Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum Lafaz Akad Nikah ‘Aku Terima’ Sahaja, Sah Atau Tidak?



Olih  Dr. Zulkifli Al Bakri


#3574: Sahkah Perkahwinan dengan Menyebut “Aku Terima” Sahaja?

Quote: “Kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan  keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna”.


Soalan
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Adakah sah sebuah perkahwinan ketika akad nikah, pengantin lelaki hanya menjawab “Aku terima” sahaja tanpa menyebutkan perkataan nikah? Hal ini kerana telah viral isu dua artis veteran terkenal telah berkahwin dan melafazkan seperti di atas ketika qabul.  Mohon pencerahan. Terima kasih.


Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”
(Surah al-Najm: 45)


Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)


Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:
وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”
(Surah al-Ra‘d: 38)
Firman Allah SWT dalam ayat yang lain:
وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”
(Surah al-Nisa’: 21)


Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.


Dalam menjawab soalan di atas, para fuqaha menyatakan bahawa suatu pernikahan itu termeterai melalui lafaz ijab dan qabul dengan sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas). Hal ini seperti perkataan seorang wali kepada bakal suami (pengantin lelaki): “زَوَّجْتُكَ ابْنَتِي” (Aku kahwinkan engkau dengan anak perempuanku) atau “أَنَكَحْتُكَ” (Aku nikahkan engkau).
Kemudian pengantin lelaki itu menjawab: “ قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيْتُ” (Aku redha) kerana sighah madhi (kata masa lalu/sudah lepas) itu lebih menunjukkan kepada penyabitan dan  penegasan, berbeza halnya dengan sighah mustaqbal (kata masa akan datang).


Melainkan di sisi ulama al-Syafi‘iyyah, mereka berpendapat bahawa tidak cukup pengantin lelaki itu hanya mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) sahaja atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja.
Bahkan pengantin lelaki mesti mengucapkan: “قَبِلْتُ نِكَاحَهَا” (Aku terima nikahnya) atau “رَضِيتُ نِكَاحَهَا” (Aku redha nikahnya). Sekiranya dia tidak menyebutkan sedemikian, maka tidak sah nikahnya menurut mazhab (pendapat muktamad al-Syafi‘i).
Manakala di sisi jumhur fuqaha’ — al-Hanafiyyah, al-Malikiyyah, al-Hanabilah dan satu pendapat al-Syafi‘iyyah — bahawa memadai/cukup pengantin lelaki mengucapkan: “قَبِلْتُ” (Aku terima) atau “رَضِيتُ” (Aku redha) sahaja dan sah pernikahan tersebut dengan sedemikian. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 41/238).


Menurut al-Buhuti, ucapan pengantin lelaki, “Aku terima” memadai kerana perkara itu adalah jelas sebagai jawapan. Maka, sah perkahwinan dengannya seperti mana jual beli. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 11/235).
Selain daripada itu, al-Khatib al-Syirbini juga ada menjelaskan, ucapan pengantin lelaki sekadar, “Aku terima,” adalah tidak sah menurut mazhab Syafi‘i (pendapat muktamad) kerana tidak terdapat padanya secara jelas perkataan perkahwinan atau pernikahan, dan niatnya sendiri tidak mencukupi.
Manakala menurut satu pendapat lagi yang menyatakan perkahwinan dengan sedemikian itu adalah sah kerana ia kembali kepada apa yang diwajibkan (diucapkan) oleh wali seperti yang dijanjikan secara lafaz (sarih) sebagaimana pendapat yang paling sahih dalam bandingannya iaitu akad jual beli.
Akan tetapi menurutnya lagi, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, di mana ia dianggap sebagai kinayah dan akad pernikahan tidak sah dengan kinayah berbeza halnya dengan akad jual beli.


Namun, ada pendapat menyatakan bahawa perkahwinan tidak boleh terjadi melalui cara ini sama sekali, dan ada juga yang berpendapat bahawa ia adalah sah secara mutlak. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 4/230).
Sesungguhnya, wacana ilmiah di kalangan para ulama dan cendikiawan Islam adalah amat baik serta membina makrifah serta kefahaman yang lebih mendalam dan meluas. Kami bersetuju bahawa pandangan yang dikemukakan jelas menunjukkan kepada kita keluasan fiqh itu sendiri. Inilah yang disebutkan oleh Umar bin ‘Abd al-‘Aziz:
مَا أَحِبُّ أَنَّ أَصْحَابَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَخْتَلِفُونَ، لِأَنَّهُ لَوْ كَانَ قَوْلًا وَاحِدًا لَكَانَ النَّاسُ فِي ضِيقٍ، وَإِنَّهُمْ أَئِمَّةٌ يُقْتَدَى بِهِمْ، فَلَوْ أَخَذَ رَجُلٌ بِقَوْلِ أَحَدِهِمْ كَانَ سِعَةً

Maksudnya: “Aku tidak suka bila sahabat Rasulullah SAW tidak berbeza pandangan, sebab kalaulah ia cuma satu pandangan, maka orang ramai akan berada dalam kesempitan. Sesungguhnya mereka (para sahabat) adalah pemimpin yang menjadi ikutan. Kalaulah seseorang mengambil pandangan salah seorang dari mereka (kerana ada khilaf berlaku), dia akan berada dalam keluasan.” (Lihat al-I‘tisam oleh al-Syatibi, 2/577).


Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa ucapan balas/jawab pengantin lelaki, “Aku terima” atau “Aku redha,” sahaja sudah memadai dan mencukupi serta perkahwinan itu sudah dikira sah.


Ini adalah sebagaimana pendapat jumhur ulama serta satu pendapat dalam mazhab Syafi‘i. Hal ini kerana ia dapat difahami atau kembali semula kepada ucapan wali sebelumnya, maka jelas ucapan pengantin lelaki itu kembali/merujuk kepada pernikahan dan perkahwinan.


Sekalipun begitu, kami tidak menafikan bahawa jika pengantin lelaki mengucapkan, “Aku terima nikahnya” atau “Aku redha nikahnya” atau seumpamanya adalah lebih baik dan  keluar daripada khilaf, ini lebih ihtiyat dan sempurna.


Walau bagaimanapun, dalam konteks negara kita, Malaysia, hal ehwal yang melibatkan perkahwinan penganut-penganut beragama Islam berada di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam negeri masing-masing. Oleh itu, ia hendaklah dikembalikan atau merujuk kepada jabatan agama Islam masing-masing. Ini bertepatan dengan kaedah menyebutkan:
حُكْمُ الحَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim mengangkat perselisihan.”


Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.


Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Sumber: Maktabah Al-Bakri

17/10/2023 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Sudah bertahun lama nikah, baru tahu mak ayah Nikah Sindiket

Siapa yang tak terkejut bila dapat tahu emak dan ayahnya rupa-rupanya berkahwin secara nikah sindiket. Mereka tahu kata emak dan ayah katanya bernikah di Sempadan Thailand, tapi tak pernah buat pengesahan.

Jadi, ada yang sebelum ini, anak yang dinikahi berwalikan si ayah tersebut. Datang masalah bila anak perempuan yang lain nak kahwin. Pejabat agama mintak Sijil Nikah emak dan ayah.

Kali ini, pejabat agama tak mahu Sijil Nikah Siam. Walaupun sebelum ini, tak pasti bagaimana boleh lepas, anak perempuan yang pertama telah dinikahkan secara sah melalui wali Ayah.

Jadi, mahu atau tak, terpaksalah Mak dan Ayah ini buat pengesahan.

Alangkah terkejut bila dapat tahu, pernikahan ibu ayah bukan di mana-mana Majlis Agama Islam Songkhla mengikut maklumat Sijil Nikah tersebut.

Rupanya, ibu dan ayah ini, bernikah di dalam Malaysia, namun, mendapat Sijil Nikah Songkhla. Tak masuk pun ke Sempadan Thailand tersebut. Nikah pula kononnya menggunakan Wali Hakim sedangkan yang menjadi jurunikah itu bukan ada tauliah.

Akhirnya, terpaksalah akur, anak perempuan pertama yang dah berkahwin, beranak pinak ini, failkan Permohonan Faraq Nikah kerana pernikahan yang fasid.

5 Kesan Nikah Sindiket

✅ Perkahwinan Tak Sah

Besar kemungkinan, pernikahan sindiket ini boleh TIDAK SAH. Ini kerana, kebanyakannya tidak mematuhi syarat sah nikah. Contohnya, Nikah Sindiket menggunakan Wali Hakim.

Namun, wali hakim itu bukan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Ikut sedap sahaja claim diri itu Wali Hakim. Jika kahwin di Majlis Agama Islam Sempadan Thailand yang sah, boleh jadi SAH kalau nikah menggunakan Wali Sultan sebab mereka dilantik secara sah.

Kesannya besar, jika pernikahan ini tidak sah.

✅ Anak Tak Sah Taraf

Jika pasangan tersebut tahu, pernikahan tersebut tidak sah, namun tetap buat tak endah, anak yang dilahirkan adalah dikira sebagai Anak Tak Sah Taraf.

Ada kemungkinan besar juga, anak yang nak didaftarkan di JPN, tak lepas untuk pendaftaran. Kerana, Nombor Siri Sijil Nikah ibu bapa palsu atau tiada dalam sistem pendaftaran.

Kalau pasangan tidak tahu, anak tersebut dikira sebagai anak wati’ Shubhah atau Anak Persetubuhan Syubhah. Apa yang perlu dibuat adalah Permohonan Faraq Nikah dan kemudian boleh Nikah Semula mengikut prosedur yang betul.

✅ Nafkah Anak Tak Sah Taraf

Kalau si bapa ini, tinggalkan si ibu dengan anaknya, sebarang perbelanjaan atau nafkah anak tersebut adalah ditanggung sepenuhnya oleh si ibu.

Melainkan Nafkah Anak Wati Syubhah, nafkah anak tertanggung kepada si bapa tersebut. Ini kerana mereka tidak tahu bahawa pernikahan mereka tidak sah mengikut syarak.

✅ Tak layak mewarisi Pusaka

Seandainya pasangan meninggal dunia, suami atau isteri, masing-masing tak layak untuk mewarisi pusaka kerana tiada ikatan pernikahan yang sah.

Namun, tiada isu jika menerima wasiat atau hibah. Ini kerana wasiat layak diterima oleh bukan ahli waris. Hibah pula tidak kira sama ada ahli waris atau tidak.

Begitu juga dengan anak-anak yang lahir daripada pernikahan tidak sah, tidak layak menerima pusaka yang ditinggalkan oleh si bapa tersebut. Hanya mewarisi pusaka ibu sahaja.

✅ Berkahwin menggunakan Wali Hakim

Anak tak sah taraf, wali pernikahannya adalah Wali Hakim pada hukumnya. Maksudnya, anak perempuan yang nak berkahwin, perlu mohon kepada Mahkamah untuk dinikahkan secara Wali Hakim kerana tiada bapa kandung pada asasnya.

Melainkan anak Wati’ Syubhah. Seandainya ibu bapa tidak tahu tentang nikah fasid, mereka perlu Difaraqkan Nikah dan kemudian boleh Nikah Semula. Bapa tersebut layak menjadi Wali terhadap pernikahan anak perempuannya tersebut.

❤️ Kesimpulan

Islam sangat memelihara bab nasab ini. Tapi ada yang mengambil mudah dan ada yang tahu, namun atas sebab hawa nafsu, sanggup langgar hukum Allah.

Oleh sebab itu, bila nak kahwin, perlu dipastikan tidak berlaku perkara-perkara yang boleh merosakkan kepada Akad Perkahwinan tersebut.

Nikah Sindiket ini tak lebih daripada sebagai Scammer sahaja. Paling mudah untuk dibanteras adalah melalui KESEDARAN dan ILMU PENGETAHUAN.

Terima kasih kepada anak yang bantu sebarluaskan kisah ini. Semoga menjadi pengajaran kepada semua.

Fahmi Ramli
Peguam Syarie
Perunding Pusaka, Hibah dan Wasiat Orang Islam

wasap.my/60197372389/NakTanya

wasap.my/60197372389/NakTanya

wasap.my/60197372389/NakTanya

27/06/2023 Posted by | Q & A (Soal Jawab), Renungan & Teladan | | Leave a comment

Bapa saya hilang entah ke mana, siapa wali saya?

“Saya nak bernikah tapi ayah (wali) saya hilang. Sudah bertahun-tahun hilang tanpa jejak. Saya tak tahu ayah saya kat mana. Macam mana pernikahan saya nanti? Siapa sepatutnya menjadi wali saya?”

Situasi begini sering terjadi di kalangan kita dimana wali ghaib (hilang) atau disebut juga sebagai ‘wali mafqud’ yang bermaksud wali yang tidak diketahui keberadaannya.

Seperti yang kita tahu, wali merupakan salah satu daripada rukun nikah yang wajib ada di dalam suatu pernikahan iaitu:

1) Lelaki – calon suami
2) Perempuan – calon isteri
3) Wali
4) Dua orang saksi (lelaki)
5) Sighah (ijab dan qabul)

Tapi, macam mana pula sekiranya wali hilang? Bolehkah abang atau adik lelaki atau bapa saudara menjadi wali walaupun yakin dan pasti bahawa wali (ayah) masih hidup?

➡️ Tak boleh. Berdasarkan kaedah fiqh;

اليقين لا يزول بالشك

“keyakinan tidak boleh digugat dengan syak’’

Oleh itu, adalah dicadangkan supaya pihak perempuan mewar-warkan di mana-mana media sosial atau medium perantaraan yang lain untuk mencari/menjejaki wali tersebut. Seterusnya, masalah ini boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah supaya Hakim dapat memutuskan penyelesaian terbaik.

Kita tengok pada pandangan Mazhab Syafie, dikatakan sekiranya wali ghaib atau hilang dan tak dapat dikesan, hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim.

Kenapa hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim?

▶️ Sebab hak perwalian masih ada pada dirinya, tapi tak dapat melaksanakan tugasnya sebagai wali sebab wali tersebut ghaib atau tak diketahui kedudukannya.

Siapa wali hakim?

👨🏻‍⚖️ Wali yang ditauliahkan oleh YDPA atau DYMM Sultan atau Raja untuk mengahwinkan perempuan yang tak mempunyai wali nasab, wali ghaib, atau walinya enggan mengahwinkannya tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak.

Jadi, dalam keadaan sebegini wali hakim akan menggantikan wali ghaib tersebut.

Oleh: Fahmi Ramli

Peguam Syarie

18/04/2023 Posted by | Fiqh, Ibadah, Muamalat (Keluarga), Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Fatwa Darul Ifta’ Mesir Berkenaan Hukum Bernikah Secara Online:

Darul Al-Ifta Mesir mengesahkan kesahihan fatwa yang dikeluarkan oleh badan berkenaan bahawa pernikahan online yang dijalankan melalui video conference adalah tidak sah. Ianya adalah kerana pernikahan secara online mengandungi banyak kecacatan yang boleh merosakkan akad tersebut, terutamanya yang bersangkutan dengan makna keredhaan yg sebenar sebagai mana yg di tunjukkan oleh syarak.

Apatahlagi Yang menyentuh aspek kehadiran saksi dan penyaksian mereka terhadap proses perjalanan majlis akad tersebut.

Dar Al-Ifta Mesir juga menjelaskan dalam salah satu dari fatwa terbarunya bahawa memastikan bahawa sesuatu akad nikah itu menjadi sah maka pihak pengantin hendaklah mematuhi beberapa syarat yg wajib dipatuhi dan di penuhi.

1) Upacara akad nikah pada asalnya perlu dijalankan dalam keadaan biasa, seperti hadirnya keluarga kedua pengantin atau setidaknya wakil dari pihak kedua mempelai.

2) Memberlakukan sighah akad dengan cara menghadirkan dua orang saksi dalam satu majlis.

Berdasarkan kepada Sabda Nabi saw:
لا نكاح الا بولي وشاهدي عدل، وما كان من نكاح على غير ذلك فهو باطل.

“Tiada pernikahan melainkan dengan kehadiran seorang wali dan dua orang saksi. Dan apa jua bentuk pernikahan yang berlaku dengan cara selain dari itu maka pernikahan tersebut adalah batil”.

Dan pihak Darul Ifta’ menambah lagi bahawa proses pendengaran Para saksi terhadap Sighah akad menerusi peralatan modern (gadget) seperti telefon bimbit dan aplikasi perbualan secara online melalui internet maka ianya tidak boleh diterima pakai kerana suara seseorang boleh bercampur baur dan ini tidak memadai dalam akad nikah.

Kerana kaedah fiqhiyyah mengatakan bahawa:

يحتاط في الفروج ما لا يحتاط الأموال

Di utamakan sikap berhati-hati dalam urusan menghalalkan kemaluan (urusan munakahat) melebihi sifat kehati-hatian dalam urusan harta benda (muamalat).

Fatwa tersebut menegaskan bahawa tokoh-tokoh penting dalam mazhab Syafie mensyaratkan (dalam Qaul yang muktamad) berkenaan dua orang saksi nikah bahawa keduanya baik penglihatan, celik dan tidak cukup sekadar elok pendengaran semata mata.

Hal ini diakui oleh Imam Nawawi sendiri dalam kitabnya Minhajul Tolibin dimana beliau mengatakan bahawa:

Dan tidak sah ia (akad nikah) melainkan dilakukan dihadapan dua orang saksi.

Dan syarat bagi kedua orang yang akan menjadi saksi bahawa mereka berdua mestilah:

1) Merdeka
2) Lelaki
3) Adil
4) Mendengar
5) Melihat

Dan Syeikh Khatib As Syarbini dalam komentar beliau terhadap makna “melihat” mengatakan:

Kedua syarat terakhir tersebut diletakkan oleh Imam An Nawawi kerana sebuah keterangan akad tidak akan jelas maknanya melainkan dengan melihat dan mendengar (secara serentak).

Fatwa tersebut juga menegaskan bahawa pernikahan tersebut tidak boleh dianggap sah hanya dengan berpandukan gambar dan suara video semata mata.

(Apa jua kebarangkalian yang ada) samaada melalui telefon bimbit atau aplikasi mudah alih jalur lebar (internet) bahkan jika cukup padanya syarat yg ditetapkan oleh tokoh-tokoh syafiiyyah berkenaan sekalipun. Kerana pemberlakuan syarat yg ditetapkan oleh tokoh berkenaan itu berlaku atas asas yg tidak pasti (zonniyyah) dan bukan secara pasti (qath’iyyah).

Kerana dalam proses akad dengan aplikasi tersebut boleh di pengaruhi unsur penipuan atau penyelewengan melalui aplikasi yg berlainan yg boleh mengubah bunyi suara, gambar video.

Tambahan pula kaedah fiqhiyyah menyebutkan bahawa dalam urusan melibatkan faraj (perkahwinan) perlu lebih berhati-hati melebihi akad yg lain.

Maka sebagai mufti kami tidak boleh menghalalkan suatu pernikahan Yang bersandarkan kepada suatu yg zanni. Dan demikian itu kerana ingin menutup jalan kefasadan (saddu Az Zara’i) dan apa jua kesan negatif yang akan terzahir hasil dari keputusan tersebut.

Pihak Dar Al-Ifta memberi amaran kepada sekelian pemuda pemudi agar tidak menerima galakan tersebut (nikah online) yang secara jelas bercanggah dengan syariat. Juga bimbang mengenai kesan buruk yang akan menimpa mereka dalam bentuk penyesalan di kemudian hari.

Hingga mengheret mereka (pemuda pemudi) ke dalam kancah kedurhakaan dan keganasan rumahtangga kesan dari kesilapan menjalani perkahwinan dalam keadaan tidak patuh kepada ajaran syariat, juga kesan buruk dari pernikahan yang tidak di redhai oleh Allah dan RasulNya saw.

Sekian.

Penterjemah: Al Faqeer Cik Wan Hilmy Wan Mohamed

21/04/2020 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Tidak mengapa Nikah dulu lewatkan majlis walimah …

Nikah tapi lewatkan majlis kenduri kahwin tiada menjadi masalah.

Yang merunsingkan dan menjadi aib,belum kahwin tapi dipunggah ke hulu dan ke hilir itulah yang sepatutnya menjadi malu besar pada keluarga.

Walaupun sudah kahwin lepas lima tahun baru nak buat majlis kenduri kahwin tidak menjadi masalah.kerana majlis itu sunat sahaja.

Cuma yang terbaik berilah makan kepada orang sebagai tanda bersyukur kerana diberi Allah jodoh tersebut..kerana nabi bersabda dalam mafhumnya: lakukanlah majlis walimah walaupon dengan seekor kambing..tidak semestinya kena ada sepuluh ribu baru dapat buat majlis kenduri makan kahwin. Ada sikit-sikit pun dah boleh..

Wallahualam

Dari FB Ridat Hijau

26/09/2019 Posted by | Tazkirah, Uncategorized | | Leave a comment

Pasangan suami isteri yang dianggap berzina

 

Mari kita perhatikan apakah yang menyebabkan pasangan suami isteri dianggap berzina sekiranya berlaku perkara berikut :

Sesungguhnya, permasalahan ini berat.

Perhatikan soalan 1 – 9.

Perkahwinan seumpama ini, Hari ini memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak “pregnant luar nikah”, cepat cepat dikahwinkan.

Berdasarkan kenyataan tersebut, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila… Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama anda di sini kerana ianya amat penting:

pasangan akan dianggap berzina sekiranya

Soalan 1: Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?

Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.

Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?

Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.

Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkawin? Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakan ayah kepada bayi yang dikandung itu.

Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?

Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi,secara sah.

Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?

Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah.

Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?

Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.

Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?

Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.

Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim Dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?

Mereka mesti tinggal berasingan segera Dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.

Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?

Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.

Kesimpulannya: Ibu bapa, saudaramara, org2 kampung, tok2 imam, tok2 kadi Dan saksi-saksi yang tahu akan keadaan tersebut tetapi mendiamkan, membiarkan atau membenarkan pernikahan tersebut diteruskan maka mereka juga tidak terlepas daripada menanggung azab dan seksaan samada didunia atau pun diakhirat…

Tolong jangan abaikan text ini. Ini merupakan satu perkara yang serius. Jadi, fahami dan dalami betul-betul dan bincanglah dengan Imam/ustaz sekiranya perlu.

Mafhumnya: Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku Dan ibadatku, hidupku Dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara Dan mentadbirkan sekalian alam…

Sumber adalah dari USTAZ ROSLI AL HAFIZ via SembangKencang

26/07/2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Larangan hidup membujang

Membujang

 

Erti tabattul (membujang), Imam an-Nawawi rahimahullah berkata: "Tabattul di sini ialah menjauhkan diri dari wanita dan tidak menikah kerana ingin terus beribadah kepada Allah."[1]

Hadis-hadis yang melarang hidup membujang cukup banyak, diantaranya :

1. Hadis yang diriwayatkan al-Bukhari dari Sa’ad bin Abi Waqqash Radhiallahu anhu, dia mengatakan: "Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menolak hal itu pada ‘Utsman bin Mazh’un. Seandainya baginda membolehkan kepadanya untuk hidup membujang, nescaya kami membujang."[2]

2. Al-Bukhari meriwayatkan dari Abu Hurairah Radhiallahu anhu, dia mengatakan: "Aku mengatakan: ‘Wahai Rasulullah, aku adalah seorang pemuda dan aku takut memberatkan diriku, sedangkan aku tidak mempunyai sesuatu untuk menikahi wanita.’ Tetapi baginda mendiamkanku. Kemudian aku mengatakan seperti itu lagi kepada baginda, tapi baginda mendiamkanku. Kemudian aku mengatakan seperti itu lagi, maka Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: ‘Wahai Abu Hurairah, pena telah kering dengan apa yang engkau temui (alami); mengebirilah atau tinggal-kan.’"[3]

Syeikh Mushthafa al-‘Adawi berkata -memberi komentar diatas sabda Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam:

"Mengebirilah atau tinggalkan"-: "Ini seperti firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

فَمَنْ شَاءَ فَلْيُؤْمِنْ وَمَنْ شَاءَ فَلْيَكْفُرْ

‘Maka barangsiapa yang (ingin) beriman hendaklah dia beriman, dan barangsiapa yang (ingin) kafir biarlah dia kafir.’ [Al-Kahfi/18: 29]

Dan ayat ini bukannya membolehkan kekafiran."[4]

Ummul Mukminin ‘Aisyah Radhiallahu anhuma, ditemui oleh Sa’id bin Hisyam seraya bertanya kepadanya:

"Aku ingin bertanya kepadamu tentang hidup membujang; bagaimana menurutmu?" Dia Aisyah Radhiallahu anhuma menjawab: "Jangan lakukan! Bukankah engkau mendengar Allah Azza wa Jalla berfirman :

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِنْ قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً

‘Dan sesungguhnya Kami telah mengutus beberapa Rasul sebelum-mu dan Kami memberikan kepada mereka isteri-isteri dan keturunan…’ [Ar-Ra’d/13: 38]

Oleh kerana itu, janganlah engkau hidup membujang."[5]

Tidak Ada istilah Rahib Dalam Islam.

‘Aisyah Radhiallahu anhuma mengatakan “Aku menjenguk Khuwailah binti Hakim bin Umayyah bin Haritsah bin al-Auqash as-Salamiyyah, dan dia adalah isteri ‘Utsman bin Mazh’un.” Ia melanjutkan: “Ketika Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam melihat keadaan tubuhnya yang buruk, baginda bertanya kepadaku: ‘Wahai ‘Aisyah, apa yang memperburuk keadaan Khuwailah?’ Aku menjawab: ‘Wahai Rasulullah, dia seorang wanita yang mempunyai suami yang selalu berpuasa di siang hari dan bangun malam (untuk solat). Ia seperti orang yang tidak mempunyai suami. Oleh kerananya, dia membiarkan dirinya dan mensia-siakannya.’

Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam mengirim utusan kepada ‘Utsman bin Mazh’un (agar dia datang menghadap). Ketika dia datang kepada baginda, maka baginda bertanya: ‘Wahai ‘Utsman, apakah engkau membenci Sunnahku?’ Ia menjawab: ‘Tidak, demi Allah wahai Rasulullah, bahkan Sunnahmu yang aku cari.’ Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya aku tidur, solat, puasa, berbuka, dan menikahi beberapa orang wanita; maka bertakwalah kepada Allah wahai ‘Utsman, kerana isterimu mempunyai hak atasmu, tamumu mempunyai hak atasmu, dan dirimu mempunyai hak atasmu. Oleh kerananya, berpuasalah dan berbukalah, solatlah dan tidurlah.’"[6]

Asy-Sya’bi meriwayatkan: Ka’ab bin Sur pernah duduk di sisi ‘Umar bin al-Khaththab Radhiallahu anhu, lalu seorang wanita datang seraya berkata: "Wahai Amirul Mukminin, aku tidak melihat seorang pun yang lebih baik daripada suamiku. Demi Allah, dia senantiasa beribadah pada malam harinya dan senantiasa berpuasa pada siang harinya." Mendengar hal itu ‘Umar memohonkan ampunan untuknya dan memujinya, tetapi wanita ini merasa malu dan beranjak pulang. Ka’ab berkata: "Wahai Amirul Mukminin, tidakkah engkau membantu wanita ini (mendapatkan hak) atas suaminya. Sebab, dia telah menyampaikan keluhannya kepadamu." ‘Umar berkata kepada Ka’ab: "Putuskanlah perkara di antara keduanya, kerana engkau memahami urusan apa yang tidak aku fahami." Ia mengatakan: "Aku melihat sepertinya dia seorang wanita bersama tiga isteri lainnya, dan dia keempatnya. Oleh kerananya, aku memutuskan tiga hari tiga malam di mana dia (lelaki ini) beribadah di dalamnya, dan untuknya (wanita ini) sehari semalam." ‘Umar berkata: "Demi Allah, pendapatmu yang pertama tidak lebih mengagumkan dari-pada yang terakhir. Pergilah! Engkau menjadi qadhi (hakim) atas Bashrah. Sebaik-baik qadhi adalah dirimu."[7]

Dari ‘Abdullah bin ‘Amr bin al-‘Ash Radhiyallahu anhu, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

"Wahai ‘Abdullah, benarkah apa yang aku dengar bahawa engkau selalu berpuasa di siang hari dan mengerjakan solat malam?" Aku menjawab: "Benar, wahai Rasulullah." Baginda bersabda: "Jangan engkau lakukan! Berpuasa dan berbukalah, bangun dan tidurlah, kerana tubuh mempunyai hak atasmu, kedua matamu mempunyai hak atasmu, isterimu mempunyai hak atasmu, dan tamumu mempunyai hak atasmu. Cukuplah engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan, kerana engkau akan mendapatkan pada setiap kebajikan sepuluh kali lipat gandanya. Jadi, itu seperti puasa sepanjang masa." Ketika aku berkeras, maka aku sendiri yang akhirnya kesulitan. Aku mengatakan: "Wahai Rasulullah, aku masih memiliki kesanggupan." Baginda bersabda: "Kalau begitu berpuasalah dengan puasa Daud Alaihissallam dan jangan menambahnya." Aku bertanya: "Bagaimana puasa Nabi Allah Daud Alaihissallam?" Baginda menjawab: "Separuh masa." ‘Abdullah berkata setelah tua: "Duhai sekiranya aku menerima keringanan dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam."[8]

Al-Marwazi mengatakan: Abu ‘Abdillah -yakni Ahmad bin Hanbal- berkata: "Hidup membujang sama sekali bukan dari ajaran Islam. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menikahi 14 isteri, dan baginda wafat meninggalkan sembilan isteri. Seandainya Basyar bin al-Harits menikah, niscaya urusannya menjadi sempurna. Seandainya manusia tidak menikah, niscaya tidak ada peperangan, tidak ada haji, dan tidak ada begini dan begitu. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menikah, sedangkan mereka tidak memiliki apa-apa, dan baginda wafat meninggalkan 9 isteri serta memilih menikah dan menganjurkan akan hal itu. Baginda melarang hidup membujang. Barangsiapa yang membenci Sunnah Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka dia berada di atas selain kebenaran. Ya’qub, dalam kesedihannya, masih menikah dan mendapatkan anak. Dan Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: "Dimasukkan ke dalam hatiku kecintaan kepada para wanita."[9]

Aku mengatakan kepadanya, diceritakan dari Ibrahim bin Ad-ham bahawa dia mengatakan: "Sungguh, rasa takut seorang lelaki yang menanggung beban keluarga yang berat…" Belum sempat aku menyelesaikan ucapanku, tiba-tiba dia (memotongnya serta) berteriak kepadaku dan mengatakan: ‘Kita terperangkap di jalan-jalan yang sempit.’ Lihatlah -semoga Allah menyelamatkanmu- apa yang dilakukan oleh Nabi-Nya, Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para Sahabatnya." Kemudian dia mengatakan: "Sungguh tangisan anak di hadapan ayahnya kerana meminta roti kepadanya, itu lebih baik daripada demikian dan demikian. Bagaimana mungkin ahli ibadah yang membujang bisa menyamai orang yang menikah?"[10]

Syubhat:

Makna Tabattul Dalam Al-Qur-an.

Syeikh Muhammad bin Isma’il berkata: Di antara hal yang patut untuk disebutkan bahawa al-Qur-an memerintahkan tabattul dalam firman-Nya :

وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا

“Sebutlah Nama Rabb-mu, dan bertabattullah (beribadahlah) kepada-Nya dengan penuh ketekunan.” [Al-Muzzammil/73: 8].

Makna ayat ini adalah perintah agar menggunakan seluruh waktunya untuk Allah dengan ibadah yang ikhlas. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ

“Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya beribadah kepada Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (men-jalankan) agama yang lurus…” [Al-Bayyinah/98: 5].

Sementara ada larangan tabattul dalam Sunnah. Dan yang dimaksud dengannya ialah memutuskan hubungan dari manusia dan komuniti, menempuh jalan kependetaan untuk meninggalkan pernikahan, dan menjadi pendeta di tempat-tempat sembahyang. Jadi, tabattul seperti ini tidak diperintahkan dalam al-Qur-an dan dilarang dalam Sunnah. Kaitan perintah berbeza dengan kaitan larangan; maka keduanya tidak kontradiktif. Dan Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam hanyalah diutus untuk menjelaskan kepada manusia tentang apa yang diturunkan kepada mereka

.

[Disalin dari kitab Isyratun Nisaa Minal Alif Ilal Yaa, Penulis Abu Hafsh Usamah bin Kamal bin Abdir Razzaq. Edisi Indonesia Panduan Lengkap Nikah Dari A Sampai Z, Penterjemah Ahmad Saikhu, Penerbit Pustaka Ibnu Katsir – Bogor]

_______

Nota kaki :

[1]. HR. Muslim, Syarh an-Nawawi (III/549).

[2]. HR. Al-Bukhari (no. 5074) kitab an-Nikah, Muslim (no. 1402) kitab an-Nikah, at-Tirmidzi (no. 1086) kitab an-Nikah, an-Nasa-i (no. 3212) kitab an-Nikah, Ibnu Majah (no. 1848) kitab an-Nikah, Ahmad (no. 1517).

Faedah: Apakah boleh mengebiri binatang? Kalangan yang membolehkan mengebiri binatang berargumentasi dengan hadis dari Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bahawa baginda menyembelih dua kibas yang dikebiri. Mereka berkata: “Seandainya mengembiri haiwan yang dapat dimakan itu diharamkan, niscaya baginda tidak menyembelih kibas yang dikebiri sama sekali.” Ibnu Qudamah berkata dalam al-Mughni (VIII/ 625): “Mengembiri haiwan diperbolehkan kerana Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam menyembelih dua ekor kibas yang dikebiri.” Al-waj’ ialah menghancurkan kedua buah zakar, dan apa yang dipotong kedua zakarnya, atau dicabut, maka dia seperti dikekang, kerana semakna. Kerana mengembiri adalah menghilangkan bahagian yang tidak sedap sehingga membuat dagingnya sedap dengan hilangnya bahagian itu dapat memperbanyak dan menggemukkan. Asy-Sya’bi berkata: "Apa yang bertambah pada daging dan lemaknya lebih banyak daripada yang hilang darinya. Demikianlah pendapat al-Hasan, ‘Atha’, asy-Sya’bi, an-Nakha’i, Malik dan asy-Syafi’i, dan saya tidak melihat perselisiahan di dalamnya.

[3]. HR. Al-Bukhari (no. 5076) kitab an-Nikaah, Muslim (no. 1404) kitab an-Nikaah, Ahmad (no. 3642) lihat Shahiih al-Jaami’ish Shaghiir (no. 7832).

[4]. Jaami’ Ahkaamin an-Nisaa’, al-‘Adawi (III/20).

[5]. HR. At-Tirmidzi (no. 1982) kitab an-Nikaah, Ibnu Majah (no. 1849) kitab an-Nikaah, dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam Sahih Ibni Majah (no. 1499).

[6]. HR. Ahmad (no. 25776), yang di dalamnya terdapat ‘Abdullah bin Sa’id, ia adalah shaduq, dan para perawi lainnya adalah tsiqah, Abu Daud (no. 1369) kitab ash-Shalaah.

[7]. Majmuu’ al-Fataawaa Ibni Taimiyyah (XXXIV/85), al-Mughni (VII/30), dan disahihkan oleh Syaikh al-Albani dalam al-Irwaa’ (VII/80).

[8]. HR. Al-Bukhari (no. 1975) kitab ash-Shaum, Muslim (no. 1159) kitab ash-Shaum, at-Tirmidzi (no. 770) kitab ash-Shaum, an-Nasa-i (no. 1630) kitab ash-Shaum, Ibnu Majah (no. 1712) kitab ash-Shaum, Ahmad (no. 6441), ad-Darimi (no. 1752).

[9]. HR. An-Nasa-i (VII/61) dalam ‘Isyratun Nisaa’, bab Hubbun Nisaa’, Ahmad (III/128), al-Hakim (II/160) dan ia menilainya sebagai hadits shahih sesuai syarat Muslim, dan disetujui oleh adz-Zahabi. Al-Hafiz al-‘Iraqi menilai sanadnya baik, dan Ibnu Hajar menilainya sebagai hadis hasan.

[10]. Raudhatul Muhibbiin (hal. 214).

 

Oleh : Abu Hafsh Usamah bin Kamal bin Abdir Razzaq

31/07/2014 Posted by | Ibadah, Tazkirah | , | Leave a comment

Jangan kamu berkahwin dengan perempuan yang bersifat dengan 6 sifat ini.

Imam Al-Ghazali di dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin (kitab Tassawuf yang terkenal) ada mengatakan ungkapan arab yang bermaksud: "Janganlah kamu menikahi 6 jenis perempuan iaitu:

1. Al-Annanah (suka mengeluh) ialah : perempuan yang banyak mengeluh dan mengadu, selalu membalut kepalanya sebagai tanda sakit. (menandakan dia rasa terbeban dengan tugasan hariannya, kerana malas atau memang sifat semulajadinya suka mengeluh walaupun disebabkan perkara kecil. Perempuan tersebut berpura-pura sakit supaya suaminya tidak membebaninya dengan tugasan harian). Menikahi perempuan yang sengaja buat-buat sakit tidak ada faedah padanya.

2. Al-Mananah: perempuan yang memberikan sesuatu kepada suaminya (suka mengungkit-ngungkit). Sampai satu masa dia akan mengatakan : saya telah melakukan untuk kamu itu ini.

3. Al-Hananah : perempuan yang suka merindui dan mengingati bekas suami atau anak daripada bekas suami. (Perempuan seperti ini tidak akan menghargai suaminya walaupun suaminya berusaha memuaskan segala kemahuannya)

4. Al-Haddaqah : menginginkan setiap perkara dalam perbelanjaannya (boros) dan suka membeli belah sehingga membebankan suaminya untuk membayar pembeliaannya.

5. Al-Barraqah : terdapat dua makna yang pertama, suka berhias sepanjang masa (melampau dalam berhias) supaya wajahnya nampak lebih anggun dan mempersona, kat suami xbuat pun! Makna kedua ialah : perempuan yang tidak mahu makan, maka dia tidak akan makan kecuali bila bersendirian dan dia akan menyimpan bahagian tertentu untuk dirinya sendiri.

6. Al-Syaddaqah : perempuan yang banyak cakap

Sumber: PONDOK HABIB

04/06/2014 Posted by | Tasauf, Tazkirah | , , | Leave a comment

Waktu waktu yang di anjurkan suami isteri bersenggama

Hari -hari yang tidak dianjurkan untuk bersetubuh:

1.Hari Rabu yang jatuh pada minggu terakhir tiap bulan

2.Hari ketiga awal tiap bulan Ramadan

3.Hari kelima awal tiap bulan Ramadhan

4.Hari ketigabelas pada setiap bulan.

5.Hari keenam belas pada setiap bulan

6.Hari keduapuluh satu pada setiap bulan 

7.Hari kedua puluh empat pada setiap bulan

8.Hari kedua puluh lima pada setiap bulan

Di samping hari tersebut hindarilah dari melakukan kerja kerja penting pada hari Sabtu dan hari Selasa.

Tentang hari Sabtu itu Nabi pernah di tanya oleh salah satu sahabat maka Nabi bersabda:

“Hari sabtu itu adalah hari di mana terjadi penipuan “

Mengapa hari tersebut di katakan penipuan sebab pada hari itu orang-orang berkumpul di gedung “al-nadwah” untuk  memghalang dakwah Nabi SAW .Wallahu`alam

Adapun tentang hari Selasa Nabi SAW.bersabda:

“Hari Selasa itu adalah hari di mana darah pernah mengalir.Pada hari itu Siti Hawa pernah haid, putera Nabi Adam as pernah membunuh saudara kandungnya sendiri,terbunuhnya Jirjis,Zakaria dan Yas.kekalahan tukang sihir Fir’aun.di jatuh hukuman Asiyah binti Muzaim permaisuri Fir’aun.dan terbunuhnya lembu Bani Israel”

Adapun Imam Malik berpendapat “Janganlah anda menjauhi sebagian hari-hari di dunia ini ,tatkala anda hendak melakukan sebagian tugas pekerjaanmu.kerjakanlah tugas-tugas itu pada hari sesukamu.Sebab sebenarnya hari-hari itu semua adalah milik ALLAH.Tidak akan menimbulkan malapetaka dan tidak pula boleh membawa manfaat apa-apa”

Waktu yang tepat untuk bersetubuh

Bahawa melakukan hubungan intim pada awal bulan itu lebih afdhal dari pada akhir bulan.Sebab Allah akan kurniakan anak yang cerdas.

Bagi pengantin baik berkahwin pada bulan Syawal kerana sunnah hukumnya bersetubuh dengan istrinya pada bulan Syawal.Dan di anjurkan mengadakan persetubuhan pada hari Jumaat dan Ahad.Rasulullah SAW bersabda:

“Hari Ahad itu adalah hari yang tepat untuk menanam,dah hari untuk memulai membangun.Karena ALLAH memulai menciptakan dunia ini juga memulai meramaikannya jatuh paa hari Ahad””hari Jumaat itu adalah hari perkawinan dan juga hari peminangan di hari Jumaat itu Nabi Adam as menikah d Hengan Siti Hawa,Nabi Yusuf as menikah Siti Zulaika.Nabi Musa as menikah dengan puteri Nabi Syuib as,Nabi Sulaiman menikah Ratu Balqis”

Tersebut di dalam hadits sahih bahwa Nabi SAW. menikahi Sayyidah Khadijah dan Sayyhidah Aisyah pada hari Jumaat.

Hari-hari yang harus di hindari untuk bersetubuh:

Tersebutlah dalam Riwayat Alqamah bin Shafwan,dari Ahmad bin Yahya sebuah hadist marfu’ sebagai berikut;

“Waspadalah kamu sekalian akan kejadian duabelas hari setahun,karena sesungguhnya ia boleh melenyapkan harta benda dan mendedahkan keaiban”. Para sahabat kemudian bertanya “ya Rasulullah apakah 12 hari itu? Rasulullah bersabda :

“Yaitu tanggal 12 Muharram,10 Safar dan 4 Rabi’ul awal(mulud) 18 Rabu’utsni(bakda mulud) 18 Jamadil Awal,18 Jamadil Akhir.12 Rejab ,26 Syaaban(ruwah),24 Ramadhan,2 Syawal,28 Zulkaedah dan 8 Zulhijah”

Wallahu’alam.


(Sumber : Kitab Qurratul Uyun,Syarah Nazham Ibnu Yamun)

17/02/2012 Posted by | Ibadah, Informasi | , , , , | 6 Comments