Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

SOLAT TARAWIH :IMAM BACA SURAH LIHAT MUSHAF

Adalah disunatkan bagi orang yang solat selepas membaca fatihah dia membaca surah samada solat fardu atau solat sunat dan samada imam atau yang solat sendirian.

Dan harus pula atasnya membaca surah yang pendek atau surah yang panjang atau membaca beberapa ayat daripada surah Al-Quran.

Jika seorang itu hendak membaca surah yang dia tidak menghafaznya ketika solat samada solat tarawih atau lainnya adalah harus baginya melihat kepada mushaf samada mushaf itu diletakkan di hadapannya atau dipegang pada tangannya atau yang ada pada dinding di hadapannya.

Berkata Imam Ar-Rafi’e :

فاعلم انه لو قرأ القرآن من المصحف لم يضر

Artinya : “Maka ketauilah bahawasanya kalau seorang itu membaca akan Al-Quran daripada mushaf maka ia tidak memudaratkan.” (Kitab Fathul ‘Aziz)

Dan menyebut oleh ulamak adalah bagi yang membaca dengan memandang mushaf itu mendapat dua pahala yaitu pahala membaca Quran dan pahala memandang kepada mushaf.

Tersebut pada himpunan fatwa Majlis Fatwa Negeri Mesir :

من أفضل القربات والسُّنن الحَسَنات أن يجمع الإنسان بين الحُسنيين: الصلاة، وقراءة القرآن، فيحرص على ختم القرآن الكريم في صلاته، ولما كان من غير المتيسر لكل واحد أن يقوم بذلك من حفظه تكلم الفقهاء عن إمكانية الاستعانة بالقراءة من المصحف في الصلاة، وذلك عن طريق حمله في اليد، أو وضعه على حامل يُمَكِّن المصلي من القراءة

Artinya : “Setengah dari amalan dan sunnah yang afdhal bagi mendekatkan diri kepada Allah ialah seorang itu mengumpulkan dua pekerjaan yang elok yaitu solat dan membaca Quran. Digalakkan seorang itu membaca akan Quran sampai khatam di dalam solatnya. Dan ketika adalah sukar bagi sekelian orang hendak melakukan yang demikian dengan hafalannya maka para fuqahak menyebut tentang bolehnya ia dilakukan dengan bantuan mushaf di dalam solat. Dan yang demikian itu samada dipegang akan mushaf pada tangannya atau diletakkan mushaf atas suatu yang memungkinkan orang yang solat itu membacanya.” (Darul Ifta Mesir)

TIDAK MEMBATALKAN SOLAT

Sungguhnya perbuatan membaca sambil memandang kepada mushaf itu bukanlah perkara yang membatalkan solat sekalipun dia menggerakkan tangannya kerana membalikkan helaian muka surat Al-Quran untuk membaca pada helaian yang berikutnya akan tetapi hendaklah dipelihara dari melakukan pergerakkan yang banyak kerana ia boleh membatalkan solat.

Dan begitu juga sekalipun orang yang solat itu seorang yang hafiz adalah harus dia membaca dengan memadang kepada mushaf.

Berkata Imam Nawawi :

لَوْ قَرَأَ الْقُرْآنَ مِنْ الْمُصْحَفِ لَمْ تَبْطُلْ صَلَاتُهُ سَوَاءٌ كَانَ يَحْفَظُهُ أَمْ لَا بَلْ يَجِبُ عَلَيْهِ ذَلِكَ إذَا لَمْ يَحْفَظْ الْفَاتِحَةَ كَمَا سَبَقَ وَلَوْ قَلَّبَ أَوْرَاقَهُ أَحْيَانًا فِي صَلَاتِهِ لَمْ تَبْطُلْ

Artinya : “Jikalau seorang membaca akan Quran daripada mushaf nescaya tidak batal solatnya samada dia menghafaznya atau tidak bahkan wajib atasnya yang demikian itu yakni memandang kepada mushaf apabila dia tidak menghafaz akan surah Al-Fatihah sebagaimana telah lalu sebutnya. Dan kalau seseorang membalikkan helaiannya di dalam solatnya nescaya tidak batal solatnya.” (Kitab Al-Majmu’)

Dan berkata pula oleh Imam Al-Buhuti Al-Hanbali :

وله أي المصلي القراءةُ في المصحف ولو حافظًا

Artinya : “Dan harus bagi orang yang solat itu membaca pada mushaf walaupun dia seorang yang hafiz.” (Kitab Kasyful Qina’)

Maksudnya harus ke atas orang yang solat membaca Al-Quran dengan melihat kepada mushaf sekalipun dia sudah hafaz akan ayat yang hendak dibacanya atau dia sudah hafaz sekelian Al-Quran dan tidak batal solatnya di sisi jumhur fuqahak.

Berkata Imam Nawawi lagi :

وَهَذَا الَّذِي ذَكَرْنَاهُ مِنْ أَنَّ الْقِرَاءَةَ فِي الْمُصْحَفِ لَا تُبْطِلُ الصَّلَاةَ مَذْهَبُنَا وَمَذْهَبُ مَالِكٍ وَأَبِي يُوسُفَ وَمُحَمَّدٍ واحمد

Artinya : “Dan ini yang telah kami sebutkan tentang membaca Quran pada mushaf tidak membatalkan solat ialah mazhab kami dan mazhab Imam Malik dan Abu Yusuf dan Muhammad dan Imam Ahmad.” (Kitab Al-Majmu’)

Diriwayatkan daripada Ibnu Wahab beliau berkata :

سُئِلَ مَالِكٌ , عَنْ أَهْلِ قَرْيَةٍ لَيْسَ أَحَدٌ مِنْهُمْ جَامِعًا لِلْقُرْآنِ أَتَرَى أَنْ يَجْعَلُوا مُصْحَفًا يَقْرَأُ لَهُمْ رَجُلٌ مِنْهُمْ فِيهِ؟ فَقَالَ: لَا بَأْسَ بِهِ

Artinya : “Telah disoal akan Imam Malik tentang penduduk sebuah kampung yang tiada seorang pun dari mereka yang hafaz sekelian Al-Quran bolehkah diletakkan akan mushaf di hadapan supaya membacanya oleh imam mereka itu? Maka berkata Imam Malik : Tidak mengapa dengannya.” (Kitab Mukhtasar Qiamullai)

TIDAK MELAKUKAN PERGERAKKAN YANG BANYAK

Dan sebagaimana yang telah disebut disyaratkan bahawa perbuatan orang yang solat membalikkan helaian Quran itu hendaklah dengan gerakan yang sedikit jangan sampai bergerak tangannya tiga kali berturut-turut atau sekali gerakan yang banyak kerana yang demikian itu bolih membatalkan solat maka gerakkan yang sedikit itu tidaklah membatalkan solat.

Dan kebiasannnya adalah perbuatan imam membalikkan helaian Quran ketika membaca itu termasuk perbuatan yang sedikit kerana itu ia tidak membatalkan solat sama seperti orang yang solat yang membilang akan jumlah tasbih dengan jarinya atau membilang jumlah ayat yaitu tidaklah membatalkan solat.

Berkata Imam Nawawi :

وَنَصَّ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللَّهُ: أَنَّهُ لَوْ كَانَ يَعُدُّ الْآيَاتِ فِي صَلَاتِهِ عَقْدًا بِالْيَدِ لَمْ تَبْطُلْ

Artinya : “Telah menaskan oleh Imam Syafie r.a. bahawsanya kalau seorang itu membilang akan ayat-ayat pada solatnya dengan jarinya nescaya tidak batal solatnya.” (Kitab Raudhah At-Talibin)

Menyebut olih Syeikh Ibnu Hajar pula :

وَلَوْ فَتَحَ كِتَابًا وَفَهِمَ مَا فِيهِ أَوْ قَرَأَ فِي مُصْحَفٍ وَإِنْ قَلَّبَ أَوْرَاقَهُ أَحْيَانًا لَمْ تَبْطُلْ؛ لِأَنَّ ذَلِكَ يَسِيرٌ أَوْ غَيْرُ مُتَوَالٍ لَا يُشْعِرُ بِالْإِعْرَاضِ

Artinya : “Dan kalau seorang membuka akan kitab dan memahami kandungannya atau membaca pada mushaf sekalipun dia membalikkan akan helaian-helaian muka suratnya nescaya tidak batal solatnya kerana sungguhnya (perbuatan) yang demikian itu adalah sedikit atau tidak berturut-turut yang tidak menunjukkan dia berpaling dari solat.” (Kitab Tuhfah Al-Muhjtaj)

TIDAK MENGHILANGKAN KHUSYUK

Dan hendaklah perbuatannya itu tidak menghilangkan khusyuknya kerana khusyuk lebih diutamakan dari membaca surah.

Berkata Imam Nawawi :

الْقِرَاءَةُ فِي الْمُصْحَفِ أَفْضَلُ مِنْ الْقِرَاءَةِ عَنْ ظَهْرِ الْقَلْبِ لِأَنَّهَا تَجْمَعُ الْقِرَاءَةَ وَالنَّظَرَ فِي الْمُصْحَفِ وَهُوَ عِبَادَةٌ أُخْرَى كَذَا قَالَهُ الْقَاضِي حُسَيْنٌ وَغَيْرُهُ مِنْ أَصْحَابِنَا وَنَصَّ عَلَيْهِ جَمَاعَاتٌ مِنْ السَّلَفِ وَلَمْ أَرَ فِيهِ خِلَافًا وَلَعَلَّهُمْ أَرَادُوا بِذَلِكَ فِي حَقِّ مَنْ يَسْتَوِي خُشُوعُهُ وَحُضُورُ قَلْبِهِ فِي الْحَالَيْنِ فَأَمَّا مَنْ يَزِيدُ خُشُوعُهُ وَحُضُورُ قَلْبِهِ وَتَدَبُّرُهُ فِي الْقِرَاءَةِ عن ظهر القلب وهى أَفْضَلُ فِي حَقِّهِ

Artinya : “Bermula membaca pada mushaf afdhal dari membaca dengan ingatan di dalam hati kerana sungguhnya membaca dengan melihat mushaf itu menghimpunkan akan bacaan dan memandang pada mushaf dan yaitu ibadah yang lain. Seperti demikianlah yang telah berkata oleh Al-Qadhi Husain dan lainnya dari Ashab kami dan telah menaskan atasnya oleh beberapa kumpulan daripada salaf. Dan aku tidak nampak pada perkara ini perselisihan dan mudah-mudahan para ulamak menghendaki dengan yang demikian itu pada mereka yang bersamaan khusyuknya dan hadir hatinya pada dua keadaan itu. Maka adapun mereka yang lebih khusyuk dan hadir hati dan perhatiannya pada membaca dengan ingatan di dalam hati yaitu lebih afdhal bagi hak dirinya.” (Kitab Al-Majmu’)

Sungguhnya seorang sahabat yang bernama Zakwan r.a. pernah menjadi imam kepada Aisyah r.a. dalam keadaan membaca dengan melihat kepada mushaf.

Telah diriwayatkan daripada Aisyah r.a. :

أَنَّها كانَ يَؤُمُّهَا عَبْدُهَا ذَكْوَانُ مِنَ المُصْحَفِ

Artinya : “Sungguhnya hamba lelaki bagi Aisyah r.a. yang bernama Zakwan telah menjadi imam baginya dengan membaca daripada mushaf.” (Riwayat Imam Bukhari)

Berkata Imam As-Son’ani :

استدل به على جواز قراءة المصلي من المصحف

Artinya : “Telah diambil dalil dengan hadith ini atas harus membaca oleh orang yang solat daripada mushaf.” (Kitab At-Tahbir)

Berkata Mufti Mesir Dr Nasir Farid Washil :

وكذلك القراءة من المصحف شريطة ألا يكون مضيعًا للخشوع في الصلاة؛ وذلك لما روي: أن ذكوان مولى أم المؤمنين عائشة رضي الله عنها كان يؤمها في رمضان من المصحف

Artinya : “Dan seperti demikian juga (harus) membaca dari mushaf dengan syarat bahawa janganlah ia menghilangkan khusyuknya di dalam solat. Bermula yang demikian itu kerana barang yang telah diriwayatkan bahawasanya Zakwan bekas hamba Ummul Mukminin Aisyah r.a. adalah beliau menjadi imam akan Aisyah r.a. dalam bulan Ramadhan dengan membaca daripada helaian Quran .” (Darul Ifta Mesir)

Berkata Imam Al-Maruzi :

وَسُئِلَ ابْنُ شِهَابٍ رَحِمَهُ اللَّهُ عَنِ الرَّجُلِ يَؤُمُّ النَّاسَ فِي رَمَضَانَ فِي الْمُصْحَفِ قَالَ: مَا زَالُوا يَفْعَلُونَ ذَلِكَ مُنْذُ كَانَ الْإِسْلَامُ , كَانَ خِيَارُنَا يَقْرَءُونَ فِي الْمَصَاحِفِ

Artinya : “Telah ditanya akan Imam Ibnu Syihab tentang seorang lelaki yang menjadi imam kepada manusia pada bulan Ramadhan membaca dengan memandang kepada mushaf. Kata beliau : Sentiasalah melakukan yang demikian itu oleh orang-orang semenjak awal Islam dan adalah orang-orang terpilih dari kalangan kami membaca mereka itu dengan memandang kepada mushaf.” (Kitab Mukhtasar Qiamullai)

Kesimpulannya adalah harus atas imam solat tarawih membaca akan surah di dalam solat dengan melihat kepada mushaf yang ada di hadapannya dan harus juga jika dia membaca dengan hafazan.

wallahua’lam
ustaz azhar idrus

24/04/2022 - Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a comment