Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

NAK IKUT ULAMA ATAU NABI S.A.W?

Masyarakat Nusantara yang ratanya berpegang dengan mazhab Syafii apabila pergi ke Arab Saudi untuk menunaikan haji atau umrah kebanyakan mereka kini mengetahui bahawa Arab Saudi berpegang dengan mazhab Hanbali. Lalu, tidak menjadi persoalan bagi mereka, kenapa orang sana tidak membuat qunut Subuh, tidak berzikir berjemaah, tidak buat itu dan tidak buat ini. Kita tidak mempersoalkan pegangan mazhab mereka.

Begitu juga saudara Islam kita dari India, Pakistan dan Bangladesh yang berpegang dengan mazhab Hanafi apabila datang ke Malaysia mereka juga tidak mempersoalkan kenapa orang Islam di sini berqunut Subuh, berzikir berjemaah, buat itu dan buat ini. Semua ini menunjukkan masing-masing menghormati mazhab tempatan negara yang mereka kunjungi. Demikianlah yang dituntut oleh adab Islam ketika berlaku ikhtilaf (perselisihan) pendapat dalam kalangan ulama.

Maka, adalah satu perkara yang memalukan jika ada pihak luar yang datang berkunjung konon sebagai pendakwah, namun tidak tahu menghormati pegangan mazhab tempatan ini. Lalu menghukum misalnya, amalan bertakbir untuk menaikkan semangat, menyambut Maulidur Rasul SAW sebagainya sebagai amalan bidaah yang sesat dan boleh membawa masuk ke dalam neraka. Lalu bertanya secara falasi: “Kamu nak ikut Nabi ke, nak ikut ‎ulama?”

Seolah-olah ulama tempatan di tempat itu selama ini tidak berperanan, buta atau jahil tentang hukum perkara berkenaan sehingga mendiamkan sahaja mengenai hukumnya. Lalu, ia datang konon sebagai satu-satunya sang pencerah yang patut diikuti serta paling arif tentang sunah dan bidaah.

Walhal perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW belum memberi sebarang implikasi larangan secara langsung. Ini dapat difahami berdasarkan sifat kasihan belas baginda SAW kepada umatnya. Aisyah RA meriwayatkan: “Sekiranya Rasulullah SAW meninggalkan suatu amalan, padahal Baginda suka untuk beramal dengan amalan itu adalah kerana Baginda khuatir nanti orang akan ikut mengamalkannya sehingga akan diwajibkan pula (oleh Allah SWT) kepada mereka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Oleh itu, perkara yang belum jelas hukumnya perlu dipertimbangkan dengan teliti terlebih dahulu melalui kaedah fiqah yang muktabar. Bukan semestinya apabila kita meninggalkan perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW, maka bermakna kita sudah meninggalkan perkara bidaah yang sesat. Ini bukan kaedah fiqah yang tepat. Jika begitu, dia perlu meninggalkan naik kereta atau kapal terbang, jangan bersolat di masjid yang berkarpet cantik dan berhawa dingin, jangan guna pembesar suara untuk berceramah atau berkhutbah, tidak boleh menggunakan telefon pintar, apatah lagi mempunyai akaun media sosial dan sebagainya kerana semua itu tidak pernah dibuat oleh Nabi SAW.

Sedangkan kaedah yang betul, perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW dan semua perkara baharu yang datang kemudian perlu dibentangkan kepada neraca syarak sebagai pengukurnya. Maka, perkara sedemikian biasanya terdedah kepada lima hukum, sama ada wajib, sunat, harus, makruh atau haram. Selanjutnya, menjadi tugas ulama untuk menentukan hukum yang mana satu bagi perkara itu dan sesuai dengan kehendak syarak. Umumnya, perkara yang tidak menyalahi syarak boleh diterima, manakala perkara yang menyalahi syarak perlulah ditolak.

Demikianlah tradisi disiplin fiqah di sisi majoriti ulama sejak zaman-berzaman. Tiada yang mengingkarinya melainkan ilmuwan yang sempit akal fikirannya sahaja. Ini kerana neraca syarak bukan al-Quran dan sunah sahaja, bahkan di sana ada ijmak serta qiyas yang disepakati pendalilannya oleh semua ulama. Ditambah lagi dengan dalil yang tidak disepakati. Misalnya, mazhab Hanafi turut menggunakan al-istihsan, al-‘urf dan syar’u man qablana. Mazhab Maliki menambah penggunaan al-masalih al-mursalah, al-istishab dan ‘amal ahl al-Madinah. Mazhab Syafii pula cenderung menggunakan al-istishab berbanding yang lain. Mazhab Hanbali pula menggunakan al-istihsan, al-istishab dan sadd az-zara’ie’.

Demikianlah antara neraca syarak lain di sisi empat mazhab fiqah yang muktabar bagi menilai perkara yang tidak berlaku pada zaman Nabi SAW mahupun sahabat RA. Oleh itu, mereka tidak berpendapat jika ada orang yang melakukan perkara yang tidak dibuat oleh Nabi SAW, secara langsung mereka terus menghukum orang itu melakukan perkara bidaah sesat. Ini jelas cara penilaian yang agak gopoh dan kurang cermat, bukan cara penilaian secara bijaksana dan teliti sebagaimana diamalkan oleh ulama fiqah sejak berzaman. Bagaimanapun, ikhtilaf pendapat dalam kalangan ulama antara yang menerima dan menolak tentu sahaja boleh terjadi. Sebab itu, masing-masing perlu mengimplimentasikan adab ikhtilaf dalam menghadapi perbezaan pendapat sedemikian.

Catatan:
Dr. Mohd Khafidz Soroni
(Penulis adalah Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Universiti Islam Selangor (UIS) dan Ketua Kluster Hadis, Majlis Akademik ISLAMI)

Disiarkan di Berita Harian pada: 20/ 8/ 2023 @ 7:00am

21/08/2023 - Posted by | Bicara Ulama, Mutiara Kata, Perbahasan Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a comment