Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

MUHAMMAD BIN ABDUL WAHAB MENGHARAMKAN SELAWAT ATAS NABI SAW?

Mufti Mekah Syaikh Ahmad Zaini Dahlan
(w.1304 H) dalam kitabnya ‘ad-Durar as-Saniyyah menyatakan :
.
“Muhammad ibnu Abdul Wahab melarang SELAWAT kepada Nabi s.a.w. Dia merasa sangat terseksa jika mendengar seseorang BERSELAWAT kepada Rasulullah. Dia juga melarang orang BERSELAWAT kepada Nabi s.a.w. pada malam Jumaat dan mengeraskan bacaan SELAWATNYA di atas menara. Bahkan, dia tidak segan untuk menyeksa orang yang melakukan itu dengan seksaan yang berat. Sehingga, dia tergamak untuk membunuh lelaki buta, seorang tukang azan soleh yang memiliki suara merdu hanya kerana dia BERSELAWAT kepada Rasulullah selepas mengumandangkan azannya. Pada saat muazin itu baru sahaja selesai dari mengumandangkan azan dan SELAWATNYA, Muhammad ibnu Abdul Wahab langsung memerintah seseorang untuk membunuhnya. Ketika itu juga, terbunuhlah muazin soleh yang buta matannya itu. Kemudian, Muhammad ibnu Abdul Wahab itu berkata;
.
“Sesungguhnya dosa seorang pelacur lebih ringan berbanding dosa seorang yang berselawat kepada Nabi s.a.w di atas menara.” Dia telah mengelabui pengikutnya dengan alasan menjaga tauhid. Sesungguhnya perkataannya itu sangat tidak bermoral dan perilakunya sangat rendah.
(Rujukan: Ahmad Zaini Dahlan (w.1304 H): ad-Durar as-Saniyyah fi ar-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah, halaman 142. Ridhwan El-Adl Bebris asy-Syafi’i al-Mishri :Raudhatu li Ma’rifati Qawa ‘idi d-Din, halaman 384).
.
Tidak jauh berbeza dengan sang guru, para pengikutnya juga mengikuti langkah yang sama dengan MENGKAFIRKAN umat Islam yang rajin BERSELAWAT dan berzikir. Misalnya, apa yang dilakukan oleh Hisam al-Aqqad dalam bukunya ‘Halaqat Mamnu’ah’.
.
Dalam kitab itu dia MENGKAFIRKAN umat Islam yang banyak berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w, misalnya berselawat 1000 kali, 10,000 kali, 100,000 kali. Dia juga MENGKAFIRKAN umat yang banyak berzikir dengan mengucapkan “la ilaha illallah ” terlalu banyak, seperti sebanyak 1000 kali (Rujukan : Hisam al-Aqqad : Halaqat Mamnu’ah, Dar ash-Shahabah, Tanta, Mesir, halaman 25).
.
Kalau ada mereka yang benci pada SELAWAT pada Nabi Muhammad s.a.w sudah tentu mereka peminat ulama pengasas gerakan pemikiran Wahabi bernama Muhammad ibnu Abdul Wahab al Nejdi_ini mengadun kembali fahaman Ibnu Taimiyah dengan radikalisma.
.
Sekian, wassalam.

19/11/2017 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan | 1 Comment

IRSYAD AL-FATWA KE-17: KAEDAH PELUPUSAN AL-QURAN YANG ROSAK AKIBAT BANJIR

IRSYAD FATWA

IRSYAD AL-FATWA KE-17: KAEDAH PELUPUSAN AL-QURAN YANG ROSAK AKIBAT BANJIR
Ditulis oleh Admin PMWP
Diterbitkan: 08 Januari 2015

Soalan : Bagaimanakah kaedah pelupusan al-Qur’an yang rosak akibat banjir seperti yang melanda di sebahagian negeri-negeri di Malaysia baru-baru ini?

Alhamdulillah, segala puji bagi-Nya yang telah mengurniakan kepada kita nikmat. Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga, para sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kemudian.

Sebelum saya melebarkan jawapan ini, marilah sama-sama kita menginsafi apa yang berlaku berkenaan dengan banjir atau bah besar yang melanda pada sebahagian Negara kita seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Kedah, Perlis dan Sabah. Walaupun begitu, sifat sabar, redha dan menghulurkan bantuan samada wang ringgit, harta benda bahkan tenaga bertali arus oleh semua pihak. Usaha seperti ini sewajarnya dipupuk dengan lebih baik lagi.

Firman Allah Ta’ala :

إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ ﴿٩﴾

Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya. (Surah al-Hijr ayat 9)

Sebenarnya persoalan ini pernah kami jawab secara umum dalam Irsyad Fatwa ke-12 yang lalu. Walaupun begitu, pada kali ini saya akan tafsirkan dengan lebih terperinci. Para ulama’ telah khilaf bagaimana cara melupuskannya kepada dua pendapat.

Pertama : Mazhab Hanafi dan Hanbali berpendapat hendaklah digali tanah dan ditanam di dalamnya.

Seperti ulama’ Hanafi antaranya al-Haskafi berkata : “Mushaf apabila berada pada keadaan yang mana kita tidak mampu membacanya lagi hendaklah ditanam sebagaimana keadaan orang Islam yang mati”. Lihat al-Durr al-Mukhtar 1/191. Sahib al-Hasyiah memberi komentar dengan berkata : “Diletakkan perca kain yang bersih yang diletakkan di dalamnya (al-Qur’an yang rosak) kemudian ditanam di tempat yang tidak dihina dan dipijak.”
Al-Buhuti, seorang ulama’ dalam mazhab Hanbali berkata : “Jika sekiranya mushaf telah basah atau lupus, hendaklah ditanamnya secara nas. Imam Ahmad menyebut bahawa Abu al-Jawza’ telah basah mushafnya lantas digali lubang pada masjidnya dan ditanamnya.” Lihat Kasyaf al-Qina’ 1/137.
Syeikh Muhammad bin Ibrahim Al al-Syeikh (mantan Mufti Besar Arab Saudi) berpendapat, cara yang paling sahih ketika luput sebahagian kertas mushaf ialah dengan menanamnya di masjid. Jika tidak boleh maka ditanamnya di tempat yang bersih lagi suci dan harus juga membakarnya. Lihat al-Fatawa 13/84
Kedua : Mazhab Maliki dan Syafi’i berpendapat, hendaklah dibakar.

Hujah bagi pendapat yang kedua ini adalah berdasarkan tindakan Saidina Uthman yang memerintahkan untuk membakar mushaf yang lain yang berbeza dengan mushaf yang ditulis, dan perbuatan tersebut telah disaksikan oleh ramai Sahabat. Kisah ini telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya no. 4988. Mus’ab bin Sa’d berkata : “Aku mendapati ramai orang yang mana menyaksikan peristiwa arahan Saidina Uthman supaya mushaf-mushaf yang lain dibakar. Perbuatan tersebut menjadi kehairanan bagi mereka tetapi tidak seorang pun dari kalangan mereka mengingkarinya.” Diriwayatkan oleh Abu Bakr bin Abi Daud dalam bukunya Kitab al-Masahif halaman 41.
Ibn Battal berkata : “Perintah Saidina Uthman supaya membakar semua mashaf ketika dihimpunkan al-Quran menandakan keharusan membakar kitab-kitab yang terpada padanya Asma’ullah (nama-nama Allah). Yang demikian, sebagai kemuliaan baginya dan pemeliharaan daripada dipijak dengan kaki serta dicampakkannya pada mana-mana tempat.” Lihat Syarah Sahih al-Bukhari 10/226.
Imam al-Suyuti berkata : “Apabila perlu kepada melupuskan sebagian kertas mushaf dengan sebab basah atau rosak, maka tidak harus diletakkannya pada mana-mana tempat sekalipun tinggi kerana boleh jadi akan jatuh dan dipijak. Begitu juga tidak harus mengoyaknya kerana memisahkan huruf-huruf dan kalam tersebut. Justeru, kalau dibakarnya dengan api, maka tidak mengapa. Ini kerana perbuatan Saidina Uthman yang membakar semua mushaf dan tiada seorangpun yang mengingkarinya.” Lihat al-Itqan fi Ulum al-Qur’an 2/1187
Tarjih

Selepas meneliti dua pandangan di atas samada menanamnya atau membakarnya, saya melihat bahawa adalah diharuskan kedua-duanya kerana ia bermatlamat untuk memuliakan al-Qur’an atau mushaf.

Walaupun begitu, saya lebih cenderung kepada hujahan mazhab Syafi’i dan Maliki yang memilih dengan cara membakar. Perbuatan sahabat seperti Saidna Uthman yang merupakan ijtihad daripadanya dan juga selepas itu tidak diingkari oleh mana-mana sahabat menjadi hujah yang kuat kepada perbuatan tersebut untuk mengharuskan pembakarannya. Ini kerana ianya memang rosak disebabkan banjir dan alangkah baiknya selepas itu, debu yang berbaki, ditanam kerana mengambil pendapat yang pertama dari mazhab Hanafi dan juga Hanbali.

Alhamdulillah, mutakhir ini telah wujud alat yang moden dalam menghancurkan kertas sehingga menjadi seperti debu atau serpihan halus dan tidak kekal lagi walaupun kalimah dan huruf secara zahir. Kemudian ianya dibakar pula dan kemudian ditanam, maka sudah tentu lebih selamat dalam memuliakan al-Qur’an daripada dihina atau dipijak.

Begitu juga terpakai dalam isu ini berkenaan dengan nama-nama Allah, kitab-kitab hadith atau kitab-kitab agama yang mengandungi nama Allah yang hendaklah kita muliakan di mana cara pelupusannya dibuat sebagaimana dilupuskan mushaf seperti di atas.

Semoga jawapan ini menyelesaikan isu dan kemelut berkenaan dengan pelupusan mushaf yang rosak atau yang tidak mungkin dapat dibaca lagi dengan sebab ditenggelami air dalam tempoh masa yang tertentu. Wallahua’lam.

Akhukum fillah,

Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

17 Rabi’ul Awal 1436H bersamaan 8 Januari 2015

09/11/2017 Posted by | Fatwa, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

HUKUM MENIUP AIR UNTUK MERUQYAH


Ada sedikit kekeliruan dari kalangan kaum muslimin tentang hukum meniup air putih ketika meruqyah. Oleh kerana itu, pada kesempatan kali ini kami akan membawakan fatwa dari fadhilatu syaikh al-‘allamah Muhammad bin Shalih Al-Utsaimin rahimahullah dalam masalah ini. Semoga bermanfaat dan menjadi pencerahan bagi yang mencari kebenaran. Barokallohu fiikum.

Pertanyaan
:
Apa hukum meniup ke air ketika meruqyah ?


Jawab
:
Meniup ke air ada dua jenis :

Pertama
:
Tujuan meniup ke air itu adalah untuk mencari berkah dari air ludah orang yang meniup, maka ini haram tanpa ada keraguan, dan termasuk dari jenis kesyirikan. Kerana air ludah seorang insan bukanlah suatu sebab keberkahan dan kesembuhan. Tidak ada seorangpun yang bekasnya boleh untuk dicari berkahnya kecuali Rasulullah SAW adapun selain beliau, maka tidak boleh.

Akan tetapi selain Nabi SAW tidak ada seorangpun yang boleh untuk dicari berkah dengan air ludahnya atau peluhnya atau bajunya atau selain daripada itu. Bahkan hal itu haram dan termasuk dari salah satu jenis kesyirikan.


Kedua
:
Seorang meniupkan air dimana dia membaca Al-Quran Al-Karim di dalamnya. Misalnya dia membaca surah Al-Fatihah. Surat Al-Fatihah adalah ayat ruqyah dan termasuk surah yang paling agung yang boleh dipakai seorang dalam meruqyah. Maka dia membaca surah Al-Fatihah lalu meniup ke air. Maka sesungguhnya hal ini tidak mengapa. Sesungguhnya sebagian salaf telah melakukannya. Dan hal ini mujarab ( manjur ) dan memberikan manfaat dengan izin Allah.

Rasulullah juga meniup pada kedua telapak tangan beliau ketika akan tidur dengan ( membaca ) Qul huwallohu ahad ( surat Al-Ikhlas), Qul A’udzu birobbil Falaq ( surat Al-Falaq ) dan Qul A’udzu birobbin Nas ( surat An-Nas ), lalu beliau mengusap wajah dan bagian tubuh yang lain yang mampu diusap dengan kedua telapak tangan beliau.

Solawatullah wa salamuhu ‘alaihi wallohul muwaffiq.

[ Fatawa Arkanul Islam Wal Aqidah-Asy-Syaikh Muhammad bin Shalih Al-‘Utsaimin rahimahullah- hal : 179-180 Cetakan maktabah Ash-Shofa tahun 1428 H/2008 ]

06/11/2017 Posted by | Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Kekeliruan Tentang Bertemu Nabi SAW Secara Jaga

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz bin Soroni
نحمد الله العظيم، ونصلّي ونسلّم على رسوله الكريم؛

Perkara khilaf seumpama ini, jika tidak disertai dengan nada ‘keras’, tidak perlu untuk diperpanjang-panjangkan lagi. Namun, jika sudah menggunakan nada ‘keras’ seperti; “membuka pintu kefasadan yang besar”, “membawa kecelaruan dalam amalan agama”, “memusnahkan rujukan penting umat Islam”, “perlu dibendung kerana membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam” dan “menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w.”, maka menurut hemat saya kekeliruan-kekeliruan seumpama ini wajar diperjelaskan. [*Saya tidak mahu menyebut siapa dan dari mana sumber kekeliruan ini kerana pada saya ia tidak perlu]

1. Kekeliruan:
Seseorang tidak boleh bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. kerana seseorang yang mati tidak lagi boleh bertemu dengan orang yang hidup secara sedar.

Jawapan:
Benar, dalam hal keadaan biasa seseorang tidak boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Tetapi, sebagai suatu karamah seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Hukumnya adalah harus dan mungkin, tidak mustahil. Malah secara praktis ia memang berlaku kepada sebahagian wali-wali Allah Taala dan orang-orang yang soleh. Maka tidak harus bagi kita menuduh mereka berbohong atau berdusta dalam dakwaan berkenaan. Melainkan jika kita mempunyai bukti kukuh tentang pembohongan atau pendustaan tersebut.

Antara mereka ialah; Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani, Syeikh Abu al-Hasan al-Syazili, Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi, Syeikhul-Akbar Muhyiddin Ibn al-‘Arabi, Syeikh Khalifah bin Musa, Syeikh Abu al-‘Abbas al Mursi (w. 686H), Syeikh Abu ‘Abdillah al-Qurasyi, Syeikh Kamaluddin al-Adfawi, Syeikh ‘Ali al-Wafa’i, Syeikh ‘Abd al-Rahim al-Qinawi, Syeikh Abu Madyan al-Maghribi, al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti, Syeikh ‘Ali al-Khawwas, Syeikh Ibrahim al-Matbuli, Imam Abu al-‘Abbas al-Qastallani, Syeikh Abu al-Su‘ud ibn Abi al-‘Asya’ir, Syeikh Ibrahim al-Dusuqi, Sayyid Nuruddin al-Iji, Syeikh Ahmad al-Zawawi, Syeikh Mahmud al-Kurdi, Syeikh Ahmad bin Thabit al-Maghribi, Imam al-Sya‘rani, Syeikh Abu al-Mawahib al-Syazili, Syeikh Nuruddin al-Syuni, al-Habib ‘Umar bin ‘Abdul Rahman al-‘Attas (penyusun Ratibul ‘Attas), Sayyidi ‘Abd al-‘Aziz al-Dabbagh, Syeikh Muhammad bin Abi al-Hasan al-Bakri, Sayyidi Ahmad bin Idris, Syeikh Ahmad al-Tijani dan lain-lain.

Antara dalilnya adalah zahir hadis berikut yang menunjukkan seseorang yang soleh boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., tetapi dengan syarat mestilah pernah bertemu dahulu secara mimpi (ru’ya) dengan baginda s.a.w. Dari Abu Hurairah r.a. katanya: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
« من رآني في المنام فسيراني في اليقظة، ولا يتمثل الشيطان بي»
“Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, maka dia akan melihatku secara yaqazah (di dalam keadaan jaga), kerana syaitan tidak boleh menyerupaiku”. [Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan Ahmad. Lafaznya dari al-Bukhari]

Antara ulama yang mengatakan atau mengiktiraf kemungkinan boleh bertemu secara sedar atau jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ialah:
1. Imam Ibn Abi Jamrah al-Maliki dalam Bahjah al-Nufus.
2. Al-‘Allamah Ahmad al-Nafrawi al-Maliki dalam Syarh Risalah Ibn Abi Zayd.
3. al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari.
4. al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti dalam Tanwir al-Halak fi Imkan Ru’yah an-Nabi wa al-Malak.
5. Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim.
6. Imam al-Ghazali dalam al-Munqiz min al-Dhalal.
7. Imam Syihabuddin al-Qarafi,
8. Imam ‘Afif al-Din al-Yafi‘i al-Syafi‘i dalam (روض الرياحين).
9. Al-‘Allamah Ibn al-Haj al-Maliki dalam al-Madkhal.
10. Al-Qadhi Ibnu al-‘Arabi al-Maliki dalam kitabnya (قانون التأويل).
11. Imam Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari (w. 709H) dalam kitab Lata’if al-Minan.
12. Al-Qadhi Syaraf al-Din al-Barizi dalam (توثيق عرى الإيمان).
13. Imam Tajuddin al-Subki.
14. Imam al-Qurtubi dalam (التذكرة في أحوال الموتى وأمور الآخرة).
15. Al-‘Allamah Ibn Battal al-Maliki
16. Al-‘Allamah Ibn al-Tin
17. Imam ‘Izz al-Din ibn ‘Abd al-Salam dalam al-Qawa’id al-Kubra.
18. Al-‘Allamah Mulla ‘Ali al-Qari dalam Syarh al-Syama’il.
19. Al-Qadhi Ibn al-Munayyir.
20. Imam Ibn Daqiq al-‘Id.
21. Imam ‘Abd al-Wahhab al-Sya‘rani dalam beberapa kitabnya.
22. Imam Ibn Hajar al-Haytami al-Makki dalam al-Fatawa al-Hadithiyyah.
23. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi dalam Faydh al-Qadir.
24. Syeikh ‘Abdul Qadir bin ‘Abdullah al-‘Idrus (w. 1038H) dalam kitabnya al-Nurus Safir ‘an Akhbaril Qarnil ‘Asyir.
25. Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi dalam al-Mufhim.
26. Imam al-Qastallani dalam al-Mawahib al-Laduniyyah.
27. Imam al-Baqillani.
28. Al-‘Allamah Sadruddin al-Qunawi dalam Syarh al-Arba‘in.
29. Al-‘Allamah Burhanuddin al-Biqa’i dalam al-Hawi.
30. Al-Qadhi ‘Iyadh al-Maliki.
31. Al-‘Allamah al-Maziri.
32. Al-‘Allamah Nuruddin al-Iji.
33. Al-‘Allamah ‘Abd al-Ghani al-Nabulsi dalam Syarh Salawat al-Jaylani.
34. Syeikh Ahmad ibn ‘Ajibah al-Hasani (w. 1224H) dalam al-Futuhat al-Ilahiyyah.
35. Al-‘Allamah Syeikh Ibn ‘Allan al-Siddiqi.
36. Al-‘Allamah Najmuddin al-Ghazi dalam kitabnya al-Kawakib al-Sa’irah.
37. Imam Syah Waliy Allah al-Dihlawi dalam al-Durr al-Thamin.
38. Al-‘Allamah al-Alusi dalam tafsir Ruh al-Ma’ani.
39. Sayyid ‘Abdul Rahman al-‘Idrus dalam kitab Syarh Salawat al-Badawi.
40. Syeikh ‘Ali al-Ajhuri al-Maliki dalam al-Nur al-Wahhaj.
41. Syeikh Muhammad al-Khalili dalam al-Fatawa.
42. Syeikh ‘Abdullah Sirajuddin al-Halabi dalam al-Solat ‘ala al-Nabiy.
43. Al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani dalam Sa‘adah al-Darayn, Syawahidul Haq dan Jami‘ Karamatil Auliya’.
44. Syeikh Badi‘ al-Zaman Sa‘id al-Nursi.
45. Syeikh Ibrahim al-Bajuri dalam Syarh al-Syama’il.
46. Syeikh Muhammad Hasanain Makhluf.
47. Syeikh Abu al-Qasim Muhammad al-Hafnawi dalam Ta’rif al-Khalaf.
48. Al-‘Allamah Dr. ‘Abdul Halim Mahmud, Syeikhul Azhar.
49. Al-‘Allamah Sayyid ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dalam kitabnya Fadha’ilun Nabi SAW.
50. Al-‘Allamah Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki dalam al-Zakha’ir al-Muhammadiyyah.
51. Al-‘Allamah Dr. Muhammad Sa‘id Ramadan al-Buti.
52. Al-Allamah Dr. ‘Ali Jum‘ah, Mufti Mesir dalam al-Bayan.
53. Dr. ‘Umar ‘Abdullah Kamil,
54. Dr. Mahmud al-Zayn.
55. Datuk Seri Maharaja Awang Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz, Mufti Brunei.

Dan ramai lagi jika diperincikan secara detil.

2. Kekeliruan:
Iktikad seperti ini membuka pintu kefasadan yang besar dan seterusnya membawa kecelaruan dalam amalan agama. Ini kerana, seseorang yang telah berjumpa Nabi s.a.w. seterusnya akan mendakwa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya.

Jawapan:
Belum ada orang mukmin soleh yang telah berjumpa Nabi s.a.w. mendakwa membawa ajaran-ajaran tambahan yang diberikan oleh baginda s.a.w. kepadanya, dalam erti kata, ajaran-ajaran tambahan yang tidak ada asalnya dalam al-Quran mahupun hadis. Kesemua yang dinyatakan sekiranya betul, hanyalah berbentuk petunjuk dan nasihat yang tidak lari dari ruang lingkup syarak, atau mempunyai asalnya daripada al-Quran dan hadis.

Kata al-‘Allamah al-Muhaddith Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani (w. 1398H):

“Kami tidak beriktikad bahawa di sana – selepas Rasulullah SAW – terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.

Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira (busyra) yang terikat dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang tertakwil.

Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya, kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”. – tamat kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani

3. Kekeliruan:
Dengan itu, segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulamak yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan. Ini kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda.

Jawapan:
Kekeliruan ini hanya pendapat akal dan khayalan semata-mata yang tidak berpijak kepada realiti yang berlaku dalam dunia kerohanian ahli-ahli sufi yang hak. Tiada siapa dari kalangan wali-wali Allah Taala dan orang-orang soleh ini mengatakan segala hadis yang telah dikumpul oleh para ulama yang menjadi tonggak sandaran hukum dan panduan bagi umat Islam sepanjang zaman sudah tidak lagi diperlukan kerana sudah ada sumber hadis lain yang lebih dekat kepada baginda. Pada saya, kekeliruan kerana berkhayal ini disebabkan kerana tidak cukup menelaah, membaca dan memahami.

4. Kekeliruan:
Setelah situasi ini wujud maka banyaklah amalan-amalan yang boleh ditambah dan diwujudkan berdasarkan arahan langsung daripada Rasulullah kepada guru atau orang yang mencapai darjat menemui Rasul s.a.w.

Jawapan:
Sudah ratusan tahun isu bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ini dibincangkan oleh para ulama. Namun, hakikatnya tiada langsung akidah baru atau hukum-hakam baru yang didakwa oleh orang-orang soleh dan wali-wali Allah Taala yang pernah bertemu dengan Rasulullah s.a.w. Kebanyakannya jika betul adalah berkaitan zikir, doa dan selawat. Dan kesemua itu pula tidak terkeluar dari dalil-dalil dan perintah-perintah syarak yang umum mengenainya. Bahkan menurut ramai ulama, masalah-masalah yang khusus berkaitan zikir dan doa ini pintu perbahasannya adalah lebih luas, tidak sepertimana amalan-amalan ibadah lain, selamamana ia tidak melanggar batas-batas syarak. Jika benar ada penerimaan sesuatu secara yaqazah, maka hukumnya adalah seumpama hukum apa yang diperolehi daripada kasyaf, ilham dan mimpi yang benar. Mesti ditimbang dengan neraca syarak.

Cuba perhatikan kata-kata Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani tadi:

“Meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas apa yang menepati syariatnya SAW”.

5. Kekeliruan:
Hadis adalah tonggak kedua agama Islam, apabila tonggak ini telah berjaya dicerobohi, maka panduan umat Islam akan menjadi goyah dan berkecamuk. Percaya bahawa seseorang boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w akan memusnahkan salah satu rujukan penting umat Islam yang diberitahu sendiri oleh Rasulullah s.a.w iaitu, kitabullah dan sunahnya.

Jawapan:
Percaya bahawa seorang wali atau orang soleh boleh menerima taklimat terus dari Nabi s.a.w tidak akan memusnahkan institusi hadis yang sudah sedia ada. Jika benar mereka bertemu secara sedar (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., maka adalah amat MUSTAHIL baginda s.a.w. akan menyuruh kepada perkara-perkara yang akan memansuhkan atau merosakkan syariatnya sendiri. Tidak dapat diterima dek akal bahawa Nabi s.a.w. akan mengkucar-kacirkan syariat yang telah dibangunkan dengan titik peluh dan darah dagingnya sendiri.

Apa yang dikhayalkan itu tidak akan berlaku selama-lamanya kerana para wali atau orang-orang soleh tersebut adalah golongan yang amat takut kepada Allah SWT, sangat cinta kepada baginda Nabi s.a.w., terlalu sayang dengan syariat baginda s.a.w., dan begitu kasih kepada umat baginda s.a.w. Apakah dapat diterima akal, mereka ini berusaha untuk merosakkan syariat baginda s.a.w.dan menyesatkan umatnya?? Seolah-olah mereka tidak pernah dengar hadis baginda Nabi s.a.w.: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.

Jangan terlalu berprasangka buruk kepada ahli-ahli sufi seolah-olah mereka semua orang yang bodoh, tidak mengerti syariat dan akan menerima secara membuta tuli siapa saja yang mendakwa bertemu dengan Nabi s.a.w., walaupun dari orang yang jahil. Jika ada ahli sufi yang menyeleweng, maka sandarkan kesalahan itu kepadanya sahaja, bukan kepada semua golongan ahli sufi.

6. Kekeliruan:
Para ulamak silam antaranya Imam Bukhari, Muslim, Abu Daud Ahmad dan ramai lagi, berjuang hingga berjaya menjadikan sumber rujukan Islam kedua ini terpelihara dari dicampur adukkan oleh orang yang tidak bertanggungjawab. Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda tetapi tidak disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap salah dan pembohongan.

Jawapan:
Rangkap akhir di atas dapat difahami sebaliknya begini; Jika ada orang yang mengaku menerima taklimat dari baginda dan disandarkan kepada sumber yang telah dikumpulkan oleh ulamak silam maka dakwaan itu dianggap benar. Alhamdulillah, ada sedikit kemuafakatan.

Cubalah belek contohnya, kitab al-Durr al-Thamin fi Mubasysyarat al-Nabi al-Amin SAW susunan Imam al-Mujaddid Syah Wali Allah al-Dihlawi yang menghimpunkan 40 peristiwa bertemu Rasulullah s.a.w. secara mimpi dan jaga. Perhati dan fahamkan, apakah ada yang tidak bersandarkan kepada syariat baginda s.a.w.?

7. Kekeliruan:
Sebarang ajaran sufi yang percaya dengan asas ini perlu dibendung kerana akan membawa kemusnahan kepada masyarakat Islam dan menjauhkan mereka dari ajaran Nabi s.a.w yang walaupun dari sudut penampilan mereka mengajak kepada ibadat dan berbuat baik.

Jawapan:
Menurut pengetahuan saya setakat ini, tidak ada satu pun tariqat sufi muktabar di dunia pada hari ini yang menolak keharusan bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. Apakah seluruh tariqat-tariqat sufi ini dengan puluhan juta pemgamalnya perlu dibendung dan dibanteras…? Apakah kemusnahan benar-benar berlaku kepada masyarakat Islam dan mereka telah jauh dari ajaran Nabi s.a.w. disebabkan seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan – sesudah sekian lama – seorang soleh harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w. ??

Tidak ada orang waras yang mengatakan demikian. Bahkan ramai dari kalangan alim ulama tariqat-tariqat sufi ini adalah pemelihara-pemilhara sunnah baginda s.a.w. baik sunnah yang zahir mahupun sunnah yang batin. Berapa banyak rahmat dan manfaat rohani yang tersebar di seluruh dunia sama ada kita sedari ataupun tidak, disebabkan usaha-usaha mereka.

Memang seluruh tariqat sufi di dunia pada hari ini menyatakan harus bertemu secara sedar/jaga (yaqazah) dengan Rasulullah s.a.w., namun realitinya perkara tersebut tidak selalu berlaku pun kerana ia adalah suatu karamah yang dianugerahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki sahaja. Bahkan dalam tempoh 100 tahun, barangkali hanya beberapa orang sahaja yang boleh dibilang dengan jari mendakwa demikian, atau dikatakan mengalaminya. Jika peribadi dan latar belakangnya bertunjangkan syariat, maka baru boleh diterima dakwaan itu. Jika sebaliknya, maka dakwaan tersebut adalah wajib ditolak.

Perlu juga dilihat bagaimana cara mereka dapat mencapai peringkat kerohanian yang tinggi itu; Apakah zikirnya 100,000 setiap hari, atau selawatnya 50,000 setiap hari, atau tahajjudnya 500 rakaat setiap hari? Atau apakah hanya sekadar berjanggut, berjubah dan berserban besar saja, tetapi amalannya ‘kosong’?? Kata al-‘Allamah Ibn Al-Haj dalam kitab al-Madkhal (3/194):

“Sebahagian orang mendakwa melihat Nabi s.a.w. secara yaqazah, sedangkan ia merupakan satu perbahasan yang sempit (sukar) untuk diperbahaskan. Amat sedikitlah dari kalangan mereka yang mengalaminya, kecuali terhadap mereka yang amat mulia di zaman ini. Walau bagaimanapun, kami tidak mengingkari sesiapa yang mengaku pernah mengalaminya, dari kalangan orang-orang yang mulia yang dipelihara oleh Allah s.w.t. zahir dan batin mereka.”

Wallahu a’lam.

Rujukan Tambahan:

– Melihat Nabi s.a.w. Secara Yaqazah: Satu Jawapan oleh Raja Ahmad Mukhlis:
Siri 1: http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/112

Siri 2: http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/111

Siri 3: http://mukhlis101.multiply.com/journal/item/110

– Rawd al-Rayyahin, http://cb.rayaheen.net/

– Multaqa al-Nukhbah, http://www.nokhbah.net/

– Masalah Berjumpa Rasulullah Ketika Jaga Selepas Wafatnya (terjemahan) oleh Husain Hasan Toma‘i.
– Sa‘adah al-Darayn oleh al-‘Allamah Syeikh Yusuf al-Nabhani.
– Fatwa Mufti Brunei, download : yaqazah-fatwa-mufti-brunei.
– al-Muqizah fi Ru’yah al-Rasul SAW fil Yaqazah oleh Syeikh Hisyam bin ‘Abd al-Karim al-Alusi, download: http://www.almijhar.org/book/almokza.pdf

– Tariqah al-Ahmadiah al-Idrisiah, http://www.ahmadiah-idrisiah.com/article-Yaqazah-pandangan-ulama.php

sawanih.blogspot.my/2012/07/blog-post.html?m=1

Bacaan Tambahan :

sawanih.blogspot.my/2014/07/jawapan-ringkas-terhadap-tulisan.html?m=1

04/11/2017 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

MEMBELA HADITH NABI DARI DIZALIMI PSEUDO HADIS

Olih: Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group – Johor

1. Setelah ARG Johor membongkar fitnah dan tohmahan zalim page facebook pseudo hadis terhadap ulama disini https://www.facebook.com/ARG.johor/photos/a.785721904792055.1073741828.785701311460781/1700917223272514/?type=3&permPage=1

2. Masyarakat semakin ramai yang menyedari hakikat facebook -facebook yang begitu berani menggunakan agama hanya semata-mata untuk menyebarkan ajaran ekstrem mereka. Perkara ini turut memberi kesan kepada kepada saudara-saudara kita yang pro kepada fahaman salafi wahhabi. Ada yang minta supaya ARG Johor jawab lagi buat kali terakhir facebook pseudo hadis yang terkenal menyesatkan ulama-ulama agar mereka mudah membuktikan penyelewengan page facebook tersebut.

3. Kali ini ARG akan membuktikan satu lagi buat testimoni para pembaca tentang penyelewengan facebook ini.

4. Hadith:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ يَوْمَ الْجُمُعَةِ ثَمَانِينَ مَرَّةً غُفِرَ لَهُ ذُنُوبُ ثَمَانِينَ سَنَةً
“Sesiapa yang bershalawat kepadaku di hari jum’at sebanyak 80 kali, maka Allah akan ampuni dosa selama 80 tahun”
Hadits ini *menurut Pseduo Hadis adalah DHAIF SEKALI (dhaif jiddan)*.

5. Sebenarnya, Menurut para Ulama hadith, Status Hadits ini bukan LEMAH SEKALI tetapi darjatnya HASAN. Dan berikut merupakan hujjah dan sekaligus bantahan kepada Pseduo Hadis:
Pertama:
فيض القدير – (ج 4 / ص 328)
(الصلاة علي نور على الصراط ومن صلى علي يوم الجمعة ثمانين مرة غفرت له ذنوب ثمانين عاما) فيه أن الصلاة عليه نور على الصراط ونجاة ورحمة وأخذ من إفراد الصلاة هنا أن محل كراهة إفرادها عن السلام فيما لم يرد الإفراد فيه بخصوصه وإلا فلا يزاد على الوارد. ( الأزدي في) كتاب (الضعفاء قط في الأفراد عن أبي هريرة) ثم قال الدارقطني : تفرد به حجاج بن سنان عن علي بن زيد فلم يروه عن حجاج إلا السكن بن أبي السكن قال ابن حجر في تخريج الأذكار : والأربعة ضعفاء وأخرجه أبو نعيم من وجه آخر وضعفه ابن حجر.
Penjelasan ringkas ucapan al-Hafizh al-Munawi: “Ada empat perawi yang dinilai dhaif. Beliau tidak menyebut sebagai perawi matruk (perawi hadits dhaif syadid). Tetapi memang perawi yang bernama Hajjaj bin Sinan menurut Ibn Hajar dalam kitab Lisan al-Mizan dinilai al-Azdi sebagai perawi matruk.
لسان الميزان – (ج 2 / ص 178(
حجاج بن سنان عن علي بن زيد بن جدعان قال الأزدي متروك

6. Tetapi, al-Azdi adalah seorang yang mutasyaddid (keras dalam menilai). Penilian dari Ibn Hajar al-Asqallani yang masyhur mu’tadil, menilainya Hajjaj bin Sinan adalah dhaif sahaja.
أسنى المطالب في أحاديث مختلفة المراتب – (ج 1 / ص 175(
تفرد به حجاج بن سنان ضعيف وفيه أربعة رواه ضعفاء قاله ابن حجر
Dengan demikian, matruk-nya Hajjaj bin Sinan boleh dikatakan belum muttafaq ‘alaih.

7. Kedua:
Mutaba’ah ke atas hadits di atas. Dan ada dua jalur:
Jalur Pertama adalah riwayat Khathib al-Bagdadi:
تاريخ بغداد – (ج 13 / ص 489)
وهب بن داود بن سليمان أبو القاسم المخرمي حدث عن إسماعيل بن علية روى عنه محمد بن جعفر المطيري وكان ضريرا ولم يكن ثقة أخبرنا أبو طالب عمر بن إبراهيم الفقيه حدثنا عمر بن إبراهيم المقرئ حدثنا محمد بن جعفر المطيري حدثنا وهب بن داود بن سليمان الضرير حدثنا إسماعيل بن إبراهيم حدثنا عبد العزيز بن صهيب عن أنس بن مالك قال كنت واقفا بين يدي رسول الله صلى الله عليه و سلم فقال من صلى علي يوم الجمعة ثمانين مرة غفر الله له ذنوب ثمانين عاما فقيل له كيف الصلاة عليك يا رسول الله قال تقول اللهم صل على محمد عبدك ونبيك ورسولك النبي الأمي وتعقد واحدا
Perawi yang bernama “Wahb bin Nuh” adalah perawi yang tidak tsiqah menurut Khathib al-Baghdadi.

8. Jalur kedua adalah riwayat Thabarani yang HASAN:
تخريج أحاديث الإحياء – (ج 2 / ص 49(
حديث ” من صلى علي في يوم الجمعة ثمانين مرة غفر الله له ذنوب ثمانين سنة قيل يا رسول الله كيف الصلاة عليك ؟ قال تقول : اللهم صل على محمد عبدك ونبيك ورسولك النبي الأمي ، وتعقد واحدة ، وإن قلت اللهم صل على محمد وعلى آل محمد صلاة تكون لك رضاء ولحقه أداء وأعطه الوسيلة وابعثه المقام المحمود الذي وعدته واجزه عنا ما هو أهله واجزه أفضل ما جزيت نبيا عن أمته وصل عليه وعلى جميع إخوانه من النبيين والصالحين يا أرحم الراحمين “** أخرجه الدارقطني من رواية ابن المسيب قال أظنه عن أبي هريرة وقال حديث غريب ، وقال ابن النعمان حديث حسن .
Menurut al-Hafizh al-Iraqi yang mentaqrir (bersetuju) penilaian Imam Abi Abdillah bin Nu’man, bahawa hadits ini adalah HASAN. Dan ini juga diakui oleh dua hafizh hadits mutaakhirin iaitu al-Hafizh al-Ajluni dalam Kasyful Khafa’ dan al-Hafizh Ibn Arraq al-Kinani dalam Tanzih asy-Syariat:
كشف الخفاء – (ج 1 / ص 167)
قلت وبعد الموت قال إن الله حرم على الأرض أن تأكل أجساد الأنبياء ، ورواه الدارقطني عن ابن المسيب قال أظنه عن أبي هريرة بلفظ من صلى علي يوم الجمعة ثمانين مرة غفر الله له ذنوب ثمانين سنة قيل يا رسول الله كيف الصلاة عليك قال تقول اللهم صل على محمد عبدك ونبيك ورسولك النبي الأمي وتعقد مرة واحدة ، وهو حسن كما قاله العراقي
تنزيه الشريعة المرفوعة عن الأحاديث الشنيعة الموضوعة – (ج 2 / ص 406)
حديث من صلى علي في كل يوم جمعة أربعين مرة محا الله عنه ذنوب أربعين سنة ومن صلى علي مرة واحدة فتقبلت منه محا الله عنه ذنوب ثمانين سنة (مى) من حديث أنس وفيه محمد بن رزام (قلت) اقتصر العلامة الشمس السخاوي في القول البديع على تضعيف الحديث ولأوله شاهد من حديث أبي هريرة مرفوعا من صلى علي يوم الجمعة ثمانين مرة غفر الله له ذنوب ثمانين سنة قيل يا رسول الله كيف الصلاة عليك قال تقول اللهم صل على محمد عبدك ونبيك ورسولك النبي الأمي وتعقد واحدة رواه الدارقطني ونقل (2) عن أبي هريرة في شرح التنبيه عن الإمام أبي عبد الله بن النعمان أنه قال فيه حديث حسن و الله تعالى أعلم
Dengan demikian, hadits shalawat di atas adalah HASAN dan bukan dhaif syadid (lemah sekali) sebagaimana tuduhan pseudo hadis.

9. Apatah lagi, ulama-ulama Islam ramai sekali yang menukil hadits ini, seperti Ibn Hajar dalam Tuhfah al-Muhtaj, al-Hafizh Ibn Jauzi dalam Bustanul Wa’izhin, Ibn Qudamah dalam Mukhtashar Minjahul Qashidin, Abu Thalib al-Makki dalam Qutul Qulub, Ibn Abidin dalam Radd al-Muhtar, Khathib asy-Syirbini dalam al-Iqna’, Sulaiaman Jamal dalam Hasyiyah al-Jamal, dan lain-lain. Ini menjadi tanda-tanda hadits di atas bukan hadits yang jatuh dari dibuat hujjah dalam fadhilah amal.

10. Nasihat ARG Johor kepada para pembaca sekian, berhati-hatilah membaca material agama terutama di laman facebook yang jelas sekali membawa fahaman enkstrem kepada para pembacanya, hingga tergamak menyesatkan ulama, para pengikutnya pula menghina para ulama. semoga kita dan keluarga kita selamat dari fitnah akhir zaman ini.

11. Wallahualam

*Disediakan oleh:*
*-ARG Johor-*

03/11/2017 Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

ORANG MATI BOLEH MENDENGAR


ORANG MATI BOLEH MENDENGAR

(Nabi saw bercakap dgn musuh yg terbunuh di medan Badar)

Dari Anas bin Malik r.a katanya : “Rasulullah saw pergi ke tempat2 bekas pertempuran di Badar setelah tiga hari perang selesai. Beliau mendatangi pula tempat2 musuh terbunuh dan memanggil mereka.”

Kata beliau, “Hai Abu Jahil bin Hisyam! Hai umayyah bin Khalaf! Hai Utbah bin Rabi’ah! Hai Syaibah bin Rabi’ah! Bukankah kalian telah merasakan apa yg dijanjikan Tuhanmu sungguh2 terjadi!
Dan aku sendiri menyaksikan apa yg dijanjikan Tuhanku sungguh2 terjadi.”

Ucapan Nabi saw tersebut terdengar oleh Umar. Kata Umar ‘ Ya Rasulullah bagaimana mgkn mereka dapat mendengar dan menjawab, pada hal mereka telah menjadi bangkai!’

Jawab Nabi saw ” Demi Allah yg jiwa aku dlm kuasaNya. Pendengaranmu tidak setajam pendengaran mereka. Hanya saja mereka tidak dapat menjawab.’
Kemudian diperintahkan beliau supaya mayat musuh2 tersebut dikumpulkan lalu dilemparkan ke telaga Badar.’

*HR Muslim.*
Shahih Muslim jilid 1-4
Hadis 2449.

🇸

02/11/2017 Posted by | Informasi, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | Leave a comment

SOLAT ATAS KERUSI

SOLAT DUDUK ATAS KERUSI

SOALAN:
Ustaz, kebelakangan ini kita lihat ramai orang datang ke masjid/surau dgn berjalan kaki……ada yg naik motor…..ada yg bertongkat……boleh berdiri lama pula sementara menunggu iqamah……

Persoalannya…..ramai di antara mereka ini di lihat solat di atas kerusi……sedangkan mereka yg bertongkat solat seperti biasa aje……apa hukumnya ustaz, sah kah solat mereka….

JAWAPAN:
Kita tidak boleh jatuh hukum bersandarkan kpd zahir perbuatan seseorang……sudah tentu ada rukhsah yg mereka sendiri tahu yg membolehkan mereka solat duduk atas kerusi…..

Namun berdiri dalam solat fardhu merupakan rukun solat. Walau bagaimanapun, bagi pesakit yang tidak boleh berdiri dibolehkan solat dalam keadaan duduk. Duduk bersila adalah lebih utama.(bukan duduk atas kerusi) Walau bagaimanapun boleh sahaja solat duduk dalam bentuk-bentuk yang lain seperti duduk di atas kerusi

BAGI YG PERLU SOLAT DUDUK ATAS KERUSI PASTIKAN CARANYA BETUL SEPERTI KETERANGAN BERIKUT:

1.Kedudukan bagi makmum yang menggunakan kerusi hendaklah di bahagian paling kiri atau kanan saf solat.

2.Jika keuzurannya adalah tidak boleh duduk di atas lantai, atau ruku’ atau sujud namun masih mampu berdiri, maka hendaklah berdiri selari dengan orang bersebelahannya dalam saf solat.

3.Jika keuzurannya adalah tidak boleh berdiri dan terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk, maka kaki kerusi belakang hendaklah sama dengan kaki orang yang berdiri.

4.Kelurusan saf bagi orang yang terpaksa menunaikan keseluruhan solat dalam keadaan duduk dikira ketika jemaah lain dalam keadaan duduk.

CARA SOLAT DUDUK ATAS KERUSI adalah seperti berikut:

1.Hendaklah bertakbiratul ihram dalam keadaan berdiri sekiranya mampu, kerana qiyam adalah sebahagian daripada rukun solat. HaI ini adalah bagi kes ketidakmampuan untuk ruku’, sujud atau berdiri lama. Manakala bagi kes ketidakmampuan untuk berdiri maka diharuskan bertakbiratul ihram dalam keadaan duduk.

2.Hendaklah terus berdiri ketika membaca al-Fatihah dan surah sekiranya mampu. Walau bagaimanapun, diharuskan duduk apabila tidak mampu atau terus duduk jika langsung tidak mampu.

3.Hendaklah berdiri dengan bertumpukan (i’timad) kedua-dua belah kaki jika mampu atau salah satu daripadanya jika tidak mampu, dan tidak berdiri sambil bersandar kepada sesuatu dengan merehatkan kedua-dua kaki atau salah satu daripadanya.

3.Tidak menggerakkan kerusi ke hadapan atau ke belakang ketika melakukan isyarat tunduk untuk ruku’ dan sujud.

3.Tidak menyandarkan belakang badan ke kerusi tanpa sebarang hajat atau keuzuran. Hal ini kerana ia menyalahi tatacara solat, dan keizinan duduk hanya sekadar untuk menampung keuzuran berdiri.

4.Hendaklah membezakan secara konsisten keadaan tunduk untuk ruku’ dan tunduk untuk sujud. Kedudukan isyarat tunduk untuk sujud hendaklah lebih rendah daripada isyarat tunduk untuk ruku’.

5.Tidak sujud di atas sesuatu yang berada di hadapannya seperti yang dilakukan oleh sesetengah penumpang kapal terbang yang menjadikan meja makan sebagai tempat sujud.

6.Sekiranya keuzuran adalah untuk ruku’ atau sujud, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri dan apabila tiba masa untuk ruku’ atau sujud, barulah diizinkan duduk dan melakukan isyarat tunduk tanda ruku’ dan sujud mengikut kemampuan.

7.Hendaklah meletakkan tangan di atas kedua-dua lututnya ketika tunduk tanda ruku’ dan meletakkannya di tempat lain selain lutut ketika tunduk tanda sujud supaya ada perbezaan antara isyarat ruku’ dan sujud. Sebagai contoh, kedua-dua belah tangan boleh dilepaskan sahaja di kiri atau kanan peha ketika tunduk tanda sujud, atau diletakkan di atas kedua-dua belah paha kanan dan kiri, atau diletakkan pada kerusi jika ada.

8.Tidak digalakkan menjadi imam kepada ma’mum yang solat dalam keadaan sempurna tanpa duduk di atas kerusi atau lantai. Walau bagaimanapun, tiada halangan menjadi imam sekiranya semua makmum daripada kalangan mereka yang uzur atau solat dalam keadaan duduk. Begitu juga sekiranya imam berkenaan merupakan imam bertugas dan keuzurannya adalah sementara dan boleh sembuh. Manakala makmum pula tetap wajib berdiri sekiranya mampu.

9.Jika keuzurannya sementara dan boleh hilang, maka hendaklah solat dalam keadaan berdiri apabila hilang keuzuran tersebut. Sebagai contoh sekiranya sedang solat dalam keadaan duduk, tiba-tiba rasa sakit atau uzur yang menghalangnya berdiri hilang, maka ketika itu wajib ke atasnya berdiri dan begitulah sebaliknya.

(Rujukan: Jabatan Mufti JAIN)

02/11/2017 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Kisah LABAH2 di Gua Thur itu palsu?

*ADA SEGELINTIR ULAMA GLAMOR YG ADA PHD MENDAKWA KISAH LABAH2 DI GUA TEMPAT NABI SAW DAN SAIDINA ABU BAKAR BERSEMBUNYI ADALAH PALSU……*

Saya (Ustaz Ahmad Faidzurrahim) telah dimaklumkan bahawa terdapat satu artikel yang bertajuk ‘Sirah Nabi bukan kartun, rekaan’, terbitan Surat Khabar UTUSAN bertarikh 13/10/2017 jumaat bahagian depan Utusan Malaysia Mega.

Muqadimah artikel tersebut juga diselitkan dengan kenyataan Penolong Pengarah Kanan JAKIM Dr Muhamad Hafizi Sulaiman seperti yang tertera pada permulaan artikel tersebut.

Artikel tersebut berkisar isu israiliyyat yang popular dikalangan rakyat Malaysia.

Yang menarik perhatian saya selepas membacanya ialah antara contoh kisah Israiliyyat adalah: Kisah sarang labah-labah menutupi pintu gua Thur, artikel tersebut mendakwa kononnya kisah tersebut adalah palsu, bukan itu sahaja, bahkan dinyatakan sekali kisah burung merpati di hadapan gua adalah kisah yg palsu juga.

Di sini ingin saya menyatakan sanggahan terhadap isi kandung artikel tersebut berdasarkan kitab-kitab ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah yang muktabar.

Sedia maklum bahawa kebanyakan ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah menyatakan akan kebenaran kisah Labah-labah yang membuat sarang di pintu gua tempat persembunyian Nabi dan Abu Bakar ketika dikejar oleh orang-orang kafir, begitu juga kebenaran burung merpati yang bertelor di muka pintu gua tersebut. Keadaan sedemikian mengambarkan seolah-olah gua Thur tidak pernah dimasuki oleh sesiapa sebelum ini.

Jika ingin disenaraikan nama-nama kitab Ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah maka tidak akan mencukupi ruang di sini, cukuplah dengan satu kitab yang masyhur di kalangan para ilmuan dan cerdik pandai agama, iaitu kitab yang bertajuk;
AL-‘UJJALATU AL-SANNIYYAH ‘ALAL ALFIYYATI AL-SIROTI AL-NABAWIAH
yang ditulis oleh ulamak Mesir yang terkenal iaitu Imam al-Syeikh Zainudin Muhamad Abd Rauf al-Munawi al-Qohiriy al-Misriy yang meninggal pada 1031 H, beliau juga adalah anak murid kepada Imam al-Sya’raniy seorang ulamak tasawuf yang terkenal dalam sejarah Islam di Mesir.

Dalam kitab tersebut, bab Hijrah Nabi pada m/s: 113, cetakan Darul Masyarek Lubnan, disebut selepas Nabi dan Abu Bakar masuk ke gua Thur;
وخيم العنكبوت على بابه وفرخت حمامة
“Dan labah membuat sarangnya di pintu gua dan burung merpati sudah bertelur”.

Maka jelas di sini akan kebenaran kisah sarang labah-labah dan burung merpati di pintu gua Thur ketika peristiwa Hijrah Rasulullah.

Jadi bagaimana dengan begitu cepat dihukum kisah tersebut sebagai palsu?

Sila nyatakan rujukan & sumber yang sahih akan kepalsuan kesah tersebut jika benar-benar ada.

Semoga kita sentiasa cermat dalam menilai sesuatu perkara dan merujuk kepada sumber-sumber yang sahih yang Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam menerbitkan mana-mana artikel berkaitan dengan agama.

Sila rujuk Akhbar Utusan keluaran tarikh 13/10/2017 hari Jumaat.

Wallahu Aalam.

Yang benar:
AHMAD FAIDZURRAHIM.
(ustaz-faidzurrahim.blogspot.com)

Facebook: Koleksi Kuliah Ustaz Faidzurrahim (KKUF)

Sebarkan!!!.

02/11/2017 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Informasi, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | Leave a comment

TERLENA – Prof Dr. Hamka

Waktu berlalu begitu pantas menipu kita yang terlena.
Belum sempat berzikir di waktu pagi, hari sudah menjelang siang, Belum sempat bersedekah pagi, matahari sudah meninggi.

Niat pukul 9.00 pagi hendak solat Dhuha, tiba-tiba azan Zuhur sudah terdengar.

Teringin setiap pagi membaca 1 juzuk Al-Quran, menambah hafalan satu hari satu ayat, itu pun tidak dilakukan.

Rancangan untuk tidak akan melewatkan malam kecuali dengan tahajjud dan witir, walau pun hanya 3 rakaat, semua tinggal angan-angan.

Beginikah berterusannya nasib hidup menghabiskan umur? Berseronok dengan usia?.

Lalu tiba-tiba menjelmalah usia di angka 30, sebentar kemudian 40, tidak lama terasa menjadi 50 dan kemudian orang mula memanggil kita dengan panggilan “Tok Wan, Atok…Nek” menandakan kita sudah tua.

Lalu sambil menunggu Sakaratul Maut tiba, diperlihatkan catatan amal yang kita pernah buat….

Astaghfirullah, ternyata tidak seberapa sedekah dan infak cuma sekadarnya, mengajarkan ilmu tidak pernah ada, silaturrahim tidak pernah buat.

Justeru, apakah roh ini tidak akan melolong, meraung, menjerit menahan kesakitan di saat berpisah daripada tubuh ketika Sakaratul Maut?.

Tambahkan usiaku ya Allah, aku memerlukan waktu untuk beramal sebelum Kau akhiri ajalku.

Belum cukupkah kita menyia-nyiakan waktu selama 30, 40, 50 atau 60 tahun?.

Perlu berapa tahun lagikah untuk mengulang pagi, siang, petang dan malam, perlu berapa minggu, bulan, dan tahun lagi agar kita BERSEDIA untuk mati?.

Kita tidak pernah merasa kehilangan waktu dan kesempatan untuk menghasilkan pahala, maka 1000 tahun pun tidak akan pernah cukup bagi orang-orang yang TERLENA.

*Al Marhum Prof Hamka*

02/11/2017 Posted by | Bersama Tokoh, Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: