Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apakah kedudukan wanita yang menghadapi darah istihadhah pada hukum Syarak?

Mereka adalah seperti wanita yang suci kerana darah yang keluar dari faraj mereka tidak dianggap oleh Syarak sebagai darah haid, tetapi darah penyakit atau istihadhah. Kerana itu, mereka wajib menunaikan solat dan berpuasa serta diharuskan bagi mereka perkara-perkara yang dilarang ke atas wanita yang haid (yakni tawaf, sujud, membaca al-Quran, I’tikaf, bersetubuh dengan suami dan sebagainya).

Oleh demikian, wanita Istihadhah wajib mandi apabila menyedari bahawa hari-hari haidnya telah tamat sekalipun darah masih keluar dari kemaluannya (yakni darah istihadhah). Hukum ini telah menjadi ijmak ulamak berdalilkan arahan Rasulullah s.a.w. kepada Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. (yang menghadapi masalah istihadhah); “…..tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”.

Apa maksud darah istihadhah?

Darah istihadhah ialah darah yang keluar bukan pada masa haid dan juga nifas. Darah istihadhah merangkumi;

(1)

a) Darah yang keluar sebelum umur kemungkinan haid iaitu sembilan tahun mengikut jumhur ulamak.

b) Darah yang keluar kurang dari tempoh minima haid iaitu sehari semalam mengikut mazhab Syafi’ie.

c) Darah yang keluar melebihi tempoh maksima haid atau melebihi tempoh kebiasaan haid.

d) Darah yang melebihi tempoh maksima nifas.

e) Darah yang keluar dari wanita yang hamil mengikut pandangan jumhur ulamak selain mazhab Syafi’ie.

f) Darah yang keluar melebihi umur putus haid

Darah istihadhah tidak turun dari rahim sebagaimana darah haid atau nifas, akan tetapi keluar dari urat yang dipanggil al-‘Azil

(2) Sifat darah istihadhah -menurut mazhab Syafi’ie- adalah cair dan berwarna merah terang (antara merah dan kuning).

(3)Apa caranya untuk membezakan antara darah haid dan darah istihadhah jika seorang wanita menghadapi masalah keluar darah yang berterusan atau melebihi tempoh kebiasaan haid?

Berdasarkan hadis Nabi s.a.w., ada tiga kaedah untuk ia membezakannya;

1. Dengan merujuk kepada kebiasaan haidnya yang lalu.

Ini berdasarkan sabda Nabi s.a.w. kepada Wanita yang istihadhah pertamanya hendaklah merujuk kepada kebiasaan haidnya (yakni darah-darah yang keluar pada hari-hari kebiasaan haid adalah darah haid dan adapun yang keluar pada hari berikutnya adalah istihadhah). Ini berpandukan hadis dari ‘Aisyah r.a. yang menceritakan; “Fatimah binti Abi Hubaisyh r.a telah mengadu kepada Nabi s.a.w.;‘Sesungguhnya aku kedatangan haid tanpa putus-putus. Apakah aku perlu meninggalkan solat?” Nabi s.a.w. menjawab; ‘Tidak. Sesungguhnya itu adalah darah dari urat , bukan darah haid. (Oleh demikian, janganlah kamu tinggalkan solat pada keseluruhan hari datangnya darah itu), akan tetapi kamu tinggalkan solat hanya pada hari-hari kamu biasa kedatangan haid padanya, kemudian (apabila habis hari-hari tersebut), hendaklah kamu mandi dan tunaikanlah solat”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Jadi, seorang wanita semasa menghadapi masalah tersebut, jika ia mengingati tempoh kebiasaan haidnya, hendaklah ia mengira bilangan hari haidnya mengikut tempoh kebiasaan tersebut dan darah yang keluar selepas tempoh itu dikira sebagai darah istihadhah dan ia tertakluk dengan hukum wanita istihadhah (bukan wanita haid atau nifas). Contohnya; jika ia biasa kedatangan haid selama tujuh hari, maka hendaklah ia menetapkan tempoh haidnya selama tujuh hari dan darah yang masih keluar selepas tujuh hari itu dikira istihadhah.

2. Dengan melihat kepada perbezaan darah.

Jika seorang wanita tidak mempunyai kebiasaan haid (kerana baru kedatangan haid atau melupai kebiasaan haidnya), hendaklah dirujuk kepada perbezaan darah. Ini berdasarkan hadis dari Saidatina Aisyah r.a. yang menceritakan; Fatimah binti Abi Hubaiysh r.a. menghadapi istihadhah, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya; “Sesungguhnya darah haid adalah darah berwarna hitam yang dikenali (yakni ia mempunyai bau yang dikenali oleh kaum wanita). Oleh demikian, jika kamu melihat darah sedemikian, hendaklah kamu menahan diri dari menunaikan solat. Tetapi jika kamu melihat darah berwarna lain, maka ambillah wudhuk dan kerjakanlah solat”. (Riwayat Abu Daud, an-Nasai, Ibnu Hibban dan al-Hakim. ).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa diambil kira perbezaan sifat darah di mana jika bersifat dengan warna hitam, maka ia adalah haid dan jika tidak, maka ia adalah istihadhah.

3. Dengan merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita.

Sekiranya seorang wanita tidak mengetahui kebiasaan haidnya dan begitu juga ia tidak dapat membezakan darah dengan melihat sifat-sifatnya (yakni warna darah yang keluar adalah sekata), maka ketika itu ia hendaklah merujuk kepada kebiasaan haid kebanyakan wanita iaitu enam atau tujuh hari. Ini berdasarkan hadis dari Hamnah binti Jahsyi r.a. yang menceritakan; Aku telah kedatangan haid yang banyak dan kuat. Lalu aku datang kepada Nabi s.a.w. untuk meminta fatwa dari baginda. Lalu baginda bersabda; Sesungguhnya ia (bukanlah haid, tetapi) satu tindakan jahat dari Syaitan (hingga menyebabkan kamu lupa kebiasaan haid kamu). Oleh demikian, tetapkanlah tempoh haid kamu enam atau tujuh hari sahaja, kemudian mandilah….(Riwayat Abu Dad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah. ).

Adalah wanita yang menghadapi masalah tersebut wajib merujuk kepada ulamak?

Ya, wajib ia merujuk kepada ulamak. Berkata Imam Ibnul-Jauzi dalam kitabnya (Hukum Hakam Wanita); apabila berlaku kepada seorang wanita yang kedatangan haid keadaan-keadaan yang berbeza dengan kebiasaan haidnya, wajib ke atasnya menceritakan kepada para fuqahak pada setiap apa yang berlaku (untuk mendapat pandangan Syarak serta fatwa). (Halaman 42).

Rujukan:
(1)Wahbah Zuhaili, 1/478.
(2) Al-‘Azil ; menurut kamus al-Marbawi bermaksud urat yang mengalir darinya darah istihadhah.
(3) Ibrahim Muhammad al-Jamal, hlm. 50.

(Sumber: Hafiz Amri)

6 October 2014 Posted by | Ibadah | , , | Leave a comment

Masaalah darah haid keluar selepas 15 hari

Soalan; Salam, Saya ada kemusykilan tentang tempoh haid yang berlarutan. Untuk makluman ustaz, saya menghadapi masalah haid yang panjang tempohnya sehingga lebih dari 15 hari (tetapi dalam kadar yang sedikit). Minta pandangan Ustaz tentang solat yang wajib saya jalankan, apakah sah solat walaupun pendarahan masih berlaku? Bagaimana pula tentang kebersihan, adakah sah sekiranya solat dengan memakai tuala wanita? Sekiranya tanpa memakai tuala wanita, dikhuatiri akan meleleh dan terkena kain solat. Harap bantuan Ustaz,

Jawapan;

Tempoh paling lama haid ialah 15 hari. Oleh itu, jika seorang wanita darah haidnya datang hingga melepasi 15 hari, maka yang datang selepas hari ke 15 itu bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah. Darah haid ialah darah yang normal bagi seorang wanita, adapun darah istihadhah adalah darah penyakit. Apabila puan menyedari bahawa darah yang keluar bukan lagi darah haid, akan tetapi darah istihadhah, hendaklah puan mandi wajib dan mengerjakan solat sebagaimana wanita yang suci. Namun, oleh kerana darah masih keluar, hendaklah puan mematuhi peraturan berikut setiap kali hendak mengerjakan solat;

1. Jika darah itu keluar tidak berterusan (yakni pada ketika-ketika tertentu sahaja), puan hendaklah menunggu ketika darah berhenti, kemudian bersuci dengan membersihkan faraj terlebih dahulu, kemudian mengambil wudhuk dan menunaikan solat.

2. Jika darah keluar berterusan, puan hendaklah melaksanakan kaedah bersuci sebagaimana berikut;

a) Hendaklah puan menunggu waktu solat masuk terlebih dahulu. Wanita istihadhah (dan begitu juga orang yang mengidap kencing tak lawas atau masalah seumpamanya) tidak harus ia mengambil wudhuk kecuali apabila waktu telah masuk kerana toharahnya adalah toharah darurat.

b) Mulai dengan membasuh faraj dengan sempurna

c) Setelah itu hendaklah puan membalut faraj dengan kain, tuala wanita atau sebagainya (untuk membendung darah dari mengalir keluar ketika solat).

d) Kemudian hendaklah puan segera mengambil wudhuk

e) Ketika mengambil wudhuk hendaklah puan berniat untuk membolehkan solat, bacaan al-Quran atau ibadah-ibadah lain yang disyaratkan wudhuk. Contohnya; meniatkan di dalam hati; “Sahaja aku mengambil wudhuk untuk solat kerana Allah Taala”. Tidak harus semasa mengambil wudhuk puan berniat untuk mengangkat hadas kerana hadas puan tidak akan terangkat selama darah terus mengalir keluar dari faraj kerana perkara tersebut membatalkan wudhuk.

f) Setelah selesai wudhuk hendaklah puan segera menunaikan solat, tanpa menangguh lagi.

g) Jika semasa solat itu darah masih keluar, tidak perlulah puan berhenti dari solat, sebaliknya teruskan solat kerana ia dimaafkan disebabkan keuzuran yang puan alami.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

1. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail (1/66).

2. Al-Wajiz Fi al-Fiqh al-Islami, Dr. Wahbah az-Zuhaili (1/43)

3. Fiqh at-Toharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 303, Ahkam at-Toharah, Dr. Abdul Karim Zaidan, hlm. 64.

4. Fatawa Syeikh Abu Zahrah.

5. Al-Majmuk, Imam an-Nawawi.

Sumber: http://ilmudanulamak.blogspot.com/2011/01/darah-keluar-melebihi-15-hari.html

6 October 2014 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | 1 Comment

Bersetubuh Setelah Kering Darah Haid Tetapi Belum Mandi

Imam an-Nawawi menjelaskan dalam kitab al-Majmu‘ bahawa ulama-ulama Syafi‘e mengatakan apabila perempuan yang haid itu sudah kering darahnya, maka terangkatlah beberapa perkara yang diharamkan ke atasnya seperti puasa, talak dan zhihar.

Adapun larangan kerana disebabkan hadas seperti sembahyang, tawaf, sujud Tilawah dan Syukur, i‘tikaf, memegang dan membaca al-Quran dan tinggal atau duduk dalam masjid, masih dilarang dan masih berjalan hukumnya sehinggalah dia mandi mengangkat hadas besar. Begitu juga larangan bersetubuh dan mubasyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut.

As-Sayyid al-Bakri menukilkan kata-kata Syaikh al-Islam Zakariyya al-Anshari dalam Syarh ar-Raudh, sebagaimana diharamkan bersetubuh pada akhir waktu haid, diharamkan juga bersetubuh setelah darah haid berhenti atau kering sebelum mandi mengangkat hadas besar.

Menurut jumhur ulama, hukum bersetubuh dengan perempuan yang haid sebelum dia mengangkat hadas sekalipun darahnya sudah kering atau berhenti atau bersih adalah haram sehinggalah dia terlebih dahulu mandi mengangkat hadas ataupun bertayammum (pada keadaan sah tayammumnya itu).

Begitu juga dengan mubasyarah (menyentuh) kawasan antara pusat dan lutut sehinggalah perempuan tadi mengangkat hadas besar. Jika dia tidak mendapati air, maka hendaklah dia bertayammum kerana tayammum itu bersamaan dengan mandi dalam mengangkat hadas.

Di samping itu jumhur mengatakan jika seseorang bersetubuh dengan perempuan yang sudah berhenti atau kering darah haid dan sebelum mandi, maka (sunat) ke atasnya kaffarah, iaitu bersedekah kepada orang fakir miskin dengan ½ (setengah) dinar.

Perintah Untuk Mandi Setelah Kering Darah Haid

Ulama sepakat bahawa mandi mengangkat hadas disebabkan haid dan nifas adalah wajib, iaitu apabila telah berhenti atau kering darah tersebut.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis riwayat ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha ketika Fatimah binti Abi Hubaisy menemui Baginda mengenai masalah haid dan istihadhah.
Maksudnya: “Maka jika datang haidhmu, maka kamu tinggalkanlah sembahyang, dan jika (kadar masa kebiasaan haidh) telah berlalu (tamat), maka bersihkanlah dari dirimu darah haidh (mandilah) kemudian sembahyanglah”.(Hadis riwayat al-Bukhari)

Secara dasarnya darah haid itu bukan sahaja menjijikkan kepada orang lain, malah bagi perempuan yang mengalami haid itu sendiri. Kerana itu, tegahan melakukan persetubuhan ketika haid walaupun menggunakan kondom adalah sangat tidak wajar, di samping ianya mendatangkan mudharat. Manakala dari sudut pandangan agama, hukumnya adalah haram dan melakukannya dengan sengaja merupakan dosa besar dan pelakunya disunatkan membayar kaffarah.

Menurut Imam al-Ghazali, melakukan persetubuhan sebelum mandi akan mewarisi judzam (penyakit kusta) kepada anak.

Oleh kerana itu hubungan suami isteri akan terbatas selama mana isteri belum mandi mengangkat hadas, sekalipun darah haid sudah kering atau berhenti. Maka apabila darah haid telah kering, wajiblah menyegerakan mandi untuk mengangkat hadas supaya tidak tertinggal melaksanakan ibadat yang dituntut.Wallahu’alam.

Oleh Ibnu Muslim

2 December 2011 Posted by | Ibadah | , , | 5 Comments

   

%d bloggers like this: