Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ramai yang memandang remeh isu Wahhabi atau Pseudo-Salafi

(Olih Dr Khalif Muammar)

Ramai yang memandang remeh isu Wahhabi atau Pseudo-Salafi
Ia dianggap sebagai isu khilafiyyah, tiada yang benar dan tiada yang salah. Bagi mereka persatuan umat Islam hanya boleh dicapai dengan memejamkan mata terhadap isu ini dan bersetuju untuk tidak bersetuju. Memperbesarkan masalah ini hanya akan mengeruhkan lagi keadaan akibatnya persatuan tidak akan tercapai. Maka untuk memastikan umat Islam bersatu kita tidak perlu bahas dan persoalkan gerakan ini menyusup masuk ke dalam organisasi-organisasi Islam. Biarkan mereka mencapai agenda mereka untuk mempengaruhi lebih ramai orang Islam dan berkuasa seperti di sesetengah negara Arab.

Andaian ini adalah suatu kesilapan besar. Kita tidak boleh membiarkan api berada di dalam sekam, kerana ia pasti akan membakar. Isu Wahhabi dan Pseudo-Salafi bukan isu picisan, ia isu mengkafirkan dan menyesatkan sesama Islam, isu menolak autoriti yang sah, para ulama’ muktabar, yang telah memandu umat Islam selama lebih seribu tahun, sehingga akhirnya ramai orang Islam dipandu oleh para ulama’ yang melampau dalam i’tiqad dan amalan, berlaku banyak huru hara, gejala takfir, tabdi’ dan tadlil berleluasa. Umat Islam berpecah belah akibat wujudnya kelompok pelampau agama ini di kalangan umat Islam. Apabila berkuasa mereka akan memaksakan fahaman mereka kepada umat Islam, pendekatan yang rigid, anti sains dan anti akal diambil sehingga akhirnya agama Islam dianggap sebagai agama yang jumud dan kolot. Idea bumi datar, haram mengambil gambar, wajib berpurdah, wanita tidak boleh memandu, pemisahan gender yang sangat ketat. Kewujudan mereka di negara ini terbukti telah menjadi faktor pemecahbelah umat Islam apabila mereka mempertikaikan isu-isu khilafiyyah, seperti bacaan qunut, niat ketika Solat, bacaan tahlil dan yasin, bertawassul kepada Nabi, membid’ahkan tasawwuf, dan menyesatkan golongan Asha’irah.

Dengan membid’ahkan Tasawwuf dan menyesatkan Asha’irah mereka sebenarnya telah menyesatkan lebih 90% ulama’ di alam Melayu dari sejak zaman kedatangan Islam pada abad ke-8 Masihi, zaman penyebaran Islam pada abad ke-15 oleh walisongo, sehinggalah ke hari ini. Semua ulama’ yang mengamalkan Tasawwuf dan berpegang dengan Aqidah Asha’irah dan umat Islam yang mengikuti mereka dianggap sesat, musyrik dan kafir. Kewujudan kelompok ini juga menjadi pemicu kepada golongan liberal yang sememangnya berusaha meminggirkan autoriti dan membenci para ulama’. Jelas bahawa dengan wujudnya ancaman ini dan membiarkannya berlaku maka agenda persatuan umat hanya akan akan kekal sebagai mimpi dan tidak pernah serius difikirkan.

10/08/2019 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab), wahabi | Leave a comment

   

%d bloggers like this: