Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kita Tidak Menghukum, Tetapi Menyatakan Kaedah

Datang seorang wanita yang tidak menutup aurat bertanya kepada saya; “Dr! adakah saya masuk neraka kerana saya tidak menutup aurat, sedangkan saya solat dan melakukan ibadah-ibadah yang lain?”. Saya beritahu kepadanya: “Adapun saya bukanlah malaikat penjaga neraka. Bahkan malaikat penjaga neraka sendiri tidak berhak menentukan siapa yang akan dimasukkan atau dikeluarkan dari neraka.

Ini adalah kekuasaan mutlak Tuhan Yang Menciptakan neraka. Di akhirat neraka dimasuki oleh sesiapa yang ditentukan ALLAH sebagai ahli neraka. Demikian juga syurga. Namun ALLAH memberitahu tentang keadaan manusia di akhirat dengan firmanNya (bermaksud) :

“Adapun orang yang berat timbangan (amal baiknya), Maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang. Sebaliknya orang yang ringan timbangannya (amal baiknya), Maka tempat kembalinya ialah “Haawiyah”, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui, apa dia “Haawiyah” itu? (Haawiyah itu ialah): api yang panas membakar” (Surah al-Qariah 6-11).

Adapun saya yang dhaif ini tidak mengetahui bagaimanakah timbangan amalan saudari di akhirat kelak. Bahkan nasib saya sendiri saya tidak tahu, bagaimana mungkin saya boleh tahu nasib orang lain?!! Namun jika saudari bertanya saya, adakah perbuatan saudari salah atau betul?

Tentu jawapannya: ia satu kesalahan. Apakah perbuatan itu faktor yang membawa ke syurga atau ke neraka?…….. Maka jawapan “dalil-dalil al-Quran dan al-Sunnah menunjukkan ke neraka”. Namun timbangan amalan insan di akhirat bukan hanya terbatas kepada suatu bab sahaja. Ia merangkumi segala bentuk kebaikan dan keburukan.

“Sesiapa beramal dengan kebaikan seberat biji sawi akan dinilai. Sesiapa yang beramal dengan seberat biji sawi keburukan juga akan dinilai”. Kemudian jika natijah dari nilaian itu menunjukkan kebaikan lebih berat dari kejahatan, maka selamatlah dia. Jika sebaliknya, rugilah dia. Dalam hidup ini, ada pula ujian dan cubaan. Sesiapa yang sabar dengan ujian dan cubaan, diberi pahala dan dihapuskan dosa. Kesalahan orang kepada kita juga menjadikan pahalanya dipindahkan kepada kita, atau dosa kita diberikan kepadanya -seperti dalam hadith al-Imam Muslim-.

Maka keputusan neraka dan syurga adalah hak ALLAH terhadap hamba-hambaNya. Apa yang pasti dosa menyumbang ke arah neraka. Pahala menyumbang ke arah syurga. Jika ditanya membuka aurat, riba, derhaka ibubapa dan seumpamanya ke arah mana? Jawapannya ke arah neraka. Jika ada yang berkata, mereka ini juga solat dan buat baik dalam perkara yang lain. Kita katakan; amalan baik menuju ke syurga. ALLAH yang Maha Adil akan menimbangnya dan menentukannya.

Demikian semua insan. Padanya ada baik dan buruk. Amalan kita akan ditimbang di akhirat kelak. Saya timbulkan ini kerana ada juga orang bertanya saya tentang hadith:

“..Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepasku akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang dengan sunnahku dan sunnah al-Khulafa al-Rasyidin al-Mahdiyyin (mendapat petunjuk). Berpeganglah dengannya dan gigitlah ianya dengan geraham. Jauhilah kamu perkara-perkara yang diada-adakan (dalam agama), kerana setiap yang diada-adakan itu bid’ah dan setiap yang bid’ah itu sesat”.

(Hadith ini sahih. Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Tirmizi dengan menyatakan ianya “hasan sahih”, Ibn Majah dan al-Darimi dalam sunan mereka. Demikian juga Ibn Hibban dalam sahihnya dan al-Hakim dalam dalam al-Mustadrak dengan menyatakan: “Hadith ini sahih”. Ini dipersetujui oleh al-Imam al-Zahabi).

Katanya: “Jika bid’ah masuk neraka, apakah datuk nenek kita dan sebahagian golongan agama akan masuk neraka disebabkan beberapa perkara bidah yang mereka lakukan”.

Saya katakan; pertama hadith ini sahih, maka kita jangan mempersenda-sendakannya.

Kedua, seperti yang disebut tadi; sesiapa yang berat amalan baiknya maka dia masuk syurga.Begitu sebaliknya. Adapun bid’ah bukan pembawa ke arah syurga. Kita mengharapkan bagi mereka amalan soleh yang jauh lebih besar dari kesilapan mereka. Dengan itu beratlah kebaikan mereka melebihi kesalahan mereka.

Keempat, kita disuruh oleh agama untuk bersangka baik dengan muslim yang lain. Justeru, kita katakan; mungkin mereka tidak tahu, atau menyangka ia sunnah walaupun sebenarnya tidak. ALLAH Maha Mengampuni hamba-hambaNya.

ALLAH berfirman (maksudnya): Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya. (Mereka berdoa dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum yang kafir”. (Surah al-Baqarah: 286).

Kita mendoakan keampunan mereka, namun dalam masa yang sama kita tidak boleh menyatakan kepada diri kita bahawa kesalahan yang dibuat itu betul. Bahkan kita mesti menghindari kesilapan yang lalu setelah sampai kepada kita ajaran al-Kitab dan al-Sunnah. Kita menyampaikan hukum ALLAH dan kaedah agama. Kita tidak menghukum individu.

Jika kita ditanya apakah hukuman terhadap pencuri dalam perundangan Islam. Kita jawab: Dalam hukum Islam pencuri dipotong tangannya. Namun jika dia bertanya adakah si A boleh saya potong tangannya kerana saya lihat dia mencuri. Kita katakan: Tidak! Sehingga melalui proses perbicaraan yang dituntut oleh syarak. Apa yang saya beritahu ‘pencuri dipotong tangan’ ialah kaedah.

Adapun perlaksanaan memerlukan penelitian yang lebih. Bidah, khurafat, riba, arak adalah pembawa kepada jalan neraka. Sesiapa yang mengamalkannya, menuju ke neraka. Ini adalah kaedah umum. Namun apabila hendak memutus si fulan ahli neraka. Tiada siapa yang berhak. Ini kerana kita tidak tahu amalannya yang lain, taubatnya, istighfarnya, dan kemaafan ALLAH untuknya.

Hal ini perlu dijelaskan untuk dua pihak. Pertama mereka yang tidak faham tentang maksud kaedah-kaedah yang disampaikan lalu menuduh yang bukan-bukan. Kedua kepada golongan pendakwah sendiri yang terlalu cepat menghukum individu tanpa penelitian. Jadilah kita bagaikan khawarij. Atau pro-khawarij di zaman ini yang cepat mengkafirkan muslim yang lain. Justeru kita perlu ingat, sikap tergopoh-gapah menghukum sebelum mengetahui latarbelakang orang dicegah atau disuruh adalah perbuatan yang salah. Golongan yang gopoh ini akan menghukum dengan hukuman kafir atau sesat tanpa terlebih dahulu memahami masalah. Bahkan mungkin mereka sendiri tidak faham hukum-hakam tersebut dengan jelas. Sedangkan mereka lupa, tidak semua maksiat membawa kepada kekufuran. Tidak semua pula perbuatan dan ucapan kufur menjadikan pelakunya kafir.

Demikian tidak semua perbuatan bid’ah menjadikan pembuatnya ahli bid’ah. Kata Ibn Taimiyyah: “Sesungguhnya sesuatu ucapan menjadi kufr seperti mengingkari kewajipan solat, zakat, puasa dan hajj. Namun pengucapnya mungkin tidak sampai kepada khitab (ajaran yang betul dalam perkara tersebut), maka tidak dikafirkan dia disebabkan keingkarannya. Ini seperti mereka yang baru menganut Islam dan hidup di daerah pendalaman yang jauh dan tidak sampai kepadanya syariat-syariat Islam”( Ibn Taimiyyah, Majmu’at al-Fatawa, 2/220).

Di tempat yang lain beliau menyebut: “Sesiapa yang menghadiri majlisku mengetahui, sesungguhnya aku adalah manusia yang paling membantah menyandar seseorang individu kepada kekafiran, atau kefasikan, atau kemaksiatan, melainkan setelah ditegakkan hujah dan dalil yang menunjukkan sesiapa yang menyanggahinya (dalil tersebut) menjadi kafir, atau fasiq, atau ahli maksiat. Sesungguhnya aku bertegas bahawa ALLAH mengampuni kesilapan umat ini. Ini merangkumi pemasalahan akidah dan amalan” (Ibid, 2/147).

Al-Qaradawi menyebut: “Hendaklah diberikan perhatian apa yang telah diputuskan oleh para `ulama muhaqqiqun mengenai wajibnya dibezakan antara peribadi dan jenis dalam isu takfir (mengkafirkan). Ini bermaksud, contohnya kita katakan “Golongan komunis itu kafir, atau para pemerintah sekular yang membantah hukum syarak itu kafir, atau sesiapa yang menyatakan sebegini atau menyeru kepada ini maka dia kafir. Ini semua adalah hukuman pada jenis. Adapun apabila perkara ini berkait dengan peribadi seseorang, yang disandar kepada mereka itu dan ini, maka wajiblah diambil masa untuk dibuat kepastian dan kesabitan mengenai hakikat sebenar pendiriannya. Ini dengan cara menyoal atau berbincang dengannya sehingga ditegakkan hujjah, tiada lagi syubhat dan juga tiada lagi keuzuran untuknya.

Perkara ini pernah disebut oleh Syaikh al-Islam Ibn Taimiyyah: Sesungguhnya perkataan boleh menyebabkan kufur. Secara umumnya dikafirkan pengucapnya. Dikatakan “Sesiapa yang mengucap begini maka dia kafir”. Tetapi peribadi berkenaan yang mengucapkannya tidak dihukum dengan kafir sehingga ditegakkan hujjah yang membukti kuffur sesiapa yang meninggalkannya (meninggalkan berpegang dengan hujjah yang jelas tersebut-pen)” (Al-Qaradawi, Zahirah al-Ghulu fi al-Takfir, m.s. 26-27, Mesir: Maktabah Wahbah (1989).

Keadaan manusia ini berbagai-bagai, ada di kalangan mereka yang membuat kesalahan kerana terlupa, atau jahil atau terdesak. Kita hendaklah memahami latarbelakang yang berbagai ini sebelum menghukum.

Sikap ini telah ditunjukkan oleh Nabi s.a.w dalam tindakan-tindakan baginda, antaranya, daripada ‘Ali bin Abi Talib, katanya: “Rasulullah telah mengutuskan aku, Abu Marthad dan al-Zubair-kami semua adalah penunggang kuda- baginda bersabda: Pergilah kamu semua sehingga sampai ke Raudah Khakh, sesungguhnya di sana ada seorang perempuan dari kalangan Musyrikin, bersamanya surat dari Hatib bin Abi Balta`ah kepada Musyrikin”. Maka kami pun mendapatinya, dia menaiki unta sepertimana yang dikatakan oleh Rasulullah s.a.w. Kami berkata kepadanya: “Surat!”. Dia menjawab: “Tidak ada bersama kami sebarang surat”. Maka kami pun menduduk dan memeriksanya. Namun kami tidak dapati sebarang surat pun. Kami berkata: “Rasulullah tidak pernah berdusta, sama ada engkau keluarkan surat tersebut atau kami akan telanjangkan engkau!”. Apabila dia melihat kesungguhan kami maka dia pun terus mendapatkan simpulan kainnya. Dia pun mengeluarkan surat tersebut, lalu kami terus membawa surat itu kepada Rasulullah s.a.w.

Kata `Umar: “Wahai Rasulullah!, sesungguhnya dia (Hatib bin Abi Balta`ah) telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang Mukminin, biarkan aku pancung kepalanya!”. Baginda bersabda (kepada Hatib): “Apa yang mendorong tindakanmu?”. Kata Hatib: “Demi Allah! Bukan aku tidak beriman kepada Allah dan RasulNya s.a.w. tetapi aku ingin mendapat bantuan di sisi kaum (Quraish) yang dengannya Allah akan menyelamatkan keluargaku dan hartaku. Tidak ada seorang pun di kalangan sahabatmu melainkan baginya di sana kaum kerabat yang mana dengannya Allah selamatkan keluarga dan hartanya”. Sabda baginda: “Dia benar! Janganlah kamu berkata kepadanya melainkan yang baik”. `Umar berkata: “Sesungguhnya dia telah mengkhianati Allah, RasulNya dan orang-orang mukminin, biarkan aku pancung kepalanya”. Baginda bersabda: “Tidakkah dia di kalangan anggota Perang Badar?”. Sabdanya lagi: “Mudah-mudahan Allah melihat kepada ahli Perang Badar dan berfirman “ buatlah apa yang kamu suka sesungguhnya telah pasti untuk kamu syurga atau Aku telah ampuni kamu semua”. Maka menangislah ‘Umar seraya berkata Allah dan RasulNya lebih mengetahui . (Riwayat al-Bukhari)

Lihat bagaimana baginda meraikan keadaan terdesak yang dihadapi oleh Hatib. Baginda tidak terus menghukumnya sebelum mengetahui keadaannya. Demikian juga kita lihat sikap baginda dalam kes-kes yang lain. Maka kita dalam banyak hal dituntut agar cuba memahami keadaan orang yang kita dakwah. Kita mesti membezakan antara kaedah dan hukuman. – Al-Qayyim (Sumber)

23 October 2010 Posted by | Tazkirah | 1 Comment

>Pandangan Islam tentang berjuang untuk Bangsa.

>
1. Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi arab, atau melayu, atau inggeris atau india atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang. Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil. Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu. Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya)

“dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).

2. Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua. Sabda Nabi s.a.w:

“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).

 
Jika hal ini tidak diteliti, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah. Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.

3. Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain. Firman Allah: (maksudnya) (maksudnya):

Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).

 
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan. Kata Sayyid Qutb dalam menafisrkan ayat ini:

“Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah. Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).

4. Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini. Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam). Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya. (Surah Ali ‘Imran ayat 103).

5. Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga. Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya)

“Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya. (Surah al-Rum, ayat 37)

6. Nabi s.a.w juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

 
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.

7. Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanati puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Riwayat Muslim).

 
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.

8. Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi keperluan yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.

 
9. Kesimpulannya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji .(Sumber)

 

  

22 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | Leave a comment

>Mampukah Politik Pilihanraya berDemokrasi mendaulatkan Islam di Malaysia?

>
Di China kini, jumlah umat Islam sudah menjangkau 200 juta orang.Mempunyai 3500 masjid, 4000 Imam dan 3500 sekolah pengajian Al Quran, Hadith dan Fardhu Ain.Ada beberapa masjid di beberapa daerah di sana sentiasa penuh pada setiap solat 5 waktu.Penuh nya saperti solat Jumaat dan belum pernah berlaku di negara kita Malaysia.Umat Islam Cina juga mempunyai 9 universiti Islam.Di samping itu beribu beribu umat Islam sedang belajar Islam di luar saperti di Mesir, Saudi, Algeria dan Jordan.

Syiar Islam sangat terserlah.Perkembangan nya sangat membanggakan, menakjub dan mengkagumkan.Di sana tidak ada Parti Politik Islam yang berjuang untuk mendapat kuasa memerintah.Walaupun 20 atau 30 tahun dahulu umat Islam di sana tertindas dan ada di antara pejuang pejuang di hukum mati.Pemerintah Cina tidak pro Islam.Namun Islam tetap membangun dengan teratur dan pesat.

Siapa pejuang Islam di sana? Mereka adalah pendakwah yang berkerja keras dan ikhlas kerana Allah.Pendakwah dan pejuang Islam di sana bekerja keras,bersatu hati, dan bersatu jiwa.Tidak di selitkan dengan kepentingan diri, politik dan habuan dunia.Hasilnya berjuta juta bangsa Cina memeluk agama Islam dan ianya masih kian bertambah dan berkembang hari demi hari.

Berbeza di negara kita, pejuang pejuang Islam hanya gemar bertelagah sesama sendiri dan banyak buat bising dari bekerja.Bisingnya macam lah tong kosong.Masing masing pihak mengaku cara perjuangan mereka sahaja yang betul.Hasilnya mendukacitakan.

Apa yang berlaku di negeri Cina membuktikan kepada kita bahawa kaedah perjuangan yang utama dalam Islam ialah melalui dakwah.Saluran politik adalah sebahagian dari pecahan perjuangan melalui dakwah (tetapi bukan cara politik taghut ideologi barat tu….saperti yang di amal oleh pejuang pejuang Islam di negara kita, tetapi yang di maksudkan ialah politik Islam – Politik Dakwah).

Dalam perjuangan melalui dakwah, kerja apa sahaja dan sesiapa sahaja di kira berjuang sekira apa yang dia kerjakan ialah kerana Allah Taala.Seorang doktor kalau dia berusaha dan berkerja dengan niat mahu menjaga kesihatan umat am nya dan umat Islam khas nya maka dia dikira berjuang untuk Allah.Bahkan seorang nelayan yang menangkap ikan di laut dan petani yang menanam padi untuk beri makan kepada umat adalah pejuang Islam.Buruh, pelajar,guru, pensyarah,jurutera,saintis,ahli ekonomi,para hafiz , ustaz, ustazah,ahli politik,pemimpin, pengikut, semua adalah pejuang.(Dengan syarat niat dan perjalanan kerja tidak tersasar dari kehendak Islam).Bahkan kata Nabi melawan hawa nafsu di dalam diri sendiri adalah perjuangan.Inilah sebenarnya rahsia kejayaan umat Islam di Cina.

Terbukti saperti yang saya ceritakan di atas.Islam berkembang tanpa memperolehi kuasa pemerintahan pun di Cina.Dan akan terus berkembang, dan pengembangan nya boleh jadi saperti bah yang tidak mungkin dapat di bendung oleh kuasa sesiapa.Tidak mustahil satu hari nanti Islam dengan sendirinya dapat menguasai negeri Cina melalui kerja dakwah yang tegas (bukan keras) dan berdiplomasi.Cara mereka berdakwah di Cina tidak menyakitkan hati pemerintah yang ada sekarang.

Dalam Islam kerja utama adalah perjuangan menegakkan kebenaran dulu, di ikuti dengan perjuangan untuk mendapat kuasa selepas itu.Kalau mereka (pejuang) tunggu dapat kuasa baru nak tegakkan kebenaran.Agaknya kalau 1000 tahun masih tidak dapat kuasa maka selagi itu lah mereka tangguh untuk menegakkan kebenaran.

Lagi pun belum tentu apabila dah dapat kuasa boleh berjaya menegakkan kebenaran.Tetapi menegakkan kebenaran boleh berjaya tanpa dapat kuasa.Ingat, Allah ukur dan terima kejayaan perjuangan berdasarkan kemampuan dan keadaan masing masing.Walaupun perjuangan seseorang itu hanya mampu menegakkan satu hukum Allah.

Wallahu ‘alam.

19 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | 5 Comments

Parah: Pelajar sekolah Agama minum minuman keras di sekolah

>DI SEBALIK kisah sembilan pelajar sekolah menengah agama di Matang, Kuching ditahan reman tiga hari kerana terbabit mencederakan rakan mereka dalam satu kes buli Ahad lalu, terbuka cerita kononnya mereka yang ditahan turut pernah terbabit meminum minuman keras!

Mangsa buli yang berusia 16 tahun dikatakan pernah mengadu mengenai tingkah laku buruk kumpulan pelajar itu yang dikatakan sering meminum minuman keras kepada salah seorang guru, tetapi tidak dapat dipastikan sejauh mana tindakan yang telah diambil.

Lebih mengaibkan aduan juga dibuat memaklumkan perbuatan meminum minuman keras itu dilakukan di dalanm kawasan sekolah – sebuah sekolah agama yang sepatutnya amat mementingkan nilai-nilai akhlak dan disiplin di kalangan pelajarnya.

Kini kumpulan 9 pelajar itu ditahan reman, selepas mereka didakwa memukul dan menendang mangsa yang juga rakan seasrama dalam kejadian yang dikatakan berpunca daripada sikap membalas dendam. Kumpulan pembuli dipercayai marah, selepas keengananan mereka melaksanakan tugas membersihkan kawasan asrama dilaporkan mangsa kepada guru sekolah.

Berikutan itu, mangsa dibelasah beramai-ramai sehingga cedera di kepala dan di bahagian belakang badan. Ketua Polis Daerah Kucing, ACP Mun Kok Keong, mengesahkan penahanan pelajar terbabit.

Semua pelajar ini direman tiga hari kerana kes buli. Kecil-kecil lagi dah nak tunjuk samseng. Macam mana kita nak maju wahai anak bangsaku?

Menurutnya, mangsa yang cedera dalam kejadian buli itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan dan laporan perubatan. (Sumber)

15 October 2010 Posted by | Berita dan Isu Semasa | Leave a comment

>Dua peringatan untuk Manusia

>Allah membekalkan kepada semua bangsa manusia dengan fitrah atau naluri semula jadi atau gharizah.Inilah apa yang di maksudkan Allah melalui firman nya yang bermaksud:

” Tetaplah atas fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu.Tidak ada perubahan pada fitrah Allah.(Itulah) agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Ar Rum:30)

Antara Fitrah atau Naluri yang Allah bekalkan kepada manusia ialah:

  • Manusia suka di kasihi atau di cintai
  • Suka di beri pertolongan
  • Suka di beri simpati
  • Suka di ziarahi
  • Suka di beri Ilmu
  • Suka di beritahu
  • Suka di jamu
  • Suka di beri hadiah
  • Suka di beri maaf
  • Suka tidak di ganggu dan lain lain lagi
  • Tidak suka di benci
  • Tidak suka di caci
  • Tidak suka di aibkan
  • Tidka suka di ganggu
  • Tidak suka di marahi
  • Tidak suka diberi malu
  • Tidak suka diberi susah
  • Tidak suka tidak di pedulikan
  • Tidak suka tidak di tolong
  • Tidak suka orang sombong kepadanya
  • Tidak suka hartanya di curi atau dirampas
  • Tidak suka di zalimi dan lain lain nya.

 Fitrah semula jadi semua bangsa manusia sama.Yakni apa yang disukai olih orang lain di sukai olih kita.Dan apa yang di sukai olih kita di sukai olih orang lain.

Berdasarkan fitrah semula jadi ini sepatutnya manusia mengambil ingatan bahawa apa yang dia suka, sepatutnya itu juga yang di beri kesukaan kepada orang lain.Apa yang dia tidak suka , itu juga yang sepatutnya dia tidak lakukan kepada orang lain.

Tetapi perkara ini tidak berlaku ke atas kebanyakkan manusia.Yang banyak berlaku ialah dia suka orang melakukan kebaikan kepadanya tetapi dia tidak suka melakukan kebaikan kepada orang lain.Dia tidak suka perkara tidak baik berlaku kepadanya tetapi suka kalau perkara tidak baik itu berlaku kepada orang lain.

Maka itu lah di antara penyebab manusia sering berselisih, berbalah, bermusuhan dan berperangan.Akibatnya tiada siapa yang berolih kesusahan melainkan manusia itu sendiri.

Justeru itu mengapa manusia tidak mahu ambil peringatan? Pada hal manusia sudah di beri 2 peringatan.Ia itu pertama peringatan semula jadi -FITRAH atau NALURI.Yang ke-2 peringatan dari pengajaran agama iaitu ISLAM.

12 October 2010 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>Golongan yang berjuang secara jahil

>Apabila kita sebut perjuangan dalam Islam ertinya ada wadah iaitu sebuah jemaah yang ada pemimpin yang di taati, ada pengikut yang setia, ada dasar perjuangan yang berlandaskan Al Quran dan As Sunnah yang di mana ianya di tegakkkan terlebih dahulu dalam jemaahnya sebagai model.

Erti kata, Islam tidak boleh di juangkan secara individu tanpa ada jemaah, pemimpin dan pengikut serta tidak boleh berjuang tanpa buat kerja atau aktiviti.Islam itu adalah politik cara hidup dalam semua bidang bernegara,berekonomi,bermasyarakat,berpendidikan,berkebudayaan, berundang undang, dan sebagainya.

Orang yang memperjuangkan Islam sentiasa sibuk.Mereka yang berjuang melalui Dakwah terlalu sibuk dengan dakwahnya, mereka yang berjuang melalui politik pun begitu juga.Saintis Islam pun berjuang dalam bidangnya dan memang mereka pun terlalu sibuk.Nelayan,guru, buruh,doktor, jurutera,suri rumah dan yang lain lain nya semua di kira berjuang jika perjalanannya betul kerana Allah.

Adalah satu kesilapan besar jika kita anggap perjuangan Islam hanya ada satu saluran iaitu melalui politik pilihanraya sahaja.

Pejuang Islam bolih kita kategori kepada beberapa golongan saperti berikut:

1. Golongan yang hidup matinya kerana Islam.Mereka faham dengan sebenarnya apa yang di perjuangkan.Bersungguh mengamalkannya didalam diri dan keluarga mereka.Memberi seluruh jiwa raga, masa dan harta untuk Allah dan Rasul.Mereka bersedia menghadapi sebarng risiko, bahkan mati di dalam perjuangan itu memang di harap harapkan.Syahid adalah cita cita mereka.Golongan ini amat sedikit bilangannya di zaman ini.Darjat mereka amat tinggi di sisi Allah.


2. Golongan ini lebih kurang sama saperti golongan pertama tadi.Cuma mereka lemah mujahadah melawan nafsu.Di dalam kegigihan berjuang maksiat buat juga.Sedangkan Allah berjanji kemenangan dalam perjuangkan hanya di berikan kepada mereka yang paling taqwa.Sebab itu ada pejuang pejuang yang sudah berpuluh puluh tahun berjuang tetapi Allah masih belum beri dia kemenangan.Golongan ini terserahlah kepada Allah.Dia mengampunkan sesiapa yang dia kehendaki.


3. Golongan ke 3 ini adalah golongan yang berjuang secara jahil.Mereka berjuang semata mata kerana fanatik dan semangat semangat.Ilmu tentang hukum Islam pun tidak ada.Ada juga Fardhu Ain pun tak lepas.Di dalam perjuangan mereka mengganas, merosak dan menzalimi manusia.Mengumpat, mengata, mengutuk,memfitnah, dan mengaibkan manusia adalah mainan mereka.Mereka ini walaupun gigih berjuang namun Allah tidak akan terima perjuangkan mereka.


4. Ini adalah golongan yang berjuang bukan kerana Allah dan Rasul atau bukan kerana hendak menegakkan Islam.Mereka berjuang kerana hendak merebut pangkat atau sakit hati dengan lawan atau musuh musuhnya.Berjuang kerana megah terhadap bangsanya (nasionalisma), negara atau kerana ideologi anutan mereka.Islam itu hanya di selit selit di mana ada kepentingan untuknya.Golongan ini memang tertolak.Mereka ini zalim,fasik atau bolih jatuh kafir.


5. Ini golongan yang ingin berjuang tapi masih belum mula kerana wadah wadah perjuangan yang wujud di negara nya atau harakah perjuangan yang ada tidak menyakinkan.Kerana mereka tahu diri mereka tidak kemampuan dan kelayakkan mereka beribadah dan membaiki diri sambil menunnggu perjuangan yang sebenar.Mereka lebih banyak menyendiri.Golongan ini memang elok menyendiri.


6. Golongan yang menghabiskan masa hanya beribadah dan membaiki diri sedangkan kemampuan untuk berjuang ada.Walaupun ada harakah perjuangan kebenaran di hadapan matanya namun mereka tidak mahu melibatkan diri untuk berjuang bersama.Mereka tidak mahu bersusah payah atau menanggung risiko.Golongan ini amat di murkai Allah.


7. Golongan ini tidak memperdulikan lansung tentang Islam.Mereka ini Islam keturunan.Ibadah untuk dirinya sahaja, tidak mahu berjuang,malah mereka tidak mahu fikir mengenainya dan hanya mahu hidup semata mata.Kerja, makan,minum,hiburan dan seks.Golongan ini di sangsi ke Islaman nya.


Wallahu ‘alam.

5 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | 2 Comments

>Perlukah Memulangkan Wang Sumbangan Kerana Ia Hasil Judi ?

>Tindakan penerima wang bantuan kerajaan Pulau Pinang memulangkan kembali wang tersebut boleh dinilai dari dua sudut iaitu sudut politik dan sudut agama atau hukum.

Di sini kita hanya berbincang dari sudut hukum agama.


Warga emas, faqir dan miskin di pulau pinang dan mana-mana negeri dan Negara lain, DIHARUSKAN untuk menerima sumbangan dari mana-mana kerajaan negeri, syarikat dan individu selagi mana harta mereka bercampur antara wang halal dan haram.


· Sebaiknya penyumbang tidak kira kerajaan, syarikat dan sepertinya; tidak mendedahkan sumber pemerolahan harta yang disumbang agar tidak mengelirukan penerima sebagaimana kes yang berlaku ini. Sekiranya mereka ingin memulangkan semula wang tersebut, itu juga harus hukumnya. Kerajaan negeri boleh selepas itu memberikan sumbangan dari poket kanan mereka dan wang dipulang itu masuk poket kiri kerajaan. Ia akan jadi sama sebenarnya.


. Mereka juga HARUS untuk menerima wang sumbangan dari penyumbang tadi, walaupun jelas ia adalah dari hasil yang haram seperti judi lumba kuda rasuah, riba dan sebagainya. Tiada kotor pada wang yang diterima oleh mereka, kerana mereka adalah penerima yang diiktiraf oleh syara’. Manakala dosa hasil dari pemerolehan wang itu hanya ditanggung oleh pelaku dosa dan ia tidak merebak kepada penerima dari kalangan faqir miskin dan yang memerlukan.


· Jika dilihat dari sudut hukum dan agama, warga yang menerima sumbangan terbabit TIDAK PERLU SAMA SEKALI memulangkan semula wang yang diterima.


· Namun jika dilihat dari strategi politik pihak tertentu, tindakan tersebut di luar fokus artikel ini –

 Sumber

4 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | 1 Comment

Merdeka kan Diri dari ketaksuban Politik Kepartian.

 Kita mesti berusaha memerdekakan jiwa kita dari belunggu kepartian. Dalam negara yang memakai sistem seperti kita, parti politik itu mungkin penting. Namun ia bukan matlamat, ia hanya alat yang boleh diganti tukar jika perlu. Hubungan dan penilaian kita ke atas pihak lain, janganlah berdasarkan parti atau mazhabnya.

Sebaliknya, hendaklah berdasarkan akhlak, pemikiran dan akal yang waras. Kelompok fanatik parti sering melenting jika melihat seseorang tokoh duduk atau berkawan dengan musuh parti mereka. Lalu kadang-kala seseorang dimusuhi tanpa sebab yang jelas. Mereka selalu melenting jika ada orang yang berbeza pendapat dengan parti mereka. Sering mereka menghukum pengkritik mereka bersekongkol dengan musuh politik mereka. Mereka enggan mengiktiraf pemikiran atau idea yang baik hanya disebabkan perbezaan parti.

Parti kadang-kala bagaikan agama bagi mereka. Bahkan mungkin lebih daripada agama sehingga mereka sanggup berkasih-sayang dengan yang berbeza agama, tetapi tidak dengan yang berbeza parti.

Sedangkan Allah menyebut: (maksudnya):”Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-hak mereka (Surah Hud: 85)
.
Selagi kita tidak merdekakan pemikiran politik kita sehingga tidak terikat dalam setiap penilaian dengan warna parti, maka bererti kegagalan melaksanakan perintah Allah dalam ayat-ayat yang disebutkan tadi dan juga ayat 36 dalam Surah al-Isra :

(maksudnya): “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya

Sumber

4 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | 7 Comments

Politik ketaksuban – Jangan Ulangi Sejarah Suram

Kita tidak ingin mengulangi sejarah silam. Politik ketaksuban dan kepuakan hanya akan mengundang perbalahan yang tidak berkesudahan. Politik sepatutnya dibina atas hujah dan idea, bukan taksub dan sokongan secara membabi buta. Di negara kita, politik idea ini belum kuat berkembang atau belum menguasai keadaan.

Kita dalam politik sering membahagikan manusia berdasarkan parti, bukan berdasarkan pendekatan dan kefahaman. Ini telah lama bertapak dalam pendekatan kita. Jika ada yang mengkritik kerajaan dia dituduh penyokong pembangkang dan mungkin juga diambil tindakan. Jika ada yang mengkritik pembangkang, dia dituduh pro atau pengampu kerajaan, dan mungkin juga akan dimaki, atau dicerca.

Hal ini menyebabkan pemikiran dan idea yang baik tidak dapat disalurkan disebabkan perbalahan politik. Jika kita bersetuju dengan beberapa idea yang baik pembangkang, atau kerajaan maka kita akan menjadi mangsa salah satu dari pihak berkenaan. Idea dan pemikiran yang baik menjadi mangsa ‘kehasadan’ politik.

Ia bercanggah dengan apa yang Allah tegaskan dalam al-Quran dalam Surah al-Maidah, ayat 8: (maksudnya):

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi yang saksama; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana keadilan itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Sumber

3 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | 2 Comments

>Jangan biarkan diri terus dan mudah disengat

>Antara bencana yang melanda umat Islam setelah jatuhnya Khilafah Othmaniyah di Turki pada awal abad lalu, bukan sahaja tanah air dan negeri mereka dijajah oleh golongan bukan Islam, teteapi yang lebih merbahaya daripada itu ialah apabila fikiran dan pemikiran mereka turut dijajah oleh fahaman, pemikiran ideologi dan teori bukan Islam.

Kita melihat betapa kesannya penjajahan itu dirasai sehingga ke hari ini, walaupun sebahagian besar negeri uamt Islam di Asia, di Afrika dan sebagainya telah mencapai kemerdekaan, kononnya penjajah telah pulang ke negara asal masing-masing dan pemerintahan bumi milik umat Islam dipimpin oleh orang-orang yang berlatar belakangkan agama Islam.

Kita dapat melihat betapa penyelesaian-penyelesaian yang tidak bersifat islamik diamalkan berpuluh-puluh tahun dalam negara umat Islam, masih lagi tidak kembali kepada Islam dengan cara yang bersungguh-sungguh dan sempurna serta menunjukkan keyakinan dan kepercayaan kepada Islam.

Bukan sahaja ia tidak boleh menyelesaikan masalah-masalah yang dipusakai dari zaman penjajahan bukan Islam, tetapi ditambah dengan masalah-masalah baharu.

Semuanya menandakan betapa kebatilan ideologi ciptaan manusia dan betapa tidak benarnya ajaran yang direka manusia, sama ada yang berbentuk undang-undang, ekonomi, pentadbiran atau seumpamanya yang merupakan undang-undang dan sistem yang tidak boleh melepaskan diri dari sifat kelemahan manusia.

Manusia yang mengadakan peraturan-peratuaran dan cara-cara yang tersendiri dalam mengendalikan urusan ini adalah melakukan saatu penyelewangan daripada agama Allah.

Biarlah umat yang bukan Islam melakukan penyelewengan itu. Apa yang menjadi masalah ialah orang yang mengaku diri mereka sebagai orang-orang Islam, turut sama dengan melakukan penyelewangan yang berlaku dalam masyarakat, lalu diamalkan di dalam negara umat Islam, maka berlakulah penyelewengan demi penyelewengan.

Kita dapat melihat umat Islam masih berada dalam keadaan yang cukup lemah, kerana dipengaruhi oleh musuh-musuh yang bukan Islam dan masih boleh diperkotak-katikkan oelh musuh mereka.

Biarkanlah orang-orang bukan Islam tercari-cari penyelesaian hidup mereka, tetapi yang menjadi masalah kenapa kita sebagai orang yang mengaku Islam dan telah diberi kebenaran oleh Allah, juga masih tercari-cari seperti mereka sedangkan kita memiliki Islam yang dikurniakan oleh Allah.

Kita membaca dan mendengar negara-negara barat yang sebahagian besar penduduknya menganut agama Kristian telah beramal dengan agama itu mengikut kamahuan dan nafsu mereka. Kita juga melihat negara-negara barat telah meminda dan mengubah dasar negara mereka serta amalan-amalan yang dilakukan dari masa ke semasa.

Begitu juga keadaan yang sama berlaku di negara beraliran kefahaman komunis yang menganut ajaran ediologi itu, menggunakan tabir besi supaya rahsia yang ada di dalam negara tidak sampai keluar diketahui umum.

Kita melihat Rusia yang menganut ajaran komunis telah menyeleweng dari ajaran itu dan sudah meminda serta mencari jalan dan perkara baharu bagi menyelesaikan masalah.

Itulah juga yang dihadapi oleh negara-negara lain yang menganut fahaman kapitalis dan sosialis. Mengapa kita sebagai umat Islam masih meraba-raba dalam mencari kebenaran sedangkan kita sudah mempunyai kebenaran dari Allah SWT.

Kita juga melihat bagaimana malapetaka dan bencana yang menimpa umat Islam iaitu perasaan tidak yakin, lemahnya iman dan pegangan akidah mereka terhadap Allah itu.

Kita melihat mereka yang dipertanggungjawabkan unutk memimpin umat Islam ketika menyelesaikan masalah negara jika di ambil Islampun hanyalah sekadar sebahagiannya sahaja, tidak dengan cara bersungguh-sungguh serta tidak dengan cara yang menunjukkan keyakinan, hingga mereka memaksa Islam mengikut selera dan kemahuan mereka.

Kita melihat sudah banyak badan-badan, jawatankuasa-jawatankuasa dan berbagai-bagai lagi yang dibentuk dan ditubuhkan kononnya untuk mengkaji Islam, tetapi pada hakikatnya mengkaji mana yang dapat disesuaikan dengan selera dan kemahuan mereka.

Tidakkah Allah telah menyatakan bahawa beriman dengan sebahagian kitab (Al-Quran) dan menolak sebahagian yang lain, adalah kerja-kerja Syaitan dan tidakkah ia merupakan sebahagian daripada kekufuran?

Allah menyifatkan bahawa beriman dengan sebahagian kitab dan tidak beriman dengan sebahagian yang lain adalah satu tindakan kekufuran, sebagaimana ditegaskan dalam ayat 85 surah Al-Baqarah yang bermaksud :” Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab dan mengingkari akan sebahagian yang lain?”

Sesungguhnya Allah SWT menganggap tidak beramal dengan seluruh ajaran Islam atau dengan kata lain mengambil sebahagian dan menolak sebahagian yang lain adalah kerja dan amalan syaitan yang terkutuk, sebagaimana yang disebut dalam ayat 208 surah Al-Baqarah maksudnya :”Wahai orang-orang yang beriman! masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh bagi kamu yang terang dan nyata.”

Dan kita juga dapat melihat mereka yang tidak yakin untuk melaksanakan Islam sepenuhnya, iaitu masih teragak-agak dan melakukan penipuan terhadap umat Islam bahawa mereka juga mahu kepada Islam, tidak dapat menyembunyikan kelemahan mereka terhadap Islam, dimana mereka lebih yakin dan percaya kepada janji-janji syaitan daripada janji Allah yang memberi keberkatan dan kurniaan kepada siapa yang beramal dengan Islam.

Marilah orang Islam, sedar dan insaf, mereka tidak harus disengat beberapa kali dari satu lubang kerana Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud :”Tidak harus orang yang beriman itu disengat dua kali dari satu lubang.”

Sudah beberapa kali umat Islam disengat dari lubang yang sama, tetapi mereka masih tidak serik dan tidak mahu kembali kepada Islam. Mereka telah ditipu oleh penjajah yang bukan Islam dan ditipu oleh anak-anak penjajah yang diasuh dengan cara yang bukan Islam beberapa kali.

Apakah mereka tidak sedar walaupun beberapa kali disengat dengan penipuan yang berlaku, dengan perkara-perkara yang melanda mereka dengan masalah yang ada dihadapan mereka?

Adakah mereka tidak mempunyai perasaan, tidak mempunyai kemanisan iman dan tidak mempunyai kesedaran serta keinsafan yang sebenarnya untuk tunduk kepada Allah SWT?

Firman Allah dalam ayat 83 surah Ali Imran yang bermaksud :”Patutkah sesudah (mengakui dan menerima perjanjian) itu, mereka mencari lain dari agama Allah? Padahal kepada Nya lah tunduk taat sekalian makhluk yang ada di langit dan dibumi, samada dengan sukarela ataupun terpaksa, dan kepada-Nyalah mereka dikembalikan
 
 
Sumber
 

1 October 2010 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

>Tahap pemikiran orang politik

>“Malang sekali, ‘orang parti’ apabila kita mengkritik tindakan parti mereka, mereka akan menjawab ‘parti lawan lebih teruk’, atau ‘parti lawan buat tak apa, kenapa kami tak boleh?!’, ‘kenapa bantah kami, parti lawan pun buat perkara yang sama?!’ atau apa sahaja jawapan yang menunjukkan penanda aras tindakan mereka adalah diukur dengan parti lawan mereka.

Pada masa yang sama mereka kata parti lawan mereka buruk dan mendakwa mereka lebih baik dari parti musuh mereka, tapi pengukur tindakan mereka tidak lebih dari parti yang mereka tentang. Mereka sebenarnya bukan mencari yang terbaik, tetapi mereka ingin menjustifikasikan tindakan politik mereka.

Jika itulah tahap pemikiran orang politik kita, sehingga bila pun kita tidak akan dapat membuat perubahan yang terbaik dalam masyarakat kita. Barangkali jika kita mengkritik mereka mengambil rasuah, mereka akan jawab: “pemimpin parti lawan kami ambil lagi banyak, pasal apa kritik kami?!”.

Sumber

1 October 2010 Posted by | Politik dan Dakwah | 4 Comments

Bagaimana Islam mendidik bangsa manusia

Islam menganjurkan ke empat empat anasir di dalam diri manusia di didik serentak.Ke empat empat anasir itu ialah fizikalnya, akalnya, jiwanya dan nafsunya.Tidak boleh di utamakan yang satu dan di abaikan yang lain.

Kalau ke empat empat unsur di dalam diri manusia itu tidak di didik dan di bangunkan serentak maka akan terjadi –

  • Manusia itu bangsa yang cerdik dan pandai sahaja tapi iman dan taqwa tidak ada.Maka manusia ini akan menjadi bangsa yang pandai tetapi jahat.
  • Atau dia akan menjadi bangsa yang beriman dan bertaqwa.Jadi baik tetapi tidak pandai dan cerdik.Maka akan jadilah bangsa yang baik tapi jumud dan mundur.
  • Atau akan jadi bangsa yang sihat dan cergas, tapi bodoh dan jahat.

1 October 2010 Posted by | Bicara Ulama | Leave a comment

   

%d bloggers like this: