Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Siapa kah orang yang warak?

Hanya orang yang warak yang selamat dan mampu menegakkan persoalan halal dan menghindari yang haram.Malangnya, istilah warak telah tersasar kefahamannya oleh masyarakat.Dalam masyarakat seorang yang warak digambarkan sebagai seorang yang merendah diri, berjalan tunduk atau sedikit kelihatan naif.Adakah pengertian ini menepati maksud warak menurut istilah agama?

Kalau begitu apa kah erti warak?

Warak ialah sikap berhati hati terhadap sesuatu perkara syubhah kerana takut terjerumus kepada perkara haram.Orang warak sangat mengambil berat soal haram.Seluruh perhatiannya diperuntukkan untuk menghidari daripda melakukan perkara haram.Orang warak juga akan menjaga segenap jalan yang memungkinkan baginya terbuat maksiat.Warak adalah sikap berhati hati yang melahirkan manusia berusaha menghindari segala hal yang tidak bersih, noda dan dosa.Ia melindungi daripada semua yang meragukan dan mencurigakan.

Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “ Tinggalkan apa yang meragukan kepada apa yang menyakinkan”. (Riwayat Muslim).

Baginda berbicarakan tentang wajibnya meninggalkan segala sesuatu yang mendatangkan kesangsian dan ragu, perkara yang mendatangkan kebimbangan, kecemasan dan ketakutan dalam hati.Sebaliknya berpegang kepada sesuatu yang mendatangkan rasa aman dan damai.

Orang warak akan berhati hati terhadap apa yang dilakukanya agar tidak membuat perkara haram.Dia akan berhati hati meneliti tanda yang terdapat pada kandungan makanan.Kakinya akan berhati hati daripada memasuki premis yang meragukan kehalalan nya.Itulah benteng bagi keselamatan manusia yang paling menyeluruh.

Menurut Imam al Ghazali di dalam kitab Ihya’ ‘Ulumiddin pada bab Ilmu Pengetahuan, warak terbahagi kepada 4 peringkat:-

  1. Tidak melakukan perkara yang jelas haramnya.Ini tingkat biasa bagi kebanyakkan orang awam.
  2. Tidak juga melakukan perkara yang meragukan (syubhah).Ini tingkat orang orang soleh.
  3. Tidak juga melakukan perkara yang halal tetapi dikuatiri terbawa kepada haram.ini tingkat orang orang muttaqin.
  4. Berpaling (meninggalkan) selain kepada Allah Taala kerana takut terpakai meskipun sesaat umur kepada yang tidak mendatangkan faedh, sekalipun perkara itu tidak akan membawa kepada yang haram.Ini tingkat orang orang siddiqin.

 

(Oleh: Ustaz Zul Ramli M Razali – Majalah Q & A)

Advertisements

27 May 2012 Posted by | Tazkirah | | 1 Comment

Syaitan watak manusia

KHOMEINI di mata penganut Syiah, Imam 12, maka dia adalah ulama agung yang maksum. Dia dikatakan mendapat wahyu daripada langit dan setiap butir bicaranya adalah kalimah Ilahi.

Lantas dia dikalungkan ‘Ayatullah’ atau Tanda-Tanda Allah pada pangkal namanya. Tetapi dia adalah lidah syaitan pada pandangan Ahli Sunnah. Dia mengkafirkan Abu Bakar, Umar dan Uthman, malah seluruh sahabat baginda yang lain.

Abdullah Al Harari pula di hati pengikut Ahbash ulama mujtahid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Diagungkan sebagai ahli hadis ulung abad ini dan dikatakan diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar. Pengikutnya percaya dia memiliki karamah wali tetapi rupanya dia adalah Syeikul Fitan (Syeikh Fitnah) yang selalu menipu. Universiti Al-Azhar lantas menetapkan dia dan jemaahnya sebagai sesat dan menyesatkan.

Ahbash bukan saja beraqidah Jahmiyah yang sesat, malah mereka mengkafirkan seluruh ulama Ahli Sunnah dan ahli hadis. Jika kita catatkan nama setiap ulama yang dikafirkan mereka akan menjadi berjela-jela justeru cukuplah kita senarai sedikit saja iaitu Imam Humaidi, Imam Ibnu Abi Hatim Ar Razi, Ibnu Khuzamah, Imam Barbahari, Imam As Sobuni, Imam Izz Abdis Salam dan Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah.

Walhal mereka semua ini adalah Imam Muktabar dalam aliran Ahli Sunnah! Taqiyuddin An Nabhani pada pemikiran Hizbut Tahrir adalah seorang ulama pembaharuan Islam. Dialah yang membersihkan akidah Islam daripada pencemaran dan kecelaruan. Dia berjuang hingga detik nafas terakhir bagi membawa ketulenan Islam yang berasal daripada Rasulullah s.a.w. Malah, dialah tokoh Mujahid yang Mujaddid. Taqiyuddin adalah serpihan Ikhwanul Muslimin.

Tetapi pada pandangan Ahli Sunnah, dia adalah golongan menolak Ahli Sunnah. Di sisi lain Hizbut Tahrir adalah Muktazilah kontemporari.

Mereka adalah kelompok rasionalis yang bertuhankan akal dan rasional. Mereka menolak Qadar sebagai Rukun Iman, menolak turunnya Imam Mahdi, keluarnya Dajjal dan adanya azab kubur. Taqiyuddin mengeluarkan fatwa ‘berdosa’ jika beriman dengan azab kubur, keluarnya Dajjal serta hal yang bersumber daripada hadis ahad.

Syaitan yang berjubah Inilah antara sederet manusia sesat yang diulamakan masyarakat tetapi Ahli Sunnah tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai ulama pewaris Nabi. Mereka tidak termasuk dalam sabda Baginda: “Al ulama warasatul anbiya.” Tetapi mereka termasuk dalam hadis yang di bawah ini.

“Pada suatu ketika Rasulullah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah, kemudian menggariskan beberapa garisan di sebelah kanan dan kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ini ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.” (Riwayat Imam Ahmad, An Nasa’i, Ibnu Abi Hatim) Ternyata Rasulullah mengingatkan kepada sahabat sekali gus kepada kita semua bahawa ada jalan palsu yang kononnya membawa kepada syurga yang diseru oleh syaitan. Syaitan itu bukan dalam rupa yang menggerunkan: matanya merah terjojol, gigi taring tertancap di bibir, bau busuk dan hapak. Sesungguhnya syaitan itu persis seperti alim ulama. Mereka itu berjubah, berserban, berbahasa Arab, malah petah berbicara.

Bukankah Ibn Abbas menceritakan watak kaum Haruriyah yang mengkafirkan Ali r.a iaitu muka mereka cengkung kerana seringnya qiamulail, dahi mereka hitam kerana banyaknya sujud, jubah mereka lusuh kerana banyaknya beribadah. Tetapi mereka sesat dan menyesatkan. Mereka seperti ulama tetapi merekalah syaitan dalam watak manusia.

Ulama sesat ini bukanlah turun ke dunia daripada neraka. Mereka adalah manusia yang dibisikkan oleh syaitan untuk mencipta ajaran yang mengelirukan jalan Rasulullah dan sahabat baginda. Juga sebagai isyarat bahawa ajaran yang mereka ciptakan ini akan diwarisi keturunan dan pengikut mereka.

Ada kita melihat seseorang itu persis seperti Ahli Sunnah pada permulaannya. Maka kita didatangi lalu berguru dengannya. Mulanya nama ulama Sunni sering terpacul daripada tingkap bibirnya – ibarat zikir tetapi lama-kelamaan mula menyulam nama tokoh sesat dalam perbicaraan.

Satu persatu disusupkan masuk dalam fatwa. Jadi akhirnya dia berlagu dengan nyanyian ulama sesat. Berjoget sama rancak dengan musuh Ahli Sunnah. Tokoh sesat adalah mantera buat lidahnya. Maka benarlah kata cendekiawan Cina, Kung Fu Tze; “Hilang kabus nampaklah gunung”.

Watak seperti ini banyak terjadi dalam sejarah Islam. Dulu, Snouck Hurgronje didatangi Ahmad Zaini Dahlan, mufti kepada Sharif Husein yang memberontak kepada Turki Uthmaniyah. Dia kononnya memeluk Islam dan menukar nama Syeikh Abdul Ghaffar, namun selepas beberapa bulan belajar, Mufti Ahmad Zaini Dahlan menulis beberapa surat pengiktirafan untuk diserahkan kepada agamawan di Jawa.

Bermudiklah dia ke Kepulauan Jawa dan disambut meriah oleh agamawan di sana. Dalam senyap-senyap maka Syeikh Abdul Ghaffar mula menanam kebudayaan Barat kepada penduduk Jawa. Dia meneliti kehidupan orang Melayu dan kemudian merencana program pengkristianan. Sempat dia menulis sepatah dua mengenai gurunya; “seorang mufti yang cintakan harta!” Watak ini terus berulang-ulang seperti putaran roda. Hari ini, lulusan agama tidak semestinya akan berdakwah Ahli Sunnah kepada masyarakat. Boleh jadi mereka akan mengajak kepada Syiah, kepada Ahbash, kepada Hizbut Tahrir, kepada Ikhwanul Muslimin, malah kepada Islam Liberal yang percaya penganut agama lain akan tetap masuk syurga.

Telitilah tokoh sandaran Bagaimana kita ingin menghindarkan diri daripada syaitan yang berjubah ini? Caranya adalah meneliti setiap tokoh yang dijadikan sandaran oleh ulama tersebut. Seandainya dia sering menyebutkan nama tokoh yang sesat atau meragukan maka ketahuilah bahawa dia adalah sebahagian daripada gerombolan sesat itu. Dia bukan ulama tetapi adalah ahli bidaah yang bertopengkan watak ulama. Kerana pepatah Arab berkata: “Burung sejenis terbang seiringan.” Aqidah dan prinsip Ahli Sunnah adalah meninggalkan ahli bidaah dan tidak merekodkan ucapan mereka. Ibnu Muflih berkata: “Imam Ahmad menerangkan secara nash mengenai larangan daripada melihat buku ahli falsafah dan ahli bidaah, yang mereka itu menyesatkan; daripada membacanya dan melarang daripada merekodkannya.” (Adab As Syar’iyyah 1/125) Ketika mana agamawan itu mula menyebutkan nama Fazlur Rahman, Tariq Ramadhan, Taha Jabir Al Alwani dan Rachid Ghanouchi, maka tinggalkanlah dia. Kerana nama-nama ini adalah tokoh kepada ajaran sesat Islam Liberal. Ajaran yang menganggap semua agama adalah benar di sisi Allah. Ajaran yang mengatakan Islam sudah lapuk dan perlu diubah.

Begitu juga ketika agamawan ini mula memasukkan nama Syed Qutub, Hasan Albanna, Muhammad Al Qhazali dan Dr Yusuf Al Qaradhawi. Bermakna orang ini sedang mengiring kita kepada pemikiran Ikhwanul Muslimun yang liberal, malah tidak kurang berpuluh ulama Sunni yang menyesatkan jemaah berkenaan.

Ikhwanul Muslimin adalah biasan kepada pemikiran Islam Liberal. Hasan Albanna sendiri menetapkan dasar liberal ini: “Dakwah Ikhwanul Muslimin tidaklah ditujukan untuk melawan satu aqidah, agama ataupun golongan, kerana faktor pendorong perasaan jiwa pengembang dakwah jemaah ini adalah berkeyakinan asasi bahawa semua agama sama berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu atheisme”. (Qafilah Al Ikhwan As Siisi 1/211) Natijahnya, adik bongsu kepada Hasan Albanna, Gamal Albanna akhirnya menjadi tokoh ulung dalam Islam Liberal. Gamal hidup bersama Hasan Albanna, malah bersama-sama dengan abangnya dalam Ikhwanul Muslimin.

Tidak cukup setakat itu, cucu beliau sendiri iaitu Tariq Ramadhan menjadi bintang di Universiti Oxford sebagai ulama agung yang berdakwah dalam Islam Liberal.

Di petik dari My Metro 26hb Mei 2012
Penulis:Mohd Radzi Othman – pengkaji perbandingan agama di Sekretariat ILMU

26 May 2012 Posted by | Politik dan Dakwah, Tazkirah | , | Leave a comment

Solat hormat waktu

KEPENTINGAN solat yang perlu dilakukan dalam semua keadaan amat jelas berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:Solatlah dalam keadaan berdiri. Jika tidak mampu dalam keadaan duduk. Jika tidak mampu maka solatlah dalam keadaan mengiring. (riwayat al-Bukhari).

Tetapi ada ketikanya, sama ada akibat darurat atau sebagainya, kita tidak dapat berwuduk atau bertayamun bagi menunaikan solat. Dalam hal ini umat Islam boleh menunaikan solat hormat waktu.

Pada asalnya solat ini bermaksud wujudnya kecacatan syarat yang tidak mencukupi. Antaranya, tidak boleh berwuduk dan tayamum sama ada ketiadaan kedua-duanya atau keuzuran, sedangkan waktu solat masih ada ketika itu.

Menurut jumhur ulama, seseorang wajib solat dan wajib mengulanginya mengikut mazhab Hanafi dan Syafie. Mazhab Hanbali pula menganggap tidak wajib mengulanginya. Sedangkan mazhab Maliki mengikut pendapat yang muktamad, solatnya gugur.

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitabnya, al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menjelaskan hal ini berdasarkan mazhab yang empat:

Mazhab Hanafi

Pendapat yang difatwakan oleh mazhab ini berdasarkan pendapat Abu Yusuf dan Muhammad al-Hasan, iaitu orang yang tidak mempunyai dua alat penyuci wajib melakukan perbuatan yang menyerupai orang bersolat. Dia hendaklah rukuk dan sujud jika terdapat tempat yang kering.

Dia tidak boleh membuat isyarat secara berdiri, tidak boleh membaca dan tidak boleh berniat. Dia hendaklah mengulangi solat jika mendapat air atau tanah.

Bagi orang yang terputus dua tangan dan dua kakinya, jika ada luka di mukanya, maka dia boleh solat tanpa taharah dan tidak perlu tayamum. Mengikut pendapat yang paling asah, dia tidak perlu mengulangi solatnya.

Orang yang terperangkap (dipenjara) apabila solat dengan tayamum hendaklah mengulang solatnya jika dia orang mukim (bukan musafir). Ini kerana dalam kes seperti ini, tiada darurat kerana air mudah diperolehi di tempat sendiri. Ini berlainan dengan musafir di mana pada kebiasaan ketiadaan air, maka dia tidak perlu mengulang solatnya.

Mazhab Maliki

Berdasarkan pendapat yang muktamad dalam mazhab ini, seseorang yang tidak ada air dan tanah atau hilang keupayaan menggunakan kedua-duanya seperti orang yang dipaksa atau yang diikat, maka gugur solat daripadanya sama ada tunai ataupun qada.

Kedudukannya sama seperti perempuan yang haid. Ini kerana air dan tanah menjadi syarat wajib kepada pelaksanaan solat, sedangkan dalam kes ini, syarat itu tiada.

Syarat wajib qada pula bergantung kepada tanggungan melaksanakan secara tunai sedang tanggungan melaksanakan secara tunai itu tidak diperintahkan.

Mazhab Syafie

Menurut ulama Syafie, orang yang tidak mempunyai air dan tanah hendaklah solat yang fardu sahaja. Solat itu hendaklah dilakukan menurut keadaannya, iaitu dengan niat dan membaca sahaja sebagai tanda menghormati waktu.

Dia tidak boleh solat sunat. Tetapi solat yang dilakukan itu hendaklah diulangi apabila air atau tanah sudah boleh didapati.

Kerana keuzuran ini jarang berlaku, oleh itu, hukumnya tidak boleh berkekalan. Lagipun ketidakupayaan bersuci yang menjadi salah satu syarat solat tidak bermakna boleh meninggalkan solat seperti menutup aurat, menghilangkan najis, menghadap kiblat, berdiri dalam solat dan membaca.

Orang yang bernajis di badannya di mana dia tidak berupaya membasuh kerana takut sakit dan juga orang yang tertahan sehingga tidak dapat mengerjakan solat adalah sama hukumnya dengan orang yang tidak mempunyai air dan tanah. Mereka hanya perlu solat fardu sahaja. Namun, orang yang berjunub hanya perlu membaca al-fatihah sahaja.

Pendapat paling kuat menurut ulama Syafie adalah solat dilakukan seperti biasa dan hendaklah diulang jika air sudah boleh didapati kerana tiada nas yang jelas menyatakan hukum solat orang seperti ini.

Mazhab Hanbali

Orang yang tidak mempunyai air dan debu tanah hendaklah solat fardu sahaja. Solat itu wajib dilakukan mengikut keadaan.

Kelemahan tentang syarat tidaklah menjadi alasan untuk ditinggalkan apa yang disyaratkan. Kedudukannya sama seperti seorang yang tidak berupaya menutup aurat dan tidak mampu menghadap kiblat. Ertinya, pendapat mereka samalah seperti pendapat ulama Syafie. Mereka berpendapat bahawa solat itu tidak perlu diulang.

Seseorang yang solat dalam keadaan tidak mempunyai air dan debu tanah tidak boleh menambah lebih daripada bacaan atau perbuatan yang mengesahkan solat sahaja.

Dia hendaklah membaca al-Fatihah sahaja, bertasbih sekali sahaja, memendekkan tama’ninah, rukuk, sujud, duduk antara dua sujud, tasyahud awal dan akhir setakat yang menjadi syarat sahaja. Kemudian terus memberi salam.

 

(Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI Di petik dari Utusan Online)

25 May 2012 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Tazkirah | | Leave a comment

Jangan mudah terpengaruh dengan kehebatan luaran semata mata.

Assalamualaikum. Telah berkata salah seorang ulamak Ahli Sunnah Wal Jamaah:

الإنْسانُ يُمدَحُ او يُذُم على حسبِ شريعةِ الله بميزانِ شَريعَةِ الله يُمْدَحُ إنْ وافقَ ميزانَ الشريعةِ ويُذًمُ على حسبِ ميزانِ الشريعة

Mafhumnya: “MANUSIA DIPUJI DAN DICELA MENGIKUT SYARIAT ALLAH, JIKA DIA SELARI DENGAN TIMBANGAN SYARIAT MAKA DIA DIPUJI, DAN DICELA DENGAN TIMBANGAN SYARIAT(Jika dia bercanggah dengan syariat)”.

Jangan mudah kita memuji seseorang hanya kerana zahir dan luarannya semata-mata.

Terdapat sebahagian manusia sentiasa dipuji dan dipuja, dikatakan alim dan mahir dalam ilmu agama akan tetapi pada hakikatnya mereka tidak sehebat mana,

dikatakan seorang yang hebat beribadah, akan tetapi pada hakikatnya biasa-biasa sahaja,

dikatakan wali yang tinggi kedudukannya, akan tetapi pada hakikatnya amat jauh sekali,

dikatakan ikut sunnah padahal pada hakikatnya tak ikut apa-apa  langsung bahkan banyak melakukan benda-benda yang bercanggah dengan sunnah,

dikatakan banyak berguru, akan tetapi pada hakikatnya hanya berguru dengan buku, cd, komputer dan internet sahaja,

dikatakan banyak sanad-sanad dan ijazah-ijazah dalam ilmu agama padahal pada hakikatnya satu kitab agama pun dia tidak memahaminya,

dikatakan hebat dan mantap dalam dunia tarikat, akan tetapi ilmu fadrhu ain pun tidak memahaminya,

dikatakan pengikut ahli hadis padahal pada hakikatnya menyelewengkan makna hadis,

dikatakan berpegang dengan akidah Ahli sunnah padahal banyak  pegangannya bercanggah dgn Islam.

Itulah ia kehidupan di atas muka bumi ini, macam-macam jenis manusia. Ada yang menitikberatkan dengan kemasyhuran dan kemewahan dengan menggunakan nama ilmu agama, dalam satu masa mengambil kemewahan dunia dari keuntungan orang lain.

Jangan mudah terpengaruh dengan luaran semata-mata

 

 

 

(Oleh Ustaz Ahmad Faidzurrahim : http://ustaz-faidzurrahim.blogspot.com/)

22 May 2012 Posted by | Renungan & Teladan, Tazkirah | Leave a comment

Mufti Perak tegur kegilaan Parti PAS.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Haji Zakaria Khamis melondeh serta membongkar cerita lama mengenai kegilaan PAS sehingga menyebabkan masyarakat Islam khusus orang-orang Melayu berada dalam keadaan berpecah belah.Selain dari itu beliau memberikan nasihat kepada para pemimpin parti itu supaya berhenti dari mengeluarkan “fatwa” yang songsang sesuka hati kerana ia mengelirukan umat lslam.Bahkan mufti itu juga menggunakan perkataan “tekong” perpecahan merujuk kepada perbuatan PAS yang memecahbelahkan perpaduan umat lslam di negara ini.

Serentak itu sambil menjawab tuduhan Menteri Besar Kelantan mengenai dirinya campurtangan dalam politik, Harussani selain menafikan tuduhan PAS itu bahawa beliau mencampuri urusan politik berkata:“Tuduhan tok guru Nik Aziz bahawa saya campur politik . . .ia tidak betul, saya selama ini tidak mencampuri mana-mana parti poliltik”.“Bahkan saya tidak pernahpun mendaftar diri sebagai ahli dalam mana-mana parti politik”.

Harussani memberitahu sejarah penglibatan keluarganya dalam politik serta bagaimana tindakan PAS memulau abang iparnya kerana fahaman politik kepartian.“Bahkan dari awal sejarahnya bapa saya semua ahli UMNO. Tapi apabila tertubuh PAS dan PAS kemudian keluar daripada UMNO, semua masuk Pas.. tapi PAS waktu itu lebih bertujuan kepada dakwah.

Walaubagaimanapun Harussani menjelaskan ““ akhir-akhir ini kita melihat perkara itu tidak berlaku lagi bahkan saya melihat PAS sudah menuju seolah –olah menjadi `tekong’ kepada perpecahan umat Islam dan orang Melayu.

“Banyak contoh boleh diberi seperti umpamanya pada akhir tahun 1970 an berlaku di Kedah. Orang- orang Islam iaitu orang UMNO menyembelih ayam sepikul lebih (terpaksa) dibuang ke dalam sungai kononnya haram (tidak halal) dimakan.

“Jadi saya katakan sedangkan Yahudi nasarah dibenarkan Tuhan halal sembelihannya bagaimana orang Islam yang sembahyang lima kali sehari, jadi imam pula tidak boleh sembelih. . . haram.

“Yang kedua yang paling menyayat hati saya ialah abang ipar saya seorang ahli PAS dan dia seorang peniaga kedai runcit di tempatnya tu di Kedah jugak..yang datang membeli banyak orang PAS dan orang UMNO pun ada.“Kebetulan satu ketika seorang ketua UMNO di kampong itu meninggal dunia,.jadi abang ipar saya datang menziarah dan kerana itu saja dia dipecat daripada parti dan dipecat dari ahli khairat kematian,” katanya.Kerana insiden tadi Harssani menjelaskan abang iparnya diboikot sehingga tutup kedai dan kembali memotong getah semula “..sampai begitu mereka buat dia..jadi dia datang jumpa saya . . .tapi saya kata sabarlah orang begini tak boleh buat apa.

“Banyak lagi yang saya bangkitkan umpamanya akhir-akhir ini kita lihat ceramah-ceramah yang dibuat oleh pemimpin PAS merupakan kutukan, cacian, laknat sedangkan itu adalah larangan Allah . . . jadi itu bukan dakwah lagi.“Kalau sudah seorang ustaz, berceramah mengutuk, memaki hamun dan sebagai nya maka orang menganggap itu halal mengikut masa itu..kutukan umpamanya kita lihat saja apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengatakan bahwa (demonstrasi) Bersih 3.0 itu haram kerana telah bertukar corak kepada keganasan sebagainya.“Dia orang kata apa…mufti-mufti tidak lebih daripada anjing, jadi bolehkah kita mengelar orang anjing? Ini satu perkara yang sangat bertentangan samasekali dengan hukum syarak. “

“Jadi kalau itu yang dibawa sekarang maka dia bukan lagi membawa kepada Islam..dia membawa kepada syaitan..parti syaitanlah kalau memaki hamun dan sebagainya. Parti syaitanlah kerana syaitan itu nak membawa kepada perpecahan” ujarnya.

Mufti Perak berkata “bila kita lihat berlaku di Terengganu dan beberapa tempat (sembahyang) dua imam…kita di masjid hanya satu imam, satu kariah itu satu imam. Kita sembahyang . … sepatutnya kenapa kita berpecah dan ini dihalalkan oleh pihak pemimpin PAS.”

“Dan ini saya merasa pelik keadaan-keadaan seperti ini sehingga berpecah . . . dalam sekampung berpecah, kenduri pun berpecah jadi ini buruk sungguh keadaan Islam.”Bukan buruk daripada orang itu saja bahkan kita melihat seolah-olah syariat Islam itu terlalu buruk..jadi itu yang dinilai orang-orang kafir sekarang.

‘Kerana itu Islam tidak pernah mendapat tempat pada orang kafir di Malaysia kerana melihat keadaan orang Melayu yang beragama Islam . . . sudahlah hidupnya susah dalam negeri yang kaya ..asyik berpolitik di kedai-kedai kopi dan sebagainya langsung tak buat kerja . . . berkelahi sesama sendiri.

Katanya “Inilah yang menjadikan masyarakat kita makin mundur dan sebagainya.

“Akhir-akhir ini pula banyak fatwa dikeluarkan iaitu menyamakan tunjuk perasaan Bersih 3.0 itu disamakan dengan saf jemaah bersembahyang..kita sembahyang beribadat bukan tunjuk perasaan kepada Tuhan…kita mengadap bersyukur kepada Allah swt.. Dia (Allah) suruh kita bersatu, bahkan dalam bersembahyang kita diwajibkan berjemaah . . .” “Bermakna kita bersatu tapi kita di sini sekarang diwajibkan berpecah . . ..itu satu perkara yang bertentangan.

“Kemudian ada pula yang menyamakan dengan mengatakan Omar Ibnu Khattab pernah menunjuk perasaan . . . sebenarnya Omar tidak menunjuk perasaan tapi dia memulakan dakwah secara terang terangan.“Ini kerana Saidina Omar apabila memeluk Islam dia bertanya apakah ini agama yang benar dari Allah . . ..Rasullulah menjawab ia… kenapa kita duduk bersembunyi.,.dia terus bertakbir dan hentam orang jahiliah.

“Begitu juga isteri-isteri Nabi tidak pernah menunjuk perasaan kepada Nabi kerana tidak cukup makan .. Cuma itulah bila kita tunjuk perasaan ini satu penghinaan kepada sahabat-sahabat Rasullullah .. .”
“Ini bukan perbuatan orang-orang ahli sunnah tapi perbuatan syiah..dan terakhir ini kita ada mendengar fatwa kata mengundi parti itu masuk syurga, tak mengundi masuk neraka.. apakah neraka syurga ini boleh ditentukan oleh manusia atau ditentukan oleh Allah swt.

“Jadi hal-hal sebegini sedang berlaku sehingga menimbulkan kegelisahan dalam masyarakat, jadi kerana itu sebagai seorang mufti bukan kerana politik saya memberi nasihat dan memberitahu bahawa tunjuk perasaan dengan niat untuk mengguling kerajaan itu satu perkara salah.

“Kerana kerajaan yang sah sekarang diketuai oleh seorang Islam iaitu Yang diPertuan Agong, Raja-raja dan dipimpin sekalipun . . . haram kita memberontak.

“Tapi sekarang ini orang dah pakai demokrasi, bila pakai demokrasi, kita ada jalan untuk menurunkan kerajaan dengan mengundi tapi bukan dengan cara tunjuk perasaan, dengan menimbulkan kekacauan . . .”

Harussani menjelaskan lagi“Saya tidak mengatakan siapa yang benar siapa yang salah tapi apa yang kita lihat perkara yang dilakukan itu bertentangan dengan hukum syarak. Pertama, dataran itu (Dataran Merdeka) dimiliki oleh DBKL .. . DBKL tidak membenarkan membuat tunjuk perasaan di situ maka tidak boleh pergi.”

“Kerana Allah menyebut dalam Quran kita tidak boleh masuk ke dalam rumah melainkan kita minta kebenaran. Jadi kita kiaskan itu hak milik bukan di rumah saja, kalau kampong orang orang tak bagi masuk, tak boleh masuk .

Katanya lagi “Kedua kita tidak boleh merosakkan harta benda tapi kita lihat terang terang (mereka) merosakkan harta benda, memukul orang sehinggakan kereta polis pun dirosakkan, anggota polis dipukul dan seorang wartawan hampir mati kerana mempertahankan anggota polis itu.

“Ini kita pelajari dari tunjuk perasaaan pertama (Bersih 1.0) kedua (Bersih 2.0) dan ketiga (Bersih 3.0), jadi ini dah tak betul, jadi kerana itu saya kata ajarannya banyak menyeleweng daripada ajaran Islam yang berasaskan kepada empat asas.“Iaitu Islam berasal daripada silmun maknanya kedamaian, yang kedua salamun berasal daripada pokok perkataan salam.
“Salam maknanya kesejahteraan, yang ketiga sulamun maknanya kita menuju ke peradaban yang tinggi.. .manusia ini meningkat darjahnya, perwatakannya dan yang keempat kita menyerah bulat-bulat kepada Allah..

Dengan nada kesal Harussani berkata “Tapi ini Islam dikaitkan dengan semua itu tadi ..jadi ini yang saya merasa cukup terpanggil dan terkilan untuk membuat kenyataan walaupun saya tidak hadir dalam ,majlis fatwa yang lalu kerana saya dalam keuzuran tapi saya rasa terpanggil untuk menjawab dalam surat khabar apabila dikatakan ahli majlis fatwa kebangsaan ini tidak lebih daripada anjing.. .bolehkah kita mensifatkan ulama sebagai anjing?.

Katanya “Ini satu perkara yang cukup berat dan saya lihat kalau itu tidak disetujui oleh ketua-ketua PAS tapi tidak ada langsung pun teguran daripada mereka . . . . sepatutnya mereka menegur orang dibawah supaya tidak bersikap demikian.

“Tapi seolah-olah mereka menyokong. Saya rasa terpanggil untuk menyatakan yang hak dan saya bukannya daripada parti manapun .

“Tapi apabila diselewengkan maka saya wajib menegur beliau . . . jadi Nik Aziz ini memang patut ditegur kerana terlalu banyak. . . . Nik Aziz pernah mengelar mufti-mufti (sebagai) terompah kayu dan macam macam lagi dan ini dia memburukkan nama sahabat nabi dengan mengatakan para sahabat tunjuk perasaan kepada Tuhan.

“Kemudian ibadat disamakan dengan tunjuk perasaan ini semuanya salah jadi kita jangan telan bulat-bulat perkara yang salah..walaupun dia seorang ulama, mungkin dia terlajak maka itu saya memberi peringatan supaya jangan . . . . saya tak ada musuh dengan sesiapa ..selama inipun doa saya tak pernah tinggal tiap-tiap lima kali sembahyang minta Allah ampuni seluruh umat Islam.

Menjawab satu soalan bahawa PAS sudah terikut-ikut dengan DAP sehingga dilihat sanggup menggadai prinsip,Harussani berkata:
“Peringkat awal dulu kenapa PAS keluar daripada Perikatan? Masa itu kenapa bila ditubuh Perikatan, PAS keluar kerana tidak mahu sekongkol dengan orang kafir masa itu, keluarlah fatwa bersekongkol dengan orang kafir jadi kafir..tapi hari ini orang yang terang terang menentang Islam, yang katakan langkah mayat (dia) kalau nak laksana hukum Islam.

“Yang kedua kita melihat Ambiga (Datuk) sebagai ketua dalam majlis peguam dulu telah merangka beberapa undang undang untuk menjatuhkan Islam dengan hendak menubuhkan IFC dan (perkara) ini mufti tentang waktu itu.

Beliau hairan kerana “orang ini pula yang kita sokong, kemudian kita dengar akhir-akhir ini, PAS melantik orang bukan islam . . .apakah kita akan mengharap orang bukan Islam untuk membela dan bangun untuk menegakkan islam?

“Quran banyak sekali meletakkan ayat-ayat supaya kita jangan melantik ketua kita orang bukan islam.

Nasihatnya kepada puak-puak ini dan umat lslam seluruhnya ”. . . kita (perlu) berhati-hatilah dalam masalah agama ini, kita lihat betul- betul, jangan kita hanya taksub kepada orang atau parti sehingga kita sanggup melakukan perbuatan-perbuatan yang salah dan melanggar hukum Allah. “

Harussani mengakhiri interbiu itu dengan berkata “Inilah peringatan saya sebagai orang tua yang masih diberi Tuhan kuasa bercakap, kalau tak mahu dengar itu terpulang . . .Kita hanya menyampaikan”, katanya.

 

 

Nota kaki:

Menteri Besar Kelantan itu dalam respon nya ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.

 

18 May 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

ANTARA 2 ABDUL AZIZ, PAS DAN DAP

 

KELMARIN, dua pemimpin pembangkang membuat dua kenyataan yang berbeza. Kedua-duanya melibatkan individu bernama ‘Abdul Aziz’.

Kenyataan pertama dibuat oleh Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang membuat keputusan meninggalkan parti itu selepas dikecam hebat oleh kepimpinan DAP yang salah seorang pemimpinnya ingin mencontohi kepimpinan Khalifah Umar Abdul Aziz.

Segalanya bermula apabila Tunku Abdul Aziz enggan menyokong perhimpunan haram Bersih yang dianggap melanggar undang-undang negara serta hanya mencetuskan huru-hara. Akibat ketegasannya Tunku Abdul Aziz tidak disambung tempoh perkhidmatan sebagai Senator oleh DAP.

Ketika Tunku Abdul Aziz tegas dengan pendiriannya dan sanggup kehilangan kedudukan demi menegakkan kebenaran, kita juga dihidangkan dengan kenyataan keras oleh seorang lagi bernama Abdul Aziz iaitu Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Menteri Besar Kelantan itu ternyata tidak berpuas hati dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa Pas sudah menyeleweng dan menyalahgunakan agama Islam. Justeru Nik Abdul Aziz menyifatkan ia satu pandangan lapuk seorang mufti.

Sebelum ini, dalam isu Bersih, Nik Abdul Aziz ternyata meletakkan kepentingan politik bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mengatasi segala-galanya apabila Mursyidul Am Pas itu menyifatkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia hanya menggunakan sebelah mata apabila mengaitkan perhimpunan Bersih 3.0 dengan huru-hara dan umat Islam haram menyertainya.

Malahan dalam kenyataan melalui Facebook, Nik Abdul Aziz secara sinis berkata, mata yang digunakan oleh jawatankuasa fatwa itu pula adalah kabur dengan cermin mata yang telah rosak.

Menurut Nik Abdul Aziz, beliau bersetuju perhimpunan yang bertujuan mencetuskan huru-hara dan merosakkan harta benda adalah haram, tetapi bukan Bersih 3.0. Beliau turut menyifatkan jawatankuasa itu membuat keputusan hanya berdasarkan laporan akhbar prokerajaan, tanpa mendapat penjelasan daripada penganjur Bersih 3.0.

Namun cuba kita kaji apa kata Tunku Abdul Aziz mengenai Bersih pada 26 April lalu sehingga memungkinkan beliau tidak disenangi oleh kepimpinan DAP. Menurut Tunku Abdul Aziz, beliau membantah perhimpunan itu kerana berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

”Walaupun saya daripada pembangkang, bukan semua pembangkang sokong Bersih. Saya tak akan sokong Bersih. Saya dah biasa tengok, bukan sahaja di negara kita tetapi saya biasa bekerja duduk di banyak negara. Semua demonstrasi kononnya mula dengan secara orang kata aman tetapi kebanyakan di mana-mana pun kita tengok terjadi sebaliknya," kata beliau ketika itu.

Mungkin Tunku Abdul Aziz membuat bantahan tersebut kerana melihat apa yang berlaku dalam perhimpunan Bersih 2.0 tahun lalu yang kesudahannya berakhir dengan kekecohan. Dan pada tahun ini penganjur sengaja mencari fasal apabila tetap ingin mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka biar pun ia sudah ada perintah mahkamah melarang mereka berbuat demikian.

Ternyata telahan Tunku Abdul Aziz menjadi kenyataan apabila perhimpunan Bersih 3.0 turut berakhir dengan kekecohan dan lebih teruk lagi ada keberanian luar biasa di kalangan penunjuk perasaan untuk merempuh sekatan polis.

Tetapi Pas termasuk Nik Abdul Aziz sengaja tidak mahu mengakui fakta ini, sebaliknya parti berkenaan bersekongkol dengan Majlis Peguam menyalahkan pihak berkuasa. Lidah rasmi Pas menunjukkan gambar kononnya polis bertindak ganas tetapi mereka tidak pula memaparkan bagaimana Unit Amal parti itu merempuh sekatan polis yang dikatakan menjadi salah satu penyebab utama perhimpunan tempoh hari menjadi ganas.

Tindakan Tunku Abdul Aziz meletakkan jawatan, sekali lagi memberi pengajaran kepada pemimpin-pemimpin Pas supaya sentiasa berpegang kepada prinsip dan konsisten dalam apa juga yang dilakukan.

Tunku Abdul Aziz boleh sahaja menyokong Bersih kalau beliau mahu tempoh senatornya disambung tetapi beliau tidak berbuat demikian kerana ini menyentuh soal prinsip. Tunku Abdul Aziz tidak mahu menjadi seperti pemimpin-pemimpin Pas yang sanggup menolak kebenaran semata-mata kerana perjuangan politik.

Mungkin hujah ini tidak disenangi oleh Pas dan Nik Abdul Aziz tetapi inilah kenyataannya. Walaupun banyak pihak sudah melihat bahawa perhimpunan Bersih tidak akan mendatangkan sebarang faedah apatah lagi dengan sikap kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersedia berunding bagi menyelesaikan masalah namun ia tidak dipedulikan oleh Pas dan sekutunya.

Oleh itu, mereka mahu mana-mana juga pihak termasuklah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan menyokong perhimpunan berkenaan, kalau membuat kenyataan berbeza dengan apa yang mereka perjuangkan maka pihak-pihak berkenaan akan dituduh pak turut kerajaan.

Sebab itulah, apabila Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan membuat keputusan mengatakan perhimpunan Bersih haram, maka melompatlah kepimpinan Pas. Pelbagai dalil dan hujah dikeluarkan oleh mereka bagi mempertahankan Bersih dan ada antaranya memperlekehkan keputusan majlis tersebut.

Sebagai contoh, seorang pelajar Malaysia di Jordan dalam satu tulisan yang disiarkan oleh blog-blog memperlekehkan keputusan Jawatankuasa Fatwa dan meminta anggota majlis tersebut bersikap terbuka biar pun menerima gaji daripada kerajaan BN.

Inilah sikap pemimpin dan penyokong Pas, kalau sesuatu keputusan itu tidak menyebelahi politik mereka, maka ia ditolak bulat-bulat biar pun ia dibuat berlandaskan al-Quran dan hadis.

Jika situasi ini diambil kira, jelaslah Tunku Abdul Aziz jauh lebih matang berpolitik berbanding kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz. Ia memandangkan Tunku Abdul Aziz bersedia menerima risiko bagi menyatakan kebenaran tetapi Pas sentiasa sahaja berdolak-dalik dan membuat sesuatu keputusan berdasarkan perhitungan politik semata-mata.

Justeru tidak hairanlah apabila kepimpinan Pas bercakap soal hudud, tidak ada sebarang perasaan takut di kalangan pemimpin-pemimpin DAP atau PKR untuk membantah perkara tersebut. Ini kerana mereka memahami kepimpinan Pas terlalu taksub berpolitik dan tetap akan bersama dengan pakatan pembangkang biar pun apa juga berlaku.

Begitulah juga dalam isu Bersih, ketegasan Tunku Abdul Aziz dan keputusan Jawatankuasa Fatwa sudah pasti tidak akan mengugat Pas untuk terus menyokong perhimpunan haram berkenaan biar pun ia telah membawa kesan yang amat buruk kepada negara.

Pemikiran kepimpinan Pas sudah terkepung dengan politik untuk menjatuhkan kepimpinan BN melalui sasaran memenangi pilihan raya umum akan datang bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Apa pun Tunku Abdul Aziz boleh dianggap memberi pengajaran kepada kepimpinan Pas termasuk Nik Abdul Aziz supaya konsisten dalam memperjuangkan sesuatu dan perlu menjadikan apa yang berlaku kepada beliau sebagai isyarat mengenai wajah sebenar politik DAP.

 

(Sumber: Empayar Pemuda)

18 May 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , | Leave a comment

Hukum Al Quran dalam Handphone, Komputer dan CD

Quran handphone

Dr. Husam Affanah, Prof Fiqh dan Usul Universiti al-Quds, Palestin telah membuat kajian mengenai persoalan di atas.
Merujuk kepada soalan di atas dan kajian yang dibuat oleh Dr Husam, secara ringkasnya adalah seperti berikut:

Tidak syak lagi al-Quran yang kita dengar dari CD merupakan al-Quran yang diturunkan oleh Allah swt. Namun ia tidak mengambil hukum mashaf al-Quran dari sudut tidak boleh disentuh kecuali dalam keadaan berwudhu’ menurut pandangan kebanyakan ahli ilmu. Adalah harus menyentuh CD kerana al-quran yang terdapat di dalamnya tidak disimpan dalam bentuk huruf-huruf al-Quran tetapi ia disimpan dalam bentuk sistem binari. Iaitu satu sistem yang menggunakan kod tertentu dan setiap kod mengandungi 8 digit…. rujuk huraian pakar dalam bidang ini.

Walaupun CD tidak boleh disamakan dengan mashaf al-quran, tetapi aku berpandangan tidak harus merendah-rendahkannya dengan dibuang ke dalam tong sampah, khususnya apabila ditulis pada CD tersebut perkataan yang menyatakan ia adalah CD al-Quran.

Begitu juga dengan al-Quran yang terdapat dalam handphone, ia tidak mengambil hukum mashaf al-Quran yang memerlukan wudhu’ untuk menyentuhnya seperti mazhab kebanyakan ahli ilmu.

Walaubagaimanapun aku berpandangan tidak harus membawa handphone ke dalam tandas dalam keadaan ayat-ayat al-Quran tertera di paparan skrin handphone tersebut kerana ia dikira menghina al-Quran. Namun tidak mengapa membawa masuk handphone tersebut ke dalam tandas dalam keadaan paparan skrin tidak mengandungi ayat-ayat al-Quran (setelah ditutup program al-Quran).

Ini ialah kerana tidak terdapat huruf-huruf al-Quran di dalam handphone tersebut kerana ia disimpan dalam bentuk sistem binari yang menggunakan kod-kod tertentu dan setiap kod mengandungi 8 digit….dan begitulah seterusnya seperti huraian pakar dalam bidang ini. Perkara ini adalah seumpama seorang yang hafaz al-Quran memasuki tandas dalam keadaan al-Quran berada dalam jiwanya.

Lujnah Daimah untuk Kajian Ilmiah dan Fatwa Arab Saudi telah mengeluarkan fatwa seperti yang dinyatakan oleh Dr Umar bin Muhamad as-Sabil rahimahullah: Apabila dirakam al-quran ke atas kaset dengan segala jenisnya seperti tali keset, video dan CD yang digunakan di dalam komputer atau seumpamanya, maka adalah harus bagi seorang yang berhadas kecil atau hadas besar menyentuhnya. Ini ialah kerana kaset dan yang seumpama dengannya tidak dinamakan mashaf (al-Quran) kerana al-Quran tidak boleh dibaca secara terus (direct) daripadanya. Adapun al-Quran yang didengari atau dibaca daripadanya adalah dengan bantuan alat-alat khusus yang lain. Oleh itu kaset-kaset ini tidak terpakai padanya seperti hukum menyentuh mashaf al-quran yang mesti berada dalam keadaan suci. Begitu juga fatwa yang telah dikeluarkan oleh Ahli-Ahli Lujnah Daimah untuk Kajian Ilmiah dan
Fatwa Arab Saudi yang diketuai oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz.

Teks fatwanya ialah; “Tidak mengapa membawa atau menyentuh kaset yang dirakam di dalamnya al-Quran bagi orang yang sedang berjunub dan seumpamanya, sekian Wabillahi at-Taufiq”.

Kesimpulannya, CD yang dimasukkan al-Quran di dalamnya tidak dikira sebagai mashaf al-Quran. Begitu juga dengan handphone yang dimasukkan al-Quran di dalamnya tidak dikira sebagai mashaf al-Quran. Wallahu A’lam. (tamat nukilan dengan adaptasi kajian Dr. Husam Affanah, Prof Fiqh dan Usul Universiti al-Quds, Palestin).

Sebagai kesimpulan, tidak mengapa bagi seseorang yang berada dalam keadaan berhadas samada hadas kecil atau hadas besar menyentuh atau membawa CD, PDA dan handphone yang dimasukkan ke dalamnya program al-Quran. Juga tidak mengapa membawa peralatan-peralatan tersebut ke dalam tandas dengan syarat ayat-ayat al-Quran tidak terpapar pada skrin. Juga tidak mengapa dan tidak dikira menghina al-Quran apabila seseorang itu meletakkan handphone atau PDA di dalam poket seluarnya setelah program al-Quran dimatikan dan tidak tertera ayat-ayat al-Quran pada skrin peralatan tersebut.

Rujukan
1) Islamonline (kajian Prof Dr. Husam Affanah, Prof Fiqh dan Usul Universiti al-Quds, Palestin)

Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha Majlis Ulama Ikatan Muslim Malaysia (MUIS)

Apakata JAKIM:

Memasukkan ayat Al-Quran ( download) dalam handphone adalah harus tetapi
dengan syarat hendaklah menjaga adab-adab sehingga tidak mencemar
kesuciannya seperti membawa masuk ke tandas ketika ayat Al-Quran terpapar
di screen handphone.

17 May 2012 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | 3 Comments

Nasihat Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai Perhimpunan Bersih 3.0

  • Saya sudah jangka repons negatif dari pihak pembangkang, tetapi bagi menjaga kepentingan seluruh umat Islam, para mufti bertanggung jawab untuk memberi nasihat.
  • Bagi yang enggan menerima nasihat (fatwa), itu hak mereka.Kita faham sebab itu tidak memenuhi kehendak nafsu mereka.
  • Namun kalau nak pertikai sekali pun jagalah adab dan akhlak sebagai muslim.Tak perlu tuduh melulu, itu bukan akhlak seorang muslim, apatah lagi kalau dikategorikan sebagai ulama
  • Bagi saya tiada nas yang mengharamkan perhimpunan untuk protes secara mutlak.Ia mungkin haram kerana hal lain.Memprotes dan berhimpun adalah hak yang di akui oleh agama.Bahkan Islam dalam banyak hal anjurkan ibadat secara jamaei (berhimpun) sebagai tanda kekuatan dan protes kepada kekufuran dan jahiliah.Tetapi ia mesti dilaksanakan secara beradab.Zaman Khalifah Uthman r.a para penentangnya berdemonstrasi di hadapan rumahnya, Uthman tidak larang, bahkan para sahabat yang mahu menyuraikan mereka.Uthman melarang dan menyuruh membiarkan mereka selagi mereka tidak melanggar batasan. Tetapi akhirnya akibat hasutan jahat sesama mereka, maka mereka menyerang rumah Uthman dan membunuh khalifah yang ketika itu seorang diri dengan isterinya tanpa senjata dan di bunuh sewaktu sedang membaca al Quran.Lipatan sejarah ini wajar diambil iktibar.
  • Politik hari ini menyaksikan mereka yang dulu memerintah juga boleh menjadi pembangkang pada hari ini dan begitulah sebaliknya.Jadi wajar difikirkan, kalau ada pihak demonstrasi di KL, akan wujud pihak lain akan membalasnya di Shah alam,Alor Setra ataupun Kota baru.
  • Setelah Bersih 2.0 Parlimen sudah mewujudkan Jawatankuasa yang terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang untuk berbincang, dan telah ada keputusan.Tetapi kenapa tidak selesai.Apa yang jelas pihak Bersih amat tidak berpuas hati. Tetapi agak hairan juga, apabila SPR mengajak Bersih untuk berbincang, mereka enggan duduk semeja.Debat di antara Ambigia dan Khairy Jamaludin juga sudah berlaku, tetapi ia juga tidak membawa penyelesaian kepada satu pihak lagi.Saya lihat di pihak kerajaan keterbukaan sudah berlaku, tetapi pihak penentang tetap berkeras dengan segala dakwaan mereka seolah olah mereka maksum daripada kesilapan.Saya fikir rakyat semakin cerdik menilai maka pada saya, bertindaklah secara waras dan terbuka, ia akan bawa kebaikan kepada negara kita.Duduklah berbincang bersama dan dedahkan segala bukti dakwaan, tetapi sehingga kini, kita hanya didedahkan dengan angka dan fakta glamor sahaja dalam blog dan akhbar, fakta yang khabarnya ribuan itu tak pernah pula kelihatan di alam nyata.Saya yakin rakyat memahami permainan ahli politik kedua pihak dalam hal ini.Maka tolonglah jangan pertaruhkan nasib rakyat dengan permainan yang boleh membawa bencana kepada semua pihak.
  • Mereka mempertikaikan fatwa ini dan terlalu cepat melatah dengan hanya bergantung kepada ulasan penulis berita, tanpa berusaha membaca teks asal keputusan itu.Namun saya rumuskan beberapa sikap masyarakat Islam kita terhadap keputusan fatwa saperti berikut:-
  1. Golongan yang menerima tetapi berdiam diri kerana mungkin akur
  2. Golongan yang melatah dan menuduh dengan pelbagai label kerana tidak setuju fatwa yang tidak memenuhi kehendak nafsu mereka, golongan ini mungkin gagal memahami teks asal, jadi menuduh dengan sembrono.Golongan sebegini biasanya juga sering memberi fatwa peribadi mereka sendiri.Bila ada pihak yang bertentangan dengan hawa mereka, mereka akan serang habis habisan dengan pelbagai gelaran dan label yang dilarang syarak.Agak tidak logik,mereka ajak kepada agama, tetapi akhlak dan perkataan tidak menggambarkan agama yang mereka perjuangkan.
  3. Golongan oportunis yang akan menolak apa sahaja yang datang daripada pemerintah hatta pemerintah di negeri yang parti mereka sokong memerintah.Kalau tak setuju dengan mufti negeri yang anda perintah, minta MB negeri pecat mufti berkenaan.
  • Nak tuduh Jawatan kuasa fatwa Kebangsaan tak faham tujuan sebenar himpunan Bersih, pada saya adalah keterlaluan.Kalau begitu saya juga boleh kata mereka juga tidak memahami keputusan Fatwa ini.Kalau begitulah sikap kita semua,maka tidak ada penghujung dan penyelesaiannya.Kenapa tidak mahu bertindak sebagai orang yang matang, waras dan dewasa?
  • Sesetengah pihak membandingkan pandangan Fatwa kita dengan ulama luar negara saperti Yusuf al Qardawi yang mewajarkan demonstrasi.Pada saya itu pandangan beliau berdasarkan maklumat yang beliau ketahui dan bisikkan kepada beliau serta keadaan sekeliling beliau.Hal sebegini pasti mempengaruhi fatwa yang dikeluarkan.Ini di akui sendiri oleh para ulama dan al Qardawi sendiri.
  • Saya baru bertemu dengan al Qardawi 1 mei 2012 di Doha.Pihak yang berkenaan juga wajar bertanya al Qardawi, apakah di Qatar dibolehkan demonstrasi bagi menentang kewujudan markas tentera Amerika.Sudah tentu ia akan merumitkan keadaan beliau untuk berkata kata.
  • Kami rombongan mufti mufti Malaysia yang melawat Arab Saudi pada 27 April 2011 atas undangan Kerajaan Arab Saudi turut bertanya soalan tentang fatwa demonstasi kepada al Sheikh Abdul Azeez ibn Abdullah Aal ash Sheikh, Mufti Besar Arab Saudi tentang pandangan al Qardawi.Aal Syeikh menyatakan penghormatannya terhadap kealiman Al Qardawi tetapi dalam hal demonstrasi yang membawa kerosakkan belaiu tidak setuju dengan pandangan al Qardawi kerana ia membawa kerosakan.Jelasnya para ulama setempat lebih memahami keadaan mereka, maka kalau berbeza pandangan ia suatu yang wajar berlaku.Maka kurang tepat kalau kita ambil sikap pukul rata dalam memahami teks dan konteks.Kita kena lah saling hormat menghormati pandangan setiap pihak.Itu sikap yang sepatutnya.
  • Kita semua perlu berusaha untuk mematangkan pemikiran kita terutama mereka yang belajar agama, barulah lengkap sifat umat maju.
  • Islam memang beri ruang untuk berbeza pandangan.Kalau berbeza, jagalah adab, janganlah mudah sangat untuk melabel dan mencaci.Islam tidak ajar begitu terutama bagi mereka yang dilabel sebagai ulama.Tak molek langsung!
  • Pihak yang tidak setuju dengan keputusan majlis Fatwa secara gerombolan besar besaran menyerang keputusan ini dengan pelbagai kata dan nista yang wujud dalam kamus sindiran dan celaan mereka. Ertinya mereka amat bimbang masyarakat mempertikaikan kredibiliti mereka.Apabila mereka menyatakan pandangan mereka wajib di ikuti maka maksudnya sesiapa yang tidak ikut adalah berdosa! Ini adalah perktaan yang berat dalam agama.Sebab itu dalam keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dinyatakan bahawa demonstarsi yang membawa kerosakkan  adalah haram.
  • Saya hairan, tawaran kerajaan kepada Bersih 3.0 untuk menggunakan Satdium Merdeka ditolak atas alasan masa tak cukup.Mereka kata tujuan mereka hanya untuk duduk memprotes, maka kenapa Satdium Merdeka tidak boleh diterima? Payah sangat kah nak duduk? Ini menunjukkan sikap berdegil dan enggan memberikan kerjasama serta ada niat lain yang hanya Allah yang tahu.
  • Begitu juga segala tuntutan pihak Bersih yang cuba diselesaikan melalui Jawatankuasa yang dibentuk di Parlimen, kita di beritahu bahawa wakil pembangkang yang diberikan hak duduk dalam Jawatankuasa, tetapi ada yang selalu ponteng.Kenapa? Belum memerintah lagi dah ponteng kerja? Lepas itu komplen.Ini tidak adil dan ‘misleading’ kepada rakyat.
  • Kita mesti bersikap adil dan guna saluran yang wajar.Ini tidak, keras kepala yang dijadikan sebagai modal untuk menegakkan tuntutan.Ini kanun rimba di tengah masyarakat.Sikap in berbahaya.

(Intisari wawancara MM dengan Mufti Perlis Dr Juanda Jaya di terbitkan pada Ahad 13hb Mei 2012)

14 May 2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Fatwa, Politik dan Dakwah | , , | Leave a comment

Bersatu demi Islam

Masyarakat Melayu perlu bersatu dalam apa jua keadaan yang mencabar, sebagaimana disaksikan sekarang tetapi sama sekali tidak boleh terpengaruh dengan mana-mana pihak yang menjadikannya sebagai agenda politik.

Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya berkata, bersatu mesti diusahakan tetapi bebas daripada pengaruh politik kerana parti-parti politik mungkin menggunakan usaha itu untuk kepentingan masing-masing.

Katanya, perpecahan berlaku di mana-mana sahaja kerana ada kezaliman dari satu pihak yang mempunyai kuasa.

“Satu negeri tak diberi royalti, mesti ada pihak yang marah dan ini realitinya, zalim kepada saudara sendiri, puncanya ialah gila kuasa.

“Jangan terpengaruh dengan politik kerana kita semua tahu hala tuju apatah lagi kita ini orang Islam yang mempunyai ajaran yang jelas,” kata beliau yang menjadi ahli panel Wacana D’Raja di Kelantan Trade Centre di sini malam tadi.

Wacana anjuran Kumpulan Media Karangkraf itu diadakan sempena Karnival Walk With Me yang berakhir hari ini.

Wacana dipengerusikan oleh Presiden Persatuan Peradaban Melayu Malaysia, Datuk A.Aziz Deraman.

Dua ahli panel yang lain ialah Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Johari Mat dan Pengasas dan Pemangku Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu.

Wacana kali ini membicarakan tajuk “Bersatu Demi Islam”.

Dr Johari pula menegaskan bahawa umat Islam sememangnya boleh bersatu sekiranya meletakkan Islam sebagai asas dan perpecahan berlaku apabila masyarakat Islam meninggalkan ajaran Islam itu sendiri.

“Semua manusia mempunyai destinasi sama iaitu alam akhirat, jadi ia tidak ada sebab untuk umat Islam berpecah, sejarah membuktikan manusia menjadi lemah kerana tidak berpegang kepada agama,” katanya.

Katanya, generasi yang benar-benar memahami Islam sukar dibentuk kerana sistem pendidikan lebih memberi keutamaan kepada fardhu kifayah berbanding fardhu ain sehingga pelajaran agama bukan menjadi syarat lulus dalam peperiksaan.

“Apabila Islam tidak diikuti dengan betul, maka berleluasalah gejala social, ditambah pula penguatkuasaan yang lemah,” katanya.

Sementara itu, Mohamad berkata, Melayu diajak bersatu apabila ada desakan dan cabaran dari luar.

“Orang Melayu diajak bersatu bila negara dijajah dan kempen perpaduan juga muncul ketika perayaan tertentu seperti Maal Hijrah dan Maulidur Rasul sedangkan semangat perpaduan sepatutnya sedia tertanam dalam jiwa.

“Kita lebih memberi tumpuan kepada perpaduan nasional berbanding perpaduan Islam sehingga membantutkan usaha ini sehingga kini. Susah sampai masanya idea perpaduan lahir dari sanubari umat Islam itu sendiri,” katanya.

Sumber:- http://www.sinarharian.com.my

13 May 2012 Posted by | Bicara Ulama, Renungan & Teladan | , , , , | 5 Comments

Syarat kebangkitan semula umat Islam

Dalam Quran ada jaminan daripada Allah bahawa orang orang Islam adalah umat yang terbaik disisiNya. Malah lebih baik daripda umat lain yang di berikan kitab kitab terdahulu, iaitu orang orang Nasrani dan Yahudi.

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.Sekiranya Ahli Kitab (Nasrani dan Yahudi) beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakkan mereka adalah orang orang fasik”. (Ali Imran 3:110)

Lalu Allah berjanji bahawa umat lain tidak akan berjaya memudaratkan umat Islam, dan mereka akan kalah jika memerangi kita.Mereka Ahli kitab sekali kali tidak akan dapat membuat mudarat kepada kamu, selain daripada gangguan gangguan celaaan saja, dan jika mereka berperang  dengan kamu, pasti mereka berbalik melarikan diri ke belakang(kalah).Kemudian mereka tidak mendapat pertolongan”. (Ali Imran 3:111)

Jaminan Allah ini telah di sempurnakan kepada umat Islam pada zaman Rasulullah saw sehingga Islam beroleh kemenangan demi kemenangan.Janji Allah itu juga berlaku kepada umat Islam pada zaman selepas Rasulullah selama lebih satu alaf hingga ke abad ke 19.Islam juga berkembang sampai ke  Eropah tetapi akhirnya tewas dan ditindas sehingga hari ini.

Disamping berkembang ke dua pertiga pelosok dunia, Islam juga menempa kecermerlangan dalam perbagai bidang kehidupan dunia.Akhirnya, di samping tewas di medan peperangan, umat Islam juga kebelakang dalam bidang bidang duniawi yang dulu mereka pelopori.

Pada hari ini, selalu sangat ditanya kenapa umat Islam jadi begini? Malah soalan yang sama terus berulang ulang , sehingga sudah sampai keperingkat menjemukan. Jemu kerana seolah olah tiada jawapan yang tepat lantaran keadaan tidak juga berubah.

Antara jawapan yang paling popular terhadap kedaifan umat Islam hari ini, ialah mereka tidak bersatu.Jika dipanjangkan persoalan tidak bersatu ini kepada semua orang Islam , mereka akan bersetuju termasuk yang sedang bergaduh dan berbunuh sesama sendiri.Anehnya umat Islam terus tidak bersatu dan semakin bergaduh, malah berbunuh sesama sendiri.Selain berbunuh sesama sendiri mereka turut di sembelih oleh tentera negara negara “Ahli Kitab”.

Kenapa keadaan yang menimpa umat Islam sekarang sangat berbeza daripada zaman Rasulullah.Pasa zaman itu, tentera Ahli Kitab termasuk pasukan Rom yang paling kuat pada zaman tersebut juga tidak dapat menewaskan tentera Islam.Amat benar janji Allah sebagaimana ayat 111 Ali Imran itu.

Oleh kerana ayat 111 itu adalah kesinambungan ayat 110, maka eloklah didalami kandungan ayat 110 itu.Firman Allah dalam ayat itu ialah “ Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar, dan beriman kepada Allah.”

Ada tiga elemen dalam ayat ini yang Allah tegaskan sebagai kualiti atau kriteria yang menjadikan umat Islam sebagai umat yang terbaik dilahirkan untuk manusia.Tiga eleman itu ialah menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.

Marilah kita umat Islam bermuhasabah atau menilai diri sendiri, sama ada kita pada umumnya masih memiliki tiga kriteria tersebut.Usahlah kita pergi jauh ke negara negara lain tetapi eloklah sekadar melihat apa yang berlaku di dalam Malaysia sahaja.

Mislanya, kita sekadar menjenguk apa yang terbaru berlaku dalam insiden perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012.Siapakah yang mengganas dan tercedera? Tak ambil kira samada peserta himpunan atau polis yang melakukan.Adakah mereka orang Islam atau bukan Islam?

Sudah tentulah apa yang berlaku adalah kemungkaran semata mata.Dimana letaknya sifat menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar? Kita boleh kata bahawa yang mengganas itu orang muda? Yang tua sekadar jadi pemimpin pemimpin mereka.Maka layaklah di tanya kepada pemimpin pemimpin yang tua itu, apakah yang mereka lakukan untuk mencegah berlaku kemungkaran pada hari tersebut? Jawapannya, mereka bukan sahaja tidak mencegah, malah menyuruh orang orang muda melakukannya dengan arahan supaya datang berhimpun dan kemudian buat huru hara.

Seterusnya boleh ditanya lagi, adakah orang orang beriman tergamak melakukan perkara perkara yang telah mendorong keganasan itu?

Sudah tentulah musuh Islam iaitu Ahli Kitab seronok dengan apa yang telah berlaku keatas sebuah negara yang menjadi ahli aktif  OIC dan di anggap antara yang termaju di antara negara negara Islam.

Ini hanyalah contoh terdekat dan terbaru mengenai kegagalan umat Islam memenuhi kriteria yang Allah tetapkan dalam ayat 110 Ali Imran itu.Orang orang yang dilahirkan agama Islam dan mengaku Islam tidak lagi menjadi umat yang menyuruh kepada yang makruf, mencegah dari yang mungkar dan beriman kepada Allah.

Mereka bukan sahaja terlibat dalan himpunan Bersih 3.0  malah menjadi pengikut kepada seorang bukan Islam yang menganjurkannya.Ramai juga bukan Islam menyertai perhimpunan itu tetapi pada umumnya perangai mereka tidaklah seburuk pemuda pemuda ganas yang kononnya beragama Islam.

Jika kita menjenguk lebih jauh ke bab bab lain, tentulah jawapan kepada bencana yang menimpa umat Islam pada hari ini lebih jelas.Siapakah yang paling ramai dalam penjara? Siapa kah yang paling banyak melakukan rasuah? Jika umat Islam sekarang tidak melakukan perbuatan mungkar, tentulah mereka menjadi umat yang terbaik dan kuat sebagaimana umat Islam terdahulu.Tentulah Allah akan memberikan pertolongan sebagaimana janjiNya dalam ayat 111 Ali Imran.

Malangnya umat Islam hari ini ramai saperti buih, tetapi mereka tidak lagi mendapat pertolongan Allah kerana mereka bukan sahaja tidak menyuruh kepada perbuatan makruf,malah menyeru kepada kemungkaran dan semakin sedikit yang beriman kepada Allah.Kalau beriman kepada Allah, tentulah mereka mematuhi  perintah dan larangan Allah yang dinyatakan dengan jelas dalam Quran.

Selagi majoriti umat Islam gagal memenuhi kriteria ini, jangan haraplah kita dapat bangkit cemerlang saperti zaman kegemilangan Islam dulu.

Hakikatnya kita tidak boleh bangkit sendiri, tetapi segalanya adalah atas ketentuan Allah.Kita hanyalah sekadar sebab musabab ketentuan Nya.

 

(Penulis: Maulana Arrif maulanaarif@gmail.com)

13 May 2012 Posted by | Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan | | Leave a comment

Nota daripada seorang sahabat di Universiti Medina kepada Bersih 3.0

Bismillah….

Sebelum bersungguh-sungguh ingin menghapuskan korupsi pada pemerintah, rakyat harus menghapuskan korupsi pada diri mereka sendiri. Berapa ramaikah rakyat yang mengabaikan solat namun mengharapkan pemimpin seperti Umar Abdul Aziz? Berapa ramaikah rakyat yang menipu dalam urusan perniagaan namun mengharapkan pemimpin yang jujur dalam harta negara ? Berapa ramaikah rakyat yang sangat kedekut dalam bersedekah namun mengharapkan mereka mendapat harta negara dengan saksama ? Berapa ramaikah rakyat yang melanggar undang-undang keselamatan jalanraya namun mengharapkan mahkamah yang telus? Berapa ramaikah rakyat yang tidak peduli terhadap mesej kenabian lalu mengharapkan pemimpin yang memimpin dengan jalan kenabian ?

Sebelum rakyat bising mereka ditipu oleh Kerajaan, semak dulu adakah rakyat sudah berlaku jujur dalam urusan mereka dengan kerajaan. Masih ada lagikah rakyat yang tipu ketika ‘punch card’ di tempat kerja. Masih ada lagikah rakyat yang tipu ‘office hour’ dengan meng’ular’. Masih ada lagikah rakyat yang ambil M.C tanpa ada apa-apa keuzuran. Masih ada lagikah rakyat yang tipu ‘claimn’ untuk out station. Masih ada lagikah rakyat yang gunakan harta pejabat untuk kegunaan peribadi. Jika rakyat masih tipu kerajaan, maka tidak pelik kerajaan juga akan tipu rakyat.

Telah menjadi Sunnatullah bahawa kaum-kaum yang zalim itu diperintah oleh orang yang zalim.

Firman Allah: “Dan (penduduk) negeri itu telah Kami binasakan ketika mereka berbuat kezaliman.” (Surah Al Kahfi, 18: 59)

Al-Walid ath-Tharthusi rahimahullah berkata, “Sehingga sekarang masih terdengar orang-orang berkata, “amalan- amalan kalian adalah pekerja-pekerja kalian”, sebagaimana kalian sekarang ini; maka seperti itulah kalian akan dipimpin.”

Di dalam al-Qur’an terdapat ayat yang semakna dengan perkara ini.

“Dan demikian kami jadikan sebahagian orang-orang yang zalim itu menguasa sebahagian yang lain disebabkan apa-apa yang mereka (masyarakat) usahakan.” (Surah Al-An’am, 6: 129)

Imam Ibnu Katsir rahimahullah menjelaskan (berkenaan ayat tersebut)

“Tiada orang yang zalim pun melainkan ia akan diuji dengan orang yang zalim. Dijadikan dari kalangan orang-orang yang zalim, mereka dikuasai oleh orang- orang-orang yang zalim lainnya Sebahagian mereka dihancurkan dengan sebahagian lainnya, dan sebahagian mereka disiksa dengan sebahagian lainnya, sebagai balasan atas kezaliman mereka.” (Rujuk: Shahih Tafsir Ibnu Katsir, Terbitan Pustaka Ibnu katsir, jil 3, m/s. 430)

“Wahai rakyatku! Bersikap adillah kepada kami! (Bagaimana mungkin) kalian mahukan dari diri kami sebagaimana yang dilaksanakan oleh Abu Bakar dan Umar, sedangkan kalian tidak pun mengerjakan sebagaimana apa yang mereka amalkan?!” (Siraj al-Muluk, m/s. 100-101).

Pemimpin itu asalnya adalah seorang Rakyat. Zalimnya seorang Pemimpin disebabkan zalimnya seorang Rakyat, begitu juga sebaliknya

*****Fikir fikirkan lah….setakat mana amalan kita sebelum kita mengharapkan amalan baik dari Pemerintah?

1. Sudahkah kita membayar zakat dengan telus
2. Sudahkah kita mendidik anak dengan didikan islam
3. Sudahkah kita menjalankan amalan Rukun Islam dengan sempurna
4. Sudah kah kita membantu kaum keluarga seperti di syariatkan
5. Sudahkah kita menjadi anak atau abang lelaki yang bertanggung jawab
6. Sudahkah kita solat 5 waktu sebelum bercakap hal agama
7. Adakah kita bertanggung jawab terhadap Mak Bapak dan kaum keluarga
8. Adakah kita menjadi jiran mengikut ajaran islam

Dan banyak lagi….Tanya lah diri kita setakat mana amalan kita? sebelum bercakap mengenai islam dalam negara?

(Kiriman: fitri_idris@jabil.com)

11 May 2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Renungan & Teladan | | 4 Comments

BERSIH 3.0 – Antara fatwa wajib hadir dengan fatwa haram hadir.

PERHIMPUNAN BERSIH 3.0 pada 28hb April 2012 membuktikan bahawa tunjuk perasaan itu lebih banyak mendatangkan keburukan.Keburukan yang pertama adalah kerosakkan harta awam, kecederaan,ejek mengejek yang keterlaluan yang akhirnya menggambarkan matlamat yang tersurat di tenggelami ole hasrat yang tersirat.

Tindakkan mengeluarkan fatwa wajib hadir perhimpunan ‘Bersih’ itu sudah melambangkan bahawa ulama politik berkenaan sudah hilang pertimbangan dan kebijaksanaan dari sudut moral.Dalam masa sama, ulama politik itu ikut memberi sumbangan kewangan kerana penyertaan tersebut dianggap sebagai pengertian beribadat.Inilah punca kekalutan dan ketegaran untuk tidak mahu menerima fatwa yang di keluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, kerana keputusannya di katakan dilakukan “sebelah mata”.

Konsep sebelah mata sebenarnya di mulakan oleh ulama itu sendiri.Ulama politik itu sebenarnya lupa bahawa sesebuah fatwa yang di keluarkan untuk mengajak manusia membaiki amalan yang bercanggah dengan peraturan agama, maka fatwa itu bertujuan mengarah manusia untuk bertindak berdasarkan apa yang di ajar menerusi keputusan hukum.

Ini berti sebelum sesuatu fatwa itu di keluarkan mereka yang bertanggungjawab akan duduk bersama sama berbincang dari pelbagai aspek sehingga boleh ditentukan kewajarannya.

Jika ia memberi kesan yang buruk kepada masyarakat, manusia dan negara, maka keputusan mengharamkan sesuatu tindakkan itu wajib dipatuhi.Jika sesuatu tindakkan itu tidak jelas kesannya, maka keputusannya dalam bentuk ‘harus’ ataupun ‘makruh’.Ini bermakna, masyarakat dibolehkan, tetapi tidak digalakkan mengambil bahagian.

Ibn Qayyim menjelaskan: “Dan hendaklah mufti mengetahui daripada siapa dia menjalankan/mengerti dalam memberi fatwa serta percayalah esok hari akhirat dia akan ditanya dan berdiri di hadapan Allah.” Maka, proses memutuskan sesuatu fatwa buknlah proses yang boleh di laksanakan oleh seorang, ia memerlukan keputusan ramai mereka yang mengetahui secara mendalam mengenai hukum Islam.

Menjawab kepada persoalan manakah fatwa yang wajar dipatuhi, maka secara rasionalnya fatwa yang dikeluarkan oleh ramai ulama iaitu JFK adalah lebih berautoriti berbanding hanya berdasarkan pendapat seorang ulama, terutamanya ulama yang menjadikan politik sebagai profesion hariannya.

Kalau ditinjau dari perspektif sejarah perjuangan gerakan politik Islam, al Ghazali misalnya tidak pernah mengeluarkan fatwa bahawa merusuh dijalanan adalah suatu bentuk yang selaras dengan agama.Ketika wazir Sultan Saljuk terbunuh oleh kelompok yang berpegang kepada falsafah radikal yang berusaha menjatuhkan Nizam Syah, al Ghazali mengambil sikap menggunakan kecerdikkan akal memberikan nasihat kepada kerajaan dan bukannya membela kematian itu menerusi demonsrtasi.

Ini berlainan dengan sikap ulama politik yang mengeluarkan fatwa menyertai perhimpunan Bersih sebagai ‘wajib’.Bahkan in sangat berbeza juga dengan apa yang dilakukan oleh Hasan al Bana, seorang lagi cendekiawan Muslim yang menerima pukulan hebat apabila kemenangan nya di pilihanraya di Ismailiyyah dibatalkan oleh pemerintah Mesir yang didokong oleh penjajah British.

Hasan al Bana tidak mengeluarkan ‘fatwa’ menggalakkan penyokongnya yang begitu ramai di serata Mesir untuk bangkit berdemonstrasi menentang pemerintah kerana beliau sedar kebenaran akan tiba apabila sampai waktunya.

Mengeluarkan fatwa menggalakkan sikap melampau merupakan satu sikap yang bertentangan dengan kehendak islam, kerana Islam meletakkan kesejahteraan dan keamanan sebagai suatu kewajiban yang besar.

(Oleh: Dr Aziz Jamaludin Mhd Tahir, Yang di Pertua YADIM)

11 May 2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Fatwa, Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan, Tazkirah | , , , | Leave a comment

Pengertian Fatwa menurut Yusuf Al Qardawi.

fatwa

Hari ini kita lihat ada sestengah pihak mempertikaikan fatwa yang di keluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana ada fatwa yang  tidak selari dengan kehendak,selera dan kefahaman mereka.

Sebelum kita terikut ikut dengan rentak golongan ini marilah kita fahamkan terlebih dahulu tentang pengertian fatwa itu sendiri.

Saya bentangkan di sini metod Fatwa Al Qardawi secara ringkas sebagai contoh.

Fatwa menurut Al Qardhawi adalah penjelasan mengenai hukum syarak dalam sesuatu isu sebagai jawapan kepada soalan yang di kemukakan oleh pihak yang bertanya, sama ada diketahui orangnya ataupun tidak diketahui dan samada daripada individu mahupun daripada masyarakat.Orang yang bertanggungjawab mengeluarkan fatwa dinamakan sebagai Mufti.Tugasannya mengeluarkan fatwa di namakan Ifta’.

Pendek kata fatwa ialah mengeluarkan satu hukum syarak yang di lakukan oleh mufti berhubung dengan sesuatu isu yang berlaku dalam masyarakat yang tidak terdapat nas yang jelas dari Quran, Hadis, Ijmak dan Qiyas mahu pun dari sumber mazhab yang empat yang muktabar.

Hukum mengeluarkan fatwa dalam sesuatu situasi adalah Fardhu Kifayah.Namun adalah haram keatas orang yang tidak mempunyai kelayakan mengeluarkan fatwa.

Kebanyakkan fatwa yang di keluarkan di putuskan berdasar suara majoriti melalui majlis fatwa yg di tubuhkan oleh sesebuah kerajaan.Keputusan fatwa saperti ini lebih selamat di amalkan oleh umat Islam, kerana ia berdasarkan suara majoriti ulama.Fatwa seumpama ini di sebut Fatwa Jama’i.

Menurutnya lagi fatwa di keluarkan dan berubah mengikut perubahan masa, tempat ,situasi,tradisi dan adat masyarakat setempat.

Contoh: Mufti di negara A mungkin fatwanya berbeza dengan fatwa mufti di negara B mengenai isu yang serupa.

Contoh lagi: Seseorang bertanya mufti tentang keperluan menentang kemungkaran tertentu dengan tangan  tetapi mufti berpendapat menghilangkan kemungkaran dengan cara ini boleh menimbulkan kemungkaran yang lebih besar daripada kemungkaran sebelumnya.Di waktu ini, mufti tidak boleh menfatwakan berdasarkan hukum yang umum iaitu boleh menentang kemungkaran dengan tangan kerana ia akan mendatangkan keburukan yang lebih besar. Qardawi merujuk dan bersandar kepada kisah Ibn Taimiyah yang pernah bertembung dengan segolongan tentera Tartar yang sedang minum arak dan mabuk.Para sahabat beliau cuba mencegah atas alasan mereka orang orang Islam dan haram minum arak.Walaubagaimanapun Ibn Taimiyah melarang sahabat sahabatnya daripada berbuat demikian kerana pada pandangan beliau, dalam kes yang beliau hadapi itu, arak telah menghalang tentera Tartar daripada menumpahkan darah orang Islam dan merampas harta benda mereka.

Qardawi menjelaskan dalam situasi dunia zaman moden ini jika ada seorang mufti sendiri berselisih pendapat dalam sesuatu isu maka hendaklah ikut fatwa majoriti mufti kerana menurutnya fatwa yang di keluarkan oleh majoriti mufti adalah hampir kepada kebenaran berbanding pendapat yang di kemukakan oleh seorang mufti.Beliau beralasan dengan sebuah hadis yang di riwayatkan oleh Ibnu Umar r.a yang bermaksud:

“Sesungguhnya syaitan bersama dengan seorang, tetapi menjauhi dari dua orang”.(Al Tirmizi, kitab al Fitan, bab Luzum al Jamaah, hadis no 2165)

(Sumber: Buku Metode Fatwa Al Qardawi oleh Basri bin Ibrahim Al hasani Al Azhari)

9 May 2012 Posted by | Fatwa, Politik dan Dakwah | Leave a comment

SUHAKAM – Bagaimana hak asasi untuk kami pula?


APAKAH  isi dan visi sebenar Suhakam ditubuhkan? Adakah untuk menjaga hak asasi minoriti yang mengganas? Atau adakah Suhakam diwujudkan untuk pupuskan kuasa polis sedangkan kuasa yang ada pada polis berlandaskan undang undang?

Adakah Suhakam mengamalkan sikap sayangkan mereka yang mengganas dan mahu polis tidak berkasar dengan mereka yang mengganas? Contohnya perhimpunan BERSIH 3.0, sedangkan matlamat sebenar mereka amat kotor.

Bagaimana pula dengan hak asasi majoriti rakyat Malaysia yang menghadapi pelbagai kesusahan akibat perbuatan minoriti yang mengganas ini? Bagaimana pula hak asasi mereka yang majoriti rakyat yang selesa dan bersyukur dengan apa yang ada?  Bagaimana dengan hak asasi para peniaga, pemandu teksi, pekerja syarikat bas dan lain lain? Bagaimana dengan hak asasi tuan punya kompleks perniagaan? Dan bagaimana dengan hak asasi anggota POLIS? Adakah perlu tubuh satu lagi badan lain untuk menjaga hak asasi mereka?

Suhakam mempertikaikan tugas polis semasa menghadapi mereka yang mengganas di semua perhimpunan BERSIH.Jika polis tidak bersikap sebagai polis, maka semakin ramailah yang akan mengganas kerana polis tidak boleh bertindak ke atas mereka yang mengganas.

Jika polis tidak dibenarkan menggunakan kaedah kaedah tertentu dalam tindakkan atau sisaatan, apakah pengganas, penjenayah dan perompak akan memberikan maklumat dengan sukarela kepada polis? Adakah Suhakam mahu polis tepuk bahu pengganas dan penjenayah lalu berkata anda baik teruskan mengganas kerana ini hak asasi kamu? Kalau kita mengganas dengan bapak kita sendiri pun bapak kita tidak akan tepuk bahu kita dan kata tak apa ini hak asasi kamu nak?

PDRM mempunyai tahap profesionalisme yang amat tinggi dalam menjalankan tugas selama ini. Cuma penggerak BERSIH (yang kotor) sahaja sentiasa mengutuk dan memperlekehkan PDRM.

( Kiriman  Kamal Mydeen Kuala Lumpur).

8 May 2012 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Politik dan Dakwah | , , , , , | 1 Comment

Memberontak atau menggulingkan pemerintah Islam walaupun ianya fasiq diharamkan dalam Islam

Al-Bughah dari segi bahasa bererti pelampau atau melampaui batas

Dari istilah bererti satu kumpulan orang Islam yang menentang pemimpin muslimin, melakukan pemberontakan terhadap pemerintahannya dan enggan mematuhi peraturan dan undang-undang yang dikuatkuasakan oleh pemerintah sama ada orang yang berkaitan dengan hak Allah atau hak manusia.

Dalam istilah biasa mereka dikenali sebagai pemberontak.  Mereka mempunyai dasar dan undang-undang mereka sendiri, mempunyai organisasi dan pentadbiran sendiri serta mempunyai kekuatan pertahanan, tentera dan senjata untuk melaksanakan pemberontakan.  Contohnya ialah al-Khawarij dan al-Haruriyah yang menentang khalifah ‘Ali ra.

Unsur-unsur dalam Kesalahan Memberontak

1.             Perbuatan menderhaka.

2.             Penggunaan kekuatan dan kekerasan.

3.             Niat memberontak.

Unsur Perbuatan Menderhaka

  1. Perbuatan menderhaka bermaksud menentang pemerintah atau berusaha menggulingkannya, tidak mematuhi perintahnya atau undang-undang yang dikuatkuasakannya dan tidak melaksana­kan kewajipan-kewajipan yang tidak dianggap maksiat.
  1. Pemberontakan itu ditujukan kepada pemerintah Islam yang adil yang tidak sepatutnya ditentang atau digulingkan, malahan pemberontakan terhadap pemerintah yang fasiq pun diharam­kan oleh Islam walaupun dengan tujuan untuk melaksanakan amar ma’ruf dan nahi munkarIni disebabkan pemberontakan itu akan memberi kesan yang lebih buruk dan tidak memung­kinkan maksud amar ma’ruf dan nahi munkar tercapai.

Unsur Penggunaan Kekuatan dan Kekerasan

Penggunaan kekuatan dan kekerasan bermaksud bahawa pemberontak mempunyai kekuatan pertahanan mereka sendiri serta mempunyai senjata dan tentera yang dapat melakukan tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman negara dan melakukan kekacauan dan huru hara.

Unsur Niat

Niat yang dimaksudkan di sini ialah untuk melakukan pemberontakan dan penentangan terhadap pemerintah dan bertujuan untuk menggulingkan atau tidak mahu tunduk kepada perintahnya dan enggan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab mengikut undang-undang dan peraturan yang ditentukan olch pemerintah.

Langkah Menghadapi Pemberontak

  1. Pemerintah yang menghadapi pemberontakan tidak boleh terus bertindak memerangi atau menentang pemberontak dengan kekerasan sebelum langkah-langkah awal dilakukan bagi mengelakkan pertumpahan darah sesama umat Islam.
  1. Langkah paling utama ialah mengajak mereka ke meja perundingan untuk mengetahui sebab mereka memberontak dan tuntutan mereka:
    1. Sekiranya sebab-sebab itu munasabah dan tuntutan mereka wajar, maka pemerintah tidak boleh menafl­kannya, tetapi hendaklah menerimanya dan memenuhi tuntutan mereka.
    2. Sekiranya pemberontak enggan memberi sebab-sebab pemberontakan dengan jelas, maka mereka perlu diberi peringatan akan bahaya peperangan iaitu men­datangkan korban nyawa dan kerugian harta benda.
    3. Sekiranya mereka masih enggan, suruhlah mereka supaya kembali bersatu di bawah naungan pemerintah dan taat kepada pemerintah atau mereka akan menghadapi tindakan yang keras dan tegas daripada ,pemerintah.
    4. Sekiranya mereka tetap enggan dan terus berpegang pada dasar pemberontakan mereka, maka wajiblah mercka diperangi.

Syarat-syarat Memerangi Pemberontak

  1. Pemberontak mempunyai kekuatan tentera, senjata dan pengkalan bagi pergerakan dan pertahanan mereka.  Usaha untuk menjadikan mereka taat kepada pemerintah memerlukan belanja yang besar dan tenaga yang banyak.
  2. Pemberontak menentang pemerintah secara terbuka dan mereka tidak berada di dalam kawalan pemerintah sebab mereka mempunyai pengkalan yang di luar daripada kekuasaan pemerintah.  Ini tidak memungkin­kan pemerintah dapat mengambil tindakan terhadap mereka secara mudah seperti menangkap dan memenjarakan mereka.
  3. Pemberontak mempunyai asas yang menjadi prinsip perjuangan mereka sendiri sekalipun asas itu salah seperti asas yang dipegang oleh al-Khawarij dan al-Haruriyahyang melakukan pemberontakan ter­hadap Sayidina’Ali ra.. Tidak mudah bagi pemerintah untuk berhadapan dengan golongan yang berpegang pada prinsip tentera yang menjadi dasar perjuangan pemberontak lebih-lebih lagi prinsip yang salah.  Ini bererti bertambah sukar untuk menyeru mereka supaya berdamai dan kembali kepada prinsip yang menjadi dasar pemerintah dan menghentikan penentangan terhadap pemerintah.
  4. Pemberontak mempunyai pemimpin yang berpenga­ruh dan ditaati, pemimpin yang dapat mengatur dan mentadbir, merancang dan menyusun strategi bagi melaksanakan penentangan dan pemberontakan.  Andainya mereka tidak mempunyai pemimpin, mereka mudah disedarkan dan dipujuk supaya menghentikan perjuangan yang sia-sia itu.
  5. Walaupun pemerintah diharuskan memerangi pemberontak, mereka tidak boleh dianggap sebagai golongan fasiq dan kafir kerana mereka dapat dianggap sebagai golongan bermasalah berdasarkan asas atau prinsip yang mempengaruhi tindakan mereka.

Tindakan

  1. Tindakan hendaklah didahului dengan memberi pe­nerangan dan nasihat serta berunding dengan mereka supaya mereka kembali kepangkuan jema’ah Islam.
  2. Sesudah berlaku peperangan tentera pemerintah tidak boleh mengejar musuh yang meninggalkan medan peperangan, tidak boleh mereka menghukum yang telah lemah disebabkan luka.  Hanya yang dibolehkan ialah menentang pemberontak seimbang dengan serangan yang mereka lakukan.  Jelasnya mengangkat senjata hanya untuk mempertahankan diri dan jema’ah serta memadamkan pemberontakan.
  1. Tidak boleh membunuh pemberontak yang ditawan.
  1. Tidak boleh merampas harta mereka sebagai harta rampasan perang.

Hukuman yang Berbangkit Selepas Pemberontak Dipadamkan

  1. Pemberontak yang terkorban dalam pertempuran mati­nya mati percuma kerana tidak boleh diambil tindakan qisas atau that terhadap pihak yang membunuhnya.
  1. Setelah tamat peperangan atau pertempuran antara tentera pemerintah dengan tentera pemberontak, kemudian ada pula tentera pemerintah yang membunuh tentera pemberontak, pada hal pemberontak telah meletakkan senjata dan kembali taat kepada pemerintah, maka tentera yang membunuh itu dikenakan qisas, melainkan ia bersumpah bahawa ia berpendapat bahawa suatu kegiatan menentang atau cubaan rampasan kuasa terhadap pemerintah yang sah di sisi svara’, sama ada dengan mengguna­ senjata atau merancang serta melancarkan peperangan dengan cara zalim
Hukuman Jenayah Memberontak
  1. Dijatuhkan hukuman mati
  2. atau diperangi

Pemerintah juga mestilah meneliti dan mengkaji sebab pemberontakan tersebut dan sekiranya tuntutan itu benar maka pemerintah hendaklah menerima dan melaksanakannya. Sekiranya permintaan mereka tidak  benar, dan mereka masih berdegil tidak mahu mentaati pemerintah, di saat itu mereka bolehlah diperangi.

(Sumber: http://ustazabdulwahab.wordpress.com/jenayah/hukuman-hudud/)

5 May 2012 Posted by | Ibadah, Politik dan Dakwah, Tazkirah | , , | Leave a comment

15 Perkara Yang Mengakibatkan Datangnya Bencana

Daripada Ali bin Abu Talib berkata, Nabi Muhammad saw telah bersabda: "Apabila umatku melakukan 15 perkara, pasti turun bencana menimpa mereka".

Lima belas perkara itu adalah seperti berikut :-

1.   Menganggap kekuasaan sebagai suatu perniagaan mencari untung.
2.   Menganggap amanah seperti ghanimah (harta rampasan perang).
3.   Menganggap membayar zakat adalah merugikan.
4.   Lelaki atau suami tunduk kepada isterinya.
5.   Anak derhaka kepada ibunya.
6.   Anak lebih taat kepada kawannya berbanding kepada orang tuanya.
7.   Anak membenci ayahnya.
8.   Ramai orang Islam menjerit-jerit di dalam masjid dan dijalanan.
9.   Pemimpin adalah orang yang rendah budinya.
10. Orang ditakuti kerana kejahatannya.
11. Penjualan dan Minuman arak berleluasa.
12. Ramai orang memakai sutera.
13. Penari wanita berleluasa.
14. Muzik dimainkan di merata-rata tempat.
15. Umat Islam pada hari ini mengutuk umat terdahulu termasuk para
sahabat,tabiin, para ulama ilmiah dan imam.

" Maka pada saat itu, tunggulah datangnya azab termasuk angin merah, gempa bumi, tanah runtuh dan kemusnahan." (Hadis Riwayat Tirmizi)

“Di antara tanda-tanda semakin dekatnya kiamat ialah dunia akan dikuasai oleh Luka’ bin Luka’(orang yang bodoh dan hina). Maka orang yang paling baik ketika itu ialah orang yang beriman yang diapit oleh dua orang mulia” – Riwayat Thabrani

Semoga ALLAH merahmati hamba yang telah menjadikan percakapannya sebagai zikir, diamnya sebagai tafakkur, pandangannya sebagai iktibar, dan geraknya sebagai perhambaan, dan daripada lisan serta tangannya manusia mendapat kesejahteraan – Saidina Ali Karramallahu Wajhah

5 May 2012 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Rapuh Iman rosak Perpaduan

Sistem moral dan etika adalah salah satu daripada sistem yang mempengaruhi kehidupan manusia dan mencerminkan keimanan seseorang. Peraturan yang digariskan dalam sistem moral dapat mempengaruhi lingkungan kehidupan insan dan menjadi pedoman serta panduan. Sejarah membuktikan betapa keruntuhan sistem moral akan menghakis ketamadunan yang dibina, tidak kiralah bertapa hebatnya tamadun tersebut. Di dalam al-Quran Allah SWT telah menceritakan bagaimana satu umat itu ditimpa bala bencana yang amat dahsyat hanya disebabkan kebejatan moral, kelemahan iman dan menularnya budaya hidup songsang. Lihat sajalah bandar Sodom yang didiami umat Nabi Lut satu ketika dulu telah dihempas ke bumi hingga mengakibatkan bandar itu hancur dan kesannya kita dapat lihat sehingga sekarang. Firman Allah SWT di dalam surah al-Aa’raf ayat 80 hingga 81:

Yang bermaksud: Dan Nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: Patutkah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini {81} Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsumu bukan kepada wanita, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.

Amalan cara hidup songsang sebagai lesbian, gay dan dwiseksual sebenarnya bertentangan dengan undang-undang dan normal agama dan moral di negara kita. Dalam Islam amalan tersebut adalah di haramkan sama sekali dan termasuk dalam golongan dosa-dosa besar. Sabda Rasulullah SAW yang di riwayatkan oleh Ibn majah yang bermaksud: Sesungguhnya yang paling aku takuti menimpa umatku adalah perbuatan kaum Lut (Riwayat Ibn Majah) . Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud: Allah SWT melaknat sesiapa saja yang melakukan perbuatan kaum Nabi Lut (Riwayat Ibn Abas)

Gerakan untuk mencabar keutuhan moral dan kesusilaan masyarakat yang berteraskan ajaran Islam yang bersifat syumul ini, dapat kita lihat dengan jelas menerusi penganjuran demonstrasi dan perhimpunan-perhimpunan yang mempromosikan budaya hidup songsang dan bebas termasuk gerakan LGBT secara melampau oleh kumpulan-kumpulan yang bertopengkan perjuangan Hak Asasi Manusia dan perjuangan anti-diskriminasi yang dipelopori oleh NGO-NGO tertentu. Penganjuran program-program seperti Seksualiti Merdeka pada dasarnya merupakan manifestasi ideologi humanisme sekular yang sekarang ini bergerak pantas didokong oleh arus pemikiran liberalisme atau budaya kebebasan secara melampau tanpa menghiraukan kepentingan umum. Apa yang menjadi kebimbangan besar kita ialah kemudaratan yang memberi kesan terhadap kelangsungan tamadun dan kehidupan beragama manusia.

Kita sedar hari ini sekali lagi pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kehidupan bermoral dan perpaduan umat Islam serta keamanan negara diantaranya melalui pencemaran budaya, gerakan budaya hidup songsang, penyebaran fitnah perpaduan samada melalui media massa dan alam siber dan melanggari undang-undang negara.

Di dalam Islam, setiap insan tidak memiliki kebebasan mutlak, bahkan setiap tindak-tanduknya dibimbing oleh prinsip dan peraturan yang telah ditetapkan oleh syarak yang bersumberkan wahyu daripada Allah SWT. Hak yang digariskan dan dijamin oleh agama Islam sudah pastinya tidak sama sekali bertentangan dengan hak-hak Allah yang menjamin kepentingan dan kemaslahatan umum. Sesuatu yang diperjuangkan sebagai hak mestilah sesuatu yang tidak sama sekali bertentangan dengan kebenaran, keadilan, kewajaran, dan kesesuaian dengan fitrah insan serta tidak mendatangkan kemudaratan, musibah, mala petaka, dan kehancuran terhadap segenap aspek dalam masyarakat.

Justeru, sebagai umat Islam diseru agar tidak bersama dengan golongan ini, jangan terpengaruh dengan pujuk rayu dan tipu daya mereka. Marilah sama-sama kita mempertahankan tanah air kita ini dari merebaknya budaya songsang, berlakunya kekacauan, marilah sama-sama kita berganding bahu, bersatupadu, merapatkan saf, mengeratkan perpaduan di kalangan kita agar apa jua usaha mereka ini untuk menggugat moral kehidupan, keharmonian dan keamanan negara dapat digagalkan. Sesungguhnya kekuasaan dan pertolongan Allah SWT sentiasa bersama jemaah dan mereka yang benar. Firman Allah SWT dalam Surah Ali- Imran ayat 160:

Maksudnya: Jika Allah menolong kamu maka tidak ada sesiapa pun yang akan dapat mengalahkan kamu; dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang akan dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan yang demikian)? Dan (ingatlah), kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri.

Di tangan kitalah letaknya tanggungjawab dan kuasa bagi menghentikan kekacauan dan kehancuran yang akan diakibatkan oleh gerakan yang memperjuangkan amalan hidup yang menjijikkan itu. Berdasarkan maqasid syariah maka menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjaga lima perkara iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta. Mimbar ingin mengingatkan salah satu prinsip penting yang mesti dilaksanakan oleh umat Islam bagi memastikan kedaualatan agama kekal terpelihara ialah dengan menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran Allah SWT berfirman di dalam surah al-Hajj ayat 41:

Bermaksud:Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan perkara yang mungkar. Dan ingatlah bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Kumpulan-kumpulan yang sengaja mengada-adakan cerita dengan tujuan jahat bagi menjatuhkan imej negara di mata dunia ditangani secara berkesan. Marilah kita melakukan tindakan berdasarkan prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam dan bertimbang rasa dengan pihak lain. Janganlah pula kita terhasut dengan pemikiran yang jahat dan dari godaan syaitan yang menyesatkan. Kita berdoa kepada Allah SWT agar mereka yang terpengaruh dengan golongan ini diberi keinsafan dan berteduh dibawah payung perpaduan. Kita juga memohon dikekalkan kesinambungan nikmat keamanan dikalangan kita, dijauhi segala malapetaka yang boleh menjejaskan usaha membangunkan agama, bangsa dan negara. Firman Allah dalam Surah al-Anfaal ayat 46:

Maksudnya: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah kamu; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.

(Sumber: Intisari dari Khutbah Jakim)

4 May 2012 Posted by | Tazkirah | , , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: