Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kerajaan Islam Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu

  1. Kerajaan yang dibina di Malaysia adalah kerajaan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu. Parti mana pun yang memenangi pilihanraya ia tetap membentuk kerajaan DYMM yang berdiri atas prinsip Islam sebagai Agama Negeri dan Islam menjadi panduan. Sebagaimana kerajaan Duli-Duli YMM adalah kerajaan Islam sejak dahulu begitulah ia juga merupakan kerajaan Islam pada hari ini dan akan datang.
  2. Terengganu adalah Negeri dan Kerajaan Islam. Sebagaimana ia negeri dan kerajaan Islam sebelum PAS membentuk kerajaan pada 2018 begitulah ia merupakan Negeri dan Kerajaan Islam pada hari ini dan pada hari-hari esok apabila bertukar pula teraju kerajaan selepas pilihanraya. Apa yang perlu dibuat oleh kerajaan semasa ialah merendangkan lagi dan memperteguhkan lagi Islam tersebut dengan pelbagai lagi polisi dan inisitif baru untuk rakyat.
  3. Justeru, ungkapan “menegak negara Islam” yang dicanang ketika pilihanraya adalah ungkapan retorik bagi menggambarkan kerajaan sebelumnya adalah bukan kerajaan Islam dan negeri belum lagi menjadi negeri Islam sehingga parti berkenaan menerajuinya. Dan negeri itu akan jatuh status kerajaan Islam apabila parti tersebut jatuh di negeri tersebut dalam pilihanraya. Ucapan retorik ini perlu dibetulkan kerana ia tersasar dalam memahami kerangka bernegara dalam Malaysia yang merupakan negara Islam.
  4. Pilihanraya perlu berlangsung dalam kerangka perpaduan rakyat di bawah payung Islam. Tuduh menuduh mempertikaikan keislaman kelompok Islam lain yang berpolitik perlu dihentikan.
  5. DYMM Sultan Terengganu selaku Sultan dan pemerintah Negeri Terengganu bertitah dalam program sambutan Maulid Rasul baru-baru ini mengajak rakyat berpadu memupuk kasih sayang dan menjunjung akhlak mulia yang diajar oleh Islam. Baginda bertitah;

“Beta seorang yang amat menjaga keharmonian dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.” “Justeru, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai dalam kalangan kita di samping memangkinkan usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi.”

  1. Titah DYMM Tuanku Sultan ini perlu dijunjung oleh semua pemimpin politik dan rakyat. Bagindalah Ulil Amri yang mesti ditaati sebagaimana perintah Allah dalam surah al-Nisa: ayat 59.

Dr Khairuddin Takiri
Ahad 1 Oktober 2023

01/10/2023 - Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah |

No comments yet.

Leave a comment