Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Perkara Khilaf Antara Rahmat dan Fitnah

Para Ilmuwan Islam bukan sahaja kaya dengan ilmu berkaitan Aqidah dan Syariat tetapi kaya dengan amalan Adab dan Akhlak khususnya apabila berbeza pendapat. Budaya populis membahaskan perkara khilaf Ulamak yang dijenamakan atas nama kajian ilmiyah untuk memenangkan pendapat yang disokong akhirnya menjadi fitnah kepada khalayak awam yang kurang berilmu. Perkara khilaf akan kekal menjadi khilaf walaupun didatangkan dengan pelbagai hujah kerana setiap pendapat itu sememangnya didatangkan dengan hujahan ilmiyah menerusi pelbagai kaedah fiqhiyyah. Keilmuan dan sudut pandangan masing-masing ilmuwan pula menjadikan dia lebih cenderong berpegang dengan satu pendapat berbanding yang lain. Hanya ilmuwan yang tidak berakhlak berkeras hanya pendapatnya yang betul dan lain adalah salah. Itu bagi sesama ilmuwan.

Namun, bagi khalayak awam yang kurang mendalami disiplin-disiplin ilmu Islam, dengan kedangkalan ilmu, seseorang awam menilai suatu perkara khilaf perselisihan pendapat ulamak sebagai salah kerana terpedaya dengan hujahan ilmuwan yang disokong oleh dirinya. Akhirnya perkara khilaf yang sewajarnya menjadi rahmat menggambarkan keluasan Islam menjadi suatu bala pertengkaran dan pergaduhan antara khalayak.

Al-Layth bin Sa’ad (hidup 94 – 175 H), seorang tokoh Fiqh di Mesir menceritakan, “saya bertemu Imam Malik (hidup 93-179 H) di Madinah lalu saya berkata: “saya melihat kamu menyapu peluh didahimu.” Malik menjawab: “saya berpeluh berada bersama Abu Hanifah (hidup 80 – 150 H) kerana beliau seorang yang sangat faqih wahai orang Mesir.” Kemudian saya bertemu pula Imam Abu Hanifah dan saya berkata kepadanya: “Alangkah indahnya ulasan Imam Malik terhadap kamu”. Abu Hanifah lantas berkata: “Demi Allah. Saya tidak melihat seseorang yang lebih pantas daripada beliau membawa jawapan yang benar dan kritikan yang sempurna”
(Dipetik dari kitab al-Intiqa’ fi Fadhail al-A’immah al-Thalathah al-Fuqaha karya Ibnu Abd al-Barr)

Demikianlah akhlak para ulamak meskipun berbeza pendapat dan mazhab.

Dr Khairuddin Takiri

01/08/2019 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: