Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Jangan cepat melabel buruk dan tuduhan berat kepada seseorang

Cari salah orang aje
Masyarakat kita perlu dididik agar TIDAK CEPAT menuduh seseorang yang berbeza dengannya dengan tuduhan yang berat seperti Kafir, Liberal, Syirik, Bid’ah, Wahhabi, Ahbash, Khawarij, Sesat, Mujassim, Munafiq, Hina Islam, Persenda hukum, cabar Allah swt, Hina Nabi s.a.w dan yang sepertinya TANPA punyai bukti jelas.

Malah jika ada bukti pun, masih sangat perlu meneliti konteks percakapan, perbuatan dan tulisan itu.

Bukan itu sahaja, malah perlu juga meneliti faktor kesilapan tidak sengaja seperti salah cetak, tersalah tulis, tersalah catat, media tersalah quote dan mungkin hasil kurang ilmu & kefahaman dan bukan sengaja ingin berniat jahat.

Kebodohan itu tidak aib jika mereka sanggup belajar TETAPI si bijak yang mencerca si bodoh itulah sangat aib.

Masyarakat yang mudah melabel dan menuduh dengan tuduhan berat pasti akan sentiasa hidup dalam stress. Hari ini kita boleh menuduh seseorang dan bergembira dengan ‘label buruk’ itu, kelak nanti pasti ‘label buruk’ yang lain pula menimpa kita..tatkala itu akan dirasakan pedihnya.

Sukar dibayangkan bagaimana seorang yang mengaku ilmuwan atau pendakwah ke arah Islam, kebenaran dna kebaikan tetapi sangat mudah membuat gelaran membenci, mengutuk, menghina. bagiaman mereka nak menarik mad’u kepada mereka dengan sifat itu???

Banyak sungguh dalil dalam hal ini, cuma tidak mahu memanjangkan status ini. Lihatlah ayat Al-Hujurat ayat 11. dan juga hadis nabi

Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :

ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة

Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :

أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها

Ertinya : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)

Imam Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)

Semuanya ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan ramai agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’ dan menganggap seseorang yang berbeza pendapat dengannya.

Dr Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID

23 October 2014 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | , , , , , , , | Leave a comment

Hukum bergendang dalam masjid – Majlis Fatwa Negeri Melaka

Fatwa Sayuti- Gendang Dlm Masjid

Nasihat dari Majlis Fatwa Negeri Melaka:

Fatwa Larangan Berzikir, Memukul Gendang Atau Peralatan Muzik Lain Di Dalam Masjid.

Tarikh Keputusan:  29 Dec, 2010.

Keputusan:

(a) Dilarang memukul alat gendang atau memainkan apa-apa jenis alatan muzik di dalam masjid atau surau kerana perbuatan tersebut adalah bercanggah dengan syariat dan akhlak Islam;

(b) Bagaimanapun, penggunaan alat gendang atau apa-apa jua jenis alatan muzik lain bagi menjalankan aktiviti yang dibenarkan oleh Syarak boleh dilaksanakan di luar bangunan masjid, surau atau madrasah dan pelaksanaannya hendaklah berlandaskan Syariat dan akhlak Islam.

Status Penwartaan:  Diwartakan

Tarikh Diwartakan:  5 Jan, 2012

Nombor Rujukan:  JMM/BFB(S)/351/255/02/10; PUNM. 700-02/37 Jld. 2

Akta/Enakmen:  Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Melaka) 2002

Negeri: Melaka.

Sumber: http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-negeri/fatwa-larangan-berzikir-memukul-gendang-atau-peralatan-muzik-lain-di-dalam-masjid

28 January 2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , , , , , , | Leave a comment

Hukum Ajaran Atau Fahaman Syiah

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-5 – 20 Februari 2012/27 Rabiulawwal 1433H

Mesyuarat mengambil perhatian bahawa terdapat keputusan majoriti dan minoriti bagi perkara ini. Keputusan majoriti bersetuju dengan keputusan berikut :

“Ajaran dan fahaman Syiah adalah suatu ajaran yang bercanggah dan menyalahi ajaran Islam yang sebenar. Para penganutnya dikira sesat dan boleh terkeluar dari Islam. Fahaman ini perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang.

Oleh itu, umat Islam adalah dilarang mengamal ajaran, pegangan dan fahaman ajaran dan fahaman Syiah, menjadi ahli, mengetuai, memimpin, memberi ceramah, mengadakan kelas pendidikan dan pembelajaran, mengadakan apa-apa aktiviti ekonomi, social, program persembahan kesenian dan kebudayaan serta aktiviti-aktiviti lain yang bertujuan untuk menghidup, menyebar dan mengembangkan ajaran ini.

Orang Islam adalah dilarang memiliki, menyimpan, mencetak, menjual termasuk mengedarkan filem, rakaman audio, pamplet, buku-buku, majalah atau apa-apa terbitan, risalah dan apa-apa dokumen, menggunakan sebarang bentuk lambang, rajah atau tanda-tanda yang boleh mengaitkan ajaran atau fahaman Syiah dengan ajaran Islam yang sebenar.”

Namun mesyuarat juga bersetuju untuk memasukkan pandangan Yang Berbahagia Sahibul Fadhilah Dato’ Alim Setia Ustaz Ahmad Bin Jusoh dengan penambahan sighah pada perenggan pertama, dicatat sebagai pandangan minoriti (pandangan kedua) seperti berikut :

“Ajaran dan fahaman Syiah Rafidhah adalah suatu ajaran yang bercanggah dan menyalahi ajaran islam yang sebenar. Para penganutnya dikira sesat dan boleh terkeluar dari Islam. Fahaman ini perlu disekat keseluruhannya daripada berkembang.”

 

(Sumber: Fatwa Negeri Perlis Kali Ke-5 – 20 Februari 2012/27 Rabiulawwal 1433H)

4 December 2012 Posted by | Aqidah, Fatwa, Informasi | , | Leave a comment

Menuduh orang lain sesat adalah satu kesesatan

Nampaknya ramai anggota masyarakat cuba dipengaruhi untuk mengetahui siapa yang sesat daripada apa yang sesat. Oleh itu mereka terdorong untuk menuduh satu golongan atau individu itu sebagai sesat.Menuduh sesat terhadap orang lain adalah satu tuduhan yang sangat berat.

Jika kita sedar betapa beratnya implikasi dan akibat yang terpaksa ditanggung di akhirat kerana menuduh orang sesat, pasti kita lebih berhati-hati kerana sesat adalah tuduhan yang boleh berbalik. Jika orang yang kita tuduh tidak sesat, kitalah yang sesat. Tegasnya, cepat menuduh sesuatu pihak sebagai sesat (sedangkan diri sendiri tidak mempunyai bukti yang jelas dan nas yang kukuh) adalah satu kesesatan.

Perkataan sesat tidak boleh ditafsirkan mengikut selera dan kehendak hawa nafsu semata-mata. Kayu ukur menilai kesesatan bukan fikiran dan perasaan, tetapi Al Quran. Kemudian disusuli oleh hadis Nabi Muhammad saw. Kalaulah dalam kehidupan kita sendiri Al Quran tidak jadi panduan malah jarang sekali dibaca….. bagaimana sewenang-wenangnya kita tergamak menuduh orang lain sesat? Kalau begitu sikap kita samalah keadaannya dengan Firaun yang menyesatkan Nabi Musa, Abu Lahab yang menyesatkan Nabi Muhammad saw atau Namrud yang mengatakan Nabi Ibrahim itu sesat.Musuh-musuh Allah itu merasa diri merekalah yang paling benar walaupun hakikatnya merekalah orang yang sesat lagi menyesatkan.

Hal yang terbalik dan songsang ini telah terjadi sekali lagi. Manusia yang hidupnya bergelumang dengan riba, mendedahkan aurat, bergaul bebas, cuai sembahyang, hasad dengki, takbur, sombong, pembohong dan lain-lain sifat mazmumah telah tampil ke tengah masyarakat sebagai juara memerangi atau menuduh kekesatan.Begitu juga dengan media yang saban waktu menyiarkan gambar pendedahan aurat, cerita fitnah dan melaga-lagakan umat, sibuk-sibuk bercakap mengenai kebatilan dan kesesatan.

Sepatutnya marilah kita sama-sama berdialog dalam diri, muhasabah seluruh lisan dan tindakan, lahir dan batin, apakah ciri-ciri kesesatan ada dalam diri kita? Kalau kita melihat orang lain itu berada dalam kesesatan, sepatutnya kita membimbing dan mendoakan mereka, bukan dengan jalan membuat tuduhan atau menyisihkan mereka. Contohnya, kita melihat orang yang tidak sembahyang, jangan kita cepat menuduh dia sesat dan sebagainya, kita bimbing dan doakan mereka. Begitu juga di masa yang sama kita fikirkan diri kita yang sudah berbuat sembahyang ini, apakah ibadah kita ini sudah diterima oleh Allah swt atau tidak, jangan kita merasa yang kita sudah mengerjakannya, kita sudah merasa selamat.

Kumpulan-kumpulan dakwah atau harakah juga, tidak boleh mengatakan kumpulan dakwah atau harakah dia sahaja yang betul, kumpulan dakwah dan harakah orang lain tidak betul. Termasuk juga individu-individu yang sudah beramal atau menjadi pejuang agama, boleh mengatakan pihak individu lain tidak betul amalannya atau perjuangannya.

Begitu juga, kita jangan memandang hina kepada orang kafir kerana kekafiran mereka, kita sepatutnya mendakwah dan mendoakan mereka, moga-moga dia akan beriman kepada Allah swt. Mana tahu dengan izin Allah swt dia mendapat taufik dan hidayah dan mati dalam beriman kepada Allah swt dan kita yang sekarang sudah boleh beramal dan beriman ini, ditakuti nanti mati dalam kekufuran. Sesungguhnya nasib kita belum tahu apakah mati dalam iman atau mati dalam kekufuran, patutnya inilah yang kita fikirkan dan tangisi selalu. Janganlah kita menjadi orang yang tertipu dalam beramal.

Jika kita sibuk berjuang mendedahkan kesesatan atau kebatilan, mengapa hanya separuh-separuh sahaja contohnya; mendedahkan aurat itu satu kesesatan, tidak ada tapi-tapinya lagi. Alasan yang mengatakan ia perlu untuk hiburan, sukan dan apa juga sebab, tidak diterima. Jika tidak percaya, cuba tanya ulama-ulama yang punya autoriti (kalaupun segan pada ulama-ulama yang rasmi). Jika ada ulama yang berani bekata: mendedahkan aurat harus kerana bersukan, berlakon, menari dan lain-lain, jelaslah ulama Us Suuk (ulama jahat). Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang dipaparkan melalui media hiburan atau ruangannya di dada akhbar adalah sesat…. jika tidak percaya, sila tanya ulama….

Jangan lupa untuk tanyakan lagi mengenai riba, mengenai ramalan bintang-bintang, memaparkan cerita-cerita rogol, cerita zina,iklan wayang, karenah bintang filem dan para artis, jangan lupa! Tanyakan semuanya pada ulama. Kemudian paparkan jawapan mereka dalam ruangan istimewa, supaya seluruh masyarakat tahu.

Kesesatan tetap satu kesesatan, walaupun ia nampak gagah dengan pendukungnya yang ramai, punya kuasa dan banyak harta. Kebenaran tetap satu kebenaran walaupun ia kelihatan dhaif, pendukungnya sedikit dan kelihatan seolah-olah akan kalah untuk mengatasi kebatilan. Yang menang tidak semestinya benar, yang kalah tidak semestinya salah. Kita ada hari lagi yang mana ketika itu yang benar pasti menang dan yang salah pasti kalah. Ketika itu pasti tiba, kerana kebenaran itu pasti dibela oleh Allah. Firman Allah swt yang bermaksud:“Yang haq (benar) dari Allah, jangan kamu menjadi orang yang menentang.”

Nampaknya pada saat ini, ketika ini, yang batil masih gagah dan lanjut usianya. Sengaja Allah sunnahkan begitu buat menguji pendukung kebenaran dan sebagai satu cara untuk lebih menyesatkan golongan yang sesat. Agar dengan itu tersaring pejuang Islam yang palsu dan pendukung kesesatan pula akan merasa “confident” dengan kesesatan.

Bila ada golongan yang bising-bising mengenai zikir, konon ada kumpulan yang berzikir hingga lupa tegak kemajuan dan lupa tanggungjawab, tentulah golongan yang langsung tidak berzikir rasa betul kerana mereka tidak pun dapat teguran. Malah tidak ada siapa pun berani menegur orang yang lupa untuk sembahyang maghrib dan isyak ketika satu-satu perlawanan sukan diadakan di stadium-stadium besar. Bukan itu sahaja, penonton siaran itupun tidak pernah ditegur agar sembahyang maghrib. Kalau peribadi pemain lagi-lagilah tidak…. Sepatutnya para ulama bersuara tentang hal ini, jangan bila soal cara berzikir sampai nak patah leher kita berhujjah tapi bila soal waktu sembahyang yang terang-terang dilanggar tidak pula diendahkan.

Saya berterima kasih atas teguran jujur lagi ikhlas yang bertujuan membetulkan sesuatu kesilapan. Tapi jika ia dilontarkan penuh prasangka dan tidak bertolak ansur, saya rasa itu di luar batas peri kemanusiaan. Ada pihak yang menyeru anak muda jangan dekati kumpulan dakwah, yang katanya menyeleweng dan menyesatkan…. teguran itu bagus. Tapi perlu juga ingatkan anak muda jangan dekati kumpulan rock, panggung-panggung wayang, pita-pta vcd atau Video dan aktiviti-aktiviti yang terlibat dngan pergaulan bebas lalaki perempuan. Kenapa diam membisu dalam perkara-perkara yang jelas haram tetapi lantang dalam soal-soal yang masih boleh dipertikaikan.

Mengapa kita tidak berhati-hati juga dalam perkara-perkara yang boleh membatalkan syahadah seperti membina dan menghormati patung-patung berbentuk manusia dan binatang? Mengapa kita tidak sensitif dengan ucapan: “Kalau semua nak ikut Islam susahlah….”  “Hukum Islam tak sesuai lagi zaman ni…..”  “Hukum rejam dan rotan pada para penzina tidak berperikemanusiaan.”  “Tidak logiklah kalau semua nak ikut Quran dan sunnah.” Ucapan-ucapan ini, sesungguhnya boleh menjejaskan akidah. Dan ia selalu kedengaran diucapkan oleh ramai orang, tidak kira orang besar atau orang kecil, yang berkuasa mahupun rakyat jelata, yang kaya atau yang miskin.

Kekalutan kita terhadap perkara-perkara yang masih boleh diperbahasakan secara baik, yang masih kabur antara masalah iktikad atau masalah furuk, janganlah sampai menutup mata kita terhadap perkara-perkara yang jelas betul tapi belum ditegakkan, yang jelas salah tapi belum dihapuskan. Saya rasa belum ada ulama yang menghalalkan judi, tetapi mengapa judi masih berleluasa malah diiklankan di khalayak ramai? Begitu juga dengan arak, mengapa kilang-kilang arak terus didirikan atas alasan ekonomi dan kita tidak pernah pun menentangnya secara lantang? Mengapa kita tidak pernah memikirkan jutaan umat Islam yang masih terjebak dengan riba melalui pinjaman berbunga di bank-bank sedangkan kita telah sepakat mengatakan riba adalah haram dan balasannya neraka? Mengapa kita tidak menangis memikirkan berapa ramai anak gadis kita yang masih mendedahkan aurat? Ketika kita sibuk menyesatkan orang lain, musuh-musuh Islam telah menyelinap masuk ke dalam rumah kita menyiarkan program-program tv yang jelas mungkar tetapi kita tidak sedar dan masih sibuk mencari sesat orang lain. Apakah program tv, pertunjukan rokc, tarian, pendedahan aurat oleh artis tempatan dan luar negeri itu hukumnya halal? Sila jawab.

Tapi jika kita masih mengatakan itu haram, mengapa kita tidak memeranginya? Entah berapa ramai orang Islam yang mengaut dosa mata, tergeliat fikirannya, rosak hatinya kerana program-program itu…. tapi kita masih terima hujjah yang mengatakan: “Kita tengok hiburannya bukan auratnya…” Apakah hujjah ini diterima Allah swt? Apakah hujjah ini yang akan kita jawab di padang Mahsyar… terpulanglah pada para ulama menjelaskan hal ini sejelas-jelasnya, tanpa selindung-selindung lagi.

Oh…. mungkin kita boleh berhujjah lagi, perkara-perkara itu memang jelas haram tapi memandangkan keadaan dan situasi, kita perlu berhikmah, bertolak ansur dan membuat peningkatan amal secara bertahap-tahap. Kita perlu berbincang untuk menyebarkan kefahaman kepada semua kaum tentang Islam, jika tidak, Islam dianggap menyusahkan. Begitulah suara yang selalu kita dengar.Tapi peliknya, mereka hanya berlembut dengan orang yang ada kuasa dan ada harta, sebaliknya sangat keras dengan harakah Islam atau kumpulan-kumpulan dakwah. Kalau mereka boleh bertolak ansur dengan orang lain atas alasan masyarakat berbilang kaum, masyarakat masih kurang ilmu dan sebagainya, kenapa tidak berlembut dengan harakah Islam atau gerakan dakwah atas alasan sama-sama ingin kebenaran? Kalau dengan pihak yang jelas mengiklankan kemungkaran kita boleh bekerjasama, mengapa tidak dengan orang yang bercita-cita ingin menegakkan kebaikan. Walaupun mungkin cara orang yang bercita-cita untuk menegakkan kebenaran itu tidak kita setujui, tapi itu lebih baik daripada orang yang terang-terang menjadi pelupur hiburan Barat, dedah aurat dan pergaulan bebas.

Tapi inilah yang tidak berlaku. Kita tegas dan kasar dengan orang yang bercita-cita baik dengan tuduhan sesat tapi duduk semeja dengan pelupur kemungkaran.

 

(Penulis: Dr Akhmal)

15 November 2012 Posted by | Renungan & Teladan | , | 1 Comment

Berwaspada dengan kumpulan Ahbash yang menyesatkan

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan jemaah yang dinamakan sebagai Ahbash, maka pelbagai persoalan yang keluar daripada minda orang ramai mengenai kumpulan ini. Ada yang menjauhkan diri daripada mereka kerana mendengar nasihat para alim ulama’, ada juga yang terpedaya dengan dakyah mereka, dan ada juga ingin belajar dahulu siapakah mereka lantas terpedaya dengan dakyah yang dibawa oleh mereka.

Saya pernah bertanya kepada rakan saya yang pernah mengikuti pengajian aliran Ahbash ini kerana beliau ingin tahu sendiri mengenai aliran tersebut, beliau menyatakan bahawa guru yang mengajar itu menghasut supaya jangan mendengar kata-kata pensyarah di kuliyah Syariah Universiti Yarmouk, terkejut saya mendengarnya.

Selain itu, saya ada juga mendengar rakan saya mengecop seorang ulamak dengan panggilan Muktazilah hanya kerana tidak sealiran dengan gurunya, sedangkan itu adalah tuduhan yang sangat berat jika tanpa ada bukti yang benar-benar kukuh.

Ini adalah petanda awal sebenarnya untuk menyalakan api permusuhan. Apabila lebih lama lagi belajar di situ, mungkin ia akan mewujudkan perasaan syak wasangka terhadap para alim ulama’ sejurus mengkafirkan mereka, maka yang benar hanyalah guru mereka. Pada mulanya, kita tidak nampak ketara penyelewengannya kerana ia adalah tektik dan helah yang popular digunakan. Sikit demi sedikit ia mula menjadi darah daging. Awas!

Jika kita perasan mengenai kumpulan ini, mereka lebih cenderong untuk berkasar dan berdebat kepada sesiapa sahaja yang tidak sama aliran dengan mereka. Maka mereka akan selalu mewujudkan api-api permusuhan. Saya pernah menghadapai orang yang seperti ini. Selain itu, mereka ini hanya suka berbicara pada satu topik sahaja sehingga dunia telah mengalami masalah kritikal dari sudut lain pun, mereka tetap dengan agenda mereka iaitu berkeras dengan sesiapa yang tidak sama aliran dengan mereka.

Parah. Kita perlu ambil waspada perkara ini dengan sangat serius, kerana dari masa ke semasa ia sudah merayap ke seluruh dunia dan tidak terlepas juga di negara kita iaitu di Malaysia, maka kita tidak hairanlah budaya sesat-menyesatkan, kafir-mengkafirkan ahli kiblat sudah sebati di bibir masyarakat walaupun orang yang melemparkan tuduhan itu adalah dari golongan pendakwah sendiri. Sedangkan perkara ini sangat dilarang oleh Nabi SAW seperti sabdanya yang bermaksud,

“Tinggalkan perbantahan kerana sesungguhnya Bani Isra’il telah berpecah menjadi 71 golongan dan orang-orang Nasrani berpecah menjadi 72 golongan, semuanya sesat kecuali as Sawadul A’zhom. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah siapakah sawadhul a’zhom itu? Nabi menjawab : mereka adalah orang-orang yang mengikuti aku dan para sahabatku, tidak berbantah-bantah dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli tauhid sebab dosa yang sudah diampuni oleh Allah. Kemudian Nabi bersabda : Sesungguhnya Islam itu datang dalam keadaan asing dan nanti akan kembali asing. Para sahabat bertanya : Wahai Rasulullah siapakah orang-orang asing itu? Nabi menjawab : Mereka adalah orang-orang yang berbuat kebaikan di kala orang ramai berbuat kerosakan, tidak berbantah-bantahan dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan salah seorang di antara ahli Tauhid dengan sebab dosa yang telah dia lakukan.” (Hadith yang dikeluarkan oleh Imam Tabrani dalam al Mu’jam al Kabir jilid 8 halaman 152 dari Abi Darda’, Abi Umamah, Watsilah bin al Asqa’ dan Anas bin Malik)

Lagi, “Sesiapa mengatakan kepada saudaranya dengan Wahai Kafir, maka kekafiran itu kembali kepada salah satunya ” (Sahih Bukhari)

Jika pembaca sedari di dalam penulisan saya yang lepas, saya sudah menulis sebuah artikel yang bertajuk ‘Salafi dan Khalafi: Antara Salah Faham dan Realiti Semasa’, di dalam petikan  artikel tersebut saya ada menyatakan bahawa,

“Ada yang bersetuju dengan aliran Salafi daripada aliran Khalafi atau sebaliknya serta menghormati aliran Khalafi,  ada juga yang ber’wasatiyah’ iaitu memandang kepada nilai yang positif daripada kedua-dua aliran, tidak kurang juga yang berbaki daripada pecahan itu adalah yang fanatik pada satu-satu aliran sahaja sehingga menganggap aliran lain adalah sesat dan salah. Pecahan kumpulan yang terakhir tadi sebenarnya adalah salah satu punca kerosakan yang amat besar dalam masyarakat kerana ia boleh merosakkan orang lain di samping membawa fitnah yang buruk ke atas agama Islam itu sendiri.”

Apa yang saya ingin maksudkan daripada petikan artikel di atas ialah kesan daripada pecahan kumpulan yang terakhir iaitu mereka yang bersifat agresif dan fanatik pada satu-satu golongan sehingga meng’KAFIR’kan ulama’-ulama’ muktabar seperti Dr Yusof Al-Qorodhawi dan aliran-aliran yang tidak sama dengan mereka, sehingga bertindak dengan lebih melampau lagi  apabila mereka menghalalkan pertumpahan darah sesama Islam atas alasan bahawa yang dituduh kafir tadi mereka sudah terkeluar daripada Islam. Maka topik inilah yang menjadi tajuk utama perbincangan kita pada kali ini supaya kita tidak terperangkap serta lebih berhati-hati  dengan fikrah dan dakyah yang dibawa oleh mereka.

Setelah mendengar kupasan daripada beberapa orang Prof. dan Dr di Universiti Yarmouk, maka dengan persetujuan daripada mereka, saya berani untuk tampil dan mengupas antara penyelewengan-penyelewengan yang ada di dalam kumpulan ini.

Saya tidaklah tujukan penulisan ini kepada pengasas dan ahli kumpulan ini, biarlah Allah SWT mengadili perbuatan mereka. Cukuplah memberitahu bagi mereka yang ingin tahu, kerana apa yang saya risaukan adalah budaya ini tersebar dalam kalangan masyarakat, maka pada masa itu semakin sukar untuk kita mencari nilai titik persefahaman. Ya, sangat bahaya, bayangkan apabila semuanya menjadi musuh, maka amat sukar untuk kita berdamai ketika darah umat Islam menjadi halal sesama sendiri. Cukuplah dengan persengketaan yang ada, walaupun masih lagi ada ruang dan peluang yang boleh dicari titik persefahamannya dengan izin Allah SWT.

Sejarah Ringkas Pengasas

Disandarkan kumpulan Ahbash ini kepada pengasasnya iaitu Abdullah Al-Harori, Al-Harori ini adalah nisbah kepada wilayah Haroro di Negara Habsyah. Maka daripada Haroro, dia telah datang ke negara Syam pada tahun 1950.

Apabila sampainya di negara Syam, dia telah menyebarkan  akidah yang sesat di wilayah Syiria, maka ramai daripada sebahagian ahli sufi yang terpengaruh dengan ajarannya serta menerimanya. Lantas diketahui oleh alim ulama’ Syiria mengenai penyebaran ajarannya, maka mereka telah bersemuka dengannya, mendedahkan penyelewengan ajaran yang dibawa olehnya kepada orang ramai.

Selepas didedahkan penyelewengan itu, dia telah membawa diri ke Lubnan dan terus menetap di sana, sesampainya di sana, dia telah memperdayakan ramai orang bahawa dia telah dihalau dari negaranya Habsyah dan dibenci oleh masyarakatnya sehingga dia telah diberi gelaran (Syeikhul Fitnah). Di samping itu, dia telah menyertai dan meminta bantuan daripada musuh Islam untuk melancarkan serangan terhadap jemaah-jemaah Islam dan ulama’ulama’ Islam yang muktabar.

Fahaman Dan Pemikiran Ahbash Yang Subversif (merosakkan)

1.   Mengkafirkan

Kegemaran mereka adalah sangat gemar mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka terutama alim-alim ulama’, mereka selalu mengkafirkan ramai orang sehingga kita boleh kenal mereka dengan ‘Jemaah Takfir’. Mereka mengkafirkan ulama’-ulama’ yang muktabar seperti Imam Ibnu Khuzaimah iaitu dengan menuduh kitab tauhidnya sama dengan kitab syirik, mempertikaikan Imam Az-zahabi. Tidak terlepas juga yang dituduh kafir adalah Imam Ibnu Qayyim al-Jauziyah, Imam Ibnu Kasir, Ibnu Abi al-Izz al-Hanafi.

Sehingga mereka menuduh kafir Syeikh Islam Ibnu Taimiyah dan Syeikh Muhammad Bin Abdul Wahab di lidah-lidah mereka pada setiap pagi dan petang. Ulama’ Muaasirun (hari ini) juga tidak terlepas dari tuduhan kafir, antara mereka adalah Syekh al-Bani, Prof. Dr Yusof Al-Qorodhawi, Bin Bazz, Ibnu Usaimin, Said Sabiq, Mutawwali Sya’rawi, Dr Said Ramadhan Al-Bouti, Syed Qutub dan ramai lagi jika hendak disenaraikan.

2.   Membunuh, menyerang, dan mengasari sesiapa sahaja yang tidak sealiran dengan mereka.

Antara tuduhan yang dilemparkan kepada mereka:-

a)   Disyaki membunuh mufti Lubnan yang lalu iaitu Syeikh Hasan Khalid. (Kematian Syeikh apabila keretanya terkena letupan bom ketika keretanya melalui kawasan tersebut pada 11 Syawal 1409H bersamaan 16 Mei 1989)

b)   Disyaki membunuh Syeikh Dr Subhi Soleh. (Soheb Muallifat al-Qimah)

c)   Membunuh Usamah al-Qossos. (Salah seorang pendakwah di Lubnan)

d)   Disyaki terlibat dalam pembunuhan Rofiq al-Hariri. (Ketua Kerajaan Lubnan yang lalu) seperti apa yang dinyatakan di dalam laporan (milis).

Mereka ini juga terlibat dalam beberapa siri keganasan yang berlaku di negara Syam terutamanya Lubnan.

3.   Mereka Bersekutu Dan Bergabung Bersama Syiah Terutamanya Hizbullah Di Lubnan Selepas Keluar Daripada Syiria

Ahbash bersetuju dengan Syiah Rowafed dalam melakukan fitnah dan mencaci sesetengah sahabat  Nabi Ridhwanullah ‘alaihim. Maka dengan demikian, hampir samalah pekerjaan antara mereka dan Syiah dalam menyebarkan fahaman Syiah. Seperti yang kita tahu bahawa mencaci sahabat adalah permulaan tersebarnya fahaman mazhab Syiah dan kebangkitan al-Khominiyah di negara Sunni.

4.   Ahbash  Juga Bertanggungjawab Dalam Menyebarkan Penyelewengan Melalui Jalan Ar-rifai’yah dan An-naqsyabandiyah As-sufiyah.

5.   Ahbash Juga Gemar Menganggap Bahawa diri Mereka Adalah Dari Golongan Wasatiyah Dan Adil.

Kepelikan al-Habshi, bersalahan yang sangat ketara di dalam permasalahan Aqidah Dan Feqah. Antaranya:

1.   Syirik dan Khurafat, melampaui batas dalam ilmu ketuhanan

Kita sedia maklum bahawa ijma’ umat Islam beriktiqod dengan ayat yang bermaksud: “sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (al-Baqoroh:20), akan tetapi al-Habsyi beriktiqod bahawa Allah SWT bukan berkuasa ke atas sesuatu pun, malah Allah SWT hanya berkuasa pada kebanyakan perkara sahaja, bukannya setiap sesuatu sepertimana yang disebutkan di dalam kitabnya al-Aqidah As-saniyah m/s 40.

2.   Sesungguhnya semua orang Islam beriman bahawa mayat-mayat di dalam kubur hanya akan dibangkitkan setelah hari kiamat tiba seperti yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran yang bermaksud: “sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.” (al-Mukminum:16). Akan tetapi al-Habsyi beriktiqod bahawa mayat-mayat akan keluar daripada kubur mereka untuk menunaikan hajat bagi sesiapa yang memerlukan mereka.” Sebagaimana yang disebutkan di dalam kitab mereka ‘Bughyah al-Tolib:7 edisi pertama’, kitab ‘Sorih al-Bayan: 57’, dan kitab al-Dalil al-Qowim:173). Maka mereka menggalakkan manusia agar berdoa di kubur dan meminta bantuan kepada si mayat.

3.   Kita sedia maklum bahawa Allah SWT menyuruh kita meminta perlindungan kepadanya daripada tipu daya Syaitan seperti mana di dalam firmanya yang bermaksud: “Dan jika engkau dihasut oleh sesuatu hasutan dari Syaitan, maka mintalah perlindungan kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (al-A’rof:200) dan juga di dalam surah al-Fussilat: 36. Allah SWT telah berfirman di dalam surah al-Jin: “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” Al-Jin:6. Sedangkan al-Habsyi memberi fatwa bahawa harus meminta pertolongan selain daripada Allah SWT seperti ‘Aku meminta pertolongan dengan si fulan seperti Nabi SAW’ sebagaimana di dalam kitabnya ad-Dalil al-Qowim m/s 173, kitab Soreh al-Bayan m/s 57-62 edisi ke-2 tahun 1994 di m/s 156.


Mereka Berdusta Di Dalam Kecintaan Kepada Nabi SAW

Al-Habsyi tidak mengambil berat terhadap riwayat hadis-hadis yang sahih yang sabit daripada Nabi SAW, kita wajib mengetahui bahawa meriwayatkan hadis yang sahih adalah tanda orang yang jujur, akan tetapi mereka telah berdusta dengan hadis Nabi SAW iaitu dengan mendakwa bahawa Allah SWT menyuruh malaikat Jibril a.s di hari kelahiran Nabi SAW untuk menyebarkan minuman kepada penduduk langit dan bumi. Maha suci Allah SWT daripada perbuatan itu, sedangkan kita mengetahui bahawa para malaikat tidak makan dan tidak minum seperti apa yang dinyatakan di dalam al-Quran.

Al-Habsyi  Memperlekehkan Sahabat-Sahabat Nabi SAW

1.   Tidak dapat disangkal lagi bahawa sahabat Nabi dari Khulafa’ ar-Rasyidin yang empat, mereka adalah sahabat yang mulia dan besar di sisi Nabi Saw. Akan tetapi al-Habsyi telah meragukan umat Islam terhadap keyakinan itu dengan menyatakan bahawa “Sesiapa yang mengingkari Abu Bakar as-Siddiq sebagai sahabat, maka dia kufur. Ada pun bagi mereka yang mengingkari Umar, Othman dan Ali daripada kalangan sahabat yang afdhal, maka dia tidak jatuh kufur” boleh lihat di dalam kitab ‘Bughyah at-Tolib m/s 32 ’ edisi yang pertama.

2.   Bukan itu sahaja, malah al-Habsyi juga memperlekehkan penulis wahyu Rasulullah SAW iaitu Muawiyah R.A dengan menyatakan bahawa “Hati Muawiyah tidak memiliki rasa takut dan taqwa kepada Allah SWT, sesungguhnya dia adalah lelaki yang penipu.” Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 102. Siapa boleh mengetahui soal hati manusia melainkan Allah SWT, tetapi mereka telah melemparkan satu pendustaan yang besar terhadap sahabat Nabi SAW.

3.   Bahkan al-Habsyi telah mendakwa bahawa siapa yang membunuh Saidina Ali R.A adalah Bughah, walaupun mereka itu dari kalangan sahabat. Ini disebut di dalam kitabnya ‘Bughyatu al-Toleb m/s 352’, malah mereka mendakwa bahawa sesiapa yang membunuh Ali R.A daripada kalangan sahabat, mati dia adalah mati jahiliyyah, dan menyifatkan perbuatan Aisyah R.A dalam menyerang Sayidina Ali R.A sama dengan perbuatan maksiat. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 86. Jika kita sedar bahawa mereka mempunyai banyak persamaan dengan Syiah.

Penyelewengan Mereka Terhadap Masalah-Masalah Feqah

1.   Kita sedia maklum bahawa Islam telah mengharamkan perjudian, tetapi al-Habsyi memberi fatwa bahawa harus mengambil harta orang kafir melalui jalan perjudian. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 133.

2.   Mereka menggalakkan akhlak yang keji dalam kalangan perempuan dan muhrimnya iaitu adik atau abang, pakcik, dan selainnya, mereka mengharuskan agar muhrim perempuan tadi melihat payudara dan perutnya kerana itu bukan aurat di antara muhrim, mereka juga mengatakan boleh melihat bahagian itu sesama perempuan tanpa bersebab. Mereka mendakwa bahawa kadar aurat perempuan dan muhrimnya adalah daripada perut hingga ke lutut, ada pun pendapat yang menyatakan atas daripada kadar itu adalah pendapat yang lemah. Boleh lihat di dalam kitab Bughyah al-Toleb m/s 368 edisi pertama dan edisi kedua m/s 290.

3.   Al-Habsyi mengharuskan bagi lelaki melihat apa sahaja dari tubuh wanita ajnabiyah dengan syarat tidak menaikkan syahwat. Boleh lihat di dalam kitab Bughyah al-Toleb 288.

4.   Membolehkan bercampur-aduk antara lelaki dan perempuan di dalam tarian. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan 144.

5.   Menggugurkan kewajipan zakat ke atas duit kertas. Bughyah al-Toleb m/s 160-169, edisi yang terbaru m/s 207.

6.   Al-Habsyi memberi fatwa agar harus mengambil riba daripada orang kafir, katanya: “Saham-saham di bank adalah milik orang kafir, bahkan yang mengasaskannya juga  adalah orang kafir, maka kita boleh ambil faedah daripada itu jika kita mahu.” Rakaman suara.

7.   Dibolehkan mengambil harta orang kafir melalui jalan perjudian kerana pada hari ini tiada lagi kafir Zimmi, yang ada hanyalah kafir Harbi. Boleh lihat di dalam kitab Soreh al-Bayan m/s 133.

8.   Menfatwakan bahawa najis daripada kutu dan pepijat adalah najis yang tidak boleh dimaafkan, sesiapa yang solat dan terkena padanya, maka solatnya batal sama ada tahu atau pun tidak tahu. Boleh lihat di dalam kitab Bughyah al-Toleb m/s 87.

Itu adalah antara pendapat-pendapat yang menyeleweng yang dikeluarkan oleh al-Habsyi. Perkara ini juga telah dipersetujui oleh guru saya iaitu Dr Usamah al-Ghonimin, Pensyarah di kuliyah Usul Fiqh Universiti Yarmouk.

Antara ulama’-ulama’ dan perbadanan yang telah mengatakan bahawa Ahbash adalah sesat

1.   Dr Wahbah Az-zuhaili

2.   Dr Ramadhan al-Bouti

3.   al-Syeikh Tajuddin al-Hilaly

4.   al-Syeikh Abu Muhammad al-Maqdisi

5.   al-Syeikh Abu Qotadah Umar Bin Mahmud

6.   Dr Yusof al-Qorodhawi

7.   Fatwa Dari Markaz Fatwa laman islamweb.net

8.   al-Syeikh Hamid Bin Abdillah al-Aliy

9.   al-Syekh Abdul Aziz Bin Bazz

10.  Lembaga Fatwa Arab Saudi

11.   Dr Fikri Ismail (Kementerian Wakaf Mesir)

12.   Dr Mohd Mahrus al-Mudarris (Islam-online.net)

13.   Dr Munir Jumuah

14.   Lembaga Fatwa Mesir

15.   Dr Ahmad Shalabi

Berikut adalah ulasan yang diberikan oleh al-Syekh Hamid Bin Abdillah al-Aliy mengenai Ahbash

Maksudnya: “Saya memohon maklumat terperinci daripada tuan tentang kumpulan Ahbash, apakah telah ada fatwa tentang kumpulan ini? Apakah mereka itu kumpulan yang sesat ataupun tidak?”

Jawapan dari al-Syeikh Hamid bin Abdillah al-’Aliy (Pensyarah Peradaban Islam di Kuliah Pendidikan Asas Kuwait.).

Alhamdulillah wassolatu wassalam ‘ala nabiyyina Muhammad wa ‘ala alihi wa sahbihi wa ba’du:

al-Ahbash adalah satu kumpulan sesat yang dinisbahkan kepada Abdillah al-Habasyi. Zahir di Lubnan, dan mereka mengambil kesempatan daripada kejahilan dan kefakiran yang berlaku di Lubnan kesan dari peperangan yang berlaku di sana untuk menyebarkan seruan menghidupkan manhaj-manhaj Sufiah yang batiniyyah bertujuan merosakkkan aqidah dan memecah-belahkan kesatuan umat Islam.

Pengasas kepada kumpulan ini ialah Abdullah Muhammad al-Harari al-Habasyi, dia belajar agama di sana (di Habashah) dan telah mengadakan bai’ah (janji taat setia) dengan tarikat al-Tijaniyyah. Dia juga berbai’ah dengan Tarikah al-Rifa’iyyah, kemudian dia berhijrah ke Syiria dan Lubnan. Ketika di Habashah, Abdullah al-Harari pernah bekerjasama dengan pemerintah Indraji di Habashah “Sahr Hilasilasi” menghapuskan persatuan-persatuan Islam tahfiz al-Quran di bandar Harara yang membawa kepada hukuman penjara dan buang negeri ke atas Pengetuan Sekolah, Ibrahim Hasan selama 23 tahun. Semua ini menyebabkan para pendakwah dan para syeikh yang berada di Harara melarikan diri ke Saudi dan Mesir. Kerana itu Abdullah al-Harari (pengasas kumpulan Ahbash) dikenali disana dengan sifat al-Fattan (pembawa fitnah) atau Syeikh Fitnah.

Demikianlah keadaannya (al-Harari) apabila dia berada di Lubnan, dia bekerja untuk menyebarkan fitnah sama seperti yang dilakukannya di tempat asalnya dan menyebarkan kepercayaannya yang rosak, termasuk syirik, menyebarkan fahaman mazhab-mazhab yang batil tentang sifat Allah, menyebarkan fahaman murjiah, Jabariah, tasawwuf batiniyyah dan syiah rafidhah, mencela para sahabat (Nabi saw) dan menuduh Ummu al-Mukminin ‘Aisyah melakukan maksiat dengan melanggar perintah Allah swt dengan fatwa-fatwa yang ganjil.

Antara pengikutnya ialah Nizar al-Halabi (نزار الحلبي), beberapa orang public figure seperti timbalan parlimen ‘Adnan al-Tarobalasi (عدنان الطرابلسي) dan calon mereka yang lain seperti Toha Naji (طه ناجي) yang menerima suara sokongan kebanyakan dari penganut kristian, kerana janji mereka menghapuskan fahaman Islam fundamental. Akan tetapi dia tidak memperoleh kejayaan. Demikian juga dengan Hasan Qarqira timbalan presiden Jam’iyyah al-Masyari’ al-Islamiyyah, Kamal al-Huth, ‘Imaduddin Haidar, Abdullah al-Barudiy dan individu-individu yang menyeliakan peralatan penyelidikan dan menuskrip seperti al-Muassasah al-Thaqafiyyah lil Khidmaat dan Markaz al-Abhath wa al-Khidmaat. Mereka juga kebelakangan ini telah memulakan mentahkik kitab-kitab turath, dengan tahkikan jahmiyyah. Mereka juga melakukan muslihat dengan menggunakan nama ganjil yang tidak dikenali walaupun dikalangan para penuntut ilmu seperti mereka menulis : “Telah berkata al-Hafidz al-’Abdari di dalam dua dalilnya (قال الحافظ العبدري في دليليه).” Mereka menyembunyikan kepada orang ramai, sehingga orang ramai akan menyangka al-Hafidz yang dimaksudkan ialah dari kalangan ulama yang masyhur seperti al-Hafidz Ibn Hajar ataupun al-Nawawi, sebaliknya al-Hafidz itu ialah syeikh mereka sendiri al-Harari, mereka nakalkan dari kitabnya al-Dalil al-Qawim sebagai contohnya.

Kepercayaan-Kepercayaan mereka

1. Mereka mendakwa mereka bermazhab al-Syafie di dalam fiqh dan i’tikad, akan tetapi hakikatnya mereka jauh dari mazhab al-Syafie.

2. Mereka menganggap ringan berhukum dengan hukuman buatan manusia yang bertentangan dengan hukum Allah. al-Habasyi (Abdullah al-Harari) berkata: “Sesiapa yang tidak berhukum dengan syariat Allah dalam dirinya dan tidak melaksanakan sedikitpun kefardhuan Allah dan tidak menjauhi perkara-perkara haram, sebaliknya dia pernah mengucapkan walau sekali seumur hidup la-i-la-ha-illallah, maka dia seorang muslim dan digelarkan juga sebagai seorang beriman yang berdosa.” (al-Dalil al-Qawim. m.s. 9-10).

Kepercayaan ini adalah kepercayaan firqah Murjiah yang sesat.

3. al-Ahbash memberi galakan kepada orang ramai untuk memohon dari kubur, memohon pertolongan dari kubur dan memohon ditunaikan hajar dari kubur. Ini kerana kumpulan Ahbash mempercayai orang-orang yang telah mati itu akan keluar dari kubur untuk menunaikan hajat orang yang memohon kepada mereka, kemudian mereka (orang-orang yang telah mati itu) akan pulang semula ke kubur mereka. Sama juga mereka mengharuskan memohon perlindungan kepada selain Allah, dan menyeru mengambil berkat dari beberapa batu. (Kitab al-Dalil al-Qawim, 173).

4. Ahbash akan memenangkan mazhab mereka dengan hadith-hadith yang lemah dan palsu, yang menyokong mazhab mereka. Kerana itu mereka menghukum banyak hadith yang sahih sebagai dhaif kerana tidak menyokong mazhab mereka. Perkara ini jelas di dalam kitab mereka al-Maulid al-Nabawi.

5. Abdullah al-Harari al-Habasyi telah mengkafirkan beberapa orang ulama umat Islam. Dia mengkafirkan Ibn Taimiyyah. Dia menjadikan perkara pertama yang wajib ke atas setiap mukallaf ialah beriktikad akan kekafiran Ibn Taimiyyah, dan dia benar-benar memberi peringatan supaya menjauhkan kitab Ibn Taimiyyah. Demikian juga al-Imam al-Zahabiy yang di sisinya (al-Harari) sebagai seorang yang hina. Dia juga menganggap al-Syeikh Muhammad bin Abdul Wahab seorang penjenayah, pembunuh dan seorang kafir. Dia juga mengkafirkan al-Syeikh al-Muhaddith Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h. Mengkafirkan al-Syeikh Sayed Sabiq, dan menganggap syed sabiq sebagai seorang Majusi yang kafir, dia juga mengkafirkan Syed Qutb sepertimana yang disebut oleh al-Harari di dalam kitabnya al-Nahju al-Sawiy fi al-Radd ‘ala Syed Qutb wa Tabi’ihi Faisol Maulawi.

6. al-Harari menyeru kepada tarikat Naqsyabandiyyah dan Rifaiyyah

7. al-Harari juga memiliki beberapa fatwa yang ganjil yang berpendapat harusnya membuat helah dalam agama dan berpendapat melihat, bercampur dan bersalaman dengan perempuan yang ajnabiy itu tidak mengapa, bahkan dia mengatakan wanita boleh keluar rumahnya dengan berwangi-wangian, bertabarruj sekalipun tidak direstui suaminya.

8. al-Harari mengharuskan jualan dan belian budak yang merdeka. Dia juga membolehkan orang ramai meninggalkan bayaran zakat dengan wang kertas dan mendakwa wang kertas tidak ada kaitan dengan zakat yang wajib dengan emas dan perak sahaja. Dia juga mengharuskan memakan riba, mengharuskan solat memakai pakaian yang bernajis. (Bughyah al-Tolib: 99)

9. al-Harari juga telah menimbulkan fitnah di Amerika dan Kanada dengan perubahan kiblat, sehingga mereka memiliki masjid yang khas yang mereka ubah arah kiblatnya 90 darjah, dan menjadikan mereka menghadap kiblat yang berlawanan dengan kiblat umat Islam. Mereka juga berkeyakinan bumi bukannya berbentuk globe seperti yang dimaklumi, sebaliknya bumi berbentuk setengah globe seperti bentuk setengah buah oren. Di Lubnan mereka sembahyang bersama dengan kumpulan-kumpulan khusus, selepas selesai para jamaah menunaikan solat.

Samahah al-Syeikh Abdul Aziz bin Baz telah mengeluarkan fatwa yang berbunyi: “Sesunguhnya kumpulan al-Ahbash merupakan kumpulan sesat, ketua mereka Abdullah al-Habasyi terkenal dengan penyelewengan dan kesesatannya. Maka wajib memboikot dan menginkari aqidahnya yang batil. Dan memberi peringatan kepada masyarakat supaya menjauhinya dan tidak mendengar serta menerima apa yang mereka katakan.” (nukilan daripada al-Mausu’ah al-Muyassarah fi al-Adyan wa al-Mazahib wa al-Ahzab al-Mu’asarah 1/430, dengan sedikit ubai suai)

Dengan ini diketahui bahawasanya kumpulan ini (Ahbash) adalah satu kumpulan sesat yang dicurigai yang ganjil dan wajib berhati-hati daripadanya.

Boleh lihat ulasan ini di laman web rasminya di sini dalam bahasa arab.

Ini Adalah penulisan oleh Dr Asri pada tahun 2008 semasa beliau menjadi Mufti Perlis, beliau juga dituduh kafir

Mufti Perlis S.S. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyebut di dalam akhbar Utusan Malaysia 20/1/08:

“Di Lebanon lahirnya puak yang dinamakan Ahbash. Pengasasnya seorang habsyi yang bernama Abdullah al-Harari. Beliau dikenali juga dengan al-Fattan, maksudnya penyebar fitnah. Beliau mendakwa berpegang kepada akidah asy’ari, bermazhab syafi’i, serta bertarikat. Beliau telah membentuk satu mazhab yang begitu ekstrim sehingga mengkafir dan menghalalkan darah sesiapa yang tidak sama dengan kefahaman-kefahaman yang beliau anjurkan.

Beliau mengkafirkan Ibnu Taimiyyah, Ibn Qayyim, Dr Yusuf al-Qaradawi, Mutawalli Sya’rawi, Dr. Ramadhan al-Buti, Muhammad bin Abdul Wahhab, Syed Qutb dan berbagai lagi. Juga mengkafirkan mijoriti umat Islam khususnya Arab Saudi. Berlaku huru-hara di Lebanon disebabkan sikap suka berbalah mazhab Ahbash ini sehingga mereka dikaitkan dengan pembunuhan bekas Presiden Rafiq Hariri.

Di Australia, tiga puluh enam persatuan Islam membantah sikap ekstrim mereka yang menimbulkan perbalahan di kalangan umat Islam di sana. Asas golongan Ahbash ini adalah berbalah berhubung dengan ayat-ayat sifat Allah dan berbalah sesiapa yang enggan terikat dengan satu mazhab dan berbagai kekarutan yang lain. Para ulama di peringkat antarabangsa telah menyenaraikan mereka ini dalam ajaran sesat. Itulah yang diputuskan oleh Mufti Mesir, Arab Saudi, Australis, Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr. Wahbah al-Zuhaili, Dr Ahmad Shalabi dan lain-lain.

Malangnya, mereka mula bergerak dan menyebarkan fahaman mereka di negara kita melalui bekas-bekas penuntut kita di sana dan buku-buku yang diedarkan. Apa yang ingin saya sebutkan, dalam keghairahan sesetengah pihak di negara kita menentang kebangkitan pemikiran pembaharuan ke arah Islam yang lebih terbuka, rasional dan dinamik, mereka menggunakan puak Ahbash ini untuk berceramah ke sana sini.

Jika di negara arab mereka mengkafirkan Dr. Yusuf al-Qaradawi dan tokoh-tokoh ulama yang lain, di Malaysia anak-anak buah Ahbash ini mengkafirkan insan biasa seperti saya dan sesiapa yang mereka pilih. Fitnah seperti biasa menjadi teras utama mereka. Atas alasan terlalu terbuka dalam menerima keluasan pandangan, lalu saya pun dikafirkan. Saya katakan kepada ustaz-ustaz ini, negara ini adalah negara yang aman. Pendekatan apabila berbalah mengkafirkan orang adalah melampaui batas yang akhirnya akan membawa kepada kekacauan dan keadaan yang menakutkan.”

Video: Kata-kata Dr Wahbah az-Zuhaili Dan Dr Yusof al-Qorodhawi Mengenai Ahbash

Nasihat Dari Dr Wahbah az-Zuhaili Video Pendek (2.10 minit)

Kritikan Dari Dr Yusof al-Qorodhawi

Seringan: Kritkan Dr Wahbah az-Zuhaili Mengenai Tauhid

Pautan Link Yang Boleh Kita Lihat Dengan lebih Mendalam mengenai Ahbash. Antaranya:

1.  Anti Ahbash (Dua Bahasa:Arab Dan English)

2.  Bank Ahbash (Menghimpun fatwa-fatwa dan pembuktian kesesatan ahbash)

3.  al-Syeikh Hamid Bin Abdillah al-Aliy

Akhirnya, saya tidaklah tujukan penulisan ini kepada pengasas dan ahli kumpulan ini, biarlah Allah SWT mengadili perbuatan mereka. Cukuplah memberitahu bagi mereka yang ingin tahu, kerana apa yang saya risaukan adalah budaya ini tersebar dalam kalangan masyarakat, maka pada masa itu semakin sukar untuk kita mencari nilai titik persefahaman. Ya, sangat bahaya, bayangkan apabila semuanya menjadi musuh, maka amat sukar untuk kita berdamai. Cukuplah dengan persengketaan yang ada, tetapi masih lagi ada ruang dan peluang yang boleh dicari titik persefahamannya dengan izin Allah SWT.

Saya hanya mengharapkan keampunan dan keredaan daripada Allah SWT. Sentiasa berdoa agar umat Islam ini bersatu dalam memahami al-Quran dan as-Sunnah dalam kerangka yang sahih.

Sekian,

(Penulis: Muhammad Fathullah Al-Haq, 14/3/2012, Universiti Yarmouk, Irbid, Jordan).

21 March 2012 Posted by | Aqidah, Fatwa, Informasi | , , , , | Leave a comment

Islam menganggap orang orang ini sebagai terjerumus dalam kebatilan dan kesesatan.

Ada beberapa kalimah yang sering bermain di bibir setiap orang, kecil atau besar, tetapi tidak ramai di kalangan kita yang memahami dengan mendalam dan sungguh- sungguh akan pengertian kalimah-kalimah itu.Dan oleh kerana terlampau banyak dipertuturkan maka dengan sendirinya terbentuklah suatu pengertian secara singkat di fikiran setiap orang. Bila seseorang menyebut kalimah tersebut maka pengertian itulah yang dimaksudkan olehnya; dan begitu juga bila seseorang mendengar ianya disebut maka yang segera terlintas di fikirannya ialah pengertian yang sempit itu juga, sedangkan makna dan ertinya yang tepat dan padat masih lagi kabur di kalangan golongan terpelajar, apa lagi di kalangan golongan awam yang jahil.

Umpamanya dua kalimah “ISLAM” dan “MUSLIM”, alangkah larisnya ia diucapkan. Tetapi berapa ramaikah di kalangan kita yang menyebutnya itu yang merasakan dengan sungguh-sungguh pengertian yang terkandung di dalam dua kalimah itu. Berapa ramaikah di kalangan kita yang mendengarnya yang memahami dengan mendalam apa yang tersirat dari maksudnya.Sesungguhnya di kalangan orang muslimin sendiri – belakangkan yang bukan muslimin -99% bahkan lebih ramai lagi yang mendakwa diri mereka muslim dan mengaku agama mereka Islam, tetapi mereka tidak mengetahui apakah dia muslim dan apakah dia Islam yang sebenarnya.Maka hari ini marilah kita mengambil sedikit waktu untuk memahami dua kalimah ini.

Jika anda melihat kepada gelagat manusia di segi i’tikad dan amalan, anda akan dapati mereka kebanyakannya terbahagi kepada tiga golongan.

Pertama: Orang yang dengan terang-terang mengagungkan kebebasan berfikir dan beramal. Setiap perkara dalam hidup mereka hanya berpegang kepada pendapat mereka sendiri dan hanya yakin pada apa yang diputuskan oleh fikiran mereka. Cara bekerja bagi mereka ialah apa yang pada pandangan mereka betul. Mereka tidak mempunyai hubungan langsung dengan mana-mana agama dan tidak mengikutinya.

Kedua: Terdiri dari orang-orang yang zahirnya berpegang pada suatu agama yang tertentu, tetapi pada hakikatnya mereka mematuhi pendapat dan fikiran mereka sendiri. Mereka tidak pernah merujuk kepada agama untuk mengambil pegangan-pegangan  atau peraturan hidup. Kadang-kadang mereka mengambil setengah pegangan mengikut kehendak hawa nafsu, kecenderungan dan keperluan diri dan hidup mereka. Mereka bekerja dengan cara sendiri kemudian cuba menyesuaikan agama mengikut rekaan mereka.Maka mereka pada hakikatnya bukan penganut agama, tetapi agama yang menjadi penganut hawa nafsu mereka.

Ketiga: Terdiri dari golongan yang tidak mempergunakan akal mereka, malah memberhentikannya langsung. Lalu mereka pun merangkaklah di belakang manusia dengan mengikut mereka secara membabi-buta (taqlid buta); sama ada manusia-manusia itu datuk nenek mereka atau orang-orang yang semasa dengan mereka.

Huraian:

Golongan yang pertama, mereka ini tenggelam dalam kebebasan sehingga mereka tidak mengetahui sempadan yang sebenarnya. Memang kebebasan bekerja dan berfikir itu sesuatu yang betul kalau menurut had-hadnya, tetapi bila sudah melampaui batas dia akan menjadi sesat. Seseorang yang hanya bergantung pada pendapat sendiri semata- mata dan menghukum menurut akalnya sahaja dalam semua perkara akan terjerumus dalam salah faham dan kesilapan. Dia merasakan bahawa ilmu dan akalnya telah meliputi semua perkara di dunia ini. Tidak ada suatu hakikat pun dan tidak ada satu kebaikan pun yang terlindung dari pengetahuannya. Dia menyangka bahawa dia mengetahui tanda-tanda di setiap jalan, mengetahui setiap kesudahan suatu perkara sepertimana dia mengetahui permulaannya.Sebenarnya sangkaan seperti ini – bahawa dia mengetahui serta dapat memikirkan semua perkara – pada hakikatnya adalah salah. Kalau seseorang itu mempergunakan akalnya dengan sebenarnya nescaya akal itu akan menunjukkannya bahawa ia – akal – tidak bersifat sepertimana yang disangkakan.Sesungguhnya seseorang yang memilih akalnya sebagai pemandu dan hanya menuruti jalan yang ditunjukkan oleh akal semata tidak akan terselamat dari kegelinciran, perlanggaran, kebinasaan dan kesesatan.

Kebebasan berfikir dan bekerja seperti ini juga merbahaya bagi sesuatu negara/perkumpulan masyarakat. Kerana kebebasan berfikir ertinya seseorang itu tidak akan percaya kecuali apa yang betul menurut fikirannya dan tidak akan menurut suatu jalan kecuali apa yang ditunjukkan oleh akalnya. Sedangkan mengikut kehendak masyarakat pula kebalikan dari itu; iaitu setiap individu yang berada didalam sesuatu masyarakat wajiblah mengikut prinsip-prinsip dan dasar-dasar pokok yang terdapat dalam masyarakat itu. Tindak-tanduknya mestilah bersesuaian dengan adat dan kebudayaan serta undang-undang yang mengatur kehidupan masyarakat.Ini bererti bahawa kebebasan berfikir dan bekerja itu bertentangan dengan kehendak cara hidup bermasyarakat.

Sesungguhnya kebebasan seperti ini sering mencetuskan sifat-sifat keakuan, keegoan dan kekacauan di kalangan individu, sedangkan masyarakat & negara menghendaki mereka supaya patuh, taat dan setia. Oleh itu di mana ada kebebasan yang mutlak maka tidak adalah tamadun negara dan di mana ada tamadun maka tidak dapat tidak mereka terpaksa mengorbankan sedikit daripada kebebasan berfikir dan beramal demi keuntungan yang lebih banyak.

Golongan yang kedua pula lebih buruk keadaannya dari golongan pertama. Golongan pertama hanya sesat sahaja, tetapi golongan kedua pendusta, penipu serta munafik. Sekiranya seseorang itu dapat menyesuaikan antara agamanya, fikirannya dan kecenderungannya dalam batas-batas yang sihat, maka dia boleh mengikuti agama dengan tidak mengurangkan kebebasannya dalam berfikir dan bekerja. Begitu juga seandainya kecenderungan seseorang berlawanan dengan agama, dia rela menerima hukum agama dan menyalahkan kecenderungannya maka betullah dakwaannya bahawa ia mengikuti agama itu.Tetapi sebaliknya jika prinsipnya dan amalannya terang-terang menyalahi ajaran agama, namun dia tetap menganggap bahawa fikirannyalah yang betul sedang ajaran agarna itu salah, kemudian dia cuba pula mengolah ajaran agama supaya sesuai dengan fikirannya dan tabiatnya; maka orang yang serupa ini kita tidak sahaja menggelarnya bodoh kerana orang yang bodoh tidak mungkin melakukan penipuan dan kepesongan yang seperti ini, bahkan kita akan memanggilnya pendusta dan pembohong. Dan kita akan terpaksa menuduh bahawa dia tidak berani menhentam agama dengan terus-terang lalu dia mendakwa beriman dengan secara munafik. Jika tidak maka apakah gerangan yang menghalangnya berpindah terus dari agama yang ajarannya bertentangan dengan akalnya dan berlawanan dengan fikirannya serta menyekatnya dari mengikuti jalan yang disukai oleh hatinya dengan sepenuhnya, malah jalan yang telah dilaluinya dengan sebenarnya.

Dan golongan yang ketiga adalah paling jelek sekali berbanding dengan golongan yang lain di segi kewarasan akal. Adapun kesalahan dua golongan tadi ialah mereka membebankan akal dengan sesuatu yang di luar kemampuannya, tetapi kesalahan golongan ini mereka tidak mempergunakan akal langsung, atau menggunakannya dengan penggunaan yang tidak dapat dibezakan antara ada dengan tidaknya.Manakah keaiban yang lebih besar dari seorang berakal yang berpegang pada suatu akidah yang tertentu tetapi tidak mempunyai sebarang dalil akan kebenaran akidah yang dipegangnya itu kecuali hanya semata-mata ajaran itu dianuti oleh datuk neneknya atau lantaran itulah yang dipegang oleh sesuatu bangsa yang sedang berada di puncak ketinggian di zaman itu.Sesungguhnya orang-orang yang memegang suatu jalan dalam hal-hal yang berhubungan dengan keagamaan atau keduniaan yang diwarisinya dari datuk nenek atau generasi yang terdahulu, ataupun ia memilih jalan lain berdasarkan bahawa jalan itulah yang sedang dikagumi di kalangan bangsa-bangsa yang maju ketika itu, maka orang yang seperti ini seolah-olah telah menonjolkan dirinya bahawa dalam kepalanya tidak ada otak atau dalam otaknya tidak ada kekuatan untuk berfikir. Dia tidak punya potensi untuk membezakan antara yang salah dengan yang betul.Andainya dia secara kebetulan dilahirkan di rumah Yahudi maka dia akan percaya akan kebenaran agama Yahudi. Kalau dia dilahirkan di rumah Islam maka dia percaya akan kebenaran Islam. Atau dilahirkan dalam keluarga Kristian maka dia akan menjadi penganut Kristian.

Begitulah dengan secara kebetulan juga, yang berkuasa di zamannya bangsa kulit putih barat maka dia menganggap setiap tradisi barat itu lambang kemajuan dan neraca kehebatan. Kalau yang berkuasa di zamannya orang Cina nescaya baginya tradisi Cinalah yang menjadi lambang kemajuan. Dan kalau yang berkuasa hari ini orang Negro di Afrika maka tidak syak lagi Negrolah yang menjadi lambang ketamadunan manusia di sisi orang yang berfikiran cetek tadi.

Sebenarnya bukanlah suatu bukti yang boleh diterima bahawa sesuatu itu dikatakan betul atau benar kerana ia telah diamalkan oleh datuk nenek atau generasi yang terdahulu atau kerana ia diamalkan oleh dunia hari ini.Andainya orang-orang bodoh yang dahulu dan sekarang melakukan sesuatu, kita tidak seharusnya mengikuti orang orang itu dengan membuta-tuli. Tidak sepatutnya kita menuruti setiap jejak orang lama atau moden tanpa dikaji dan difikirkan dahulu. Apakah kita mahu menambatkan diri kita di setiap ekor binatang yang ditunggangi orang tanpa mempersoalkan apakah ia berlari ke jalan yang penuh duri atau sedang menuju ke jurang kesesatan? Sesungguhnya kita telah diberi akal supaya kita dapat membezakan antara yang betul dan yang palsu. Sebelum kita mengikuti seseorang hendaklah kita melihat terlebih dahulu: Mahu ke manakah orang ini?

Islam telah menganggap ketiga-tiga jenis orang ini sebagai terjerumus dalam kebatilan dan kesesatan.

Adapun golongan yang pertama mereka tidak memilih orang yang membawa cahaya sebagai pemandu bagi mereka dan di tangan mereka sendiri juga tidak mempunyai cahaya yang sebenar untuk menyuluh jalan hidup mereka. Mereka tidak ubahlah seperti melontar benda yang tidak ada atau meraba di dalam gelap-gelita. Tidak boleh melangkah ke mana-mana atau akan terjerumus ke jurang bahaya kerana mereka hanya mengagak-agak sendiri tanpa suatu kepastian. Mereka menghadapi dua kemungkinan; sama ada salah atau betul, tetapi lebih dekat kepada kesalahan.(Dan orang-orang yang menyeru sekutu-sekutu (sembahan-sembahan) selain Allah,tidak mengikuti suatu keyakinan kecuali prasangka belaka. Dan mereka hanyalah berdusta) Yunus: 66.

(Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka sedang sesungguhnya prasangka itu tidak berguna sedikitpun untuk mencapai kebenaran) An-Najm: 28.

(Mereka tidak lain hanyalah mengikuti sangkaan-sangkaan dan apa yang diingini oleh hawa nafsu mereka. Padahal sesungguhnya telah datang petunjuk kepada mereka dari Tuhan mereka. Atau apakah manusia akan dapat segala yang dicita-citakannya) An- Najm: 23-24.

(Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmunya dan Allah telah mengunci mati pendengarannya dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberi petunjuk sesudah Allah?) Al- Jaatsiyah: 23.

(Dan siapakah yang lebih sesat daripada orang yang mengikuti hawa nafsunya dengan tidak mendapat petunjuk dari Allah sedikitpun. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk orang-orang yang zalim) Al-Qashash: 50.

Pendukung golongan kedua di zaman turunnya Al-Quran ialah Bani Israel yang mendakwa menjadi pengikut Nabi Musa a.s. dan berpegang pada Taurat, tetapi pegangan dan amalan mereka kebanyakannya berlawanan dengan pimpinan Musa a.s. dan ajaran Taurat. Mereka tidak segan-segan dengan penyelewengan mereka itu. Mereka bukan memperbetulkan fikiran dan amalan mereka. Mereka menyembunyikan ajaran Taurat yang asal dan menggantikan di tempatnya fikiran mereka sendiri seolah- olah itulah pengajaran yang diturunkan. Orang-orang yang cuba memberikan kesedaran kepada mereka dari berterusan dalam kesesatan dan maksiat dan mengajak mereka kembali mengikut ajaran Allah yang berlawanan dengan hawa nafsu mereka disambut dengan celaan dan cacian sehingga kadang-kadang ada yang dibunuh.Kepada mereka ini Allah berfirman:

(Mereka suka merobah perkataan Allah dari tempat-tempatnya dan mereka sengaja melupakan sebahagian dari apa yang mereka telah diperingatkan dengannya dan kamu (Muhammad) sentiasa akan melihat kekhianatan dari mereka kecuali sedikit di antara mereka yang tidak berkhianat) Al-Maaidah: 13.

(Hai Ahli Kitab, mengapa kamu mencampur-adukkan yang hak dengan yang batil dan menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahuil) Al Imran:71.

(Setiap datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak diingini oleh hawa nafsu mereka, maka sebahagian dari Rasul-Rasul itu mereka dustakan dan sebahagian yang lain mereka dibunuh) Al-Maaidah: 70.

Kemudian dengan terang-terang Allah berkata kepada mereka:

(Katakanlah: Hai Ahli Kitab, kamu tidak dipandang beragama sedikitpun hingga kamu menegakkan ajaran-ajaran Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu (Al-Quran) Al Maaidah: 68.

Dan tentang golongan yang ketiga pula Allah berfirman :

(Dan apabila dikatakan kepada mereka: “lkutilah apa yang telah diturunkan Allah!” Mereka rnenjawab: “Tidak! Tetapi kami hanya mengikut apa yang telah kami dapati dari perbuatan nenek rnoyang kami!” Apakah mereka akan mengikuti juga walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apa pun dan tidak mendapat petunjuk) Al- Baqarah: 170.

(Apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah mengikut kepada apa yang diturunkan Allah dan kepada Rasul.” Mereka menjawab: “Cukuplah untuk kami apa yang kami dapati bapa-bapa kami mengerjakannya.” Apakah mereka akan mengikuti juga nenek moyang mereka walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula rnendapat petunjuk?) Al-Maaidah: 104.

(Dan jika kamu menuruti kebanyakan orang-orang yang di muka bumi ini nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Mereka tidak lain hanyalah mengikuti prasangka belaka dan mereka tidak lain hanyalah berdusta) Al-An’aam: 116.

Golongan ketiga: Sesungguhnya orang-orang yang tidak menggunakan akal dan fikiran mereka dan tidak tahu membezakan dengan sendiri antara yang betul dan yang salah, malah mengikut sahaja orang lain dengan buta tuli telah dihukum oleh Al-Quran dengan:

(Mereka tuli, bisu dan buta. Mereka tidaklah akan kembali ke ialan yang benar) Al-Baqarah: 18.

Dan diumpamakan mereka seperti binatang, bahkan lebih jelek darinya, kerana binatang tidak mempunyai akal, sedangkan mereka mempunyai akal tetapi tidak mempergunakannya.

(Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah

orang-orang yang lalai) Al-A’raaf: 179.

Ketiga-tiga golongan yang melampau dan keterlaluan ini telah ditolak oleh Al-Ouran dan menggantikannya dengan suatu umat yang sederhana dan stabil, umat pertengahan yang menegakkan keadilan.Apakah jalan pertengahan dan kestabilan ini? Inilah jalannya!

Pertama-tama tembusilah segala benteng kebudayaan lama dan aliran-aliran baru yang terbentang di hadapan anda.Bukalah mata anda dalam pancaran akal yang sejahtera dan waras dan pandanglah dengan sendiri yang mana haq dan yang mana batil. Apakah atheisma yang betul atau ketuhanan? Apakah tauhid yang betul atau syirik? Apakah untuk merentasi jalan lurus manusia berhajat kepada hidayat Allah Taala atau tidak? Apakah para Nabi dan Muhammad a.s. semuanya benar atau dusta – barang dijauhkan Allah ? Apakah jalan yang ditunjukkan oleh Al-Quran itu lurus atau bengkang-bengkok?

Andainya hati anda mengiktiraf bahawa: fitrah manusia memerlukan keimanan kepada Tuhan dan, Tuhan itu ialah Allah yang tiada sekutu bagi-Nya dan,hati kecil anda mengakui bahawa manusia tidak dapat dinafikan lagi berhajat kepada nur dari sisi Allah demi merentasi jalan yang lurus dalam hidupnya dan nur itu ialah apa yang telah dibawakan oleh para Nabi dan Rasul a.s. yang merupakan petunjuk kebenaran untuk manusia sepanjang zaman dan, sesungguhnya kehidupan murni yang dihayati oleh Nabi Muhammad s.a.w. di dunia ini menunjukkan bahawa manusia yang menjalani kehidupan yang penuh dengan kesucian yang maha tinggi itu tidak mungkin sekali-kali menipu alam sejagat – jika ia telah mendakwa bahawasanya ia seorang Rasul dari sisi Allah maka sudah pasti dakwaannya itu benar – dan, jika anda membaca Al-Quran, akal anda memutuskan bahawa jalan yang lurus untuk dijadikan pegangan dan amalan ialah yang dibentangkan oleh kitab ini dan, kitab ini tidak diragukan lagi datangnya dari sisi Allah, maka seharusnya anda jangan takut lagi kepada celaan orang yang mencela atau keengkaran orang yang degil. Sebaliknya bersihkanlah hati anda dari segala ketakutan akan kekurangan atau ketamakan akan keuntungan dan beriman serta yakinlah dengan apa yang telah diakui oleh diri dan hati anda sendiri akan kebenarannya.

Dan apabila anda telah : membezakan antara yang benar dengan yang palsu dengan akal yang waras yang dianugerahkan oleh Allah kepada anda dan, anda telah memilih yang benar dari yang palsu, maka telah selesailah tugas akal anda dalam mengkaji dan mengkritik. Lalu berpindahlah kuasa pemerintahan dari akal manusia kepada Allah dan Rasul. Tidak mungkin lagi bagi anda sesudah itu membuat keputusan dengan sendiri dalam seluruh hidup anda. Sebaliknya anda wajib mematuhi setiap apa yang perintahkan oleh Allah dan Rasul.

Memang anda tidak ditegah dari mempergunakan akal untuk memahami hukum-hukum dan mengkaji hikmah hikmahnya untuk dilaksanakan dalam setiap aspek kehidupan, tetapi anda tidak harus meragui dan mengungkit-ungkit apa yang disuruh oleh Allah, sama ada:

1 anda memahami hikmatnya atau tidak,

2 sama ada ianya secocok dengan ukuran akal anda atau tidak,

3 sama ada diputuskan oleh Allah dan Rasul itu mendatangkan keuntungan untuk dunia anda atau tidak dan,

4 sama ada perintah Rasul itu sesuai dengan adat dan cara hidup yang diminati oleh orang ramai di dunia atau bertentangan dengannya;

MAKA tidak harus lagi bagi anda dalam semua keadaan itu kecuali tunduk dan patuh. Kerana apabila anda beriman kepada Allah, percaya akan Rasul serta yakin bahawasanya setiap apa yang diseru oleh Rasul itu adalah datangnya dari Allah, bukan dari dirinya sendiri (Dan dia tidak berkata menurut kemahuan hawa nafsunya sendiri, perkataan itu tiada lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya.)An Najm: 3-4, maka logiknya dari penyerahan dan keyakinan ini anda mengutamakan apa yang diputuskan oleh Allah dan Rasul dari apa yang diputuskan oleh akal anda dan tidak seharusnya anda mengkritik dan mengomen perintah-perintah dan larangan-larangan yang dibawa oleh Nabi dari sisi Allah dengan mempergunakan keintelekan dan percubaan ujikaji orang lain.

Sesungguhnya orang yang berkata: “Aku orang yang beriman”, kemudian selepas itu ia meragui dan mengungkit-ungkit apa yang didatangkan dari Allah maka ertinya ia telah menolak dakwaannya sendiri dan membatalkan apa yang telah diucapkannya. Ia tidak mengetahui bahawa iman dan ragu adalah dua perkataan yang berlawanan yang tidak mungkin dicantumkan.

Setiap peraturan dan disiplin itu dibina diatas asas taat dan patuh, sedangkan keraguan dan ungkitan tidak mendatangkan sesuatu kecuali kekacauan dan kezaliman.Maka jalan yang sederhana dan stabil inilah yang dinamakan sebagai ‘ISLAM’ dan golongan yang mengikuti jalan inilah yang digelar ‘MUSLIM’.Sesungguhnya Islam bererti tunduk, patuh dan redha. Dan muslim ialah orang yang patuh kepada perintah pemerintah dan larangan pelarang dengan kepatuhan yang penuh redha. Maka penamaan ini dengan sendirinya menunjukkan bahawa tidak dibangkitkan golongan yang keempat ini di dunia berasingan dari tiga golongan di atas serta jalan-jalan mereka yang sesat, kecuali supaya mereka mengikuti perintah Allah dan Rasul dan tunduk kepadanya.

Sesungguhnya: tidak harus bagi golongan ini mengikuti akalnya pada setiap urusan, tidak harus baginya mempermainkan hukum Allah dengan mengambil apa yang sesuai dengan nafsunya dan meninggalkan apa yang tidak sesuai,tidak harus baginya melemparkan Kitab Allah dan Sunnah Rasul ke belakang dan melencong mengikut manusia-manusia dengan buta tuli, sama ada manusia-manusia yang masih hidup atau sudah mati.

Hakikat ini telah disebut oleh Al-Quran dengan jelas. la berkata bahawa apabila datang perintah Allah kepada orang mukmin maka tiada lagi pilihan baginya.

(Dan tidaklah patut bagi lelaki yang mukmin dan tidak pula bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul telah manetapkan suatu ketetapan, maka ada lagi bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barang siapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya rnaka dia telah sesat, sesat yang nyata) Al-Ahzab: 36.

Dan ia berkata bahawa seorang yang mengambil sebahagian dari Kitab Allah dan meninggalkan sebahagian yang lain akan membawa kepada kehinaan di dunia dan akhirat.

(Apakah karnu beriman kepada sebahagian Al-Kitab dan engkar terhadap sebahagian yang lain? Tiadalah balasan orang yang berbuat demikian daripadamu, melainkan kenistaan dalam kehidupan dunia dan pada hari kiamat mereka akan dikembalikan kepada seksa yang sangat berat. Allah tidak lalai dari apa yang kamu perbuat) Al- Baqarah: 85.

Dan Al-Quran berkata lagi bahawa hukuman orang mukmin pada sesuatu kes tertentu wajiblah berpandu kepada Kitab Allah sekalipun sesuai dengan kehendak hawa nafsunya ataupun bertentangan dengannya.

(Putuskanlah perkara mereka rnenurut apa yang Allah turunkan dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu) Al-Maaidah:48.

la berkata juga sesiapa yang tidak menghukum menurut Kitab Allah maka ia adalah fasik.(Barang siapa tidak memutuskan perkara menurut apa yang diturunkan oleh Allah maka rnereka itu adalah orang-orang yang fasik) Al-Maaidah: 47.

Dan setiap hukuman yang berlawanan dengan Kitab Allah maka itu adalah hukuman Jahiliah. (Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki Dan hukum siapakah yang lebih balk daripada hukum Allah bagi orang-orang yang yakinl) Al-Maaidah: 50.

Kemudian Al-Quran berkata:

(Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-Nya dan orang-orang yang memegang kekuasaan di antara kamu. Kemudian jika kamu barlainan pendapat tentang sesuatu maka kembalikan lah ia kepada Allah (Quran) dan Rasul (Sunnah), jika kamu benar-benar beriman kapada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama bagimu dan lebih baik akibatnya. Tidakkah kamu memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Mereka hendak berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintahkan mengengkari thaghut itu. Dan syaitan bermaksud menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kapada mereka: “Marilah kamu tunduk kepada hukum yang Allah telah turunkan dan kepada hukum Rasul,” nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalangi manusia dengan sekuat-kuatnya dari mendekati kamu. Maka bagaimanakah halnya apabila mereka ditimpa sesuatu musibah disebabkan perbuatan tangan mereka sendiri, kemudian meraka datang kepadamu sambil bersumpah: Demi Allah, kami sekali-kali tidak menghendaki selain penyelesaian yang baik dan perdamaian yang sempurna. Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka, kerana itu berpalinglah kamu daripada mereka dan berilah mareka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.

Dan kami tidak mengutus seseorang Rasul melainkan untuk ditaati dangan izin Allah. Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiayai dirinya datang kepadamu lain memohon ampun kepada Allah dan Rasul pun memohonkan ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang. Maka demi Tuhanmu. mereka pada hakikatnya tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap putusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan sepenuhnya.) An Nisaa’: 59-65.

Sesungguhnya telah nyatalah dari ayat-ayat yang jelas ini sudut penamaan Islam dan Muslim. Dan kini wajiblah di atas kita yang nama-nama kita tercatat di dalam senarai Muslimin/muslimah melihat dan berfikir sejauh manakah kalimah muslim ini telah menepati diri kita dan sejauh manakah benarnya cara hidup yang kita ikuti sekarang boleh dinamakan ISLAM !

(Syarah Sayyid Abu al-A’la Al-Maududi dalam Kitab karangannya Apa Ertinya Anda Seorang MUSLIM?)

2 November 2011 Posted by | Aqidah, Ibadah, Tazkirah | | Leave a comment

Keputusan Pengurus Besar Syuriah Nahdatul Ulama Indonesia mengenai Aqidah Darul Arqam

nu.gif
scan0003.jpg scan0004.jpg
Salinan Surat Asal NU

PENGURUS BESAR NAHDLATUL ULAMA Jalan Kramat Raya No. 164 Jakarta 10430

Telp. (021) 323033-3908424 Fax.3908425 KEPUTUSAN PENGURUS BESAR SYURIYAH NAHDLATUL ULAMA TENTANG AQIDAH DARUL ARQAM

Bismillahirrahmanirrahim.

Pengurus Besar Syuriyah Nahdlatul ulama dalam pertemuan tanggal 6 Rabiul Awwal 1415 H atau bertepatan dengan tanggal 12 Agustus 1994, yang diikuti Rois Syuriyah PBNU dan Rois Syuriyah PBNU se-Jawa , untuk membahas tentang aqidah Darul Arqam, setelah: memperhatikan:

1. Seruan Bapak Presiden yang menyatakan agar masyarakat mengembangkan kesejukan dalam beragama dan bersikap arif dalam menghadapi dan menangani masalah agama.

2. Keputusan Silaturahmi Nasional Majelis Ulama Indonesia tanggal 16 Juli 1994 di Pekanbaru , Riau.

3. Penjelasan dari pimpinan Darul Arqam dalam pertemuan dengan Pengurus Besar Syuriyah Nahdlatul Ulama, tanggal 12 Agustus 1994.

4. Pandangan peserta rapat PB Syuriyah Nahdlatul Ulama.berpendapat sebagai berikut:

1. Bahwa aqidah yang dianut Darul Arqam adalah ISLAM yang berhaluan Ahlussunnah wal Jamaah, dalam tauhidnya mengikuti Imam Asy’ari (bukan Abuya, red.) dan Maturidi, dalam fiqh mengikuti mazhab Syafi’i dan dalam tasawuf mengikuti ImamGhazali.Paham tersebut merupakan paham yang dianut oleh sebagian besar umat Islam di Indonesia.

2. Kepercayaan Darul Arqam bahwa Syekh Suhaimi bertemu dengan Rasulullah dalam keadaan jaga tidak dapat dikatakan sesat karena sebagian ulama membenarkan kemungkinan para auliya bisa bertemu dengan para nabi yang sudah wafat. Hal ini, antara lain terdapat dalam kitab Al Hawi karangan Imam Jalaluddin AsSuyuti (sebagaimana terlampir). Dan kepercayaan tersebut juga dianut oleh sebagian umat Islam di Indonesia.

3. Kepercayaan Darul Arqam bahwa Syekh Suhaimi menerima Awrad Muhammadiyah dari Rasulullah juga tidak dianggap sesat karena Awrad Muhammadiyah tersebut tidak mengandung muatan dan ketentuan hukum sehingga tidak dapat dikatakan bertentangan dengan ayat Al-Quran: Alyauma akmaltu lakum dinakum waatmamtu alaikum ni’mati warodlitulakumul Islama dina (al Maidah:3).

Ajaran tersebut juga dianut oleh Imam Ghazali dan beberapa ulama lain, seperti disunatkannya membaca sepuluh bacaan yang dibaca tujuh kali (al-Asyratul Musabba’ah) yang dibaca sesudah shalat subuh sebelum terbit matahari. Awrad tersebut berasal dari Syekh Ibrahim at-Taimi, dan beliau memperoleh dari Nabi Khidir dan Nabi Khidir sendiri memperoleh dari Rasulullah.

Hal ini terdapat dalam kitab Ikhya’ Uluimiddin dan Nihayatuz Zain (sebagaimana terlampir) dan semua kitab tasawuf.

4. Syahadat Darul Arqam tidak bertentangan dengan aqidah Islam sebab syahadat Darul Arqam sama dengan syahadat yang diucapkan umat Islam yang lain. Hanya di dalam wirid Muhammadiyah, sesudah membaca dua kalimah syahadat Darul Arqam menyebut Khulafa’ur Rasyidin dan Al Mahdi dalam rangka zikrussalihin.

5. Mengenai tawasul, istighasah dan barzanji yang diamalkan Darul Arqam hal itu merupakan amalan yang biasa dilakukan oleh sebagian besar umat Islam di Indonesia.

Berdasarkan pendapat tersebut di atas, maka Pengurus Besar Syuriyah Nahdlatul Ulama sepakat mengambil keputusan sebagai berikut:

1. Sampai saat ini Pengurus Besar Nahdlatul Ulama tidak melihat adanya hal -hal yang dianggap sesat dari aqidah Darul Arqam sebagaimana yang diputuskan oleh Majelis Ulama Indonesia Pusat dalam pertemuan silaturrhahmi Nasional di Pekanbaru, Riau, tanggal 16 Juli 1994.

2. Meminta kepada pemerintah agar tidak melakukan pelarangan terhadap Darul Arqam dengan alasan dan pertimbangan aqidah.

3. Menghimbau kepada semua pihak agar mengembangkan sikap terbuka memperkuat ukhuwah Islamiyah, toleran dan berpikiran jernih serta berlaku arif dalam menghadapi dan menangani setiap masalah keagamaan.

Demikian keputusan Pengurus Besar Syuriyah Nahdlatul Ulama berkenaan dengan aqidah Darul Arqam. KH.M. Ilyas Rumiat KH.Ma’ruf Amin Pelaksana Rois Aam Katib

INILAH BACAAN AURAD MUHAMMADIAH

AL FATIHAH 1X

1. Syahadah – [10X]

Ashhaduallah ilaha illallah wa ash hadu anna Muhammadar Rasulullah. Abu Bakri nissiddiq, Umarul faruq, Usmanubarrurahim, Aliyyu Athududdin, Muhammadul Mahdiyyu khulafa’u Rasulullah SAW.

Aku menyaksikan bahawa tiada Tuhan yang sebenar melainkan Allah, dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu pesuruh Allah. Abu Bakar yang sangat kuat membenarkan Islam, Umar yang dapat membezakan antara baik dengan jahat, Utsman yang amat taat kepada Tuhan yang Maha Penyayang, Ali yang menjadi penyokong agama, Muhammad Imamul Mahdi, kesemuanya khalifah2 Rasulullah SAW.

Antara Hikmah : Memperbaharui dua kalimah sayhadah.Menguatkan tauhid kpd Allah SWT dan Rasulullah SAW.

Menerapkan rasa cinta kepada Nabi SAW, 4 sahabat dan Imam Mahdi Al Muntazar. Menanamkan akidah yg bukan Syiah dan bukan termasuk golongan yg menolak kedatangan Imam Mahdi

2. Surah atTaubah 128-129 – [10X]

Laqadjaakum……..Arsyil Aziim

[128] Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.

[129] Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.

Antara Hikmah: Melahirkan rasa kasih kepada Rasulullah, Melahirkan tawakkal kepada Allah

3. Surah Al Anbia 87 – [50X]

Lailahaillaanta…..zalimin

Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau (daripada melakukan aniaya, tolongkanlah daku)! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menzalimi diriku sendiri.

Antara Hikmah : Menajamkan rasa kehinaan dan rasa kehambaan.

4. Al Ikhlas [ 50X]

[1] Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. [2] Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. [3] Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan [4] Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.

Antara Hikmah :Menanam rasa keesaan Tuhan, rasa gerun, rasa harap dan total submission.Menahan lapar. Dunia lebih rendah nilainya dari sebelah sayap nyamuk di sisi Allah SWT.

5. Gabungan Tiga Ayat

Pertama : Surah Al Isra [45]

Dan apabila engkau membaca Al-Quran (wahai Muhammad), Kami jadikan perasaan ingkar dan hasad dengki orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat itu sebagai dinding yang tidak dapat dilihat, yang menyekat mereka daripada memahami bacaanmu

Wa iza qara’ta…….mastura

Kedua : Surah Al Baqarah [171]

….mereka itu ialah orang-orang yang pekak, bisu dan buta. Oleh sebab itu mereka tidak dapat menggunakan akalnya.

Summum bukmum……ya’qilun

Ketiga : Surah Yassin [9]

Wajaalnaminbaini……..la yubsirun

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

–Ayat 1+2+3 = disatukan, dibaca [10X]–

Antara Hikmah -ditakuti jika termasuk dalam tiga golongan ini

6. Salawat Aurad Muhammadiyah [50X]

Allahumma sali ala sayidina Muhammadininabiyyil ummiyi wa’ala aalihi wa sahbihi wassalam. Adada ma alimta wa zinata ma alimta wamil a ma alimta.

[Maksud] Ya Allah kurniakanlah kesejahteraan dan keselamatan kepada penghulu kami Muhammad, Nabi yang tidak perlu membaca dan menulis, dan demikian juga kepada sekalian ahli keluarganya dan sahabat-sahabatnya, seberapa banyak bilangan yang Engkau ketahui dan seberapa berat timbangan yg Engkau ketahui dan sepenuh apa jua yg Engkau ketahui.

Antara Hikmah : Melatih jiwa untuk kasih kepada Rasulullah dan melembutkan hati. Juga supaya kasih kepada sunnahnya.

7. Surah Saba ‘ 10 -11 [10X]

Walaqad……….bima ta’malunabasir

[10] Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Nabi Daud limpah kurnia dari Kami (sambil Kami berfirman): Hai gunung-ganang, ulang-ulangilah mengucap tasbih bersama-sama dengan Nabi Daud dan wahai burung-burung (bertasbihlah bersama-sama dengannya)! Dan juga telah melembutkan besi baginya;

[11] (Serta Kami wahyukan kepadanya): Buatlah baju-baju besi yang luas labuh dan sempurnakanlah jalinannya sekadar yang dikehendaki dan kerjakanlah kamu (wahai Daud dan umatmu) amal-amal yang soleh, sesungguhnya Aku Maha Melihat akan segala yang kamu kerjakan.

Antara Hikmah : Untuk mendidik jiwa supaya malu kpd gunung2 dan burung2 yg berzikir kpd Allah, membuatkan hati mudah berzikir bersama2 berzikirnya alam semesta..supaya hati menjadi lembut seperti juga besi yg keras menjadi lembut dengan kuasa Allah. Segala amal soleh akan dinilai.

Tujuh set ayat ini dibaca selepas sholat fardhu,tidak semestinya di tikar sejadah. Ayat Lima– sebagai tambahan 1.Al Baqarah: 246

[246] Tidakkah engkau ketahui (wahai Muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: Lantiklah seorang raja untuk kami supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah. Nabi mereka menjawab: Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?. Mereka berkata: Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami dan (dari) anak-anak kami? Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim.

2.Ali Imran: 181 [181] Sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang (Yahudi) yang mengatakan: Bahawasanya Allah miskin dan kami ialah orang-orang kaya. Kami (Allah) akan menuliskan perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi dengan tidak ada alasan yang membenarkannya dan Kami akan katakan kepada mereka: Rasalah kamu azab seksa yang sentiasa membakar.

3.An Nisa:77 [77] Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad), akan orang-orang yang (pernah) dikatakan kepada mereka: Tahanlah tangan kamu (daripada bertindak melancarkan perang yang belum diizinkan) dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat. (Mereka meminta juga hendak berperang), kemudian apabila mereka diperintahkan berperang, tiba-tiba sepuak di antara mereka merasa gerun kepada manusia sama seperti mereka merasa gerun kepada (azab) Allah atau lebih gerun lagi. Lalu mereka (merayu kepada Allah dengan) berkata: Wahai Tuhan kami, mengapa Engkau wajibkan kami berperang (pada saat ini)? Mengapa Engkau tidak biarkan kami hingga ke tempoh yang singkat (iaitu akhir hayat kami)? Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap) dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun.

4.Al Maidah:27 [27] Dan bacakanlah (wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). Lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil) dan tidak diterima (korban) dari yang lain (Qabil). Berkata (Qabil): Sesungguhnya aku akan membunuhmu!. (Habil) menjawab: Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang yang bertakwa.

5.ArRad:16 [16] Bertanyalah (wahai Muhammad): Siapakah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan langit dan bumi? Jawablah: “Allah”. Bertanyalah lagi: Kalau demikian, patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya? Bertanyalah lagi: Adakah sama, orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, gelap-gelita dengan terang? Atau adakah makhluk-makhluk yang mereka jadikan sekutu bagi Allah itu telah mencipta sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan itu menjadi kesamaran kepada mereka? Katakanlah: Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa

2 March 2008 Posted by | Fatwa | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: