Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Sifat Jahil dan Taksub

Kejahilan bukan sahaja akan melahirkan sikap taksub, malah lebih daripada itu ia mempunyai implikasi buruk terhadap kehidupan. Ia boleh menyebabkan kebinasaan kepada seseorang individu, masyarakat, agama dan negara. Di samping merendahkan martabat insan, kejahilan tidak mengenal nilai-nilai kerjasama, timbang rasa, kecintaan dan keadilan. Kerana sikap jahil dan taksub itulah, maka perpecahan terus berlaku di kalangan kita umat Islam. Perbuatan ini ternyata bertentangan dengan syariat Islam.

Sudah menjadi lumrah dan nasib yang tersurat bahawa setiap agama akan bertembung dengan ancaman hawa nafsu yang bergelora serta pemikiran yang menyesatkan. Agama tidak akan aman sama sekali daripada sikap pelampau dan ketaksuban. Bahkan setiap umat dalam menegakkan seruan syariat yang benar sentiasa berhadapan dengan golongan ini. Dari segi prinsipnya mereka memiliki kepercayaan serta pegangan atas nama agama yang di luar batasan ajaran agama Islam sebenar.

Demikianlah hakikatnya orang yang jahil perasaannya beku dan lemah otaknya. Justeru itu mudah menjadi taksub dan akibat ketaksuban ini ia tidak lagi boleh berfikir secara normal dan ia akan bertindak mengikut hawa nafsu bukan berlandaskan akal atau ilmu syariat.

Kejahilan dan ketaksuban menjadikan diri mereka tidak dapat membezakan di antara kebenaran dan kebatilan. Hati mereka telah buta daripada keimanan dan ketakwaan. Sebagaimana kata-kata hukama: “Buta hati kerana jahil lebih berbahaya daripada buta mata. Bukan sedikit mereka celik mata tetapi buta hati kerana jahil. Golongan ini makin diberi peringatan atau nasihat makin bertambah bebal dan jahil. Lebih berbahaya lagi apabila ditambah pula dengan penyakit kesombongan”. Sebagaimana kata Saidina Ali B. Abi Talib r.a : “Tiada musuh yang lebih Aku takuti daripada kejahilan. Setiap manusia menjadi musuh selama ia jahil.”

Kesimpulannya, jelaslah bahawa kejahilan adalah pokok segala kecelakaan dan punca segala bahaya. Orang yang jahil tergolong dalam maksud hadis Nabi yang bermaksud: “Dunia itu terlaknat, segala isinya terlaknat, kecuali zikrullah (berzikir kepada Allah), sesesorang yang berilmu dan seorang yang mencari ilmu. Seorang yang jahil itu tidak akan terkeluar dari kegelapan kejahilan melainkan dengan nur dan cahaya ilmu pengetahuan. Ia merangkumi ilmu-ilmu untuk keperluan dan kesempurnaan tanggungjawab diri terhadap Allah, ilmu untuk mempertingkatkan kualiti hidup diri, keluarga, dan masyarakat. Wallahu a’lam..

[Sumber: Jalan Sufi]

15 May 2013 Posted by | Tasauf | , | Leave a comment

Taksub Penghalang Perpaduan

Satu sikap yang sangat menggagalkan usaha kearah perpaduan ialah ketaksuban yang ada pada individu dan kumpulan.Sikap taksub yang keterlaluan ini yang menyebabkan kecenderungan untuk merasakan puaknya sahaja yang benar.Sedangkan, kebenaran hanya milik Allah. Ia tidak boleh disinonimkan dengan mana mana golongan. Tidak ada pihak yang boleh mendakwa bahawa mereka sahaja satu satunya kumpulan yang sentiasa benar dan menafikan kebenaran pihak yang lain.

Jika itu berlaku maka retaklah perpaduan.Sikap “aku yang lebih baik daripada kamu” yang telah menular, menyebabkan kita lupa bahawa setiap manusia mempunyai kelebihan. Di situlah letaknya keunikan penciptaan manusia. Fitrah penciptaan manusia sentiasa berbeza.Perbezaan ini mesti diakui dan di raikan oleh semua.Jangan ada yang ingin “menyamakan”  apa yang telah ditetapkan berbeza oleh Allah.Jika halangan ketaksuban ini dapat di atasi, maka perpaduan dapat dibincangkan dan di laksanakan dengan harmoni.Kita tahu apa yang dapat kita capai dan apa yang tidak akan boleh di capai.Kita akan jadi lebih realistik.Dan kita tidak akan membuang masa berbincang dengan cara yang prejudis justeru  menggunakan paradigma yang “lintang pukang” bagi menyelesaikan masaalah.

Berpadu bererti menguruskan perbezaan, bukan menghapuskan nya.Petanda kita tidak bijak mengurus perbezaan  adalah berlakunya sikap bantah membantah dan perselisihan yang terlalu banyak.

Hal ini yang diperingatkan oleh Allah menerus ayat Nya yang bermaksud: “Kemudian jika kamu berselisih pendapat dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (Kitab al Quran) dan RasulNya (Sunnah) jika kamu benar benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu dan lebih elok pula kesudahannya.” (Surah al Nisa’ 4:59)

(Sumber: Maj Solusi No. 33)

29 January 2013 Posted by | Tazkirah | | 1 Comment

Jangan taksub

Parti politik guna nama Islam: Ilmuwan Islam ingatkan ada parti gagal laksana perjuangan apabila berkuasa

Penggunaan nama Islam pada parti politik tidak sepatutnya menjadi petunjuk kepada umatnya untuk memilih sesuatu parti, sebaliknya penilaian perlu dibuat berdasarkan manifesto dan pelaksanaannya.

Ini kerana ada parti politik yang membawa nama Islam dengan manifesto Islamik, namun gagal melaksanakan apa diperjuangkannya selepas memegang kuasa.

Setiap parti mempunyai agendanya sendiri, namun rakyat khususnya golongan muda mempunyai pilihan, menyokong mana-mana pihak berdasarkan apa dijanjikannya (manifesto) dan pelaksanaannya. – Syeikh Dr Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool, tokoh ilmuwan Islam

Peringatan itu dibuat tokoh ilmuwan Islam, Syeikh Dr Mohammad Ali Ibrahim Alzoghool dari Jordan.

"Setiap parti mempunyai agendanya sendiri, namun rakyat khususnya golongan muda mempunyai pilihan, menyokong mana-mana pihak berdasarkan apa dijanjikannya (manifesto) dan pelaksanaannya.

"Ada berlaku di sesetengah tempat, parti membawa nama syiar Islam, manifestonya nampak Islamik, tetapi bila sampai pemerintahan (pelaksanaannya), tidak berlaku apa yang dijanjikan, seperti `ada udang di sebalik batu’..

"Manifestonya jadi lain bila sampai kepada pemerintahan, berubah kepada satu perkara lain untuk menjaga kepentingan partinya, menjaga orangnya dan sebagainya," katanya, yang juga Dekan Fakulti Syariah Universiti Al-Bayt, Jordan.

Beliau ditemui pemberita selepas membentangkan kertas kerja `Melahirkan Barisan Pelapis Kepimpinan Muda Islam’ sempena Seminar Antarabangsa Fiqh Mentaati Pemimpin anjuran Generasi BESTARI dan portal MyKMU.net di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam.

Berikutan itu, beliau menasihatkan rakyat, khususnya golongan muda memilih parti yang menepati ajaran Islam, kebajikan dan tamadunnya.

"Apa perlu dilakukan ialah lihat kedua-duanya dan pilih yang terbaik.

"Selepas menimbangkan manifesto dan pelaksanaan yang dijanjikan, (barulah) memilih pihak yang memberi khidmat kepada rakyat," katanya ketika ditanya mengenai pertimbangan yang perlu dilakukan generasi muda untuk memilih parti politik.

Mengulas isu sama, Syeikh Alzoghool menegaskan tidak semestinya seseorang yang bertaqwa atau soleh sesuai diangkat untuk menjadi pemerintah.

"Seperti disebutkan dalam hadis Nabi apabila Abu Dzar (sahabat Rasulullah) minta kepada Rasulullah untuk dilantik sebagai gabenor (pemerintah), Nabi bersabda: "Abu Dzar seorang lelaki yang lemah".

"Abu Dzar seorang yang taqwa, seorang yang soleh tapi apabila berkaitan dengan pemerintahan dan pengurusan, nabi kata dia tidak sesuai kerana ini adalah amanah," kata Syeikh Alzoghool.

Syeikh Alzoghool berkata generasi muda perlu bijak memilih dan mengkaji perjuangan sesebuah parti politik.

Katanya, mereka perlu menolak parti yang memperjuang kepentingan politik semata-mata dan tidak berkhidmat untuk rakyat, apatah lagi parti bukan Islam.

22 June 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

Imam Syafi’i tolak ketaksuban

Al-Imam Muhammad bin Idris al-Syafi’i (150H-204H) merupakan salah seorang tokoh ilmuwan agung yang pernah dilahir oleh sejarah kegemilangan Islam. Beliau sebaris dengan jaguh-jaguh ilmu seperti al-Imam Abu Hanifah, al-Imam Malik bin Anas, al-Imam Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Laila, Abi Thaur, al-Imam al-Auza’i, al-Imam Sufyan al-Thauri dan ramai lagi tokoh-tokoh agung dalam sejarah perkembangan fekah Islam.

Foto Hiasan

Beliau berketurunan Rasulullah saw. Nasabnya bertemu dengan Nabi saw. pada ‘Abd Manaf. Syafi’ bin al-Saib (nenek ketiganya) pernah berjumpa Nabi saw, namun teragak-agak untuk menerima Islam. Adapun al-Saib adalah pemegang bendera Bani Hasyim menentang tentera Islam pada hari peperangan Badr. Beliau lalu ditawan oleh tentera Islam dan telah menebus dirinya sendiri, kemudian menganut Islam. (Ibn Khallikan, Wafayat al-A’yan, 2/312). Telah disepakati bahawa beliau lahir di Ghazzah, sebuah bandar yang berada di selatan Palestin. Bapanya meninggal semasa muda. Maka beliau hidup yatim di bawah jagaan ibunya. Ibunya bimbang gagal mendidiknya, maka ketika beliau berumur dua tahun ibunya memindahkannya ke tempat asal keturunannya iaitu Mekah (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala, 10/6). Semasa kecilnya beliau begitu gemar memanah, sehingga berjaya mengatasi saingannya. Kemudian berminat dengan bahasa ‘Arab dan sya’ir, sehingga menjadi pakar dalam bidang tersebut. Selepas itu beliau mencintai ilmu fekah, sehingga mengepalai manusia pada zamannya. (ibid, 10/6.)

Beliau terkenal dengan keikhlasannya terhadap ilmu. Walaupun amat menyayangi gurunya al-Imam Malik bin Anas dan gurunya juga menyayanginya, namun tidak pernah membuat beliau fanatik atau taksub kepada mazhab atau aliran fekah gurunya itu. Bahkan sejarah telah mencatatkan beliau telah menyanggahi pendapat-pendapat al-Imam Malik. Apabila al-Syafi’i datang ke Mesir, pada awalnya dia disambut oleh para pengikut Mazhab Malik kerana dia adalah seorang murid utama al-Imam Malik. Namun lama-kelamaan apabila mereka dapati dia menyanggahi Mazhab Malik mereka meninggal dan membantahnya. Bahkan ada di kalangan mereka yang mendoakan agar Allah mematikannya demi memelihara Mazhab Maliki (Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala‘, 10/71-72). Namun bagi al-Imam al-Syafi’i nilai taksub ini tiada padanya. Kebenaran lebih dicintai walaupun terpaksa menyanggahi gurunya sendiri. Penghormatan bukan bermaksud mengikuti setiap perkataannya. Kata al-Zahabi: “Tidak syak sesungguh al-Imam al-Syafi’i apabila tinggal di Mesir lalu menyanggahi dan melemahkan beberapa pandangan fekah para ulama semasa dari Mazhab Maliki dengan dalil-dalil al-Sunnah, maka mereka terasa perit kerananya dan mereka menyakitkannya kembali. Berlakulah antara mereka ketegangan. Semoga Allah mengampunkan kesemua mereka…”( Al-Zahabi, Siyar A’lam al-Nubala’ , 10/95). Kata Muhammad Abu Zahrah: “Sesungguhnya keikhlasan al-Syafi’i dalam menegakkan kebenaran sentiasa bersamanya sepanjang hayatnya. Sehingga dia menegakkan kebenaran di mana sahaja dia berada. Jika bertembung keikhlasannya itu dengan apa yang menjadi kebiasaan fahaman orang ramai, dia tetap akan menjelaskan pandangan-pandangannya dengan berani. Jika bertembung keikhlasannya kepada kebenaran dengan keikhlasannya kepada guru-gurunya, dia tetap akan mendahulukan kebenaran. Keikhlasannya pada gurunya al-Imam Malik tidak pernah menghalang beliau menyanggahinya selepas beliau teragak-agak untuk mengistiharkannya. Namun setelah sampai berita kepadanya bahawa ada pihak di Andalus yang meminta hujan dengan menggunakan (tawassul dengan) kopiah al-Imam Malik maka dia mengistiharkan bukunya untuk orang ramai. Tujuannya agar mereka tahu bahawa al-Malik adalah manusia yang terdedah kepada salah dan betul.” (Abu Zahrah, Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, m.s.455).

Fanatik mazhab telah menyebabkan dalam kalangan penduduk Andalus ada yang apabila berlaku kemarau atau kelewatan hujan, maka mereka akan solat istisqa’ (minta hujan) dengan meletakkan kopiah al-Imam Malik di hadapan dan bertawasul dengannya. Bahkan di kalangan pengikut Malik di Mesir ada yang apabila dibaca hadis Nabi saw, mereka menjawab dengan menyebut “berkata imam dan syaikh kami Malik…” Mereka menolak hadis demi membela pendapat imam mereka (lihat: ‘Abd al-Rahman al-Syarkawi, Aimmah al-Fiqh al-Tis’ah,http://www.qudsway.com/Links/ Islamiyiat). Al-Imam al-Syafi’i menulis kitab menjawab pandangan-pandangan al-Imam Malik demi memahamkan pengikut mazhab tersebut bahawa imam mereka tidak maksum.

Penampilannya dengan hujah dan ilmu menjadikan beliau tokoh ilmuwan yang tidak diragui kehandalannya. Bahkan beliau tersenarai dalam kalangan mujaddid yang diiktiraf umat. Namun, seperti biasa setiap tokoh mempunyai penyokong dan musuh. Dalam kalangan musuh dan penyokong itu pula ada yang melampau dan ada yang sederhana. Golongan yang melampau dalam sokongan akan memuji melebihi batasan yang patut. Demikian juga yang memusuhi apabila melampau akan menuduh dan mencipta tuduh yang bukan-bukan. Antara yang melampau memuji menyatakan di kuburnya ada tapak kaki Rasulullah saw menziarahi al-Imam al-Syafi’i. Ini juga beberapa kali disiarkan di stesyen televisyen kita. Sedangkan beliau meninggal dunia selepas hampir 200 tahun Rasulullah wafat. Jika beliau membantah kemelampauan tindakan pengikut al-Imam Malik bin Anas, apakah beliau akan redha dengan dakwaan yang seperti ini?!

Saya agak tertarik dengan ulasan Muhammad Na’im al-Irqususi terhadap riwayat mimpi Abu Ja’far yang menceritakan: “Aku lihat dalam mimpiku Nabi saw dalam masjid baginda di Madinah. Seakan aku datang dan memberi salam kepada baginda dan berkata: “Aku tulis pendapat Malik?. Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat Abu Hanifah?” Jawab baginda: Tidak!. Aku bertanya: “Aku tulis pendapat al-Syafi’i?. Baginda mengisyaratkan dengan tangan baginda begini – seakan baginda mengherdikku- “Kau kata pendapat al-Syafi’i?!! Itu bukannya pendapat, tetapi jawapan kepada sesiapa yang menyanggahi sunnahku”. Al-Irqususi mengulas: “Bila pulak mimpi menjadi hujjah di sisi ahli ilmu?!!. Malik, Abu Hanifah dan selain mereka adalah dari kalangan para imam yang adil lagi dipercayai(thiqah). Mereka berijtihad. Mereka menepati sebahagian besar apa yang mereka ijtihadkan dan tersilap dalam sesetengah perkara. Setiap orang boleh diterima dan ditolak pendapatnya. Maka apa lagi?!! (Siyar A’lam al-Nubala, 10/43). Namun riwayat mimpi seperti ini selalu dijadikan hujah oleh golongan fanatik.

Dalam kalangan fanatik permusuhan kepada imam yang agung ini ada yang menuduhnya sebagai syiah dan beberapa tuduhan yang lain. Sehingga di zamannya beliau ditanggap dan digari. Al-Zahabi (meninggal 748H) menyebut: “Sebahagian manusia mencercanya, namun itu semua menaikkan ketinggian dan kemuliaannya. Ternyata bagi yang mereka yang insaf bahawa ulasan mereka yang menyaingi beliau (al-Syafi’i) mengandungi hawa nafsu. Jarang sekali seseorang yang muncul keimamannya (ketokohan ilmunya) dan menjawab sesesiapa yang berbeza pandangan dengannya melainkan dia akan dimusuhi. Kita memohon perlindungan dengan Allah dari hawa nafsu”. (Siyar A’lam al-Nabala, 10/9).

Bahkan ada yang mencipta hadis palsu kerana fanatik kepada Mazhab Abu Hanifah lalu mencerca al-Imam al-Syafi’i. Disebut dalam hadis palsu itu, kononnya Nabi saw bersabda: “Akan ada dalam kalangan umatku seorang lelaki yang dipanggil Muhammad bin Idris (al-Syafi’i), dia memberi mudarat kepada umatku lebih daripada iblis. Akan ada pula seorang lelaki di kalangan umatku dipanggil Abu Hanifah, dia adalah lampu umatku, dia adalah lampu umatku). Hadis ini direka oleh Makmun bin Ahmad al-Harawi yang hasad dengan perkembangan pengikut al-Imam al-Syafi’i di Khurasan (Al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, m.s. 182). Kata al-Jarahi (meninggal 1162H): “Tiada suatu pun hadis sahih mengenai pujian atau cercaan terhadap Abu Hanifah dan al-Syafi’i. Semua yang disebut mengenai hal berkenaan adalah palsu lagi dusta” (al-Jarahi, Kasyf al-Khafa, 2/420). Sementara kisah bohong lain seperti dalam buku al-Rihlah ila al-Rasyid pula memfitnah al-Imam Abu Yusuf dan Muhammad bin Hasan al-Syaibani, dua tokoh dalam Mazhab Abu Hanifah berusaha membunuh al-Imam al-Syafi’i. Demikianlah timbulnya buruk-memburuk disebabkan fanatic mazhab.

Al-Imam al-Syafi’i ialah imam yang mulia seperti para imam tokoh ilmuwan silam yang lain. Mereka tidak maksum, tetapi mereka semua sarjana besar. Kita tidak perlu fanatik kepada mana-mana dalam kalangan mereka, sebaliknya membaca dan cuba memahami penghujahan mereka secara terbuka dan membaca alasan-alasan mereka secara perbandingan. Tidak pernah mereka mengajar untuk kita berkata “siapa tidak ikut mazhab aku maka dia sesat”. Bahkan mereka menggalakkan penerokaan ilmu. Kesemua kemelampauan itu datang dari golongan fanatik yang selepas mereka. Bahkan ramai yang mendakwa mazhab Syafi’i atau Hanbali atau Hanafi atau Maliki, tidak pula meneliti sendiri tulisan dan perkataan imam-imam itu, sebaliknya sekadar mengajuk dakwaan orang lain yang mendakwa demikian. Lalu ada yang menuduh orang lain tidak mazhab Syafi’i hanya kerana menyanggahi pendapatnya, padahal belum tentu pendapatnya itu sama dengan al-Imam al-Syafi’i yang sebenar. Fanatik sentiasa membuta mata ramai orang.

(Sumber: Dr Asri)

14 March 2012 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Tazkirah | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: