Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Ungkapan Ketika Nazak: Dua Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid?


Fatwa Malaysia

ISU:
Ungkapan Ketika Nazak: Dua Kalimah Syahadah atau Kalimah Tauhid?

PENJELASAN:
Terdapat perbincangan ulama berkenaan apakah ungkapan yang dituntut oleh syarak untuk disebut oleh orang yang sedang nazak, agar ia menjadi ungkapan terakhirnya sebelum menemui Allah Taala. Di sana terdapat dua pandangan yang berbeza di kalangan ulama.
Pendapat Pertama:
Yang dituntut ialah mengucapkan Kalimah Tauhid, iaitu لا إله إلا الله
Pendapat Kedua:
Yang dituntut ialah mengucapkan Dua Kalimah Syahadah, iaitu أشهد أن لا إله إلا الله وأشهد أن محمدا رسول الله

Perselisihan kepada dua pandangan ini wujud dalam semua mazhab fiqah, di mana setiap mazhab mempunyai perbezaan pandangan dalam isu ini.
Kedua-dua pandangan ini adalah berdasarkan kepada dalil-dalil yang sama, cuma pentafsiran yang berbeza tentang maksud nas yang menjadi sandaran.

Dalil-dalil yang menjadi sandaran dalam isu ini ialah:
Pertama:
Hadis berkenaan kelebihan menyebut kalimah tauhid sebagai perkataan terakhir sebelum mati, iaitu Hadis Mu’az Bin Jabal, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang akhir perkataannya ialah ‘La IlahaIllallah’ maka dia akan masuk syurga”. (Riwayat Abu Daud, 3/190, no: 3116; dan Al-Hakim, 1/503, no: 1299).

Kedua:
Hadis berkenaan tuntutan supaya dibacakan kalimah tauhid kepada orang yang sedang nazak, iaitu hadis Abu Sa’idal-Khudri, bahawa Nabi Sallallahu Alahi Wasallam bersabda yang bermaksud: “Bacakan kepada orang-orang yang hampir mati: ‘La IlahaIllallah’ (Riwayat Muslim, 2/631, no: 916).

Oleh sebab kedua-dua pandangan adalah bersandarkan kepada dalil-dalil yang sama, maka yang menjadi perbincangan ialah bentuk pendalilan yang dikemukakan oleh kedua-dua pandangan.

(i)Pendapat Pertama: Kalimah Tauhidلا إله إلا الله

Pendapat ini dinisbahkan kepada majoriti ulama. Imam Nawawi mengatakan, “Pengarang (kitab Al-Muhazzab) dan majoriti berpendapat bahawa diucapkan kepada dia (orang yang hampir mati): ‘La IlahaIllallah’. (Al-Majmuk, 5/115).

1-Zahir hadis menunjukkan bahawa yang dimaksudkan ialah bacaan ‘La Ilaha Illallah’ sahaja, dan bukannya dua kalimah syahadah. Ini boleh dilihat daripada semua riwayat-riwayat daripada hadis tersebut, tidak ada satu riwayat sahih pun yang menyebut dua kalimah syahadah.

Imam Nawawi menguatkan pandangan ini dengan hujah zahirhadis dengan katanya, “Maka hendaklah cukup sahaja dengan ungkapan ‘La IlahaIllallah’ kerana zahir hadis. (Al-Majmuk, 5/115).

2-Illah ungkapan tersebut dituntut untuk diucapkan ialah supaya orang yang mati tersebut memperoleh kelebihan menyebut kalimah tersebut sebelum mati, dan bukannya untuk membawanya masuk ke dalam agama Islam kerana dia sudah pun seorang yang beragama Islam.

Imam Nawawi menjelaskannya dengan mengatakan, “Dalil majoriti ialah orang tersebut adalah seorang yang sudah bertauhid..”.(Al-Majmuk, 5/115).

3-Orang yang menyebut ‘La IlahaIllallah’ sahaja sudah pasti dia meyakini dua kalimah syahadah secara sempurna. Justeru adalah mencukupi bagi seseorang Muslim yang nazak untuk mengucapkan ‘La IlahaIllallah’ sahaja.

Imam Nawawi menjelaskan hujah ini, “…Maka dengan ucapan ‘La IlahaIllallah’ sudah pasti dia mengiktiraf syahadah yang kedua (Muhammad Rasulullah)”. (Al-Majmuk, 5/115).

Al-Mardawi juga mengatakan, “Ikrarnya (pengiktirafannya) terhadap syahadah yang pertama (iaitu La IlahaIllallah) adalah ikrarnya juga terhadap syahadah kedua (Muhammad Rasulullah).” (Al-Furu’, 3/271).

(ii)Pendapat Kedua: Dua Kalimah Syahadah

Sebahagian ulama berpandangan bahawa diajarkannya ungkapan dua kalimah syahadah kerana hujah-hujah berikut:

1-Tujuan diajarkan ungkapan tersebut ialah bagi memastikan seseorang itu mati dalam Islam. Tetapi kalimah ‘La IlahaIllallah’ sahaja tanpa diiringi dengan ‘Muhammad Rasulullah’ tidak membawa seseorang itu menjadi Islam. Justeru, yang perlu diungkapkan oleh orang yang sedang nazak ialah dua kalimah syahadah.

Imam Nawawi menyebut hujah pandangan ini, “Yang dimaksudkan ialah memperingatkannya berkenaan tauhid, dan ia (tauhid) bergantung pada dua kalimah syahadah”. (Al-Majmuk, 5/115).

Ibn Hajaral-Asqalani pula menghujahkan, “Yang dimaksudkan dengan ‘La IlahaIllallah’ dalam hadis ini dan juga hadis-hadis lain ialah dua kalimah syahadah”. (Fathul Bari, 3/110).

2-Tujuan diajarkan ungkapan tersebut juga ialah untuk menghilangkan was-was apabila diganggu oleh syaitan-syaitan yang akan cuba untuk menghasut supaya mati dalam keadaan kufur. Maka ungkapan yang boleh menghilangkan was-was adalah dua kalimah syahadah.

Dalam Hasyiyahal-Saawi, “… supaya dengan ungkapan tersebut dapat dihalau syaitan-syaitan yang hadir di sisinya untuk mengajak supaya menukar agama”. (Hasyiyahal-Saawi, 1/562).

3-Dalam syarak, perkataan ‘La IlahaIllallah’ dianggap sebagai satu perkataan yang menunjukkan kepada dua kalimah syahadah.

Ini disebut oleh Ibnal-Munayyir sebagaimana dinukilkan oleh Ibn Hajar, “Perkataan ‘La IlahaIllallah’ merupakan satu laqab (gelaran) yang diberikan kepada sebutan dua kalimah syahadah, dari sudut syarak”. (Fathul Bari, 3/110).

Justeru, sekalipun dalam hadis menyebut ‘La IlahaIllallah’ sahaja, tetapi maksudnya adalah dua kalimah syahadah, kerana ungkapan ‘Muhammad Rasulullah’ adalah ikutan kepada kalimah tersebut.

Ibn Muflih menjelaskan penghujahan ini, “Sebahagian ulama mengatakan bahawa diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah, kerana syahadah kedua (Muhammad Rasulullah) adalah ikutan (kepada yang pertama)”. (Al-Mubdi’, 2/219).
Kesimpulan

Daripada perbahasan hujah kedua-dua pandangan yang disebut di atas, didapati bahawa ia adalah persoalan khilafiyyah. Oleh sebab kedua-dua pandangan adalah bergantung pada dalil yang sama, maka antara elemen yang boleh menentukan ketepatan sesuatu pendapat adalah dengan melihat kepada illah dan hikmah daripada ungkapan tersebut.

Terdapat dua illah yang dikemukakan. Pertama: Illah di sini ialah untuk memastikan seseorang itu mati dalam keadaan Islam. Maka berdasarkan illah ini maka yang wajar diucapkan ialah dua kalimah syahadah. Kedua: Illah di sini ialah untuk mendapat ganjaran dan kelebihan daripada ungkapan tersebut. Maka yang wajar diucapkan ialah sekadar kalimah ‘La IlahaIllallah’ kerana itulah yang warid dalam hadis.

Justeru, kedua-dua pendapat adalah pendapat yang muktabar. Dan bagi meraikan kedua-duanya dan meraikan illah daripada hadis tersebut, maka ungkapan yang wajar diajar kepada orang yang nazak boleh berbeza-beza melihat kepada keadaan orang tersebut.

Jika sekiranya dia seorang Muslim yang secara zahirnya tidak melakukan perkara-perkara berbentuk syirik, maka yang diajar kepadanya ialah ‘La IlahaIllallah’ supaya dia mendapat kelebihan menyebut kalimah tersebut pada akhir hayatnya, dan perbuatan tersebut adalah lebih hampir kepada zahir tuntutan syarak dalam hadis.

Manakala seorang yang dibimbangkan keimanannya ketika hampir mati kerana mungkin pernah terjebak dalam perkara-perkara syirik, maka hendaklah diajarkan kepadanya dua kalimah syahadah, supaya dapat dipastikan bahawa dia mati dalam keadaan Islam.

Wallahu a’lam.

Advertisements

8 April 2014 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | 1 Comment

Wajib menuntut dan mengamal tiga serangkai Ilmu–Tauhid, Fiqh dan Tasauf serentak

Kita Belajar Ilmu Fiqh untuk mengesahkan amal zahir. Belajar Ilmu Tauhid (Aqidah) supaya hati (ruh) kenal Allah dan tidak sesat jalan hidup.

Kita belajar dan menghayati ilmu tasauf agar dapat mengubati penyakit mazmumah saperti ego,bongkak,takabbur atau riak.Penyakit penyakit ini adalah syirik kecil yang tersembunyi pada diri kita yang boleh membatalkan amal Fiqh dan amal Tauhid.

Ilmu tasauf mendidik hati manusia yang berakhlak "keras/kasar/biadab".Tasauf mengajar jadi "ihsan", sentiasa yakin bahawa "Allah tahu dan melihat apa yang kita buat".Buat hati jadi lembut, perangai juga lembut, tidaklah lagi melihat keburukan orang, mengata orang, memaki hamun orang,mengaibkan orang,dan suka buruk sangka terhadap orang.Tasauf mengajar kita supaya sentiasa bersedia memaafkan kesalahan orang lain.Belajar Fiqh dan Tauhid sahaja tidak cukup untuk mendidik hati.Ilmu Tasauf menjernihkan hati.

Kesimpulannya: Ilmu Aqidah adalah pokoknya, Fiqh adalah batangnya, Tasauf adalah buahnya.

31 October 2012 Posted by | Aqidah, Fiqh, Ibadah, Tazkirah | , , | 1 Comment

Pengertian Aqidah atau Tauhid

Pengenalan

  1. Akidah dari segi bahasa bererti simpulan iman ataupun pegangan yang kuat atau satu keyakinan yang menjadi pegangan yang kuat
  2. Akidah dari sudut istilah ialah kepercayaan yang pasti dan keputusan yang muktamat tidak bercampur dengan syak atau keraguan pada seseorang yang berakidah sama ada akidah yang betul atau sebaliknya
  3. Akidah Islam ialah kepercayaan dan keyakinan terhadap Allah sebagai rabb dan ilah serta beriman dengan nama-namaNya dan segala sifat-sifatNya juga beriman dengan adanya malaikat, kitab-kitab, para Rasul, Hari Akhirat dan beriman dengan taqdir Allah sama ada baik atau buruk termasuk juga segala apa yang dating dari Allah. Seterusnya patuh dan taat pada segala ajaran dan petunjuknya. Oleh itu, akidah Islam ialah keimanan dan keyakinan terhadap Allah dan RasulNya serta apa yang dibawa oleh Rasul dan dilaksanakan dalam kehidupan

Pengertian Akidah

  1. Ilmu yang membicarakan perkara-perkara yang berkaitan keyakinan terhadap Allah swt dan sifat-sifat kesempurnaanNya.
  2. Setiap umat Islam wajib mengetahui, mempelajari dan mendalami ilmu akidah supaya tidak berlaku perkara-perkara yang membawa kepada penyelewengan akidah kepada Allah swt
  3. Akidah sebenar adalah akidah yang berdasarkan pada al-Quran dan As-Sunnah

Ilmu Tauhid    : Ilmu yang menerangkan tentang sifat Allah swt yang wajib diketahui dan dipercayai

Ilmu Usuluddin : Suatu ilmu yang kepercayaan dalam agama Islam, iaitu kepercayaan kepada Allah swt dan pesuruhNya

Ilmu Makrifat    : Suatu ilmu yang membahaskan perkara-perkara yang berhubung dengan cara-cara mengenal Allah swt

Ilmu Kalam         : Sesuatu ilmu yang membahas tentang akidah dengan dalil-dalil aqliah (ilmiah) sebagai perisai terhadap segala tentangan daripada pihak lawan

Ilmu Akidah       : Suatu ilmu yang membahas tentang perkara-perkara yang berhubung dengan keimanan kepada Allah swt

Huraian Rukun Iman

Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim, dari Umar Ibni Al-Khattab r.a bahawa di dalam pertemuan malaikat Jibril dengan Rasulullah saw di dalam sebuah majlis yang dihadiri oleh ramai sahabat-sahabat Rasulullah saw maka Jibril telah mengemukakan pertanyaan kepada Rasulullah saw yang bermaksud:-

“Jibril telah berkata kepada Rasulullah, kamu terang kepadaku mengenai iman maka jawab Rasulullah, iman itu ialah bahawa kami beriman kepada Allah, kepada malaikat, kepada kitab-kitab, kepada rasul-rasul, kepada hari kemudian dan kamu beriman bahawa habuan dan peruntukan bagi kamu sama ada baik atau buruk adalah semua daripada Allah swt, maka Jibril pun berkata kamu telah berkata benar.”

Jadi, dari ayat Al-Quran dan hadith dapatlah disimpulkan bahawa iman itu ialah 6 perkara iaitu:

  1. Percaya kepada Allah
  2. Percaya kepada Malaikat
  3. Percaya kepada Kitab
  4. Percaya kepada Rasul
  5. Percaya kepada Hari Kiamat
  6. Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Percaya Kepada Allah Swt

Erti beriman dengan Allah Ta’ala itu ialah mengetahui, percaya dan beriktikad dengan perkara-perkara yang wajib, perkara-perkara mustahil dan perkara yang harus bagi Allah Ta’ala.

Beriman dengan Allah juga bermaksud:

  1. Membenarkan dengan yakin akan adanya Allah
  2. Membenarkan dengan yakin akan keEsaan Allah, baik dalam perbuatanNya menjadikan alam dan makhluk seluruhnya mahupun dalam menerima ibadat setiap makhluk
  3. Membenarkan dengan yakin bahawa Allah bersifat dengan segala sifat kesempurnaan, suci dari segala kekurangan dan suci juga dari menyerupai segala yang baharu

“Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu (menjadi orang-orang yang ) bertaqwa –

(Surah Al-Baqarah:21)

Ertinya bahawa Allah itu adalah pencipta setiap benda yang ada di ala ini termasuk bumi langit dan planet-planet yang lain, yang dapat dilihat atau tidak, semuanya adalah kepunyaan Allah swt

Percaya kepada Allah ini adalah pokok kepada kepercayaan atau rukun-rukun iman yang lain kerana dengan adanya Allah maka adanya yang lain-lain itu.

  1. Tauhid Rububiyah dan Uluhiyyah Allah swt
  2. Tauhid Rububiyah bermaksud hanya Allah sahaja sebagai Rabb (pencipta, pemilik, pemerintah, memberi rezeki dan seumpamanya). Tidak boleh dijadikan, dianggap atau dirasakan yang lain sebagai rabb atau bersama-sama Allah menjadi Rabb.
  3. Tauhid Uluhiyyah bermaksud orang Islam yang beriman dengan keimanan yang sebenar, dia hanya mengambil Allah sebagai Ilah. Dia tidak meletakkan Allah bersama-sama yang lain sebagai Ilah. Allah sahaja sebagai pujaan dan sembahannya. Maklud Ilah ialah sesuatu yang dipuja dan disembah.
  4. Mempelajari dan memahami ajaran Allah
  5. Maksud beriman kepada Allah juga sepatutnya kita mempelajari dan memahami segala yang datang daripada Allah melalui RasulNya sama ada dalam al-Quran atau al-Sunnah. Maksud beriman kepada Allah bukan sekadar percaya tentang kewujudan Allah tetapi termasuk juga segala apa yang datang daripada Allah swt

Yakin dan Melaksanakan Petunjuk Allah swt
Antara maksud dan tuntutan iman kepada Allah ialah yakin terhadap apa yang datang daripada Allah. Yakin dengan kebenaran, kesempurnaan Islam sebagai satu Din yang shamil dan kamil serta terbaik

Percaya kepada Malaikat

Ertinya ialah bahawa Allah telah menjadikan sejenis makhluk halus yang keadaan asalnya tidak boleh dilihat, bukan lelaki dan bukan perempuan. Hidup mereka sentiasa taat kepada perintah Allah tanpa sesekali menderhakainya. Malaikat dijadikan oleh Allah daripada cahaya. Sabda Rasulullah saw (terjemahanya):

”Malaikat itu dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada api yang tidak berasap & dijadikan nabi Allah Adam sebagaimana yang diterangkan iaitu daripada tanah”–(Hadith riwayat Muslim)

Nama dan Tugas Malaikat

  1. Jibril – Menyampaikan wahyu dan perintah Allah kepada nabi-nabi & rasul-rasulNya untuk disampaikan kepada manusia
  2. Mikail – Mengawal cekerawala termasuk matahari, bulan, bintang-bintang, hujan & panas dan lain mengikut yang dikehendaki oleh Allah
  3. Izrail – Mencabut nyawa seluruh makhluk yang bernyawa apabila sudah sampai waktu yang dikehendaki oleh Allah
  4. Israfil – Meniup sengkekala apabila tiba masanya
  5. Raqib – Mencatit amalan baik yang dilakukan oleh manusia
  6. Atid – Mencatit amalan jahat yang dilakukan oleh manusia
  7. Mungkar – Menyoal manusia di dalam kubur
  8. Nakir – Menyoal manusia di dalam kubur
  9. Ridhwan – Mengawal syurga
  10. Malik – Mengawal neraka

Antara tugas-tugas Malaikat seperti:

  1. Membawa wahyu kepada para Nabi dan Rasul
  2. Bertasbih dan patuh dan sujud pada Allah
  3. Memikut Arsy
  4. Berdoa untuk orang-orang beriman

Peranan Malaikat di Akhirat seperti memberi salam pada ahli syurga, mengazab ahli neraka dan seumpamanya

Hikmat Beriman Kepada Malaikat

  1. Seseorang itu menyedari bahawa dia sentiasa diawasi oleh Malaikat maka dia akan sentiasa menjaga tingkah laku yang berkelakuan baik, menjaga tutur kaya yang walau dimana dia berada
  2. Seseorang akan segera insaf dan tidak mengulangi kesalahan dan kesilapan kerana menyedari setiap tutur kata dan gerak laku yang tidak terlepas daripada catitan Malaikat Raqib & Atid
  3. Seseorang muslim akan sentiasa melakukan apa yang disuruh Allah dan menghindar apa yang dilarang Allah supaya selamat di alam kubur kerana dia mengetahui apabila dia mati, dia akan ditanya dan diseksa oleh Malaikat di dalam kubur

Percaya Kepada Kitab

Orang-orang Islam wajib percaya bahawa Allah swt telah menurunkan beberapa buah kitab kepada rasul-rasulNya. Isi pengajaran kitab-kitab itu adalah mengandungi ajaran-ajaran mengenai amal ibadat untuk akhirat dan juga petunjuk-petunjuk untuk memperbaiki kehidupan manusia di dunia

Kitab-kitab yang wajib diketahui ialah:

  1. Zabur : Nabi Daud (dalam bahasa Qibti)
  2. Taurat : Nabi Musa (dalam bahasa Ibrani)
  3. Injil : Nabi Isa (dalam bahasa Suryani)
  4. Al-Quran : Nabi Muhammad saw (dalam bahasa Arab)

Firman Allah swt yang bermaksud:

”Pada mulanya manusia itu adalah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu tetapi akhirnya mereka telah berselisih faham), maka Allah telah mengutuskan nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga), dan pemberi amaran (kepada yang engkar dengan balasan azab neraka), dan Allah menurunkan bersama nabi-nabi itu kitab-kitab suci yang mempunyai keterangan-keterangan benar untuk menjalankan hukuman di antara manusia mengenai apa yang mereka pertikaikan”

(Surah Al-Baqarah: 213)

Al-Quran merupakan kitab terakhir sekali diturunkan oleh Allah & penutup kepada segala kitab-kitab yang terdahulu

Percaya Kepada Rasul

Seseorang Islam diwajibkan beriman bahawa Allah telah mengutuskan beberapa orang rasul yang dipilihNya daripada jenis manusia yang cukup sempurna. Mereka membimbing manusia kepada kehidupan yang membawa kebahagiaan di dunia dan akhirat

Sifat-sifat yang wajib bagi Rasul:

  1. Siddiq – Benar pada segala percakapan, perkhabaran & perbuatan
  2. Amanah – Jujur dan tidak membuat kesalahan
  3. Tabligh – Menyampaikan semua perintah Allah kepada manusia
  4. Fathonah- Bijaksana
  1. Erti Rasul dari segi bahasa : Utusan yang menyampaikan sesuatu perutusan seseorang kepada orang lain
  2. Erti Rasul dari segi istilah: Lelaki utusan Allah yang menerima wahyu Allah untuk dirinya yang wajib disampaikan kepada umat manusia agar mereka dapat melalui jalan yang lurus dan diredhai Allah
  3. Dari segi keaslian : al-Quran tetap asli tidak ada perubahan dan tidak mampu dipinda oleh manusia manakala kitab-kitab lain berubah dan tidak asli
  4. Al-Quran sesuai untuk semua zaman dan tempat, manakala kitab-kitab lain untuk tempoh-tempoh tertentu sahaja
  5. Bahasa Al-Quran adalah bahasa arab yang hidup pemakainnya sepanjang masa, iaitu sentiasa digunakan oleh ramai dan banyak negara di seluruh dunia

Hikmah Beriman Dengan Kitab-kitab

Menunjukkan bahawa agama yang dating daripada Allah adalah satu sahaja iaitu Islam yang terkandung di dalam kitab-kitab yang datAng daripada Allah mendahului. Para Nabi semasa ke semasa sehinggalah kitab al-Quran

Umat manusia di sepanjang zaman sebenarnya memerlukan agama yang satu iaitu Islam, yang berteraskan akidah tauhid. Ini semua terkandung dalam semua kitab-kitab yang datAng daripada Allah

Perbezaan dari segi syariat perkara penting berkaitan pelaksanaan dalam agama boleh berlaku. Yang ditegah secara tegas ialah perbezaan dari segi akidah atau perkara-perkara usul. Ini terbukti dalam syariat-syariat kitab-kitab dari satu nabi dengan nabi yang lain berbeza, tetapi akidah dan perkara pokok yang lain semuanya sama

Semua para Nabi adalah Islam. Tidak ada percanggahan antara al-Quran dan Taurat sebagaimana juga tidak ada pertentangan dengan Injil dan kitab-kitab lain.

Percaya Kepada Hari Akhirat

Beriman kepada hari Akhirat merupakan masalah yang paling berat dari segala macam akidah dan kepercayaan manusia. Sejak zaman sebelum Islam sampailah sekarang manusia telah memperkatakan masalah ini. Para ahli fakir selalu menempatkan persoalan ini sebagai inti penyelidikan, sebab beriman kepada hari akhirat akan membawa manusia kepada keyakinan adanya satu kehidupan duniawi dan penciptaan manusia. Demikianlah pentingnya masalah ini hingga turunnya ayat-ayat Allah menerangkan kedudukan hari Akhirat.

Lima fasa pola beriman kepada hari Akhirat:

  1. Tahap kehancuran makhluk yang ada di muka bumi. Terjadi gempa bumi, di mana gunung-gunung menjadi debu, air laut mendidih meluap-luap, bintang-bintang berguguran, langit bergulungan, sedang manusia mabuk dan pitam. Kemudian musnahlah segala makhluk sama ada yang bernyawa mahupun tidak, hanya Allah yang tetap kekal
  2. Hari kebangkitan di mana manusia akan dibangkitkan dari kubur dan dikumpulkan dipadang Mahsyar
  3. Diperlihatkan seluruh amal perbuatan di dunia dahulu. Tidak ada yang tersembunyi sama ada yang jahat mahupun yang baik, sekalipun sebesar zarah
  4. Hari menghisab di depan mahkamah keadilan Allah, dimana manusia akan memperolehi keputusan yang paling adil tanpa ada penganiayaan
  5. Hari keputusan di mana manusia akan menerima ganjaran yang setimpal dengan amalannya. Di sini saat yang dijanjikan akan dipenuhi sebagai tujuan penciptaan manusia. Mereka yang banyak amal kebajikan ditempatkan di syurga dan banyak amalan kejahatan akan ditempatkan di neraka

Kepentingan Beriman dengan Hari Akhirat

  1. Memperbaharui kesedaran tentang hakikat adanya alam akhirat yang merupakan tempat manusia menerima balasan dan juga tempat yang kekal abadi untuk semua manusia
  2. Mempertingkatkan keimanan dengan merasai keagongan Allah Rabul-Alamin selaku pemerintah dan penguasa serta tuan punya Alam, pencipta dan pemilikan hari Akhirat dan segala isi kandungannya
  3. Melembutkan hati manusia dengan mengingati mati dan Hari Akhirat
  4. Mengalakkan orang Islam melakukan ma’ruf (kebaikan) dan meninggalkan kejahatan

Beriman Kepada Qada Dan Qadar’

Maksud Takdir

  1. Takdir ataupun ketentuan Allah terhadap makhluknya khususnya manusia dapat dibahagikan kepada dua:
  2. Ketentuan tentang nature yang mengandungi sebab musabab
  3. Takdir atau ketentuan Allah terhadap makhlukNya, khususnya manusia

Sikap Orang Islam Dalam Menerima Takdir Allah

  1. Menerima dan redha terhadap apa yang ditakdirkan oleh Allah, kerana Allah Maha Adir dan tidak mungkin melakukan kezaliman terhadap makhlukNya. Apa yang Allah tentukan kepada manusia di luar dari pilihan manusia adalah kebijaksanaan dan keadilan Allah. Ada sesuatu hikmah di sebalik ketentuan itu. Mungkin apa yang kita rasa baik adalah buruk bagi kita dan demikianlah sebaliknya. Allah Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui
  2. Mestilah bersabar sekiranya Allah takdirkan sesuatu yang buruk yang berlaku ke atas diri kita. Mungkin di sebalik apa yang berlaku itu ada sesuatu yang baik yang Allah akan anugerahkan kepada kita

Peringkat-Peringkat Iman

  1. Iman Taqlid – Iman ikut-ikutan, hanya semata-mata mengikut pendapat orang lain
  2. Iman Ilmu – Beriman semata-mata kerana berilmu dan berdasarkan pada fikiran tidak terletak di hati
  3. Iman A’yan – Iman yang terletak di dalam hati. Iman ini dimiliki oleh orang-orang soleh
  4. Iman Hak – Iman sebenar yang terlepas dari nafsu syaitan. Iman ini dimiliki oleh golongan muqarabbin, iaitu orang yang hampir dengan Allah
  5. Iman Hakikat – Iman peringkat tertinggi yang boleh dicapai oleh manusia. Iman ini hidup semata-mata untuk Allah dan Rasul serta hari Akhirat seperti para sahabat nabi

Iman Bertambah Dan Iman Berkurang

Iman manusia sentiasa bertambah dan berkurang mengikut amalan. Perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk meneguhkan iman:

  1. Melawan hawa nafsu
  2. Mengosongkan hati daripada sifat-sifat tercela
  3. Membiasakan diri dengan sifat-sifat terpuji
  4. Melahirkan keikhlasan berbakti & berkorban semata-mata kerana Allah
  5. Memperbanyakkan amalan-amalan sunat
  6. Bertafakur, iaitu memerhatikan tanda-tanda kebesaran dan kekuasan Allah

Kepentingan Mempelajari Ilmu Akidah

Antara beberapa kepentingan mempelajari ilmu akidah termasuklah:

  1. Supaya terhindar daripad ajaran-ajaran sesat yang akan merosakan akidah seseorang terhadap Allah swt
  2. Meneguhkan keimanan dan keyakinan kepada sifat-sifat kesempurnaanNya
  3. Memantapkan akidah seseorang supaya tidak terikut dan terpengaruh dengan amalan-amalan yang boleh merosakan akidah
  4. Audit dan Timbangan Amalan. Antaranya perkara yang akan dialami oleh manusia di akhirat ialah hisab dan timbangan amalan
  5. Balasan Syurga dan Neraka. Berdasarkan nas-nas al-Quran menunjukkan bahawa orang yang mempunyai amalan baiknya banyak sehingga memberatkan timbangan amalan baik ia akan dimasukan ke dalam syurga, manakala mereka yang sebaliknya akan dimasukan ke dalam neraka
  6. Dapat mengeluarkan hujah-hujah yang boleh mematahkan hujah daripada pihak lawan yang cuba memesongkan akidah seseorang

Kepentingan Akidah Dalam Kehidupan Manusia

  1. Akidah Sebagai Asas
  2. Akidah Sebagai Penentu atau Pendorong

Penyelewengan Dan Kerosakan Akidah

  1. Melalui Percakapan atau ucapan
  2. Melalui Perbuatan
  3. Melalui Iktikad dalam hati

Pembinaan Akidah

  1. Memahami konsep Islam yang sebenarnya dan memahami konsep akidah secara khusus
  2. Membersihkan hati dengan cara meninggalkan dosa dan melakukan perkara-perkara yang disuruh oleh Allah
  3. Sentiasa berjihad melawan nafsu dan syaitan untuk beriltizam dengan Islam
  4. Bersama-sama dengan orang-orang yang soleh atau sentiasa mencari suasana yang baik
  5. Sentiasa berdoa memohon pimpinan Allah
  6. Bertawakal kepada Allah

Kesimpulan

Secara keseluruhannya, konsep akidah amat mudah dipelajari dan difahami secara umum kepada sesiapa sahaja yang ingin mengamalkan akidah secara istiqamah(berterusan). Secara tidak langsung, masyarakat yang mengamalkan konsep akidah yang betul akan melahirkan sebuah negara yang tinggi ilmu, amal dan akhlaknya.

(Sumber: JAKIM)

7 June 2012 Posted by | Aqidah | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: