Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Mentafsir al-Quran – Syarat dan adabnya

Surah

ISLAM merupakan agama Ilahi berpandukan kepada wahyu al-Quran. Ia adalah petunjuk hidayah dalam lautannya, tinggi fahamannya, dan tidak sampai kepada kefahamannya kecuali yang benar-benar berkecimpung dalam banyak ilmu.

Di samping itu bermuamalat kepada Allah dengan penuh ketaqwaan dalam keadaan sir dan terang-terangan, terutamanya ketika dalam banyak perkara syubhat, lataif dan hakikat yang tidak difahami kecuali sesiapa yang diberikan kurniaan Allah.

Al-Quran ialah kitab suci Allah yang diwahyukan kepada rasul-Nya Muhammad s.a.w. melalui perantaraan Jibril, mengandungi 114 surah daripada al-Fatihah hingga al-Nas.

Antara keistimewaan al-Quran ialah merupakan kitab Ilahi yang terpelihara, mukjizat, berisi penerangan dan mudah, kitab agama yang benar semuanya, sepanjang masa dan kitab insaniyah semuanya.

Hal ini telah dinyatakan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Bagaimana Kita Berinteraksi Dengan Al-Quran, halaman 17-70.

Antara matlamat-matlamat al-Quran al-Karim seperti kata al-Qardhawi :

* Mentashihkan akidah sama ada berkaitan uluhiyyah, risalah dan perbahasan.

* Membenarkan karamah insani dan hak-haknya.

* Mengajar manusia ibadah yang baik kepada Allah.

* Menyeru kepada pembersihan jiwa.

* Pembentukan usrah yang solehah.

* Mengasaskan ummah yang menjadi saksi kepada sekalian manusia.

* Dakwah kepada alam insani yang bersifat tolong menolong.

Sebahagian ulama menyatakan intipati dalam al-Quran ada empat:

* Permasalahan akidah.

* Permasalahan syariah.

* Perbandingan agama dan akhlak.

* Kisah nabi-nabi dan umat dahulu kala.

Tafsir al-Quran atau dikenali juga takwil pada definisi bahasa, membawa maksud penerangan dan pendedahan. Ini pendapat yang dikemukakan oleh ahli-ahli bahasa seperti pengarang al-Qamus, al-Bahr al-Muhit dan Tha’lab.

Pada istilahnya pula, ia adalah ilmu yang membincangkan bagaimana menyebut dengan lafaz al-Quran, madlulnya, hukum-hukumnya sama ada berbentuk satu atau tersusun dan maknanya.

Al-Suyuti menaqalkan daripada Imam Zarkasyi, definisi tafsir dengan maksud ilmu yang difaham dengannya, kitab Allah yang diturunkan kepada nabi-Nya Muhammad s.a.w. yang menerangkan makna-maknanya dan hukumnya (Lihat al-Itqan 4 / 169).

Ulama berselisih pendapat mengenai perbezaan antara kalimah tafsir dan takwil. Abu Ubaidah berpendapat ia memberi makna yang sama. Al-Gharib pula berpendapat tafsir lebih umum dan luas penggunaannya pada lafaz-lafaz dan mufradatnya dalam kitab-kitab Ilahi.

Al-Maturidi menganggap tafsir adalah memutuskan dengan apa yang dikehendaki Allah. Sedangkan takwil kembali kepada beberapa andaian. (Tarikh ilmi al-Tafsir / Dr. Ali Hasan al-‘Aridu).

Rumusan yang dapat dinyatakan bahawa menghimpunkan makna takwil dan tafsir lebih baik daripada memisahkannya. Justeru kedua-duanya memberi makna yang sama seperti pendapat Ibn Jarir.

Para ulama banyak membahaskan syarat-syarat tafsir al-Quran sebelum ditafsirkannya seperti al-Suyuti melalui kitabnya, al-Itqan Fi Ulum al-Quran, Syeikh Ibn Taimiyah dengan Mukadimah Fi Usul al-Tafsir, Ibn al-Qayyim dengan al-Tibyan Fi Aqsam al-Quran, al-Zarkasyi dengan al-Burhan, al-Zurqani dengan Manahil al-Irfan dan ramai lagi ulama.

Syarat syarat mufassir dan adab-adabnya.

* Keikhlasan.

* Iktikad yang sahih.

* Sejahtera daripada amalan dan iktikad bidaah.

* Bertaubat dan sentiasa kembali kepada Allah.

* Sentiasa berwaspada daripada terjebak mengikut hawa nafsu.

* Mempunyai pelbagai ilmu, antaranya, Ilmu lughah seperti kata Mujahid : Tidak halal bagi seseorang yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat bercakap tentang kitab Allah jika tidak arif / tahu dengan bahasa Arab.

Antara ilmu bahasa itu :

* Nahu.

* Tasrif atau Sarf.

* Istiqaq sama ada istiqaq besar atau kecil.

* Balaghah iaitu bayan ma’ani dan badi’.

* Usuluddin.

* Usul fiqh.

* Asbab al-Nuzul

– sebab-sebab diturunkan ayat.

* Nasikh dan mansukh.

* Ilmu Fikah.

* Ilmu Hadis

* Ilmu Qiraat.

* Ilmu al-Mauhibah. Al-Zarkasyi dalam al-Burhan berkata: “Ketahuilah bahawa tidak tercapai kefahaman makna wahyu dan nyata segala sir-sirnya sedangkan dalam hatinya terdapat unsur bidaah, takabbur, hawa nafsu, cinta dunia atau yang kekal melakukan maksiat, atau tidak tahqiq iman atau daif tahqiq atau bergantung kepada pendapat mufassir tanpa ilmu atau kembali kepada akalnya. Ini semua adalah hijab / terdinding daripada tafsir.”

* Ilmu Sirah.

* Ilmu Tarikh al-Adyan (agama). Ini terutamanya agama-agama samawi antaranya Yahudi, Masihi dan juga agama lain. Suka ditambah di sini ilmu-ilmu moden seperti mukjizat al-Quran mengikut sains dan lain-lain lagi.

Disyaratkan juga ahli tafsir menjauhkan perkara-perkara ini :

* Tanpa ilmu dan tidak mencukupi syarat-syarat ahli tafsir.

* Membincangkan perkara yang berada di dalam ilmu Allah semata-mata.

* Mengikut hawa nafsu.

* Tafsir ayat-ayat dengan makna yang tidak boleh ditanggungnya.

* Tafsir secara pasti seperti kehendak Allah daripada ayat ini begini-begini.

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dalam Mukadimah Fi Usul al-Tafsir halaman 83, memberi peringatan kepada golongan yang berpaling daripada tafsir al-Sahabat dan al-Tabiin tegasnya, “Sesiapa yang berpaling daripada mazhab-mazhab sahabat dan al-Tabiin, sedangkan tafsir mereka bercanggah daripada yang demikian itu, sebenarnya dia tersilap dan juga ahli bidaah.

 

Sumber: Dr. Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri,

Pensyarah Kanan Kolej Uniti, Pasir Panjang,

Port Dickson, Negeri sembilan.

(Beliau mendapat ijazah sarjana mudanya dalam bidang Syariah dari Universiti Islam Madinah, Arab Saudi. Ijazah sarjananya dalam bidang yang sama diterima dari Universiti Ulum Islamiyyah Wal Arabiyyah, Syiria. Sementara P.hd Syariah dari Universiti Sains Malaysia).

22/09/2012 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Tazkirah | , | Leave a comment

Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk “Religion and Pluralism in a Divided World” di London School of Economic (LSE) pada 18 Mac 2010 yang bercanggah dengah AKIDAH.

>TIDAK MUDAH BERLAKU ADIL DALAM PEMERINTAHAN

[RUJUKAN: Teks ucapan Versi English [Klik di sini] ; Versi Melayu [Klik di sini]; Audio [Klik di sini]

Sekurang-kurang 12 Dalil ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk “Religion and Pluralisme in a Divided World”(Agama dan Pluralisme Dalam Dua Dunia), pada 18 Mac 2010, di London School of Economic (LSE) perlu dinilai semula kerana dibimbangi bercanggah dengan akidah Islam.

Demikian penegasan yang dibuat oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady, Felo Amat Utama, International Institute of Islamic Thought and Civilization (ISTAC) dalam kertas kerjanya “Pluralisme Agama dan Anwar : Beberapa persoalan dilihat dari pandangan arus perdana Islam” yang diedarkan kepada semua peserta Wacana Sehari anjuran bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia ( MUAFAKAT), Majlis permuafakatan Badan Amal Islam Wilayah Persekutuan, Allied Coordinating Committee of Islamic NGO (ACCIN) dan Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia (YADIM) di di Masjid Wilayah Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setiap peserta dibekalkan kompilasi ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim di LSE, London (18 Mac 2010) dalam dwi-bahasa, teks asal ucapan Ketua Umum PKR itu dalam Bahasa Inggeris dan teks ucapan yang diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu. Manakala untuk menjawab teks ucapan Anwar itu, turut dilampirkan bersama kertas kerja Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady.

“Kompilasi ringkas ini adalah bagi menunjukkan satu contoh penyebaran luas fahaman Pluralisme Agama serta menjawab fahaman salah mereka yang mengusung idea yang ingin menyamaratakan semua agama”, ditulis dimuka depan kompilasi bertajuk “Menyanggah Pluralisme Agama Menyelamatkan Umat Islam Di Malaysia” itu.

12 Dalil kesalahan-kesalahan Anwar yang dikupas oleh Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady adalah seperti berikut :

1. Persoalan Ekslusif Agama (Religious Exclusivism) – hanya satu agama sahaja yang benar, manakala agama lain adalah salah.

Anwar Ibrahim : Golongan-golongan agama tertentu yang menganggap hanya satu ajaran asasi tertentu (fundamental doctrines) sahaja yang membawa ke jalan keselamatan/syurga (salvation) adalah pandangan yang silap dan tertutup. Agama-agama lain juga benar. Maka Pluralisme Agama adalah jalan penyelesaian terbaik untuk mengelakkan perpecahan tersebut.

Uthman El-Muhammady : Pluralisme yang mengajar penganutnya tentang tidak ada kebenaran mutlak dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan/kebahagian/syurga, tidak boleh diterima, malah ditolak dalam agama Islam. Sekiranya diterima anjuran Pluralisme itu maka tiada ertinya firman-firman Al Quran yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq (kebenaran) dan dengan itu kebatilan akan hilang.

2. Persoalan Pendapat Ahli Sufi Jelaluddin al-Rumi

Anwar Ibrahim : Pluralisme Agama dianjurkan sejak dari abad ke-13 lagi. Buktinya kata-kata oleh penyair sufi, Jelaluddin al-Rumi yang menyebut; “Lampu-lampunya berlainan, tetapi Cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan”(The lamps are different but the Light is the same, it comes from Beyond; If thou keep looking at the lamp, thou art lost; for thence arises the appearance of number and plurality).

Uthman El-Muhammady : Pandangan ini tidak benar kerana Jelaluddin al-Rumi adalah seorang Muslim, Sunni, bermazhab Hanafi yang bersyair dalam konteks kerangka Islam dan bukannya di luar konteks Islam. Bukannya antara agama Islam dengan agama-agama lain. Tentang simbolik ‘cahaya’ dan ‘lampu’ itu perlu dilihat dari segi amalannya sebagai seorang sufi yang bersyair dalam kerangka Islam. Ia berbicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, menuju ke alam hakikat. Namun begitu, mesti berpegang kepada syariat dan bukan meninggalkannya.

3. Persoalan Konsep Agama Adalah Universal

Anwar Ibrahim : Semua agama mempunyai pertanyaan yang sama iaitu dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? yang bermaksud persamaan universal (universal concepts) antara semua agama untuk mencari kebenaran, keadilan dan sifat keunggulan.

Uthman El-Muhammady : Konsep ini berlawanan dengan anjuran Al Quran. Kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang Allah utuskan kepada Nabi dan Rasul terakhir, Nabi Muhammad SAW.

4. Persoalan Pendapat Dante, Penyair Kristian abad ke-14

Anwar Ibrahim – Dante, penyair Kristian di Itali pada abad ke-14 menganjurkan untuk mencapai kebahagian di dunia dan akhirat bukan semata-mata dengan ‘Kuasa’ tetapi juga dengan ‘Akal’. Visi Dante ini sama dan boleh dihubungan dengan visi tokoh-tokoh Islam termasuk al Farabi dan Ibn Rush :

Uthman El-Muhammady : Dante tidak menganjurkan pluralisme agama. Beliau hanya menerima agamanya (Kristian) dan menolak agama lain. Dalam epik puisi ‘The Divine Comedy’, karya Dante, beliau meletakkan Nabi Muhammad SAW dan Saidina Ali rd ke dalam neraka. Dalam ajaran Islam, setelah turunnya al Quran maka mansuhlah semua sistem kepercayaan lain, dan ajaran Quran adalah universal. Dalam Islam, ‘Akal’ semata-mata bukan penentu kepada kesejahteraan tetapi juga bergantung kepada kepercayaan ‘Wahyu’ dan ‘Syariat’. Sebab itu al Farabi dan Ibn Rush tidak bergantung kepada ‘Akal’ tetapi beriman kepada ‘Wahyu’ Al Quran dan Syariat Nabi Muhammad SAW.

5. Persoalan Konsep Kebebasan Beragama VS Pluralisme Agama

Anwar Ibrahim : Pada hari ini wujud kebebasan beragama (freedom of religion) tetapi mengenepikan Pluralisme Agama (Religious Pluralism) yang sepatutnya kedua-duanya diperteguhkan sebagai konsep kebebasan di negara-negara yang mengamalkan demokrasi. Memihak kepada satu agama dan mengenepikan agama-agama lain adalah bertentangan dengan semangat Pluralisme Agama. Perkara ini lebih ketara di Timur Tengah dan Asia Tenggara.

Uthman El-Muhammady : Jika negara-negara Islam, adalah wajar kerajaannya berpihak kepada Islam dan memelihara syariat-syariatnya. Dalam Islam, kerajaan tidak boleh menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kerana kebenaran itu tetap ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran tersebut. Sebab itu, al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memastikan pihak kerajaan memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai apabila berlaku penyelewengan akidah ajaran Islam. Tetapi pihak kerajaan tidak boleh menganiayai pihak yang bukan Islam, mereka tetap diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.

6. Persoalan Firman Allah, ‘Tidak Ada Paksaan Dalam Agama’

Anwar Ibrahim : Al Quran sendiri menganjurkan Pluralisme Agama seperti dalam firman ‘tidak ada paksaan dalam agama’, maka mestilah perbuatan memaksakan kepercayaan seseorang ke atas orang lain bukan bersifat Islamik. Jika ayat ini ditolak maka kenyataan Al Quran itu tidak mempunyai apa-apa erti.

Uthman El-Muhammady :Tidak ada paksaan dalam agama’ (2:256) dalam Islam bermaksud bahawa umat Islam tidak boleh memaksa bukan Islam supaya memeluk Islam. Ia terletak pada pilihannya. Tetapi apabila seseorang itu sudah Islam maka ia tertakluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama Islam. Kita tidak menafsir kebebasan beragama itu bermakna kebebasan untuk murtad bagi orang Islam.

Maka umat Islam tidak seharusnya mengikuti falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama apabila falsafah itu sendiri bercanggah dengan Quran. Dalam Islam ‘freedom of conscience’ (kebebasan jiwa) bukannya kebebasan ala Barat tetapi harus tunduk dengan akidah dan syarak Islam.

7. Persoalan Konsep Menuju Kepada Yang Satu

Anwar Ibrahim : Guru Granth Sahib, Kitab Agama Sikh memberitahu kepada semua manusia bahawa seseorang yang mampu melihat semua jalan-jalan kerohanian (spiritual paths) akan membawa kepada Yang Satu dan akan menjadi bebas merdeka tetapi orang yang menyatakan kepalsuan akan turun ke dalam api neraka dan terbakar di dalamnya. Orang yang berbahagia ialah orang yang disucikan dan mereka akan berterusan tenggelam dalam nikmat Kebenaran.

Uthman El-Muhammady : Dalam Islam konsep ‘Menuju Kepada Yang Satu’ perlu dilihat dalam konteks Quran. Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu membawa kepada kekaburan, itu akan mengundang masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid juga bukannya Yang Satu, begitu juga kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, juga bukan Yang Satu dalam Al Quran.

8. Persoalan Semua Kepercayaan Agama Adalah Sama

Anwar Ibrahim : Apa juga agamanya, sama ada Islam, Kristian, Sikh, Hindu serta yang lain, saya percaya bahawa kebenaran-kebenaran yang paling tinggi (higher truths) akan mengatasi amalan- amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali..

Uthman El-Muhammady : kebenaran-kebenaran yang tertinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata-mata (mere practice) dan semua ibadatnya berpusat kepada kebenaran yang satu itu (singular truth) juga perlu dilihat dalam konteks Al Quran. Apabila diturunnya Al Quran, maka terputuslah kebenaran agama-agama lain (‘muhaiminan ‘alaih). Menurut Islam tidak ada yang benar, melainkan ajaran al-Quran.

9. Persoalan Perintah- Perintah Eksklusif (Exclusivist Claims)

Anwar Ibrahim : Hari ini, terdapat pemimpin-pemimpin agama-agama dunia tertentu yang terus menerus membuat Perintah-Perintah Eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi berbanding dengan penerimaan perkara-perkara yang disepakati bersama (commonality) yang mampu menghubungkan semua manusia. Kalaulah kita menerima hakikat bahawa memang terdapat kepelbagaian, maka Pluralisme Agama adalah jawapannya kerana mampu menyatukan. Itulah jalannya untuk membawa keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan.

Uthman El-Muhammady : Adalah janggal sekiranya umat Islam menerima Bible dan kitab-kitab lain selain Al Quran sebagai ‘wahyu’. Teori John Hick yang mengatakan hanya Pluralisme Agama yang membawa kebahagian dan syurga tidak akan mempengaruhi umat Islam yang setia dengan wahyu Al Quran.

10. Persoalan Konsep Kebebasan

Anwar Ibrahim : kaum muslimin masih lagi berterusan berprejudis; menolak nilai kebebasan bersuara (free speech), kebebasan media (free press), demokrasi, dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience). Mereka memandang budaya Pluralisme Agama sebagai satu bentuk konspirasi teragung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga dilihat sebagai jerat untuk menyeluduk masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tetapi sebenarnya ini merupakan suatu penyelewengan apabila dilihat menurut perlaksanaan hukum Islam. Di luar daripada kepentingan polisi awam, memang tidak ada kewajipan agama untuk orang Islam mengenakan undang-undang dan nilai-nilai umat Islam ke atas seluruh masyarakat.

Dari segi ideologi, sikap beku dalam pemikiran (rigidity) masih berupa penghalang kepada kemajuan dan islah. Muslimin hendaklah membebaskan diri daripada amalan-amalan lama menggunakan klise dan menjaja-jajanya (cliche-mongering) serta mengenakan label-label kepada orang, dan bergerak melewati kepentingan-kepentingan kelompok yang sempit. Penemuan semula garapan terhadap pluralisme yang asal dalam Islam sangat-sangat diperlukan.

Uthman El-Muhammady : Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan hati naluri (freedom of conscience), pada muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada orientasi Syara’: Kalau kebebasan itu tidak bertentangan dengan Syara’, maka kebebasan itu dialu-alukan, tetapi sekiranya kebebasan itu bertentangan dengan Syara’ maka ia perlu dijauhi.

Sudah tentu bagi Muslimin, Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata-mata. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektual dan rohaniah. Pihak yang berbicara tentang nilai kebebasan manusia sejagat perlu juga menghormati manusia beragama dalam mengamalkan agamanya dan bukannyahendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata-mata. Itu pun bercanggah dengan nilai hak-hak asasi manusia.

11. Persoalan Syariat Islam

Anwar Ibrahim : Syariat itu bukannya hanya tertulis di atas batu, dan ia mengalami evolusi (perubahan) secara dinamik. Demi untuk mempertahankan moderat, maka unsur utama dalam metodologi Islam mesti dipandang dalam perspektif yang menyeluruh (holistic) yang akan menjadi lebih menarik, mengikut kaedah yang bersifat universal dan kekal abadi.

Dikatakan bahawa pluralisme dalam dunia yang terbahagi-bahagi ini akan menambah lagi perpecahan kepuakan yang membawa pula kepada suara yang diulang-ulang tentang ‘pertembungan tamadun’ yang telah dan masih meletihkan yang seperti ianya sama dengan pukulan ‘gendang purba’ itu. Bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan oleh Eliot: Sejarah boleh berupa sebagai perhambaan, sejarah boleh pula berupa sebagai kebebasan.

Oleh itu, kita mesti membebas diri kita daripada penipuan konsep tentang pertembungan tamadun dan menumpukan semula perhatian kita kepada pertembungan yang menggelegak (bahaya) dalam umat Islam itu sendiri. Kita boleh melihat suatu pertembungan yang lebih merbahaya dan membimbangkan yang berlaku dalam tamadun yang sama(Islam), antara yang lama dan baharu (the old and the new), yang lemah dan kuat (the weak and the strong), moderat (liberal) dan fundamentalist (the moderates and the fundamentalists), dan antara modernis dan traditionalis (the modernists and the traditionalists).

Turki dan Indonesia dengan terang sedang merintis jalan demokrasi bagi umat Islam untuk ikutan mereka. Kemasukan Turki ke dalam Kesatuan Eropah yang segera akan berlaku juga berupa suatu kenyataan yang jelas tentang tahap demokrasi liberal dapat dicapai, walaupun, sayangnya, hambatan-hambatan yang dibentangkan di hadapannya oleh setengah negara-negara ahli itu sangat nyata memberi isyarat tentang Islamophobia yang ada. Di Asia Tenggara, Indonesia sudahpun mencapai garis penyudah [dalam amalan demokrasinya] manakala jiran-jirannya yang muslimin dalam negara masing-masing masih lagi terlekat dalam tahap permulaan jalannya.

Uthman El-Muhammady : Kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahli Sunnah tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baru yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman berzaman boleh berubah. Tetapi kalau perubahan itu melibatkan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan.

12. Persoalan Jihad

Anwar Ibrahim : Hari ini jihad dilaungkan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengesahkan perbuatan-perbuatan keganasan dalam pelbagai bentuk dan rupanya, tetapi akhirnya menjadi kabur antara garis jihad dan keganasan. Mujurlah adanya pentadbiran Obama, maka kita telah melihat sesetengah perubahan berbanding polisi Bush yang mengamalkan sifat percanggahan dan memilih bulu, dalam memerangi keganasan, dengan memberi sokongan kepada para autokrat (penguasa kuku besi) di dunia Islam di satu pihaknya, dan menjadi jaguh kebebasan dan demokrasi di satu pihak lain pula. Walaupun selepas lebih setahun semenjak pentadbirannya (Obama) itu, kita masih lagi menanti untuk melihat perubahan-perubahan yang penting (substantive) dalam isi (substance) polisi luar negara Amerika dalam hubungan dengan Dunia Islam.

Uthman El-Muhammady : Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah umat Islam (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh dijadikan dalil untuk penafsiran yang menyeluruh mewakili arus perdana umat Islam. Bagaimanapun, ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak lepas, mahupun sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Agenda Pluralisme : Gagal Jawab Surat Amaran JAKIM, Anwar Tarik Balik Ucapan di Blog

Lampiran :

1. Ucapan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertajuk “Religion and Pluralism in a Divided World” di London School of Economic (LSE) pada 18 Mac 2010. Versi English [Klik di sini] ; Versi Melayu [Klik di sini]; Audio [Klik di sini]

2. Rencana Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady bertajuk “Pluralisme Agama Dan Anwar: Beberapa Persoalan Dilihat Dari Pandangan Arus Perdana Islam”

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hick dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhirnya. Allahumma sallimna wa’I-Muslimin. Amin.

Pluralisme yang ditakrifkan sebagai kenyataan pluralisme (‘sheer fact of pluralism’) (seperti dalam laman web projek pluralisme Universiti Harvard, antara lainnya) [1] sebagai keberadaan pelbagai agama dalam sesebuah negara atau masyarakat – dalam erti ini pluralisme diamalkan dalam Islam walaupun di Madinah di zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam dan kemudiannya seperti di Andalusia dan kerajaan Othmaniah Turki.

Demikian pula pluralisme agama dalam erti adanya ruang awam di mana para penganut pelbagai agama bertemu dan berhubung serta mengadakan interaksi untuk saling memahami antara satu sama lain, itu juga sesuatu yang diterima dalam Islam, kerana kelainan umat manusia dalam kelompok-kelompok dan bangsa wujud untuk saling kenal mengenali antara sesama mereka sebagai bani Adam [2]; ini juga diterima dalam Islam semenjak zaman Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam, dan ia harmonis dengan ajaran Islam.

Tetapi pluralisme dalam erti kenisbian dalam kebenaran hakiki dan mutlak, yang mengajarkan tidak ada kebenaran mutlak yang boleh dicapai, dan tidak ada ajaran asasi yang menjamin keselamatan dan kebahagiaan, itu tidak diterima, bahkan ditolak dalam agama Islam. Kalau tidak ada erti kenyataan Qur’an yang menyebut bahawa ia datang membawa al-haq, kebenaran, dan dengan itu kebatilan hilang, kerana kebatilan memang mesti hilang [3].

Agama Islam datang dalam pusingan nubuwwah terakhir dalam sejarah umat manusia, yang selepas daripadanya tidak ada lagi nubuwwah dan kerasulan [4]; dan ia datang sebagai saksi atas sekalian ajaran di dunia, dan Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam datang sebagai saksi atas umat ini [5]. Peranan sebagai saksi atas umat manusia tentang kebenaran tidak mungkin terjadi pada orang yang mempunyai pegangan tentang ‘kebenaran yang pelbagai’ (multiple truths).

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hick yang meninggalkan sikap eksklusif Khatolik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya.

Tidak masuk akal sejahtera bagi orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut Nabi salla’Llahu ‘alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat [6], mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat [7].

Orang yang berkepercayaan seperti John Hick dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’ [8] dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya.

Pegangan seperti ini membawa kita kepada perkara-perkara yang menjadi persoalan dalam kalangan mereka yang terpengaruh dengan aliran ini ialah seperti berikut:

1. Dalam menyebut tentang sikap eksklusif dalam agama yang membawa kepada pertelingkahan, disebut oleh setengah pihak sikap eksklusif itu ada dalam Islam Syiah-Sunni-dan dalam agama Kristian yang ada pecahan-pecahannya.

Dalam Islam wacana Sunni adalah arus perdana, sebagaimana yang ternyata dalam ijma’ selepas daripada Quran dan Sunnah; maka manusia perlu menggunakannya sebagai neraca, untuk membezakan apa yang boleh diterima dan apa yang tidak dari segi intelektual dan rohaniah, bukan yang lain, kalau pihak yang bukan Islam, mereka dengan agama mereka, tetapi perlu ada toleransi dan sikap hidup bersama dengana aman, kecuali berlaku pengkhianatan.

Tentang menyebut golongan Sufi seolah-olah lain daripada Ahli Sunnah itu tidak sepatutnya berlaku, sebab, sebagaimana yang dinyatakan dalam ‘al-Farqu bainal-Firaq’ antara lainnya [9] golongan Sufi adalah sebahagian yang tidak terpisah daripada Ahli Sunnah wal-Jamaah. Dengan itu maka tidak boleh mereka itu dianggap sebagai terpisah daripada epistemologi Sunni, bahkan ia intinya.

2. Ada di kalangan mereka yang terpengaruh dengan pluralisme dengan menyebut bait-bait Jalaluddin Rumi untuk ‘mengesahkan’ aliran pluralisme agama itu. Antaranya bait yang seperti di bawah:

Lampu-lampunya berlainan, tetapi cahaya itu sama, ia datang dari seberang sana; kalau anda terus menerus melihat pada lampu, kamu tersesat; kerana dari sana timbul rupa lahir pada bilangan dan kemajmukan.

Ini boleh difahami sebenarnya bila diingatkan bahawa Rumi adalah seorang Sunni yang berpegang kepada Mazhab Hanafi, dan ia taat kepada syariat. Ia ada menyebut perkara-perkara yang tidak disetujuinya berkenaan dengan Musyrikin, Kristian dan Yahudi. Bahkan suatu masa bila ia ditanya berkenaan dengan Jesus sebagai Tuhan, ia dengan keheranan bertanya, adakah munasabah orang kurus sedemikian yang tingginya beberapa meter yang dikejar-kejar orang untuk dibunuh ke sana ke mari, ia Tuhan Pencipta sekalian alam?

Kalau ia tokoh pluralisme sebagaimana yang disangka oleh mereka yang terpengaruh dengan aliran itu ia tidak demikian.

Adapun baitnya yang menyebut tentang cahaya dan lampu itu perlu dilihat dari segi ajarannya sebagai sufi, ini bukan kenyataannya tentang falsafahnya, ini bicara tentang manusia yang perlu ‘menyeberangi’ sebelah sana bentuk rupa dalam syariat, pergi kepada hakikat, tetapi mesti berpegang kepada syariat, bukan meninggalkannya, dan menganggap ‘semua benar.’ Ertinya ia berpartisipasi dalam syariat tetapi merealisasi ‘penyaksian rohaniah’ tentang kebenaran dalam agama. Ia bukannya mengatakan ‘ya’ kepada semua sistem kepercayaan.

Ertinya ia orang yang mencapai ma’rifat kepada Allah sebenarnya dan menyedari hakikat agama yang sebenar, ia bukan semata-mata terbatas kepada mazhab-mazhab seperti dalam Ahli Sunnah ada mazhab yang empat itu, tetapi di samping menerima mazhab itu dan beramal dengannya ia mencapai musyahadah secara rohaniah dan ‘menyaksikan’ perkara sebenar agama dengan penyaksian batin sendirinya. Itulah cahaya itu; ia bukan bererti bahawa pegangannya ialah semua seistem kepercayaan membawa kepada kebenaran dan kepada syurga.

3. Berkenaan dengan adanya soalan-soalan yang kelihatan ada persamaan antara manusia seperti dari mana datangnya manusia? Apa matlamat hidupnya? Apa yang berlaku bila ia meninggal dunia? Jalan kerohanian membawa kita kepada satu pencarian sarwajagat tentang kebenaran dan usaha untuk mencapai keadilan dan sifat keunggulan, ini semua bukan bererti bahawa semua agama membawa kepada ‘salvation’ dalam erti yang diajarkan oleh Quran; kebenaran Islam adalah satu. Yang benar adalah apa yang datang terakhir sebagai ajaran sarwajagat untuk semua manusia (kaffatan linnas). Kalau tidak sejarah anbia dan sejarah Nabi Muhammad salla’Llahu ‘alaihi wa sallam tidak ada erti apa-apa.

4. Tentang ada pendapat Dante yang menulis di zamannya dalam Monarchia yang menyatakan tujuan terakhir hidup ini ada dua – kebahagiaan dalam dunia ini dan juga kebahagiaan dalam akhirat dengan berada dalam limpahan nur melihat Wajah Tuhan. Mencapai dua matlamat agung ini berlaku dengan menghadapi kesukaran yang besar. Kejayaan itu boleh tercapai:

‘hanya bila gelombang-gelombang kerakusan yang menggoda itu ditenangkan dan umat manusia berehat santai dalam ketenangan dan keamanan’

Kenyataan itu benar dari segi jiwa manusia perlu ditundukkan supaya ia menyerah kepada kebenaran dan ia berpegang kepada sifat-sifat unggul, itulah yang membawa kepada kedamaian manusia dan hilangnya konflik. Tetapi ini bukan hujah untuk pluralisme agama dalam erti Hick, yakni bahawa semuanya membawa jalan ke syurga, dan tidak ada sistem kepercayaan yang dimansuhkan kebenarannya bila datang Quran.

Pada umat Quran dengan datangnya Quran berlakulah pemansuhan semua sistem kepercayaan, dan ajaran Quran adalah sarwajagat. Lagi pula kalau ini difahami sebagai hakikat bahawa manusia menjadi sejahtera bila ia tunduk kepada otaritas ilmu dan akal, maka bukannya ini membawanya ‘bertemu’ dengan Ibn Rushd dan al-Farabi, sebab kedua-duanya tunduk kepada Shariat Muhammad s.a.w dan Quran, tetapi Dante, walaupun selepas Quran datang, ia tidak tunduk kepadanya. Ertinya ia bukan berpegang kepada pluralisme agama dalam maman seperti Hick itu.

Bahkan dalam ‘Purgatio’ dalam ‘Divine Comedy’ nya Dante meletakkan Nabi Muhammad dan Saidina Ali rd dalam neraka [10]. Dijauhkan Allah. La haula wa la quwwata illa billah.

5.. Kalaulah dikatakan sekarang keadaannya ialah bahawa kebebasan beragama yang tanpanya tidak ada pluralisme agama, adalah suatu kebebasan yang tertanam teguh sebagai kebebasan dalam perlembagaan dalam negara-negara demokrasi yang terkenal dan teguh kedudukannya, itu bukan bermakna bahawa di negeri-negeri Islam Muslimin dan kerajaannya tidak boleh memihak kepada Islam. Ini kerana dalam Islam kewajipan kerajaan Islam ialah melaksanakan ajaran Islam sampai sebaik-baiknya dan apa yang menggangu kejayaannya secara tidak patut mesti diselesaikan.

Dalam Islam kerajaan tidak boleh memilih untuk menganggap bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak, kebenaran itu mesti ada, dan negara itu mesti berpegang kepada kebenaran itu. Sebab itu al-Mawardi di Baghdad pada zamannya memastikan pihak berotoriti Islam memperbetulkan kesilapan-kesilapan orang ramai bila berlaku penyelewengan daripada ajaran Islam yang benar (kecuali orang yang berkenaan bukan Muslimin) [11]. Tetapi pihak berkuasa Muslimin tidak boleh menganiayai pihak yang bukan Islam, mereka ini diberi hak untuk mengamalkan agama mereka.

6. Tentang pendapat yang menyatakan bahawa kebebasan beragama yang terkandung dalam ayat yang bermaksud ‘Tidak ada paksaan dalam agama’ (2:256) itu dalam Islam memaksudkan bahawa kita tidak boleh memaksa orang supaya memeluk Islam, itu terletak pada pilihannya; tetapi bila ia sudah Islam tertakluk kepada undang-undang Islam, termasuk berkenaan larangan murtad daripada agama ini. Kita tidak menafsirkan kebebasan beragama itu kebebasan untuk murtad bagi orang Islam. Tidak ada pendirian itu dalam sejarah dan ilmu Islam.

Kalau hendak disebutkan perbandingan kita tidak memaksa orang untuk menjadi warganegara kita, tetapi bila ia menjadi warganegara ia tertakluk kepada undang-undang negara, ia tidak boleh berontak menentang negara itu. Dan tidak ada ‘pemberontakan’ yang melebihi ‘pemberontakan’ melawan Tuhan. Dijauhkan Allah.

Maka kita tidak seharusnya mengikut falsafah lain tentang kebebasan manusia dan agama bila falsafah itu bercanggah dengan Quran, walaupun ianya dianggap sebagai antarabangsa dan sebagainya. Demikian pula dengan kebebasan dhamir, freedom of conscience, kita memandangnya dalam konteks ajaran Syara’, kita tidak membuka ruang untuk kebebasan dhamir berjalan bila ia bercanggah dengan akidah dan aturan Syarak. Sangkaan bahawa kebebasan dhamir berjalan tanpa disiplin tidak ada dalam ajaran Islam. Kalau itu ada dalam ajaran lain itu pilihan pihak lain, bukan pilihan umat ini.

7. Berkenaan dengan orang lain yang mempunyai kepercayaan yang selain daripada Islam, kita tidak disuruh memilih untuk ‘menyerang’nya, bahkan kita dilarang ‘memaki’ apa yang menjadi pujaannya selain daripada Allah, walaupun yang secara kelihatan lembut dan berbudi, kalau tidak ia akan memaki Allah pula dalam perseteruan dan kejahilannya [12].

Kita diajarkan untuk menyeru manusia dengan hikmah kebijaksanaan (bukan putar belit), bila pihaknya sesuai digunakan kaedah itu, kemudian dengan nasihat yang baik, dan akhirnya kalau perlu berhujah, sebab pihak yang berkenaan itu degil, kita disuruh berhujah dengan ‘cara yang paling cantik’ [13].

Kita hidup dengan aman damai dan tidak mengganggunya, kecuali ia mengganggu kententeraman orang ramai. Dan kita lakukan demikian bukan untuk menjayakan pluralisme agama dalam erti John Hick tetapi dalam erti ‘bagi kamu agama kamu bagiku agamaku’ dalam surah al-Kaafirun, dan dalam erti yang diajarkan dalam Perlembagaan Madinah, sebagaimana yang tercatit dalam ‘Sirah ibn Ishaq’ yang di dalamnya orang Yahudi mengamalkan agama mereka dan orang Kristian mengamalkan agama mereka, tetapi mereka adalah ‘umat yang satu lain daripada manusia lain’ (dalam erti entiti siasah dan bernegara).

8. Adapun berkenaan dengan ayat tentang kejadian manusia berkaum-kaum dan bersuku-suku untuk kenal mengenali antara satu sama lain (bukan untuk bermusuh), itu memang benar, dan dihujungnya dinyatakan dengan terang dan tegas bahawa yang paling mulia di kalangan manusia ialah mereka yang paling bertaqwa (dalam erti paling menjaga suruhan dan larangan Allah) [14]..

Ayat ini tidak boleh digunakan untuk memberi keabsahan kepada teori Hick tentang pluralisme agama dalam erti semuanya membawa kepada ‘salvation’.

9. Tentang adanya kenyataan dalam kitab agama lain yang menyatakan bahawa orang yang mampu melihat bahawa semua jalan membawa kepada Yang Satu, itupun perlu dilihat dalam konteks Quran sebagai ‘muhaiminan ’alaih [15] dalam erti ia menjaga erti-erti asasi dalam ajaran agama dan ‘membenarkan [kebenaran] yang terdahulu daripadanya [di kalangan anbia])’. Jalan yang dimaksudkan itu, kalau dalam Islam ialah jalan-jalan rohani yang sahih dalam ajaran para imam dan benar, bukan ‘jalan pemikiran’ para ‘pemikir’ dalam erti Barat yang tidak mempercayai wahyu dan nubuwwah serta tauhid, apa lagi kalau dalam pascamodenisme.

Tentang sistem kepercayaan lain yang menyebut semua jalan membawa kepada Yang Satu, kalau Yang Satu itu ialah kebenaran tauhid dalam Islam, maka itu tidak menjadi masalah; tetapi kalau semua sistem kepercayaan difahami membawa kepada Yang Satu yang kabur, itu menjadi masalah. Penyembahan Berhala bukan Yang Satu, Penyembahan Tuhan yang bukan secara tauhid bukannya Yang Satu; kepercayaan tentang sesuatu kuasa ghaib yang kabur, mengatasi yang lain, bukan Yang Satu dalam Quran. Pokoknya bergantung kepada kedudukan Quran sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’ yang berupa pengawal kebenaran dalam erti-erti pengajaran agama, sebagaimana yang dihuraikan oleh teks-teks arus perdananya.

10. Tentang pandangan yang mengatakan bahawa apa juga agamanya, sama ada ia itu Islam, Kristian, Sikh, Hindu dan banyak lagi yang lain, dipercayai ialah bahawa kebenaran-kebenaran yang lebih tinggi (higher truths) yang mengatasi amalan-amalan semata (mere practice) dan ibadat semuanya terpusat atas kebenaran yang satu itu (singular truth): bahawa dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali, ini juga perlu dilihat dalam rangka Quran sebagai ‘muhaiminan ‘alaih’.

Bila ini diambil sebagai neraca maka yang diambil kira bukan sahaja ‘kebenaran yang satu (secara tauhid yang sebenar)’ tetapi juga bentuk-bentuk amalan yang dilakukan, adakah ia sesuai dengan ajaran Quran atau tidak. Kalau tidak, maka kedudukannya adalah memang demikian.

Keringanan boleh berlaku bila itu adalah natijah daripada tidak sampai dakwah secara benar, atau tidak terdedahnya pihak yang berkenaan daripada kebenaran yang sebenar, atau orangnya berada dalam zaman fatrah yang tidak ada Rasul yang membawa kebenaran. Ajaran tentang semua ini kekal hingga ke akhir zaman. Tidak ada pemikiran falsafah dan penemuan akademik yang membatalkannya, bagaimana juga cerdik dan pintar orangnya. Selamat dan berbahagialah mereka yang tunduk kepada dan menerima kebenaran serta mengamalkannya, lebih-lebih lagilah merealisasinya dengan tahkiknya. Amin.

11. Tentang pandangan yang menyatakan bahawa ada pemimpin-pemimpin tertentu agama-agama dunia yang terus menerus membuat dakwaan yang eksklusif (exclusivist claims) tentang mereka memiliki kebenaran yang kekal abadi dan tidak sangat menerima perkara-perkara yang sama (commonality) yang menghubungkan manusia semua dalam pelbagai agama, dan bahawa kalaulah diterima dasar persatuan dalam kepelbagaian, maka pluralisme agama menjadi satu tenaga penyatuan, bukan sebab bagi perpecahan, dan dinyatakan bahawa itu jalannya untuk menarik kita keluar daripada kegelapan kepada cahaya, daripada perang kepada damai, daripada kebencian dan kejahatan kepada kasih-sayang dan kebaikan, ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan secara serius.

Pertamanya, kalau dilihat dari segi Islam pengakuan itu dibuat oleh Muslimin daripada pengakuan Tuhan sendiri yang menyatakan bahawa Islam ini kebenaran sediakala yang ada dalam ajaran semua anbia dalam sejarah manusia, dan kedatangan Islam adalah untuk membenarkan kebenaran yang sediakala itu; kemudian ia datang untuk membuat pembetulan terhadap unsur-unsur yang terubah dalam ajaran agama-agama, dengan itu ia membuat koreksi. Maka Muslimin membuat kenyataan itu atas perintah Tuhan dalam wahyuNya.

Adalah janggal tidak terkira lagi kalau ada orang yang menerima Bible atau sebagainya sebagai ‘wahyu’ tetapi dalam masa yang sama menafikan yang demikian dalam hubungan dengan Quran, walhal Quran datang dalam suluhan sejarah yang terang benderang (in the full day light of history). Dalam erti ini pengakuan Muslimin adalah pengakuan yang setia dengan agama para anbia, tidak dipengaruhi oleh andaian-andaian (zann yang disebut dalam Quran) para pemikir, bagaimana bijak dan pintar mereka itu sekalipun. Maka pengakuan ini mesti dibuat dan dipertahankan; dan teori John Hick tentang pluralisme agama yang menjamin syurga untuk semua tidak mempengaruhi Muslimin yang setia dengan wahyu Qurannya.

Dan keduanya Muslimin terus menerus menegaskan bahawa keadaan damai ialah bila manusia berakhlak mulia dan tidak berkhianat dalam akhlaknya, serta tidak mengamalkan nilai ganda (double standard), untuk diri lain untuk orang lain, lain. Dan manusia boleh aman kalau mereka mengamalkan apa yang disuruh oleh Nabi s.a.w. Sebab itu baginda menunjukkan jalan itu antaranya dalam Perlembagaan Madinah. Tetapi bila pihak yang satu lagi belot, maka berlakulah apa yang telah berlaku itu. Allahumma sallimna wal-Muslimin.

12. Pengamatan yang menyebutkan bagaimana masih ada pula pendapat yang menyebut tentang Muslimin bahawa masih berterusan adanya masalah mereka yang menolak nilai kebebasan bersuara, kebebasan media, demokrasi dan kemerdekaan dhamir (freedom of conscience). Mereka memandang budaya pluralisme agama sebagai satu bahagian daripada konspirasi agung oleh ‘pihak lain’, terutamanya Kristian, untuk mengembangkan ajarannya dan menjadikan Muslimin memeluk agama Kristian. Pluralisme juga adalah jerat bagi menyeludup masuk demokrasi ala Barat melalui pintu belakang.

Tentang pengamatan demikian ada beberapa perkara yang perlu diperhatikan. Antaranya ialah nilai-nilai kebebasan bersuara, kebebasan media dan yang sepertinya tentang demokrasi dan kebebasan dhamir, itu semua pada Muslimin adalah perkara-perkara yang mesti tunduk kepada otaritas Syara’: Kalau kebebasan bersuara itu sesuai dengan Syara’, tidak membawa kepada yang terlarang, kebebasan dhamir, demikian seterusnya, kalau tidak bercanggah dengan Syara’, bahkan lebih-lebih lagi menjayakan Syara’, maka sudah tentu itu tidak ditentang.

Sudah tentu bagi Muslimin Syara’ mengatasi bahan pemikiran para pemikir semata; lainlah kalau petkara yang demikian datang daripada mujadid yang diakui dalam Ahli Sunnah. Kalau diletakkan pemikiran-pemikiran dari para pemikir mengatasi Syara’ dan ijma’, itu adalah malapetaka intelektual dan rohaniah, dijauhkan Allah.

Soalnya bukan menolak seratus peratus dan menerima seratus peratus; apa yang baik diambil apa yang tidak baik tidak diambil. Pihak yang berbicara tentang kebebasan manusia sejagat perlu menghormati manusia beragama mengamalkan agamanya dan bukannya hendak membatalkan amalan pihak lain dan mempromosikan haknya semata. Itu bercanggah dengan hak asasi manusia.

13. Berhubungan dengan kemungkinan adanya persamaan antara amalan ‘mantra’ dan ‘Lords Prayer’ dan apa juga, maka bagi Muslimin itu perlu dilihat dalam rangka Quran sebagai penjaga atas erti-erti ajaran suci dalam sejarah manusia, tuntutan Syara’ dan Ijma’. Kalau ada persamaan itu, maka masih kelihatan ada peninggalan-peninggalan tentang persamaan itu. Tetapi kebenaran dengan kepenuhan, kedalaman serta kesempurnaannya ada pada wahyu terakhir dalam sejarah umat manusia. Selamatlah mereka yang menerimanya beramal dengannya.

Mereka yang lain daripadanya bertanggungjawab atas perbuatan mereka, apa jua alasan-alasan yang dikemukakan untuk mempertahankannya. Dalam bermuamalah dengan para pemeluk sistem kepercayaan lain, Muslimin mesti mengamalkan akhlak yang mulia dan menghormati pihak lain itu, dan jangan sekali-kali menunjukkan penghinaan terhadap pihak lain dengan apa cara sekalipun.

14. Tentang pendapat yang menyebut Syariat bukan tertulis ‘pada batu’ dan ia mengalami evolusi yang dinamis (the Shari’ah was never cast in stone and evolves continuously through this dynamic process), maka kita perlu melihat kenyataan ini dalam suluhan ajaran Islam tentang ada bahagian-bahagian Syara’ yang kekal dan ada yang berubah-ubah, dan bukan semuanya berubah-ubah. Akidah Ahli Sunnah tidak berubah; perincian-perincian Syara’ berkenaan dengan perkara-perkara baru yang tidak ada dalam nas secara terang-nyata dari fatwa-fatwa zaman demi zaman boleh berubah. Kalau ini difahami demikian maka tidak ada masalah.

Tetapi kalau itu melibatkan perubahan-perubahan seperti menghalalkan persetubuhan haram, judi, zina, menghalalkan yang haram dalam ijma’, kerana terpengaruh dengan ‘penemuan-penemuan’ para pemikir, ini tidak dibolehkan. Kalau itu membawa kepada pendirian bahawa posisi Quran terinjak kerana pemikiran orang-orang seperti John Hick dan yang sepertinya, itu tidak dibolehkan.

15. Kalau dalam suasana semasa ada penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) itu tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arus perdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

16. Akhirnya kita mesti kembali kepada wacana arus perdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenarannya, apa pun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam Liberalis, pluralis agama, pihak perennalists dan sesiapa pun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain dan dalam batasan-batasan yang wajar.

Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali. Wallahu a’lam. Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.

Antara sumber-sumber rujukan mengenai tajuk ini ialah:

1. Abdul Rashid Moten, “Religious Pluralism in Democratic Societies: Challenges and Prospects for Southeast Asia, Europe, and the United States in the New Millenmium.” Contemporary Southeast Asia. Journal Volume: 29, Issue: 1. 2007. pp 204 ff, 2007 Institute of Southeast Asian Studies (ISEAS).
2. Brad Stetson, Pluralism and Particularity in Religious Belief. Praeger Publisher. Westport, CT. 1994.
3. Jeannine Hill Fletcher, Article Religious Pluralism in an Era of Globalization: The Making of Modern Religious Identity.” Journal: Theological Studies. Volume: 69. Issue: 2, 2008. pp. 394 ff.
4. J. Gordon Melton, Article: “Religious Pluralism : Probelems and Prospects” Journal: Brigham Young University Law Review. Volume: 2001 Issue: 2, 2001.
5. Jung H. Lee, Article: “Problems of Religious Pluralism: in a Zen Critique of John Hick’s Ontological Monomorphism” Journal: Philosophy East & West. Volume: 48 Issue: 3. Publication Year: 1998.p. 453+.
6. Lucas Swaine, The Liberal Conscience: Politics and Principle in a World of Religious Pluralism. Columbia University Press. New York. 2004.
7. Micheal Jinkins – Christianity, Tolerance and Pluralism: A Theological Engagement with Isaiah Berlin’s Social Theory. Routledge. New York. 2004.
8. Peter G. Danchin – editor, Elizabeth A. Cole – editor, Protecting the Human Rights of Religious Minorities in Eastern Europe. Columbia University Press. New York. 2002.
9. Richard E. Wentz, The Culture of Religious Pluralism, Westview Press, 1998.
10. Richard Hughes Seager edit with the assistance of Foreword by Ronald R. Kidd Diana L. Eck, The Dawn of Religious Pluralism Voices from the World’s Parliament of Religions, 1983, published in Association with The Council for a Parliament of the World’s Religions.
11. S. Wesley Ariarajah, “Kenneth Cracknell, in Good and Generous Faith: Christian Response to Religious Pluralism..” Journal The Ecumenical Review. Volume: 58 Issue: 3 – 4. 2006.pp 400 ff.
12. William C. Allen, “Stephen Kaplan, Different Paths, Different Summits: A Model for Religious Pluralism,” Journal of Ecumenical Studies. Volume: 41 Issue: 1, 2004. p 102.
13. Harvard Pluralism Project:

http://www.pluralism.org/articles/eck_1993_challenge_of_pluralism?from=articles_index

14. Khalif Muammar, Atas Nama kebenaran, Tanggapan Kritis Terhadap Wacana Islam Liberal, edisi kedua, ATMA, UKM, Bangi, 2009.

Nota akhir:
[1] http://www.pluralism.org
[2] Al-Hujurat:13
[3] Bani Isra’il:81
[4] Al-Ahzab:40

19/09/2012 Posted by | Aqidah, Politik dan Dakwah | , | 2 Comments

Ghuraba’ : Golongan Yang Paling Asing & Minoriti Di Akhir Zaman

pp0697Kita tidak diberi kebebasan berpegang dengan apa yang kita yakin dari dalil-dalil yang kita baca dari al-Quran dan Sunnah. Itu kadang-kala dianggap menyanggahi majoriti.Kita tidak menafikan masih ada golongan yang soleh, tetapi mereka itu sedikit di akhir zaman, mereka ghuraba`.Nabi bersabda:“Ada tetap ada suatu golongan dalam kalangan umatku, yang menegakkan urusan Allah (Islam), mereka tidak dapat dimusnahkan oleh golongan yang menghina dan menyanggahi mereka sehingga tibanya janji Allah (Kiamat) mereka tetap bangkit”

(Riwayat Muslim).

Kata al-Imam Ahmad: “Jika mereka bukan ahlul hadis, aku tidak tahu siapa lagi”. Ertinya golongan yang berpegang kepada nas-nas Nabi s.a.w. itu akan tetap ada, ditentang dan dilawan, namun tetap bangkit.Ya, di akhir zaman, golongan ini minoriti. Mereka dianggap asing di tengah lautan manusia yang rosak. Dalam riwayat al-Imam Ahmad, Nabi s.a.w bersabda:

“Beruntunglah golongan ghuraba` (yang asing atau pelik)”. Ditanya baginda: “Siapakah mereka yang ghuraba itu wahai Rasulullah?”. Jawab baginda: “Golongan yang soleh dalam kalangan ramai yang jahat, yang menentang mereka lebih ramai daripada yang mentaati mereka”. (dinilai sahih oleh Ahmad Shakir).

Apakah Ghuraba`?

Ghuraba` atau asing itu ada dua bentuk.

Pertama: asing di sudut jasad, seperti mana seseorang yang pergi ke tempat baru yang dia tidak dikenali. Maka, dia akan berasa terasing dalam masyarakat yang baru, atau orang melihatnya asing kerana baru hadir. Namun, itu senang untuk diselesaikan. Sedikit pergaulan mesra, dan pandai mencari kawan, keadaan mungkin tidak asing lagi.

Kedua: asing di sudut ruh dan pemikiran. Sekalipun seseorang itu lama atau anak jati masyarakatnya, tetapi dia mungkin dianggap asing disebabkan pemikiran yang berbeza dengan mereka, atau sikap yang asing dari kebiasaan masyarakatnya. Dia terpencil kerana pendiriannya. Hal ini menyebabkan dia akan dipulau, dikecam, dihina dan ditolak. Tidak dapat diubah keadaan ini, melainkan dia mengubah prinsipnya, atau dia berjaya mengubah persepsi masyarakatnya. Itu merupakan tanggungjawab yang berat. Apatah lagi dalam masyarakat akhir zaman, di mana Nabi s.a.w bersabda:

“Islam itu bermulanya asing, dan akan kembali sebagai asing, maka beruntung mereka yang ghuraba` (yang asing)”. Ditanya Nabi s.a.w: “Siapakah ghuraba`?”. Jawab baginda: “Serpihan dari kabilah”. (Riwayat al-Baghawi, sanad sahih).

Maksudnya, golongan yang asing dan terpencil dari kelompok mereka, samada kabilah keturunan atau kumpulan-kumpulan yang wujud dalam dunia hari ini.Biasanya, setiap puak mahu kita mengiyakan sahaja apa yang mereka kata. Jika mereka bangsa, mereka mahu samada buruk atau baik, kita sokong semua tindakan bangsa atau kabilah kita. Jika amalan tradisi yang bidaah dalam masyarakat, disuruh terima sekalipun menyanggahi kitab dan sunnah. Kalau parti politik mereka mahu supaya kita tunduk kepada mereka samada yang benar atau yang salah. Demikian kumpulan dan organisasi dan seumpamanya.

Bagi mereka, jika tidak tunduk sepenuh itu tidak ada pendirian. Menyokong sebahagian perkara, berbeza dalam beberapa perkara dianggap berpendirian tidak teguh, kerana paksi mereka itu adalah kumpulan atau bangsa. Namun, golongan ghuraba’, paksi mereka adalah nas-nas al-Quran dan al-Sunnah. Mereka itu ‘Allah centric’, berpaksikan Allah dalam keputusan, sekalipun terpaksa berkorban jawatan, nama, rakan dan kedudukan.

Amatlah sukar untk hidup sebagai ghuraba`. Tekanan perasaan dan jiwa akan melanda. Mungkin mudah untuk diceritakan, tetapi sukar untuk dilaksanakan. Justeru itu, mereka dijanjikan syurga. Janji Nabi s.a.w: ‘Beruntunglah ghuraba’. Golongan ghuraba’ bukan asing dinisbahkan kepada nas al-Quran dan al-Sunnah, tetapi asing dinisbah kepada keadaan sekeliling yang berbeza dengan kedua sumber agung itu. Namun, apakah pilihan yang ada, sedangkan Allah mengingatkan Nabi s.a.w: “Jika engkau taat kepada kebanyakan mereka di bumi ini, nescaya mereka menyesatkan engkau dari jalan Allah” (Surah al-An’am, 116).

Ketika ramai manusia berlari mencari keredhaan makhluk, golongan ghuraba’, berlari mencari keredhaan Allah, sekalipun dimusuhi makhluk. Firman (maksudnya):

“Maka larilah kepada Allah” (Surah al-Zariyyat, 50).

Hidup sebagai ghuraba’ bukanlah mudah, namun kadang-kala kita terpaksa mengharunginya. Ini menambahkan tawakkal, keikhlasan, kekhusyukan dan segala jalan yang mendampingkan kepada Allah. Ketika dunia enggan berdampingan, tiada teman melainkan Tuhan al-Rahman dan rakan-rakan yang menjalani kehidupan sebagai ghuraba’. Di situlah limpahan kemanisan perjuangan.

Wallahualam…

 

(Sumber: https://www.facebook.com/#!/photo.php?fbid=530423650306086&set=at.376022085746244.109954.375390265809426.100002604869013&type=1&theater}

19/09/2012 Posted by | Renungan & Teladan, Tazkirah | | Leave a comment

Panduan menghindar amalan amalan khurafat ketika mengerjakan Haji

AMALAN-AMALAN KHURAFAT DAN SIFAT-SIFAT TERCELA DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA DAN PANDUAN MENGHINDARINYA

Oleh : Y.Bhg. Dato’ Dr. Haron Din

Mengunjungi Baitullah untuk menyempurnakan pekerjaan haji menjadi suatu cita-cita murni yang sepatutnya wujud pada tiap-tiap diri umat Islam. Pada kelazimannya orang yang belum lagi hendak melaksanakan kewajipan tersebut, mereka tidak sangat bersedia dengan ilmu pengetahuan sebagai bekalan untuk ibadat tersebut. Apabila hampir dengan waktunya barulah secara bergopoh-gapah mempelajarinya mengikut kemampuan yang ada padanya.

Banyak umat Islam yang kurang bersedia dari segi ilmu pengetahuan untuk mengerjakan haji, malah ada yang tidak memahami walaupun perkara-perkara yang asas, akibatnya apabila mereka mengerjakan ibadat tersebut, terjadilah perlanggaran hukum yang boleh mencacatkan kesempurnaan ibadat tersebut. Hal ini berlaku kerana mereka terikut-ikut dengan perbuatan jemaah yang kurang arif tentang ibadat itu dan malu hendak bertanya kepada orang lain.

Di samping tidak mendalami hukum hakam mengenai haji, ditambah pula dengan kejahilan hukum-hukum mengenai akidah, maka berlakulah campur aduk di dalam ibadat haji di antara yang hak dengan yang batil. Kadang-kadang yang hak ditinggalkan dan yang batil dikerjakan. Yang batil seperti amalan-amalan khurafat dikerjakan sebaik-baiknya, atas kefahaman bahawa amalan-amalan itu dituntut oleh syarak, sedangkan yang sebenarnya sebaliknya.

Sering berlaku dari semasa ke semasa perbuatan-perbuatan yang bercanggah dengan hukum syarak yang dicampurkan di dalam ibadat haji, terutama khurafat-khurafat yang diada-adakan oleh orang-orang yang tidak bertanggungjawab. Mereka memberi fatwa secara berbisik-bisik tanpa menggunakan sebarang kitab atau kenyataan-kenyataan dari nas-nas yang muktabar tentang perkara yang dibisik-bisikkan itu. Akhirnya amalan-amalan khurafat itu menjadi ikutan turun temurun dari dahulu hinggalah sekarang. Oleh yang demikian, maka diajarlah kita membicarakan perihal khurafat tersebut.

PENGERTIAN KHURAFAT

Khurafat adalah perkataan Arab yang di asaskan dari akar kata:

خرف خرافة خرافات

Dalam kamus al-Marbawi khurafat itu diberi makna cerita karut atau karut marut.

Di dalam al-Munjid disebut:

خرف قسد اخرفة افسده

الخر افة حديث الخرف المضحك

Al-khurafat juga disebut sebagai الحديث الباطل مطلقا percakapan yang tidak betul sama sekali.

Istilah khurafat telah diterima pakai di dalam masyarakat Melayu dan pada umumnya diketahui maksudnya kerana ianya semacam menjadi bahasa Melayu. Khurafat maksudnya kepercayaan karut yang direka-reka dan diadakan untuk membentuk suatu keyakinan tentang akan berlakunya baik atau buruk terhadap sesuatu kerja berpandukan kepada perbuatan dan kejadian-kejadian alam yang berlaku dengan mentafsirkan kejadian itu akan membawa bala bencana atau membawa tuah keberuntungan.

Di dalam kitab Addarul Nadid, halaman 179 ada disebut:

Yang bermaksud:

“Adapun apa yang diiktiqadkan oleh manusia dari dahulu hingga sekarang tentang adanya bagi seekor burung atau ada hari-hari atau bulan-bulan yang boleh memberi kesan pada kebahagiaan atau kecelakaan manusia. Semuanya itu adalah khurafat. Islam membatalkannya kerana jelas bertentanagn dengan tauhid”.

KHURAFAT SEBAGAI BUDAYA JAHILIAH

Masyarakat jahiliah adalah sebuah masyarakat yang banyak menghayati budaya khurafat. Di antara khurafat mereka, mereka mempercayai kepada arah burung yang berterbangan memberi kesan kepada nasib mereka. Orang-orang Arab jahiliah apabila hendak mengerjakan sesuatu kerja atau sedang di perjalanan menuju sesuatu maksud tiba-tiba kedapatan burung yang melintasi mereka, maka dikaitkan dengan suatu kepercayaan-kepercayaan tertentu. Malah mereka meletak nama khusus pada keadaan burung yang melintasi mereka.

Yang melintasi dari arah kanan ke kiri dinamakan : As Sawaeh

Yang melintasi dari arah kiri ke kanan dinamakan : Al Bawareh

Yang datang kepada mereka dari arah hadapan dinamakan : An Nateh

Yang datang dari arah belakang ke hadapan dinamakan : Al Qaid

Dari nama-nama tersebut lahirlah tafsiran-tafsiran yang khusus, ada bala bencana akan menimpa, ada tuah, ada keberuntungan yang akan berlaku dan sebagainya yang mereka menggantungkan hal-hal tersebut sepenuhnya kepada keadaan burung tersebut.

Masyarakat jahiliah juga percaya jika burung hantu (al-Bumah) menghinggapi dan berbunyi di atas sesuatu rumah maka ertinya salah seorang dari penghuni rumah itu akan meninggal dunia. Kepercayaan sebegini mengakibatkan penghuni rumah akan bermurung durja, dukacita yang tidak terkira kerana kematian yang akan menimpa.

Kepercayaan sedemikian terdapat juga di dalam masyarakat melayu di Tenggara Asia yang terbawa-bawa dengan budaya jahiliah hingga sekarang ini. Padahal semua itu adalah khurafat belaka.

KHURAFAT MENODAI IBADAT HAJI

Ibadat haji adalah suatu ibadat yang semestinya dilakukan dengan sempurna, tidak dicampur dengan batil. Apatah lagi khurafat hendaklah dijauhi sama sekali. Khurafat boleh mencemar ibadat haji dan menjadikannya ibadat yang sia-sia kerana perbuatan khurafat menjejaskan akidah dan kadang-kadang merosakkannya. Perlu diingat bahawa khurafat boleh membawa kepada syirik kerana ianya menyentuh persoalan iktikad. Jikalau sudah iktikad rosak kerana khurafat, maka orang yang rosak akidahnya tidak akan mendapat apa-apa kebaikan dari ibadatnya.

Namun demikian, masih terdapat bakal-bakal haji yang seolah-olahnya tidak menyedari bahawa mereka melakukan perkara-perkara khurafat ketika hendak menunai haji dan ada pula yang melakukannya ketika mereka di dalam ihram dan sedang bertungkus lumus mengerjakan haji itu sendiri. Kepada golongan ini seboleh-bolehnya apa yang diajarkan kepada mereka oleh Tok-tok Guru yang mentadbir atau oleh pengkursus-pengkursus haji adalah tidak lengkap dan tidak sempurna. Mereka masih hendak menambah-nambah dan mengada-adakan berbagai-bagai perbuatan yang tidak diajar oleh orang-orang tadi lalu mereka menerima pakai fatwa-fatwa dari orang yang tidak bertanggungjawab.

Khurafat bukan perkara kecil yang boleh dipermudah-mudahkan. Khurafat adalah perkara besar yang mesti difahami dan diberi perhatian untuk menjauhinya. Umat Islam jangan mudah menerima pakai sesuatu perbuatan yang disebutkan kepadanya bagi menambah-nambah amalan di dalam haji yang dipelajarinya secara terbuka dan ada sandarannya, itulah yang patut diamalkan. Adapun yang diajar secara sembunyi-sembunyi dan dilakukan secara sembunyi-sembunyi patutlah diambil perhatian dan dipastikan dahulu boleh tidak mengamalkannya barulah diamalkan yang boleh dan menjauhi yang khurafat.

PANDANGAN ISLAM TERHADAP KHURAFAT

Di dalam al-Quran al-Karim terdapat beberapa ayat yang menyeru kepada pergantungan dengan Alllah sepenuhnya dan menolak kepercayaan terhadap yang selain-lainnya bagi mendapat kebaikan dan menolak keburukan. Yang memberi segala kenikmatan dan kebaikan hanya Allah. Yang menolak segala kejahatan hanya Allah. Kepadanya seluruh makhluk bergantung. Firman Allah, surah al-Zumar, ayat 38: Yang bermaksud:

“Katakanlah apakah kamu tidak melihat kepada apa yang kamu memohon kepadanya selain dari Allah bahawa jika sekiranya Allah menghendaki ke atasku sesuatu kemudaratan, adakah mereka itu boleh menghindari dari kemudaratan itu atau jika Allah menghendaki sesuatu rahmat itu dianugerahkan kepadaku, apakah mereka itu boleh menahan rahmat itu. Katakanlah adalah memadai Allah itu bagiku untuk segala-galanya. Kepadanya bertawakal semua orang yang bertawakal”.

Ayat di atas memperlihatkan konsep tawakal kepada Allah dalam semua keadaan. Kebaikan dan kejahatan adalah dari Allah. Dia yang menyebabkan segala-galanya. Dia yang berkuasa atas segala sesuatu, bukannya lintasan burung atau sebagainya yang terdapat dalam amalan-amalan khurafat.

Yang bermaksud:

“Dari Abu Hurairah R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “tidak ada jangkitan (yang berlaku tanpa izin Allah), tidak ada buruk sangka pada sesuatu kejadian, tidak ada malang pada burung hantu dan tidak ada bala pada bulan Safar (seperti yang dipercayai)”.

Yang bermaksud:

“Dari Ibnu Mas’ud R.H. bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Buruk sangka (dalam amalan khurafat) adalah syirik (dua kali) akan tetapi Allah menghapuskannya dengan bertawakkal kepada Allah”.

Yang bermaksud:

“Dari Anas R.H. bahawasanya Rasulullah SAW pernah bersabda: “Jangan ada buruk sangka (kerana khurafat) dan alfa’lu adalah jauh lebih baik. Ditanya Rasulullah, apakah dia alfa’lu itu: sebut-sebutan yang baik (baik sangka) yang boleh didengari oleh seseorang”.

Yang bermaksud:

“Dari Ibnu Umar R.H. katanya: Nabi SAW pernah bersabda: “sesiapa yang kerana buruk sangkanya terhadap sesuatu (khurafatnya) sehingga boleh memesongkan diri menerusi hajatnya, maka sesungguhnya ia telah syirik (kepada Allah). Mereka bertanya apakah kifarat bagi yang demikian itu? Sabdanya: hendaklah ia berkata: Ya Allah, tidak ada kebaikan melainkan kebaikanmu. Tidak ada yang buruk (jahat) melainkan kejahatan yang datang darimu dan tiada tuhan yang berhak disembah melainkan engkau”.

Dari semua urutan ayat al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang tersebut, jelas memperlihatkan konsep baik buruk hanya dari Allah S.W.T. Allah yang mengatur segala-galanya, bukannya ada kaitan dengan kejadian-kejadian yang berlaku di dalam hidup ini yang boleh memberi kesan kepada kebahagiaan dan kecelakaan manusia.

Khurafat adalah karut marut yang tidak benar sama sekali. Tidak sepatutnya kepercayaan-kepercayaan sedemikian menghantui umat Islam sehingga menghindarkan perjalanan hidup mereka kerana kongkongan khurafat itu. Umat Islam perlu bersih niat dan pergantungan mereka hanya kepada Allah SWT sahaja. Apabila kamu cekal bercita-cita, maka teruskan dan bertawakkal kepada Allah.

KHURAFAT DI KALANGAN JEMAAH HAJI ASIA TENGGARA

Pengaruh khurafat ternyata masih kuat. Di dalam masyarakat Islam Asia Tenggara masih kehadapan amalan-amalan khurafat di dalam berbagai-bagai lapangan kehidupan. Di dalam perniagaan masih percaya kepada FONG SUAI. Dalam pertanian masih percaya kepada semangat padi. Dalam mencari rezeki di lautan masih ada yang percaya kepada gamala ikan dan berbagai-bagai lagi. Bukan sahaja di dalam mencari rezeki ada berbagai-bagai khurafat, ketika hendak melakukan ibadat kepada Allah pun masih diresapi berbagai-bagai khurafat. Antara yang ketara ialah khurafat-khurafat di dalam ibadat haji.

KHURAFAT DI TANAH AIR SENDIRI SEBELUM TIBA DI TANAH SUCI

a) Tidak boleh memijak bendul rumah. Kalau dipijak alamat tidak akan balik semula.

b) Sesudah bertolak dari rumah, tidak boleh memandang ke belakang melihat rumah. Kalau dipandang, pekerjaan hajinya tidak sempurna kerana hatinya teringat-ingat ke rumah

c) Membawa uri, rambut dan kuku bayi untuk ditanam di Tanah Haram supaya anak tersebut menjadi orang ternama dan disukai ramai.

d) Setelah balik nanti mesri berkurung diri di rumah selama 40 hari yang disebut idah haji. Barulah haji itu berkat dan melekat di hati, kalau melanggar, sia-sialah haji.

KHURAFAT DI TANAH SUCI

a) Mesti mencari tiang Jin di dalam Masjidil Haram. Peluk kuat-kuat boleh memanjangkan umur.

b) Boleh mendapat toyol dengan bersembahyang sunat sebanyak-banyaknya secara mengadap tiang tersebut untuk dibawa balik toyol itu sebagai khadam.

c) Jin yang dibawa balik dari Mekah adalah Jin yang baik kerana mereka adalah Islam.

d) Menampal duit syiling yang siap bergam di bawah pintu Baitullah dan dibawa balik untuk dibuat ibu duit bagi tujuan melariskan perniagaan, mendapat jodoh dan memurahkan rezeki.

e) Memungut anak-anak batu di Arafah untuk dibawa balik bagi tujuan, jika dicampak di dalam perigi ikan, maka ikan akan menjadi banyak. Jika ditabur di kebun tanaman, maka buah-buahan akan menjadi. Jika diletak di dalam kedai, maka akan laris.

f) Mencuri tali-tali khemah di Padang Arafah dan Mina untuk dijadikan tangkal bagi tujuan pelarisan untuk jualan dan memperbanyakkan tangkapan ikan.

g) Membawa balik Tanah Arafah untuk upacara “Memijak Tanah” buat pertama kali bayi untuk menghindarkannya dari sebarang penyakit dan gagah berani.

h) Tidak boleh melihat cermin semasa di dalam Ihram. Jika dilihat muka akan menjadi hodoh dan orang tidak suka melihatnya.

i) Menyapu-nyapu tiang masjid dan diusap ke muka untuk menambah seri wajah.

j) Mengetuk-ngetuk pintu dan gelang kuncinya di kawasan Saei sebagai simbolik kepada mengetuk pintu rezeki. Jika tidak membuatnya, rezeki akan tertutup selama-lamanya.

k) Bersetubuh dengan isteri di dalam Masjid al-Haram boleh mendapat anak yang mudah masuk syurga.

l) Orang yang mandul boleh segera mendapat anak jika bersetubuh dengan suaminya di dalam Masjid dua kali dari arah pancur emas sekali kerana kepercayaan pancur emas itu melambangkan kemaluan Nabi Adam dan sekali lagi dari arah yang menghala ke Hajar Aswad kerana Hajar al-Aswad melambangkan kemaluan Siti Hawa.

m) Kain ihram perlu dibawa balik dan diwasiatkan bila mati nanti hendaklah dikafan dengan kain itu bagi menghindar diri dari siksa kubur.

n) Beli khusus kain putih yang hendak dijadikan kafan dan basuh dahulu dengan air zam-zam di Mekah, disimpan dan diwasiatkan untuk dijadikan kain kafan. Dengannya Munkar dan Nakir tidak berani memukul badan yang dibalut dengan kain tersebut.

o) Kalau berlaku hujan, maka mandilah di bawah curahan air dari pancur emas agar sembuh segala penyakit dan tidak akan terkena penyakit hawar.

p) Tiang-tiang masjid boleh dibeli untuk diwakafkan. Sekiranya ada orang yang menawarkannya, maka jangan disoal banyak, beli sahaja akan menjaminkan masuk syurga.

q) Mandi bertelanjang di telaga Ja’aranah boleh memikat suami dan cepat mendapat jodoh bagi yang belum bersuami.

Dan berbagai-bagai khurafat lagi yang masih diamalkan oleh masyarakat Islam Asia Tenggara.

AMALAN KHURAFAT DAN KAITANNYA DENGAN HUKUM SYARAK

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah ditegah oleh syarak kerana di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bid’ah yang buruk sepertimana tersebut dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:

“…………Setiap yang bid’ah itu sesat dan setiap yang sesat akan ditempatkan di dalam neraka”.

Mengamalkan amalan khurafat dengan tidak disedari boleh menjauhkan diri daripada Allah SWT, walhal kedatangan jemaah haji ke Tanah Suci ialah untuk menghampirkan diri kepada Allah serta menyuci diri dari segala dosa dengan tujuan mandapat haji mabrur.

PUNCA AMALAN-AMALAN TERCELA DAN TERPAUTNYA SESEORANG KEPADA AMALAN KHURAFAT

Di antara punca-puncanya adalah seperti berikut:

– Tidak mempunyai asas yang kukuh di dalam pengetahuan agama di mana mudah menerima perkara-perkara yang dianggap menarik baginya.

– Mempelajari dari guru-guru atau ketua-ketua yang tidak bertanggungjawab.

– Terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain kerana menyangka amalan itu adalah amalan yang betul.

– Sudah terbiasa melayani nafsu ammarah.

CARA-CARA MENGHINDARINYA

Bakal-bakal haji hendaklah mengikuti dan mempelajari hukum-hukum agama sebelum menunaikan haji. Penceramah-penceramah hendaklah dipilih dari kalangan mereka yang benar-benar berkelayakan. Tajuk siri khurafat perlu dimasukkan ke dalam kurikulum ibadat haji dengan ditekankan keburukannya.

Jangan mudah terikut-ikut dengan amalan jemaah haji lain yang tidak diketahui puncanya.

Dalam kursus haji ditekankan bahawa Tanah Suci Mekah bukanlah tempat berehat atau tempat melepaskan kemarahan atau komplen sewenang-wenangnya. Perlu ditekankan bahawa di dalam pekerjaan haji mesti akan ditemui berbagai-bagai dugaan Allah yang perlu diterima dengan sabar.

Sebarang amalan yang dipetuakan kepadanya oleh orang yang diragui keilmuannya hendaklah dipastikan terlebih dahulu dari orang lain yang lebih berwibawa. Bertawakalah kepada Allah dengan sebenar-benar takwa. Tunaikanlah haji semata-mata kerana Allah.

TINGKAH LAKU BURUK SEBAHAGIAN JEMAAH HAJI

Selain dari khurafat yang tersebut di atas, ditambah pula dengan adanya tingkah laku buruk yang sering kedapatan di kalangan jemaah haji umumnya termasuk jemaah haji Asia Tenggara, menjadikan ibadat haji ibadat yang seolah-olahnya tanpa roh dan tanpa hikmah.

Sebagai contoh yang ketara, berlakunya peristiwa terowong al-Muassim pada tahun 1990 dan peristiwa pijak memijak di atas Jambatan Mina pada tahun 1994 yang semuanya memakan korban nyawa yang begitu banyak, mencerminkan masalah utamanya tingkah laku buruk jemaah haji.

Tingkah laku dan tuturkata manusia itu adalah sebagai cermin peribadinya. Jika elok tingkah laku, berbudi bahasa dan manis kata-kata, maka tinggilah nilai dirinya, mulialah pekertinya. Kalaulah itu benar-benar menjadi cermin diri, maka alangkah buruknya keadaan umat Islam ini kerana apa yang berlaku di musim haji menjadi ukuran yang utama pada nilai diri kita.

Di Mekah umat Islam kelihatan seperti seolah-olah tidak tahu disiplin diri dan disiplin kehidupan. Ada yang tidak bertolak ansur, bertengkar, bergaduh, tengking menengking, herdik mengherdik, menolak, melanggar, memukul, memijak, menghimpit, mengambil hak orang lain, menyusahkan kawan, memijak kepala, menyepak muka orang yang beribadah, mengganggu yang bersembahyang, menyepak al-Quran, meletak al-Quran di atas lantai, mengubah (mengalih) al-Quran dengan kaki, berebut-rebut dengan segala kekuatan untuk mencium batu hitam (al-Hajarul Aswad). Memegang tangan berangkai kuat untuk merempuh orang yang sedang solat dan tawaf. Perbuatan yang sama berlaku dengan dasyatnya ketika di Mina untuk melontar. Segala selipar dan kasut serta pakaian tertanggal dari badan. Yang sakit tidak diberi simpati. Yang tua uzur tidak dihirau dan pelbagai perangai lagi yang boleh dilihat.

Mengenai tutur kata, umat Islam tidak hendak menjaga tutur katanya. Walaupun ketika sedang tawaf dan saei, masih bercakap-cakap dengan hal-hal yang terkeluar dari erti ibadah yang sebenar, bergelak ketawa berdekah-dekah kerana kelucuan yang sengaja diada-adakan dalam perbualan-perbualan, seolah-olah mereka bukan di hadapan Allah di dalam ibadat yang shahdu.

Kata mengata, caci mencaci sering kedengaran di sepanjang masa berada di Mekah dan Madinah seolah-olah tidak berbeza dari tempat-tempat lain. Mengumpat, mencerca terus berlaku tanpa sebarang takut kepada dosa yang perbuatan di Tanah Haram.

Semua tingkah laku buruk itu adalah sebahagian dari masalah yang sebenar yang berlaku di kalangan jemaah haji kita yang sudah sewajibnya kita menyedari perihal tersebut dan cuba menghindarnya.

BAGAIMANA MENGATASI PERMASALAHAN TERSEBUT

Masalah akhlak adalah masalah pokok untuk membina masyarakat yang mulia. Akhlak yang terpuji menjadi tunjang kekuatan umat. Rasulullah SAW diutuskan Allah adalah untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Baginda menjadi teladan untuk kemuliaan akhlak, mengasuh umatnya agar berakhlak mulia.

Bagi mengatasi masalah yang disebutkan tadi, pendidikan kerohanian yang menekankan kepada kemuliaan akhlak perlu dititik beratkan dalam latihan dan syarahan-syarahan. Bakal-bakal haji hendaklah dipupuk dengan budi pekerti yang mulia untuk dihayati sepanjang masa hidupnya, lebih-lebih lagi ketika menunaikan haji.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

Yang bermaksud:

“Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkuat, maka bertawakkallah kepada Allah. Barang siapa yang ingin sangat hendak menjadi manusia yang terkaya, maka hendaklah meyakini bahawa apa yang ada di sisi Allah Azawajallla lebih baik dari apa yang ada di dalam tangannya. Dan siapa yang ingin sangat menjadi manusia yang termulia, maka hendaklah takut kepada Allah Azawajallla”.

Hadith ini mengingatkan kita tentang berakhlak dengan Allah. Bertawakkal kepada Allah, takut kepada Allah. Apabila manusia sudah mentaati perintah Allah dan amat mengharapkan keredaan, maka akan lahirlah budi pekerti yang mulia untuk mereka di alam manusia.

Mengunjungi Baitullah untuk menunaikan ibadat haji adalah suatu tuntutan syarak. Dari ibadat itu akan lahirlah pengajaran-pengajaran yang amat berguna untuk manusia. Fadhilat haji amatlah banyak. Salah satunya untuk mengingati Allah. Oleh itu, perbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah, berzikir kepada Allah di dalam masa kerja haji dan sesudahnya khususnya di Arafah dan Mina.

Salah satu rahisa Allah mewajibkan haji ialah untuk membersihkan diri mereka dari segala dosa, dari segala perangai keji dan perbuatan-perbuatan munkar. Kalaulah umat Islam memahami dan menghayati tujuan tersebut dengan sebaik-baiknya, maka tentulah tidak akan berlaku pekara-perkara munkar di tanah suci.

Semua orang yang menunaikan haji akan menjadi orang yang amat baik pekertinya. Tidak ada khurafat berlaku dan tidak ada perkara-perkara negetif berlaku kerana semuanya itu akan menyebabkan haji seseorang itu sia-sia.

Rasulullah SAW pernah bersabda:

Yang bermaksud:

“sesiapa yang mengerjakan haji dan tidak melakukan perkara-perkara jahat dan fasik, maka kembalinya ke tanah airnya nanti ia menjadi seperti anak yang baru lahir”.

PENUTUP

Usaha untuk mempertingkatkan kualiti ilmu ke dalam masyarakat Islam perlu diteruskan dengan bersungguh-sungguh untuk menjadi perisai umat Islam dari diresapi gejala-gejala tidak sihat seperti khurafat dan sebagainya.

Pengetahuan tentang ibadat haji adalah pengetahuan fardu ain yang sepatutnya diketahui oleh masyarakat umum. Perlu diajar dengan cara yang berkesan di dalam kurikulum-kurikulum sekolah menengah dan di peringkat universiti agar dengan ilmu yang manfaat itu setiap yang pergi menunai haji benar-benar mengetahui mengapa ibadat itu diwajibkan.

Ibadat-ibadat dalam Islam adalah alat untuk mendidik manusia. Jika dipergunakan ibadat itu sebagai alat mengajar, maka yang mempelajari bersungguh-sungguh daripadanya akan mendapat pengajaran yang amat berkesan. Rasulullah SAW telahpun mempergunakan untuk mendidik umat Islam di zamannya. Dengannya mereka menjadi sebaik-baik umat yang Allah ciptakan untuk menjadi contoh kepada manusia. Akhlak yang terpuji akan lahir dari keikhlasan beribadat kepada Allah, apabila difahami maksud dan tujuannya. Dari akhlak yang terpuji lahirlah peribadi unggul untuk memimpin manusia ke jalan yang diredhai Allah.

Semoga Allah memelihara kita dari terjatuh ke dalam khurafat dan semoga Allah memberi hidayah kepada kita untuk mencontohi akhlak mulia Rasulullah SAW.

Wallahu ‘Alam.

17/09/2012 Posted by | Ibadah, Tazkirah | , , | Leave a comment

Hari ini ramai manusia bercakap mengenai Islam

13/09/2012 Posted by | Renungan & Teladan | 1 Comment

Bagaimana Nak Sujud, Jika Tempat Terlalu Sesak Seperti Di Masjid al-Haram?

Soalan:

Assalamualaikum ustaz, Apakah sah solat dalam keadaan berdiri jika tiada tempat untuk rukuk dan sujud disebabkan jemaah terlalu ramai seperti situasi di Masjid Haram Makkah?

Jawapan:

Jika tempat solat tidak memadai untuk rukuk dan sujud disebabkan jemaah yang terlampau ramai seperti di Masjid al-Haram, maka rukuk dan sujudlah di atas belakang jemaah yang berada di hadapan. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Ibn ‘Umar RA yang berkata:

إذَا اشْتَدَّ الزِّحَامُ فَلْيَسْجُدْ عَلَى ظَهْرِ أَخِيهِ

Mafhumnya:”Apabila bersangatan kesesakan, maka hendaklah seseorang itu sujud di atas belakang saudaranya.” (Muhammad Syams al-Hak al-‘Azim Abadiy di dalam ‘Aun al-Ma’bud menyatakan hadis ini diriwayatkan oleh al-Baihaqi dengan Sanad yang Sahih)

Inilah juga pandangan yang Asah di dalam mazhab al-Syafie seperti yang disebut oleh al-Imam al-Nawawi di dalam al-Majmu’.

Wallahu a’lam.

Sumber; Jabatan Mufti Perlis

10/09/2012 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Berpolitik untuk mengejar kuasa

Pilihanraya kecil Bukit Gantang Perak MarApr 09 001

Sesetengah orang fahamkan bahawa politik itu adalah apabila seseorang itu menyertai mana mana parti politik.Mereka fahamkan bahawa orang politik pula sebagai orang yang ada parti politik atau menjadi ahli mana mana parti politik dan ikut serta dalam pilihanraya yang berlangsung beberapa tahun sekali.Kemudian samada dia di calonkan atau tidak dalam undian untuk jadi wakil rakyat atau sekadar menjadi ahli biasa saja.Itu lah orang yang  di katakan orang politik.

Sebaliknya orang yang tidak berpolitik difahamkan sebagai orang yang tidak menjadi ahli mana mana parti politik, tidak mengundi dan tentunya tidak jadi calon dalam pilihan raya.

Oleh kerana erti politik mengikut pandangan umum ialah ikut sistem pilihan raya kerana hendak berkuasa, maka matlamat mereka hanyalah hendak kuasa.

Oleh kerana terlalu hendak kuasa, dalam pilihanraya mereka boleh menghalalkan cara dengan melanggar hukum agama, adab dan adat, yang di mana perlakuan ini di halalkan dalam berpolitik.Halal atau haram, cara kotor atau bersih, menghuru harakan suasana atau melaku tipu daya, menanam benih kebencian semua boleh mereka lakukan.Rasuah pun tidak apa, jual agama pun tidak apa, membeli undi pun tidak apa.Yang penting menang dalam pilihan raya.

Ini lah rupa bentuk POLITIK yang sedang di amalkan seluruh dunia tidak terkecuali di Malaysia oleh semua golongan dan peringkat orang politik tidak kira samada dia orang yang berpendidikan agama atau pun berpendidikkan konvensional.

10/09/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , | 2 Comments

Apabila pejuang berjuang dalam dosa

09/09/2012 Posted by | Renungan & Teladan | Leave a comment