Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PEMIKIRAN LIBERALISME DALAM WACANA AGAMA DAN ANCAMANNYA DI MALAYSIA SIRI VI –

PEMIKIRAN LIBERALISME DALAM WACANA AGAMA DAN ANCAMANNYA DI MALAYSIA SIRI VI – Siri Akhir

Oleh: Muhammad Rashidi Wahab (UniSZA)

ANCAMAN LIBERALISME DI MALAYSIA

Dalam konteks Malaysia, gerakan pelampau Islam Liberal (atau Muslim Liberal) kelihatan berkembang melalui pelbagai jalan dan saluran, antaranya melalui jaringan internet (globalisasi) dan kemasukkan buku² berkaitan Liberalisme dari luar negara, serta dipelopori oleh individu dan kumpulan tertentu yang berfahaman liberal. Namun perkembangan terkini menunjukkan bahawa fahaman Islam Liberal juga berkembang melalui POLITIK yang tidak cenderung kepada agenda Islam.

Dalam masa yang sama, sebagaimana dijelaskan di atas, Islam Liberal turut didokong oleh orang bukan Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung. Ini menjadikan ancaman Liberalisme di Malaysia semakin rumit untuk ditangani oleh piha6k berkuasa agama.

Di sini penulis akan menyenaraikan beberapa ancaman serta agenda utama Liberalisme di Malaysia pada masa kini, iaitu:
1. Golongan Islam Liberal berusaha menghapuskan kedaulatan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, iaitu dengan menafikan kedudukan agama Islam di Malaysia sebagai agama bagi Persekutuan (Agama Negara). Mereka sengaja menafsirkan Islam dalam Perlembagaan (Perkara 3(1)) adalah sekadar agama rasmi sahaja. Tujuan mereka berbuat demikian adalah untuk menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah Negara Sekular yang tidak terikat langsung dengan peranan agama Islam. Maka sebarang perkara yang berkaitan dengan agama Islam perlu dihalang.

2. Golongan Islam Liberal berusaha menghapuskan Mahkamah Syariah atau Undang² Syariah dengan dakwaan bahawa Undang² Syariah adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, atau dengan dakwaan lain seperti Undang² Syariah tidak adil. Bahkan mereka cuba memperkecilkan peranan dan kedudukan Mahkamah Syariah, antaranya dengan membantah perluasan bidang kuasa serta mencabar keputusan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah di Mahkamah Sivil. Maka sebarang usaha pemerkasaan terhadap Makhamah Syariah dan Undang² Syariah perlu dihalang, antaranya yang terkini RUU 355.

3. Golongan Islam Liberal berusaha memperjuangkan kebebasan berfikir dan bersuara secara mutlak terutamanya melalui jalan hak asasi manusia seperti seks bebas atau LGBT, walaupun berlaku percanggahan dengan ajaran agama Islam. Oleh itu, mereka sedaya-upaya menyatakan bahawa kedudukan kebebasan dan hak asasi manusia dalam Perlembagaan Persekutuan adalah lebih tinggi atau lebih utama berbanding kedudukan agama Islam. Maka sebarang perkara yang dilihat bertentangan dengan tuntutan Liberalisme dianggap sebagai menolak hak asasi manusia.

4. Golongan Islam Liberal berusaha memberikan imej buruk terhadap institusi Islam supaya institusi Islam di Malaysia dapat dihapuskan, ataupun sekurang²-nya dapat menghakis kepercayaan ummat Islam sendiri terhadap institusi Islam. Mereka sedaya-upaya mengkritik dan menyerang institusi Islam dengan pelbagai dakwaan dan kenyataan yang tidak berasas seperti desakan G25 supaya kerajaan menghapuskan JAKIM dan sebagainya lagi. Antara tujuan lain mereka menyerang autoriti agama Islam adalah supaya pemikiran songsang mereka dapat disebarkan tanpa mampu dihalang lagi.

5. Golongan Islam Liberal juga berusaha meruntuhkan autoriti ilmu dan para ulama dengan memberikan pelbagai persepsi buruk kepada agamawan dan ulama silam Ahlussunnah wal-Jamaah. Hal ini bertujuan agar mereka dapat memberikan tafsiran baru yang bebas serta menyeleweng terhadap ajaran agama Islam tanpa terikat dengan autoriti ilmu dan ulama. Pendekatan ini turut disokong oleh kelompok tajdid dan anti-mazhab, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

6. Golongan Islam Liberal berusaha menyamatarafkan semua agama (Pluralisme Agama) agar kedudukan agama Islam sebagai agama yang paling benar dan diredai oleh Allah SWT dapat dilenyapkan. Melalui jalan toleransi antara agama, secara tidak langung kedudukan agama Islam di Malaysia dapat direndahkan setaraf dengan agama² lain sehingga boleh mengundang gejala murtad. Malah perkataan suci umat Islam seperti isu penggunakan kalimah Allah oleh Kristian adalah perlu dibenarkan.

7. Golongan Islam Liberal berusaha mengadakan jaringan bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan agenda Liberalisme di Malaysia. Dengan memperoleh tajaan sumber kewangan yang banyak, pelbagai program disusun oleh kumpulan mereka seperti penganjuran seminar atau wacana, penulisan buku atau artikel dan sebagainya lagi. Namun program² yang diadakan itu telah menyalahgunakan jenama atau istilah dalam Islam, sehingga sebilangan individu atau kumpulan Islamik juga turut terpedaya dengan luaran mereka.

8. Golongan Islam Liberal berusaha menyebarkan idea Liberalisme kepada golongan berpendidikan tinggi dan golongan atasan yang memegang jawatan atau kedudukan penting dalam kerajaan. Melalui golongan ini, agenda Liberalisme dapat dijayakan dengan lebih cepat dan berkesan. Selain itu, mereka juga berusaha menggunakan dan mengeksploitasi golongan muda bagi mengembangkan Liberalisme, antaranya melalui gerakan buku indie dan penganjuran program jalanan dengan menyemai pemikiran berpaksikan kebebasan tanpa sempadan.

9. Golongan Islam Liberal berusaha menggunakan kuasa media secara besar²an, khususnya media online, bagi menyebarkan agenda Liberalisme di Malaysia. Beberapa portal berita online kelihatan telah dikuasai oleh mereka dengan bantuan pelbagai pihak, sehingga menyebabkan fahaman Liberalisme dapat berkembang dengan pesat sekali. Ini bermaksud, idea Liberalisme telah berjaya mempengaruhi pemikiran sebilangan ummat Islam secara tidak sedar, apatah lagi rakyat Malaysia antara pengguna internet tertinggi di dunia.

10. Penulis melihat, matlamat terakhir golongan Islam Liberal adalah untuk melemahkan serta menghapuskan institusi kesultanan yang mengetuai agama Islam di negeri² seluruh Malaysia. Jika institusi kesultanan dapat dihapuskan, atau mereka berjaya menjadikan sultan/raja sekadar simbolik semata², maka agenda Liberalisme dapat dilaksanakan di Malaysia tanpa mampu dihalang lagi oleh pihak kerajaan atau pihak berkuasa agama. Namun kini mereka menumpukan kepada perkara lain terlebih dahulu sebagaimana yang dinyatakan di atas.

Berdasarkan pemerhatian penulis terhadap perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia, sama ada ia disebarkan melalui individu atau kumpulan tertentu, didapati golongan Islam Liberal di Malaysia tidak benar² memahami gagasan, ideologi atau falsafah Liberalisme itu sendiri. Hal ini berbeza dengan golongan liberal di negara jiran iaitu Indonesia, kelihatan mempunyai matlamat dan ciri² yang lebih jelas dalam memperjuangkan agenda Liberalisme mereka, apatah lagi dengan kemunculan beberapa orang tokoh Liberalisme terkenal.

Namun di Malaysia, penyebaran fahaman liberal kebanyakkannya berkembang melalui isu² tertentu, yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak berkepentingan dari semasa ke semasa. Melaluinya, mereka turut memanfaatkan sesiapa sahaja untuk menjayakan agenda Liberalisme.
Walaupun dibangkitkan melalui isu² tertentu, agenda Liberalisme di Malaysia tetap mempunyai persamaan dengan beberapa ciri utama Liberalisme dan tuntutan orang bukan Islam.

FATWA LIBERALISME DI MALAYSIA
Melihat kepada bahaya ancaman Liberalisme terhadap ummat Islam, beberapa fatwa telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Islam di Malaysia.

Dalam hal ini, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-74 yang bersidang pada 25-27 Julai 2006 telah membincangkan tentang Aliran Pemikiran Liberal: Hukum dan Implikasinya Kepada Islam Di Malaysia.

Muzakarah telah memutuskan bahawa Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman² yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah sepertimana berikut:

1. Dari Aspek Akidah:
a) Berpegang Kepada Konsep Pluralisme: Konsep pluralisme adalah menjadi pegangan utama dalam aliran pemikiran liberal. Pluralisme Agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung.
b) Akal Manusia Adalah Wahyu: Aliran ini membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah Al-Qur’an dan ia adalah teks semata². Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks Al-Qur’an berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman.
c)Meragui Ketulenan Al-Qur’an: Aliran pemikiran ini mendakwa Al-Qur’an diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.

2. Dari Aspek Syariah:
a) Mempersoalkan Metodologi Pentafsiran Al-Qur’an dan al-Hadith: Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau metodologi pentafsiran Al-Qur’an yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran Al-Qur’an”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran Al-Qur’an yang jauh berbeza dengan pegangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari Akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
b) Menggesa Tafsiran Baru Konsep Ibadat: Aliran pemikiran ini juga berpegang ‘membuka dan membebaskan’ tafsiran Al-Qur’an, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks² Al-Qur’an menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat.
c) Mempertikaikan Kriteria dan Akhlak Kenabian: Aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah SAW dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri² yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut Baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
d) Sikap Terhadap Ilmu² Islam: Ilmu² Islam seperti Usul al-Tafsir, Usul al-Fiqh, Usul al-Hadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara ijmak diterima sebagai metode dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum² Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.

Berdasarkan kepada ciri² penyelewengan tersebut, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia memutuskan bahawa Aliran Pemikiran Liberal adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada Syariat Islam.

Selain itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor yang bersidang pada 17 Julai 2014 telah mengharamkan fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama termasuklah kumpulan Sisters in Islam (SIS) sepertimana berikut:
1. SIS Forum (Malaysia) dan mana² individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.
2. Mana² bahan terbitan yang berunsur pemikiran² fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah diharamkan dan boleh dirampas.
3. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hendaklah menyekat laman² sosial yang bertentangan dengan ajaran Islam dan Hukum Syarak.
4. Mana² individu yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme Agama hendaklah bertaubat dan kembali ke jalan Islam.

KESIMPULAN
Kesan ekstremisme pemikiran menyebabkan ummat Islam yang tidak memiliki ilmu yang mantap akan mudah terpengaruh dengan logik akal yang dikemukakan oleh golongan Liberalisme.
Idea kebebasan mutlak boleh menjadikan mereka menentang Al-Qur’an dan Hadis, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dengan dakwaan bahawa Al-Qur’an dan Hadis tidak lagi sesuai diamalkan pada zaman kini dan memerlukan penafsiran semula yang lebih moderat (liberal).
Propaganda ini bertujuan untuk merosakkan keutuhan ajaran Islam yang telah meletakkan kebenaran dan autoriti ilmu sebagai asas utama kepada akidah, syariah dan akhlak. Ini bermaksud, fahaman Islam Liberal akan menjauhkan dan memesongkan pemikiran umat Islam dari ajaran Islam yang sebenar.
Perkembangan semasa Liberalisme di Malaysia menunjukkan bahawa pemikiran liberal terus disebarkan secara meluas dalam kalangan ummat Islam walaupun fatwa pengharamannya telah dikeluarkan. Jika tidak ditangani segera, tidak mustahil fahaman liberal ini akan terus berkembang di Malaysia sebagaimana yang berlaku di beberapa negara lain.
Pihak kerajaan melalui pihak berkuasa agama perlu bertindak secara lebih agresif dan sistematik dalam mendepani ancaman Liberalisme. Dalam masa yang sama, ummat Islam perlu diberikan pendidikan Islam yang menyeluruh berasaskan epistemologi yang digariskan oleh ulama Ahlussunnah wal-Jamaah.
Dalam erti kata lain, ummat Islam perlu kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, antaranya bersifat wasatiyyah, bagi menghadapi cabaran dunia akhir zaman ini.

Wallahu’alam.

(Penulis: Muhammad Rashidi Wahab. Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu. E-mel: muhdrashidi85@gmail.com.)

29/06/2018 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Politik dan Dakwah | Leave a comment

PEMIKIRAN LIBERALISME DALAM WACANA AGAMA DAN ANCAMANNYA DI MALAYSIA SIRI V.

Oleh: Muhammad Rashidi Wahab (UniSZA)

PERMULAAN AGENDA LIBERALISME DI MALAYSIA
Sejarah awal sebelum tertubuhnya suruhanjaya Penubuhan InterFaith Commission (IFC) di Malaysia atau asalnya ialah Inter Religious Council (IRC), adalah melalui slogan ‘dialog antara agama’, dengan agenda ini telah dipelopori oleh Malaysian Consultative Council of Buddhism, Christianity, Hinduism and Sikhism (MCCBCHS) yang ditubuhkan pada tahun 1983 dan Christian Federation of Malaysia (CFM) ditubuhkan pada tahun 1985.
Malah Institut Kajian Dasar (IKD) turut ditubuhkan pada tahun 1985 yang bertujuan untuk melahirkan kebangkitan kebudayaan, pembentukan masyarakat madani dan mempromosi interaksi antara negara-negara Asia Tenggara dan di luarnya. Manakala Sisters in Islam (SIS) pula ditubuhkan pada tahun 1988 (didaftarkan pada 1993) bagi memperjuangkan isu² wanita Islam.
Diringkaskan, pada bulan Ogos 2001, Majlis Peguam telah menerima satu memorandum daripada MCCBCHS mencadangkan penubuhan IRC seperti sebuah badan berkanun yang mempunyai kuasa undang² yang boleh mengubah ajaran sesuatu agama akibat desakan penganut agama lain. Menurut cadangan tersebut, badan ini berfungsi mirip sebuah mahkamah dan segala keputusannya adalah muktamad ke atas agama yang bersabit.
IFC juga akan berfungsi seperti SUHAKAM yang menerima dan melayan aduan² berkaitan dengan agama termasuk aduan orang bukan Islam terhadap agama Islam dan orang Islam.
Berikut merupakan kandungan memorandum IFC yang dibentangkan pada bulan Januari 2005, iaitu:
a) Orang Islam hendaklah diberi HAK MURTAD tanpa permohonan ke Mahkamah Syariah. Ini adalah hak yang diberi Artikel 11 Perlembagaan. Sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh mahkamah syariah tetapi dikendalikan oleh mahkamah sivil.
b) Seseorang ANAK yang dilahirkan oleh ibu bapa Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam.
c) Orang² bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.
d) Tidak perlu dicatatkan dalam KAD PENGENALAN seseorang Muslim bahawa dia beragama Islam.
e) Orang bukan Islam tidak perlu dikehendaki menganut Islam sekiranya ingin BERKAHWIN dengan orang Islam. Orang Islam dibenarkan keluar daripada Islam (murtad) sekiranya ingin berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa dikenakan apa² tindakan undang².
f) Seseorang atau pasangan suami isteri yang menukar agamanya dengan memeluk Islam tidak patut diberikan HAK JAGAAN ANAK.
g) Orang² yang bukan Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan seorang yang memeluk Islam hendaklah diberikan hak menuntut HARTA PUSTAKA-NYA selepas kematiannya.
h) Kerajaan hendaklah menyediakan DANA yang mencukupi untuk membina dan menyelenggara rumah² ibadat orang bukan Islam sebagaimana kerajaan menyediakan dana yang serupa untuk masjid.
i) Orang bukan Islam hendaklah dibenarkan dan tidak boleh dihalang daripada menggunakan perkataan² suci Islam dalam percakapan dan sebagainya.
j) Bible dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia sepatutnya dibenarkan untuk diedarkan kepada umum secara terbuka.
k) Pelajaran agama bukan Islam untuk penganut agama itu hendaklah diajar di semua sekolah.
l) Program² berunsur Islam dalam bahasa ibunda sesuatu kaum hendaklah ditiadakan. Program dakwah agama lain selain Islam hendaklah dibenarkan untuk disiarkan dalam bahasa ibunda masing².
m) Orang² Islam yang membayar ZAKAT tidak sepatutnya dikecualikan daripada membayar cukai pendapatan dan wang hasil zakat sepatutnya digunakan untuk keperluan orang² bukan Islam.
n) Sepatutnya Islam tidak tersebut sebagai pilihan pertama masyarakat Malaysia seperti dalam soal pakaian menutup aurat kepada pelajar sekolah.
Kandungan memorandum IFC ini adalah contoh terbaik bagi menjelaskan ancaman serta campur tangan orang bukan Islam dalam urusan ummat Islam di Malaysia, dengan dibantu oleh golongan Islam Liberal antaranya SIS dan ditaja oleh penaja luar seperti Konrad Adenauer Foundation (KAF) dan Malaysian Interfaith Network (MIN). Kesan langsung atau tidak langsung daripada memorandum ini boleh dilihat dalam beberapa isu, contohnya dalam kes Lina Joy (1997-2007), Kumpulan Artikel 11 (2004), Katrika (2009) dan lain².
Walaupun IFC dikatakan telah dimansuhkan, namun agendanya terus berjalan sehingga kini, cumanya ia didatangkan dalam pelbagai bentuk dan wajah yang berbeza, tetapi matlamatnya masih sama, seperti penubuhan Majlis Perundingan Agama (MPI). Terkini, penubuhan Jawatankuasa Mempromosikan Persefahaman dan Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKA) juga perlu diberikan perhatian.
Selain itu, agenda ini diteruskan lagi oleh COMANGO (Coalition of Malaysian NGOs in the UPR Process) ialah sebuah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia yang mengemukakan laporan hak asasi manusia ke proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia di bawah PBB pada 24 Oktober 2013 di Geneva. Gabungan ini disertai oleh 54 NGO Malaysia, termasuk juga beberapa NGO liberal seperti SIS, dan hanya 12 NGO sahaja berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
Proses ini bertujuan mengkaji dan meneliti perkembangan serta prestasi isu-isu yang melibatkan hak asasi manusia sejak tahun 2009 terhadap 193 buah negara-negara anggota PBB antaranya Malaysia. Antara tuntutan yang dibuat oleh COMANGO ialah:
a) Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on Civil & Political Rights (ICCPR). Dalam Artikel 18 ICCPR mengandungi the rights of religious freedom (kebebasan beragama). Kebebasan untuk memilih agama atau kepercayaan termasuk hak seseorang untuk menukar agama yang dianuti.
b) Malaysia digesa untuk menandatangani International Covenant on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD). Implikasi perkara ini akan mengheret kepada isu perkauman dan mencabar status quo yang melibatkan kedudukan orang Melayu dan Islam di Malaysia sepertimana yang terdapat dalam Perlembagaan Malaysia dan semangat kontrak sosial.
c) Malaysia digesa untuk mengiktiraf hak² Sexual Orientation and Gender Identity (SOGI) terutamanya hak² lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Implikasi perkara ini akan membawa kepada amalan kebebasan orientasi seksual songsang termasuk memberi kebenaran untuk mengiktiraf perkahwinan sesama jenis.
Agenda Liberalisme di Malaysia didapati bermula dengan gugatan awal datangnya daripada orang bukan Islam. Arus ini kemudiannya ditumpang oleh golongan Islam Liberal memandangkan kebanyakkan tuntutan yang dikemukakan oleh orang bukan Islam adalah menyamai dengan agenda Liberalisme. Dari sudut lain, orang bukan Islam boleh mengambil manfaat dari golongan Islam Liberal, seolah² tuntutan mereka turut disokong oleh orang Islam sendiri, dengan menonjolkan sokongan daripada golongan Islam Liberal.
Desakan ini walaupun pada awalnya nampak kecil, namun lama-kelamaan ia menjadi semakin besar dan membarah. Jika dahulu jumlah mereka adalah sangat kecil dan sedikit, terkini mereka bergerak dalam jumlah dan kumpulan yang besar.
…..bersambung VI

Penulis: Muhammad Rashidi Wahab. Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, 21300 Kuala Nerus, Terengganu.

29/06/2018 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Politik dan Dakwah | Leave a comment

Mengumpat yang dibolehkan dalam Islam, menurut Imam an-Nawawi.

Mengumpat yang dibolehkan dalam Islam, menurut Imam an-Nawawi
Mengumpat yang dibolehkan
Berikut ini adalah petikan dari kitab Riyadhus Sholihin karangan Imam an-Nawawi yang menjadi panduan kepada semua umat Islam berkenaan dengan mengumpat (ghibah) yang dibenarkan dalam Islam. Sila baca dengan teliti dan fahami baik-baik. Jazaakumullahu khoirol jazaa’.
Ketahuilah bahawasanya mengumpat itu dibolehkan kerana adanya tujuan yang dianggap benar menurut pandangan syara’ Agama Islam, yang tidak akan mungkin dapat sampai kepada tujuan tadi, melainkan dengan cara mengumpat itu.
Dalam hal ini adalah enam macam sebab-sebabnya:
Pertama: Dalam mengajukan pengaduan penganiayaan, maka bolehlah seseorang yang merasa dirinya dianiaya apabila mengajukan pengaduan penganiayaan itu kepada sultan, hakim ataupun lain-lainnya dari golongan orang yang mempunyai jawatan atau kekuasaan untuk menolong orang yang dianiaya itu dari orang yang menganiayanya. Orang yang dianiaya tadi bolehlah mengucapkan: “Si Fulan itu menganiaya saya dengan cara demikian.”
Kedua: Dalam meminta pertolongan untuk menghilangkan sesuatu kemungkaran dan mengembalikan orang yang melakukan kemaksiatan kepada jalan yang benar. Orang itu bolehlah mengucapkan kepada orang yang dia harapkan dapat menggunakan kekuasaannya untuk menghilangkan kemungkaran tadi: “Si Fulan itu mengerjakan demikian, maka itu cegahlah dia dari perbuatannya itu,” atau Iain-Iain sebagainya. Maksudnya ialah agar dapat melenyapkan kemungkaran tadi. Jadi apabila tidak mempunyai maksud sedemikian, maka pengumpatan itu adalah haram hukumnya.
Ketiga: Dalam meminta fatwa, yakni penerangan keagamaan. Orang yang hendak meminta fatwa itu bolehlah mengucapkan kepada orang yang dapat memberi fatwa yakni mufti: “Aku dianiaya oleh ayahku atau saudaraku atau suamiku atau si Fulan dengan perbuatan demikian, apakah dia berhak berbuat sedemikian itu padaku? Dan bagaimana jalan untuk menyelamatkan diri dari penganiayaannya itu? Bagaimana untuk memperolehi hak ku itu serta bagaimanakah caranya menolak kezalimannya itu?” dan sebagainya.
Pengumpatan semacam ini adalah boleh kerana adanya keperluan. Tetapi yang lebih berhati-hati dan pula lebih utama ialah apabila dia mengucapkan: “Bagaimanakah pendapat anda mengenai seseorang atau manusia atau suami yang berkeadaan sedemikian ini?” Dengan begitu, maka tujuan meminta fatwanya dapat dihasilkan tanpa menentukan atau menyebutkan nama seseorang. Sekalipun demikian, menentukan yakni menyebutkan nama seseorang itu dalam hal ini adalah boleh (jaiz), sebagaimana yang akan Kami cantumkan dalam Hadisnya Hindun – lihat Hadis no. 1532. Insya Allah Ta’ala.
Keempat: Dalam hal memberi peringatan atau nasihat kepada kaum Muslimin agar tidak terjerumus ke dalam kejahatan.
Kelima: Dengan terus-terang menegur kefasikan seseorang seperti kepada orang yang meminum minuman keras, orang yang merampas harta orang lain, orang yang menerapkan kebathilan dan sebagainya. Dalam hal ini, seseorang boleh berterus-terang menegur tindakannya yang tidak benar itu.
Keenam: Dalam hal memberi pengertian atau penjelasan, misalnya ada seseorang yang lebih dikenali dengan gelaran; “Si buta, si tuli, si bisu” dan sebagainya. Dalam hal ini, seseorang boleh menyebutnya dengan gelaran itu, tetapi kalau dengan maksud mengejek atau menghina maka diharamkan. Dan kalau boleh, hindarilah gelaran-gelaran yang seperti itu.
Ini lah 6 hal yang telah disepakati oleh para ulama dimana mereka menetapkan pendapat itu dengan berlandaskan hadits-hadits Shahih, antaranya ialah;
1528. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha bahawasanya ada sesorang lelaki meminta izin kepada Nabi S.a.w untuk menemuinya, lalu beliau S.a.w bersabda; “Izinkanlah dia, dia adalah seburuk-buruknya orang dari seluruh keluarganya.” [Muttafaq ‘alaih]
Imam Bukhari mengambil keterangan dari Hadis ini akan bolehnya mengumpat pada orang-orang yang suka membuat kerosakan serta ahli bimbang (tidak berpendirian tetap).
1529. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: Rasulullah S.a.w bersabda: “Aku tidak yakin kepada si fulan dan si fulan itu bahawa keduanya itu mengetahui sesuatu perihal agama kita.” [HR Bukhari]
Imam Bukhari berkata; “Allaits bin Sa’ad, salah seorang yang meriwayatkan hadits ini berkata: “Kedua orang lelaki ini termasuk golongan kaum munafik.”
1530. Dari Fathimah binti Qais radhiallahu ‘anha, katanya: “Saya mendatangi Nabi S.a.w. lalu saya berkata: “Sesungguhnya Abul Jahm dan Mu’awiyah itu sama-sama melamar diriku.” Rasulullah S.a.w. lalu bersabda: “Adapun Mu’awiyah itu adalah seorang faqir yang tiada berharta, sedangkan Abul Jahm adalah seorang yang tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya.” [Muttafaq ‘alaih]
Dalam riwayat Imam Muslim disebutkan:
“Adapun Abul Jahm, maka dia adalah seorang yang gemar memukul wanita.” Ini adalah sebagai tafsiran dari riwayat yang menyebutkan bahawa dia tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya. Ada pula yang mengertikan lain iaitu bahawa “tidak sempat meletakkan tongkat dari bahunya” itu ertinya banyak sekali mengembaranya.
1531. Dari Zaid bin Arqam r.a., katanya: “Kami keluar bersama Rasulullah S.a.w. dalam suatu perjalanan yang menyebabkan orang-ramai memperolehi kesukaran, lalu Abdullah bin Ubay berkata: “Janganlah engkau semua memberikan apa-apa kepada orang yang ada dekat Rasulullah, sehingga mereka pergi (yakni berpisah dari sisi beliau s.a.w. itu).” Selanjutnya dia berkata lagi: “Nescayalah kalau kita sudah kembali ke Madinah, sesungguhnya orang yang berkuasa akan mengusir orang yang rendah.”
Kemudian saya datang kepada Rasulullah S.a.w. dan memberitahukan hal ucapannya Abdullah bin Ubay di atas. Beliau S.a.w. menyuruh Abdullah bin Ubay datang padanya, tetapi dia bersungguh-sungguh dalam sumpahnya bahawa dia tidak melakukan itu (yakni tidak berkata sebagaimana di atas). Para sahabat lalu berkata: “Zaid berdusta kepada Rasulullah S.a.w.” Maka betapa sedihnya hatiku menanggapi apa yang mereka katakan, sehingga Allah Ta’ala menurunkan ayat, untuk membenarkan apa yang saya katakan tadi, iaitu (yang ertinya): “Jikalau orang-orang munafik itu datang padamu…….” [Surah al-Munafiqun : 1]
Nabi S.a.w. lalu memanggil mereka untuk agar mereka memohon ampun (yakni supaya orang-orang yang mengatakan bahawa Zaid berdusta itu dimohonkan pengampunan kepada Allah oleh beliau S.a.w), tetapi orang-orang itu menggelengkan kepalanya (yakni enggan untuk dimintakan pengampunan).” [Muttafaq ‘alaih]
1532. Dari Aisyah radhiallahu ‘anha, katanya: “Hindun iaitu isterinya Abu Sufyan berkata kepada Nabi S.a.w.: “Sesungguhnya Abu Sufyan itu seorang lelaki yang bakhil, dia tidak memberikan nafkah yang dapat mencukupi keperluanku serta untuk keperluan anakku, melainkan dengan cara saya mengambil sesuatu daripadanya, sedang dia tidak mengetahuinya. “Beliau S.a.w. lalu bersabda: “Ambil sajalah yang sekiranya dapat mencukupi keperluanmu dan untuk kepentingan anakmu dengan baik-baik (yakni jangan berlebih-lebihan).” [Muttafaq ‘alaih]
[Imam an-Nawawi – Riyadhus Shalihin]
Tambahan
Umar r.a berkata, “Tidak ada kehormatan bagi orang yang berbuat derhaka.” Maksudnya ialah, orang yang secara terang-terangan memperlihatkan kefasiqannya, bukan orang yang menutupi kefasiqannya. Jika seseorang itu menutupi kefasiqannya, maka kita harus menjaga kehormatannya.”
Hasan al-Basri berkata, “Membicarakan tiga golongan manusia berikut tidaklah termasuk mengumpat, iaitu orang yang selalu memperturutkan hawa nafsunya, orang fasiq yang memperlihatkan kefasiqannya secara terang-terangan, dan pemimpin yang zalim. Kerana ketiga golongan itu telah melakukan kederhakaan, kefasiqan dan kezaliman secara terang-terangan, bahkan boleh jadi mereka bangga dengan apa yang dilakukannya itu. Lalu bagaimana mungkin mereka membenci penyebutan oleh orang lain akan hal yang diperbuat itu, sementara mereka melakukannya secara terus terang. Tetapi menyebutkan perbuatan yang tidak terpuji yang ditutupi dan tidak dizahirkan, maka itu adalah dosa.”
[Imam al-Ghazali – Afatul Lisan]
——
Nota: Diharap kita semua dapat membezakan mana mengumpat yang boleh dan mana yang tidak boleh kerana yang penting niat dan cara kita mesti kena pada apa yang diberitahu oleh Imam an-Nawawi itu.
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهَ وَصَحْبِهِ وَسَّلِم
…..

15/06/2018 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | Leave a comment

🕌 Berlumba-lumbalah untuk mendapatkan saf yang awal.

Dari hadis Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda,maksudnya:

خَيْرُ صُفُوفِ الرِّجَالِ أَوَّلُهَا، وَشَرُّهَا آخِرُهَا

“Sebaik-baik saf (solat) bagi lelaki adalah yang paling awal (depan), dan yang paling buruknya adalah yang paling akhir (belakang).”

[Shahih Muslim, no. 132. Abu Dawud, no. 678. At-Tirmidzi, no. 224]

Kata Syaikh Al-Islam Ibnu Taimiyyah rahimahullah (Wafat: 728H):
فَمَنْ جَاءَ أَوَّلَ النَّاسِ وَصَفَّ فِي غَيْرِ الْأَوَّلِ فَقَدْ خَالَفَ الشَّرِيعَةَ وَإِذَا ضَمَّ إلَى ذَلِكَ إسَاءَةَ الصَّلَاةِ أَوْ فُضُولَ الْكَلَامِ أَوْ مَكْرُوهَهُ أَوْ مُحَرَّمَهُ وَنَحْوَ ذَلِكَ: مِمَّا يُصَانُ الْمَسْجِدُ عَنْهُ فَقَدْ تَرَكَ تَعْظِيمَ الشَّرَائِعِ وَخَرَجَ عَنْ الْحُدُودِ الْمَشْرُوعَةِ مِنْ طَاعَةِ اللَّهِ

“Maka siapa yang datang ke masjid lebih awal berbanding yang lainnya tetapi dia tidak memilih saf yang pertama, bererti dia telah menyalahi syari’at. Jika keadaan itu ditambah lagi dengan buruknya solat, berlebihan dalam berbicara (berbual-bual), atau mengucapkan perkataan-perkataan yang dibenci atau diharamkan, juga hal-hal lain yang perlu dihindarkan dari masjid, maka dia dianggap sebagai orang yang tidak menghormati syari’at dan telah keluar dari batas-batas ketaatan kepada Allah yang telah disyari’atkan.”

[Majmu’ Al-Fatawa, 22/262]
___________
📲 Sertai Channel, http://telegram.me/ilmusunnah

04/06/2018 Posted by | Fiqh, Hadis, Ibadah, Uncategorized | Leave a comment

   

%d bloggers like this: