Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

REBUT KELEBIHAN GANDAKAN AMALAN 10 HARI AWAL ZULHIJAH.

Kelebihan dan keistimewaan beribadah turut diberikan kepada umat Islam yang tidak berpeluang menunaikan haji pada tahun iaitu dengan beramal pada Zulhijjah dengan pelbagai kelebihan dalam bulan ini khususnya mulai 1 sehingga 10 Zulhijjah.

Ramadan dikenali dengan kelebihan 10 malam terakhirnya, manakala Zulhijjah pula dikenali dengan kelebihan menggandakan amalan pada 10 hari awalnya.

Keistimewaan amalan pada bulan ini selari dengan firman Allah SWT bermaksud: “…dan malam yang 10 (mempunyai kelebihan di sisi Allah),” (Surah al-Fajr, ayat 2).

Ibnu Abbas, Ibnu al-Zubair, Mujahid dan Ibnu Kathir dalam mentafsirkan ayat mengenai ‘malam yang 10’ itu merujuk kepada 10 malam pertama pada Zulhijjah.

Seterusnya tafsiran itu disokong hadis Nabi SAW bermaksud; “Tidak ada hari yang amal soleh dilakukan lebih dicintai Allah daripada 10 hari ini (di awal Zulhijjah). Mereka berkata; Wahai Rasulullah! Tidak juga berjihad di jalan Allah? Baginda SAW berkata: “Tidak juga berjihad di jalan Allah, melainkan seseorang itu keluar dengan jiwa dan hartanya kemudian dia tidak kembali (syahid) dengan membawa sesuatu pun.” (HR Bukhari).

Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani mengulas lanjut antara faktor 10 hari awal Zulhijah itu istimewa kerana terhimpun di dalamnya beberapa ibadah utama dan besar nilainya iaitu solat, puasa, sedekah dan haji. Sedangkan pada waktu lain, semua ibadah itu tidak pernah terhimpun sebegitu.

Selain itu, Ibn Qayyim al-Jauziyah pula menjelaskan kelebihan 10 hari awal Zulhijah ditinjau dari sudut hari (siangnya) kerana di dalamnya terdapat hari al-Nahr (korban), hari Arafah (9 Zulhijah) dan hari at-Tarwiyah (8 Zulhijah).

Anjuran beramal dalam tempoh masa 10 hari awal Zulhijah bukan bermakna tidak perlu lagi melaksanakan ibadah pada masa lain, namun tempoh itu sebagai titik permulaan proses mendidik diri melakukan pelbagai amal soleh pada masa lain.

Terdapat pelbagai amalan boleh dilaksanakan untuk mendekatkan diri dan meningkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT di 10 hari awal Zulhijah ini.

Antara amalan boleh dilaksanakan bagi meraih kelebihan dan keistimewaan di sisi Allah SWT adalah seperti berikut.

1) SOLAT: Ibadah solat adalah amalan pertama sekali dihisab pada hari akhirat kelak. Solat sunat berperanan menyempurnakan kekurangan berlaku atau terdapat pada solat fardu lima waktu. Umat Islam boleh membiasakan diri mendirikan pelbagai solat sunat antaranya solat sunat rawatib, tahajjud dan witir.

Oleh kerana 10 hari awal Zulhijjah ini hari amal ibadah dilakukan padanya paling disukai Allah SWT, maka amalan solat sunat wajar dipertingkatkan dan diperbanyakkan.

2) BERPUASA: Ibadah puasa yang juga amalan paling utama pada hari pertama hingga sembilan Zulhijjah ini. Kelebihan berpuasa terdapat di dalam hadis qudsi bermaksud; “Allah SWT berfirman: Semua amal ibadah anak Adam adalah bagi dirinya sendiri kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku dan Aku sendiri mengurniakan ganjaran pahala baginya.” (HR Bukhari dan Muslim).

Berpuasa menjadi sunnah Nabi SAW seperti hadis bermaksud; “Empat perkara tidak pernah ditinggalkan Rasulullah – puasa Asyura, puasa 10 hari awal Zulhijjah), puasa tiga hari setiap bulan dan dua rakaat sebelum subuh.” (HR Nasai)

3) MENGINGATI ALLAH SWT: Pada hari sangat dicintai Allah, amalan sangat baik dialukan umat Islam adalah berzikir, bertakbir, tahmid, tasbih dan tahlil.

Segala bentuk amalan mengingatkan kita kepada Allah sangat dituntut seperti maksud hadis Nabi SAW: “Tiada hari lebih agung dan disukai Allah untuk beramal soleh selain 10 hari ini. Maka, banyakkan tahlil, takbir dan tahmid kepada-Nya.” (HR Ahmad).

4) IBADAH QURBAN: Ia adalah satu ibadah agung menerusi peristiwa Nabi Ibrahim diperintah mengorbankan anaknya, Nabi Ismail.

Terdapat hadis Nabi SAW bermaksud; “Tidak ada amalan dilakukan anak Adam pada hari al-Nahr (Hari Aidiladha) lebih dicintai Allah selain menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah itu akan sampai kepada reda Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkan jiwa kamu (dengan berkorban).” (HR Tirmizi).

5) BERTAUBAT DAN NEMOHON KEAMPUNAN (ISTIGHFAR) KEPADA ALLAH SWT:
Setiap umat Islam perlu berterusan melakukan taubat yang sebenar-benarnya, meninggalkan segala dosa dan maksiat.

Firman Allah SWT bermaksud; “Dan orang berjihad untuk (mencari keredaan) Kami, nescaya Kami tunjukkan kepada mereka jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama mereka yang berbuat baik.” (Surah al-Ankabut, ayat 69).

6) MEMPERBANYAK BERDOA: Hadis Nabi SAW bermaksud; “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (HR Malik). Amalan terbaik pada hari wukuf di Arafah adalah berdoa kepada Allah SWT. Ia waktu berdoa paling mustajab dan paling dekat untuk dimakbulkan.

Walaupun wukuf dan doa mustajab adalah amalan ‘khususiyyat’ (perkara dikhususkan) untuk jemaah haji di Arafah bermula selepas gelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga tenggelam matahari, namun umat Islam tidak mengerjakan ibadah haji boleh mengambil peluang dan kelebihan hari wukuf di Arafah ini untuk berdoa di tempat masing-masing sepanjang tempoh itu.

Selain amalan dinyatakan di atas, umat Islam digalakkan memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, membaca al-Quran, menuntut ilmu dan terbabit dalam amalan amar makruf nahi mungkar.

Justeru, keistimewaan dan kelebihan Allah SWT kurniakan pada 10 hari awal Zulhijjah ini perlu direbut umat Islam melakukan amal soleh bagi meraih cinta dan kasih sayang Allah SWT.

DR AZRI BAHARI
Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.

17/06/2023 - Posted by | Fad hail Amal

No comments yet.

Leave a comment