Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ke Nerakakah Ayahanda Dan Ibunda Nabi SAW?

Semasa saya di Mesir dahulu, persoalan di atas antara persoalan yang sering dibangkitkan oleh segelintir masyarakat di sana dengan tujuan supaya kami menerima bahawa ayahanda dan ibunda Rasulullah SAW akan dicampakkan ke dalam api neraka. Bahkan saya sewaktu berada di Mesir dahulu pernah diminta untuk menyemak satu kitab yang dihasilkan oleh seorang pelajar dari Perak lalu saya kebingungan kerana pelajar tersebut menyatakan di dalam karyanya bahawa ayah dan ibu Rasulullah SAW akan berada di dalam neraka.

Guru hadith saya Fadhilat al-Syeikh Dr. Sa’d bin Sa’d Jawish al-Husayniyy pernah berang apabila ada pelajar beliau yang bertanya tentang soalan di atas. Sang guru menganggap bahawa menyatakan ayah dan ibu Nabi Muhammad SAW berada di dalam api neraka adalah termasuk menyakiti hati Rasulullah SAW sedangkan kita ditegah sama sekali daripada menyakiti hati baginda sebagaimana di dalam ayat ke-58 daripada Surah al-Ahzab yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, mereka telah dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat dan Dia telah menyediakan untuk mereka akan azab yang menghinakan”.

Ayah Dan Ibu Rasulullah SAW Adalah Ahlul Fatroh

Ahlul Fatroh bermaksud orang yang hidup pada zaman sebelum kedatangan rasul. Menurut para ulama Ahlus Sunnah telah berpegang dengan keyakinan bahawa sesiapa sahaja yang meninggal dunia sebelum kebangkitan seseorang rasul, maka dia tidak akan diazab oleh Allah Taala sama sekali. Ini adalah berdasarkan firman Allah di dalam Surah al-Isro’ ayat ke-15 yang bermaksud: “Barangsiapa yang telah beroleh hidayah, maka sesungguhnya dia hanyalah beroleh hidayah untuk dirinya sendiri. Barangsiapa yang sesat, maka sesungguhnya dia hanyalah sesat atas dirinya sendiri. Diri seseorang yang menanggung bebanan yang berat tidak akan menganggung berat bebanan diri orang lain. Kami sama sekali tidak akan mengazab sehinggalah Kami mengutuskan seorang rasul”.

Sebagaimana yang dimaklumi, Sayyidina Abdullah bin Abdul Muttolib dan Sayyidatina Aminah binti Wahb adalah termasuk di kalangan mereka yang meninggal dunia sebelum Rasulullah SAW diperintahkan oleh Allah untuk menyampaikan agama Islam. Maka ini bermakna kedua ayah bonda Nabi Muhammad SAW adalah orang yang selamat daripada diazab di dalam api neraka.

Ayahanda Dan Ibunda Nabi Beragama Dengan Agama Nabi Ibrahim

Sebahagian para ulama seperti al-Imam Fakhruddin al-Roziyy menyatakan bahawa ayah dan ibu Rasulullah SAW tidak menyembah berhala sebaliknya menyembah Allah Taala berdasarkan agama Islam warisan Nabi Ibrahim Alayhissalam. Antara hujah utama yang menunjukkan bahawa ibu dan ayah Rasulullah SAW beragama Islam adalah firman Allah Taala di dalam Surah al-Syu’aro ayat ke-218 dan 219 yang bermaksud: “[Dialah Allah] yang melihatmu [wahai Rasulullah] sewaktu anda berdiri. [Dialah Allah yang melihat] perpindahan anda di dalam orang-orang yang sujud”. Maka ayat ini menunjukkan bahawa ayah, ibu, datuk, nenek dan seluruh moyang-moyang Rasulullah SAW adalah orang yang sujud kepada Allah Taala dan bukannya penyembah berhala.

Ayahanda Dan Ibunda Nabi Dihidupkan Semula Pada Hayat Rasulullah SAW

Al-Imam Abdul Rahman bin Abdullah al-Suhayliyy yang wafat pada tahun 581 hijriah telah mendatangkan di dalam kitab beliau al-Rowdh al-Unuf satu hadith yang diriwayatkan daripada Sayyidatina Aisyah bahawa: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah memohon kepada tuhan baginda agar menghidupkan kedua ayah bonda baginda. Lalu Dia telah menghidupkan kedua-dua mereka untuk baginda lantas kedua-duanya telah beriman kepada baginda kemudian Dia telah mematikan [semula] kedua-dua mereka”.

Menurut kitab al-Ahkam al-Muta’alliqoh Bi al-‘Aqoid terbitan Jabatan Fatwa Kebangsaan Mesir (Dar al-Ifta al-Misriyyah); ramai juga daripada kalangan ulama hadith yang berpegang dengan hadith-hadith yang menyatakan bahawa Allah telah menghidupkan semula kedua ayah bonda Rasulullah pada zaman baginda lalu kedua-duanya beriman kepada baginda.

Antara yang berpegang dengan hadith ini adalah al-Imam al-Hafiz al-Khotib al-Baghdadiyy, al-Imam al-Hafiz Ibnu Syahin, al-Imam Ibnu al-Munayyir, al-Imam al-Muhibb al-Tobariyy dan al-Imam al-Qurtubiyy. Menurut kitab al-Ahkam al-Muta’alliqoh Bi al-‘Aqoid; sekalipun hadith-hadith tersebut adalah doif namun kepelbagaian sanad telah mengangkat darjat hadith-hadith tersebut kepada status Hasan.

Kefahaman Yang Lurus Terhadap Sebahagian Hadith Yang Bertentangan

Terdapat dua hadith yang seakan-akan menunjukkan bahawa ayah dan ibu Rasulullah SAW adalah ahli neraka.

Hadith yang pertama adalah hadith yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Muslim dengan sanad beliau: Daripada [Sayyidina] Anas bahawa seorang lelaki telah berkata: “Wahai Rasulullah. Di manakah ayah saya [sekarang selepas dia meninggal dunia]”? Baginda telah bersabda: “Di dalam neraka”. Apabila lelaki tersebut telah berpaling [untuk pulang], baginda telah memanggil lelaki tersebut lalu baginda telah bersabda: “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka”.

Hadith yang kedua pula adalah hadith yang telah diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad di dalam Musnad beliau dengan sanad beliau: Daripada [Sayyidina] Abu Huroyroh, beliau telah berkata: Nabi SAW telah menziarahi kubur ibu baginda lalu baginda telah menangis dan orang yang berada di sekeliling baginda [juga] telah menangis. Lalu Rasulullah SAW telah bersabda: “Daku telah meminta izin daripada tuhanku untuk daku memohon keampunan buat beliau lalu daku tidak diizinkan. Daku telah memohon keizinan daripada-Nya untuk daku menziarahi kubur beliau lalu Dia telah mengizinkan daku. Maka kalian ziarahilah kubur-kubur kerana sesungguhnya ia akan mengingatkan kematian”.

Kedua-dua hadith di atas secara zahirnya seakan-akan menunjukkan bahawa ayahanda Rasulullah SAW dan ibunda baginda adalah ahli neraka. Namun kefahaman ini tidak dipegang oleh para ulama al-Azhar al-Syarif sebaliknya al-Azhar berpendirian bahawa kedua ayah bonda Rasulullah SAW adalah penduduk syurga.

Salah seorang ulama al-Azhar yang terkenal yang pernah menjawat jawatan Mufti Kerajaan Mesir iaitu al-Imam al-Syeikh Muhammad Bakhit al-Muti’iyy pernah menyelar pandangan yang mengatakan bahawa ayah dan ibu Rasulullah SAW di dalam neraka dengan berkata: “Orang tersebut telah salah dengan kesalahan yang terang nyata. Dia berdosa dan dia termasuk di dalam golongan orang yang menyakiti Rasulullah SAW. Walaupun begitu dia tidaklah dihukum dengan kekafiran kerana masalah ini bukanlah termasuk di dalam perkara-perkara dasar bagi agama yang wajib ke atas mukallaf untuk mempercayainya secara terperinci”.

Guru kami Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy menjelaskan bahawa maksud “Sesungguhnya ayahku dan ayahmu di dalam neraka” yang di dalam hadith Sohih Muslim bukanlah merujuk kepada Sayyidina Abdullah bin Abdul Muttolib yang merupakan ayah kandung Rasulullah SAW sebaliknya maksud ‘ayahku’ di sini adalah ayah saudaraku iaitu merujuk kepada Abu Lahab yang telah dijanjikan dengan neraka oleh Allah.

Adapun hadith kedua yang menunjukkan bahawa Rasulullah SAW dilarang daripada memohon keampunan buat ibunda baginda, Fadhilat al-Syeikh Yusri bin Rushdi al-Hasaniyy menjelaskan bahawa sebab larangan itu bukanlah untuk menunjukkan bahawa ibunda baginda adalah ahli neraka sebaliknya larangan tersebut kerana tidak ada keperluan untuk memohon keampunan buat ibu baginda kerana sang ibu meninggal dunia sebelum Rasulullah diperintahkan menyebarkan agama Islam lalu sang ibu akan selamat daripaa neraka kerana beliau termasuk Ahlul Fatroh.

Beliau turut menjelaskan bahawa tangisan Rasulullah SAW adalah kerana kerinduan dan bukannya kerana kesedihan dek kerana sang ibu di dalam neraka.

Ustaz Hairul Hizam

03/09/2022 - Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment