Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

SAF SOLAT: TIDAK WAJIB TUMIT BERTEMU TUMIT DALAM SOLAT JEMAAH

Foto Hiasan

Akibat tak mahu ikut ulama dan kaji hadis dan keluarkan hukum sendiri – UAI.

SOALAN :

Ada pendapat mengatakan diwajibkan dalam solat berjemaah para makmum merapatkan tumit dan buku lalinya dengan orang disebelah kiri dan kanannya.

Dan ada pula pendapat yang mengatakan tidak disuruh rapatkan tumit dan buku lali dengan orang disebelah tetapi hendaklah disamakan saf dan tidak jauh antara dua bahu.

Mana satukah yang betul ustaz?

JAWAPAN :

Yang benar adalah merapatkan saf dengan tidak jauh antara dua bahu dan betulkan saf yaitu tumit seorang dengan tumit orang disebelah kiri dan kanannya sejajar tidak bengkang bengkok.

Pendapat yang mengatakan wajib rapat tumit dan buku lali dengan orang di sebelah kiri dan kanan itu tidak betul kerana tersalah memahami hadith.

Hadith yang berkenaan ialah hadith Anas bin Malik r.a. katanya :

وَكَانَ أَحَدُنَا يُلْزِقُ مَنْكِبَهُ بِمَنْكِبِ صَاحِبِهِ وَقَدَمَهُ بِقَدَمِهِ

Artinya : “Dan adalah salah seorang dari kami merapatkan dua bahunya dengan bahu temannya dan dua tumitnya dengan tumit temannya.” (Hadith Bukhari)

Dan juga hadith Nu’man bin Basyir r.a. katanya :

رَأَيْتُ الرَّجُلَ مِنَّا يُلْزِقُ كَعْبَهُ بِكَعْبِ صَاحِبِهِ

Artinya : “Aku melihat seorang lelaki dari kalangan kami merapatkan buku lalinya dengan buku lali temannya.” (Hadith Bukhari)

Jika mengikut hadith ini jadilah masing-masing terkangkang kerana membuka dua kakinya supaya bersentuh dengan kaki orang disebelah kiri dan kanannya padahal bukanlah begitu. Yang betulnya direnggangkan antara dua tapak kaki seorang itu sekadar sejengkal maka apabila semua orang menjarakkan dua kakinya sekadar sejengkal tidaklah akan rapat sama sekali tumit kaki seorang dengan seorang yang disebelahnya.

Dan menyuruh rapatkan buku lali dan tumit dengan orang di sebelah kiri dan kanan itu adalah memberatkan dan menyusahkan.

FATWA IMAM MASJID NABAWI

Berkata Imam Masjid Nabawi Syeikh Abu Zaid :

وإِلزاق الكتف بالكتف في كل قيام, تكلف ظاهر وإِلزاق الركبة بالركبة مستحيل وإِلزاق الكعب بالكعب فيه من التعذروالتكلف والمعاناة والتحفز والاشتغال به في كل ركعة ما هو بيِّن ظاهر. فهذا فَهْم الصحابي – رضي الله عنه – في التسوية: الاستقامة, وسد الخلل لا الإِلزاق وإِلصاق المناكب والكعاب. فظهر أَن المراد: الحث على سد الخلل واستقامة الصف وتعديله لا حقيقة الإِلزاق والإِلصاق

Artinya : “Merapatkan bahu dengan bahu pada setiap kali qiam adalah memberatkan yang nyata dan merapatkan lutut dengan lutut adalah mustahil dan merapatkan buku lali dengan buku lali padanya adalah hal yang susah dilakukan. Bermula maknanya yang betul ialah menggalakkan menyamakan dan memberi perhatian kepadanya pada setiap rakaat yang ialah yang jelas dan zahir.
Maka inilah faham para sahabat r.a. pada menyamakan saf yaitu membetulkan dan menutup ruang kosong bukannya merapatkan dan menyentuhkan tumit dengan tumit. Maka yang zahir yang dikehendaki ialah menggalakkan menutup kekosongan dan membetulkan saf dan menyamakannya bukan sebenar sampai bergesel dan bersentuh.” (Kitab La Jadida fi Ahkam as-Shalat)

FATWA ULAMAK TUNISIA

Berkata Syeikh Abi Abdul Rahman Qais Al-Khiari :

إلزاق الكعب بالكعب جائز إذا لم يؤذَ به الجار لكن ليس هو بمستحب في نفسه إذ ليس فيه إلا إقرار النّبيّ صلّى الله عليه وسلّم على فعله ممّن فعله دون أن يأمر به أو يكون منه ما يدلّ على استحبابه ، ولهذا لم يذكره أيّ من الفقهاء في السّنن المستحبّة بل هو على أصولهم مكروه لمن تلهّى به عن الخشوع وقد يحرم إذا كان سببا في إيذاء من بالجوار والتشويش عليه في صلاته

Artinya : “Menyentuhkan buku lali dengan buku lali harus sahaja apabila tidak menyakiti dengannya akan orang disebelahnya dan bukanlah ia perkara yang disunatkan kerana tiada padanya melainkan taqrir Nabi saw atas perbuatan seseorang yang tidaklah Nabi saw menyuruh perbuatnya dan tidak ada dalil atas disunatkannya. Kerana itulah tidak ada menyebutnya oleh seorang pun dari fuqahak pada sunat-sunat yang dianggap elok bahkan ia pada asasnya disisi mereka adalah makruh bagi orang yang lalai dengan sebabnya dari khusyuk dan terkadang haram ia apabila ia menjadi sebab bagi menyakiti orang disebelahnya dan mengganggu atasnya dalam solat.”

Dan lagi para ulamak berkata tiada hadith yang menyuruh rapatkan sampai bertemu tumit dengan tumit dan buku lali dengan buku lali.

Ada pun hadith yang disebut diatas tadi tidak boleh dijadikan dalil kerana ia bukan perbuatan Nabi saw atau perintahnya tetapi hanya dilakukan oleh seorang lelaki yang tidak dikenali.

Sekali pun lelaki itu sahabat maka perbuatannya tetap tidak boleh dijadikan dalil sandaran kerana ulamak telah menetapkan bahawa perbuatan seorang sahabat tidak boleh menjadi hujjah melainkan dikerjakan oleh semua sahabat.

Berkata Al-Amidi :

ويدل على مذهب الأكثرين أن الظاهر من الصحابي أنه إنما أورد ذلك في معرض الاحتجاج وإنما يكون ذلك حجة إن لو كان ما نقله مستندا إلى فعل الجميع لأن فعل البعض لا يكون حجة على البعض الآخر ولا على غيرهم

Artinya : “Dan menunjukkan atas mazhab kebanyakkaan ulamak bahawasanya yang zahir daripada sahabat sungguhnya yang dijadikan hujjah sandaran hanyalah jikalau apa yang dilakukan itu adalah dari perbuatan semua sahabat kerana perbuatan sebahagian sahaja tiada ada menjadi hujjah atas sebahagian yang lain dan tidak juga atas orang yang lain.” (Kitab Al-Ihkam fi Usul Al-Ahkam)

Pengertian yang sebenar dari hadith ini ialah dianjurkan sekelian yang berada dalam saf sebelum memulakan solat merapatkan saf dan membetulkan barisan saf kerana mentaati perintah Nabi saw yang telah menyuruhnya.

Siapa yang tidak merapatkan tumitnya dengan tumit kawannya dan buku lalinya dengan buku lali kawannya tidak boleh dikatakan tidak mengikut sunnah Nabi saw kerana Nabi saw tidak pernah menyuruh yang demikian itu dalam mana-mana hadith.

KESIMPULAN

Sunat merapatkan saf di dalam solat berjemaah yaitu tidak saling menjauhi antara bahu dengan bahu.

Sunat membetulkan saf yaitu sekelian tumit berkedudukan sebaris dari makmum yang kiri yang paling hujung hingga makmum yang kanan yang paling hujung .

Tidak disuruh merapatkan tumit dengan tumit dan buku lali dengan buku lali.

Pendapat yang mewajibkan rapat lutut dengan lutut dan tumit dengan tumit dan buku lali dengan buku lali orang disebelah kanan dan kiri adalah pendapat yang tidak benar dan menyusahkan dalam perlaksanaan solat.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

04/04/2022 - Posted by | Fad hail Amal, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment