Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hukum darah yang berbaki pada daging atau tulang binatang sembelihan

ISU GULAI AYAM DAN DAGING BERNAJIS?

1) Saya rasa terpanggil untuk memberi komen tentang isu ini yang tersebar di media-media sosial dn memandangkan saya ditanya oleh rakan-rakan melalui Whatsapp dan seumpamanya, terutama sekarang musim perayaan di mana orang ramai saling ziarah menziarahi. Ini kerana gulai, kari ayam dan daging tidak dapat dipisahkan pada hari raya.

2) Isu ini berkaitan dengan hukum darah yang berbaki pada daging atau tulang binatang sembelihan. Pendapat muktamad bahawa darah adalah najis samaada darah manusia mahupun binatang. Namun ulama berselisih pendapat mengenai hukum pada darah kekal berbaki pada daging dan tulang binatang sembelihan.

3) Yang muktamad dalam mazhab Syafi’ie darah yang berbaki itu adalah najis namun ia dimaafkan untuk makan kerana sukar untuk dielak. Namun terdapat pendapat yang menyatakan ia adalah suci sepertimana yang disebut oleh Imam Nawawi di dalam al-Majmu’ dan Imam Subki.

4) Walaupun darah yang berbaki pada daging pada tulang dan daging dimaafkan bila dimakan, namun jika bercampur dengan bahan yang lain maka ia menjadi najis dan tidak dimaafkan (Rujuk kitab: Nihayah al-Zein, al-‘Allamah al-Faqih Sheikh Nawawi al-Banteni), sila rujuk kenyataan di bawah:
ﻭﺃﻣﺎ اﻟﺪﻡ اﻟﺒﺎﻗﻲ ﻋﻠﻰ اﻟﻠﺤﻢ ﻭﻋﻈﺎﻣﻪ ﻭﻋﺮﻭﻗﻪ ﻣﻦ اﻟﻤﺬﻛﺎﺓ ﻓﻨﺠﺲ ﻣﻌﻔﻮ ﻋﻨﻪ ﻭﺫﻟﻚ ﺇﺫا ﻟﻢ ﻳﺨﺘﻠﻂ ﺑﺸﻲء ﻛﻤﺎ ﻟﻮ ﺫﺑﺤﺖ ﺷﺎﺓ ﻭﻗﻄﻊ ﻟﺤﻤﻬﺎ ﻓﺒﻘﻲ ﻋﻠﻴﻪ ﺃﺛﺮ ﻣﻦ اﻟﺪﻡ ﻭﺇﻥ ﺗﻠﻮﻥ اﻟﻤﺮﻕ ﺑﻠﻮﻧﻪ ﺑﺨﻼﻑ ﻣﺎ ﻟﻮ اﺧﺘﻠﻂ ﺑﻐﻴﺮﻩ ﻛﺎﻟﻤﺎء ﻛﻤﺎ ﻳﻔﻌﻞ ﻓﻲ اﻟﺒﻘﺮ اﻟﺬﻱ ﺗﺬﺑﺢ ﻓﻲ اﻟﻤﺤﻞ اﻟﻤﻌﺪ ﻟﺬﺑﺤﻬﺎ ﻣﻦ ﺻﺐ اﻟﻤﺎء ﻋﻠﻴﻬﺎ ﻹﺯاﻟﺔ اﻟﺪﻡ ﻋﻨﻬﺎ ﻓﺈﻥ اﻟﺒﺎﻗﻲ ﻣﻦ اﻟﺪﻡ ﻋﻠﻰ اﻟﻠﺤﻢ ﺑﻌﺪ ﺻﺐ اﻟﻤﺎء ﻋﻠﻴﻪ ﻻ ﻳﻌﻔﻰ ﻋﻨﻪ ﻭﺇﻥ ﻗﻞ ﻻﺧﺘﻼﻃﻪ ﺑﺄﺟﻨﺒﻲ.

5) Berdasarkan zahir fakta yang disebut dalam kitab Nihayah al-Zein, darah yang berbaki bercampur dengan kuah maka kuah itu menjadi najis dan apabila terkena pada pakaiaan maka pakaian itu menjadi najis. Walaubagaimana pun ia tetap dimaafkan untuk dimakan sepertimana yang disebut di dalam kitab “Hasyiah al-Syarqawi ‘ala Tahrir al-Lubab”:
ومنه اي دم الباقى على اللحم والعظام لكن إذا طبخ اللحم بماء وصار الماء متغير اللون بواسطة الدم الباقى عليه فإنه لا يضر
Saya dimaklumkan bahawa fakta ini(gulai daging/ayam) disebut di dalam kitab fiqh jawi klasik iaitu Sullam al-Mubtadi’, namun saya tiada kitab tersebut untuk dirujuk untuk mendapatkan kepastian.
6) Yang menjadi persoalan ramai, adakah benar mana-mana pakaian yang tertumpah gulai ayam/daging wajib dibasuh, jika tidak solat tidak sah jika bersolat dengan pakaian tersebut? Walaubagaimana pun hukum fiqh ditentukan melalui bukti yang nyata, manakala sangkaan sahaja tidak cukup untuk meletakkan hukum haram atau wajib.

7) Jika berpegang kepada kenajisan kuah gulai yang bercampur dengan darah kekal/berbaki. Namun persoalannya adakah kita pasti gulai daging dan ayam dimakan itu dimasak bersama-sama dengan darah yang masih melekat pada daging, tulang atau urat?

8) Selagimana ia tidak pasti maka ia tidak dapat dibuktikan maka hukumnya kekal suci dan tidak bernajis. Hal ini disebut oleh Sheikh Nawawi al-Banteni -rahimahullah- dalam tajuk perbahasan yang sama di dalam Nihayah al-Zein:
ﻭﻟﻮ ﺷﻚ ﻓﻲ اﻻﺧﺘﻼﻁ ﻭﻋﺪﻣﻪ ﻟﻢ ﻳﻀﺮ ﻷﻥ اﻷﺻﻞ اﻟﻄﻬﺎﺭﺓ.
Maskksudnya: “Jika seseorang syak pada percampuran(darah dengan benda lain) atau tidak, maka ia tidak memudaratkan, ini kerana hukum asalnya adalah suci”.
9) Maka jelas menurut kenyataan Sheikh Nawawi, selagi mana tiada bukti bahawa daging itu dimasak bercampur darah berbaki, selagi itu lah hukum kenajisan gulai tidak dapat dipastikan, selagimana ia tidak dapat dipastikan dan diyakini selagi itu lah tidak akan jatuh kepada hukum wajib basuh apabila terkena pada pakaian. Perkara ini selaras dengan kaedah yang berbunyi, “الأصل بقاء ما كان على ما كان”, maksudnya, “Asal sesuatu itu kekal mengikut apa yang sebelumnya atau asalnya”. Begitu juga ada satu lagi kaedah berbunyi “اليقين لا يزال بالشك”, maksudnya “Keyakinan tidak dihilangkan dengan keraguan” iaitu keraguan tidak boleh diguna pakai atau keraguan tidak boleh mengatasi keyakinan.

10) Hukum kebiasaan tidak boleh dijadikan sumber hukum. Betapa banyak di dalam kitab-kitab fiqh syafi’ie mendatangkan contoh yang membukti bahawa hukum kebiasaan tidak boleh dijadikan sandaran hukum. Oleh itu perlunya kembali pada hukum yang asal jika bertembung dengan hukum kebiasaan, asal mana tiada bukti yang kukuh bahawa ayam/daging dimasak dengan darah berbaki maka hukum gulai itu kekal suci tidak bernajis. Manakala kita pula tidak pula dituntut untuk menyoal siasat tuan rumah.

11) Jika ditanya tentang pendirian saya, hati saya lebih cenderung pada pendapat sebahagian ulama syafi’ie yang menyatakan darah yang kekal atau berbaki atau melekat tidak dikira bernajis sepertimana yang dinyatakan didalam kitab al-Majmu’ dan pilihan Imam Subki -rahimahumallah-, maka bagi saya darah yang berbaki atau kekal pada daging atau tulang itu tidak menajiskan kuah atau gulai. Pendapat pilihan saya ini pun setelah saya meneliti beberapa dalil menurut pengamatan dan kemampuan saya yang amat terhad.

Wallahu A’lam
Abu Ruqayyah Ba ‘Alawi

OlehSyed Shahridzan

Advertisements

10 July 2016 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Tips- tips Mengenali Ahli Sunnah ASLI atau PALSU

1. Jika dia cakap tentang sunnah dan suka membid’ah, mensyirik dan mengkafirkan majoriti ulamak dan umat Islam tanpa hak – ternyata dia ahli bid’ah (sebab Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dan salafussoleh tak buat begitu dan tidak mengajar begitu, serta tidak melazimkan diri mereka berbuat begitu )
2. Jika seseorang itu beri’tiqad Allah di atas langit dan kemudian melazimkan diri bertanya Allah di mana kepada orang lain ? – ternyata ia adalah ahli bid’ah (sebab jariah yang ditanya itu HAMBA PEREMPUAN WANITA – dan hadith tersebut diletakkan dalam bab solat bukan dalam bab aqidah serta hadith mutawattir memeluk Islam bukan bertanya Allah di mana tetapi dengan pengucapan kalimah syahadah) Allah menyuruh kita condong kepada ayat muhkamat seperti :
Maknanya: “Dia (Allah) tidak menyerupai sesuatupun dari makhluk-Nya (baik dari satu segi maupun semua segi, dan tidak ada sesuatupun yang menyerupai-Nya)”. (Q.S. asy-Syura: 11)
وَلَمْ يَكُنْ لَهُ كُفُوًا أَحَدٌ سورة الإخلاص :4
Maknanya: “Dia (Allah) tidak ada satupun yang serupa denganNya”. (Q.S. al Ikhlash : 4)

Dan bukan condong kepada ayat mutasyabihat.
3. Jika seseorang itu konon mengajak ikut sunnah dan menuduh pula yang tak ikut sepertinya adalah ahli bid’ah, kafir dan musyrik – cuba lihat sahsiah dan peribadinya dalam profail, dan apa yang dikongsinya. Jika profail dirinya pun tidak melambangkan dirinya mengikut Sunnah, beramal dan menghayatinya ternyata dia adalah ahli bid’ah yang menuduh orang lain ahli bid’ah sepertinya.
4. Jika seseorang itu mengajak ambil terus dari al Quran dan as Sunnah dan mempertikai keautoritian ulamak muktabar dan menjauhkan umat Islam darinya, berwaspadalah bahawa dia adalah ahli bid’ah. Kerana Allah sendiri menyuruh kita mengikut para alim ulamak (rujuk Surah an Nahl ayat 43 dan Surah al Anbiya’ ayat 7), Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengiktiraf para ulamak adalah pewaris Nabi dan turut mengingatkan kita tentang orang yang sesat dan menyesatkan mengeluarkan fatwa tanpa ada disiplin ilmu.
5. Jika seseorang itu ada PhD hadith sekalipun tetapi sombong, bongkak, suka memfitnah, menghina alim ulamak, berbohong, memandai-mandai bercakap soal tasawwuf sedangkan bukan ahli, selalu tidak amanah dalam menukil dan memahami perkataan ulamak mazhab dan kemudiannya menyebarkan kesalahannya pada orang ramai. Waspadalah, kerana individu seperti ini hanya hadith pada gelaran bukan pada lisan, perbuatan dan amalan.
6. Jika seseorang itu alim pada lidahnya, lemah lembut percakapannya tetapi mengkafir, mensyirik dan membid’ahkan amalan majoriti ulamak dan umat Islam tanpa hak, waspadalah. Sifat-sifat khawarij ada pada diri orang ini.
7. Sebab itu kita perlu tahu dan sedar, bahawa hanya sekadar bercakap sahaja, semua orang boleh lakukan. Bahkan si munafik pada zaman Rasulullah sallaLLahu ‘alaihi wasallam pun boleh bercakap namun di hati mereka berpenyakit. Di hadapan mukanya senyum, di belakang mereka menikam. Dengan sesama saudara seIslam sanggup mengkafirkan dan bermusuhan namun dengan bukan Islam, individu ini akan lebih bertoleransi dan berkasih sayang. Bila tiba masanya mereka akan bersama-sama dengan yang memusuhi Islam untuk menjatuhkan sesama Islam.

Sumber: Kami Tidak Mahu Fahaman Wahhabi Di Malaysia

3 July 2016 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

Agama rosak disebabkan orang agama sendiri. 

Agama Islam hari ini diperlekehkan oleh sebahagian masyarakat adalah disebabkan oleh orang-orang yang lincah dan petah bercakap & berpidato wal hal tidak pernah mempunyai kelayakan yang sebenar dalam hal ehwal agama. Disebabkan mereka lah, orang awam hari ini berani melawan pihak berkuasa, mula dari jabatan agama hingga kepada mufti.

Orang awam, tiadalah pandai membezakan antara seorang alim dan seorang pemidato. Kebanyakan pemidato/penceramah yang memakai gelar ustaz/ustazah pada hari ini merupakan mereka yang tidak melalui jalanan tarbiah seorang alim ulama. 

Apabila mereka dihadapkan kepada masyarakat hal keadaan masih kurang matang & tidak mendapat apa-apa keizinan dari mana-mana ulama untuk memberi pengajaran kepada awam, maka sudah pasti mereka akan memberi tunjuk ajar yang salah kepada awam.

Orang ramai pula, yang cenderung perasaan terhadap individu-individu ini, tanpa apa-apa ilmu, terus mengangkat mereka sebagai ulama. Lihat, bukan ulama yang membenarkan mereka mengajar atau mengiktiraf ilmu mereka, tetapi orang awam yang sama-sama jahil dengannya yang mengangkat mereka ke tahap ulama. Apabila mereka mengeluarkan fatwa-fatwa yang tidak mengikut garis panduan syara’ yang sebenar, sebahagian masyarakat yang lain mula marah, maka mulalah mereka mengejek batang tubuhnya sekali dengan apa yang ia promosikan, yakni agama. Akhirnya agama ditohmah oleh sebab kecuaian mereka.

Ingatlah, kepetahan bercakap bukanlah menunjukkan kepada tahap keilmuan seseorang. Jangan tertipu. Penceramah bukanlah orang yang berotoriti dalam hal-hal keagamaan. Jika ada musykilah agama, pergi kepada ahlinya. Ibn Mas’ud pernah berpesan: “Kamu sekarang berada di zaman ramainya fuqaha(ulama) & kurang sekali khutábā`(penceramah). Nanti akan tiba satu masa dimana sangat ramai khutábā tetapi sedikit fuqaha.”

Agama rosak disebabkan orang agama itu sendiri!

Sumber Ustaz Ibnu Nafis 

3 July 2016 Posted by | Uncategorized | Leave a comment

   

%d bloggers like this: