disebabkan mahu nampak sedikit gah. Diciptakan satu istilah baru “Muttabeq” namanya

Satu permasaalahan apabila ditanya kamu bermazhab apa? Saya bermazhab Al Quran dan Hadis sepertimana Sahabat nabi tak memerlukan kepada Imam Mujtahid seperti itu jugalah saya.

Sebenarnya, walaupun dicipta istilah “Muttabeq” sekalipun ia masih lagi dihukumkan “Muqallid” kerana selagi seseorang itu tidak mencapai martabat “Mujtahid Mutlak” wajib atasnya untuk mengikut Imam imam mazhab yang empat.

Wajib juga atas kita mengakui bahawa Rasulullah adalah makhluk yang paling mulia. Mana sama martabat Imam Syafie dengan Rasulullah. Tetapi Imam Syafie adalah seorang Mujtahid Mutlak. Sehinggakan ada ulama menyebut seorang Mujtahid Mutlak adalah orang tidak ada satupun Hadis Rasulullah atas muka bumi ini tidak ada didalam dadanya melainkan semuanya telah dia hafal. Ini adalah tahap keilmuaan seorang Mujtahid Mutlak. Ikut mazhab itu adalah mengikut Nabi.

Mazhab adalah rumusan kefahaman Al Quran dan Hadis yang telah disiapkan oleh Ulama. Mereka adalah insan yang lengkap serba serbi ilmu. Bersangat sangatan Alimnya. Mereka tahu bagaimana hendak proses Al Quran dan Hadis sesuai dengan apa yang diajarkan oleh Rasulullah. Kita orang awam. Tak ada perkakasan.

Satu contoh misalan. Tayar kereta kita pancit. Adakah kita perlu pergi ke Kebun Getah, ambik getah skrap untuk buat tayar? Dengan perkakasan tak ada, rasanya ini satu kerja gila. Paling mudah adalah dengan beli sahaja Tayar dikedai Tayar. Walaupun orang yang ada 100 ekar ladang getah. Masih lagi beli tayar dikedai, tidak diprosesnya getah skrap untuk dibuat tayar sendiri.

Al Quran dan Hadis adalah bahan mentah. Kita orang awam tak ada perkakasan ilmu yang lengkap seperti Para Imam Mujtahid. Adakah kita mahu membuat kerja gila dengan memproses Al Quran dan Hadis mengikut Keterbatasan ilmu yang kita ada? Ini adalah punca kesesatan. Menggunakan Al Quran dan Hadis yang mentah sebagai “Buffet” aci main petik, petik, petik, ayat mana yang sesuai dengan Nafsu ambik jadikan hujjah dan ayat mana tak kena dengan nafsu cari ayat Al Quran lain atau Hadis lain untuk mengiyakan perbuatannya. Ini punca kesesatan. Nauzubillahiminzalikh.

Para sahabat dahulu tidak mempunyai mujtahid mutlak kerana segala permasalahan hukum hakam terus ditanyakan kepada Rasulullah.

Kaedah kita, Mazhab yang dah dirumuskan itulah adalah merupakan rumusan kefahaman Al Quran dan Hadis. Pesan Tok Guru, “Ikut mazhab itu ikut nabi la” tidak perlu menunjuk handal kononnya pakai mazhab yang menggunakan hadis shoheh sahaja. Antara kamu dengan Imam Syafie siapa lebih alim Hadis? Siapa lebih banyak menghafal hadis? Kamu atau Imam Syafie?

Jadilah seperti salah seorang pakar hadis malaysia Tuan Guru Wan Izzuddin atau lebih mesra dengan panggilan Pak Anjang Izzuddin. Pengalaman admin dan rakan rakan mengziarahi beliau di pondoknya Gajah Mati, tidak ada langsung kalam kalamnya yang kontradik dengan ulama ulama melayu yang lain. Walaupun bergelar seorang Muhaddith dan Musnid.

-Admin QF Nuuri-

14/08/2019 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), wahabi | 3 Comments