Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Bapa saya hilang entah ke mana, siapa wali saya?

“Saya nak bernikah tapi ayah (wali) saya hilang. Sudah bertahun-tahun hilang tanpa jejak. Saya tak tahu ayah saya kat mana. Macam mana pernikahan saya nanti? Siapa sepatutnya menjadi wali saya?”

Situasi begini sering terjadi di kalangan kita dimana wali ghaib (hilang) atau disebut juga sebagai ‘wali mafqud’ yang bermaksud wali yang tidak diketahui keberadaannya.

Seperti yang kita tahu, wali merupakan salah satu daripada rukun nikah yang wajib ada di dalam suatu pernikahan iaitu:

1) Lelaki – calon suami
2) Perempuan – calon isteri
3) Wali
4) Dua orang saksi (lelaki)
5) Sighah (ijab dan qabul)

Tapi, macam mana pula sekiranya wali hilang? Bolehkah abang atau adik lelaki atau bapa saudara menjadi wali walaupun yakin dan pasti bahawa wali (ayah) masih hidup?

➡️ Tak boleh. Berdasarkan kaedah fiqh;

اليقين لا يزول بالشك

“keyakinan tidak boleh digugat dengan syak’’

Oleh itu, adalah dicadangkan supaya pihak perempuan mewar-warkan di mana-mana media sosial atau medium perantaraan yang lain untuk mencari/menjejaki wali tersebut. Seterusnya, masalah ini boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah supaya Hakim dapat memutuskan penyelesaian terbaik.

Kita tengok pada pandangan Mazhab Syafie, dikatakan sekiranya wali ghaib atau hilang dan tak dapat dikesan, hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim.

Kenapa hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim?

▶️ Sebab hak perwalian masih ada pada dirinya, tapi tak dapat melaksanakan tugasnya sebagai wali sebab wali tersebut ghaib atau tak diketahui kedudukannya.

Siapa wali hakim?

👨🏻‍⚖️ Wali yang ditauliahkan oleh YDPA atau DYMM Sultan atau Raja untuk mengahwinkan perempuan yang tak mempunyai wali nasab, wali ghaib, atau walinya enggan mengahwinkannya tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak.

Jadi, dalam keadaan sebegini wali hakim akan menggantikan wali ghaib tersebut.

Oleh: Fahmi Ramli

Peguam Syarie

18/04/2023 - Posted by | Fiqh, Ibadah, Muamalat (Keluarga), Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment