Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Imam di Masjidil Haram dan Makmum di bilik atau di Surau Hotel.

SOALAN:

Assalamualaikum ustaz. Saya mohon pencerahan dari dr. Alhamdulillah baru2 ini saya pulang dari mengerjakan umrah buat pertama kali. Apa yng saya tengok ramai Jemaah Malaysia yang solat di dalam surau hotel. Jadi saya musykil dan saya tanya salah seorang Jemaah yang saya kenal sah ke solat kat sini? Kenapa tak masuk solat dalam masjidil haram? Dia kata mutawwif cakap mazhab syafie tak sah tapi solat macam ni sah menurut mazhab maliki. Jadi saya mohon pencerahan dr tentang ini. Betulkah sah solat berjemaah di surau hotel sedangkan imam dalam masjdil haram?

JAWAPAN:

1) Secara ringkas solat berjemaah antara imam dan makmum yang berkedudukan bangunan yang berbeza sebagai contoh imam berada di masjid, manakala makmum di rumahnya yang berdekatan dengan masjid adalah tidak sah menurut mazhab Syafi’i. Melainkan jika dengan menepati syarat-syarat tertentu, maka solat berjemaah tersebut dikira sah. Syarat-syarat yang dimaksudkan ialah:

i. Makmum mengetahui perpindahan imam.
ii. Jarak antara akhir bangunan masjid dan makmum tidak melebihi 300 hasta.
iii. Tiada halangan yang menghalang makmum untuk sampai kepada Imam.
iv. Tiada halangan untuk makmum melihat imam, atau melihat salah seorang makmum yang boleh melihat imam.
v. Jika makmum tidak dapat melihat imam disyaratkan wujud RABITAH antara kedua-duanya.
vi. Ada kemampuan untuk sampai kepada imam tanpa perlu membelakangkan tubuh badan dari arah kiblat (izwirar dan in’itaf).

(Rujuk: al-Qawl al-Tām Fī Aḥkām al-Imām Wa al-Maʾmūm & al-Taqrīrāt al-Sadīdat)

2) Berbalik kepada amalan yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat Islam Malaysia ketika mengerjakan umrah, iaitu makmum tidak mendirikan solat berjemaah di dalam masjid bahkan mendirikannya di surau-surau hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Konsep solat berjemaah seperti ini tidak sah di sisi mazhab Syafi’i kerana tidak menepati kebanyakan syarat-syarat yang dinyatakan di atas.

3) Manakala dakwaan yang menyatakan bahawa solat berjemaah sebegini sah dan harus di sini mazhab Maliki adalah benar dan tepat ASALKAN makmum dapat mendengar suara imam dan nampak pergerakannya. Perkara ini dinyatakan oleh seorang ulama mazhab Maliki, Sheikh Ibn ‘Arafah al-Dusuqi di dalam karyanya “Hāsyiat al-Dusūqiy ʿAla al-Syarḥ al-Kabīr”, kata beliau:

إذا أراد من في الدار التي بقرب من المسجد أن يصلوا بصلاة المسجد جاز ذلك إذا كان إمام المسجد في قبلتهم يسمعونه ويرونه

Maksudnya: “Jika seseorang yang berada di rumah yang berdekatan dengan masjid ingin mendirikan solat dengan solat (yang didirikan di dalam) masjid maka hukumnya harus(sah) sekiranya Imam masjid berada di arah kiblat mereka yang mana mereka mendengar suara imam dan dapat melihatnya.”

4) Namun begitu, hukum harus dan sah ini menjadi makruh jika makmum berkedudukan jauh dari imam yang mana hanya dapat mendengar suara imam tetapi tidak dapat melihat pergerakannya, begitu juga sebaliknya. Hal ini juga dinyatakan oleh Sheikh al-Dusuqi lagi dalam rujukan yang sama:

ويكره إذا كان بعيدا يرونه ولا يسمعونه لأن صلاتهم معه على التخمين والتقدير وكذلك إذا كانوا على قرب يسمعونه ولا يرونه لحائل بينهم لأنهم لا يدرون ما يحدث

Maksudnya: “Makruh hukumnya jika imam berada di kedudukan yang jauh yang mana mereka dapat melihatnya tetapi tidak mendengar suaranya kerana solat mereka (mengikut imam itu) secara tekaan dan andaian. Begitu juga kedudukan mereka yang dekat (dengan imam) yang mana mereka mendengar suaranya tetapi tidak dapat melihatnya disebabkan Batasan di antara mereka. Ini kerana mereka tidak mengetahui apa yang berlaku kepadanya.”

5) Oleh yang demikian, solat berjemaah yang didirikan berdasarkan situasi di atas sememangnya sah di sisi ulama Malikiyyah. Namun perlu diingat, meskipun sah solat tersebut tetapi hukumnya makruh. Apabila sesuatu ibadat dikaitkan dengan perbuatan makruh, maka ia melibatkan konotasi yang kurang baik maksudnya walaupun ia tidak jatuh kepada hukum haram.

6) Menurut kaedah ilmu fiqh, sesuatu perbuatan makruh dalam solat berjemaah dilakukan maka ia menjadi sebab luputnya fadilat berjemaah. Perkara ini dinyatakan oleh Sheikh Dr. Muhammad Sidqi al-Burnu di dalam karyanya “Mausūʿat al-Qawāʿid al-Fiqhiyyat” 8/614:

كل مكروه في الجماعة يسقط فضيلتها. معنى هذه القاعدة ومدلولها إذا فعل المقتدي فعلاً مكروهاً في الصّلاة خلف إمامه، فهذا الفعل يسقط فضيلة الجماعة.

Maksudnya: “Setiap perkara makruh dalam solat berjemaah menggugurkan fadilatnya. Makna kaedah ini dan maksudnya, jika seorang makmum melakukan sesuatu perbuatan makruh di dalam solat di belakang imam, maka perbuatan ini menggugurkan fadilat solat berjemaah.”

7) Kesimpulan dari perbincangan ini, solat seseorang secara berjemaah dengan imam yang berada di dalam Masjidil Haram sedangkan makmum berada di surau hotel berdekatan, hukum solatnya tidak sah di sisi mazhab Syafi’i. Namun sah di sini mazhab Maliki, akan tetapi hukumnya makruh yang menggugurkan fadilat solat berjemaah. Walaupun sah di sisi mazhab Maliki namun ia merupakan kerugian yang besar, iaitu kehilangan pahala solat berjemaah sepertimana yang dinyatakan dalam kaedah ilmu fiqh.

8)) Perlu diingatkan bahawa seseorang yang mengerjakan solat berjemaah tidak masuk ke dalam saf yang bersambung adalah satu perbuatan yang tidak digemari oleh Rasulullah ﷺ, apatah lagi saf yang terputus jauh. Hal ini berdasarkan teguran Baginda ﷺ terhadap Abu Bakrah RA, sepertimana yang dinyatakan dalam riwayat yang sahih:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ: أَنَّهُ انْتَهَى إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ رَاكِعٌ، فَرَكَعَ قَبْلَ أَنْ يَصِلَ إِلَى الصَّفِّ، ثُمَّ مَشَى إِلَى الصَّفِّ. فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا، وَلَا تَعد. رَوَاهُ الْبُخَارِيُّ.

Abu Bakrah RA meriwayatkan bahawa beliau tiba ketika Nabi ﷺ dan Baginda ﷺ dalam keadaan rukuk, lalu beliau rukuk (setelah takbiratul ihram) sebelum masuk ke dalam saf, kemudian berjalan masuk ke dalam saf. Setelah itu ada seseorang memberitahu perkara ini kepada Nabi ﷺ, lalu Baginda ﷺ bersabda: “Semoga Allah menambahkan lagi semangat kamu, tetapi jangan ulangi (perbuatan ini).” (HR al-Bukhari)

9) Seruan kepada para mutawwif yang dihormati sekelian agar tidak menggalakkan jemaah mereka melakukan perbuatan yang merugikan diri mereka. Mutawwif selayaknya menggalakkan jemaah agar menggarap sebanyak mungkin ganjaran bukan dengan amalan yang mengurangkan pahala mereka. Manakala untuk individu yang direzekikan oleh Allah ke Tanah Haram, gunakan peluang sebaik mungkin untuk mengaut keuntungan akhirat sehinggakan tidak bermudah-mudah dalam urusan ibadah.

Wallahu A’lam


Olih: Dr. Syed Shahridzan Ben-Agil

20/06/2022 - Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | ,

No comments yet.

Leave a comment