Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Pasangan suami isteri yang dianggap berzina

 

Mari kita perhatikan apakah yang menyebabkan pasangan suami isteri dianggap berzina sekiranya berlaku perkara berikut :

Sesungguhnya, permasalahan ini berat.

Perhatikan soalan 1 – 9.

Perkahwinan seumpama ini, Hari ini memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak “pregnant luar nikah”, cepat cepat dikahwinkan.

Berdasarkan kenyataan tersebut, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak hidup dalam zina sampai bila-bila… Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya kongsikan bersama anda di sini kerana ianya amat penting:

pasangan akan dianggap berzina sekiranya

Soalan 1: Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?

Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.

Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?

Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.

Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkawin? Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakan ayah kepada bayi yang dikandung itu.

Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?

Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi,secara sah.

Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?

Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah.

Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?

Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.

Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?

Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.

Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim Dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?

Mereka mesti tinggal berasingan segera Dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.

Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?

Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.

Kesimpulannya: Ibu bapa, saudaramara, org2 kampung, tok2 imam, tok2 kadi Dan saksi-saksi yang tahu akan keadaan tersebut tetapi mendiamkan, membiarkan atau membenarkan pernikahan tersebut diteruskan maka mereka juga tidak terlepas daripada menanggung azab dan seksaan samada didunia atau pun diakhirat…

Tolong jangan abaikan text ini. Ini merupakan satu perkara yang serius. Jadi, fahami dan dalami betul-betul dan bincanglah dengan Imam/ustaz sekiranya perlu.

Mafhumnya: Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku Dan ibadatku, hidupku Dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara Dan mentadbirkan sekalian alam…

Sumber adalah dari USTAZ ROSLI AL HAFIZ via SembangKencang

Advertisements

26 July 2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Permasaalahan Hukum zina dan Liwat dari Kitab Kuning

Syaikh Daud Abdullah al-Fatani menyebut dalam kitab Hidayatu al-Muta’allim[1]: ketika mengulas tentang perlaksanaan hukum hudud zina:

“(Bermula ) zina yang wajib [hukuman] had itu iaitu orang yang melazimkan hukum [mukallaf] lagi mengetahui dengan haramnya [berzina] dengan memasukkan hasyafah [forehead] atau kadarnya [sekiranya zakar yang tidak mempunyai hasyafah] dengan faraj atau dubur yang haram bagi ‘ainnnya, lagi keinginannya pada tabiatnya [tidak dipaksa] dengan tiada syubhah…….”

Syaikh Daud menyambung dengan menyebut pengecualian daripada hukum, yakni tidak sampai dihukum dengan hukum hudud tetapi ditakzirkan:

“Tetapi tiada thabit [hukum had] dengan tiada masukkan [zakarnya] ke dalam faraj seperti bergurau-gurau jua atau dengan di wati isterinya pada masa haidhnya dan puasa atau di wati [disetubuhi] pada dubur[2] [isterinya] atau diwati sahayanya yang ada suaminya atau yang di dalam ‘iddah atau sahaya itu mahramnya atau diwati dengan tergagah [dipaksa] atau dihalalkan oleh orang alim [seperti fatwa ulama shiah tentang nikah mut’ah] atau diwati orang mati atau akan binatang, maka tiada [dilaksanakan] hukum had pada segala perkara itu” [m/s 300-301]

2-Syaikh Daud Abdullah al-Fatani di dalam kitabnya Fathu al-Mannan[3] yang merupakan terjemahan kepada kitab Safwatu az-Zubad menyebu dengan jelas yang hukum hudud qazaf meliputi tuduhan liwat:

Dan wajib atas melontar[4] dengan liwat dan zina* didera dulapan puluh bagi orang yang hurr [5] dan muhsana*

dan bagi sahaya setengah ketahui engkau orang yang muhsana* iaitu orang mukallaf yang Islam lagi merdeheka tiada berzina*

dan jika berdiri baiyyinah atas yang kena tuduh atas berzinanya* gugurlah seperti adalah benar bagi tuduh atau dimaafnya*

(Dan wajib) atas orang yang menuduh akan seseorang semada laki-laki atau perempuan dengan liwat atau dengan zina seperti dikatakan “zanaita”, “latta” [yang bermaksud] zinah engkau, atau diliwat engkau atau “lat” bagi fulan , telah liwat dengan dikau sianu atau “ya zani” atau “ya la it”, dan yang menuduh itu orang mukallaf lagi dengan ikhtiarnya , yang bukan usulnya [yang membuat tuduhan bukan ayah atau datuk], maka tiada dihadkan [tiada dihukum dengan hukuman had] kafir atau kanak-kanak dan orang gla atau jahil ia akan haramnya sebab baharu masuk Islam atau jauh daripada ulama’ atau tergagah [dipaksa] .

3-Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani di dalam kitab Matla u’ al-Badraini menyebut:

(Bermula hukum liwat) seperti hukum zina iaitu dihadkan dia yakni direjamkan dia jika ada ia muhsan, dan dipukul dan didagangkan [buang daerah] akan dia jika tiada muhsan , atas yang mazhabnya [yakni mazhab Imam as-Syafi’ie] ialah yang mu’tamad-nya dan muqabalah-nya [yang tidak mu’tamad] bahawa sanya dibunuh akan dia mutlaqan[apa cara sekalipun], dan kaifiyyat membunuh akan dia itu beberapa wajah, salah suatunya dibunuh akan dia dengan pedang, dan keduanya direjamkan dia dan ketiga dirobohkan jidar [dinding] atasnya atau dicampakan dia daripada tempat yang tinggi, {hukuman bunuh] ini pada fa’il [pelaku] yakni yang meliwatnya, adapun yang kena liwat, maka dipukulkan dan didagangkan akan dia, jika ada ia mukallaf lagi taat [dilakukan secara rela] ia akan dia semada ia muhsan atau tiada, semada laki-laki atau perempuan , jika tiada mukallaf atau yang digagahi[ dipaksa] akan dia maka tiada dihadkan atasnya, maka makna liwat itu [ialah] wati pada dubur laki-laki , jika pada dubur sahaya yang laki-laki sekalipun, atau pada dubur perempuan . Dan wajib had padanya [kesalahan ini] pada yang lain daripada [meliwat] isterinya dan sahaya yang perempuan (m/s 195)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut dalam bab Qazaf dalam kitab ini:

(Dan tertegah) maqzuf yakni orang yang dituduhkan dia daripada bersumpah kerana bahawa sanya harus bagi qazif yakni yang menuduh ia suruh maqzuf bersumpah atas ketiadaan berzinanya dan jika serta kuasanya atas baiyyinah sekalipun[6], pada [pemahaman] kebanyakan ulama maka [jika] bersumpah maqzuf , dihad-kan qazif dan jika tiada bersumpah maqzuf gugurlah had qazif (m/s:196)

4-Tuan Tabal, Syaikh Abdul Samad Soleh al-Kelantani dalam kitabnya Minhatu al-Qarib[7] menyebut:

(dan bermula) hukum liwat (yakni) wati pada dubur orang lain daripada isterinya, ini seperti hukum zina juga atas qaul yang mu’tamad (adapun liwat) pada isteri atau sahaya perempuannya maka ditakzirkan dia jua jika berulang-ulang, jika tiada berulang-ulang maka tiada ditakzirkan padanya (m/s 215)

5-Syaikh Ahmad Bin Muhammad Zain al-Fatani menyebut dalam kitabnya ‘Unwanu al-Falah, tentang perlaksanaan hukum hudud atasjenayah zina dan liwat, serta syaikh memilih salah suatu qaul daripada menyatakan hukuman liwat:

Dan disyaratkan pada wajib had itu taklif maka tiada dihad-kan kanak-kanak dan orang yang gila bahkan dita’dibkan keduanya (dan hukum) liwat [sama dengan] hukum zina. Dan orang yang dikerjakan [ orang yang kena liwat] pada duburnya itu had-nya jild [sebatan] semada muhsan atau tiada (m/s 75)

6- Syaikh Muhammad Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kasyafu al-Litham menyebut dalam bab Qazaf:

(Furu) Harus yang menuduh itu menuntut akan yang kena tuduh itu suruh bersumpah atas tiada ia [orang yang kena tuduh] berzina , dan jika enggan ia [orang yang kena tuduh] daripada bersumpah gugurlah hadnya [had qazaf atas yang menuduh], dan jika bersumpah ia [orang yang kena tuduh]. Dihad-kan dia [yang menuduh] [inilah] kata kebanyakan ulama’, tiada didengarkan dakwa dengan zina dan bersumpah ia atas menafikan dia melainkan pada masaalah ini jua seperti kata dalam [kitab] Syarah Raudah[8]

Dalam persoalan yang lebih menjurus dicatitkan:

(Furu) Ditanya akan [Imam} Ramli daripada seorang yang mendakwa ia atas seorang yang lain bahawa sanya ia [yang kena tuduh] liwat dengan dia, maka engkar ia [yang kena tuduh], maka adakah [perlu] bersumpah ia [yang kena tuduh] yakni menuntut suruh bersumpah , dan apabila kamu kata tiada disumpahkan dia [yang kena tuduh enggan bersumpah], maka apabila tiada didirikan baiyyinah [saksi dan bukti yang secukupnya] dihad-kan dia [yang menuduh] yakni akan orang yang mendakwa itu? Apabila maaf maqzuf [orang yang kena tuduh] itu daripada [dilaksanakan hukum] had [ke atas yang menuduh], maka adakah bagi qazif tuntut suruh bersumpah akan dia atau tiada?

Dan maka jawab ia dengan bahawa sanya ia [yang menuduh] iqrar atas dirinya dan menuduh ia[ yang menuduh] akan di fa’il [yang dituduh sebagai pelaku] , maka [ dalam keadaan ini] jika menuntut ia [yang kena tuduh] akan had qazaf-nya [terhadap yang menuduh], niscaya adalah baginya[yang kena tuduh] menyumpahkan [bersumpah] dia atas nafi liwatnya [meliwat si penuduh], dan jika [sekiranya ] tiada menuntut ia [yang kena tuduh] akan [hukuman] had-nya [dilaksanakan ke atas yang menuduh] maka tiada boleh dituntut bersumpah. (m/s:369)

Syaikh Muhammad Ismail menyebut ‘rational’ fatwa ini dalam kitabnya yang sama:

Bermula orang yang mendakwa itu orang yang mukhalafah [menyalahi] oleh [dengan perkataan] katanya akan zahir dan mudda’a ‘alahi [orang yang kena dakwa] itu orang yang muafakat akan yang zahirnya m/s: 455

8. Sayaikh Daud Abdullah al-Fatani dalam kitabnya Furu al-Masail mencatitkan persoalan yang sama:

(Soal radiyyallahu ‘anhu ) daripada seorang dakwa atas seorang [yang lain] bahawa ia liwat, maka engkar ia [yang kena tuduh], adakah ia [yang kena tuduh] bersumpah atas ketiadaannya [melakukan liwat tersebut] ? Dan jika kita kata tiada [kewajiban] atasnya bersumpah , makajika tiada [pula] didirikan baiyyinah [oleh yang menuduh] adakah didirikan [dilaksankan hukuman] had atas mudda’ie ? Dan apabila memaafkan oleh yang kena tuduh daripada hadnya [hukuman ke atas yang menuduh kerana qazaf], maka adalah bagi yang menuduh suruh ia bersumpah?

(Maka dijawabnya) bahawa sanya ia mengaku atas dirinya [diliwat] dan menuduh ia bagi yang berbuatnya dengan dia [yang menuduh], maka jika menuntut [ oleh yang kena tuduh] akan dia [yang menuduh] dengan [dikenakan] had qazaf , harus ia [yang menuduh] menuntut suruh [yang kena tuduh] bersumpah atas menafikan liwatnya, manakala dimaafkan daripadanya [tiadalah dilaksanakan hukum had ke atasnya], dan jika tiada [menuntut hukum had qazaf ke atas yang menuduh] maka tiadalah boleh ia menuntut suruh ia bersumpah[9]. (m/s:323)

9-Syaikh Abdul Rauf Singkel dalam kitabnya Mira atu at-Tullab menyebut:

Bermula wajib had zina itu atas orang yang menetap [mukallaf] bagi segala hukum Islam lagi tahu ia akan haramnya dengan sebab memasukkan hasyafah atau kadarnya [bagi yang tiada hasyafah] ke dalam faraj semada faraj itu qubul atau dubur dan semada ia daripada lelaki atau perempuan dan adalah faraj itu faraj yang diharamkan ia kerana ‘ainnya lagi yang keinginannya pada tabiat yang sejahtera dan adalah masuknya itu dengan tiada syubhah dan ada yang empunya faraj itu diupah lagi menghalalkan dirinya atau mahramnya sekalipun. (m/s:447)[10]

Lihat bagaimana keatanya syarat baiyyinah bagi menthabitkan perbuatan zina yang dijatuhkan hukuman hudud, Syaikh Abdul Rauf menyebut dalam kitab yang sama:

(Soal) jika bertanya seorang apabila naik saksi orang yang diqabulkan [diterima] saksinya [kesaksiannya] padahal kurang daripada empat orang akan zina seorang, adakah thabit zina dengan dia [orang yang dituduh] atau tiada, maka apabila tiada thabit dengan dia [kesaksian yang tisak cukup empat orang] [kesalahan] zina adakah wajib atas sekelian saksi had atau tiada

(Jawab) tiada thabit zina dengan dia dan wajib atas sekelian saksi itu [hukuman] had supaya jangan jatuh pekerjaan [practice] itu membinasakan hormah [kehormatan/maruah] manusia dengan rupa saksi. Dan demikian lagi jikalau naik saksi akan zina itu sekelian perempuan atau segala sahaya atau ahli az-zimmi , niscaya wajib [hukuman] had atas mereka itu kerana bukan mereka itu ahlu as-syahadah (yakni) yang bukan patut akan [menjadi] saksi (m/s 450)

10-Syaikh Muhammad Nur Bin Ismail al-Fatani dalam kitabnya Kifayatu al-Mubtadi menyebut:

(Dan) hukum (liwat) iaitu memasukkan hasyafahnya atau kadarnya (pada) dubur (lelaki) dan jika sahayanya atau pada dubur perempuan yang bukan isterinya atau gundiknya [sahaya perempuannya sama dengan] (hukum zina) maka direjamkan fa’il yang muhsan dan dipukulkan yang tiada muhsan dan didagangkan dia [dibuang daerah] sepeerti yang telah lalu sebutnya. Adapun yang kena perbuat maka dipukulkan dan didagangkan dia semada muhsan atau tiada, maka iaitu atas mazhab, maka ialah yang mu’tamadnya pada [hukuman] liwat dan muqabalahnya [pendapat yang tidak mu’tamad dalam mazhab] dibunuhkan fa’il-nya dan kaifiat membunuhkan dia itu bersalah-salahan padanya, kata setengahnya dengan pedang dan kata setengahnya direjamkan dia dan kata setengah dirobohkan jidar atasnya dan kata setengah dicampakkan akan dia daripada puncak gunung yang tinggi[11] m/s 310-311

!1- Dalam Kitab ‘Umdatu as-Salik , sebuah kitab feqah mazhab Imam as-Syafi’ie berbahasa arab, karangan Syaikh Ahmad Ibn Naqib . Terdapat edisi kitab ini yang dibuat ta’liqat oleh Syaikhuna Nuruddin al-Banjari. Kitab ini juga telah diterjemaholeh Syaikh Nuh Hamim Keller ke dalam bahasa inggeris dengan baik sekali. Terjemahan yang saya fahami adalah lebih kurang:

Apabila membuat tuduhan (qazaf) oleh seorang yang baligh, beraqal dan dengan pilihannya [tidak dipaksa] sedangkan dia seorang muslim, atau seorang zimmi atau seorang yang murtad atau seorang kafir yang diberi jaminan keamanan terhadap seorang yang muhsan, bukan anak kepadanya dengan tuduhan zina atau liwat dengan jelas [sarahah] atau dengan simbolik [kinayah] beserta dengan niat maka dikenakan hukum had

Khulasah

Jelaslah dalam matan-matan kitab yang telah dirujuk menunjukkan hukuman hudud bagi jenayah liwat adalah di bawah bab jenayah zina dan hukumannya sama bahkan lebih berat. Sementara tuduhan zina ke atas seorang yang muhsan membawa kepada jenayah qazaf, sudah tentu tuduhan liwat, yang disebut oleh Imam al-Mawardi yang liwat itu adalah perlakuan yang lebih dahsyat daripada zina itu juga diambil kira sebagai qazaf.

Sementara jika ada seorang yang mengaku dirinya diliwat tanpa mendatangkan baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf syara’ ,sedangkan orang yang kena tuduh itu pula menafikan tuduhan tersebut dan dia meminta kepada qadi agar orang yang menuduh itu didakwa sebagai orang yang melakukan qazaf. Dan orang yang menuduh itu kerana menguatkan hujjahnya, dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh itu bersumpah menafikan yang dia telah meliwat orang yang menuduh. Maka apabila orang yang kena tuduh itu bersumpah maka orang yang menuduh itulah yang dijatuhkan hukuman had qazaf.

Sekiranya orang yang menuduh itu mempunyai baiyyinah atau qarinah, sepatutnya dia menthabitkan jenayah orang yang kena tuduh itu dengan menggunakan baiyyinah dan qarinah tersebut, jangan diminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, kerana sekiranya orang yang dituduh itu bersumpah menafikan yang dia meliwat orang yang menuduh, maka hukuman had qazaf jatuh ke atas orang yang menuduh. Itulah kefahaman kebanyakan ulama dalam mazhab Imam as-Syafi’ie. Ini kerana apabila dia meminta qadi memerentah orang yang kena tuduh bersumpah, implikasi undang-undangnya ke atas orang yang membuat tuduhan ialah dia mesti menerima butiran sumpah yang dibuat oleh orang yang kena tuduh

Bagaimana pula sekiranya orang yang membuat tuduhan itu tidak mempunyai baiyyinah atau qarinah yang diiktiraf oleh syara’ dan mendesak agar orang yang kena tuduh bersumpah? Tidakkah dia takut kepada hukuman lapan puluhan sebatan thabit ke atas zimmahnya, serta dia akan dikira sebagai seorang yang pembohong di sisi hukum syara’. Mengikut Imam as-syafi‘ie dan sebahagian ulama yang lain, sekiranya orang yang melakukan qazaf ini bertaubat sekalipun, maka taubatnya itu di antara dia dan Allah, dari segi perlaksanaan hukum syara’ dia dikira sebagai ‘fasiq’ sampai bila-bila.

Begitulah perincinya hukum Islam, alhamdulillah keperincian perbincangan hukum itu juga dikupas oleh ulama-ulama jawi dalam kitab-kitab mereka. Kita diwariskan dengan khazanah ilmu yang sangat bernilai dan mendalam sifatnya, rugilah bangsa yang tidak tahu menilai warisan sendiri serta dalam kejahilan mereka itu pun , mereka sanggup memandang orang tua mereka sebagai orang yang tidak memahami Islam yang luhur dan lengkap-melengkapi sebagaimana yang mereka faham sekarang. Aduhai bangsaku, adakah ini nasib kita selepas 51 tahun merdeheka…..

Alhamdulillah selesai membuat catitan selepas zuhur satu Syawal 1429H. Ia diselesaikan dengan segala keterbatasan ilmu dan faham dan rujukan tetapi memandang dengan sangka yang baik terhadap ‘inayah dan taufiq dari Allah , semoga catitan ini memberi manafaat kepada pencatit yang serba kekurangan dan saudara-saudaranya yang mahu memahami dan menghayati kebenaran.

——————————————————————————–

[1] Naskhah yang dirujuk dicetak Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1312 H. Alhamdulillah ianya adalah naskhah yang lengkap.

[2] Anal-sex yang tidak dijatuhkan hukuman hudud itu ialah dengan isteri atau sahaya, bagaimanapun ditakzirkan

[3] Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba‘ah al-Miriyyah pada tahun 1330H. Matan Zubad diterjemah dalam bentuk puisi serta diikuti oleh syarah di dalam bentuk prosa. Sedang kitab asalnya yang berbahasa ‘arab ditulis oleh Syaikh Ahmad ibn Raslan dl-Dimasyqi.

[4] Melontar maksudnya menuduh

[5] Hurr orang yang merdeka-bukan sahaya

[6] Apabila si penuduh meminta agar orang yang kena tuduh bersumpah, bererti dia mengiktiraf apa yang disumpah oleh orang yang kena tuduh.

[7] Naskhah yang dirujuk di cetak oleh Di. Ya Ikhwan

[8] Cetakan tahun 1345H

[9] Naskhah yang dirujuk cetakan Matba’tu al-Misriyyah pada 1307H

[10]Siap ditulis pada tahun 1184H. Naskhah yang dirujuk dicetak di Matba’atu Ummu al-Qurra pada tahun 1309H.

[11] Naskhah yang dirujuk cetakan Dar al-Maarif, Pulau Pinang (t.t)

Sumber: http://ayobhussin.com/hukumislam/permasaalahan_hukum_zina_dan_liw.htm

10 February 2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , | Leave a comment

Kisah Bau Kasturi dan Zina

Ada seorang pemuda yang menjual kain dari rumah ke rumah. Ia mempunyai susuk tubuh yang tegap dan rupa yang tampan.

Suatu hari ia lewat di jalan-jalan dan seorang wanita telah memanggilnya dan memintanya untuk masuk ke dalam rumah, apabila pemuda itu masuk ke dalam rumah maka wanita itu terus mengunci pintu. Terkejut dengan perbuatan wanita tersebut, pemuda itu mengingatkanya dengan Allah dan azab yang pedih..

Tapi sia-sia.. Amarah wanita itu semakin bertambah. Wanita itu menyatakan betapa ia ingin melepaskan perasaan rindu dendamnya yang terpendam sejak sekian lama terhadap lelaki tersebut.

Wanita itu berkata pada pemuda penjual kain: “Jika anda tidak melakukan apa yang aku perintahkan pada kamu nescaya aku akan menjerit minta tolong. Aku akan beritahu kepada semua orang bahawa kamu menceroboh masuk dan memaksa ku melakukan perkara sumbang. Sudah tentu orang akan mempercayai kata-kataku ini.”

Melihat sikap wanita itu yang nekad. Pemuda itu menyuruhnya pergi bersiap-siap dan ia minta izin untuk masuk ke bilik air dengan alasan kononya ia juga ingin mempersiapkan diri. Apabila masuk ke bilik air, tubuh pemuda itu dengan sendiri rasa gementar daripada rasa takut dan jatuh dalam lumpur dosa dan tiba-tiba timbul dalam fikirannya satu jalan keluar.

Pemuda itu pun buang air besar dan ia lumurkan seluruh badan dengan najisnya sendiri. Sambil menangis ia berkata: “Daripada aku terjerumus dalam najis dosa dan kemurkaan Allah maka lebih baik aku lumurkan diriku dengan najis dunia yang busuk ini.”

Apabila pemuda itu keluar dari bilik mandi, ia dapati wanita itu sudah menunggunya. Ia melihat sendiri betapa terperanjatnya wanita itu dan wanita itu merasa sangat merasa jijik dengan keadaannya. Lalu wanita itu menjerit marah dan menyuruh pemuda itu keluar dari rumahnya dengan segera.

Lepaslah si pemuda dari dugaan yang amat berat. Dalam perjalanan pulang ia terdengar azan berkumandang.Ia terus balik ke rumah membersihkan diri. Dan dengan perasaan malu dengan bauan yang tak enak pada tubuhnya ia terus melangkahkan kakinya ke masjid.

Setelah selesai solat, pemuda itu menjadi panik apabila semua mata para jemaah tertumpu ke arahnya. Dalam keadaan tersipu-sipu ia mohon maaf. Apabila ia ingin beredar, jemaah masjid mengerumuninya dan bertanya kepadanya dari mana ia mendapat bauan yang sangat wangi itu. Semua ahli jemaah dapat mencium bauan kasturi yang semerbak harumannya..
Dikatakan bahawa bauan itu kekal dalam diri pemuda itu sampai akhir ajalnya. Ia di kenali dengan panggilan Abu Bakar “Al Miski” bermaksud Pemuda Kasturi..

Ingatlah, apabila seseorang melakukan zina ia terjerumus dalam najis dosa yang amat jijik di sisi Allah. Tapi sebelum itu, apabila hatimu tergerak untuk melakukan zina, ia sudah terlebih dahulu terpalit noda walaupun kamu tidak melakukannya. Itulah zina hati namanya.

Sumber: Pondok Habib

23 December 2014 Posted by | Renungan & Teladan, Tazkirah | | 1 Comment

Sekularisme melahirkan manusia yang rosak

Mengapa ramai manusia yang mengaku Islam tetapi tidak terdidik dengan Islam? Jawapannya, kerana sistem yang mendidiknya pada hari bukanlah sistem Islam! Sistem yang diamalkan pada hari ini dipenuhi dengan kebebasan dari segi tingkah laku di mana hubungan lelaki dan perempuan dibiarkan sebebas-bebasnya. Malah saban hari media cetak dan elektronik mengiklankan dan menggalakkan gaya hidup ala binatang seperti ini.

Sistem pendidikan yang ada tidak diteraskan kepada aqidah Islam yang natijahnya melahirkan individu yang tidak memiliki syakhsiah Islam dan gagal memahami serta menyedari bahawasanya berzina itu haram dan pembuangan bayi boleh dianggap membunuh dan berdosa besar di sisi syarak. Bayangkanlah di peringkat sekolah lagi telah terjadi kes kehamilan (perzinaan) dan berakhir dengan pembunuhan yang penuh tragis seperti ini. Inilah realiti kehidupan di dalam sebuah negara sekular yang memisahkan agama dari kehidupan.

Inilah antara bukti kegagalan sistem sekular yang diterapkan oleh pemerintah yang ada. Inilah buah tangan yang dihadiahkan oleh penjajah berupa sistem kufur yang menafikan agama sebagai pengatur hidup. Ternyata pelbagai usaha serta kempen yang dianjurkan oleh pemerintah sebagai penyelesaian kepada masalah pembuangan bayi seperti kempen ‘Kami prihatin,’ Sekolah Harapan, baby hatch dan yang terkini Pendidikan Seks, kesemuanya merupakan penyelesaian yang cukup lemah dan sia-sia.

Islam telah menetapkan bahawa hubungan kelamin yang sah di sisi syarak adalah hubungan yang dijalin melalui ikatan pernikahan. Dengan ikatan halal inilah pasangan itu telah sah menjadi suami isteri dan seterusnya dari mereka akan lahirlah zuriat umat manusia.

Islam juga telah menetapkan sekiranya berlaku perzinaan, maka pelakunya wajib dihukum rejam (bagi pasangan yang sudah berkahwin) ataupun sebat 100 kali (bagi pasangan yang belum berkahwin) sepertimana Firman Allah SWT:
“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka sebatlah tiap-tiap seorang dari keduanya dengan seratus kali sebatan dan janganlah belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (perlaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman” [TMQ An-Nur (24):2]

Maka untuk menyelesaikan masalah manusia secara menyeluruh, tidak ada cara lain melainkan kembali kepada Islam dengan menerapkan syariat dalam kehidupan individu, masyarakat dan Negara. Allah telah menurunkan sistem kehidupan yang sempurna untuk manusia seperti sistem pendidikan, ekonomi, pergaulan, uqubat dan sebagainya. Sesungguhnya hanya dengan sistem Islam sahajalah yang mampu menyelesaikan masalah pembuangan bayi serta seribu satu macam masalah yang lainnya. Inilah sistem yang mampu mengatur kehidupan manusia kerana ianya dicipta oleh Pencipta sekalian makhluk iaitu Allah SWT.

Sebagai individu, marilah sama-sama berusaha untuk menanamkan ketaqwaan dalam diri kita. Sebagai anggota masyarakat, menjadi kewajipan kita untuk mengajak kepada perkara yang makruf dan mencegah dari segala kemungkaran. Kepada pihak pemerintah, wajib ke atas kamu menerapkan sistem Islam dan berdosa besarlah pemerintah yang tidak berhukum dengan apa yang Allah turunkan!

 

(Sumber : Berita Harian)

10 July 2012 Posted by | Politik dan Dakwah, Tazkirah | , | Leave a comment

Apabila penzina menghina Islam

Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan kebiadaban pemimpin-pemimpin bukan Islam menghina amalan agama Islam, undang-undang Islam dan kedudukan Islam yang dilindungi oleh perlembagaan, secara bertubi-tubi. Seolah-olah ianya dirancang dengan sebegitu rapi, sama ada oleh parti politik, majlis peguam, NGO, individu tertentu dan sebagainya, yang tidak Islam. Pendek kata, mereka bergerak dalam segenap aspek, dalam satu pasukan menggunakan pelbagai label, pelbagai pendekatan, sama ada secara lantang, licik dan halus. Paling ketara, kita lihat mereka saling sokong-menyokong. Tidak ada yang membantah.

Islam diserang dari pelbagai sudut. Suara mereka tetap sama, senada dan seirama, tidak kira di mana berada. Tidak seperti kita, usahkan dari pelbagai sudut, perkara kecil sekalipun, masih berpecah dan bergaduh tidak ada penghujung. Apa yang amat menyedihkan adalah, tidak ramai dari kalangan kita yang berani menegurkan atau memberikan reaksi kepada tindakan biadab kumpulan bukan Islam ini. Jika teguran dibuat nanti, takut ada implikasi kepada kedudukan undi dan gugatan kuasa politik.

Sebagai agama yang bersifat universal, sebenarnya Islam begitu terbuka. Kita boleh ditegur, tidak ada masalah. Muhasabah diri amat penting dalam Islam. Hisablah sebelum diri kamu dihisab. Parti-parti politik atau orang bukan Islam boleh memberikan teguran dalam perkara lain seperti salah tadbir urus, salah laku peribadi, rasuah dan sebagainya yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bila tiba kepada perkara berkaitan agama Islam, jangan terlalu kurang ajar. Apatah lagi jika yang menegur itu, latar belakangnya amat menjijikkan. Seks rambang dan perzinaan sudah menjadi budaya hidupnya.

Kenapa perlu mencampuri urusan orang Islam atau agama Islam, sedangkan orang Islam tidak pernah sama sekali campur tangan dalam urusan agama mereka. Siapakah kamu wahai kiasu? Jika kami melakukan tindakan yang sama menghina agama kamu, sudah tentu mereka ibarat cacing kepanasan.

Sebagai umat Islam kita mesti merasa sensitif. Tidak boleh pejam sebelah mata. Jangan benarkan sesiapapun menghina al-Quran. Hidup mati kita adalah dengan al-Quran. Al-Quran adalah petunjuk, kerana ia adalah kalamullah. Hatta, satu huruf al Quran, kita tidak boleh tolak. Kita wajib mengimaninya. Inikan pula menolak hukum Allah itu. Jika tidak mahu menerima, tidak mengapa. Lagipun dia bukan untuk ultra kiasu. Hanya untuk orang Islam. Tetapi jangan keluarkan kenyataan yang menyakitkan. Bayangkan jika kami mengkritik agama Buddha atau Kristian secara terbuka. Apakah reaksi ultra kiasu dalam Majlis Perundingan agama bukan Islam dan kuncu-kuncunya ketika itu. Jangan bermain dengan api wahai penzina.

Jika tidak faham tentang Islam, mari kita belajar bersama. Lagi pula bidang undang-undang Islam, begitu jauh daripada bidang penzina ini. Sudahlah bukan bidang, banyak pula dia bercakap. Jika bidang beliau mengenai kesihatan seperti mana jawatan yang pernah dipegang sebelum ini, lebih baik dia bercakap mengenai keburukan yang dibawa hasil seks luar nikah atau seks rambang atau penzinaan.

Penzina ini juga berkata sistem perundangan itu tidak adil kepada semua pihak khususnya ke atas kaum wanita selain mengenakan hukuman-hukuman kejam yang jelas bercanggah dengan konvensyen antarabangsa. Penzina ini juga meramalkan bahawa pasaran saham akan jatuh antara 10 hingga 20 peratus jika hukum hudud digubal dan ia juga akan memberi kesan ke atas kewangan pelabur-pelabur tempatan. Wah! bukan main pandai lagi beliau meramal seperti nujum. Kenapa negara China yang mengamal sistem komunis yang nampak lebih zalim tidak dikritik? Adakah pelabur lari daripada negara Cina? Apa yang saya tahu, semakin ramai yang melabur di negara komunis itu? Tidak kurang yang mencari saudara mara mereka untuk dibawa ke sini kerana tidak tahan dengan cara hidup sana. Tidakkah komunis lebih kejam? Janganlah kerana saudara mara mereka ramai di situ, maka yang buruk dilihat baik, tetapi bila apa jua perkara berkaitan dengan Islam yang menjadi amalan kehidupan kita dihina sedemikian rupa dan yang baik dilihat buruk. Adakah kita masih buta dengan perancangan jahat ini?

Saya amat hairan kenapa kita sengaja memejamkan mata dengan strategi untuk ‘menghapuskan’ identiti Islam dan Melayu ini. Mereka bukan tidak tahu kebaikan Islam, mereka tahu. Tetapi mereka tidak mahu ada identiti Islam (Melayu) di Malaysia. Mereka mahukan sama rata dan sama rasa. Sampai bila-bila pun ultra kiasu yang berada dalam pakatan dan barisan tidak akan menerima Islam, kecuali Umno dan Pas bersatu.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan Timbalan Presiden Umno, sebenarnya kita tidak rasis. Mereka yang seratus kali lebih rasis. Bukan sahaja rasis, tetapi busuk hati. Mereka tidak mahu langsung negara ini dikaitkan dengan identiti Melayu dan Islam, walaupun itulah hakikat yang mesti diterima.

Seperti yang Perdana Menteri sebut, orang Melayu tidak pernah menjadi bangsa yang rasis dan bersikap pelampau kerana sejak merdeka orang Melayu sanggup berkongsi kuasa dan memberi apa yang (dirasa) adil kepada bukan Melayu. Orang Melayu telah menghulur tangan kepada orang bukan Melayu untuk membina sebuah negara yang aman, bersatu dan lebih makmur serta mengamalkan wassatiyyah (kesederhanaan) sejak dulu lagi. Jadi jangan sesekali cuba mencuit perasaan orang Melayu dengan cuba mengubah apa yang termaktub dalam Perlembagaan. Apa yang sudah kita rundingkan waktu merdeka dulu, perkara ini akan dipertahankan.

Justeru, tunggu apa lagi, marilah kita bersama-sama tanpa mengira parti dan ideologi, mempertahankan Islam yang semakin lama semakin berani dimamah dan diratah oleh ultra kiasu yang wujud di mana-mana, termasuk dalam Barisan Nasional. Mereka licik dan bijak menyamar seperti musang berbulu ayam. Kita bukan tidak tahu. Kita tahu, tetapi kita masih percaya bahawa ‘bersangka baik dan toleransi’ adalah segalanya, demi undi dan kuasa. Persoalannya, sampai bila? Adakah kita akan terus berada di pihak yang rugi.

Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia

Disember 2011

14 December 2011 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: