Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

KENAPA RAMAI YANG BERDZIKIR TAPI MEMBUAT DIA SEMAKIN DEKAT DENGAN SYAITAN?

Seorang Murid Bertanya Kepada GURUnya (Imam Al Ghazali)

Murid : “Syeikh, “ Bukankah Dzikir boleh
Membuat Seorang Beriman Lebih Dekat Dengan Allah Ta’ala
Dan Syaitan Akan Berlari Jauh Darinya ?

“Benar,” Jawab Imam al-Ghazali.

Murid :“Namun Kenapa Ada Orang Yang Semakin Rajin Berdzikir Justeru Malah Semakin Dekat Dengan Syaitan ?”.

Gurunya Yang Diberi Gelar
Hujjatul Islam Inipun berkata.
“Bagaimana Pendapatmu,
Jika Ada Orang Yang Mengusir Anjing, Namun Dia Masih Menyimpan Tulang Dan Berbagai Makanan Kesukaan Anjing Disekitarnya ?”

Murid:“Tentu, Anjing Itu Akan Kembali.Datang Setelah Diusir.”

Imam al-Ghazali Menjelaskan,
Demikian Juga Dengan Orang-Orang Yang Rajin Berdzikir
Tapi Masih Menyimpan Berbagai Penyakit Hati Dalam Dirinya.
Syaitan Akan Terus Datang
Dan Mendekat Bahkan Bersahabat Dengannya.
Penyakit – Penyakit Hati Itu Ialah :
Seperti Kesombongan,
Irihati, Dengki, Syirik,
Bersikap /berucap Kasar, Riya,
Merasa Sholeh, Merasa Suci,
Ghibah, Marah
Dan Berbagai Penyakit Hati Lainnya.

Ketika Penyakit-Penyakit Itu Menghinggapi Diri Seorang Hamba, Maka Syaitan Terlaknat
Akan Senantiasa Datang,
Mengakrabkan Diri,
Kemudian Menjadi Sahabat Karibnya.

17/07/2018 Posted by | Tasauf | Leave a comment

Harapan Bagi Yang Berdosa

“Adakalanya musibah itu sebagai peringatan bagi orang-orang yang berdosa supaya berhenti melakukannya dan kembali taat kepada Allah Yang Esa..”

Dunia yang fana ini sememangnya penuh dengan musibah. Musibah itu adalah sunnatullah di alam semesta ini. Musibah tidak kenal siapa dan tidak memilih bulu. Hadirnya silih berganti ke atas manusia adalah sebagai tanda Allah Taala mahu menguji dan menduga mereka. Cuma bagaimana caranya manusia menghadapinya.

Di kalangan manusia, lantaran lemah iman (jiwa), bilamana Allah menimpakan musibah, mereka terus bertukar wajah, menjadi ingkar dan protes melulu terhadap Allah, sang Pencipta. Tidak sekadar itu, mereka terlajak menyanggah takdirNya serta mendoakan kebinasaan atas diri dan keluarga mereka. Musibah terasa amat berat sehingga mereka menderita penasaran. Tubuh jatuh sakit, akal menjadi rosak bahkan langsung tiada upaya menanggung beban-beban kehidupan. Ekoran jiwa kemarau dari iman, telah ramai yang jatuh dalam dosa besar kerana bertindak membunuh diri.

Firman Allah swt:
“Di antara manusia, ada yang menyembah Allah dalam keraguan. Apabila mendapat kebaikan senanglah hatinya, dan apabila mengalami cubaan(msibah) berubahlah hatinya menjadi kafir. (Lantaran itu) dia mengalami kerugian di dunia dan akhirat dan itulah kerugian yang amat nyata.”
(Surah Al-Hajj: ayat 11)

Musibah bukanlah selalu bererti tanda kemarahan dan kebencian Allah pada seseorang atau sesuatu kaum sebagaimana juga bahawa kenikmatan bukan merupakan tanda keredhaan dan penerimaan Allah. Akan tetapi:

Musibah (ujian) Allah terhadap hambaNya yang beriman bertujuan mengukur hakikat imannya, juga memantau kadar kebenaran dan dusta mereka. Tanpa ujian, bagaimana dapat diketahui pelajar yang cemerlang?

Firman Allah swt:
“Apakah manusia menduga (menjangkakan) bahawa mereka dibiarkan berkata (sesuka hati mereka): ‘Kami beriman’ sedangkan (walhal) mereka belum diuji. Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti akan mengetahui orang-orang yang berkata benar dan mengetahui orang-orang yang berdusta.”
(Surah Al-Ankabut:2-3)

Setiap perkara atau peristiwa yang berlaku pada diri kita, baik ataupun buruk, kedua-duanya adalah dugaan dan ujian Allah swt. Seolah-olah kita sedang menduduki sebuah ‘peperiksaan’ besar yang mana subjek terasnya adalah segala perkara ‘baik’ dan ‘buruk’. Yang baik kita perintah melakukannya manakala yang jahat dan buruk kita diperintahkan agar meninggalkannya.

Setelah kita kembali menghadap Allah swt di negara akhirat, maka semuanya akan diulang tayang dan diperlihatkan kembali dan seterusnya diadili serta diberikan ganjaran yang setimpal.
Firman Allah swt:
“Kami menguji kamu sekalian dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (dugaan/musibah) dan kepadaKu kamu akan kembali.”
(Surah Al-Anbiya: 35)

InsyaAllah, orang beriman akan berdaya menghadapi apa jua bentuk ujian dan musibah Allah atas diri mereka. Ujian Allah tidak menjadikan mereka hilang pertimbangan dan lupa diri.Itulah apa yang mahu digambarkan oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:
“Sungguh menghairankan dan mengkagumkan urusan orang mukmin; semua urusan (keadaan)nya adalah kebaikan dan itu hanyalah bagi orang mukmin yang bilamana ia mengalami kesenangan, ia lantas bersyukur (ia amat baik baginya), dan jika ia mengalami kesusahan ia lantas bersabar dan itu juga amat baik bagi dirinya.”

Selain tujuan di atas, musibah (ujian) terhadap orang beriman adalah tanda jelas peningkatan takah rohaniah dan sebab penghapusan dosa buat mereka serta menjadi asbab untuk memperolehi ganjaran pahala yang besar dari Allah swt. Cuba kita renungi hadis Nabi saw yang berikut:
“Tidaklah seorang muslim mengalami kepayahan maupun penyakit, kerosakan maupun kesedihan, gangguan maupun kesulitan, bahkan duri yang mengenainya, melainkan Allah (berkenan) menghapuskan dosanya dengan sebab itu.”
(Hadis Bukhari)

Hadis berikutnya pula:
“Ujian yang selalunya (silih berganti) menimpa orang mukmin lelaki dan perempuan (sama ada) pada dirinya, anak dan hartanya menyebabkan ia tidak lagi berdosa saat berjumpa dengan Allah.”
(Riwayat Tirmizi)

Menerusi ujian Allah swt juga, secara rambang kita boleh mengenali tahap iman dan rohaniah kita. Nabi saw juga pernah ditanya orang, manusia manakah yang paling keras dan berat cubaannya? Baginda menjawab: “(Mereka adalah) para nabi, kemudian di bawah tingkatan mereka, sehinggalah manusia diuji menurut kadar agamanya. Apabila agamanya kuat, maka ujiannya juga berat dan jika agamanya lemah, maka ia pun diuji menurut kadar agamanya. Maka cubaan yang (bersilih ganti) menimpa manusia itu menyebabkan (menghasilkan akhirnya) ia berjalan atas muka bumi ini tanpa gelumang dosa.”
(Riwayat Tirmizi, Ibnu Majah & Imam Ahmad)

Adakalanya musibah itu sebagai peringatan bagi orang-orang yang berdosa. Anda dapat fikirkan, apakah tujuannya? Tujuannya ada dua iaitu: pertama, supaya ia berhenti melakukannya dan kedua, supaya ia kembali taat kepada Allah Yang Esa. Allah menyebutkan di dalam Al-Quran:
“Sesungguhnya Kami telah kirimkan (utuskan) rasul-rasulNya kepada umat-umat sebelum engkau; (Namun mereka mendustai rasul-rasul itu), maka Kami seksa mereka itu dengan kesengsaraan dan kemelaratan. Mudah-mudahan mereka tunduk kepada Allah.”
(Surah Al-An’am : 42)

Maha Pengasihnya Allah swt. Walaupun besar sekali pendustaan yang dilakukan manusia, namun Dia masih tetap memberi peluang dan harapan andai mereka mahu kembali tunduk dan patuh kepada kekuasaanNya.

oleh: Amal Islamy~FADHILAT AMAL~:

15/07/2018 Posted by | Fad hail Amal, Hadis, Tazkirah | Leave a comment

Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan

Banyaknya Jalan-Jalan Kebaikan
Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:”Setiap umatku mempunyai peluang diampun dosanya, kecuali dosa yang dilakukan secara terang-terangan. Termasuk dalam melakukan dosa secara terang-terangan ialah; mereka yang melakukan dosa secara sulit tetapi di lain ketika menceritakan pula kepada orang lain.”

Mutakhir ini terdapat di kalangan umat Islam berusaha menghalang perlaksanaan hukum Allah swt, jelas suatu dosa menghalang hak Allah swt.
Yang amat mendukacitakan berkempen secara terang-terangan kepada khalayak ramai untuk meraih sokongan. Mengikut sabda Nabi di atas itu bahawa dosa yang dilakukan secara terang-terangan, dikira terkecuali daripada mendapat keampunan Allah swt. Termasuk melakukan dosa terbuka ialah dosa yang dilakukan secara sulit dan tersembunyi, tetapi kemudiannya diceritakan pula kepada orang lain.

Sabda Rasulullah s.a.w lagi bermaksud:”Sesiapa yang mendengar cerita suatu kaum, sedangkan kaum itu tidak setuju orang lain mendengar ceritanya. Jika curi dengar juga di akhirat kelak akan dicurah tembaga cair yang amat panas ke lubang telinga orang itu.”
Sesetengah daripada hak orang Islam terhadap Muslim yang lain ialah dia kena mengelak diri daripada mengunjungi tempat yang boleh mendatangkan tohmah, kerana hendak jaga hati orang lain supaya tidak sangka buruk dan tuduh buat perkara yang negatif.

Ini kerana mereka itu apabila melakukan maksiat kepada Allah swt, dengan mengumpat perihal orang lain dan dia jadi punca orang lain buat maksiat umpat, bererti dia telah berkongsi sama ke atas dosa tersebut.

Sebagaimana ditegaskan oleh firman Allah swt yang bermaksud:”Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan.” (Surah Al-Anam ayat 108)

Meskipun dengan tujuan supaya manusia meninggalkan daripada menyembah berhala , tetapi makian itu akan mengundang makian yang melampau terhadap Allah swt daripada pihak penyembah berhala itu.

Oleh yang demikian jika tidak setuju dengan akidah sesat mereka, gunakan pendekatan yang bijaksana dengan mengajarnya ilmu yang sebenar.

Terangkan mengenai akidah ketuhanan yang betul, jika dia tidak dapat menerima penjelasan itu, sekurang-kurangnya dia tidak memaki Allah swt.

Sabda Nabi s.a.w yang bermaksud:”Bagaimana pada fikiranmu orang yang maki kedua-dua ibu bapanya sendiri? Para sahabat bertanya; siapakah mereka itu? Jawab Nabi; “Mereka ialah orang yang maki ibu bapa orang lain, akibatnya orang lain maki ibu bapa mereka pula.”

Ibu bapanya dimaki oleh orang berikutan daripada dia memaki ibu bapa orang itu terlebih dahulu. Natijahnya dialah sebenarnya yang memaki ibu bapanya sendiri.

Sebagai tindak balas daripada perbuatannya yang buruk itu, seperti orang menendang bola ke dinding akan membidas balik kepada diri sendiri.

Sayyidina Umar Al-Khattab r.a berkata:”Sesiapa yang letak dirinya di tempat yang boleh mendatangkan tomah dan tuduhan orang, maka janganlah marah terhadap orang yang sangka buruk kepadanya.

Sebahagian daripada tanggungjawab orang Islam terhadap saudara Muslim lain ialah: hendaklah berusaha untuk bantu orang yang berhajat, membawanya berjumpa orang berkenaan yang boleh menolongnya. Agar dapat disempurna hajatnya dengan seupaya mungkin.

Perlunya kesedaran agama melaksanakan hak Muslim terhadap Muslim yang lain atas tanggungjawab agama, dengan menolong apa jua kesusahan yang menimpa saudaranya. Kerana inilah unsur mengukuhkan kestabilan dalam masyarakat Islam umumnya.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Hendaklah tolong(isyfa’u) saudaramu nescaya kamu mendapat pahala.”

Isyfa’u bermaksud membawa permasalahan saudaranya dengan membawanya ke pihak yang lebih berwibawa, agar dapat beri bantuan untuk atasi persoalan yang dihadapinya.

Orang yang membantu dengan orang yang membawanya, sebagai beri syafaat mendapat pahala bersama.

Setengah daripada kewajipan dari hak sesama Muslim ialah mendahului beri ucapan salam sebelum dari berkata-kata. Di samping itu hak dan tanggungjawab juga ialah berjabat salam.

Firman Allah swt yang bermaksud:”Apabila kamu diberi penghormatan dengan suatu penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan lebih baik daripadanya, atau balaslah penghormatan itu (dengan yang serupa).” (Surah An-Nisa ayat 86)

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:”Kamu tidak akan masuk syurga kecuali kamu beriman, kamu tidak beriman kecuali berkasih sayang. Hendakkah aku tunjukkan satu amalan yang boleh menimbulkan kasih mesra di antara kamu?” Jawab para sahabat:”bahkan ya Rasulullah.” Jelas Nabi:”Hendaklah kamu sebarkan salam.”

Ucapan salam akan menimbulkan kasih mesra kerana ucapan salam itu bererti suatu permohonan doa kepada Allah swt, agar orang yang diberi ucap itu sentiasa dalam peliharaan Allah swt iaitu selamat.

Oleh kerana menjawab salam itu wajib, bererti orang itu wajib mendoakan kesejahteraan kepada saudaranya yang memberi salam.

Sabda Nabi s.a.w lagi yang bermaksud:”Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.”

Saiyidina Anas r.a mengucapkan salam kepada kanak-kanak, apabila dia bertemu dengan mereka.

~BLOG FADHILAT AMAL~

15/07/2018 Posted by | Hadis, Tazkirah | Leave a comment

Tidak perlu berulang-kali mengerjakan umrah.

Assalamu’alaikum w.b.t…..

Tertarik saya untuk menulis sebagai ulasan kepada satu tajuk yang keluar dalam akhbar Utusan Malaysia kelmarin, iaitu tajuk pada ruangan Kemusykilan Agama bersama Ustaz Mohd Farid Ravi Abdullah. Telah lama saya ingin berkomentar tentang perkara ini tetapi kini saya dapat hujjah lebih lagi melalui kemusykilan agama yang dijawab oleh Ustaz Farid Ravi ini.

Kemusykilan yang dikemukakan iaitu berkenaan dengan adanya orang yang berulang kali pergi mengerjakan umrah ke tanah suci. Sedangkan yang wajib hanyalah mengerjakan haji dan satu kali sahaja seumur hidup, dan umrah itu memadailah jika dikerjakan hanya sekali. Ustaz Farid Ravi juga telah mengemukakan pandangan dari Syeikh Dr Yusof Qardhawi seperti mana berikut.

Sebelum seseorang hamba Allah ingin melakukan sesuatu maka mestilah dia meletakkan asas syariah dan maqasidnya bagi kelakuannya. Ini amat perlu supaya mukallaf itu dapat menilai keperluan dan kawajaran melakukan sesuatu amalan, termasuklah memahami fiqh aulawiyyah (keutamaan).

Pertama : Sesungguhnya Allah tidak akan menerima ibadat sunat selagi mana tidak menunaikan ibadat wajib. Berdasarkan persoalan pertama ini maka barangsiapa menunaikan ibadat haji sunat dan ibadat umrah sunat sedang dia tidak mengeluarkan zakat padahal dia wajib mengeluarkannya maka kedua2 ibadat itu ditolak dan tidak diterima di sisi Allah S.w.t.

Ini kerana mereka yang dikurniakan Allah dengan limpahan rezeki yang banyak hendaklah terlebih dahulu membersihkan harta mereka sebelum harta itu digunakan untuk ibadat sunat.

Kedua : Allah S.w.t tidak akan menerima amalan sunat seseorang itu sekiranya membawa kepada haram. Ini kerana menyelamatkan diri daripada dosa adalah lebih utama daripada mencari pahala sunat. Ini berdasarkan kepada bilangan jemaah yang mengerjakan haji sunat dan umrah sunat yang boleh mengundang kepada masyaqqah (kesukaran), penyakit yang boleh berjangkit mudah merebak.

Sebab itu pengawalan bilangan jemaah perlu ada bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku, selain memberi peluang kepada mereka yang belum menunaikannya.

Ketiga : Sesungguhnya menahan dan mengawal daripada sebarang fasad (kerosakan – sama ada pada diri atau jemaah) adalah lebih utama daripada mengundang kebaikan. Lebih2 lagi jika kerosakan itu bersifat umum dan kebaikan itu bersifat khusus.

Keempat : Sesungguhnya pintu2 melakukan kebaikan sentiasa terbuka luas. Allah S.w.t tidak pernah menyempitkan peluang bagi hamba2 Nya melakukan kebajikan dan infaq di jalan Allah.

Adapun seorang muslim yang peka dan prihatin kepada mujtamaknya pasti akan menyedari keperluan masyarakatnya. Jika mengulangi haji dan umrah boleh mengundang mudarat kepada jemaah lain, ada cara lain seseorang itu mencari redha Allah dengan memanjangkan limpahan rezeki kepada orang2 yang lebih memerlukan.

Terdapat banyak hadith yang menggalakkan kita di antaranya sabda baginda kepada Salman bin Amir yang bermaksud, “Sedekah yang sebenarnya ialah sedekah kepada golongan yang miskin dan seterusnya kepada sanak saudara yang memiliki dua kelebihan; sedekah dan silaturrahim”. Hadith Riwayat Ahmad, Tirmidzi, An Nasa’ie dan AlHakim

Alternatif kepada berulang kali mengerjakan umrah dan haji

Maka sebagai alternatif yang boleh dilakukan oleh mereka2 yang dilimpahi banyak rezeki dan ingin melakukan kerja2 amal, cintakan Islam dan yang ikhlas dalam mahu membela nasib ummah, Ustaz Farid Ravi menasihatkan agar;

– Menyumbang kepada sekolah2 tahfiz dan agama, rumah2 kebajikan serta badan2 dakwah yang masih mengharapkan perhatian orang ramai yang diberikan limpahan rezeki supaya tampil membantu.

– Membiayai perbelanjaan pelajaran kepada anak2 orang yang tidak berkemampuan dan kurang-upaya.

– Membina premis2 yang menyediakan keperluan harian milik orang Islam, terutamanya keperluan fardhu kifayah.

Kerana itulah AlQuran mengajar kita bahawa amalan JIHAD itu lebih utama dari amalan HAJI. Ini jelas dalam firman Allah S.w.t yang bermaksud , “Apakah (orang-orang) yang memberi minuman orang-orang yang mengerjakan haji dan mengurus Masjidilharam kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta bejihad di jalan Allah? Mereka tidak sama di sisi Allah; dan Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta, benda dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan itulah orang-orang yang mendapat kemenangan.” Surah At Taubah : Ayat 19-20

Mengapa perkara ini perlu diperhatikan semula?

Ini kerana telah dibuat kajian tentang kos perbelanjaan mengerjakan umrah di Malaysia ini mencecah RM488.8 juta setahun. Bayangkan apa yang dapat dilakukan dengan sejumlah wang yang besar itu apabila ia disalurkan kepada tempat2 pengajian, pusat2 dakwah, orang2 yang miskin dan sebagainya seperti yang telah dinasihatkan di atas.

Sememangnya mengerjakan haji dan umrah berulang kali ini bukan merupakan suatu perkara yang HARAM. Tetapi di sana ada yang lebih penting dari yang lebih penting. Maka utamakan yang lebih penting dan lebih banyak mendatangkan kebaikan lebih2 lagi terhadap agama Islam dan ummah keseluruhannya, bukannya mementingkan hal peribadi semata2.

Tetapi jika sudah menjadi pekerjaan anda untuk pergi ke Mekah dan sentiasa berulang-alik ke sana itu lain cerita lah. Ataupun sudah menjadi bidang pekerjaan anda untuk ke luar negara ke sana ke mari. Maka duit tambang penerbangan dan segala perbelanjaan itu ada lah terpaksa kerana itu adalah untuk KERJA anda. Tetapi jika anda mahu pergi mengerjakan haji atau umrah sunat tanpa ada kerja2 lain yang terlibat, maka renung2kan lah nasihat2 di atas.

“Tidak beriman salah seorang di antara kamu hinggalah dia mencintai saudaranya sebagaimana dia mencintai dirinya sendiri” HR. Bukhari & Muslim

Rujukan :

1 – Al Quran Al Karim

2 – Al Hadith As Syarif

3 – Kemusykilan Agama, Utusan Malaysia , Jumaat 10 Oktober 2008

Sumber: Hikmatun.wordpress

02/07/2018 Posted by | Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | 1 Comment

   

%d bloggers like this: