Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ini yang kerap dianak tirikan

(1) Ini yang kerap dianak tirikan daripada penerangan oleh segelintir ummat Islam yang rajin menyebarkan maklumat tentang status hadith, nampaknya terlepas pandang untuk menerangkan hukum berkaitan isi hadith.

(2) Contoh mudah: Ada hadith palsu tentang kelebihan solat sunat taraawih tidak bererti tidak sunat solat taraawih atau solat taraawih tiada kelebihan.

(3) Contoh lagi: Ada hadith palsu tentang kelebihan berpuasa pada bulan Rajab, bukan bererti tidak sunat berpuasa pada bulan Rajab atau tiada kelebihan berpuasa pada bulan Rajab.

(4) Demikianlah, ada hadith palsu tentang kelebihan puasa sunat Tarwiyah (8 Zulhijjah), bukan bererti tidak sunat berpuasa pada hari Tarwiyah.

(5) Asas hukum sunat berpuasa pada hari Tarwiyah (8 Zulhijjah) bukan berdasarkan hadith palsu berkenaan, tetapi KERANA selain ianya termasuk sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah (selain hari raya yang diharamkan berpuasa) yang digalakkan ditingkatkan ibadah di dalamnya, termasuk ibadah puasa, kerana keutamaan waktunya, ADALAH DISEBABKAN oleh konsep ihtiyath (berhati-hati) kerana mungkin ia hakikatnya adalah 9 Zulhijjah.

(6) Ini seperti mana yang diterangkan di dalam al-Manhaj al-Qawim oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami, dengan Hasyiah Kubro Imam al-Kurdi dan Hasyiah Syeikh at-Tarmasi. Begitu juga terdapat di dalam Hasyiah Imam al-Baijuri.

(7) Kata Imam Ibn Hajar al-Haitami:ويوم عرفة أفضل الأيام، ويسن أن يصوم معه الثمانية التي قبله، وهو مراد المصنف بقوله: “وعشر ذي الحجة”، لكن الثامن مطلوب من جهة الاحتياط لعرفة، ومن جهة دخوله في العشر غير العيد.(8)

Maka, jelas ulama-ulama Syafiiyyah tidak mengasaskan hukum sunat berpuasa hari Tarwiyah kepada hadith yang dikatakan sangat daif atau palsu itu, yang di dalamnya disebutkan fadilat puasa Tarwiyah, TETAPI diasaskan kepada asas dan dalil yang lain.

(9) Adapun hadith kelebihan puasa Tarwiyah yang dipermasalahkan itu adalah kerana pada sanadnya ada Muhammad bin as-Sa’ib al-Kalbi (محمد بن السائب الكلبي). Ada penilai hadith yang mengkelaskan dia pendusta dan ada yang ringan sedikit jarhnya, tidak sampai pendusta. Justeru, ada kemungkinan status hadith yang diperselisihkan, sama ada hadith tersebut palsu atau daif jiddan atau munkar.

Wallaahu ta’aala a’lam.

Penjelasan :Dr. Mohd Khafidz Soroni

Ketua Kluster HadisMajlis Akademik ISLAMI dan

Ustaz Engku Ahmad Fadzil

AJK ISLAMI Kebangsaan

01/01/2022 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Ibadah |

No comments yet.

Leave a comment