Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

HUKUM BERZIKIR DENGAN “YA LATIF”


Sebuah video dihantar kepada saya mengenai seorang Ustaz di dalamnya menyampaikan bahawa tidak boleh berzikir dengan menyeru Ya Latif kerana Nabi Muhammad SAW tidak pernah melakukannya. Beliau melanjutkan bahawa oleh kerana ucapan Ya Latif termasuk dalam pengertian ibadah maka tidak dilakukan jika tiada sandaran nas.

Jawapan

Para Ulama Muktabar tidak menolak untuk seseorang yang ingin mendekatkan diri kepada Allah dengan menyeru Nama-Nama Allah dengan tambahan Ya (wahai) sebelumnya. Ia mempunyai sandaran dalam al-Qur’an dan hadith. Firman Allah Ta’ala:

وَللَّهِ ٱلأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ فَٱدْعُوهُ بِهَا

“Dan kepunyaan Allah Nama-Nama yang indah maka serulah Dia dengan Nama-Nama tersebut” (al-A’raf:180)

Dalam mentafsirkan ayat di atas, Imam al-Qurtubi mengetengahkan hadith yang menjadi asbab al-nuzul kepadanya iaitu:

قال مقاتل وغيره من المفسرين : نزلت الآية في رجل من المسلمين ، كان يقول في صلاته : يا رحمن يا رحيم . فقال رجل من مشركي مكة : أليس يزعم محمد وأصحابه أنهم يعبدون ربا واحدا ، فما بال هذا يدعو ربين اثنين ؟ فأنزل الله سبحانه وتعالى : ولله الأسماء الحسنى فادعوه بها

Imam Muqatil dan ahli tafsir yang lain berkata: Ayat ini diturunkan tentang seorang Muslim, yang biasa berkata dalam doanya: Ya Rahman Ya Rahim. Maka seorang lelaki dari kaum musyrikin Mekah mengejeknya: Bukankah Muhammad dan para sahabatnya mendakwa bahawa mereka menyembah tuhan yang satu, maka bagaimana pula dengan orang ini yang memanggil dua tuhan (Rahman dan Rahim)?” Kemudian Allah Taala mewahyukan: “Allah mempunyai Nama-Nama yang paling indah, maka berserulah kepada-Nya dengan nama-nama tersebut”.

Lalu Imam al-Qurtubi menafsirkan kalimah “serulah Dia dengan Nama-Nama-Nya”, dan didalamnya beliau ada menyebut mengenai kalimah Ya Latif, beliau berkata:

قوله تعالى : فادعوه بها أي اطلبوا منه بأسمائه ; فيطلب بكل اسم ما يليق به ، تقول : يا رحيم ارحمني ، يا حكيم احكم لي ، يا رازق ارزقني ، يا هاد اهدني ، يا فتاح افتح لي ، يا تواب تب علي ; هكذا . فإن دعوت باسم عام قلت : يا مالك ارحمني ، يا عزيز احكم لي ، يا لطيف ارزقني . وإن دعوت بالأعم الأعظم فقلت : يا ألله ; فهو متضمن لكل اسم . ولا تقول : يا رزاق اهدني ; إلا أن تريد يا رزاق ارزقني الخير . قال ابن العربي : وهكذا ، رتب دعاءك تكن من المخلصين

Adapun firman Allah: “Maka serulah Dia dengan Nama-Nama-Nya” bermaksud mohonlah kepada-Nya dengan Nama-Nama-Nya; Maka seseorang itu meminta kepada Allah dengan setiap nama yang sesuai dengan permintaannya seperti berkata: Ya Rahim, kasihanilah aku, Ya Hakim, putuskanlah untukku, Ya Razzaq, berikanlah rezeki kepadaku, Ya Hadi, bimbinglah aku, Ya Fattah, bukakanlah untukku, Ya Tawwab, bertaubatlah kepadaku; dengan demikian. Jika seseorang ingin menyeru dengan Nama Allah secara rawak, maka bolehlah berkata: Ya Malik, kasihanilah aku, wahai Ya Aziz, putuskanlah untukku, YA LATIF, berikanlah rezeki kepadaku. Dan jika saya menyeru kepada yang terbesar dari semuanya, dan berkata: Ya Tuhan; Ia termasuk setiap nama. Dan janganlah kamu berkata: Wahai Razzaq, bimbinglah aku; Kecuali anda mahu, wahai Razak, berikan saya kebaikan. Imam Ibn al-Arabi al-Maliki berkata: Maka susunlah doamu agar kamu jadi orang yang ikhlas.

Daripada kenyataan Imam al-Qurtubi di atas dapat diketahui bahawa ucapan Ya Latif adalah selari dengan makna al-Qur’an bahkan ia dianjurkan. Manakala kenyataan Imam Ibnu al-‘Arabi al-Ma’afiri al-Maliki menunjukkan bahawa menyusun doa permintaan kepada Allah dengan menyeru Nama-Nama Allah adalah sesuatu yang tidak bertentangan dengan ikhlas bahkan ia lebih memudahkan untuk menggapai ikhlas.

Kenyataan Imam al-Qurtubi di atas juga dipersetujui oleh ramai Mufassirin yang lain seperti Imam al-Baghawi, Imam al-Suyuti, Imam al-Sa’di dan lain-lain.

Adalah tidak benar dakwaan dalam video tersebut bahawa oleh kerana tiada hadith yang menyebutkan ucapan Ya Latif maka zikir seperti itu tertolak beralasankan ibadah mesti ada nas yang menyebutnya secara jelas. Kenyataan seperti ini adalah merupakan kekeliruan yang nyata dalam tradisi keilmuan, hal tersebut menjadi suatu petanda bahawa penyampai dalam video tersebut tidak mempunyai sanad ilmu yang menyambung kepada para Ulama Muktabar dalam kalangan Ahli Sunnah Wal Jama’ah.

Walaupun zikir Ya Latif tidak terdapat dalam mana-mana hadith, namun ia tetap boleh dilakukan dengan bilangan-bilangan tertentu dan pada masa-masa tertentu kerana ia termasuk dalam ibadah ghayr mahdah.

Oleh itu, amat penting untuk seseorang dapat membezakan antara ibadah mahdah dan ibadah ghair mahdah. Jika tidak, kecelaruan ilmu dan kepincangan faham akan terus terjadi dikalangan masyarakat.,

Imam Ibnu Rushd dalam kitabnya Bidayatul Mujtahid menerangkan bahawa ibadah yang dibawa oleh Rasulullah ﷺ secara umum boleh dibahagikan kepada dua iaitu:

1) Ibadah Mahdhah
2) Ibadah ghair mahdhah

Yang dimaksudkan dengan “ibadah mahdhah” ialah ibadah khusus yang pelaksanaannya terikat dengan waktu, tempat, bilangan, cara (kaifiyat), atau keadaan tertentu. Ia mempunyai rukun, syarat dan cara yang tetap.

Contohnya, solat 5 waktu dan bilangan rakaat solat, bulan puasa dan bila boleh berbuka, jumlah pusingan tawaf dan lain-lain. Hal-hal tersebut tidak boleh berubah hingga Qiamat.

Jenis ibadah ini tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan kerana pelaksanaannya adalah tertakluk kepada nas al-Qur’an dan hadith yang telah menetapkannya.

Ibadah mahdhah adalah ibadah yang dimaksudkan dalam kaedah fiqh berikut ini:

الأصل في العبادات التوقيف

Asal kepada ibadah itu adalah terhenti/terlarang/tawqifi (yakni ia perlu kepada nas al-Qur’an atau hadith untuk mengesahkannya).

Kaedah fiqh diatas hanya terpakai untuk ibadah mahdhah yang bersifat ta’abbudi sahaja bukan yang lain. Maksud ta’abbudi ialah amalan khusus yang ditetapkan Allah sebagai ibadah tanpa manusia dapat faham apakah ‘illat (alasan hukum) disebaliknya.

Dalam Fathul Bari, Imam Ibnu Hajar al-‘Asqalani juga ada menyebutkan kaedah fiqh diatas didalam bab solat Dhuha dan beliau menjelaskan bahawa kaedah tersebut adalah bukan mutlak untuk semua jenis ibadah kerana ramai ulama Shafi’iyyah yang berpegang bahawa ada ibadah-ibadah tertentu yang tidak mempunyai batasan cara dalam melakukannya.

Sekarang mari kita bincang mengenai “Ibadah ghair mahdhah” pula, ianya merupakan ibadah umum yang tidak terikat dengan mana-mana waktu, tempat, bilangan, cara dan keadaan tertentu. Kategori ibadah ini tidak mempunyai rukun, syarat atau cara yang tetap.

Untuk melaksanakannya memadai dengan adanya sandaran kepada al-Qur’an dan hadith yang berbentuk galakan atau suruhan khusus atau umum untuk melakukannya, meskipun Rasulullah ﷺ tidak pernah melakukannya sepanjang hayat Baginda. Ia termasuk dalam skop “al-tarku” seperti yang dibincangkan pada artikel sebelum ini.

Dalam ibadah ghair mahdhah terdapat keluasan dalam cara mendekatkan diri kepada Allah dengan pelbagai ragam dan bentuk kerana ia termasuk dalam keumuman ayat al-Quran berikut ini:

فاستبقوا الخيرات
Maka hendaklah kamu berlumba-lumba mengerjakan amal kebaikan
{Surah al-Baqarah:148)

Pelaksanaannya adalah terpulang kepada kesesuaian sesuatu kelompok, komuniti atau individu. Ia boleh dilakukan pada bila-bila masa dengan cara dan keadaan yang sesuai menurut syara’. Tidak wajar seseorang minta dalil hadith dari orang yang melakukan ibadah ghair mahdhah dengan cara yang tertentu.

Maka dalam konteks perbicaraan kita dalam artikel ini, seseorang tidak menunggu ada hadith yang jelas yang menyebut secara nyata ucapan Ya Latif barulah dia boleh mengamalkannya. Untuk bertanya dalil bagi setiap ibadah ghair mahdah inilah yang disebutkan oleh Imam Ibnu Arabi sebagai berikut:

“Maka apabila datang keldai-keldai yang menuntut kewujudan nas untuk setiap hukum-hakam dari yang sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya, mereka adalah orang-orang yang ditutup pintu petunjuk oleh Allah, dan mereka terkeluar dari jalan orang-orang yang mengikuti jejak langkah Salaf dan yang berada di atas jalan hidayah”.

(Ruj: ‘Aridah al-Ahwadhi Sharh Sunan al-Tirmidhi (Abwab al-Zakat, j.3, hadith no.620)

Gagalnya memahami konsep ibadah di atas, seseorang akan cenderung untuk bersikap rigid dengan menyempitkan skop ibadah dalam agama dan menolak pelbagai amalan agama yang telah diterima pakai dalam masyarakat yang selama ini dibimbing oleh para ulama sehingga melabelkan dengan pelaku bid’ah dolalah dan sebaginya.

Hal tersebut pasti akan terhindar apabila seseorang memiliki keluasan ilmu. Ulama menyebutkan sebuah formula penting dalam berinteraksi dengan situasi perbezaan pendapat, iaitu:

اذا كثُر عِلمه قلّ انكاره

“Semakin luas ilmu yang dimiliki maka akan semakin kurang dia menyalahkan orang lain”

Ini adalah kerana orang yang luas ilmunya, akan mudah untuk dia berlapang dada untuk menerima kepelbagaian cara dan jalan mendekatkan diri kepada Allah.

Ilmu agama adalah tersangat luas dan ia memerlukan bertahun-tahun lamanya untuk seseorang itu benar-benar matang dengan ilmunya.

Olih: Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari

07/07/2022 - Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | ,

No comments yet.

Leave a comment