Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

PEMBELAAN BUAT IMAM GHAZALI RAHIMAHULLAH:

Oleh: Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

SIAPA YANG MENDAKWA ‘IMAM GHAZALI TERMASUK GOLONGAN YANG TERTIPU’ MAKA SEBENARNYA ‘DIA’ YANG TERTIPU

Kebelakangan ini kita mendengar ada penceramah yang lantang menghina Imam Ghazali, sebaiknya dinasihatkan mereka merenungi diri mereka sendiri adakah mereka ini setaraf atau tidak dengan Hujjatul Islam Imam Ghazali sebelum menghina Ulama’ hebat ini

Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan telah memasukkan Imam Ghazali sebagai sumber rujukan bagi memahami ‘Tasawwuf’ seperti dibawah ini :

http://www.muftins.gov.my/index.php/arkib2/himpunan-fatwa/171-keputusan-mesyuarat-fatwa/933-tafsiran-pegangan-dan-aqidah-ahli-sunnah-wal-jamaah

Tafsiran Pegangan dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah

Tarikh Keputusan : 25 Februari 2016

Setelah meneliti setiap pandangan ahli mesyuarat dan hujah-hujah yang dikemukakan, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H telah bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam yang sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, para sahabat dan para ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan:

1. Aqidah dan Tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ash’ari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi.

2. Fiqh dan Syariah, berdasarkan mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali.

3. Tasawwuf, berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.

Malah antara yang disebarkan adalah perkara-perkara buruk tentang Imam Ghazali berkenaan lemahnya Imam Ghazali dalam bidang hadis, tetapi benarkah dakwaan itu?

Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni (Ahli Panel Penyelidik Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan) menulis bagi menjawab dakwaan-dakwaan tersebut di bawah ini :

http://sawanih.blogspot.my/2011/12/status-imam-al-ghazali-450-505h-dalam.html?m=1

Status Imam al-Ghazali (450-505H) Dalam Ilmu Hadis

Ada seorang ustaz al-fadhil menghubungi saya bertanyakan tentang kedudukan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Ini barangkali kerana ingin menjawab persoalan mereka yang memandang rendah tentang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis. Maka saya katakan, ada sebuah kitab yang bagus dalam membincangkan masalah ini, iaitu kitab al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil bin ‘Ali al-Mahdali.

Pertamanya, amat perlu difahami apakah maksud ilmu hadis itu. Ilmu hadis yang bagaimana? Kerana ilmu hadis itu mempunyai banyak pecahan di bawahnya. Walhal, maksud kurang keupayaan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis itu sebenarnya merujuk kepada ilmu hadis tertentu, terutama berkaitan kajian sanad seperti al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, bukannya keseluruhan cabang dalam ilmu hadis. Ini kerana beliau berkeupayaan dalam ilmu mustalah al-hadith, atau riwayah al-hadith yang objektif utamanya adalah untuk membezakan mana hadith yang sahih dan mana hadith yang daif, sepertimana yang dapat dilihat dalam kitab-kitab usul al-fiqhnya, iaitu al-Mankhul dan al-Mustasfa.

Beliau juga berkeupayaan dalam mengetahui pelbagai hadis di mana telah memuatkan sebanyak lebih 4,800 buah hadis di dalam kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Iaitu suatu bilangan yang jarang ada di dalam sesebuah kitab seperti itu. Justeru, bukan kesemuanya atau sebahagian besarnya hadis daif dan munkar seperti yang didakwa oleh sesetengah orang.

Bahkan, sebahagian besar hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din adalah masih hadis-hadis sahih dan hasan, serta daif yang dapat diterima dalam bab fada’il amal (kelebihan-kelebihan amalan). Imam al-Ghazali sewajarnya lebih diberi keuzuran kerana konsep kitab Ihya’ `Ulum al-Din yang disusunnya itu ialah fada’il acmal, bukannya ahkam atau akidah. Berbanding setengah ulama yang menyusun kitab dalam bab ahkam atau akidah, tetapi memuatkannya dengan hadis-hadis daif dan munkar.

Demikian antara jawapan saya menurut apa yang terlintas di dalam kepala pada masa itu.

Hadis-Hadis Ihya’ `Ulum Al-Din

Pandangan yang mendakwa kelemahan Imam al-Ghazali dalam ilmu hadis bukanlah suatu yang baru. Zahirnya, mereka hanya mengikut pendapat yang mengatakannya demikian, terutama disebabkan hadis-hadis kitabnya Ihya’ `Ulum al-Din. Antaranya:

Kata al-Hafiz Ibn al-Jawzi (w. 597H): “Beliau memenuhi kitabnya dengan hadis-hadis yang batil yang dia tidak tahu kebatilannya” (Talbis Iblis, hlm. 190).

Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) menyatakan: “Adapun apa yang dianggap aib pada al-Ihya’ disebabkan kelemahan sebahagian hadis-hadisnya, ini kerana al-Ghazali diketahui bahawa beliau tidak mempunyai kepakaran dalam bidang hadis” (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/249).

Imam Ibn Kathir (w. 774H) berkata: “Di dalamnya banyak hadis yang gharib, munkar dan palsu” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214).

Sebanyak mana bilangannya? Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali dalam al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith, bilangan hadis-hadis dalam Ihya’ `Ulum al-Din ialah 4,848 buah hadis. Ini berpandukan kepada kitab Is‘af al-Mulihhin bi-Tartib Ahadith Ihya’ ‘Ulum al-Din susunan Syeikhuna al-Muhaddith Syeikh Mahmud Sa‘id Mamduh. Bagaimanapun, kitab tersebut hanya menyusun semula hadis-hadis yang ditakhrij oleh al-Hafiz al-‘Iraqi (w. 806H) dalam al-Mughni `an Haml al-Asfar fi al-Asfar fi Takhrij ma fi al-Ihya’ min al-Akhbar, sedangkan masih ada sebilangan kecil hadis yang tidak ditakhrijkan olehnya.

Jika Imam Taj al-Din al-Subki (w. 771H) mengira sebanyak 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya (Tabaqat al-Syafi`yyah al-Kubra, 6/287- 389). Maka bakinya jika begitu, ialah sebanyak 3,905 hadis yang masih mempunyai sanad antara sahih, hasan dan daif. Jumlah ini masih dianggap jumlah yang besar. Malah sebahagian daripada bilangan 943 hadis yang tidak ditemukan sanadnya oleh Taj al-Din al-Subki itu sebenarnya masih mempunyai sanad, dan sebahagiannya pula ada yang diperselisihkan darjatnya antara sahih, hasan, daif atau mawdu‘. Ini dapat dilihat dalam takhrij al-Hafiz al-‘Iraqi dan takhrij al-Hafiz Murtadha al-Zabidi yang lebih luas dalam Ithaf al-Sadah al-Muttaqin. (Lihat: al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith oleh Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali)

Boleh dikatakan, tidak ada kitab tasawuf yang mengandungi jumlah hadis sebanyak itu. Maka dakwaan bahawa Imam al-Ghazali hanya menceduk hadis-hadis kitabnya daripada kitab-kitab fiqh dan tasawuf barangkali dapat dipertikaikan. Ini mengukuhkan lagi pendapat bahawa beliau juga telah memetik hadis-hadis kitab Ihya’ `Ulum al-Din daripada kitab-kitab hadis itu sendiri (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 74 & 118).

Bagaimanapun, sewajarnya setiap pembaca kitab Ihya’ `Ulum al-Din berhati-hati dalam memetik hadis-hadisnya dan menelitinya menerusi takhrij al-Hafiz al-`Iraqi yang biasanya dicetak bersama-sama dengan kitab Ihya’. Meskipun adakalanya, hukum beliau berbeza dengan hukum al-Hafiz Murtadha al-Zabidi. Sekurang-kurangnya hadis daif masih dapat diamalkan dalam bab fada’il acmal.

Imam al-Ghazali Mahir Ilmu Hadis Riwayah Dan Dirayah

Bukankah Imam al-Ghazali cukup terkenal sebagai seorang faqih (ahli fiqh)? Sudah tentu beliau mahir berkaitan fiqh al-hadith, atau ilmu dirayah al-hadith. Beliau tentunya memiliki ilmu yang cukup berkaitan hadis-hadis ahkam. Oleh sebab itu, beliau mampu menghasilkan kitab-kitab fiqh yang menjadi rujukan muktabar dan diiktiraf oleh para ulama, khususnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

[*Berhubung ilmu hadis riwayah dan dirayah, saya mengikut pembahagian kebanyakan ulama, namun dengan takrifan al-Muhaddith Sayyid ‘Abdullah al-Ghumari dalam Tawjih al-‘Inayah, yang turut disepakati Prof. Dr. Abu al-Laith al-Khair Abadi. Iaitu ilmu riwayah al-hadith berkaitan para perawi dan riwayat mereka, manakala ilmu dirayah al-hadith hanya berkaitan matan hadis. Berlainan dengan Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali yang mengikut pembahagian Prof. Dr. Sayyid Muhammad ‘Alawi al-Maliki dalam al-Manhal al-Latif]

Justeru dengan ini, kita dapat lihat Imam al-Ghazali mengetahui tentang dua cabang utama ilmu hadis, iaitu ilmu riwayah al-hadith dan ilmu dirayah al-hadith. Adapun kata-kata Imam al-Ghazali dalam Qanun al-Ta’wil (hlm. 30): “Dan barang bekalanku dalam ilmu hadis adalah sedikit”. Saya berpendapat ianya adalah dalam nada tawaduk dan merendah diri, apatah lagi kerana beliau berani mengisytiharkan dirinya begitu. Dalam erti kata lain, beliau menganggap dirinya bukanlah seorang imam dalam ilmu hadis sebagaimana imam-imam hadis yang tersohor di zamannya ataupun di zaman sebelumnya. Namun, ini tidak bermakna beliau langsung tidak mengetahui ilmu hadis.

Antara imam-imam hadis di zamannya atau di zaman sebelumnya, iaitu sekitar kurun kelima hijrah ialah al-Hakim (w. 405H), Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (w. 412H), Tammam al-Dimasyqi (w. 414H), al-Lalika’i (w. 418H), Hamzah al-Sahmi (w. 427H), Abu Nu‘aim al-Asbahani (w. 430H), al-Mustaghfiri (w. 432H), Abu Zar al-Harawi (w. 434H), al-Khallal (w. 439H), Abu ‘Amru al-Dani (w. 444H), al-Qudha‘i (w. 454H), al-Bayhaqi (w. 458H), Ibn ‘Abd al-Barr (w. 463H), al-Khatib al-Baghdadi (w. 463H), Abu al-Qasim Ibn Mandah (w. 470H), al-Baji (w. 474H), al-Sam‘ani (w. 489H), al-Ruyani (w. 501H), al-Daylami (w. 509H) dan lain-lain.

Maka, dakwaan bahawa Imam al-Ghazali tidak mahir hadis perlu disemak semula. Kerana hakikatnya, ia bukan secara umum begitu. Beliau hanya tidak mendalami ilmu riwayah al-hadith dari segi kajian sanad dan praktikalnya secara lebih mendalam, dari sudut al-jarh wa al-ta’dil dan rijal al-hadith, serta dari segi periwayatan lautan kitab-kitab hadis secara sama’/talaqqi. Barangkali inilah maksud kenapa beliau menelaah Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim di akhir hayatnya, iaitu kerana ingin mendalami rijal al-hadith dalam kedua-dua kitab sahih yang agung tersebut, dan sebagai usaha permulaan bagi mendengar dan menelaah lautan kitab-kitab hadis yang amat banyak bilangannya. Sebagaimana sebahagian ulama merekodkannya di dalam kitab-kitab sanad mereka.

Jelasnya, meskipun Imam al-Ghazali bukanlah seorang imam atau tokoh besar dalam ilmu hadis, beliau dianggap masih berkeupayaan dalam ilmu hadis, riwayah dan dirayahnya.

Imam al-Ghazali Mendengar Hadis di Akhir Usia

Menurut Dr. Muhammad ‘Aqil al-Mahdali, Imam al-Ghazali telah mempelajari hadis secara wijadah (penemuan) dan juga ijazah, namun beliau tidak mempelajarinya secara sama‘ (talaqqi) kecuali di akhir hayatnya (al-Imam al-Ghazali wa ‘Ilm al-Hadith hlm. 81-83). Sebab itu, beliau berusaha untuk mengatasi kelemahannya itu, dan ini yang membawa beliau untuk mendengar Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim melalui al-Hafiz Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi.

Al-Hafiz Ibn ‘Asakir menyebutkan bahawa Imam al-Ghazali telah mendengar Sahih al-Bukhari daripada Abu Sahl Muhammad ibn ‘Abdullah al-Hafsi (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/200). Dan antara syeikh-syeikhnya yang lain dalam ilmu hadis ialah al-Hakim Abu al-Fath Nasr ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari, dan Muhammad ibn Yahya ibn Muhammad al-Syuja‘i al-Zawzani (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/220).

Kata muridnya, al-Hafiz ‘Abd al-Ghafir al-Farisi (w. 529H): “Di akhir hayatnya, beliau telah memberi tumpuan terhadap hadis Nabi al-Mustafa SAW, dan duduk bersama para ahlinya, serta menelaah al-Sahihain, al-Bukhari dan Muslim, yang mana kedua-duanya merupakan hujjah Islam. Seandainya beliau hidup lama, nescaya beliau mampu mengatasi semua orang dalam disiplin ilmu (hadis) tersebut dengan waktu yang cukup singkat yang beliau luangkan untuk memperolehinya. Tidak diragukan lagi bahwa beliau telah mendengar hadis-hadis di waktu-waktu sebelumnya, dan beliau hanya menyibukkan diri dengan mendengarnya (secara sama‘) di akhir hayat. Dan beliau tidak berkesempatan meriwayatkannya. Namun, hal itu tidak memudaratkan terhadap apa yang beliau tinggalkan dari kitab-kitab yang telah ditulis dalam bab usul, furu’ dan seluruh bahagian yang lain, yang akan kekal disebut-sebut namanya. Dan telah tertetap di sisi mereka yang menelaah dan mengambil faedah daripadanya bahwa tidak ada lagi orang terkemudian yang sebanding dengannya sesudah beliau”. (Lihat: Tabyin Kazib al-Muftari oleh al-Hafiz Ibn ‘Asakir, hlm. 296; Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/210).

Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi lagi: “Aku pernah dengar bahawa beliau telah mendengar Sunan Abi Dawud al-Sijistani dari al-Hakim Abu al-Fath al-Hakimi al-Tusi, namun saya tidak menemukan bukti sama‘nya” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212). Sebab itu, ada dikatakan bahawa Imam al-Ghazali pernah menyebut bahawa menelaah kitab Sunan Abi Dawud itu sudah memadai bagi seorang mujtahid.

Kata ‘Abd al-Ghafir al-Farisi: “Beliau juga telah mendengar berbagai-bagai hadis secara formal bersama-sama para fuqaha’. Antara yang saya temukan bukti sama‘nya ialah apa yang beliau dengar daripada kitab Mawlid al-Nabi SAW karangan Abu Bakr Ahmad bin ‘Amr ibn Abi ‘Asim al-Syaybani, riwayat al-Imam Syeikh Abu Bakr Muhammad bin al-Harith al-Asbahani, dari Abu Muhammad ‘Abdullah bin Muhammad bin Ja‘far ibn Hayyan, dari pengarangnya. Imam al-Ghazali telah mendengarnya dari Syeikh Abu ‘Abd Allah Muhammad ibn Ahmad al-Khawari – Khawar Tabaran – rahimahullah, bersama-sama dua orang anaknya, Syeikh ‘Abd al-Jabbar dan Syeikh ‘Abd al-Hamid serta sekumpulan para fuqaha’… Kitab tersebut di dalam dua juzuk yang didengar oleh beliau” (Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/212-214).

Kata al-Hafiz Ibnu ‘Asakir al-Dimasyqi (w. 571H): “Beliau telah mendengar Sahih al-Bukhari dari Abu Sahl Muhammad bin ‘Abd Allah al-Hafsi, dan menjadi guru di Madrasah Nizamiyyah di Baghdad. Kemudian beliau keluar ke Syam mengunjungi Baitul Maqdis. Beliau memasuki Dimasyq pada tahun 489H dan tinggal di sana dalam satu tempoh. Disampaikan kepadaku bahawa beliau telah menulis di sana sebahagian karya-karyanya. Kemudian beliau kembali ke Baghdad, lalu ke Khurasan. Beliau telah mengajar dalam satu tempoh di Tus. Setelah itu, beliau meninggalkan pengajaran dan perdebatan, dan menyibukkan diri dengan ibadah”. Al-Hafiz Abu Sa‘d ibn al-Sam‘ani menyebut bahawa beliau pernah mengundang Abu al-Fityan ‘Umar bin Abi al-Hasan al-Rawasi al-Hafiz al-Tusi dan memuliakan beliau, serta mendengar darinya Sahih al-Bukhari dan Sahih Muslim” (Lihat: Tabaqat al-Syafi‘iyyah al-Kubra, 6/214-215).

Menurut Ibn Kathir : “Dikatakan pada akhir hayatnya, beliau telah cenderung kepada mendengar hadith dan menghafal al-Sahihain (al-Bukhari dan Muslim)…”, “Kemudian (di akhir hayat) beliau telah pulang ke negerinya Tus dan tinggal di sana, membina sebuah ribat, membuat rumah yang baik, menanam tanam-tanaman di sebuah kebun yang indah, memberi tumpuan membaca al-Quran dan menghafal hadith-hadith sahih” (Al-Bidayah wa al-Nihayah, 12/214-215).

Jelaslah bahawa beliau bukannya langsung tidak mengetahui ilmu riwayah al-hadith, apatah lagi ilmu dirayah al-hadith yang mana beliau adalah jaguhnya dalam mazhab al-Syafi‘i.

p/s Semoga Allah menjauhkan kita dari menghina Ulama’ yang Haq

09/07/2019 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Wajib betulkan niat dalam menuntut Ilmu

pr0059

Pada mereka yang dahagakan Ilmu, berhati hatilah apabila mencarinya.Seandai berniat mencari Ilmu ini untuk berlumba lumba dan mendapat kemegahan dan terkemuka di kalangan kawan kawan dan untuk menarik perhatian orang ramai terhadap diri mu dan menghimpunkan akan kekayaan dunia, maka sebenarnya engkau telah berusaha menghancurkan agama mu dan membinasakan diri mu sendiri dan menjual akhirat mu untuk mendapat harta dunia, maka penjualan mu adalah rugi dan perniagaan mu porak peranda dan guru yang mengajar mu di kira menolong mu dalam membuat maksiat dan ia juga akan merasakan kerugian.Ketika ini guru yang mengajar mu laksana seorang yang menjual pedang kepada perompak seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "

“ Siapa yang menolong orang lain melakukan sesuatu maksiat walaupun dengan hanya setengah kalimat maka orang itu di kira berkongsi di dalam melakukan  maksiat tersebut.”

Dan jikalau niat mu dalam mencari ilmu itu untuk mencari keredhaan Allah dan mencari hidayah, bukan semata mata untuk pandai bercakap maka hendaklah engkau bergembira,  kerana para malaikat telah mengembangkan sayapnya apabila engkau berjalan dan ikan di dalam  laut semuanya meminta ampun bagi mu apabila engkau berjalan.

Tetapi sebelum itu hendaklah engkau ketahui bahawa hidayah itu adalah buah daripada ilmu dan bagi hidayah itu ada “bidayah”  (permulaan) dan ada pula “nidayah”  (kesudahan)  dan ada “zahir” dan ada pula “batinya”,dan engkau tidak akan sanpai kepada “nihayatul hidayah” dan engkau tidak akan dapat menyelami “batin hidayah” kecuali setelah engkau selesai daripada menyempurnakan segala urusan yang berkenaan dengan “zahir hidayah” itu.

 

(Pesanan Imam Al Ghazali dalam Muqaddimah Kitab nya Bidayatul Hidayah)

17/07/2013 Posted by | Tasauf, Tazkirah | , | Leave a comment

Pembahagian manusia dalam menuntut Ilmu

Dan ketahui lah bahawa manusia didalam menuntut ilmu ini terbahagi kepada tiga keadaan:

Pertama: Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka dia tidak berniat dengan mencari ilmu kecuali hanya mendapat keredhaan Allah dan negeri Akhirat.Maka orang ini termasuk di dalam golonga orang yang beruntung.

Kedua: Orang yang mencari ilmu untuk mendapatkan keuntungan yang segera (dunia) dan mendapatkan kemuliaan, pangkat dan harta benda, sedangkan dia sendiri menyedari hal ini dan merasakan didalam hatinya  akan kejahatan kejahatan yang sedang  dialaminya dan kehinaan maksudnya.Maka orang ini berada dalam golongan orang yang berbahaya .Jikalau dia mati sebelum sempat bertaubat, maka dibimbangi ia akan mati dalam keadaan su-ul khatimah  kemudian urusannya terserahlah kepada kehendak Allah ( kalau mahu di maafkan atau diseksa).Tetapi kalau dia mendapat taufiq sebelum matinya lalu dia bertaubat dan sempat mengamalkan ilmu yang telah dituntutnya dan sempat pula membuat pembetulan terhadap apa yang tercedera dan tercuai, maka bolehlah dia dikumpulkannya bersama golongan yang beruntung,kerana orang yang bertaubat daripada dosanya sama seperti orang yang tidak berdosa.

Ketiga: Orang yang telah dikuasai oleh syaitan maka ia menjadikan ilmu yang di tuntutnya sebagai alat untuk menghimpun harta benda dan bermegah megah dengan kedudukkan  dan merasa bangga dengan ramai pengikutnya. Dia menggunakan ilmu yang dituntut untuk mencapai segala hajatnya dan untuk mengaut keuntungan dunia.Walaupun demikian, dia masih terpedaya lagi dengan sangkaanya bahawa dia mempunyai kedudukkan yang tinggi di sisi Allah kerana dia masih lagi pada zahirnya menyerupai ulama.Dia bercakap seperti percakapan ulama dan berpakaian seperti pakaian ulama, pada hal zahir dan batinya penuh dengan tamak dan haloba dalam menghimpun kekayaan dunia.Orang seperti ini termasuk dalam golongan orang yang binasa,jahil dan tertipu dengan helah syaitan dan sangat tipis harapan untuk ia bertaubat kepada Allah kerana dia telah menyangka bahawa dirinya termasuk didalam golongan orang yang baik, pada hal ia telah lupa akan firman Allah Taala yang bermaksud: “ Wahai orang yang beriman, kenapa kamu memperkatakan barang yang tidak kamu amalkan?” (Surah Al Shaf – 2).

[Petikan Muqadimah Kitab Bidayatul Hidayah Imam Al Ghazali r.a)

16/07/2013 Posted by | Ibadah, Tasauf, Tazkirah | , | Leave a comment

Pesanan Imam Al Ghazali RH tentang kepentingan Ilmu Tasauf dan apakah langkah permulaan yang mesti di lalui?

pp0403

………………Dan aku teruslah bermujahadah lebih kurang sepuluh tahun lamanya, maka telah terserlah dihadapanku dicelah celah masa khalwatku (masa aku mengasingkan diri dari orang ramai) rahsia rahsia yang tidak terhingga banyaknya.Dan sesuatu yang dapat aku perkatakan disini supaya dapat diambil manfaat oleh orang ramai ialah:

Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan sepenuh keyakinan bahawasanya golongan sufi (ahli ahli tasauf), merekalah yang sebenarnya orang yang mengikuti jalan Allah swt. secara khusus dan cara hidup mereka sebaik baik cara hidup, manakala jalan yang mereka lalui adalah jalan yang paling benar dan akhlak mereka yang paling bersih.Bahkan, seandainya di himpunkan akal orang yang cerdik pandai,hikmah para Hukama (ahli ahli hikmat) dan kepakaran para Ulama yang mendalami rahsia rahsia syari’at dengan tujuan untuk merubahkan sedikit dari cara hidup ataupun akhlak mereka dan menggantikan dengan satu cara hidup atau akhlak yang lebih baik daripadanya ,sudah pasti mereka tidak akan menemuinya.Ini di sebabkan kerana segala pergerakan ahli sufi itu dan begitu juga diam mereka, sama ada zahir atau batin adalah bersumber dari pancaran cahaya kenabian.Dan sudah pasti bahawa tidak ada selain dari pancaran cahaya kenabian itu sebarang nur yang dapat dijadikan panduan bagi kehidupan di atas muka bumi ini”.

[Di petik dari Kitab Bidayatul Hidayah (Permulaan Jalan Hidayah) yang menukil dari Kitab Al Munqiz Minad Dhalal (Penyelamat dari Kesesatan)]

16/07/2013 Posted by | Tasauf, Tazkirah | | Leave a comment

Hujjatul Islam Imam al Ghazali di kritik hebat oleh golongan anti Tasawuf

Imam Al Ghazali

Pengkritik dan golongan  anti-tasawuf seringkali menuduh bahawa kitab-kitab karangan para ulama’ tasawuf sarat dengan hadith-hadith dhaif. Tuduhan paling berat pernah dihalakan kepada sosok tubuh tokoh tasawuf  dan ulama Islam agung  yang diberi gelaran “Hujjatul Islam” iaitu Imam al-Ghazali radiyallahu anhu sendiri. Mereka menuduh di dalam karyamagnum opus  empat jilid  Ihya’ Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali itu penuh dengan hadith-hadith dhaif. Sebenarnya, perbahasan berhubung dengan kedudukan hadith-hadith dhaif tidak perlulah kita bicarakan di sini kerana perbahasannya yang panjang cuma cukuplah kita nukilkan bahawa  para ulama hadith seperti al-Hakim di dalam al-Madkhal li `ilm al-hadith,  Imam al- Bayhaqi dalam Dala’il al-nubuwwah, Imam Nawawi dalam al-Tibyan fi `ulum al-qur’an. Bahkan Imam al-Sakhawi  dalam al-Qawl al-badi` fi al-salat `ala al-habib al- shafi` menyebut bahawa ianya disepakati para ulama yang membenarkan penggunaan hadith dhaif  selama mana ianya bertujuan untuk menunjukkan kelebihan-kelebihan sesuatu amalan (fadha’ilul amal) dan menggalakkan orang ramai beramal dengannya dan menjauhi dari melakukan maksiat (al-targhib wa tarhib). Status hadith dhaif tidak sama dengan hadith palsu yang sama sekali tidak boleh beramal dengannya bahkan meriwayatkannya juga haram dan berdosa. Namun kelompok pelampau ini telah menyamatarafkan hadith dhaif dan hadith palsu sebagai satu kategori sama dan mendakwa kononnya kedua-duanya tidak boleh digunakan sama sekali. Ini telah  menimbulkan kekeliruan dan keresahan  di kalangan masyarakat dan mula memandang hina terhadap hadith dhaif. Tindakan biadap sebegini tidak pernah diamalkan oleh para ulama silam yang muktabar dan justeru it kita  jangan keliru dengan propaganda para asatizah ini yang kononnya ingin membawa islah dan tajdid dalam masyarakat agar beramal hanya dengan hadith Sahih sahaja.

Imam al-Ghazali jahil ilmu hadith?

Antara tuduhan keterlaluan yang dilemparkan terhadap Hujjatul Islam Imam al-Ghazali ialah kononnya beliau jahil ilmu hadith dan kerana itulah banyak hadith-hadith dhaif dalam Ihya’ Ulumiddin. Ada juga yang mendakwa kononnya di akhir hayat beliau, Imam al-Ghazali meninggalkan tasawuf dan menjadi ahli hadith kerana beliau ditemui meninggal dunia dengan kitab Sahih Bukhari di tempat tidurnya. Harus diingati bahawa tiada manusia lain di atas mukabumi ini yang digelar “Hujjatul Islam” melainkan Imam al-Ghazali. Gelaran itu diberikan oleh masyarakat pada zamannya kerana kehebatan ilmu yang beliau miliki yang tiada tolok tandingnya. Imam Salahuddin al-Safadi (w.764) yang mengarang kitab al-Wafi, sebuah kitab biografi para ulama silam atau digelar ‘tabaqat’ yang mengandungi 14,000 para ulama menyebut bahawa bahawa “Imam al-Ghazali adalah seorang ulama mazhab Shafi’e yang tiada tandingnya di zaman beliau”.  Ulama kontemporari seperti Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa Imam al-Ghazali adalah mujaddid kurun ke-5 hijri sepertimana Imam al-Shafie di zamannya dan Umar bin Abdul Aziz di zamannya.

Yang lantang mengkritik Imam al-Ghazali sebenarnya hanya beberapa orang tokoh ulama seperti ulama anti-sufi  seperti Ibn al- Jawzi  melalui kitabnya  I`lam al-ahya’ bi aghlat al-Ihya’  dan Talbis Iblis, dan diikuti oleh Ibn Taymiyyah dan pelajarnya al-Dhahabi. Manakala majoriti ulama di zaman Imam al-Ghazali dan selepasnya semuanya mengkagumi kehebatan beliau. Hari ini kelompok ‘islah dan tajdid moden’ yang mengkritik Imam al-Ghazali mengutip kembali kritikan-kritikan ketiga-tiga orang tokoh ulama ini dan menghamburkannya kepada masyarakat sehingga masyarakat hilang hormat pada Imam al-Ghazali.

Sebagai manusia biasa, Imam al-Ghazali sudah tentu  ada kelemahannya namun sumbangan besar Imam al-Ghazali dalam ilmu akhlak atau tasawuf melalui karya Ihya Ulumiddinnya itu tidak dapat dinafikan oleh sesiapa sekalipun sehingga dikatakan “andaikata seluruh kitab-kitab di atas mukabumi ini musnah, dan tinggal Ihya sahaja, maka ianya sudah memadai untuk membimbing manusia”. Imam Fakhruddin al-Razi mengatakan bahawa “seolah-olah Allah SWT mengumpulkan seluruh ilmu di bawah satu bumbung dan menunjukkannya kepada Imam al-Ghazali”.

Ya, memang diakui bahawa hadith-hadith dalam Ihya ada yang bersifat Hadith Dhaif sepertimana senarai yang diberikan oleh Imam Tajuddin al-Subki dalam Tabaqat al-Shafi’iyyah nya, namun sebagai sebuah kitab akhlak  yang bertujuan untuk ‘menggalakan beramal dan menjauhkan maksiat’ (targhib wa tarhib), ianya dikira tidak menyalahi disiplin ilmu hadith seperti yang  kita sebut sebelum ini. Kerana itulah tokoh-tokoh hadith seperti  Imam al-Hafiz Al-`Iraqi (w. 806)  dan Imam al-Hafiz al-Zabidi (w. 1205) ketika menyemak satu persatu hadith-hadith dalam Ihya mengatakan bahawa Ihya’ secara keseluruhannya sebuah kitab tasawuf yang cukup hebat walaupun di sana ada hadith-hadith dhaif. Bahkan mereka ini, seperti Zainuddin al-Iraqi, Ibn Hajar, al-Zabidi dan ramai lagi turut mengarang Syarah berjilid-jilid kepada kitab Ihya yang hanya empat jilid.  Imam al-Safadi turut mengatakan bahawa kritikan terhadap Ihya hanya kerana di sana ada hadith-hadith dhaif tidak boleh diterima kerana kriteria ketat untuk hadith hanyalah dalam hal-hal Aqidah dan Fekah sepertimana disepakati majoriti ulama. Adapun dalam hal-hal tasawuf, akhlak atau etika, maka kelonggaran diberi di sana.

Tuduhan bahawa Imam al-Ghazali tidak belajar ilmu hadith  juga adalah tuduhan biadap yang pernah kita dengar berlegar di dalam masyarakat kita hari ini.  Ianya tidak benar samasekali, walaupun kepakaran Imam al-Ghazali lebih menonjol dalam bidang Tasawuf, namun kita tidak boleh nafikan bahawa beliau juga pernah mendalami ilmu hadith.  Ibn ‘Asakir  turut menyebut bahawa Imam al-Ghazali pernah belajar Sahih Bukhari dari Imam Abu Sahl Muhammad ibn Ahmad al-Hafsi. Manakala guru-guru hadithnya yang lain ialah seperti Imam Nasir ibn ‘Ali ibn Ahmad al-Hakimi al-Tusi, pakar hadith Imam Abu al-Fityan ‘Umar ibn Abi al-Hasan al-Ru’asi al-Dahistani dan  ramai lagi. Wallahu’alam.

 

(Sumber: http://roskiman.com/blog/2012/07/20/imam-al-ghazali/)

13/01/2013 Posted by | Bersama Tokoh, Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | , | 2 Comments

   

%d bloggers like this: