Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Selawat Ibrahimiyah

 

    Kenapa Dikhususkan Selawat Kepada Nabi Ibrahim a.s dan Ahli Keluarganya Dalam Solat?

    Dikhususkan selawat kepada Nabi Ibrahim a.s dan ahli keluarganya dalam solat kerana dua sebab:

    Pertama: Kerana beliau berkata kepada Nabi Muhammad SAW pada malam Mikraj: Sampaikan salamku kepada umatmu, sedangkan para nabi yang lain tidak berbuat demikian. Oleh sebab itu, kita diperintahkan berselawat kepadanya dan ahli keluarganya sebagai balasan atas kebaikan dan kemuliaannya.

    Kedua: Diceritakan, tatkala Nabi Allah Ibrahim a.s selesai membina Baitullah, beliau duduk bersama ahli keluarganya lalu menangis dan berdoa:

    اَللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا البَيْت مِنْ شُيُوخِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلاَم، فَقَالَ أَهْلُ بَيْتِهِ آمِين.

    Yang bermaksud, Wahai tuhan kami, sesiapa daripada kalangan orang tua umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka ahli keluarganya menyebut: Amin.

    Berkata Nabi Ishaq a.s pula:

    اَللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا البَيْت مِنْ كُهُولِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلاَم، فَقَالُوا آمِين.

    Yang bermaksud, Wahai tuhan kami, sesiapa daripada kalangan orang yang pertengahan umur umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

    Kemudian berkata Nabi Ismail a.s:

    اَللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا البَيْت مِنْ شَبَابِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلاَم، فَقَالُوا آمِين.

    Yang bermaksud, Wahai tuhan kami, sesiapa daripada kalangan orang muda umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

    Berkata pula Sarah:

    اَللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا البَيْت مِنْ نِسَاءِ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلاَم، فَقَالُوا آمِين.

    Yang bermaksud, Wahai tuhan kami, sesiapa daripada kalangan wanita umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

    Kemudian berkata pula Hajar:

    اَللَّهُمَّ مَنْ حَجَّ هَذَا البَيْت مِنْ مُوَالِي أُمَّةِ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ النِّسَاءِ وَالرِّجَالِ فَهَبْهُ مِنِّي السَّلاَم، فَقَالُوا آمِين.

    Yang bermaksud, Wahai tuhan kami, sesiapa daripada kalangan pendokong umat Muhammad SAW yang menunaikan haji maka Engkau kurniakanlah kepadanya salam (kesejahteraan) daripadaku. Maka mereka menyebut: Amin.

    Oleh kerana mereka berbuat demikian maka kita diperintahkan supaya berselawat ke atas mereka sebagai balasan kepada mereka.

     

    Petikan Kitab Hasyiah al-Syeikh Muhammad al-Syanawaniy Ala Mukhtasar Ibn Abi Jamrah, Dar Fikr, 2000, hlmn 329.

    Sumber: Jabatan Mufti Negeri Sembilan

    Advertisements

    16 January 2015 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

    Kenapa “ELERGIK PERDANA” dengan ‘SELAWAT PERDANA”?

    Himpunan muslimin di Putra jaya utk berselawat

    Saya melihat semacam suatu ‘alergik perdana’ kepada mereka yang menegatifkan program-program Selawat Perdana. Mereka yang elergik ini terlajak sehingga menerbitkan kalimah-kalimah takfir, sesat dan bid’ah kepada masyarakat yang mengikuti atau menghadirinya. Saya suka menyorot kembali elergik perdana mereka ini:

    1. Majlis selawat sebegini suatu yang bid’ah sesat masuk neraka sebab Nabi SAW tidak pernah buat. MasyaalLah, mereka masih berpegang secara literal hadis bid’ah walhal telah dijawab oleh banyak ulama mengenai perkara itu. Majlis ini tidak menambah sebarang rukun solat, atau mana-mana ajaran baru di dalam Islam. Bahkan di dalamnya ada peringatan-peringatan dan tausiyyah untuk pesertanya.

    2. Majlis ini syirik kerana mengagungkan Nabi Muhammad SAW? Pengamatan saya, adakah dengan berselawat sebegitu sudah berubah pula penyembahan kepada Nabi SAW? Tidak pula majlis ini menjadikan Nabi SAW kita berubah menjadi orang yang disembah. Tinggal lagi ia memperingatkan kepada kita sepatutnya idola kita ialah manusia yang sempurna ini.

    3. Majlis ini majlis yang sia-sia kerana turut dihadiri oleh mereka-mereka yang juga turut meluluskan konsert-konsert yang mungkar? Pada saya, sepatutnya kita gembira apabila mereka masih melihat majlis-majlis yang baik untuk dihadiri. Sekiranya para habaib itu hanya senyap terhadap perlakuan mungkar pemimpin, adakah dengan senyap menunjukkan mereka bersetuju? Tidak! Sebaliknya mendatangkan program alternatif adalah jawapan kepada program mungkar tersebut. Itu adalah jawapan yang lebih tajam daripada melafazkan kata-kata melarang mereka. Bahkan inilah jalan yang lebih berhikmah.

    4. Program ini membazir kerana jumlah wang yang sedemikian boleh digunakan untuk majlis dakwah yang lain. Pengamatan saya, kenapa saudara tidak melihat ini sebagai sebahagian daripada aktiviti dakwah iaitu memenuhi keperluan hiburan golongan muda. Golongan muda memang sentiasa memerlukan alunan-alunan muzik sebagaimana mereka menjadi pengikut kepada ramai artis yang menerbitkan album secara berterusan. Maka Selawat Perdana yang pelbagai boleh memenuhi keperluan mereka ini. Bahkan perlu diingat, sekiranya Selawat Perdana ini tidak dibuat, kita tidak pasti juga adakah wang ini akan dikhususkan untuk program dakwah yang lain.

    5. Qasidah dan berzanji mengagungkan Nabi Muhammad SAW sehingga syirik? Pengamatan saya, ini suatu konklusi yang buruk. Ungkapan-ungkapan qasidah penuh dengan bunga-bunga bahasa. Maknanya tidak terkeluar daripada makna kemanusiaan dan mengharap syafaat Nabi SAW. Mereka yang tidak tahu seni, memang sukar memahami kelembutan dan alunan bunga-bunga bahasa.

    Semoga kita semua terhindar dengan ketaksuban sesuatu pandangan khususnya aliran yang cepat mengkafirkan dan membid’ahkan umat Islam yang lain.

    Oleh: Us Asmadi Mohamed Naim

    29 June 2014 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

    Kelebihan dan kebesaran Selawat Nabi SAW

    Sudah kah anda Berselawat hari inijpg

    Seorang murid bertanya kepada Syekh Ali Jumah: “Syekh, dalam buku Anda tertulis bahwa membaca shalawat adalah satu-satunya ibadah yang pasti diterima oleh Allah. Apakah benar demikian? mohon penjelasannya.” Syekh Ali Jumah menjawab: “Ya, benar. Saya menulis demikian. Bershalawat nabi adalah amalan yang pasti diterima oleh Allah. Jika kamu bersedekah, dan kamu ingin dipuji, maka sedekahmu sia-sia. Begitu pula jika kamu shalat karena ingin diperhatikan manusia, shalatmu tanpa pahala. Tapi jika kamu bershalawat, walaupun kamu riya, kamu tetap akan mendapatkan pahala, karena shalawat berhubungan dengan Nabi Allah yang agung, yaitu Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam

    Sumber: PONDOK HABIB

    23 October 2013 Posted by | Ibadah | | Leave a comment

    Kelebihan berselawat keatas Nabi Muhammad S.A.W

    Sudah kah anda Berselawat hari inijpg

    Makna perkataan: “Selawat”. Perkataan selawat berasal daripada perkataan solat yang bererti doa atau pujian.

    Selawat Allah SWT ialah pujian-Nya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah SWT melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad SAW.

    Makna selawat dari Allah Ta’ala kepada hamba-Nya adalah limpahan rahmat, pengampunan, pujian, kemulian dan keberkatan daripada-Nya. [Lihat kitab “Zadul Masir”, 6/398].

    Ada juga yang mengatakan ia bererti taufik daripada Allah Ta’ala untuk mengeluarkan hamba-Nya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjuk-Nya), sebagaimana dalam firman-Nya:

    “Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikat-Nya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman”. (Surah al-Ahzab: ayat 43).

    Hukum berselawat

    Para ulama’ telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad SAW adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:
    1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
    2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
    3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
    4. Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad SAW, ganti namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

    Arahan Membaca Selawat

    Dalam semua perintah mengerjakan ibadat, Allah SWT menyuruh hamba-Nya beribadat. Sebagaimana dalam firman-Nya di atas tadi, Allah sendiri memulakan selawat ke atas Nabi, diikuti malaikat kemudian dianjurkan kepada Muslimin mengamalkannya. Hal ini bermakna membaca selawat itu sangat utama.

    Kelebihan Selawat

    Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

    “Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).” [HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih.]

    Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi SAW dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut.

    Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda SAW, kerana para ulama’ mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

    Selawat Paling Afdhal

    Membaca selawat untuk Nabi SAW adalah ibadat yang agung dan merupakan salah satu tanda kecintaan kepada Nabi SAW sekaligus menjadi faktor utama untuk mencapai syafaat Nabi SAW di hari Kiamat kelak. Perintah kepada umat Islam untuk membaca selawat untuk Nabi SAW datang setelah Allah Ta’ala memberitahu bahawa Dia berselawat kepada Nabi Muhammad SAW sebagaimana firman-Nya:

    “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat (memuji dan berdoa) ke atas Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu ke atasnya serta ucapkanlah salam dengan penghormatan.” (Surah al-Ahzab: ayat 56).

    Ayat di atas tidak menjelaskan satu bentuk nas selawat tertentu untuk dibaca apabila seorang Muslim hendak membaca selawat kepada Nabi Muhammad SAW.

    Namun demikian, terdapat beberapa riwayat yang menukilkan bahawa beberapa orang sahabat Nabi saw telah bertanya Rasulullah SAW cara atau kaifiyat untuk berselawat ke atas Baginda SAW, maka diajarnya kepada mereka.

    Antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 daripada Ka’ab bin ‘Ujrah RA. Sahabat yang mulia ini menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau.

    Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah: (*rujuk laman web asal)

    Inilah antara kaifiyat berselawat yang diajarkan Nabi SAW kepada para sahabat RA sebagai jawaban kepada pertanyaan mereka mengenai cara berselawat untuk Baginda. Maka adalah logik untuk dikatakan lafaz ini sebagai lafaz paling afdhal dalam berselawat.

    Al-Imam Al-Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah mengatakan:

    “Yang disampaikan oleh Nabi SAW kepada para Sahabat RA tentang kaifiyah (dalam membaca selawat) ini setelah mereka menanyakannya, menjadi petunjuk bahawa itu adalah nas selawat yang paling utama kerana Baginda SAW tidaklah memilih bagi dirinya kecuali yang paling mulia dan paling sempurna.” [Fathul Bari: 11/66].

    Menurut Kitab Mestika Hadis 1/259: “Dan yang seafdhal-afdhalnya ialah selawat yang biasa dibaca selepas tasyahud akhir setiap solat. Hal ini kerana para ulama telah menetapkan bahawa sesiapa yang bersumpah atau bernazar hendak berselawat kepada Nabi Muhammad SAW dengan seafdhal-afdhal selawat, tidak dihukum terlepas daripada wajib menepati sumpah atau nazarnya itu melainkan dengan membaca selawat itu.”

    Maka adalah lebih baik apabila lafaz selawat ini yang diamalkan dalam membaca selawat untuk Nabi SAW, bukan lafaz-lafaz selawat susunan seseorang, meskipun bukan larangan untuk menyusun bentuk teks selawat sendiri. Selawat-selawat selain yang diajarkan oleh Nabi SAW kadang-kadang tidak terlepas daripada kekeliruan, baik dalam pemilihan bahasa, mahupun –dan ini yang paling parah– kesalahan dalam akidah.

    Lafaz Selawat yang sahih

    Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

    Dari hadis: [An-Nasae’i: 1292, sahih] (*Lihat web asal)

    Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

    Kemudian terdapat riwayat-riwayat yang sahih dalam lapan riwayat, iaitu:

    1.   Dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA:
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim, Sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Ya Allah, Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim]

    2. Dari Abu Humaid As Saa’diy RA:
    “Ya Allah,berilah selawat kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya Allah, berkatilah Muhammad dan isteri-isteri beliau dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Bukhari dan Muslim].

    3.   Dari Abi Mas’ud Al-Ansori RA:
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim atas sekalian alam, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Muslim]

    4. Dari Abi Mas’ud, ‘Uqbah bin ‘Amr Al-Ansori RA (jalan kedua):
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad nabi yang ummi dan kepada keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberi selawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad, nabi yang ummi sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Abu Daud no. 981, sahih]

    5. Dari Abi Sa’id Al-Khudri RA:
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad hamba-Mu dan Rasul-Mu, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah memberkati Ibrahim.” [HR Bukhari]

    6. Dari seorang lelaki, sahabat Nabi SAW:
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan kepada ahli baitnya (keluarganya) dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan kepada ahli baitnya dan isteri-isterinya dan keturunannya, sebagaimana Engkau telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Ahmad, sahih].

    7. Dari Abu Hurairah RA:
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat dan memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR At-Tohawi dalam “Musykil al-Athar” 3/75, An Nasa-i dalam “Amalul Yaum wal Lailah” no 47. Sahih]

    8. Dari Tolhah bin ‘Ubaidullah RA:
    “Ya Allah berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah berselawat kepada Ibrahim sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad, sebagaimana Engkau telah telah memberkati keluarga Ibrahim, sesungguhnya Engkau Maha Terpuji (lagi) Maha Mulia.” [HR Imam Ahmad, sahih].

    Waktu Afdhal Berselawat

    •Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi SAW.
    •Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
    •Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
    •Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
    •Di akhir qunut dalam solat.
    •Di dalam solat jenazah.
    •Ketika masuk dan keluar dari masjid.
    •Setiap waktu pagi dan petang.
    •Hari Khamis malam Jumaat.
    •Sepanjang hari Jumaat.
    •Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

    Demikianlah perbincangan ringkas tentang lafaz selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang dapat dikumpulkan, berdasarkan riwayat-riwayat yang sahih. Sebagai panduan untuk beramal dengan Sunnah dan selawat yang mempunyai kekuatan sanad yang benar dan sahih daripada Nabi SAW.

    (Sumber: http://www.abuanasmadani.com)

    20 September 2013 Posted by | Ibadah, Tasauf, Tazkirah | | Leave a comment

    Selawat antara solat tarawih, adakah Bidaah?

    Jemaah

    Rata-rata dinegara Islam masih mengekalkan kewujudan solat secara berjemaah dan kedapatan rihat seketika setelah selesai solat 2 rakaat tarawih. Cuma apa yang berbeza ialah pengisian yang dilakukan diantara solat-solat tarawih tersebut. Terdapat beberapa amalan yang dilakukan diantara waktu-waktu rehat diantara solat tarawih, diantaranya adalah : berzikir, membaca al-quran, tawaf ; cuma bezanya amalan-amalan ini dilakukan dinegara-negara Arab ialah ianya dilakukan secara individu. Menurut bekas Pengerusi Lajnah Fatwa al-Azhar, Syiekh Atiyag Saqr :-

    “Selingan yang sama berlaku pada masyarakat Mekah pada masa solat tarawih ialah bertawaf mengelilingi kaabah 7 pusingan selepas selesai 2 rakaat tarawih, perkara ini yang menjadikan masyarakat Madinah melebihkan bilangan rakaat tarawih keatas 20 sebagai gantian kepada tawaf, dan ini adalah cara sistematik untuk mengetahui berapa bilangan yang mereka solat, disamping akitiviti solat, maka tidaklah ditegah secara mutlak! Ini tidaklah dimasuk dibawah apa yang dinamakan bid’ah., nas-nas umum membuktikannya, disamping tidak ada bangkangan terhadapnya, dan jika ia dinamakan atas nama bid’ah, maka samalah dengan apa yang disebutkan oleh Umar ra : Ini adalah senikmat-nikmat bid’ah, apabila beliau melihat orang Islam bersolat tarawih berjemaah dibelakang Ubay bin Kaab”

    Jelas menunjukkan bahawa masyarakat Mekah pada zaman dulu melakukan tawaf dimasa rehat diantara 2 solat tarawikh, dan masyarakat Madinah pada masa Umar bin Abdul Aziz menambah rakaat sampai kepada 36 rakaat dan 3 witir sebagai ganti ibadat tawaf. Begitu juga semasa selingan (rehat) diantara 2 rakaat atau 4 rakaat solat tarawih boleh diisi dengan bacaan al-Quran, berselawat, berdo’a dsb, yang jatuh kepada definasi luas ibadat zikir. Berkata al-Syiekh lagi:

    Disana tidak ada nas yang melarang berzikir atau berdo’a atau membaca al-Quran diantara setiap 2 rakaat tarawih atau setiap empat rakaat misalnya, dan ia masuk didalam kategori perintah umum berzikir didalam setiap keadaan. Pada umumnya para salaf tidak melakukannya dan tidak juga menunjukkan ianya dilarang.”

    Syiekh Atiyah Saqr menjelaskan bahawa tidak pula terdapat apa-apa larangan mengenai amalan yang dilakukan pada waktu selingan tersebut. Menurut sebuah fatwa yang dikeluarkan oleh Daar al-Iftaa’

    “Adalah digalakkan duduk diantara setiap 4 rakaat dengan kadarnya, begitulah diantara 5 tarawih dan witir, dan ini diwarisi sejak dari golongan salaf sebagaimana solat Ubay bin Kaab dan para sahabat yang diriwayatkan oleh Abi Hanifah – dan nama tarawih (rehat-rehat) itu sendiri dibina atas dasar ini – maka yang afdal ialah menunggu, dan tidak ada riwayat para salaf mengenai perkara tertentu yang mereka lakukan, yang dinyatakan semasa menunggu, dan masyarakat setiap negara bebas memilih masa/waktu untuk duduk, dan diantara rehat dilakukan pembacaan al-Quran, dan bertasbih, dan Solat 4 rakat berseorangan, bertahlil, bertakbir atau menunggu dengan berdiam diri dan tidak ada sesuatu perkara khas yang di lakukan.”

    Apa yang jelas disini ialah amalan selingan itu dilakukan oleh individu-individu yang mempunyai hajat dan cara masing-masing bagi mempertingkat amalan dibulan Ramadhan. Tidak ada kaifiat khas atau bacaan yang dikhaskan sebagai selingan diantara rakaat-rakaat tarawih. Mengenai bacaan selingan yang dibaca negara kita, terdapat nas-nas yang menunjukkan bahawa bacaan tersebut dibaca setelah selesai solat tarawih atau dibaca selepas witir. Dari Ubay bin Kaab ra :

    “Rasulullah saw apabila selesai memberi salam solat witir, beliau berkata :’Subhana al-Malik al-Quddus'” – [Hadith riwayat al-Nasaa’i]. Didalam riwayat yang lain Rasulullah saw menyebut zikir tersebut sebanyak 3 kali. Imam Ahmad menyebut bahawa Rasulullah saw membacanya secara kuat, didalam musnadnya menyebut :-

    Sesungguhnya baginda membaca didalam witir membaca ayat Sabbihasma rabbikal ‘alaa, Qul Ya Aiyyuhal Kaafirun, dan Qul hu Allahu Ahad, dan apabila selesai salam akan mambaca : ‘Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus, Subhana al-Malik al-Quddus’ sambil menguatkan suaranya”

    Kesimpulannya, ulama salaf pada masa dulu cuma melakukan rehat diantara rakaat-rakaat tarawih tanpa memberi pengkhususan mengenai amalan yang mereka lakukan. Didalam pengisian masa rehat tersebut ada yang berzikir, ada yang membaca al-Quran malah bagi mereka yang berada di Mekah akan melakukan tawaf mengelilingi Kaabah. Cuma tidaklah mereka ini melakukan secara berjemaah amalan-amalan semasa rehat didalam solat tarawih seperti yang diakukan oleh masyarakat sekarang dengan selawat. Apa yang boleh kita tekan disini ialah, dimasa selingan solat tarawih, bolehlah dilakukan amalan yang boleh menambahkan pahala dan juga memohon pengampunan dari Allah swt. Kalau dirasakan dengan berselawat dapat menambahkan lagi keimanan, maka bolehlah dilakukan. Dan janganlah lakukan sesuatu amalan secara menjerit-jerit tanpa mengetahui makna dan tujuan melakukannya. Setiap manusia itu ditanggung jawabkan atas apa yang mereka katakan. Wallahu ‘Alam…

     

     

    (Rujukan: al-ahkam.net)

     

    17 August 2012 Posted by | Ibadah, Tazkirah | , , | Leave a comment

       

    %d bloggers like this: