Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Terlupa bayar zakat fitrah

 

Soalan:

Dalam kegembiraan membuat persiapan hari raya, saya telah terlupa menunaikan zakat fitrah. Saya hanya teringat bahawa saya masih belum menunaikan zakat fitrah, setelah masuk waktu Maghrib pada petang hari raya pertama.

Apakah yang patut saya lakukan, kerana ada pandangan menyatakan zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum solat raya Aidilfitri didirikan. Selepas itu sudah dikira sedekah biasa? Mohon penjelasan ustaz.

Jawapan:

Zakat fitrah amat besar kesannya dalam kehidupan kita, khususnya memenuhi keperluan jiwa seseorang yang berpuasa. Ibnu Abbas menyatakan:

“Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah (dengan tujuan) untuk membersihkan orang yang berpuasa daripada ucapan yang tiada manfaatnya dan kata-kata yang kotor, serta untuk memberi makanan kepada orang miskin.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Cuba lihat, apabila kita berpuasa, maka kita diwajibkan menahan makan dan minum selama berjam-jam. Maka kita dapat merasai sendiri betapa peritnya orang-orang fakir dan miskin menahan lapar. Maka, zakat fitrah yang difardukan adalah pelengkap kepada puasa tersebut. Ini kerana, andai kita insaf betapa deritanya para fakir miskin, maka berkongsilah sedikit harta dengan mereka agar terangkat sedikit derita. Inilah roh zakat fitrah di sisi Ramadan.

Atas dasar itulah, dalam perbahasan fiqh, zakat fitrah itu boleh dilunasi lebih awal daripada waktu wajibnya. Memanglah masa wajib zakat fitrah, adalah selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan dan sebelum mendirikan solat aidilfitri, itulah waktu yang paling utama di sisi Allah; namun tidak pula menjadi kesalahan andai kita bertindak menyegerakannya.

Maka, dalam hal ini para fuqaha telah membahagikan waktu menunaikan zakat fitrah kepada empat fasa, iaitu fasa harus bermula satu Ramadan, fasa wajib bermula terbenamnya matahari sehingga terdirinya solat sunat aidilfitri, fasa makruh selepas mendirikan solat aidilfitri dan fasa haram selepas terbenamnya matahari satu Syawal, yakni masuknya dua Syawal (Rujuk buku Zakat Terapi Kekayaan, hal. 395).

Andai kata saudara sudah terlupa, dan hanya teringat selepas terbenamnya matahari satu Syawal, maka kala itu saudara sudahpun melewati waktunya dan pastilah hukumnya haram dan berdosa. Samalah orang yang melewatkan solat fardu sehingga melewati batas waktunya tanpa uzur, maka jelaslah berdosa orang berkenaan.

Namun, itu tidak bermakna saudara tidak wajib mengqadakannya. Dalam hal ini, saudara hendaklah dengan segera mengeluarkan zakat fitrah tersebut, walaupun sudah masuk waktu haram. Kala itu, zakat fitrah saudara sudah dianggap sebagai qada di sisi Allah SWT.
Agihan zakat dapat dilakukan dengan berkesan kepada asnaf jika bayaran zakat diserahkan kepada para amil yang dilantik.

Agihan zakat dapat dilakukan dengan berkesan kepada asnaf jika bayaran zakat diserahkan kepada para amil yang dilantik.

Inilah keindahan Islam, ibadat yang dianjurkan kepada kita adalah satu bentuk disiplin yang jika ditaati mampu membentuk keperibadian dan akhlak yang cantik di sisi manusia, apatah lagi di sisi Allah SWT. Ini kerana, setiap amalan ada batas waktunya yang tersendiri, sama ada solat, zakat, puasa dan haji. Kita wajib solat bila masuk waktunya, wajib zakat bila sampai tempoh haulnya, wajib puasa hanya pada Ramadan sahaja dan wajib haji hanya pada musim haji sahaja. Kita tidak boleh menukarkan waktunya, mengikut kalendar dan kehendak hati kita, dan inilah disiplin namanya.

Oleh itu, hendaklah saudara lebih berhati-hati pada hari muka. Jangan sampai terlepas lagi waktu berzakat ini. Bayangkan, andai saudara terlepas pesawat untuk terbang ke luar negara kerana kelalaian sendiri, sedangkan harga tiketnya ribuan ringgit, pasti sahaja saudara terasa betapa ruginya diri.

Demikianlah juga dalam hal ibadah, setiap kelalaian akan mengakibatkan kerugian. Lebih malang jika kita tidak sempat pula menggantikannya, kerana ia kelak akan menjadi hutang di sisi Allah SWT. Menurut fuqaha, hutang di akhirat hanya dapat dilunasi dengan pahala. Maka, banyak manakah pahala kita untuk melunasinya. Andai pahala sudah habis, maka apa lagi modalnya.
Maka, qadalah amalan yang terhutang di dunia, demi mengelakkan hutan akhirat yang melanda.

Wallahua’lam

Sumber: http://blog.zakatselangor.com.my/?p=4091

Advertisements

26 July 2015 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Di mana zakat fitrah perlu dibayar ?

Antara ulama Mazhab Syafie yang menyentuh tentang ‘di mana zakat fitrah perlu dibayar‘, ialah Imam Asy-Syirazi dan Imam Nawawi r.a. Masing-masing dalam kitab al-Muhazzab dan kitab al-Majmuk.

Dalam al-Majmuk, Imam Nawawi r.a menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر…في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.

Terjemahan : Jika seseorang itu-sewaktu zakat fitrah wajib [ke atasnya]-[berada] di [sebuah] negeri, manakala hartanya [berada] di [negeri] lain, maka [negeri] mana satukah yang diambil kira [ketika membayar zakat fitrah]?

Terdapat dua pandangan; salah satunya : [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] harta [itu berada] sama seperti zakat harta [yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada].

[Pendapat] yang paling sahih [daripada kedua-dua pandangan ini] ialah [yang diambil kira ialah] negeri [tempat di mana] empunya harta [berada].

Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang (Imam Asy-Syirazi) dalam [kitabnya] at-Tanbih, al-Jurjani dalam [kitabnya] at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi’e dan lain-lain.

Huraian:

Kenyataan Imam Nawawi di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (بلد المال), berbeza dengan tempat zakat fitrah wajib ke atasnya.

Dalam Mazhab Syafie, zakat fitrah wajib ke atas seseorang bila bermulanya malam raya. Waktu ‘wajib zakat fitrah’ ini berakhir sebelum Maghrib hari raya pertama.

Justeru-dalam erti kata lain-kenyataan Imam Nawawi r.a di atas, berkaitan dengan seseorang yang mana tempatnya bekerja (tempat di mana hartanya berada), berbeza dengan tempatnya menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

Dalam keadaan ini, yang diambil kira ketika mengeluarkan zakat fitrah-menurut pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie-ialah tempat di mana seseorang itu berada pada waktu zakat fitrah wajib ke atasnya (iaitu malam raya sehingga sebelum Maghrib Hari Raya pertama).

Justeru, seseorang yang bekerja di Kuala Lumpur, tetapi menyambut Hari Raya di Terengganu sebagai contoh, zakat fitrah hendaklah dibayar di Terengganu.

Inilah pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie, dan ditashihkan ramai ulama besar Mazhab Syafie seperti yang dinyatakan Imam Nawawi di atas.

Ittifaq ulama

Senada dengan pendapat yang paling sahih ini, ialah pendapat ulama besar Mazhab Hambali, Ibn Qudamah dalam kitabnya, al-Mughni. Beliau mencatatkan :

فأما زكاة الفطر فإنه يفرّقها في البلد الذي وجبتْ عليه فيه سواء كان ماله فيه أو لم يكن؛ لأنه سبب وجوب الزكاة ففرّقتْ في البلد

الذي سببها فيه

Terjemahan : Adapun zakat fitrah, ia diagihkan (dibayar) di negeri yang wajib ke atasnya [zakat fitrah], samada hartanya (sumber pendapatannya) [berada] di situ (di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) atau tidak. Ini kerana ia (keberadaannya di negeri di mana zakat fitrah wajib ke atasnya) adalah sebab zakat fitrah wajib [ke atasnya], maka dibayar [zakat fitrah] di negeri yang [terdapat] sebab [wajibnya zakat fitrah ke atas] nya.

Sebenarnya, ulama-ulama empat mazhab (Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali) bersepakat dalam soal ini. Iaitu, zakat fitrah dikeluarkan di tempat di mana seseorang mukallaf itu berada pada malam atau Hari Raya pertama. Bukannya ditempat di mana seseorang itu bekerja, atau mencari rezeki.

Sebab mengapa zakat fitrah dibayar di tempat di mana seseorang itu berhari raya, turut dinyatakan oleh Syaikh al-Qaradhawi. Beliau menyatakan :

فيخرج المسلم زكاة فطره في البلد الذي يدركه فيه أول ليلة من شوال (ليلة العيد) ؛ لأن هذه الزكاة ليس سببها الصيام وإنما سببها الفطر ولهذا أضيفت إليه وسميت زكاة الفطر

Terjemahan : Maka [setiap] muslim [perlu] membayar zakat fitrah di negeri yang dia menemui malam pertama [bulan] Syawal (malam raya). Ini kerana, sebab zakat [fitrah] ini [menjadi wajib], bukannya puasa. Sebab [ia menjadi wajib] ialah [munculnya Hari Raya] Aidil Fitri. Dengan sebab itu, disandarkan [zakat ini] kepadanya (Hari Raya Aidil Fitri) dan dinamakan ‘zakat al-fitr’ (zakat Hari Raya Aidil Fitri).

Keliru 2 zakat :

Adapun ‘pendapat’ yang mengatakan zakat fitrah perlu dibayar di tempat seseorang mencari rezeki (jika bekerja di Kuala Lumpur, zakat fitrah hendaklah dibayar di Kuala Lumpur walaupun Hari Raya disambut di Terengganu, sebagai contoh), ia adalah pendapat yang bercanggah dengan pendapat paling sahih dalam Mazhab Syafie. Juga bertentangan dengan kesepakatan (ittifaq) para ulama mazhab empat.

Percanggahan dan pertentangan ini berlaku disebabkan kekeliruan antara zakat harta dan zakat fitrah.

Dalam zakat harta, memang zakat perlu dibayar atau dikeluarkan ditempat harta itu dijana dan diusahakan (perniagaan, penternakan atau pertanian yang dilakukan di Terengganu sebagai contoh, mesti dikeluarkan di Terengganu). Ini adalah pendapat jumhur ulama, termasuk ulama Mazhab Syafie.

Adapun dalam bab zakat fitrah, ia dikeluarkan di tempat di mana seseorang itu menyambut Hari Raya Aidilfitri, tanpa mengira lokasi sambutan Hari Raya Aidilfitri itu adalah tempatnya bekerja (seperti di bandar), atau tidak (seperti kampung kelahiran).

Wallahu a’lam.

Sumber

 

Kemusykilan Ramadan 1

Pernyataan:

Adakah haram hukum sekiranya membayar zakat jika bekerja di Kuala Lumpur tetapi membayarnya di Ipoh?

Jawapan:
Perkara tersebut adalah khilaf dikalangan fuqaha’ syafie..afdhal zakat dibayar di بلاد اازكاة iaitu tempat kita bekerja. Jika dibayar ditempat yang bukan tempat bekerja adalah SAH pada satu qaul yang lain.

لا يجوز نقل الزكاة على الأظهر عن محل المؤدى عنه فى الفطرة وعن محل المال الذى وجبت فيه الزكاة و هو الذى كان فيه عند وجوبها مع وجود مستحق فيه الى محل آخر …
Khilaf itu timbul bagi zakat fitrah jika waktu bayar itu adalah waktu sunat. Tetapi bila dah sampai waktu wajib iaitu menjelang malam raya kita hendaklah bayar di tempat kita berada.

Ustaz Mohd Mustakim Fauzi, Pegawai Pejabat Mufti WPKL

 

4 July 2015 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Hukum Zakat Istri Kepada Suami

 

 

Ramai masyarakat yang menanyakan hukum seorang istri yang kaya memberikan zakat kepada suaminya yang miskin, apakah zakatnya sah ?  Para ulama dalam masalah ini berbeda pendapat :

Pendapat Pertama : Seorang istri dibolehkan membayar zakat kepada suaminya. Ini adalah pendapat mayoritas ulama.

Dalil-dalil mereka adalah sebagai berikut :

Dalil Pertama : Keumuman ayat-ayat dan hadist-hadist yang menjelaskan bahwa orang miskin berhak mendapatkan zakat dari orang kaya, termasuk di dalamnya suami yang miskin berhak mendapatkan zakat dari istrinya yang kaya.

Dalil Kedua :  Adalah hadist Abu Sa’id al Khudri :

جَاءَتْ زَيْنَبُ امْرَأَةُ ابْنِ مَسْعُودٍ تَسْتَأْذِنُ عَلَيْهِ فَقِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ هَذِهِ زَيْنَبُ فَقَالَ أَيُّ الزَّيَانِبِ فَقِيلَ امْرَأَةُ ابْنِ مَسْعُودٍ قَالَ نَعَمْ ائْذَنُوا لَهَا فَأُذِنَ لَهَا قَالَتْ يَا نَبِيَّ اللَّهِ إِنَّكَ أَمَرْتَ الْيَوْمَ بِالصَّدَقَةِ وَكَانَ عِنْدِي حُلِيٌّ لِي فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهِ فَزَعَمَ ابْنُ مَسْعُودٍ أَنَّهُ وَوَلَدَهُ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتُ بِهِ عَلَيْهِمْ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَدَقَ ابْنُ مَسْعُودٍ زَوْجُكِ وَوَلَدُكِ أَحَقُّ مَنْ تَصَدَّقْتِ بِهِ عَلَيْهِمْ

“ Datanglah Zainab, isteri Ibnu Mas’ud meminta izin kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, lalu dikatakan kepada Beliau; "Wahai Rasulullah, ini adalah Zainab". Beliau bertanya: "Zainab siapa?". Dikatakan: "Zainab isteri dari Ibnu Mas’ud". Beliau berkata,: "Oh ya, persilakanlah dia". Maka dia diizinkan kemudian berkata,: "Wahai Nabi Allah, sungguh anda hari ini sudah memerintahkan shadaqah (zakat) sedangkan aku memiliki emas yang aku hendak menzakatkannya namun Ibnu Mas’ud mengatakan bahwa dia dan anaknya lebih berhak terhadap apa yang akan aku sedekahkan ini dibandingkan mereka (mustahiq). Maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Ibnu Mas’ud benar, suamimu dan anak-anakmu lebih berhak kamu berikan shadaqah dari pada mereka".  ( HR Bukhari ) 

Berkata Ibnu Hajar ( Fathu al-Bari : 3/ 329 ) : “ Hadist ini menjadi dalil kebolehan seorang istri memberikan zakat kepada suaminya “

Bahkan zakat kepada suaminya lebih utama daripada diberikan kepada orang lain, sebagaimana disebutkan dalam riwayat lain bahwasanya Rasulullah bersabda :

نَعَمْ ، وَ لَهَا أَجْرَانِ ، أَجْرُ القَرَابَة وَ أَجْرُ الصَدَقَة

Iya, ia mendapatkan dua pahala, pahala kekerabatan dan pahala sedekah (zakat) “ (HR Bukhari dan Muslim)

Pendapat Kedua : Menyatakan bahwa seorang istri tidak boleh memberikan zakat kepada suaminya yang miskin. Ini adalah pendapat Abu Hanifah dan riwayat Imam Ahmad, tetapi kedua murid Abu Hanifah, yaitu Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan tidak setuju dengan pendapat gurunya dan mengikuti pendapat mayoritas ulama.

Dalil pendapat ini, bahwa sebagaimana seorang suami tidak dibolehkan memberikan zakat kepada istrinya, maka istrinyapun demikian tidak boleh memberikan zakatnya kepada suaminya, karena kedua suami istri adalah satu kesatuan. Bahkan sebagian ulama seperti Ibnu Hazm mengatakan jika suami miskin, dan istri kaya, maka istri berkewajiban memberikan nafkah kepada suaminya berdasarkan firman Allah  :

وَعَلَى الْوَارِثِ مِثْلُ ذلِكَ

“ Dan bagi ahli waris punya kewajiban serupa “ ( Qs al-Baqarah : 233 )

Selain itu dikhawatirkan uang yang diberikan kepada suaminya tersebut, akan diberikan lagi kepada istrinya sebagai nafkah suami kepada  istri. ( Utsaimin, Syarh Bulughul Maram : 2/570 )

Adapun hadist di atas tidaklah berhubungan dengan zakat, tetapi berhubungan dengan sedekah tidak wajib, karena seorang sahabat ketika mau membayar zakat tidak perlu menunggu dorongan dari Rasulullah terlebih dahulu, karena zakat adalah salah satu rukun Islam. ( Taudhih al-Ahkam : 2/ 492 )

Kesimpulan  

Pendapat yang benar dalam masalah ini adalah pendapat mayoritas ulama yang membolehkan seorang istri memberikan zakatnya kepada suaminya yang miskin.

Adapun alasan pendapat yang menyamakan antara suami istri dalam masalah pembayaran zakat tidaklah benar. Karena suami berkewajiban memberikan nafkah kepada istrinya, sehingga istri bisa tercukupi dengan nafkah tersebut dan tidak membutuhkan zakat, maka suami tidak boleh memberikan zakat kepadanya.

Berkata Ibnu Qudamah di dalam ( al-Mughni : 2/ 279 ) : “ Jika istri miskin, sedangkan suami kaya, dan selalu memberikan nafkah kepadanya, maka tidak dibolehkan baginya memberikan zakat kepada istrinya, karena istri sudah cukup dengan nafkah dari suami.  “  

Tetapi ketika suami miskin dan istri kaya, maka istri tidak ada kewajiban memberikan nafkah kepada suaminya, karena hartanya untuk dirinya sendiri. Oleh karenanya, dibolehkan baginya memberikan zakat kepada suaminya. Wallahu A’lam

Oleh: Dr. Ahmad Zain An Najah, MA

17 December 2014 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Potongan zakat bulanan bercanggah sunnah?

Zakat

 

Soalan: Saya mendengar ada ustaz berceramah, adalah salah tindakan pihak pusat zakat memotong gaji para pekerja setiap bulan sebagai zakat, kerana ia bercanggah dengan sunnah. Bolehkah ustaz perjelaskan isuini? Terima kasih.

Jawapan: Terima kasih atas persoalan yang dikemukakan, semoga Allah SWT memberkati dan merahmati kita semua, amin.

Memang tidak dinafikan, ada pihak tertentu yang beranggapan bahawa kaedah pembayaranzakat pendapatan menerusi potongan gaji bulanan adalah salah. Pihak berkenaan mendakwa, ada tiga sebab mengapa ia tidak boleh dilaksanakan, iaitu:

1. Potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis yang mensyaratkan wajib mencapai haul ke atas harta zakat,

2. Potongan zakat (diambil secara bulanan) tiada dalam amalan sunnah nabi mahu pun para sahabat terdahulu, dan

3. Potongan zakat ini telah menzalimi mereka yang dipaksakan potongan ke atasnya, kerana pihak pusat zakat tidak mengambil kira pun aspek perbelanjaan sebenar orang berkenaan.

Sebelum menjelaskan lebih lanjut, suka dimakluman bahawa di dalam perlaksanaan zakat pendapatan ini ia memang terbuka kepada kepelbagaian pandangan ulama. Malah, ia boleh jadi berbeza dari satu ke satu masa, boleh jadi berbeza antara satu tempat dengan tempat yang lain, malah boleh jadi berbeza dari segi hukum ke atasnya di antara satu negeri dengan negeri yang lain.

Soalannya, kenapakah wujud perbezaan ke atasnya? Hal ini kerana, hukum ke atas zakat pendapatan ini sifatnya tidak ijmak (tidak ada kesepakatan atau ittifaq dalam kalangan fuqaha), sehingga dengan itu membolehkah wujudnya perbezaan pendapatan (khilaf) dalam perlaksanaannya.

Namun, dalam jawapan ini penulis tidak bermaksud memanjangkan perbahasan mengenai khilaf berkenaan. Malah di Malaysia sendiri, termasuklah di nusantara dan pelbagai belahan dunia Islam, zakat pendapatan sudah mendapat tempat yang sewajarnya. Hal ini kerana, menerima kemasukan zakat pendapatan adalah lebih utama daripada menolaknya, kerana jelas ia telah memberikan natijah yang cukup besar kepada kepentingan ummah secara umum.

Baiklah, apa kaitannya dengan perbincangan di sini, khususnya dalam bab memotong zakat secara bulanan ini? Jawapannya, ini kerana khilaf itulah yang menyebabkan lahirnya idea pemotongan zakat secara bulanan. Sesungguhnya, memang ada dalil di dalam Islam yang mengharuskan perkara tersebut untuk dilakukan. Apatah lagi, dalam perlaksanaan sesuatu ibadah, seperti zakat, maka penentuan dalil sangat penting, demi mengelakkan ibadah itu tertolak atau menyalahi hukum yang sebenar (dan menjadi bid’ah).

Pertama, dakwaan potongan bulanan itu bertentangan dengan ketetapan hadis zakat yang mensyaratkan wajib mencapai haul (genap setahun dimiliki) ke atas harta zakat. Jawapannya, dalam hal ini sebenarnya ada dalil daripada Nabi SAW sendiri yang memberikan keizinan kepada kita untuk mengeluarkan zakat tanpa perlu menunggu haul. Hal ini telah berlaku kepada Abbas bin Abdul Mutalib r.a (bapa saudara nabi) yang bertanya kepada Rasulullah SAW, tentang zakatnya yang mahu dikeluarkan sebelum sampai haulnya dan nabi mengizinkannya (hadis ini dikeluarkan oleh Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan at-Termizi, rujuk Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradhawy, hal. 814 dan Fiqh Islam Jilid 3, Dr. Wahbah az-Zuhaily, hal. 187 juga al-Amwal, Abu Ubaid, hal. 710).

Namun, ada pihak yang mempertikaikan status hadis yang diriwayatkan di atas, dan menganggap ia adalah hadis daif yang tidak boleh dijadikan hujah. Dr. Yusuf al-Qaradhawy sebaliknya menegaskan, masih ada hadis-hadis lain termasuklah hadis sahih riwayat Imam Muslim yang mendokong berkenaan isu mendahului haul zakat ini.

Di dalam sebuah hadis Muslim, ada disebutkan perihal Umar r.a telah diutuskan untuk mengambil zakat daripada Abbas r.a dan berlaku dialog panjang dengan beberapa orang sahabat yang mencegah Umar daripada mengambil zakat ke atasnya. Akhirnya Nabi SAW memberitahu Umar bahawa zakat atas pamannya itu adalah atas tanggungannya, dan (Abu Ubaid menokok) Nabi SAW kemudiannya memberikan pinjaman kepada Abbas r.a untuk zakat bagi dua tahun mendatang (didahulukan haulnya).

Hal ini bolehlah dirujuk langsung ke dalam kitab Hukum Zakat dalam bab ‘Alasan yang membolehkan (mendahului haul zakat)’ pada halaman 814-817.

Perkara kedua, adakah amalan membayar zakat tepat sewaktu ia diperoleh ini tidak ada sandaran dalil? Di sini, ada beberapa dalil atas amalan para sahabat (disebut athar sahabi ataupun hadis Mauquf) yang boleh dijadikan panduan.

Pertama, dinyatakan Abu Ubaid meriwayatkan daripada Habirah bin Yaryam bahawa dia berkata: Sesungguhnya Abdullah bin Mas’ud memberi gaji kepada kami di dalam bekas kecil, kemudian beliau mengambil zakat daripadanya. (rujuk Kitab al-Amwal oleh Abu Ubaid, hal. 504)

Abu Ubaid juga menyatakan di dalam kitabnya: bahawa Umar bin Abdul Aziz apabila memberikan kepada seseorang upahnya ia akan mengambil zakat daripada upah tersebut. Dan apabila ia mengembalikan harta yang dirampas, ia akan mengambil daripadanya zakat. Dan ia juga mengambil zakat daripada gaji yan diberikan kepada pemiliknya. (ibid, hal. 432)

Kenapakah mereka melaksanakan hal tersebut? Hal ini kerana, mereka beranggapan bahawa status haul ke atas zakat pendapatan adalah tidak sama seperti mana harta-harta yang lain. Zakat ke atas harta pendapatan hendaklah dikeluarkan pada saat ia diperoleh, sama seperti memperoleh harta pertanian. Pandangan ini dikongsikan oleh sebahagian fuqaha muktabar, misalnya Ibnu Mas’ud, Muawiyah, Umar bin Abdul Aziz, Hassan dan az-Zuhri (Hukum Zakat, Dr. Yusuf al-Qaradawy, hal. 469)

Di samping itu, jika mahu kita boleh merujuk kepada kitab yang sama mengenai perbahasan status haul ke atas zakat, di mana Dr. Yusuf al-Qaradawy telah membahaskan perihal status hadis yang mensyaratkan haul adalah tidak mencapai darjat sahih (ibid, hal. 463-467).

Ketiga, benarkah potongan ini juga telah menzalimi mereka yang berkenaan? Jawapannya, bertitik tolak daripada perbincangan di atas, maka kita dapat merumuskan bahawa menunaikan zakat lebih awal dan tanpa perlu menunggu haul, adalah satu keharusan yang diberikan dalam hukum Islam. Ia bukanlah wajib, tetapi harus sahaja. Maka, membuat potongan bulanan tidak wajib, tetapi digalakkan dan tidak patutlah timbul ia satu kezaliman.

Hal ini kerana, semasa proses pemotongan dilakukan, pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) misalnya telah mengambil kira jumlah pendapatan kasar yang bakal diperoleh dalam setahun (didarab 12 bulan) dan ditolak keperluan diri, isteri dan anak-anak (sebagaimana yang ditetapkan dalam kaedah Had al-Kifayah pembayar zakat).

Sekiranya taksiran yang dilakukan oleh pihak LZS itu dirasakan tidak tepat, maka pihak yang berkenaan boleh menaksir sendiri zakat mereka dan mengemukakan amaun zakat bulanan yang baharu kepada LZS untuk dijadikan potongan bulanan. Maknanya, ia bukanlah satu amaun yang sudah ‘mutlak dan putus’ dipatuhi, tetapi masih boleh dikira kembali. Sekiranya pihak muzakki sudah mempunyai amaun yang dikenal pasti, mereka hendaklah menghantarkan maklum balas kepada LZS (dalam tempoh 30 hari) untuk tindakan lanjut (rujuk Keputusan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMK) Ke 27/ 2003, 10 Disember 2003).

Kesimpulannya, potongan zakat pendapatan menerusi gaji bulanan ini sebenarnya hanyalah satu inovasi yang bertitik tolak daripada apa yang pernah dilakukan oleh para sahabat silam, dalam bentuk yang lebih kemas dan teratur. Banyak kelebihan yang boleh diperoleh oleh pembayar, termasuklah melaraskan jumlah potongan zakat bulanan dengan Potongan Cukai Berjadual, dan ia juga boleh meringankan beban kewangan mereka (kerana jika tidak, lebihan cukai hanya boleh dituntut pada tahun hadapan). – (SUMBER: HARAKAHDAILY 20/11/2014)

 

(Oleh  USTAZ HAMIZUL ABDUL HAMID)

6 December 2014 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Jawapan kepada artikel Dr Zaharuddin "semasa bayar zakat tidak ikut mazhab syafie, kenapa tidak marah?"

Jawapan Ustaz Uthman Daud :

Jawapan kepada artikel Dr Zaharuddin "semasa bayar zakat tidak ikut mazhab syafie, kenapa tidak marah?"

Mengeluarkan Zakat Fitrah Dengan Wang
Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003.
Kategori: Zakat

Tajuk: Penentuan Zakat Fitrah Seluruh Malaysia

Keputusan:
a) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri di Semenanjung Malaysia adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS bagi beras Super Tempatan Gred A mengikut timbangan satu gantang Bagdhdad bersamaan 2.60kg.
b) Harga zakat fitrah bagi negeri-negeri Sabah dan Sarawak adalah berdasarkan harga setempat yang ditetapkan oleh BERNAS, masing-masing bagi beras Vietnam White Rice bagi negeri Sabah dan Thai White Rice bagi negeri Sarawak mengikut timbangan satu gantang Baghdad iaitu bersamaan 2.70kg

Oleh: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57
Tarikh Keputusan: 10 Jun 2003
Tarikh Muzakarah: 10 Jun 2003 hingga 10 Jun 2003

Fatwa ini menunjukkan bahwa pihak pemerintah Malaysia yang mazhab rasminya adalah Mazhab Syafie telah menerimapakai pendapat bahwa membayar zakat fitrah dengan nilaian wang adalah dibolehkan.

Di dalam kitab Mustika Hadits, Jilid Ketiga terbitan JAKIM, dinyatakan: Tersebut di dalam kitab al-Itsaarah (الايثارة), karangan Shohibul Fadhilah Dato’ Haji Mahmud Ghazali bin ‘Abdullah, Mantan Mufti Negeri Selangor [menjadi mufti sekitar tahun 1968 – 1973, beliau kemudiannya kembali ke Perak dan menjadi Mufti Perak dari tahun 1977 – 1981], terbitan Majlis Agama Islam Selangor:

Berdasarkan hadits yang lalu, zakat fitrah WAJIB dikeluarkan dari jenis makanan utama [asasi] penduduk sesebuah negeri, dan ini menjadi pegangan dalam mazhab Syafie (kecuali adanya dharurat, atau diperintahkan oleh pihak yang berkuasa, maka diHARUSkan membayarnya dengan wang sebagai ganti makanan – beras), seperti yang sedang di’amalkan oleh jabatan-jabatan agama Islam di Malaysia, kerana memudahkan urusan pemungutan zakat fitrah dan pembahagiannya [pengagihannya]. Masalah ini dihuraikan di dalam kitab al-Itsaarah [Al-Ithaarah Pada Huraian Hukum-hukum Zakat dan Fitrah] seperti berikut:

Berfitrah dengan wang:
(a) Membayar fitrah dengan wang adalah TIDAK SAH mengikut MAZHAB SYAFIE jika diniatkan wang menjadi zakat fitrah seperti diniatkan “Wang ini fitrah yang wajib atasku, bagi diriku dan orang-orang tanggunganku”. Tetapi HARUS digantikan makanan dengan wang dan hendaklah diniatkan seperti berikut: “Wang ini ialah ganti beras fitrah yang wajib atasku, bagiku dan (orang-orang) tanggunganku – pada tahun ini".

(b) Berfitrah dengan wang sebagai ganti beras (makanan) adalah HARUS dalam mazhab Syafie tetapi LEBIH AFDHAL dengan makanan. Di dalam mazhab Hanafi pula lebih afdhal dengan harga daripada makanan.

Didalam mazhab kita Syafie yang mengharuskan ialah;

KERANA DHARURAT
Kerana diperintahkan oleh raja (pemerintah) [menurut kitab al-Itharah, bahwa keterangan mazhab Syafie tersebut ada dinyatakan dalam kitab Majmu’ Syarah al-Muhazzab 5/431 dan keterangan mengenai mazhab Hanafi yang mengatakan: Tiap-tiap benda yang harus disedekahkan maka haruslah dikeluarkan menjadi bayaran ganti zakat – ada disebutkan dalam kitab al-Majmu’ (5:429). Dalam kitab al-Itharah juga ada menyebutkan keterangan kitab al-Majmu’ (5:429) bahawa dalil pihak yang mengharuskan zakat fitrah dengan harganya ialah hadits yang disebut oleh Imam Bukhari رحمه الله dengan tegas sebagai ulasan, bahawa Sayyidina Muadz رضي الله عنه, semasa diutuskan oleh Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم ke negeri Yaman sebagai pemungut zakat, ia telah meminta mereka membayar zakat dengan kain keluaran negeri itu sebagai ganti gandum (kerana cara yang demikian katanya bukan sahaja memberi kemudahan kepada pembayar-pembayar zakat bahkan orang-orang miskin yang berhak menerima zakat di Madinah juga memerlukan pakaian].

Pemerintah menghukumkan berfitrah dengan wang itu kerana beberapa sebab yang bertujuan baik, di antaranya:

Asnaf yang 8 terutama faqir dan miskin lebih suka menerima wang daripada beras
Menyimpan wang lebih selamat, sedang beras selain daripada menyusahkan pihak pemerintah, pejabat agamadan memerlukan upah mengangkutnya – akan rosak jika disimpan lama.

Fadhilatus Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir, ketika ditanya mengenai membayar zakat dengan menggunakan wang, maka beliau mengatakan ianya dibolehkan. Hal ini tersebut di dalam kitab beliau bertajuk al-Bayan al-Qawwim li Tashih Ba’dhi al-Mafaahim [pertanyaan 27] dan al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan [pertanyaan 71].
Pertanyaan: Apakah boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang?

Jawaban: Boleh mengeluarkan (membayar) zakat fitrah dengan menggunakan wang. Ini adalah pendapat segolongan para ‘ulama yang memandang sebagaimana itu adalah pendapat segolongan tabi’in, antara lainnya:

Imam Hasan al-Basri رضي الله عنه; diriwayatkan darinya, bahawa beliau berkata:لا بأس أن تعطي الدراهم في صدقة الفطر “Tidak mengapa memberikan wang-wang dirham di dalam membayar zakat fitrah.” (Diriwayat oleh Ibnu Abi Syaibah, Mushannaf Abi Syaibah)
Imam Abu Ishaq As-Subai’e, meriwayatkan dari Zuhair, bahawa beliau berkata, Aku mendengar Imam Abu Ishaq berkata, “Aku berjumpa dengan mereka, dan mereka memberikan wang-wang dirham pada membayar zakat fitrah dengan senilai makanan.”

Sayyidina ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه; meriwayatkan dari Waqi’ dari Qurrah, bahawa beliau berkata, “Telah sampai kepada kami surat dari Khalifah ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz رضي الله عنه tentang zakat fitrah, satu sha’ (Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 rithil (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad atau dikenali sebagai 1 gantang Baghdad disini – abu zahrah) ke atas setiap orang atau nilainya adalah setengah dirham.” (‘Abdurrazaq, Mushannaf ‘Abdurrazaq, vol. 2, hlm. 316 (5778))
Dan, ini juga adalah mazhab ats-Tsauri, Imam Abu Hanifah dan Imam Abu Yusuf.
Dan juga pendapat dari para ‘ulama Mazhab Hanafi. Pendapat inilah yang diamalkan dan difatwakan di kalangan mereka pada setiap jenis zakat, kaffarah, nazar-nazar, cukai, dan lain-lainnya. [Bada’i’ ash-Shana’i’ oleh al-Kasaani, 2/979 dan 980, cetakan Zakaria ‘Ali Yusuf; dan al-Mabsuuth oleh as-Sarkhasi, 3/113 dan 114] Ini juga adalah pendapat al-Imam an-Naashir dan al-MuayyadbilLah, dari kalangan para imam ahlul bait mazhab az-Zaidiyyah. [al-Bahr az-Zakhkhar al-Jami’ li Madzahib ‘Ulama al-Amshar oleh Ahmad ibn Yahya ibnal-Murtadha, 3/202 dan 203].

Dan, pendapat ini yang dikemukakan oleh Ishaq bin Rahawiyah dan Abu Tsaur kecuali mereka berdua mengaitkannya dengan keadaan darurat, sebagaimana pendapat para ‘ulama ahlul bait yang lainnya. [as-Sail al-Jarrar ‘ala Hadaaiq al-Azhaar oleh Asy-Syaukani, 2/ 86] Saya maksudkan boleh mengeluarkan nilai pada keadaan dharurat. Dan mereka menjadikannya (membayar zakat fitrah dengan wang) termasuk di dalam keadaan darurat, kerana Imam menuntut harta sebagai ganti apa yang telah ditegaskan di dalam nash.

Ini juga merupakan pendapat sekumpulan ‘ulama dari mazhab Maliki seperti Ibnu Habiib, Ashbagh, Ibnu Abi Haazim, Ibnu Dinaar, dan Ibnu Wahab, berdasarkan pengambilan dari mereka yang berpendapat secara muthlak di dalam membolehkan mengeluarkan nilai-nilai (harga) dalam zakat; mencakupi zakat harta dan zakat individu-individu (zakat fitrah). Dan itu adalah berbeza-beza (yakni, tidak secara muthlak) dengan pendapat yang mereka ambilkan daripada Ibnu Qasim dan Asyhab, bahawa mereka berdua membolehkan mengeluarkan nilai harga pada zakat kecuali pada zakat fitrah dan kaffarat sumpah.

Dan atas dasar ini jugalah, kami melihat bahawa terdapat segolongan besar para imam, kalangan para tabi’in, dan para ahli feqah umat ini yang berpendapat bahawa tidak mengapa dan boleh mengeluarkan nilai harga zakat fitrah di dalam bentuk wang. Padahal ketika masa itu, sistem barter (pertukaran barang) masih lagi berlaku, dalam erti deklarasi setiap barang layak sebagai media pertukaran, khususnya biji-bijian. Jadi, sistem barter itu menjual gandum (al-qumh) dengan gandum (sya’ir), menjual bijian (zarrah) dengan gandum (al-qumh), dan seterusnya. Adapun, pada masa sekarang ini, media-media pertukaran sudahpun terhimpun pada mata wang sahaja, sehinggakan kami berpandangan bahawa pendapat inilah yang lebih tepat dan lebih kuat. Bahkan, kami mengira bahawa orang yang berbeza pendapat dengan pendapat ini dari kalangan para ‘alim ‘ulama masa lalu, seandainya mereka menemui (berada pada) masa kita sekarang, nescaya akan berpendapat sama dengan pendapat Imam Abu Hanifah رضي الله عنه. Jelaslah di sini bagi kita, hal ini dari feqah mereka dan kekuatan pandangan mereka.
Mengeluarkan zakat fitrah di dalam bentuk wang adalah lebih utama, kerana memberikan kemudahan bagi orang yang faqir untuk membeli apa sahaja yang ia inginkan pada hariraya kelak. Sebab, kadang-kadang dia tidaklah memerlukan beras, tetapi lebih memerlukan kepada pakaian-pakaian, daging atau selain itu. Dengan memberikan beras kepadanya, membuatkannya terpaksa berjalan jauh sekeliling untuk mendapatkan orang yang ingin membelikan beras tersebut. Kadang-kadang dia harus menjualkan beras itu dengan harga yang lebih murah daripada apa yang diperolehinya, iaitu dengan harga yang sedikit daripada harga beras yang sebenar yang diperolehinya. Ini semuanya di dalam keadaan mudah dan banyaknya beras yang beredar di sekitar pasar-pasar. Adapun, pada keadaan yang sulit (susah) dan jarangnya beras di pasar-pasar, maka membayar dengan benda adalah lebih utama daripada nilai harga kerana menjaga kemaslahatan orang faqir. Prinsip dasar yang menjadi alasan disyariatkannya zakat fitrah adalah kemaslahatan orang faqir dan mencukupkan keperluannya pada hari di mana seluruh kaum muslimin bergembira pada saat itu.

Al-‘Allamah Ahmad bin Shiddiq al-Ghummari telahpun mengarang sebuah kitab tentang masalah ini, dan memberikannya judul “Tahqiq Al-‘Amal fi Ikhraj Zakat Al-Fithri bi Al-Mal.” Beliau merajihkan di dalam kitab tersebut pendapat ‘ulama dari Mazhab Hanafi dengan dalil-dalil yang banyak dan tinjauan dari berbagai pendapat yang berbeza-beza hinggalah mencapai kepada 32 pendapat. Oleh kerana itu, kami berpandangan bahawa, pendapat mereka yang menyatakan untuk mengeluarkan nilai harga zakatnya adalah kuat dan rajih. Dan itulah yang lebih utama pada masa sekarang ini. Dan Alllah Ta’ala Maha Tinggi dan lagi Maha Mengetahui.
Pendapat yang mengharuskan pembayaran zakat fitrah dengan matawang ini juga disetujui oleh ramai ulama kontemporari seperti Dr. Yusuf Qardhawi (di dalam kitabnya Fiqh Zakat), Prof. Dr. Wahbah az-Zuhaili di dalam Fatawa al-Mu’ashirahnya, Dr. Musthafa al-Khin dan Dr. Musthafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji. Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji di sebutkan:

Di dalam mazhab Syafie, bahawa ianya tidak memadai jika dikeluarkan dengan nilaian, bahkan mesti dikeluarkan makanan asasi bagi sesebuah negeri itu sendiri. Walaubagaimanapun, tidak mengapa mengikut [bertaklid] mazhab Abu Hanifah رضي الله عنه dalam masalah ini pada zaman sekarang, iaitu harus mengeluarkan zakat fitrah dengan nilaian. Ini kerana pada hari ini mengeluarkan dengan nilaian lebih memberi manfaat kepada orang faqir daripada makanan asasi dan lebih dekat untuk mencapai matlamat yang diharapkan.

Pun begitu …… bagi mereka yang masih berpegang pendapat yang di dalam mazhab Syafie yang mengatakan bahawa zakat fitrah hanya sah dengan bahan makanan, maka jalan keluarnya adalah dimana penerima zakat seperti orang faqir atau orang miskin atau amil menyediakan beras sebanyak 1 gantang Baghdad, dan pembayar pula membeli beras tersebut dari mereka dan seterusnya digunakan beras tersebut untuk membayar zakat fitrah. Keadah ini masih terdapat di berapa kawasan ambo di Kedah. Nak mudah lagi bayar zakat fitrah dengan beras terus kepada mereka yang layak menerima zakat tersebut.

Sekian. Segala salah dan silap mohon dimaafkan dan diperbetulkan.

Oleh Ustaz Abu Zahrah Abdullah Thohir al-Qedahi
Taman Seri Gombak
Sahur, 20 Ramadhan 1430H

Rujukan:
1. e-Fatwa JAKIM
2. Mustika Hadits, Jilid 3 (Edisi Jawi) oleh Syaikh ‘Abdullah bin Muhammad Basmieh; Terbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kuala Lumpur
3. Al-Bayan Lima Yashghal al-Azhan oleh Syaikh Dr. ‘Ali Jumaah, Mufti Mesir.
4. Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam asy-Syafie, Jilid 1; Terbitan Dar al-Qalam, Dimasyq.

27 October 2014 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Adakah seseorang itu dibenarkan memberi zakat kepada ahli keluarga yang miskin

Zakat

Fatwa Malaysia

ISU:

Adakah seseorang itu dibenarkan memberi zakat kepada ahli keluarga yang miskin dan menanggung hutang dengan ahli keluarga sendiri untuk menampung kehidupan seharian.

PENJELASAN:

Seseorang yang berada dalam kategori miskin termasuk dalam asnaf yang layak menerima zakat. Sekiranya beliau dalam keadaan menanggung hutang untuk keperluan hidup seharian, maka beliau berada dalam golongan gharimin (orang yang berhutang). Beliau layak menerima zakat daripada kedua-dua kategori.

Ahli keluarga yang berkemampuan sangat digalakkan untuk memberikan zakat kepada keluarga sendiri yang miskin dan menanggung hutang berdasarkan sabda Nabi Muhammad saw, "Pemberian zakat kepada orang miskin mendapat pahala kewajipan zakat, namun memberikan zakat kepada ahli keluarga yang miskin mendapat dua pahala iaitu kewajipan zakat dan menyambung tali sillaturrahim." Hadis direkodkan oleh Imam Ahmad, al-Tirmizi, dan Ibnu Majah. Syeikh al-Albani mengatakan, hadis ini sahih (al-Qaradawi, Fiqh al-Zakat, jil. 2, hlm. 734).

Melupuskan hutang daripada orang yang berhutang dengan niat memberikan zakat kepadanya adalah dibenarkan menurut hukum Syarak. Tidak disyaratkan orang yang memberi hutang menyerahkan sejumlah wang sebagai zakat kepada orang yang berhutang , dan kemudian wang itu dibayar semula kepada pemberi hutang. Ini merupakan pendapat sebahagian ulama bermazhab Syafi’i dan ia juga merupakan pendapat Imam al-Hasan al-Basri dan ‘Ata’ (al-Nawawi, al-Majmu’, jil. 6, hlm. 210-211).

Abu Sa’id al-Khudri melaporkan, "Pada zaman Rasulullah saw, seorang peniaga kerugian hasil perniagaan buah-buahan, lalu bertambah-tambah hutangnya. Rasulullah saw bersabda, ‘Berikan zakat saudara sekalian kepadanya.’ Lalu orang ramai pun menyerahkan harta zakat mereka kepada orang berhutang itu. Namun, harta zakat tersebut masih belum mencukupi untuk membayar semua hutang itu, lalu Nabi Muhammad saw bersabda kepada orang yang memberi hutang, ‘Ambillah semua harta zakat tersebut. Hanya itu sahaja untuk menyelesaikan hutang-hutang kamu itu.’" Hadis sahih direkodkan oleh Imam Muslim (al-Nawawi, Syarah sahih Muslim, jil. 10, hlm. 218)

Contohnya dalam kes di mana seseorang itu memberi hutang kepada saudaranya(seperti abang/kakak atau adik ipar) dan saudaranya tersebut tidak mampu untuk membayar hutang disebabkan gagal dalam perniagaan atau sebagainya dan jatuh miskin, maka beliau boleh memberi zakat kepada orang yang berhutang tersebut dengan kaedah/ungkapan berikut : "disebabkan aku hendak membayar zakat kepada engkau (nyatakan jumlah hutang tersebut), maka hutang engkau kepada aku yang lepas itu tidak perlu dibayar."

Dalam kes seperti ini kaedah ‘kontra’ adalah sudah memadai. Iaitu pemberi hutang sudah menyempurnakan kewajipan membayar zakat, dan ahli keluarga yang menanggung hutang sudah menyempurnakan kewajipan membayar hutang.

Perbuatan seperti ini adalah termasuk dalam perkara yang dituntut oleh Allah SWT sebagaimana firmanNya dalam surah al-Baqarah ayat 280 yang bermaksud: "Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga dia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak)."

Wallahu a’lam.

21 January 2014 Posted by | Fatwa, Fiqh, Ibadah | | Leave a comment

Boleh kah beri zakat kepada bukan Islam?

Soalan: Prof Madya Dr Asri, saya ingin bertanya mengenai bolehkah orang bukan Islam mendapat peruntukan zakat. Saya difahamkan ada pendapat yang menyatakan golongan muallaf yang berhak dapat zakat itu, ada pendapat kata termasuk yang bukan muslim. Begitu juga fakir miskin. Tapi ada yang beritahu tidak boleh. Sehingga timbul isu politik. Saya rasa di Malaysia ini kita patut faham Islam dengan lebih luas. Harap tuan dapat berikan pencerahan kepada kami.

Nuruddin, Selangor.

Jawapan Prof Madya Dr MAZA: Terima kasih saudara yang bertanya. Usaha saudara dan rakan-rakan untuk memahami Islam dengan lebih luas adalah sesuatu yang terpuji. Apatah lagi dalam isu-isu muamalat yang membabit interaksi antara agama yang memberi impak kepada perkembangan Islam. Untuk menjawab persoalan saudara, di sini saya sebutkan beberapa perkara;

1. Masalah bolehkah bahagian sadaqah wajib atau yang dinamakan zakat diberikan kepada bukan muslim adalah masalah khilafiyyah (perbezaan pendapat) dalam kalangan fuqaha (sarjana fekah). Al-Imam al-Syafi’i r.h (w. 204H) berpendapat tidak boleh. Pendapat yang sama dikeluarkan oleh fuqaha lain. Pendapat ini beliau sebutkan dalam karyanya yang terkenal al-Umm, katanya:

“Golongan muallaf (mereka yang dijinakkan jantung hati) ialah sesiapa yang masuk ke dalam Islam. Tidak diberikan sadaqah (zakat) kepada musyrik untuk menjinakkannya dengan Islam. Jika ada yang berkata: Ketika peperangan Hunain Nabi telah berikannya kepada sebahagian muallaf dari kalangan musyrikin. (Jawapannya) itu adalah pemberian dari harta fai (harta rampasan), atau dari harta Nabi s.a.w sendiri. Bukan dari harta zakat”. (al-Umm, 2/338. Beirut: Dar Ihya al-Turath al-‘Arabi).

2. Pendapat al-Imam al-Syafi’i r.h tersebut telah menjadi pegangan dalam Mazhab al-Syafi’i. Maka, kita dapati tokoh-tokoh dalam mazhab al-Syafi’i akan menegaskan hal yang sama. Ini seperti al-Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab, al-Imam an-Nawawi dalam al-Majmu’ dan lain-lain. Berdasarkan asas ‘kekufuran’ itu menghalang bukan muslim menerima peruntukan zakat, maka –dalam Mazhab al-Syafi’i mereka tidak boleh menerimanya samada atas tiket kefakiran ataupun muallaf.

3. Adapun jika kita melihat pendapat yang lain, sebahagian para fuqaha menyatakan mereka boleh menerima zakat atas peruntukan ‘al-muallafah qulubuhum’ iaitu yang dijinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Ini seperti yang dinaskan oleh al-Quran dalam Surah al-Taubah ayat 60. Peruntukan ini merangkumi mereka yang masih kafir dan yang telah menjadi muslim. Kata al-Imam Ibn Qudamah (w. 620):

“Muallaf itu dua bahagian: kuffar dan muslimin yang mana mereka itu pemimpin yang ditaati dalam kaum dan keluarga mereka. Bahagian kuffar ini pula ada dua kelompok: pertama; orang yang diharapkan dia menganut Islam, maka diberikan zakat agar hasrat keislamannya bertambah dan jiwanya cenderung kepada Islam, lalu dia menjadi muslim…kelompok kedua; orang yang dibimbangi kejahatannya. Diharapkan dengan pemberian kepadanya akan menghalang kejahatannya dan mereka yang bersamanya..” (Ibn Qudamah, al-Mughni 9/317. Kaheran: Hijr).

4. Inilah pendapat yang ditarjihkan (dinilai lebih kuat penghujahannya) oleh Dr Yusuf al-Qaradawi dalam Fiqh al-Zakah, Dr ‘Abd al-Karim Zaidan dalam al-Mufassal, juga Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar dalam kertas Ta’lif al-Qulub ‘ala al-Islam bi Amwal al-Sadaqah dan lain-lain. Maka, berdasarkan pendapat ini boleh diberikan zakat bahagian muallaf kepada bukan muslim yang berpengaruh dalam kaum atau masyarakat mereka yang diharapkan pemberian itu menggalakkan dia atau pengikutnya menerima Islam, atau mengurangkan sikap permusuhan dengan Islam. Pendapat ini disokong oleh pelbagai riwayat yang mana Nabi s.a.w memberikan kepada pemimpin-pemimpin Arab yang masih kafir seperti Sofwan bin Umayyah. Sehingga Sofwan pernah berkata:

“Demi Allah! Rasulullah s.a.w memberikan kepadaku begitu banyak. Dahulunya, dia adalah orang yang paling aku benci. Dia terus memberi kepadaku sehingga dia menjadi orang yang paling aku sayangi” (Riwayat Muslim).

5. Walaupun Mazhab al-Syafi’i dan selainnya menyatakan bahawa nas Surah al-Taubah itu bermaksud mereka yang sudah menganut Islam dan kisah Nabi s.a.w memberikan harta kepada pembesar-pembesar Arab yang masih kafir itu diambil dari peruntukan selain zakat, namun di sana ada ayat al-Quran lain yang menunjukkan bahawa Nabi memberikan sadaqah (zakat) kepada bukan muslim. Firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 58-59: (maksudnya)

“dan antara mereka ada yang mencelamu (wahai Muhammad) mengenai (pembahagian) sedekah-sedekah (zakat); oleh itu jika mereka diberikan sebahagian daripadanya (mengikut kehendak mereka) mereka suka, dan jika mereka tidak diberikan dari zakat itu (menurut kehendaknya), (maka) dengan serta merta mereka marah. Dan (alanglah baiknya) kalau mereka berpuas hati dengan apa yang diberikan oleh Allah dan RasulNya kepada mereka dan berkata: “cukuplah Allah bagi kami; Allah akan memberi kepada kami dari limpah kurniaNya, demikian juga RasulNya; Sesungguhnya kami sentiasa berharap kepada Allah”.

Kata Dr ‘Umar Sulaiman al-Asyqar:

“Nas ini amat jelas bahawa golongan ini yang mendapat sadaqat (zakat), pemberian tersebut adalah untuk menjinakkan jantung hati mereka kepada Islam. Pastinya belum menganut Islam jantung hati yang orang mencela Rasulullah s.a.w mengenai zakat”. (ibid).

Ertinya, mereka itu belum menganut Islam, jika tidak, mana mungkin mereka mencela Rasulullah s.a.w kerana itu perbuatan yang kufur. Justeru, ayat ini memberi maksud Rasulullah s.a.w memberikan zakat kepada bukan muslim untuk dijinakkan jantung hati mereka pada zaman baginda.

6. Bagi saya, pendapat yang membolehkan zakat bahagian muallaf diberikan kepada bukan muslim dengan tujuan dakwah adalah lebih kukuh dan sangat relevan untuk masa kini. Hari ini Islam disalahfahami dan dituduh sebagai agama yang negatif. Pemberian zakat kepada muallaf yang sudah muslim dan belum muslim dapat membantu memelihara keindahan Islam. Jika kita bimbang aktiviti dakwah agama lain yang menggunakan sumbangan kewangan dan bantuan, mengapa tidak kita mengamalkan pendapat para ulama yang membolehkan pemberian zakat muallaf kepada mereka yang bukan muslim untuk menarik minat mereka kepada Islam?!

7. Selain dari peruntukan zakat kepada bukan muslim atas nama muallaf, para ulama juga berbeza pendapat tentang peruntukan zakat fakir miskin kepada bukan muslim. Jumhur (majoriti) berpendapat tidak boleh. Namun, Dr Yusuf al-Qaradawi mentarjihkan bahawa ia dibolehkan (lihat: Fiqh al-Zakat, 2/707) . Antara dalil dalam hal ini, Saidina ‘Umar ketika membaca firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 60 itu: (maksudnya)

“Sesungguhnya sadaqat (zakat) itu untuk golongan fakir…”, beliau berkata: “Di zamanku ini mereka itu adalah Ahli Kitab (Yahudi dan Kristian)” (Riwayat Ibn Abi Syaibah).

8. Para sarjana fekah bersepakat bahawa peruntukan zakat tidak boleh diberikan kepada kuffar yang memerangi Islam atau golongan kafir harbi. Ini berasaskan firman Allah: (maksudnya):

“Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memeberikan sumbangan harta kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahanah 8-9).

Namun bagi yang tidak memerangi Islam; samada mereka warga negara umat Islam, atau yang ada perjanjian keamanan dengan kerajaan umat Islam, atau anak-anak dan kaum wanita kafir harbi yang bapa mereka memerangi tetapi mereka tidak terlibat, boleh diberikan peruntukan zakat muallaf atau fakir miskin ini.

9. Institusi zakat sebenarnya, jika berperanan dengan betul akan membangun umat Islam, dakwah Islam dan membina imej yang baik untuk masyarakat Islam. Jika zakat diuruskan dengan baik, banyak yang dapat dilakukan. Hanya kepada Allah tempat kita mengadu!

Oleh: Prof Madya Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

26 February 2013 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Hukum Memberi Zakat Kepada Orang Bukan Islam Bagi Tujuan Dakwah


Tarikh Keputusan:  28 Oct, 2007
Huraian Tajuk/Isu:

1. Persoalan mengenai perkara ini ditimbulkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam yang bersidang pada bulan September 2007 yang lalu. Muzakarah membincangkan isu ini untuk mendapatkan satu keputusan atau dasar tentang hukum memberikan wang zakat kepada orang bukan Islam bagi tujuan dakwah di bawah asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum.
2. Di Negeri Kelantan, program dakwah kepada orang bukan Islam khususnya dakwah kepada orang asli dilaksanakan oleh Unit Dakwah, Majlis Agama Islam Kelantan dengan menggunakan peruntukan wang zakat. Walau bagaimana pun sehingga sekarang tiada fatwa khusus yang memperincikan takrifan asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum, samada ia meliputi orang Islam sahaja atau ia merangkumi orang kafir.

Keputusan: 

Setelah membincangkan isu ini dengan teliti, Mesyuarat Jamaah
Ulama” bersetuju memfatwakan seperti berikut :
1. Asnaf Al-Muallafatu Qulubuhum dibahagikan kepada 2 golongan iaitu golongan Muslim dan golongan Kafir.Golongan Muslim meliputi : 
a. Orang yang baru memeluk Agama Islam.
b. Ketua-ketua kumpulan Islam yang mempunyai hubungan baik dengan ketua-ketua kumpulan bukan Islam yang sama taraf dengannya.
c. Ketua-ketua kumpulan Islam yang masih belum mantap imannya tetapi masih berpengaruh.

Golongan bukan muslim (kafir) pula meliputi :
a. Orang yang berkemungkinan menerima Islam.
b. Boleh dipujuk supaya tidak memusuhi orang Islam.

2. Dalam urusan agihan wang zakat kepada al-muallafatu Qulubuhum ini, secara umumnya Mesyuarat bersetuju dengan pendapat rajih dalam Mazhab Syafie yang mengharuskan wang zakat diagihkan kepada golongan Muslim
Sahaja.

3. Dalam konteks dakwah, khususnya dakwah kepada orang asli di Kelantan, mesyuarat bersetuju memfatwakan bahawa pengagihan wang zakat diharuskan kepada golongan bukan Muslim.
Fatwa ini dikhususkan untuk tujuan dakwah semata-mata kerana kepentingan siasah syar”iyyah untuk pengembangan Agama Islam.

Status Penwartaan:  Tidak Diwartakan
Negeri: Kelantan

25 August 2011 Posted by | Ibadah | | 1 Comment

   

%d bloggers like this: