Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Kisah Tok Lebai Menghalalkan Cara

b0341

Ini cerita oleh seorang sahabat FB yang mengisahkan bagaimana ada lebai-lebai yang boleh menukar hukum yang mereka keluarkan untuk kepentingan diri semata-mata.

Di satu kampung ada seorang Lebai yang mengajar di sebuah surau. Biasanya dia akan mengajar kuliah subuh. Suatu hari dia terpandang seorang wanita yang bersama-sama jemaah mendengar kuliahnya. Dia telah jatuh cinta kepada wanita tersebut. Lalu dia mencari siapakah wanita ini sebenarnya.

Dipendekkan cerita, dia mendapat tahu wanita itu adalah isteri kepada salah seorang anak muridnya (Hamid) yang sangat rajin datang ke surau untuk mendengar kuliahnya. Dia mula mencari helah. Dia meminta agar dapat mengajar setiap hari di surau itu. Setiap pagi dia akan datang awal untuk melihat apa kebiasaan yang Hamid lakukan sepanjang berada di surau..

Suatu hari, dia mendapat akal, dia melihat Hamid masuk ke dalam tandas. Dia tahu di dalam tandas itu, jika mahu buang air besar atau kecil, mesti mengadap kiblat.

Lalu semasa mengajar, Lebai berkata ” Barang siapa yang buang air besar atau air kecil pada pagi ini dengan mengadap kiblat, maka dia mesti menceraikan isterinya”

Resahlah Hamid mendengar kata-kata Lebai itu, dia menunggu sehingga kuliah subuh itu selesai. Apabila semua orang sudah pulang, Hamid cepat-cepat menemui lebai lalu bertanya ” Lebai, macamana dengan saya ni, tadi saya buang air kecil, kebetulan surau ni tandasnya mengadap kiblat, apa yang perlu saya buat?”, kembang hati lebai mendengar pertanyaan Hamid lalu berkata “Sememangnya kamu mesti menceraikan isterimu”.

Tanpa membuang masa Hamid terus pulang lalu diceraikannya isterinya. Selesai sahaja edah, Hamid mendapat tahu isterinya telah bernikah dengan lebai tersebut. Marah Hamid bukan kepalang, baru dia sedar dia telah ditipu.

Hamid pun mencari jalan untuk mengenakan lebai itu semula. Setiap hari Hamid akan datang awal ke surau dengan harapan dapat melihat Lebai masuk ke tandas.

Nasib Hamid baik, bila satu pagi dia melihat Lebai telah masuk ke tandas. Setelah selesai kuliah dan semua orang telah pulang, Hamid cepat-cepat mengadap Lebai lalu berkata ” Ustaz, apakah hukum orang yang membuang air kecil atau besar dengan mengadap kiblat telah bertukar?”, Lebai terkejut mendengar pertanyaan Hamid lalu menjawab ” Tidak, masih sama… setiap orang yang ketika membuang air besar atau kecil mengadap kiblat, mesti menceraikan isterinya”. Hamid tersenyum lalu berkata ” Tadi, bukankah ustaz masuk ke tandas surau, bermakna ustaz telah mengadap kiblat ketika buang air. Jadi bila ustaz nak cerai isteri ustaz”.

Kali ini Lebai pula yang tersenyum, katanya ” Memang saya buang air kecil tadi, tubuh saya mengadap kiblat tetapi “ANU” saya, saya hadapkan ke arah lain”

Begitulah kisah lebai yang sentiasa mencari helah demi kepentingan dirinya sendiri. Biarpun dia pernah mengucapkan mesti menceraikan isteri ketika perkara itu tidak menyebelahinya, tetapi akan mencari helah agar dia tidak dilihat bersalah jika satu-satu perkara itu menampakkan kejahatannya.

17/02/2013 Posted by | Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan | | Leave a comment

Penebang pokok dan kapak tumpul

Klip Art dari Coolclip.com

AL-KISAH pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya. Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya.

Ketika mula bekerja, majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan.

Hari pertama bekerja, dia berjaya menumbangkan lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya.

“Hasil kerjamu sungguh luar biasa! Saya sangat kagum dengan kemampuan kamu menebang pokok itu. Belum pernah ada sesiapa sepertimu sebelum ini. Teruskan bekerja seperti itu,” kata majikan itu.

Pujian daripada majikannya itu memberikannya motivasi untuk terus melaksanakan kerjanya. Pada keesokan harinya, penebang itu bekerja lebih keras lagi, tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok.

Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan bahkan mengecewakan. Semakin hari semakin sedikit pokok yang ditebangnya.

“Sepertinya aku kehilangan kemampuan dan kekuatanku, bagaimana aku dapat terus bertanggungjawab hasil kerjaku kepada majikan?,” fikir penebang pokok itu kerana dia merasa malu dan putus asa.

Dia menghadap majikannya sambil kepalanya tertunduk lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi.

Majikan itu bertanya kepadanya: “Bila masanya kamu mengasah kapak kamu?” “Mengasah kapak? Saya tidak mempunyai masa untuk itu, saya sangat sibuk setiap hari menebang pokok dari pagi hingga petang dengan sekuat tenaga,” kata penebang itu. “Nah, di sinilah masalahnya. Ingat, hari pertama kamu kerja? Dengan kapak baru yang terasah tajam, maka kamu mampu menebang pokok dengan hasil luar biasa.

“Hari-hari berikutnya, dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sendiri, hasilnya semakin menurun. Maka, sesibuk mana pun kamu perlu meluangkan masa untuk mengasah kapakmu, supaya setiap hari kamu bekerja dengan tenaga yang sama dan hasil yang maksimum. Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!” perintah majikan.

Sambil mengangguk-anggukkan kepala dan mengucap terima kasih, penebang itu berlalu di hadapan majikannya untuk mengasah kapaknya.

Sebenarnya betullah kata bijak pandai. Istirahat bukan bererti berhenti, tetapi untuk menempuh perjalanan yang lebih jauh lagi dan mencabar. Sama seperti penebang pokok itu, kita pun setiap hari dari pagi hingga malam hari, seolah-olah terjebak dalam kesibukan.

Sibuk, sibuk dan sibuk, sehingga sering kali kita lupa untuk berehat iaitu istirahat seketika mengasah serta mengisi hal-hal baru untuk menambah pengetahuan, wawasan apa lagi soal spiritual, ibadah, soal matlamat supaya kita lebih bermotivasi. Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri, dengan bermuhasabah, bermujahadah dengan memperbanyakkan membaca.

Dengan ilmu sahajalah kita boleh berada di mana sahaja sebab ilmu yang kita galas tidak pernah membebankan kita. Ilmu bagaimana mengenal Allah mesti diperbaharui, ilmu mengenai kenabian, malah ilmu diri kita sendiri.

Dari mana kita datang, di mana kita sekarang, apa yang patut kita lakukan sekarang di dunia dan selepas ini ke mana kita akan pergi. Semoga tazkirah kali ini kita sentiasa tajam dengan ilmu dan keprihatinan terhadap tanggungjawab seharian barulah hari mendatang menjadi lebih baik dari semalam, dan hari esok lebih baik dari sebelumnya.

Sumber : Harian Metro

30/11/2011 Posted by | Renungan & Teladan | | Leave a comment

Mengapa tidak terus ambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ?

Saya ingini turunkan satu kisah yang menceritakan tentang satu pertemuan seorang pemuda yang baru dapat ijazah PHD dari Al Azhar Mesir dengan seorang Tuan Guru.


Apa yang menarik tentang kisah ini ialah bagaimana sikap seorang Tok Guru ketika memberi didikan kepada seorang yang datang menempelak dan mencemuhnya. Sabar, setia mendengar setiap yang diluahkan dan pelbagai sikap yang baik yang patut diteladani oleh para pendakwah sekarang daripada Tok Guru tersebut. Inilah manhaj sebenar Ahlussunnah Wal Jamaah . Tidak melenting malah memberikan peluang kepada mereka untuk berbicara.


Sikap pemuda yang mengaku mengikut ajaran Salaf ini juga patut diteladani dalam satu aspek iaitu mendengar kembali apa yang diterangkan oleh Tok Guru tersebut dan mengakui bahawa dirinya ada melakukan kesalahan. Berbeza dengan sikap pemuda-pemuda dan para ilmuan sekarang, yang langsung tidak mahu menerima pandangan orang lain malah  menuduh bahawa para ulama dan orang lain yang bukan dari kelompok dia tidak betul,bid’ah,sesat dan sebagainya.

Inilah kisahnya :


Suatu hari, datang seorang pemuda, Imran nama nya, lepasan Universiti Al Azhar Mesir yang mempunyai ijazah PHD ke sebuah pondok untuk bertemu dengan Tok Guru pondok tersebut.Maka berlakulah dialog di antara pemuda dan Tok Guru di ruang tamu rumah Tok Guru.


Tok Guru : Sila duduk anak muda, siapa nama kamu dan datang dari mana?


Pemuda : Terima kasih Tuan. Nama saya Imran bin Abdullah dan saya datang dari Gua Musang Kelantan.(Bukan nama dan tempat sebenar)

Tok Guru: Oh dari jauh rupanya, tentu sdr Imran ada hajat besar ni. Sila ceritakan apa hajat sdr mudah mudah saya boleh tolong.

Imran diam sebentar sambil menarik nafas panjang..


Pemuda : Begini Tuan, saya datang ke sini, bertujuan ingin berbincang beberapa permasalahan dengan Tuan. Mengenai permasalahan umat Islam sekarang. Saya ingin bertanya, mengapa Tok Tok Guru di kebanyakkan pondok pondok pengajian di Malaysia,Indonesia , Nusantara dan di Asia umumnya sering mengajar murid-murid mereka dengan lebih suka mengambil qalam-qalam atau pandangan para ulama? Seringkali saya mendengar mereka akan menyebut : ” Berkata al-Imam al-Syafie”, “berkata al-Imam Hanafi”, “berkata al imam Malik”,”berkata Syeikh itu dan berkata Syeikh ini” dan lain-lain”


Mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah ? Bukankah lebih baik kalau kita mendengar seseorang tersebut menyebutkan ” Firman Allah taala di dalam al-Quran, Sabda Rasulullah sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis itu dan ini?”


Ulama-ulama itu sebagai manusia kan mempunyai kelemahan dan kekurangan. Maka mereka juga tidak lari daripada melakukan kesilapan. Kan lebih baik kita ambil terus daripada kalam al-Ma’sum iaitu al-Quran dan al-Sunnah.
Tok Guru pondok mendengar segala hujah yang disampaikan oleh pemuda tersebut dengan penuh perhatian. Sedikitpun beliau tidak mencelah malah memberikan peluang bagi pemuda tersebut berbicara sepuas-puasnya.

Sambil senyuman terukir di bibir Tok Guru , beliau bertanya kepada pemuda tersebut,


Tok Guru
: Masih ada lagi apa yang ingin kamu persoalkan sdr Imran?


Pemuda : Setakat ini, itu sahaja yang ingin saya sampaikan Tuan.


Tok Guru : Sebelum berbicara lebih lanjut, eloknya kita minum dulu ya. Tiga perkara yang sepatutnya disegerakan iaitu hidangan kepada tetamu , wanita yang dilamar oleh orang yang baik maka disegerakan perkahwinan mereka dan yang ketiga si mati maka perlu disegerakan urusan pengkebumiannya. Betul kan sdr Imran?


Pemuda : Benar sekali Tuan .


Tok Guru lalu memanggil isterinya supaya membawa minuman untuk mereka berdua. Maka minuman pun sampai.


Tok Guru : Jemput minum sdr Imran.


Sebaik dipelawa Tok Guru, Imran pun terus mengambil jug air tersebut lalu menuangkan perlahan-lahan ke dalam cawan yang tersedia.


Tok Guru terus bertanya : sdr Imran, kenapa kamu tidak terus minum daripada jug nya sahaja? Kenapa perlu dituang di dalam cawan?


Pemuda : Tuan, mana boleh saya minum terus daripada jug nya.Jug nya besar.Saya tuang ke dalam cawan agar memudahkan saya meminumnya.


Tok Guru : sdr Imran, itulah jawapan terhadap apa yang kamu persoalkan sebentar tadi. Mengapa kami tidak mengambil terus daripada al-Quran dan al-Sunnah? Ianya terlalu besar untuk kami terus minum daripadanya. Maka kami mengambil daripada apa yang telah dituang di dalam cawan oleh para ulama. Maka ini memudahkan bagi kami untuk mengambil dan memanfaatkannya.


Benar kamu katakan bahawa mengapa tidak terus mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah. Cuma persoalan yang saya ingin tanya balik kepada kamu . Adakah kamu ingin mengatakan bahawa al-Imam al-Syafie dan para ulama yang kamu sebutkan tadi mengambil hukum selain daripada al-Quran dan al-sunnah? Adakah mereka mengambil daripada sumber selain dari al Quran dan al Sunnah?


Pemuda : Sudah tentu mereka juga mengambil daripada al-Quran dan al-Sunnah.


Tok Guru : Kalau begitu, maka sumber pengambilan kita juga adalah daripada al-Quran dan al-Sunnah cuma dengan kefahaman daripada para ulama.


Tok Guru : Satu lagi gambaran yang ingin saya terangkan kepada kamu. Saya dan kamu membaca al-Quran, al-Imam al-Syafie juga membaca al-Quran bukan?


Pemuda : Benar Tuan.


Tok Guru : Baik, kalau kita membaca sudah tentu kita ada memahami ayat-ayat di dalam al-Quran tersebut bukan? Al-Imam al-Syafie juga memahami ayat yang kita bacakan. Maka persoalannya , pemahaman siapa yang ingin didahulukan? Pemahaman saya dan kamu atau pemahaman al-Imam al-Syafie terhadap ayat tersebut?


Pemuda : Sudah tentu pemahaman al-Imam al-Syafie kerana beliau lebih memahami bahasa berbanding kita orang zaman sekarang.


Tok Guru : Sekarang sdr Imran sudah faham bukan? Hakikatnya kita semua mengambil daripada sumber yang satu iaitu al-Quran dan al-Sunnah. Tiada seorang pun yang mengambil selain daripada keduanya. Cuma bezanya, kita mengambil daripada pemahaman terhadap al-Quran dan al-Sunnah tersebut daripada siapa? Sudah tentu kita akan mengambil daripada orang yang lebih alim dan dalam ilmu. Ini kerana mereka lebih wara’ dan berjaga-jaga ketika mengeluarkan ilmu.


Kamu tahu sdr Imran, al-Imam al-Syafie r.a pernah ditanya oleh seseorang ketikamana beliau sedang menaiki keldai , berapakah kaki keldai yang Imam tunggangi?


Maka al-Imam al-Syafie turun daripada keldai tersebut dan mengira kaki keldai tersebut. Selesai mengira kaki keldai berkenaan, barulah al-Imam menjawab : ” Kaki keldai yang aku tunggang ini ada empat”. Orang yang bertanya tersebut merasa hairan lalu berkata ” Wahai Imam , bukankah kaki keldai itu sememangnya empat, mengapa engkau tidak terus menjawabnya?” al-Imam al-Syafiee menjawab : ” Aku bimbang, jika aku menjawabnya tanpa melihat terlebih dahulu, tiba-tiba Allah taala hilangkan salah satu daripada kakinya maka aku sudah dikira tidak amanah di dalam memberikan jawapan”


Cuba kamu perhatikan sdr Imran, betapa wara’nya al-Imam al-Syafie ketika menjawab persoalan berkaitan dunia. Apatah lagi kalau berkaitan dengan agamanya?


Al-Imam Malik r.a pernah didatangi oleh seorang pemuda di dalam majlisnya di Madinah al-Munawwarah. Pemuda tersebut mengatakan bahawa dia datang daripada negeri yang jauhnya 6 bulan perjalanan daripada Madinah. Pemuda itu datang untuk bertanyakan satu masalah yang berlaku di tempatnya.
Al-Imam Malik r.a, mengatakan bahawa ” Maaf, aku tidak pandai untuk menyelesaikannya”
Pemuda tersebut hairan dengan jawapan Imam Malik, dan dia bertanya : ” Bagaimana aku akan menjawab nanti bilamana ditanya oleh penduduk tempatku?”


Maka kata al-Imam Malik : ” Katakan kepada mereka bahawa Malik juga tidak mengetahui bagaimana untuk menyelesaikannya”


Ya Allah.. Cuba kamu lihat sdr Imran betapa amanahnya mereka dengan ilmu. Berbeza dengan manusia zaman sekarang yang baru setahun jagung di dalam ilmu sudah mendabik dada mengaku bahawa seolah-olah mereka mengetahui semua dan segalanya.


Pemuda : MasyaAllah, terima kasih Tuan atas penjelasan yang sangat memuaskan. Saya memohon maaf atas kekasaran dan keterlanjuran bicara saya .


Tok Guru : Sama-sama sdr Imran. Semoga kamu akan menjadi seorang yang akan membawa panji agama kelak dengan ajaran yang benar InsyaAllah.

Rujukan: Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir

28/06/2011 Posted by | Renungan & Teladan | | 1 Comment

Kaki ku lebih bersih dari muka mu

Ini mungkin cerita rekaan yang saya terima dari rakan blogger.Tetapi sangat baik untuk di jadikan teladan.Kisah berlaku dalam sebuah pesawat yang sedang menuju ke Kuala Lumpur.Kebanyakkan dari penumpang pesawat tersebut ialah mereka yang sedang perjalanan pulang ke tanah air selepas mengerjakan umrah.

Dalam pesawat tersebut berlaku satu peristiwa di mana seorang pramugari ternampak seorang pak cik sedang membasuh kakinya di sinki di dalam tandas yang kebetulan lupa di tutup.

Pramugari: Pak cik tolong jangan basuh kaki di dalam sinki.Sinki untuk basuh tangan dan muka, bukan untuk basuh kaki yang kotor tu.Bersopan lah sikit pak cik!

Pak cik: Baik puan, maafkan pak cik.Tapi boleh pak cik tanya sikit?

Pramugari: Apa dia?

Pak cik: Puan, dalam sehari berapa kali puan basuh muka puan?

Pramugari: Saya basuh muka tiap tiap hari sekali selepas bertugas sebelum tidur.

Pak Cik: “Make Up” yang puan pakai di muka puan jenama apa?

Pramugari: (Dengan bangga) Kami pramugari semua pakai jenis jenama yang terkenal dari Peranchis.

Pak Cik : Puan, kalau begitu kaki pak cik ni lebih bersih dari muka puan.

Pramugari: Eh! pak cik jangan merepek.

Pak cik: Pak cik tak merepek tetapi ini kenyataan.Pak cik cuci kaki sekurang kurang nya 5 kali sehari sebelum solat.Sedangkan puan cuci muka hanya sekali sehari.Jadi di antara kaki pak cik dengan muka puan yang mana lebih bersih? Lagi pun puan guna “make up” jenis yang tak suci lagi tak halal ertinya bernajis.Maka memang layak muka puan yang bernajis tu di basuh guna mangkuk tandas ini aje.

Pramugari: Tak terkata, malu,geram, lalu beredar.

Apa kah iktibar dari kisah ini? Saya serahkan kepada pembaca sendiri untuk menilai.

Wallahu’aqlam.

02/06/2011 Posted by | Renungan & Teladan | | 1 Comment

Bila orang tua ini nak mati……

Suatu hari Amirul Mukminin Saidina Umar ingin meninjau ninjau di sebuah pasar.Sedang dia berjalan jalan di dalam pasar kelihatan seorang wanita muda sedang bersusah payah memikul sebuah bakul besar di belakangnya, sambil membeli belah.Saidina Umar sangat hairan kerana dia tidak pernah melihat wanita muda memikul bakul besar.

Lalu dia mendekati wanita itu dan bertanya:

Amirul: Apakah yang puan bawa di dalam bakul itu?

Wanita: Oh di dalamnya ada bapa ku yang sangat tua.

Amirul : Mengapa tidak tinggalkan dia di rumah.Kan ini menyusahkan?

Wanita: Bapa ku sudah sangat tua.Dia tidak boleh bergerak tanpa di bantu.Dan tidak boleh di tinggalkan bersendirian.Makan minum, mandi dan pakiaan nya semua aku yang uruskan.Lagi pun apabila aku nak tinggalkan, dia akan menjerit dan menangis saperti kanak kanak.Maka sebab itu aku bawa dia bersama kemana aku pergi.

Mendengar cerita itu Amirul Mukminin sangat terharu sampai menitis air matanya.

Amirul: Puan sangat hebat.Puan anak solehah.Belum pernah terjumpa seorang anak perempuan berbakti sedemikian rupa kepada seorang bapa.

Wanita: Ya Amirul Mukimin! Aku tak hebat saperti sangkaan tuan.Aku ingin berterus terang kepada tuan.Aku memang kasih, sayang dan menjaga kebajikan bapa aku dengan baik.Tuan sendiri dapat melihat betapa susahnya aku menjaga nya.Tetapi hati ku tidak se mulia saperti yang tuan sangka itu, kerana sentiasa terdetik mengeluh dan mengata ngata ,“BILA ORANG TUA INI HENDAK MATI, MENYUSAHKAN AJE.”

Semoga Allah jauhkan kita dan anak anak kita dari bersikap saperti wanita ini?


Wallahu’alam.

25/05/2011 Posted by | Renungan & Teladan | , | Leave a comment

Majlis akad nikah mendedahkan ramai yang tidak reti mengucap Syahadah

Foto Hiasan yang tidak ada kena mengena dengan tulisan ini

SENARIO I

Sahabat saya seorang Imam masjid,pendakwah dan juga seorang jurunikah di  salah satu qariah di Ampang Selangor menceritakan satu kisah lucu tetapi menyedihkan di satu majlis pernikahan yang baru dia sempurnakan minggu lepas di sebuah masjid.

Biasalah sebelum memulakan akad nikah jurunikah akan meminta bakal suami membaharui syahadah  nya dengan melafazkan dua kalimah syahadah. Maka bakal suami ni mula nak melafazkan syahadah tetapi nampak terkial kial Dia  asyik toleh ke kiri dan ke kanan seolah olah nak  minta bantuan dari orang sebelah tetapi mungkin malu.

Dengan teragak agak dia pun mula melafazkan syahadah dengan sebutan yg lintang pukang telo, bahasa Bangla.Jurunikah pun hairan dan berkata dalam hati, rakyat Malaysia kah orang ini? Apabila cek KP memang sah orang Melayu.

Berkali kali jurunikah  ajar dia mengucap dgn betul tetapi tak boleh juga dia sebut dengan betul.Macam mualaf aje.Lama kelamaan  jurunikah kata tak apalah dulu, lalu minta dia cuba lafazkan erti syahadah dalam bahasa Malaysia.Ini terjemahan dua kalimah syahadah yang di lafazkan si bakal suami itu “SAJA AKU MENGUCAP  DUA KALIMAH SYAHADAH DUA RAKAAT KERANA ALLAH”.Jurunikah tersentak kerana tak pernah jumpa hal macam ini.

Para hadirin tidak boleh tahan lalu ketawa besar walaupun sedar mereka sedang berada di dalam dewan masjid.Sahabat saya pun (jurunikah tu) nak ketawa juga tetapi dgn susah payah menahannya.Dia kata memang lucu tetapi sedih kerana sudah pasti di luar sana ada lebih ramai lagi pemuda saperti ini yang tidak reti mengucap . Renung renung lah…………

SENARIO II

Kisah ini saya sendiri yang menyaksikan.Satu majlis pernikahan anak perempuan kenalan saya di sebuah masjid di Sepang.Anak perempuanya itu pelajar di UK.Bakal suami nya sedang bermaustatin di UK.Sudah sekian lama berada disana kerana belajar .Kini sudah bergelar Jurutera dan berkerja di sana.Sesudah ijab qabul dan jadi suami isteri mereka dijangka kembali ke UK.

Saperti biasa sebelum majlis akad nikah di sempurnakan jurunikah minta bakal suami melafazkan dua kalimah syahadah.Si “bakal” ni terpinga pinga lalu berbisik sesuatu dengan pengapitnya (juga dari UK – pelajar).Kelihatan si pengapit membisikan sesuatu kembali.Lantas lepas itu dia melafazkan syahadah.Bukan syahadah yang dia lafazkan  tetapi selawat.Bukan selawat kata jurunikah.Saya minta awak ucap dua kalimah syahadah.Tak reti.

Jurunikah terpaksa ajar lafaz dua kalimah syahadah hingga berkali kali barulah upacara akad nikah boleh dijalankan selepas itu .

24/05/2011 Posted by | Renungan & Teladan | | 23 Comments

Kemalangan itu ‘mengajar’ bahawa Allah sentiasa di sisi

 

Tulisan: nina mazrina (fuzzy4er@yahoo.com)
 
Suatu kisah ketika saya terlibat kemalangan jalan raya tempoh hari. Alhamdullilah, Allah masih sayangkan saya dan mengajar hidayah baru, buat manfaat semua.

Kejadian itu berlaku beberapa hari lalu, kira-kira 8.30 pagi dalam perjalanan saya menuju ke pejabat. Hari baru dengan semangat yang baru, getus hati.

Waktu itu, saya memandu laju mengekori sebuah kereta Avanza putih yang menuju hampir ke persimpangan Setiawangsa, di mana lampu isyarat simpang sedang menyala kuning…lalu

Dengan tidak semena-mena Avanza itu, mengambil keputusan untuk berhenti!

Saya tergamam lantas menekan brek secepat mungkin sambil cuba membelok ke kanan untuk mengelak sipi. Namun takdir Allah sampai jua, apabila kereta saya bertembung bahagian belakang Avanza tersebut.

“Dummm!!!!”

Berdentum kereta saya. Bergegar tubuh dan kejang kaki tangan menahan stering dan brek. Kereta terbabas ke tepi, nyaris tidak ‘dibalas’ kereta dari belakang.

Ketika itu, mata saya mula berpinar dan sempat mengucap panjang serta beristighfar. Minit yang pertama, saya tersentak dan diam seketika. Pelbagai perkara menerpa dalam kepala tanpa dipaksa.Masalah-masalah dunia timbul secara borong. Saya mula memikirkan perjalanan kehidupan anak-anak, isteri esok hari. Bagaimana ke sekolah, ke tempat kerja? Apa cara untuk kais wang ribuan ringgit akibat kemalangan ini? Bagaimana kerjaya saya dan terfikir juga, bagaimana kalau pemandu Avanza mengeluarkan beluti atau besi, paling tidak memaki saya, seperti kebiasaan bergaduh dan bertengkar selepas pelanggaran kereta yang berlaku, di mana-mana?

Minit kedua, saya melihat tubuh masih sempurna cukup sifat. Tiada secebis darah yang terbit di muka. Tuhan Maha kuasa, walau terasa seinci nyawa hampir ‘terpisah’ dari jasad pemandu, namun saya masih bernafas lagi.

Asap mulai merayap keluar dari sudut bucu kereta ‘marhaen’ saya. Habis kereta saya, remuk bahagian depan, bonet dan enjin. Gear tidak berfungsi. Lampu hancur manakala pintu sukar dibuka, namun saya berjaya meloloskan diri dengan payah untuk keluar, lantas bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Dengan tenang saya berdoa dalam hati: “Ya Allah, permudahkanlah urusanku ini…”

Saya lalu, terpa pemandu Avanza tersebut, dan syukur dia juga selamat tanpa sebarang luka. Sebelum dia sempat mengeluarkan butiran kata-katanya, saya terus meminta maaf berulang kali atas kejadian yang terjadi.

Saya terus mengaku bersalah. Biarpun dia berhenti ketika lampu isyarat kuning masih menyala dan keretanya tidak ‘cedera’ teruk, saya tetap wajar dipersalahkan.

Sambil menggeleng kepala, dia berbahasa inggeris satu persatu memperkenalkan dirinya kepada saya. Rupanya dia warga Korea dan tidak fasih berbahasa Inggeris.

“What to do now?” soalnya agak panik dan sangkut-sangkut kepada saya, sambil melihat kenderaan berjujut panjang kerana kesesakan yang baru saya ‘cipta’ sebentar tadi.

“Both of us have to make a police report, to settle this down…” jelas saya.

Dia setuju, lalu dengan rasa malu, saya memohon untuk menumpangnya, memandangkan kereta saya sangat ‘parah’ dan tidak boleh dipandu lagi. Selepas menyalakan lampu ‘Hazard’ di kereta, kami bersama-sama ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk membuat laporan.

Dalam perjalanan hampir sejam dicampur gelumang kesesakan lalu-lintas, maklumlah waktu puncak jam 9.00 pagi, saya sempat bersembang dan ‘tekanan tinggi’ yang kami hadapi sebentar tadi, kami ‘tukarkan’ menjadi satru perkenalan persahabatan yang baik.

“Maybe, you don’t trust me, so would you like to call your friend or agent or anybody to inform your situation, so that, they can advise you whatsoever…,” kata saya ‘broken’ English.

Di balai polis, kedua-dua membuat laporan, dan saya menjadi penterjemah tak bertauliah kepadanya. Sekali lagi, nilai-nilai kemanusiaan juga menyerlah apabila anggota polis di sana turut melayan kami dengan baik.

Seorang sarjan polis kehairanan, dengan tingkah laku saya yang prihatin terhadap pemandu Korea itu. Iyalah…saya rasa bersalah dan rasa patut membantunya sehingga selesai.

“Encik… selesaikan urusan encik dahulu. Tak perlu bimbang hal dia, dan biar dia serta syarikat insurannya uruskan.

“Maaf sarjan, dia orang Korea, dia tak berapa tahu prosedur dan kalau boleh saya nak tahu caranya,” jawab saya.

“Tak pe, nanti saya jelaskan padanya dan minta dia hubungi agen dia. Encik tak perlu bimbang ya. Tapi saya nak minta maaflah, terpaksa keluar saman RM300.00 kerana kesalahan encik melanggar kereta dia,” katanya membuatkan saya mula resah sedikit dan tunduk, sambil akui kesalahan saya.

Melihat raut wajah saya yang mulai kusut, sarjan itu tersenyum :” Sudahlah encik, yang berlaku dah berlaku…bertenanglah. Tak pe saman ini, saya bagi tempoh selepas Raya nanti ya,” katanya membuatkan saya kembali lega.

Sarjan, itu cukup baik melayan kami berdua. Ya , dia polis, pun manusia yang punya hati dan perasaan juga. Kami lantas beredar setelah selesai semua urusan. Ketika warga ‘Sonata Musim Salju’ menghantar saya berhampiran pejabat, dia ucapkan terima kasih seraya berkata

“You are good person. Thank you,”

Allah, telah permudahkan urusan saya, maka benarlah janji Allah untuk menolong saya, ketika saya ditimba musibah. Dan antara hikmah yang upaya saya terokai, dengan pelanggaran saya ini, orang lain dapat menjalankan tugas dan tanggangjawab dengan baik. Dan antaranya merupakan ‘rezeki’ buat mereka.

Dari penarik kereta (tow truck), agen syarikat insuran, polis, bengkel kereta semuanya berperanan hari itu, malah mendapat rezeki yang ditentukan Allah, akibat kecuaian saya, seperti pemandu teksi yang menghantar saya ke tempat kerja hari ini, mendapat hasil RM12.00 dari poket saya.

Selain itu, Allah mahu menampakkan nilai-nilai baik yang ada pada manusia, yang mungkin belum pernah ditemui sebelum ini. Malah Allah, mengajar saya, bersangka baik dengan manusia dan melakukan yang terbaik sesama insan.

Itu semua janji Allah. Adakalanya ianya saling berkait antara satu sama lain. Selain itu, hikmah paling besar, ialah menghapus dosa lampau, dan mengajar saya bukan untuk berhati-hati tetapi ‘lebih’ berwaspada di atas jalan raya dan di mana-mana.

Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu bahawa Rasulullah saw bersabda:

Maksudnya: “Seorang muslim itu tidak ditimpa sesesuatu dari keletihan, penyakit, masalah (kebingungan), kesedihan (kerana kehilangan sesuatu), kesengsaraan dan duka cita sehinggakan (kepada) duri yang menusuknya (menyakitinya), kecuali Allah menghapuskan (mengampunkan) dengan semua itu daripada dosa-dosanya.”

Ujian bertali arus, bertubi-tubi

Setelah selesai semua, kereta ditarik ke bengkel berhampiran Kampung Baru untuk diperbaiki selama dua minggu. Sebaik pulang ke rumah, isteri memaklumkan pula anak sulung saya demam dan batuk-batuk.

Aduhai, betapa debarnya hati dan saya terus kuatkan semangat dengan ujian yang menimpa sambil terus tidak putus-putus berdoa.

Semua Allah ‘aturkan’ dengan baik. Dengan simpati pengasuh, saya dapat meminjam kereta, lalu membawa anak ke klinik pula. Di klinik, berpusu orang ramai cuba mendapatkan rawatan, semua bimbang wabak maut influenza A H1N1 ini. Syukur, anak saya disahkan demam biasa dengan simpton-simpton yang ada.

Berselirat juga fikiran saya pada mulanya untuk menangani semua. Rupanya, sehebat mana kita sekalipun, kita akhirnya kena bergantung sepenuhnya untuk Allah menjaga kita dan seisi keluarga setiap hari, ketika dan masa. Tak mampu saya nak buat semuanya. Udara yang merayap dan wabak yang merebak, hanya Allah sahajalah yang mampu membendung.

“Senjata orang mukmin itu, doa. Berdoalah, nescaya Allah kabulkan,” itu kata-kata nasihat ahli agama.

“Dan Kami turunkan dari Al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman” (Al-Israa :82)

Rupanya setiap masalah kita kena selesaikan kes demi kes atau satu persatu dan bukan cuba menyelesaikannya secara borong. Dari masalah kewangan, kerjaya, kesihatan, keluarga dan apa saja, kita kena selesaikan secara tenang dan satu demi satu.

Itulah saya tidak tahu apakah, hikmah Allah menumpahkan ujian bertubi-tubi kepada saya. Yang pasti Allah tidak pernah zalim dan tidak buat perkara sia-sia atau untuk suka-suka.

Sebenarnya, boleh dikatakan hampir setiap hari, saya akan memanjatkan doa yang lebih kurang bunyinya begini:

“….ya tuhanku, selamatkanlah kedua ibu bapa kandungku, isteri, anak-anakku, adik-adikku dan kaum keluargaku daripada pelanggaran kereta, kemalangan jalan raya atau apa saja bencana yang disebabkan oleh kecuaian manusia…….,”

Tetapi saya tetap menerima ujian cukup hebat ini. Bila saya fikir dan ingat balik, rupanya saya hanya berfikir kecuaian manusia, sedangkan kecuaian diri sendiri saya tidak minta Allah hindarkan dan sepatutnya saya berdoa….

“Ya, Allah selamatkanlah kaum keluargaku daripada kecuaian dan kelemahan disebabkan oleh aku…..”

Saya ceritakan hal doa kepada bonda, yang mengalirkan air mata melihat keadaan saya, yang bertali-arus ditimpa pebagai ujian.

“Azamin doa setiap hari mak, tapi jadi juga, kenapa ya?

“Sebenarnya, takdir itu telah Allah janji pasti terjadi… namun doa itu, menyebabkan kita tidak cedera parah, kereta tidak teruk sangat, dan kedua-duanya tidak melayang nyawa.

“Dan doa kita tidak boleh putus, terhenti akibat kejadian ini, dan kita disuruh berdoa lagi supaya, ianya tidak berulang lagi atau kalau takdir terjadi tidak teruk lagi,” jelas ibu sambil teresak-esak bersyukur anaknya selamat.

“Demi waktu matahari sepenggalahan naik, dan demi malam apabila telah sunyi, Tuhanmu tiada meninggalkan kamu dan tiada pula benci kepadamu, dan sesungguhnya akhir itu lebih baik bagimu dari permulaan. Dan kelak Tuhanmu pasti memberikan kurnia-Nya kepadamu, lalu (hati) kamu menjadi puas. Surah ad-Dhuha ayat 1- 5

Sebenarnya, kemalangan yang hampir meragutkan nyawa ini, bukanlah pertama kali bahkan telah melintasi saya sudah tujuh kali sehingga menjadi trauma kepada saya, namun tidak berhasrat menceritakan semua, bimbang perasaan riak dan takbur tiba-tiba menerpa. Cuma yang pasti, kuasa semua di tangan Tuhan.

Jip terbalik seiring laungan Takbir!

Ketika itu, saya berkerja buruh bersama rakan Muhammad Fadhil, memunggah anak-anak benih getah di kaki bukit di suatu lokasi di Sungai Buloh dan dengan kerjasama RISDA, kami perlu menanam lebih 3,000 anak-anak pokok getah. Memunggah ke kaki bukit kerja kami dan menanamnya pula kami upah Orang Asli.

Kami lakukan kerja memunggah dari bawah ke kaki bukit pada sebelah pagi. Kami menaiki jip 1 tan, boleh muatkan 3 orang. Sekali naik boleh letak 200 benih pokok getah di bahagian belakang.

Saya melakukan kerja itu, sebulan lebih, sehingga kulit saya hitam, bertukar warna, kerana terik dibakar mentari. Ketika balik kampung, ibu saya, bercucuran menangis melihat keadaan saya yang kurus, hitam dan botak seolah-olah baru keluar dari penjara ataupun baru melakukan kerja teramat teruk.

Memang kerja teruk, memunggah anak-anak pokok getah setiap hari. Itu belum campur, gerun kalau-kalau harimau menjelma di balik belukar.

Suatu pagi yang bening, ketika jip ‘mendaki’ bukit, tiba-tiba di pertengahan jalan, enjin jip terhenti serta-merta. Tiba-tiba ‘brek’ dan ‘hand brek’ ‘tak makan’ dan tak berfungsi.

Apa lagi, mengelungsurlah jip kami ke belakang dengan lajunya menuju curam di bawah. Saya dengan panik bertempik dan jerit:

“Allahhuakbar! Allahhuakbar! Allahhuakbar!

Sekuat hati kami laungkan kalimah besar Tuhan itu, dan entah macamana, jip kami terbalik sebanyak dua kali dan tersadai di tengah-tengah bukit serta-merta, tidak jatuh ke curam yang dalam.

Saya dan rakan ketika itu berada dalam keadaan terbalik, kepala di tanah mendongak ke langit dan kakit terapung ke atas. Dengan saki-baki kekuatan yang ada, saya dan rakan cepat-cepat keluar daripada jip, khuatir ia jatuh ke curam.

Saya dan rakan dalam keadan mabuk-mabuk angin. Dan saya tidak dapat menahan lagi, lalu muntah…..

Kemudian secepat mungkin kami pergi ke gigi sungai berhampiran, membasuh muka, sambil meneguk air menghilangkan rasa loya dan pening. Sekembalinya ke tempat kejadian, kami lihat ‘sekampung’ Orang Asli telah mengerumuni jip tersebut sambil memandang kami dengan mata yang buntang.

Terus bercerita tentang Kuasa-Nya…

Kata Tok Batin, dia sudah mengarahkan orang-orangnya mencari saya dan rakan kalau-kalau jumpa di celah curam.

“Kami cari mayat tak jumpa, rupanya kamu masih hidup,” katanya sekaligus membuatkan berjurai air mata saya, mengenangkan nyawa saya diselamatkan Allah jua.

Begitu juga, ketika masih kecil sekitar 1980 ketika usia 6 tahun, saya dan seisi keluarga terlibat dengan kemalangan jalan raya apabila sebuah kereta Nissan melanggar kereta kami, Toyota berwarna merah. Hari itu, minggu Tahun Baru Cina.

Nissan itu terbabas di dalam parit besar betul-betul berhadapan Balai Polis Bagan Serai, Perak manakala kereta kami kemek dan remuk teruk dihentam kereta itu, dan di seret ke tiang elektrik berhampiran.

Mujurlah, walaupun dalam keadaan bahagian hadapan dan belakang kereta kami hancur dan terpaksa guna khidmat polis dan bantuan orang ramai untuk mengeluarkan kami, namun kami tidak cedera. Maha kuasa tuhan yang menciptakan manusia.

Tahu saya di mana ketika itu? Saya terperusuk di bawah kerusi belakang, ketika sedang nyenyak tidur. Maha suci Allah menyelamatkan saya untuk terus bercerita…tentang kekuasaan-Nya sehingga kini. Amin.





katahikmah_004.jpg
 

 

23/07/2010 Posted by | Renungan & Teladan | | Leave a comment