Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Benar kah Negeri Kelantan di kata tidak mesra Asatizah2 & Penceramah ASWJ?

Syeikh Nuruddin al-Banjari, saban bulan bertandang mencurahkan ilmu di Kelantan, ada kehadiran beliau dipromosi?

Malah kehadiran beliau di Masjid Muhammadi dipandang sepi.

Baba Ismail Sepanjang selaris menjenguk bumi Kelantan, ada diwar-warkan majlis ilmu beliau bakal dilangsungkan bila dan di mana?

Malah, kehadiran ulamak yang tuntas memberi penjelasan agama itu dipandang basi.

Habib Zain Sumaith, bila kali terakhir menjejak bumi Kelantan?

13 Jun 2011. Selepas tarikh itu, kehadiran beliau tidak lagi dialu-alukan dan pegawai Jaheik yang membenarkan premis Balai Islam Lundang digunakan untuk majlis Habib dilempar ke ulu negeri Kelantan.

Maulana Ilyas Ghuman, singa Ahli Sunnah wal Jamaah dari Benua Hindi sudah dua kali bertandang di Kelantan. Tapi apa yang berlaku, ada tuan guru pondok malah melarang anak murid bertamu di majlis ilmu Maulana yang banyak istifadah jelas dan mapan tentang aqidah dan syariat Islam!

Mahu dibilang lagi? Cukup..

Bandingkan saja dengan kedatangan Zakir Naik, bagaimana seorang manusia yang dia sendiri keliru tentang Islam begitu diraikan?

Sebulan awal, kehadiran Zakir Naik dimasyhurkan. Penuh bandar Kota Bharu dan pelusuk simpang jalan, bunting dan banner bergentayangan. Muka YAB Menteri Besar menjadi back up belakang dan Mufti Satu Malaya, Azhar Idrus back up di hadapan!

Bukan suatu kebimbangan bagi kita, kesongsangan aqidah Zakir Naik bakal mempengaruhi pegangan masyarakat Islam Kelantan. Tidak juga kita risau, budak-budak pondok Pas jadi Wahabi kerana Zakir Naik.

Ajar kitab jawi Melayu pun, mereka dah tak keruan, payah nak faham. Apatah lagi mahu mengambil reti English Speech Zakir Naik membicarakan Milal Nihal.

Kebimbangan kita adalah pengaruh Wahabi yang makin berkembang, setelah semusim lagi golongan itu diberi kuasa!

Pas Kelantan tidak ada sedikit pun kebimbangan tentang kehilangan sokongan orang pondok yang sekian zaman menjadi tulang belakang mengekalkan kuasa mereka. Apa sahaja kekecewaan terhadap tindakan kerajaan, boleh dipujuk dengan jaya dengan sebutir karipap dan secawan teh di Pejabat Menteri Besar.

Anak-anak murid yang berada di bawah pengaruh tok-tok guru yang lantang menegur Kerajaan Islam Kelantan, boleh ditarik balik sokongan terhadap Pas dengan hanya beberapa minit ‘basuh semula’ otak.. cukup dengan jemputan satu majlis yang dihadiri Tuan Guru Presiden.

Hasil pertemuan singkat, disudahi dengan pelapis ‘ulamak pondok’ bersusun memberi dakapan dan ciuman memohon maaf dan menyata insaf lantaran penentangan mereka sebelum ini kepada kerja Pas Kelantan.

“Minta maaf, tok guru. Ambo selama ni salah anggap..!” Habis lupa segala pengajian kitab dan pulang menyampaikan ‘mesej kebenaran’ kepada guru tua di pondok.

“Dia sebenar lagu ni, baba..”

Guru tua yang dah ada pakej darah tinggi, kencing manis.. bertambah mendapat gout otak; hilang akal… buntu!

Hanya kepada Allah dapat mengadu, “..kering sudah kalam kataku untuk sampaikan agama mu, Ya Allah!”

Jemputan Zakir Naik ke negeri ini, tidak lain adalah isyarat kuasa Wahabi makin menjarah di Kelantan.

Majlis ulung dan besar ini bukan disasar kepada penyokong tradisi mereka di kalangan orang pondok. Kalau orang pondok sedikit terasa hati, bukan jadi hal..

Jelajah Zakir Naik juga bukan suatu ekspedisi dakwah. Kita pun tahu, sasaran audien yang dijemput bukan daripada masyarakat non muslim dan pembesar anutan kafir.

Zakir Naik bukan didatangkan untuk mengeluarkan penganut Buddha, Hindu dan Kristian Kelantan daripada kegelapan kepercayaan mereka!

Berhala sembahan kafir akan terus kekal menjadi mercu kebanggaan orang Kelantan.

Audien sasaran daripada penganjuran tidak lain adalah umat Islam..

Begitu pun, pihak penganjur bukan meletak matlamat, daripada majlis ini Zakir Naik akan berjaya meWahabikan orang Kelantan.

Seperti apa yang telah dinyatakan, tiada istifadah akan dapat diambil rakyat Kelantan daripada English Speech dan bicara Milal Nilal Zakir Naik.

Datangkan siapa saja..

Orang Kelantan cukup kental daripada dibersihkan daripada amalan warisan; tahlilan, sambutan maulid dan seumpama.. dah jadi Wahabi pun mereka akan tetap ziarah kubur, mengaji 40, talqin mayat dan kacau bubur!

Penganjuran besar ini adalah langkah menarik pandangan dan mencari populariti serta pengaruh daripada golongan berpendidikan tinggi untuk bersama mereka.

Sokongan daripada golongan elit; profesional, idealis dan punya aset ini penting untuk survival politik, pengekalan kuasa dan pelebaran secara halus fahaman mereka.

Pilihanraya raya umum lepas menjadi bukti tentang kepentingan sokongan golongan berkelas ini, dengan kemenangan besar Pas! Mereka kekal berkuasa dengan sokongan padu para perantau yang berpendidikan, berkerjaya, berkedudukan…. punya perniagaan dan jawatan!

Golongan ini bukan celik pun dengan perkembangan Wahabi di Kelantan. Apa yang mereka lihat, orang Kelantan elok je berkenduri arwah.., solat Subuh pun masih baca Qunut!

Apatah lagi bila kematian hujah, dah tu nak bagi Amanah yang di bawah pengaruh DAP kafir untuk perintah Kelantan?

Golongan ‘cerdik-pandai’ ini lah yang perlu diberi suntikan kefahaman, justeru mereka mempunyai otak yang boleh dimanfaatkan kepada perkembangan aqidah dan syariat mereka. Fahaman Wahabi ini perlu diasimilasi serta dipandang biasa, di letak sebagai nilai keterbukaan Islam dan hak untuk bebas berpandangan serta tidak dilihat sebagai api pencetus ketegangan dan pemecah belah umat Islam.

Nah, kalau yang cerdik sudah dipengaruhi, apa sangat dengan golongan yang masih pening mencari baris atas bawah dan laskar jihad ARC!!? Tahu belarak jah sep kita.. Islam akan menang dan tegak di bumi Kelantan!!

Tulisan Ustaz Hassan Basri, Tumpat

07/08/2019 Posted by | Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab), wahabi | | Leave a comment

PENJELASAN JAKIM BERKENAAN FATWA TERHADAP AIR JAMPI SECARA KOMERSIAL

Foto Hiasan

1) Pada asasnya, Islam mengharuskan untuk mengambil upah atas jampi dan rawatan yang dilakukan. Ini kerana perbuatan sedemikian adalah dibenarkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim yang berbunyi, “Seorang sahabat merawat seorang Arab yang lain dengan membacakan surah al-Fatihah, lalu disembuhkan oleh Allah dan diambil upah dengannya, kemudian dia memberitahu kepada Nabi tentangnya, dan Nabi tidak mengingkarinya…”

2) Tambahan pula, mereka yang mengusahakan produk-produk air jampi sudah tentu memerlukan kos tertentu untuk menghasilkan sesuatu produk. Oleh yang demikian tidak salah untuk mereka meletakkan harga pada produk yang dijual sambil mengambil keuntungan yang berpatutan.

3) Walau bagaimanapun, apa yang menjadi kemusykilan apabila terdapat sesetengah pengusaha yang teramat melampau dalam mengkomersialkan produk-produk mereka. Sebagai contoh, mereka mempromosikan produk-produk tersebut sambil menunjukkan pelbagai testimoni sebagai bukti kemujaraban. Tidak diketahui secara pasti sama ada testimoni tersebut benar-benar terjadi atau sekadar taktik perniagaan.

4) Pihak yang mempertikaikan produk mereka pula akan disanggah kononnya cuba mempersoalkan mukjizat al-Quran. Lalu, dengan berbekalkan hujah-hujah agama, produk-produk tersebut dijual secara berleluasa sambil menyebut khasiat-khasiatnya yang tertentu seperti mempercepatkan jodoh, mengeratkan hubungan suami isteri, membenteng diri daripada gangguan sihir, menaikkan seri wajah dan seribu satu macam khasiat lagi.

5) Dalam hal ini, bekas Syeikh al-Azhar Mahmud Syaltut pernah menyatakan kebimbangan terhadap apa yang berlaku. Kerana itu, beliau sendiri tidak mengharuskan perbuatan menulis ayat-ayat al-Quran pada kertas atau bekas-bekas tertentu, kemudian dibasuh dan diminum. Pada pandangannya perbuatan tersebut telah disalahgunakan oleh pihak tertentu untuk mengumpulkan wang ringgit dengan cara yang tidak diterima oleh Islam.

6) Fatwa ini mungkin bercanggah dengan pandangan para ulama yang membenarkan kaedah rawatan seperti yang dinyatakan, namun penegasan beliau adalah pada unsur-unsur yang mengeksploitasikan dan memanipulasikan ayat-ayat suci al-Quran. Sukar untuk dinafikan, apabila kaedah rawatan seperti ini dijadikan perniagaan komersial, unsur-unsur memperdagangkan al-Quran dan Sunnah Nabi SAW tetap ada kerana sasaran utama setiap perniagaan komersial adalah untuk meraih keuntungan duniawi.

7) Apatah lagi apabila perniagaan berorientasikan air jampi semakin mendapat sambutan masyarakat. Pengusaha-pengusaha produk menjadi semakin ghairah untuk saling bersaing antara satu sama lain bagi mempamerkan produk mereka lebih mujarab, lebih Sunnah bahkan lebih mustajab bacaan al-Quran dan doanya berbanding produk lain.

8 ) Antara contoh yang boleh dijadikan teladan adalah apa yang berlaku kepada penjualan Air Musoffa secara komersial suatu ketika dahulu. Pengusaha air tersebut telah membuat promo menerusi rancangan temubual radio yang ditaja oleh syarikatnya sendiri. Dalam rancangan tersebut pengusaha produk telah menyebut pelbagai khasiat tentang produknya termasuk mengatakan jika Air Musoffa direnjiskan ke atas kenderaan, ia akan mengelakkan daripada ditimpa bala bencana.

9) Dalam segmen tajaan itu juga, pengusaha produk menawarkan hadiah kepada para pendengar yang dapat memberikan testimoni terbaik. Apa yang dikhuatiri, terdapat beberapa testimoni yang diberikan menjurus kepada kepercayaan khurafat yang ditegah agama. Malah, perbuatan menjadikan testimoni sebagai alat pelarisan boleh membuka ruang kepada penipuan dan pembohongan.

10) Selain itu, kaedah-kaedah rawatan yang didakwa bersumberkan Islam ini, kadang-kadang menjadi penyebab segelintir orang mensekularkan perubatan moden. Sesetengah pengusaha produk sebegini giat berkempen mengatakan perubatan moden bukan daripada perubatan Islam, makanya masyarakat perlu melanggan produk-produk mereka.

11) Padahal mereka terlupa, tokoh-tokoh awal perubatan moden itu sendiri dipelopori oleh para ulama Islam tersohor seperti Ibnu Sina, al-Zahrawi, Ibnu al-Haytham, al-Razi, Ibnu Rusyd dan lain-lain yang sekaligus membuktikan perubatan moden adalah sebahagian daripada perubatan Islam.

12) Kesimpulannya, tiada siapa yang menafikan bahawa al-Quran memiliki kelebihan untuk menyembuhkan segala penyakit rohani dan jasmani dengan izin Allah SWT. Namun untuk mempergunakan al-Quran bagi tujuan melariskan produk atau bagi menjustifikasikan produknya sebagai yang terbaik daripada yang lain, maka ia termasuk dalam perbuatan yang memperdagangkan al-Quran dengan harga yang murah. Firman Allah SWT: “Mereka menukarkan ayat-ayat Allah dengan harga yang sedikit, lalu mereka menghalangi (dirinya dan orang lain) dari agama Allah; sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan”. (Surah al-Taubah: 9)

SUMBER: Panel Aqidah, JAKIM

07/08/2019 Posted by | Fatwa, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

REZEKI

Dulu…
Dulu saya fikir solat dhuha dan membaca zikir itu pembuka pintu rezeki. Dulu juga saya fikir, rezeki itu apabila ada wang, gaji yg besar, banyak tender yang masuk, Banyak simpanan di bank, banyak aset seperti kenderaan, tanah, rumah…
Kesemuanya soal harta dan kekayaan..

Setelah mencari dan mengetahui lebih mendalam apa makna rezeki dalam Islam, ternyata saya tersasar besar…

Ternyata, langkah kaki yg dimudahkan untuk hadir ke majlis ilmu, itu adalah rezeki.

Subhanallah… Sebenarnya langkah kaki yg dimudahkan Allah swt untuk solat berjemaah di masjid, adalah rezeki.

Hati yg Allah jaga jauh dari iri, dengki, dan kebencian, adalah rezeki

Ada teman yang soleh dan saling mengingatkan dalam kebaikan, itu juga rezeki

Ketika ujian datang penuh getir penuh kesusahan dibantu Allah, itu juga rezeki.

Mempunyai orang tua yang sakit ,ternyata itu adalah rezeki, kerana ianya adalah merupakan ladang amal pembuka pintu syurga bila kita Ikhlas mengurusnya.

Tubuh yang sihat, adalah rezeki… Bahkan apabila diuji dengan sakit, itu juga bentuk lain dari rezeki kerana sakit adalah penggugur dosa.

Dan mungkin akan ada jutaan senarai lainnya bentuk rezeki yang kita tidak sedari…

Suami Isteri dan anak anak sihat itu rezeki,
Anak-anak pembelajarannya lancar dan cerdik itu rezeki.

Hidup aman bersama sama jiran tetangga itu rezeki.

Walhal apa yang harus kita waspada ialah ketika hidup kita cukup, penuh dengan kemudahan dan kebahagiaan, padahal begitu banyak hak Allah yang belum mampu atau tidak kita tunaikan…

Mari sebarkan kebaikan dan nikmati rezeki yg Allah amanahkan kepada kita.

ۚﻭَﻣَﺎ ٱﻟْﺤَﻴَﻮٰﺓُ ٱﻟﺪُّﻧْﻴَﺎٓ ﺇِﻻَّ ﻣَﺘَٰﻊُ ٱﻟْﻐُﺮُﻭﺭِ

.. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu._ (Al-Hadid – 57:20)

Berkongsilah ilmu walaupun satu huruf. Amin Ya Robb Ya Allah Ya Mujib

Semoga Bermanfaat

FB Ustaz Yunan A Samad

07/08/2019 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: