Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Larangan Memanggil Orang Islam Sebagai Kafir atau Musuh Allah

Petikan dari kitab Riyadhus Solihin oleh Imam al-Nawawi:

عن أبي ذرٍّ رضي الله عنه: أنَّه سَمِعَ رسُولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم يقولُ: ((مَنْ دَعَا رَجُلًا بالكُفْرِ، أو قالَ: عَدُوَّ اللهِ، وَلَيْسَ كَذلكَ إلا حَارَ عَلَيْهِ)). متفق عليه

((حَارَ)): رَجَعَ

قال ابن دقيق العيد: هذا وعيد عظيم لمن كفَّر أحدًا من المسلمين وليس كذلك، وهي ورطة عظيمة وقع فيها خلق كثير من المتكلمين، ومن المنسوبين إلى السنَّة، وأهل الحديث، لما اختلفوا في العقائد فغلظوا على مخالفيهم. وحكموا بكفرهم، والحق أنه لا يكفر أحد من أهل القبلة إلا بإنكار متواتر من الشريعة عن صاحبها، فإنه حينئذ يكون مكذبًا للشرع. انتهى. (إحكام الأحكام، ٤/٧٦)

Terjemahan:

Daripada Abu Dzar radhiyallahu ‘anhu bahawa beliau mendengar Rasulullah sallaLlahu ‘alayhi wa sallama bersabda: “Sesiapa yang memanggil seseorang dengan panggilan kafir atau berkata musuh Allah, sedangkan orang itu tidaklah begitu, maka panggilan itu kembali kepadanya”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Berkata Ibn Daqiq al-‘Eid (alim mazhab Maliki dan Syafi’e, lahir 1228M di Yanbu dan meninggal di Kaherah 1302M): “Ini adalah ancaman azab yang besar bagi sesiapa yang mengkafirkan seseorang muslim sedangkan orang itu tidak seperti yang dikatakan. Ia adalah kesilapan besar yang ramai orang terjerumus di dalamnya, termasuk daripada golongan ulama ilmu Kalam, orang yang menisbahkan dirinya dengan sunnah dan Ahlul Hadith yang terjebak apabila mereka berselisih pendapat dalam perkara akidah lalu mereka bersikap keras terhadap lawan mereka dengan menghukum kafir. Sedangkan seseorang ahlul kiblat tidak dikafirkan melainkan setelah dia mengingkari perkara mutawatir dalam syariah. Dalam keadaan itu, (boleh menghukumnya kafir – oleh mahkamah) kerana dia telah mendustakan syariah.” (Kitab Ihkam al-Ahkam, 4/76)

30/10/2023 Posted by | Hadis, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

JANGAN MUDAH MENGKAFIRKAN ORANG

oleh Dr. Ayman al-Akiti

Iman diibaratkan seperti mutiara yang dapat menyelamatkan seseorang daripada kekal di dalam api neraka. Ini disebabkan dengan sebutir iman sekalipun, seseorang itu digolong sebagai muslim.


Dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: Tidaklah masuk ke dalam api neraka orang yang ada di dalamnya walau sebutir zarah daripada iman. Imam al-Tirmizi menjelaskan bahawa yang dimaksud dengan hadis ini adalah orang itu tidak akan kekal di dalam api neraka.

Maka iman dalam Islam adalah perkara yang sangat penting bagi seluruh makhluk yang berkehendak kepada kebahagiaan yang abadi di akhirat nanti. Tiada sesiapa yang mengetahui keimanan seseorang itu melainkan Allah SWT dan si punya badan.

Mungkin ada orang yang terlihat selekeh, hodoh, buruk secara zahirnya, akan tetapi hatinya bersih, cantik, indah bahkan jernih di dalam hatinya. Sesuatu yang pasti, kalau ada seorang manusia yang mati tidak dalam iman, maka di dalam Islam jelas orang tersebut akan kekal di dalam api neraka selama-lamanya.

Oleh itu, menuduh seseorang muslim keluar daripada Islam atau diistilahkan dengan kafir adalah perbuatan jenayah yang berat dan besar. Ia berimplikasi negatif kepada diri yang dituduh kufur, juga kepada kesejahteraan negara. Bagaimana tidak? Ketika seseorang muslim dikafirkan oleh saudara seagama Islamnya sendiri, maka penghukuman kufur itu boleh memberi implikasi negatif secara hukum fikah, seperti halalnya darah, isteri dan harta.

Budaya ini akan membuka pintu kepada rakyat awam yang hanya membaca sekerat-kerat buku Islam yang nanti berani berbuat semberono dengan membunuh seseorang hanya dengan alasan halal darahnya kerana ia telah jatuh dalam lembah kekufuran. Walhal, tuduhan itu belum tentu benar. Lebih-lebih lagi seperti yang telah dijelaskan, iman adalah urusan hati yang tidak ada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT.

Dalam pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah, sikap kafir mengkafir sesama muslim adalah dilarang dan ditegah secara tegas. Imam al-Ghazali (w. 505 H) pernah berkata di dalam kitab al-Iqtisad fi al-I’tiqad: Sesungguhnya menghalalkan darah dan harta orang-orang yang solat menghadap kiblat, yang jelas-jelas mengucap tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah pesuruh Allah, adalah sangat bahaya. Dalam ungkapan beliau ini, kita dapat memahami bahawa beliau melarang untuk mengkafirkan orang yang solat menghadap kiblat dan jelas-jelas mengucap dua kalimah syahadah.

Imam al-Ghazali yang digelar sebagai Hujjah al-Islam juga menjelaskan: Tersalah di dalam meninggalkan hukum kufur kepada 1000 orang kafir itu lebih ringan daripada tersalah menumpahkan darah seorang muslim. Dalam petikan ini, Imam al-Ghazali secara tegas menunjukkan bahawa seseorang yang tidak mengkafirkan orang yang di sisi Allah adalah kafir; adalah lebih ringan daripada tersalah dalam mengkafirkan seorang muslim. Lebih-lebih lagi ada kemungkinan seorang mujtahid yang mengkafirkan ahli kiblat itu tersalah dalam menghukum. Lalu dikhawatirkan lagi adalah fitnah, hasad dengki dan taksub yang muncul dari serangan batang tubuh seseorang muslim ini.

Pada tahun 1963 timbul budaya tidak sihat, iaitu ada beberapa umat Islam yang mengkafirkan sesama muslim yang berpunca daripada isu politik di tanah air. Ini membuat Mufti Negeri Terengganu Kesepuluh (10); Sayyid Yusuf bin Ali Az-Zawawi mengeluarkan fatwa berkenaan tuduhan kafir-mengkafir.

Beliau memetik hadis Nabi Muhammad SAW yang bersabda: Barang siapa menuduh fasik atau kafir terhadap seseorang lain adalah dia sendiri yang akan menjadi fasik atau kafir jika tuduhan itu tidak benar. (Riwayat al-Bukhari).

Beliau bertegas bahawa orang yang tertuduh dengan kekufuran tersebut, tidaklah ia jadi kafir atau apa-apa tuntutan syarak berkenaan murtad selagi tidak dihukum kafir oleh Hakim Syarie. Ini jelas bahawa urusan kafir mengkafir adalah perbuatan dosa yang wajib pelakunya untuk bertauabat, serta yang dituduh tidak boleh dianggap kufur melainkan ia sudah dibicara di Mahkamah Syariah.

Perkara yang ditegaskan oleh mantan Mufti Terengganu itu sangat penting kerana urusan iman adalah berkenaan hati yang tiada mengetahuinya melainkan Allah SWT. Maka tuduhan kufur terhadap seseorang adalah zalim kerana tiada yang mengetahui hati seorang muslim tersebut apakah ia niat masuk agama selain Islam.

Sebab itu Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki (w. 2004 M) berkata di dalam kitab al-Tahzir min al-Mujazafah bi al-Takfir: Tidak dianggap (kufur) perbuatan kufur yang dilakukan oleh orang yang tidak niat untuk keluar daripada Islam ke agama selain Islam. Tidak dianggap (kufur) lafaz yang diucapkan oleh seseorang muslim yang isinya mengandung makna kufur walhal dia tidak beriktikad dengan maknanya.

Berdasarkan pelbagai timbangan yang telah disebutkan, jelaslah bahawa apa yang Imam al-Ghazali tegaskan di dalam kitabnya yang khusus membahas persoalan kafir mengkafir ini dengan judul Faysal al-Tafriqah menyatakan prinsip Ahli Sunnah Wal Jamaah sebenar adalah tidak mengkafirkan ahli kiblat; iaitu muslim yang masih memperakui kalimah syahadahnya dan masih solat menghadap kiblat.

Adapun kesalahan mereka dalam memahami nas-nas al-Quran dan Sunnah tidak dapat menyebabkan mereka jatuh kafir. Jadilah yang mengislamkan bukan yang mengkafirkan!


-Penulis ialah Pensyarah Jabatan Usul al-Din dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) & Felow Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).-

Sumber: https://www.utusan.com.my/gaya/2020/09/jangan-mudah-mengkafirkan-orang/

24/07/2023 Posted by | Fatwa, Perbahasan Ulama, Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan | , | Leave a comment

KECERMATAN ULAMAK HADIS DALAM ISU TAKFIR

Olih: Dr Mohd Khafidz Soroni

Sesat dan kafir adalah dua hukum yang berbeza. Hukum kafir boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam. Namun, hukum sesat hanya menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Ahli Sunah Waljamaah sahaja, belum terkeluar daripada Islam.

Antara faktor kafir adalah disebabkan seseorang itu mengingkari perkara agama yang mutawatir dan wajib diketahui seperti tidak mentauhidkan Allah SWT, menafikan kerasulan Nabi SAW, mengingkari kefarduan solat, zakat dan seumpamanya.

Faktor sesat pula adalah disebabkan seseorang itu mengingkari prinsip yang disepakati oleh Ahli Sunah Waljamaah seperti mencerca sahabat Nabi SAW, mengagungkan akal melebihi wahyu, mengatakan al-Quran sebagai makhluk, menafikan sifat Allah, menetapkan sifat Allah seumpama makhluk dan sebagainya.

Perkara ini menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Ahli Sunah Waljamaah dan termasuk dalam golongan ahli bidaah. Bagaimanapun, sebahagian mereka adalah orang yang thiqah, tidak berbuat dusta atau sebarang maksiat. Oleh itu, dalam aspek periwayatan hadis, hal ini tidak menghalang ulama hadis daripada mengambil riwayat mereka.

Misalnya, di dalam Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim, terdapat ramai perawi yang berfahaman bidaah seperti Syiah, Qadariyyah, Nawasib, Khawarij dan Murji’ah. Namun, riwayat mereka masih diambil kira oleh ulama hadis dengan syarat tertentu seperti perawi bidaah terbabit tidak menghalalkan perbuatan dusta dan bukan penyeru fahaman sesatnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Huda as-Sari menyebutkan, terdapat 69 perawi yang dikatakan berfahaman bidaah di dalam Sahih al-Bukhari. Ini membuktikan Imam al-Bukhari berpendapat, harus mengambil riwayat hadis daripada mereka. Pendapat ini juga sebenarnya pendapat ramai ulama hadis lain. Imam as-Syafie misalnya, menilai guru beliau, Ibrahim bin Abi Yahya yang berfahaman Qadariyyah sebagai thiqah dan beliau tidak pun mengkafirkannya.

Sekalian ulama jelas amat berhati-hati dan tidak mudah menuduh seseorang sebagai kafir (takfir) atau terkeluar daripada Islam. Ini kerana sesat bukan bererti kafir. Pendirian mereka ini bertepatan dengan banyak hadis Nabi SAW.

Antaranya, sabda Nabi SAW: “Barang siapa memanggil seorang yang lain sebagai kafir atau sebagai musuh Allah, sedangkan ia tidak benar melainkan tuduhan itu akan kembali kepadanya. Dan tidak menuduh seorang terhadap seorang yang lain sebagai fasiq atau menuduhnya sebagai kafir melainkan ia akan kembali kepadanya sendiri jika sahabatnya itu tidak seperti yang dikatakan.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Sabda Nabi SAW lagi: “Mana-mana orang yang mengatakan kepada saudaranya yang lain: Hai kafir, maka kembali tuduhan itu kepada seorang daripada mereka.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Ini menunjukkan perbuatan menuduh seorang Muslim sebagai kafir tanpa hak adalah satu jenayah yang berat. Al-Hafiz az-Zahabi di dalam kitab al-Kaba’ir meletakkan hadis ini sebagai dalil bagi dosa besar yang ke-49 iaitu memberontak menjatuhkan pemerintah dan menghukumkan kafir orang yang melakukan dosa besar.

Pernah Khalid bin al-Walid RA meminta izin untuk memenggal leher orang yang biadab terhadap Nabi SAW, namun baginda melarangnya kerana dia masih bersolat. Lantas Khalid berkata: “Berapa ramai orang yang bersolat hanya menyebut dengan lidahnya apa yang tiada di dalam hatinya”. Namun baginda bersabda: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah isi hati manusia atau membedah perut mereka.” Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim

Jika masih terpelihara kedudukan orang yang bersikap biadab terhadap Nabi SAW kerana dia masih bersolat disebabkan solat itu mengandungi pengabdian dan ketauhidan yang mutlak kepada Allah SWT.

Maka, apatah lagi sepatutnya kedudukan setengah ahli sufi yang masih mengerjakan solat, meskipun kalamnya banyak berbentuk intuitif, isyarat dan perlambangan (rumuz) yang mungkin boleh difahami sebagai kafir atau boleh ditakwilkan selaras dengan syarak. Lebih-lebih lagi jika mereka yang ahli dalam bidang kesufian menjelaskan kalamnya bukan seperti yang difahami zahirnya.

Jika benar dia tersalah sekalipun, tetap tidak boleh dihukum kafir disebabkan wujudnya subahat tadi. Oleh itu, berhati-hatilah daripada melakukan takfir kerana dikhuatiri hakikat makna sebenarnya tidaklah seperti yang disangka.

Imam al-Ghazali pernah menegaskan: “Tersalah dalam meninggalkan 1,000 orang kafir itu hidup lebih ringan daripada tersalah menumpahkan darah seorang Muslim.”

Prinsip Ahli Sunah Waljamaah dalam isu ini amat jelas iaitu tidak mengkafirkan seorang pun ahli kiblat yang masih mengucap dua kalimah syahadah serta menunaikan solat. Kata Imam at-Tahawi dalam Akidahnya: “Kita tidak mengkafirkan seorang pun ahli kiblat disebabkan sesuatu dosa selama mana dia tidak menghalalkannya.”

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis dan Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis)

https://www.hmetro.com.my/addin/2020/11/636752/kecermatan-ulama-hadis-dalam-isu-takfir

02/11/2020 Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

Jangan Mudah Mengkafir Dan Menerakakan Orang

Antara ciri wasatiyyah (tidak melampau dan tidak cuai) Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah sikap berhati-hati dalam menghukum pihak lain dengan tuduhan kufur, laknat ataupun neraka. Mereka sedaya upaya mencari keuzuran bagi pihak yang hendak dikenakan tuduhan sedemikian. Ini kerana perkara yang nampak pada zahir, mungkin tidak sama pada hakikat yang sebenar.

Menilai Hakikat

Nabi s.a.w mengajar kita berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walaupun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat. Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia sama sekali tidak mempunyai nilai baik yang lain. Mungkin dia lemah pada satu nilai, tapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat.

Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”.

Kekufuran

Kemudian, bagi mereka yang membuat kesalahan yang membawa kepada kekufuran ataupun dosa yang besar mungkin tidak sampai kepada mereka ajaran yang sebenar dengan penghujahan yang cukup. Jangan kita sibuk menerakakan orang sedang Allah menyebut: (maksudnya)

“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)

Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqahmenyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab neraka, antaranya beliau menyebut:

“Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini –dengan izin Allah- iaitu mereka yang berada di penghujung Rome dan Turki yang tidak sampai dakwah. Mereka itu tiga golongan; (golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan. (golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata. Mereka ini berjiran dengan Negara Islam dan bergaul dengan kaum muslimin. Mereka ini kuffar yang nyata. (golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad s.a.w tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya. Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang pendusta yang mengelirukan bernama Muhammad telah mendakwa menjadi nabi… mereka ini pada pendapatku sama seperti golongan yang pertama. Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad tetapi mereka juga mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran..”

Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zaman beliau tetapi juga memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekali mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka. Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Tuhan Maha Rahmat kepada sekelian hamba-hambaNYA.

Hujah

Mungkin penjelasan mengenai Islam dengan satu pendekatan yang pada zaman dahulu memadai, pada zaman ini sudah tidak memadai lagi. Mungkin memadai untuk segolongan manusia tetapi tidak bagi golongan yang lain. Maka, Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:

“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.

Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:

“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)

Sumber: Dr Maza

26/12/2013 Posted by | Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

Apabila Ulama Mengkafirkan umat dengan Fatwa

Pada hakikatnya ilmu itu adalah milik Allah SWT, teristimewa ilmu agama atau keruhanian yang dibawa para Nabi untuk menerangi hati manusia agar dapat mengenal Allah SWT dan mengetahui cara-cara mengabdikan diri kepada-Nya. Nabi kita Sayyidina Muhammad, Rasulullah SAW adalah hamba Allah SWT yang telah dikaruniai ilmu ruhani atau agama paling sempurna, sebagaimana firman-Nya dalam Al-Quran yang bermkasud :

Maka mereka bertemu dengan seorang hamba dari hamba-hamba Kami yang telah Kami anugerahi rahmat dari kami dan telah Kami ajarkan kepadanya ilmu dari hadhirat Kami (Al-Kahfi, 18:66)

Meskipun ilmu ruhani Islam Nabi kita itu sempurna, beliau hanya diberi tugas sebagai juru ingat manusia dengan ilmu Allah SWT tersebut, sebagaimana firman Allah SWT berikut:

Katakanlah, sesungguhnya ilmu itu hanyalah di sisi Allah dan sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi ingat yang menjelaskan (Al-Mulk, 67:27)

Kalau Nabi paling agung dan sempurna saja hanya diberi tugas sebagai pembawa kabar suka dan juru ingat, apalagi para pengikut beliau yang hanya sebagai pewarisnya, tentu bagian ilmu yang didapatkan sangat sedikit, sebagaimana pernyataan Allah SWT berikut:

Dan kamu tidak diberi ilmu melainkan sedikit (Bani Israil, 17:86)

Terlebih bagi generasi pengikut Islam yang hidup berabad-abad sesudah Nabi kita Muhammad SAW, tentulah ilmu mereka lebih sedikit lagi, karena ilmu-ilmu Allah tersebut akan hilang bersamaan dengan wafatnya Ulama pewaris Nabi, sebagaimana Hadits-hadits yang berisi kabar gaib tentang dicabutnya ilmu Islam tersebut. Guna lebih jelasnya masalah tersebut, marilah kita simak tiga Hadits berikut:

Sesungguhnya Allah ta’ala benar-benar tidak akan mencabut ilmu dari kalian setelah aku berikan kepada kalian, akan tetapi Dia akan mencabut para Ulama sehingga yang tertinggal orang-orang bodoh, lalu mereka ditanya, maka mereka memberikan fatwa, maka mereka itu sesat dan menyesatkan (Ath-Thabrani dalam Al-Ausat dari Abu Hurairah ra dan Kanzul-Ummal, Juz X/ 28741)

Sesungguhnya Allah ta’ala benar-benar tidak akan mencabut ilmu dari kalian setelah aku berikan kepada kalian, akan tetapi Dia akan mencabut para Ulama dengan ilmu mereka, sehingga yang tertinggal orang-orang bodoh, lalu mereka ditanya, maka mereka memberikan fatwa, maka mereka itu sesat dan menyesatkan (Ath-Thabrani dalam Al-Ausat dari Abu Hurairah ra dan Kanzul-Ummal, Juz X/ 28980)

Sesungguhnya Allah ta’ala benar-benar tidak akan mencabut ilmu, Dia akan mencabutnya dari para hamba, akan tetapi Dia akan mencabut ilmu itu dengan mencabut para Ulama sehingga Dia tidak meninggalkan seorang alim pun, maka manusia menjadikan para pemimpin yang bodoh-bodoh, lalu mereka ditanya, maka mereka memberikan fatwa tanpa ilmu, sehingga mereka itu sesat dan menyesatkan (Ahmad bin Hanbal dalam Musnadnya, Al-Bukhari, Juz Awwal Kibul-Ilmi, bab Kaifa Yaqbidhul-Ilma, hal. 30, Cet. Sulaeman Mar’I, Singkapurah, Muslim, At-Turmudzi, Ibnu Majah dari Ibnu Umar ra dan Kanzul-Ummal, Juz X/ 28981)

Berdasarkan ketiga Hadits tersebut, akan datang satu zaman yang kaum muslimin kehilangan Ulama yang berilmu, akibatnya banyak pemimpin umat yang tidak malu-malu mengeluarkan fatwa yang berisi menyesatkan orang lain tanpa ilmu Allah SWT, baik dari kitab suci Al-Quran maupun Hadits Rasulullah SAW yang menyebabkan kekisruhan yang jauh dari indikasi Islam yang penuh kedamaian dan kasih sayang. Sebaliknya malah melahirkan kezhaliman yang diwarnai kebencian dan kedengkian. Hidup dalam zaman demikian ini, seorang muslim harus bersabar dalam mempertahankan keimanannya dengan banyak mengamalkan doa Rasulullah SAW yang diajarkan kepada sahabat tercinta Ali bin Abi Thalib RA berikut:

Dari Harits berkata: Ali telah berkata kepadaku: Maukah aku ajarkan kepada engkau doa yang telah diajarkan Rasulullah SAW kepadaku? Aku berkata ya, ia berkata: Wahai Tuhanku bukalah pendengaran-pendengaran hatiku untuk mengingat-Mu dan rejekikanlah kepadaku ketaatan kepada-Mu dan ketaatan kepada rasul-Mu dan perbuatan yang berdasarkan Kitab-Mu (Ath-Thabrani dalam Al-Ausath dan Kanzul-Ummal, Juz II/ 5051)

oleh : Leecious Junior II pada : 7/22/2013 11:32:00 PTG

23/07/2013 Posted by | Aqidah, Politik dan Dakwah, Tazkirah | , | Leave a comment

Elakkan kafir mengkafir sesama Islam

Di nasihat anda dengar dulu betul betul apa TGNA cakap sebelum melemparkan sebarang komen atau tuduhan.

 

Soalan: Dr Asri, kita baca dalam surat orang Islam mula tuduh menuduh dengan antara satu sama lain sebagai sesat la, kafir la dan bermacam-macam lagi. Boleh tak Dr Asri ulas sedikit perkara ini dalam ruang soal-jawab Dr Asri dalam Sinar Harian?

Aida, Penang.

Jawapan Dr MAZA: Terima kasih Aida.Semoga Allah memelihara lidah kita semua dari kecenderungan cepat mengkafirkan atau menghukum sesat orang lain tanpa alasan yang kukuh. Persoalan kafir dan sesat bukanlah persoalan kecil, ia membabitkan hukuman terhadap akidah seseorang. Walaupun sesat, bukan semestinya menjadi kafir, tetapi itu pun tetap berat di sisi Allah. Berikut beberapa ulasan saya dalam hal ini;

1. Seseorang yang zahirnya muslim hendaklah dianggap kekal atas keislamannya sehingga terbukti secara yakin bahawa telah terbatal akidahnya. Ini atas kaedah syarak ‘Perkara yang yakin tidak boleh dihilangkan oleh syak’. Dalam ertikata lain, syak tidak boleh menghapuskan yakin. Oleh kerana pada keyakinan asal kita seseorang itu muslim, maka dia dianggap muslim dan tidak boleh keislamannya dibatalkan disebabkan hanya sesuatu perkara yang tidak pasti atau syak.

2. Menuduh orang lain dengan tuduhan kafir atau sesat adalah dosa yang besar. Jika kita tahu bahawa seseorang tidak kafir atau sesat atau fasik, tetapi kita sengaja menuduh imannya yang sah itu sebagai kafir atau sesat, atau menuduh dirinya yang tidak fasik itu sebagai fasik, maka tuduhan itu kembali kepada yang menuduh. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

3. Namun begitu, kita juga hendaklah sedar, di sana ada batas-batas iman dan kufur. Ini seperti sesiapa yang dengan jelas tanpa sebarang andaian lagi menghina Allah dan RasulNya, maka dia terkeluar dari Islam. Demikian juga jika dia menentang secara jelas tanpa sebarang andaian lagi apa yang ditetapkan oleh Allah dengan jelasnya seperti pengharaman arak, judi, zina dan seumpamanya. Sesiapa yang menghalalkan perkara-perkara tersebut atau menentang pengharaman perkara-perkara tersebut dari segi hukum agama, dalam keadaan sedar dan faham maka dia terkeluar dari Islam.

4. Namun, kita hendaklah berhati-hati apabila menghukum seseorang dengan hukuman murtad atau kufur atau sesat atau seumpamanya. Ini kerana, hukuman umum tidak sama dengan hukuman khusus. Hukum umum menghina hukum Islam yang jelas seperti azan membawa murtad, tetapi individu tertentu yang menghina tidak boleh terus dihukum murtad. Hendaklah dilihat keadaannya, maksud ucapannya, kefahamannya dan berbagai latar yang lain. Mungkin dia tidak bermaksud, mungkin dia tersasul, mungkin dia jahil dan seumpamanya. Kata Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah (meninggal 728H)

“Sesungguhnya ucapan yang menjadikan seseorang itu kufur ialah seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan haji. Namun, pengucapan itu mungkin kerana khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut) tidak sampai kepadanya. Jika perkara itu berlaku, dia tidak dianggap kafir. Contohnya, golongan yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pedalaman yang jauh sehinggakan syariat Islam tidak sampai kepadanya.” (Majmu’at al-Fatawa, jil: 2, ms: 220.)

5. Maka, tidak boleh dikafirkan seseorang melainkan setengah berlakunya iqamah al-Hujjah iaitu penegakan hujah atau dalil. Setelah didapati dia melanggar batasan Iman dan Islam, hendaklah dijelaskan hakikat ilmu yang sebenarnya dan ditegakkan dalil-dalil yang kukuh kepadanya sehingga dia jelas. Selepas itu, jika dia masih berdegil, dan perkataan atau perbuatan tidak boleh ditafsirkan lagi melainkan membawa kekufuran barulah hukum tersebut boleh dijatuhkan kepadanya. Kata Dr Yusuf al-Qaradawi:

“Hendaklah diberikan perhatian pada apa yang telah diputuskan oleh para ulama muhaqqiqun (penganalisa) mengenai kewajipan membezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (kafir mengkafir sesama muslim). Ini bermaksud, sebagai contoh, kita mengatakan golongan komunis kafir, para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak atau sesiapa yang menyatakan begini atau menyeru kepada ini, maka dia kafir. Ini semua termasuk hukuman pada jenis.

Adapun berhubung dengan perkara yang berkaitan dengan peribadi seseorang yang dituduh dengan sesuatu, wajib mengambil masa untuk membuat kepastian dan kesabitan tentang hakikat sebenar pendiriannya. Hal ini dilakukan dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujah, tiada lagi unsur syubhat (keraguan) dan tiada lagi keuzuran untuknya. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah pernah menyebut bahawa perkataan juga boleh menyebabkan kekufuran. Secara umum, orang yang mengucapkannya dihukum kafir. Dengan berkata, sesiapa yang mengucap sekian (sesuatu ucapan yang membawa kepada kufur), maka dia kafir. Tetapi, individu yang mengucapkannya tidak dikafirkan sehingga dibuktikan kekufurannya”. (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, ms: 26-27).

6. Dalam hadis Saidina ‘Ali menceritakan :

“Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Martsad dan al-Zubair (kami semua adalah penunggang kuda). Baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh. Sesungguhnya di sana ada seorang wanita dari kalangan musyrikin. Dia membawa bersamanya surat daripada Hatib bin Abi Balta`ah kepada musyrikin.

Maka kami pun mengejarnya. Dia menaiki unta seperti yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: Serahkan surat! Dia menjawab: Kami tidak membawa sebarang surat. Maka kami pun mendudukkan dan memeriksa wanita itu. Namun, kami tidak jumpa sebarang surat. Kami berkata: Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!

Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w. Kata Umar: Wahai Rasulullah, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin. Biarkan aku pancung kepalanya!

Baginda bersabda (kepada Hatib): Apa yang mendorong tindakanmu? Kata Hatib: “Demi ALLAH, bukan aku tidak beriman kepada ALLAH dan Rasul-NYA s.a.w. Tetapi aku ingin mendapatkan bantuan daripada kaum (Quraisy). Dengannya ALLAH akan menyelamatkan keluarga dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu yang tidak mempunyai kaum kerabat di sana di mana dengannya ALLAH selamatkan keluarga dan hartanya.

Sabda baginda: Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik. Umar berkata: Sesungguhnya dia telah mengkhianati ALLAH, Rasul-NYA dan orang-orang mukmin, biar aku pancung kepalanya. Baginda bersabda: Bukankah dia di kalangan anggota Perang Badar? Sabdanya lagi: Mudah-mudahan ALLAH melihat pada ahli Perang Badar dan berfirman buatlah apa yang kamu suka. Sesungguhnya telah dijamin untuk kamu syurga atau AKU telah ampuni kamu semua. Maka menangislah Umar seraya berkata: ALLAH dan Rasul-NYA lebih mengetahui”. (Riwayat al-Bukhari).

Lihatlah bagaimana baginda masih bertoleransi dengan keadaan terdesak yang dihadapi oleh Hatib. Baginda tidak terus menghukum sebelum mengetahui keadaannya. Sikap umpama itulah yang dilakukan oleh baginda dalam kes-kes lain.

7. Kita hendaklah warak dalam masalah ini. Jangan terpengaruh dengan golongan yang fanatik yang suka menghukum orang lain dengan hukuman kafir dan sesat atas kepentingan tertentu.

 

(Sumber: Dr Maza)

20/11/2012 Posted by | Aqidah, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment