Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Demokrasi Memilih Dalam Pilihanraya VS Fatwa Wajib Mengundi PAS

Demokrasi Memilih Dalam Pilihanraya VS Fatwa Wajib Mengundi PAS

PAS boleh mengajak rakyat termasuk orang Islam menyokong mereka dengan menampilkan kejayaan pentadbiran Islam yang telah mereka laksanakan di Kelantan, Terengganu dan Kedah khususnya dan akan laksanakan kalau menang lagi pilihanraya. Begitu juga parti-parti lain seperti UMNO berhak menampilkan kejayaan mereka menegak, mempertahan, mengembang dan melaksanakan Islam dalam pentadbiran negara dan negeri sejak merdeka 1957 dan pelbagai pembangunan dan kebajikan untuk rakyat. Begitu juga tawaran baru manifesto kebajikan dan pembangunan rakyat apabila memenangi kembali Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Itulah demokrasi pilihanraya. Rakyat mempunyai pilihan dan hak untuk menilai seterusnya memilih kerana ia merupakan persaingan parti politik dalam pilihanraya.

Tetapi PAS tidak boleh dan tidak wajar mengeluarkan fatwa MEWAJIBKAN rakyat menyokong mereka atas keyakinan palsu mereka sahaja yang memperjuangkan Islam manakala parti-parti lain tidak memperjuangkan Islam malah “musuh” kepada Islam.

Dari situlah lahir fatwa HARAM dan masuk NERAKA sesiapa yang menyokong dan mengundi parti Islam dan parti orang Islam yang lain sepertimana pernah disebut oleh Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik sebelum ini.

Inilah pemikiran songsang menafikan demokrasi dan keluasan ijtihad berparti dan berorganisasi dalam Islam dan dalam negara. Inilah juga punca keganasan berlaku antara pendokong-pendokong parti ketika pilihanraya. Ia bermula dengan fatwa wajib dan haram oleh pimpinan PAS.

PAS boleh mendakwa mereka parti Islam tetapi tidak wajar mendakwa hanya PAS satu-satunya parti Islam lalu menafikan keislaman orang lain. Islam bukan hanya milik PAS dan perjuangan politik Islam bukan hanya milik PAS. Islam dan perjuangan Islam adalah milik bersama semua umat Islam yang berpolitik memperjuangkan Islam menerusi parti politik.

Pemikiran yang ditanam bahawa HANYA PAS memperjuangkan Islam dalam negara ini lalu menidakkan keislaman orang lain adalah pemikiran sempit bersifat “TAKFIRI” iaitu mengkafirkan orang Islam lain atau menidakkan keislaman orang lain.

Sejarah Islam pernah merekodkan kehadiran kelompok politik bergelar Khawarij yang secara politiknya menjadi pemberontak menentang pemerintahan Khalifah Uthman dan Ali dengan senjata dan mengkafirkan tokoh-tokoh sahabat Nabi (saw) seperti Muawiyah, Talhah, Zubair dan Aisyah (r.a) atas perbezaan ijtihad politik sehingga berlaku pertumpahan darah di kalangan muslimin.

Hari ini Bersatu bersama PAS dalam PN. Jika satu hari nanti Bersatu tidak lagi bersama PAS, tempias menidakkan keislaman orang lain ini juga akan menimpa Bersatu.

Apabila PAS bersama UMNO dari 1972 – 1978 dan bersama pula menubuhkan Barisan Nasional pada 1974 tiada tuduhan “tidak Islam” dan “musuh Allah” dikumandangkan namun ia mengakar semula selepas PAS terkeluar daripada BN pada 1978 sehingga lahirlah Amanat Tok Guru Hj Hadi pada 1981.

Apabila PAS bersama UMNO pada 2019 menerusi Muafakat Nasional tiada lagi tuduhan sebegitu tetapi sebaik berakhir MN di saat PAS dan UMNO bersaing semula di arena pilihanraya maka ucapan “neraka jika mengundi selain PAS” kembali dihidupkan.

Benih pemikiran “TAKFIRI” ini adalah ancaman terhadap keharmonian bermasyarakat dan bernegara sebagaimana dibahas dan diperingatkan oleh para Alim Ulama Islam seluruh dunia termasuk oleh Ulama gerakan-gerakan Islam dunia seperti Dr Yusof Qaradawi.

Dr Khairuddin Takiri
Selasa 27.6.2023

27/06/2023 - Posted by | Politik dan Dakwah | ,

No comments yet.

Leave a comment