Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kisah Capal Nabi

Nak cerita Capal sikit.

Dr Umar Muhammad Noor

1. Capal Nabi mula popular pada abad 7 H di Syam.
Capal tersebut dimiliki oleh seorang saudagar bernama Ahmad bin ‘Uthman bin ‘Abd al-Rahman bi ‘Abdullah bin Hasan bin Abu al-Hasan Ahmad bin Abu al-Fadl Abdul Wahid bin Muhammad bin Ahmad bin Uthman bin al-Walid bin al-Hakam bin Salman bin Abi al-Hadid Sulayman al-Sulami.
Keluarga Ibn Abi al-Hadid terkenal dalam bidang hadith dan periwayatan. (al-Wafi bi al-Wafayat 2:437)
Datuk beliau yang paling tinggi iaitu Sulayman Abu al-Hadid dikatakan adalah seorang sahabat Nabi.
Datuk beliau yang bernama Muhammad bin Ahmad bin ‘Uthman terkenal sebagai seorang muhaddith (al-Wafi fi al-Wafayat 1:176).
Begitu juga datuk beliau yang bernama Abu al-Hasan Ahmad bin Abdul al-Wahid sebagaimana keterangan Abu Sa‘ad al-Sam‘ani (m. 562H) dalam al-Tahbir fi Mu’jam al-Kabir 1:345.
Datuk beliau yang bernama ‘Abdul Rahman bin ‘Abdullah adalah ulama hadith salah seorang guru Al-Sam’ani. Semasa mengambil hadith daripadanya, al-Sam’ani bercerita bahawa beliau melihat capal Nabi di rumahnya.

2. Semasa Sultan al-Ashraf bin al-Malik al-‘Ādil bin Ṣālāh al-Dīn al-Ayyubi (m. 635H) memerintah Syam, beliau meminta Ahmad Ibn Abi al-Hadid menjual capal tersebut kepadanya, namun beliau menolak tawaran ini. Bagaimanapun, Ahmad berwasiat agar capal tersebut diserahkan kepada sultan Ashraf sekiranya beliau meninggal dunia.
Selepas beliau wafat pada tahun 625 H, Sultan Ashraf mengambil capal tersebut. Beliau lalu meletakkannya di Darul Hadith al-Ashrafiyyah di Damsyik selepas dirasmikan pembukaannya pada tahun 630H.
Saya pernah menyebutkan sebelum ini bahawa guru besar hadith pertama di al-Ashrafiyyah adalah Imam al-Hafiz Ibn al-Salah (m. 643H). Capal Nabi terus berada di Darul Hadith pada masa kepimpinan tokoh-tokoh hadith selepas beliau termasuk Ibn al-Ḥarastānī (m. 662H), Abu Shamah (m. 665 H), al-Nawawi (m. 676H), al-Mizzi (m. 642H), dan al-Subki (m. 756H), dan lain-lain.

3. Keberadaan Capal Nabi di Ashrafiyyah menarik perhatian para ulama di pelbagai penjuru negeri. Mereka datang ke sini untuk bertabarruk dengannya.
Salah seorangnya seorang ulama Andalus, Muhammad bin ‘Umar Ibn Rushayd al-Fihri (m. 721 H). Beliau datang ke Darul Hadith untuk melihat dan mencium capal Nabi, lalu menggubah bait-bait syair yang menyebutkan:
هنيئا لعيني أن رأت نعل أحمد … فيا سعد جدّي قد ظفرت بأسعد
وقبّلتها أشفي الغليل فزادني … فيا عجبا زاد الظّما عند مورد
“Tahniah bagi mataku kerana telah melihat capal Ahmad.
Sungguh berbahagianya, Aku telah meraih kebahagiaan yang paling tinggi.
Aku mencium untuk menghilangkan rindu, tapi malah menambahkan kerinduan.
Sungguh pelik, haus semakin menjadi selepas minum!” (al-Ihatah fi akhbar Gharnatah 3:102).

4. Menariknya, kandungan buku Abu al-Yumn Ibn ‘Asākir (m. 687H) yang bertajuk Mithāl Ni‘āl al-Nabi SAW bukan membincangkan Capal Ibn Abi al-Ḥadīd.
Buku ini membincangkan lakaran (timthāl/mithal) Capal lain yang berada dalam simpanan Isma’il bin Ibrahim bin Abdullah bin ‘Abdul Rahman bin Abi Rabi’ah al-Makhzūmī (m. 169 H). Ismail menerima Capal tersebut daripada datuknya ‘Abdullah bin ‘Abdul Rahman (suami Ummu Kulthum bin Abi Bakar al-Siddiq). Ummu Kulthum menerima capal Nabi daripada kakaknya Siti A’isyah.
Abu Uways, sepupu Imam Malik di Madinah, lalu menyuruh seseorang membuat lakaran Capal tersebut. Lakaran tersebut seterusnya diriwayatkan secara turun temurun oleh ahli hadith hingga ke penulis buku.
Dalam buku ini, Abu al-Yumn sedikit bercerita tentang khasiat lakaran Capal berdasarkan testimoni orang-orang tertentu. Antaranya dikatakan bahawa siapa yang menyimpan lakaran tersebut, maka dia akan terjaga daripada perompak dan musuh, terlindung daripada syaitan dan pendengki, serta dapat memudahkan kelahiran anak.
Bagaimanapun, perbincangan tentang khasiat dalam buku ini hanya sedikit. Sekadar penambah perisa dalam perbahasan.

5. Pada tahun 803H, Tamerlank menyerang Damsyik. Selain menghancurkan bandar ilmu ini, beliau turut merampas capal Nabi dari tempatnya.
Abdul Qadir al-Nuaymi dalam al-Dāris fi Tārikh al-Madāris 2:227 berkata:
“Capal tersebut terus berada di Darul Hadith hingga kejadian fitnah Tamerlank. Beliau mengambil capal tersebut dan pasangannya yang tersimpan di Madrasah al-Damaghiyah. Al-‘Allamah Badr al-Din Ibn Maktum berkata: Capal yang berada di Ashrafiyyah adalah sebelah kiri. Yang berada di Damaghiyyah adalah sebelah kanan. Akan tetapi, capal yang berada di Ashrafiyyah lebih masyhur kerana kemasyhuran tempatnya dan ketidakmasyhuran pasangan capal tersebut. Kedua-dua pasang capal lalu dirampas oleh Tamerlank.”
Sejak hari itu, keberadaan Capal Nabi tidak dapat dikesan lagi.
Dengan ketiadaan Capal, lakaran Capal nampaknya semakin mendapat tempat. Sesetengah ulama dikatakan menggubah syair berikut:
سألثُمُ المثالَ إذ لم أجِدْ … للَثْم نَعْل المصطفى من سَبيلْ
“Aku akan mencium gambar (Capal) kerana tiada lagi peluang mencium Capal al-Mustafa” (Al-Takmilah li kitab al-Silah, 4:264).

6. Cerita, kisah dan testimoni tentang khasiat lakaran Capal pun semakin hari semakin banyak.
Dalam Fath al-Muta‘āl fi Madḥ al-Ni‘āl, Ahmad bin Muhammad al-Tilmisānī (m. 1041H) menyediakan satu bab khas untuk menyebutkan pelbagai khasiat lakaran Capal (ms. 469-484).
Beliau (ms. 470) antaranya menukil daripada sesetengah kalangan bahawa pasukan yang membawa lakaran ini tidak akan dikalahkan, kafilah yang membawanya tidak akan dirompak, kapal yang membawanya tidak akan tenggelam, rumah yang mengandunginya tidak akan terbakar, barang yang menanggungnya tidak akan dicuri.
Al-Tilmisani (ms. 471) turut menceritakan bahawa seseorang pernah meletakkan lakaran Capal di serban dengan niat meraih hajat duniawi. Orang tersebut dikatakan memperolehi apa yang dikehendakinya.
Bercerita tentang kejadian yang berlaku pada dirinya, al-Tilmisani (ms. 472) berkata bahawa beliau pernah mengalami situasi kritikal di tengah lautan dan kapal yang ditumpanginya hampir tenggelam. Beliau lalu memberikan lakaran Capal kepada kapten kapal. Dengan keberkatannya, ahli kapal selamat daripada musibah tersebut.

7. Kesimpulan: Capal, lakaran Capal, dan khasiat Capal adalah tiga topik yang berbeza. Adakalanya, seseorang yang bertabaruk dengan Capal tidak menyokong tabaruk dengan lakaran Capal. Ada juga yang menghormati lakaran Capal, namun tidak meyakini khasiatnya. Ramai yang memakai lakaran Capal di kopiah tanpa tahu asal usul dan khasiat lakaran Capal. Tidak dinafikan, ada juga yang bertabaruk dengan lakaran Capal dan meyakini khasiatnya.

Masing-masing ada perbahasan tersendiri.

01/07/2022 - Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Informasi, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment