Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Meninggalkan kaedah ilmu para ulama adalah suatu jenayah ilmu. Maka lahirlah kefahaman syok sendiri dan perasan diri hebat……..

Meninggalkan kaedah ilmu para ulama adalah suatu jenayah ilmu. Maka lahirlah kefahaman syok sendiri dan kefahaman orang gila.

Kaedah ilmu termasuk ilmu mustolah hadith dan ulum hadith dibina di atas thoriq mutakallimin dan kaedah mantiq. Begitu juga ilmu usul fiqh.

Menolak kaedah ilmu kalam di dalam memahami akidah tetapi menerima ilmu mustoholah hadith atau usul fiqh adalah ibarat seseorang yang inginkan seorang perempuan tetapi mak dan ayah perempuan dimusuhi.

Satu ketika saya mendengar seorang Ustaz Wahhabi menyesatkan ilmu aqal tetapi dalam masa yang sama meniti di bibirnya perkataan wajib, mustahil dan harus.

Sedangkan wajib, mustahil dan harus itu adalah prinsip hukum akal. Iaitu wajib pada akal, mustahil pada akal dan harus pada akal.

Benarlah mafhum kalam ulama ” Orang buta tidak akan menghalang matahari daripada terus bercahaya”. Merekalah yang buta daripada melihat cahaya matahari lalu disangka gelap gelita padahal cahayanya terang benderang.

Sekian Salam Juma’at yang bukan Juma’at kerana Juma’at adalah masa yang tidak wujud khaariji seperti tempat.

Ustaz Mohd Al-Amin Bin Daud Al-Azhari
Perkarangan Masjid Ar-Rayyan Permyjaya
Miri Sarawak

31 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah | Leave a comment

ADAKAH MENGIKUT MAZHAB ITU WAJIB?

Penulis : Dr Asmadi Mohamed Naim

Saya didatangi dengan soalan ‘adakah mengikut mazhab itu wajib?’. Saya akan cuba menjelaskan secara ringkas. Secara khususnya, seseorang yang bertaraf mujtahid adalah dilarang mengikut mazhab sebaliknya hendaklah dia berijtihad berdasarkan dalil al-Quran dan sunnah.

Bagaimana pula orang-orang awam? Sepakat ulama-ulama Usul (untuk diiktiraf ulama usul mereka mesti mahir quran & sunnah dan penafsirannya) mengatakan mazhab orang-orang awam ialah mazhab muftinya, kerana sekiranya didatangkan dalil kepada orang-orang awam, dia tidak tahu sahihnya atau dhaifnya; atau dia tidak tahu cara penghujahannya; dan dia juga tidak tahu nasikh atau mansukh.

Akhirnya dia juga terpaksa bertaqlid dengan ustaz-ustaz untuk bertanya mana sahih, dan yang mana dhaif; atau bertanya maksudnya. Maka muqallid jugalah tu, Cuma berubah dari taqlid Imam-Imam mazhab kepada taqlid ustaz itu.

Apabila ditanya kepada saya, adakah saya mengikut mazhab, saya katakan: Saya bukan mujtahid, jadi saya mengikut dan mengeluarkan pandangan kebanyakkannya berdasarkan mazhab Imam Shafie Rahimahullah seboleh mungkin.

Saya ditanya lagi: Kalau begitu ustaz seorang muqallid (pentaklid) jugalah? Saya katakan: Antara muqallid dan mujtahid, ada martabat pertengahan iaitu ‘muhafiz’, iaitu berpegang pada pandangan mazhab, dengan juga melihat dalil-dalil.
Kalau saya dapat sampai ke tahap ini, saya bersyukur banyak-banyak pada Allah SWT.

Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz berpegang pada pandangan orang dah mati? Saya katakan: Ulama Usul sepakat membenarkan berpegang kepada pandangan orang yang sudah mati sebab yang mati ialah orangnya, tapi ilmunya tidak mati.

Saya ditanya lagi: Kenapa Ustaz tak mengikut mana-mana profesor/Dr/Ustaz sekarang yang boleh bina mazhab sendiri? Saya jawab: Kenapa perlu saya berubah keyakinan dari orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah SAW (العالي), kepada orang di zaman sekarang (النازل) yang saya tak tahu sejauh mana ketakwaan dia dan ilmunya!

Saya ditanya lagi: Tak cukupkah ijazah PhD yang ustaz dapat untuk menjadi mujtahid? Saya akan katakan sambil gelak: Tidak ada pun ulama-ulama besar mensyaratkan ada PhD/Prof. Madya sebagai mujtahid. Setahu saya mereka mensyaratkan hafal al-Quran dan sunnah, tahu ijma’ dan qiyas, mahir dalam usul fiqh, mahir bahasa Arab, tahu nasikh dan mansukh dan lain-lain beserta sifat taqwa! Sistem belajar sekarang, kalau saya kaji pasal kuman, saya mahir dalam kuman sahaja, belum lagi bidang lain. Untuk Prof. Madya/prof pula, kena tulis bagi masuk Jurnal-Jurnal terkemuka, buku-buku, buat kajian dan markah-markah persidangan, jawatan dan sebagainya. Tapi kalau banding dengan kitab-kitab ulama dulu yang tebal-tebal dan diiktiraf dalam pelbagai bidang, merah padam dan malu rasanya. Bersyukurlah kalau dapat menjadi hamba yang tahu dirinya……

Saya ditanya lagi: Habis tu, ada orang mendakwa dia mampu berijtihad! Saya katakan lagi: Biarkan Si luncai terjun dengan labu-labunya……. adakah anda mahu terjun sama…silakan….tapi belum pasti selamat…. Mungkin petikan dari kitab al-Sheikh Mahmud Sa’id Mamduh (dalam kitabnya al-Ta’rif bi Auham man qassama al-Sunnan Ila Sahih wa Dhaif, jilid 1, halaman 14) membantu kefahaman pembaca: Faedah ke 3 Sesungguhnya aku melihat al-Ustaz al-Sheikh ((Muhammad Nasruddin Al-Bani)) melarang beramal dengan sebarang hadis-hadis dhaif, dan mewajibkan membezakan antara sahih dan dhaif –berdasarkan pandangannya- untuk dia mempromosikan kepada orang ramai dengan sesuatu yang dinamakan- “al-fiqh al-musaffa (fiqh tulen/suci) – sila rujuk muqaddimah Sahih al-Adab al-Mufrad, 2000, hal.32, Cetakan Dar al-Buhuth lil Dirasat al-Islamiyyah).
Ketika itu dia mempunyai tugasan untuk menjelaskan apa yang dinamakan ‘fiqh musaffa’; maka beliau melakukan pembahagian kitab-kitab Sunan yang empat kepada dua bahagian: 1. Sahih dan hassan, yang boleh diamalkannya. 2. Dhaif, tidak boleh diamalkannya, dan dia gabungkan dengan hadis-hadis wahiyat(rekaan) dan maudu’at(palsu) dalam satu bab.
Sesungguhnya aku melihat perbuatannya ini, bertentangan dengan jalan para fuqaha dan ulama hadith. Sesungguhnya dia mencipta satu kecacatan besar, dan satu keraguan besar pada dalil-dalil furu’ fiqh yang umum, dan mencabut thiqah (keyakinan masyarakat) terhadap ulama-ulama fiqh, hadith dan terhadap warisan penulisan fiqh, hadith yang diwarisi dan umat bangga dengannya.
Tambahan pula, dia juga diuji dengan mengingkari sebahagian jalan-jalan para fuqaha’ dan ulama hadis pada mensahihkan dan mendhaifkan hadith dan hukum ke atas rawi. Dia menuduh ulama-ulama silam sebagai ‘tidak konsisten’ pada satu ketika, dan pada ketika lain sebagai memudah-mudahkan’. Maka menyangkalah orang-orang yang tidak mengetahui (jahil), bahawasanya, dengan berbeza pandangan Albani dengan fuqaha’, muhadthin dan para penghafal hadith, Albani telah mendatangkan sesuatu yang sukar bagi ulama-ulama silam (samada Mutaqaddimin atau mutaaakhkhirin) memahaminya dan menguasainya, maka bersegeralah mereka bertaklid padanya, dan orang-orang ini meninggalkan para Imam-imam dan penghafal hadith, dan beramal secara berbeza dari apa yang diwarisi dari Imam-Imam, ijtihad ulama mujtahid; dan Albani menjadi tinggi dari mereka.
Maka jadilah Sheikh Muhammad Nasiruddin Albani memindahkan orang ramai dari mengikuti ‘orang yang dekat zamannya dengan Rasulullah’ (العالي), kepada ‘seorang yang zamannya jauh daripada Rasulullah’ (النازل), dan menjauhkan mereka daripada mengikuti Imam-Imam Mujtahid dan para penghafal hadith kepada mengikutinya seorang sahaja.”

Tamat Nukilan Terpulang kepada pembaca membuat pertimbangan. Pada saya berpegang pada ijtihad dahulu lebih selamat dari berpegang kepada ijtihad sekarang yang kelihatan carca merba metodenya dan bertaklid dengan orang-orang baru (al-nazil).

Semoga Allah SWT menyelamatkan kita dari kesesatan dan menganugerahkan kita jalan yang lurus.

Wallahu a’lam.

31 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Tazkirah | Leave a comment

HUKUM MENGUCAPKAN “MERRY CHRISTMAS” KEPADA MEREKA YANG BERAGAMA KRISTIAN – PENDAPAT MAJLIS FATWA

BAYAN LINNAS

BAYAN LINNAS SIRI KE-81: HUKUM MENGUCAPKAN “MERRY CHRISTMAS” KEPADA MEREKA YANG BERAGAMA KRISTIAN
Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 19 Disember 2016

Alhamdulillah, pujian yang mutlak kepada-Nya. Selawat dan salam ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW, keluarganya, sahabatnya dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan. Sehari dua ini, banyak persoalan yang sampai ke meja kami berkaitan isu Hukum Seseorang Muslim Mengucapkan “Merry Christmas” Kepada Mereka Yang Beragama Kristian. Ini menjadikan kami terpanggil untuk menekuni isu ini dan membuat sedikit bahth al-‘ilmi dalam kerangka fiqh mu’asir (kontemporari) yang diistinbatkan daripada nusus syar’iyyah serta maslahat dan fiqh waq’ie (semasa). Justeru, Bayan Linnas pada kali ini kami tajukkan dengan tajuk seperti di atas.

Soalan ini sering berlegar-legar saban tahun dalam kalangan umat Islam. Ia juga seringkali menimbulkan polemik dan salahfaham baik dalam kalangan bukan Muslim, malah umat Islam sendiri. Kami menerima beberapa persoalan berkaitan ini daripada mereka yang mepunyai hubungan secara langsung dengan bukan Muslim baik secara kekeluargaan, kerjaya, mahupun kerana tinggal dalam kawasan kejiranan yang sama.

Melihat kepada kepentingan isu ini dalam kalangan umat Islam, kami cuba menghuraikan permasalahan ini dengan ilmiah dan melampirkan jawapan yang tuntas bagi permasalahan ini.

Islam Agama Rahmat

Sesungguhnya Rasulullah SAW itu sendiri datang untuk membawa rahmat kepada sekalian alam. Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ
Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.”
(Surah al-Anbiya’: 107)

Dr. ‘Aid al-Qarani dalam bukunya, Rahmatan li al-‘Alamin menyebut beberapa tafsiran, antaranya:

Baginda SAW merupakan seorang manusia utusan Allah.
Baginda SAW datang untuk membela nasib umat yang lemah, tertindas, terkebelakang dan terpenjara dengan pelbagai kezaliman.
Baginda SAW datang untuk mengangkat maruah mereka sehingga setaraf dengan bangsa lain.
Baginda SAW membina satu tamadun baru di antara sekalian tamadun yang sedia ada dan ia menjadi tamadun yang paling tinggi nilainya.
Rasulullah SAW telah mengeluarkan kita dari Semenanjung Arab yang tandus tanpa wujudnya sungai, kebun, mahupun tumbuh-tumbuhan, menjelajahi seluruh pelusuk bumi.
Islam adalah agama yang membawa rahmat, keamanan dan segala kebaikan. Allah SWT telah memerintahkan kepada kita untuk berlaku baik kepada semua manusia, tanpa sebarang perbezaan dengan dalil yang umum dan jelas:

وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا
Maksudnya: “…dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”
(Surah al-Baqarah: 83)

Al-Maraghi berkata: “Oleh sebab itu, dalam memenuhi hak setiap anggota umat atau seluruh manusia memadailah dengan pergaulan dan perkataan yang baik, menyuruh berbuat baik, mencegah perbuatan mungkar dan perbuatan lain bermanfaat di dunia dan akhirat.”[1]

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan…”
(Surah al-Nahl: 90)

Sayyid Qutub dalam Fi Zilal al-Quran berkata: “Ihsan mempunyai pengertian yang amat luas. Setiap perbuatan yang baik adalah ihsan belaka. Perintah berbuat ihsan dalam ayat itu merangkumi segala perbuatan dan muamalah. Ia merangkumi segala ruang kehidupan yang berkaitan dengan hubungan-hubungan seorang hamba dengan Allah, hubungan dengan keluarganya, hubungan dengan masyarakatnya dan hubungan dengan seluruh manusia yang lain.[2]

Definisi Merry Christmas

Merry menurut English Oxford Living Dictionaries adalah “cheerful and lively” (ceria dan meriah). Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – myrige – iaitu “pleasing, delightful” (menyenangkan, menggembirakan). [3]

Christmas pula bermaksud “The annual Christian festival celebrating Christ’s birth, held on 25 December in the Western Church” (Festival tahunan penganut Kristian bagi menyambut kelahiran Christ, diadakan pada 25 Disember di Gereja Roman Katolik)[4]. Ia berasal daripada Bahasa Inggeris klasik – Crīstes yang merujuk kepada Jesus Christ[5] dan mæsse iaitu sambutan jamuan suci (eucharist) bagi penganut Kristian khususnya gereja Roman Katolik[6]. Mass juga merujuk kepada upacara mingguan pada hari Ahad di gereja-gerja Katolik, begitu juga upacara pada Holy Days of Obligation. Ia berasal daripada Bahasa Latin; missa. Ia digunapakai pada penghujung liturgy apabila paderi berkata: Ite missa est ataupun boleh difahami dengan maksud “Upacara ini telah tamat. Bersurailah dalam keamanan (The Mass is ended. Go in peace).”[7]

Oleh itu, Crīstesmæsse dapat difahami sebagai Christ’s Mass iaitu sambutan kelahiran Jesus Christ, walaupun terdapat beberapa perbezaan pandangan tentang tarikh kelahiran Jesus Christ. Sambutan ini ditonjolkan dengan menzahirkan kegembiraan dan majlis keraian bagi menggantikan tradisi Roman Saturnalia dan perayaan-perayaan pagan yang lain sebelumnya. Sambutan ini mula berubah bentuk di England pada abad ke-19 melalui kemasukan budaya German (pokok Krismas) oleh Prince Consort dan pengaruh Charles Dickens menerusi novellanya yang terkenal, A Christmas Carol.[8]

Populasi Penganut Kristian di Malaysia

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2010, jumlah penganut Kristian di Malaysia adalah ketiga terbesar di Malaysia iaitu mencapai 9.2% daripada keseluruhan rakyat Malaysia.[9] Ia meliputi beberapa aliran dalam Kristian iaitu Anglican, Baptist, Brethren, gereja-gereja tanpa aliran khusus, gereja-gereja Karismatik, Lutheran, Methodist, Presbyterian dan Roman Catholic[10]. Melihat kepada hal ini, keberadaan dan hak mereka untuk hidup bersama-sama sebagai sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu diraikan dengan sewajarnya.

Fiqh Kewujudan Bersama (al-Ta’ayush/Co-Existence)

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا
Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”
(Surah al-Hujurat: 13)

Al-Zamakhsyari ketika mengulas ayat ini menyatakan bahawa manusia diciptakan daripada Adam dan Hawa. Kita semua diciptakan daripada seorang ibu dan seorang ayah dan tanpa wujud kelebihan antara satu mengatasi yang lain. Maka, tidak ada sebab untuk berbangga akan diri sendiri dan melebihkan diri sendiri dalam hal keturunan.[11]

Kita perlu sedar bahawa hubungan dan kesatuan antara kita sesama manusia adalah bertaut pada semangat kemanusiaan (insaniyyah/humanity) dan bukannya pada faham creedal nation (al-ummah al-‘aqidiyyah). Fitrah kemanusiaan yang menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan inilah yang boleh memandu kita dalam menghargai fiqh kewujudan bersama dalam kepelbagaian ini. Adalah menjadi satu keperluan bagi seluruh manusia untuk sedar bahawa sejauh mana perbezaan warna kulit, bangsa, politik dan agama, mereka adalah tetap bersaudara.

Terlalu banyak contoh-contoh dalam al-Qur’an, bagaimana para Nabi dinamakan kepada kaum masing-masing oleh Allah SWT sebagai “saudara” walaupun bagi kaum yang menentang Nabi mereka.

وَإِلَى ثَمُودَ أَخَاهُمْ صَالِحًا
Maksudnya: “Dan kepada kaum Thamud (Kami utuskan) saudara mereka: Nabi Soleh.”
(Surah al-A’raf: 73)

قَالُوا أَرْجِهْ وَأَخَاهُ وَابْعَثْ فِي الْمَدَائِنِ حَاشِرِينَ
Maksudnya: Mereka berkata: “Tangguhkanlah dahulu (sebarang tindakan) terhadapnya dan terhadap saudaranya, serta hantarkanlah ke bandar-bandar (negeri Mesir) orang-orang yang mengumpulkan (ahli-ahli sihir).”
(Surah al-Syu’ara: 36)

وَإِلَى عَادٍ أَخَاهُمْ هُودًا
Maksudnya: “Dan kepada kaum ‘Aad, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Hud…”
(Surah Hud: 50)

وَإِلَى مَدْيَنَ أَخَاهُمْ شُعَيْبًا
Maksudnya: “Dan kepada penduduk Madyan, Kami utuskan saudara mereka: Nabi Syuaib.
(Surah Hud: 84)

Hatta, dalam sejarah jelas menukilkan kata-kata Ibn ‘Abbas:

لَوْ قَالَ لِي فِرْعَوْنُ: بَارَكَ اللَّهُ فِيكَ. قُلْتُ: وَفِيكَ
Maksudnya: “Sekiranya Fir’aun berkata kepadaku: ‘Semoga Allah memberkati kamu.’ Nescaya aku akan menjawab: ‘Kepada kamu jua.”[12]

Ini bermakna, perbezaan fahaman apatah lagi pegangan tidak menjadi masalah bagi Muslim untuk menerima dan menanggapi bukan Muslim sebagai seorang saudara, yang bersusurgalurkan daripada Adam dan Hawa.

Hukum Mengucapkan Tahniah Atas Sambutan Krismas

Para ulama’ berbeza pandangan dalam menyatakan hukum mengucapkan tahniah bagi perayaan bukan Muslim atau dalam konteks soalan, Hari Krismas. Ini kerana, sebahagian ulama’ yang mengharamkannya melihat ucapan “tahniah” ini membawa konotasi seakan mengiktiraf dan mengakui agama lain. Manakala, bagi ulama’ yang membenarkannya pula melihat ia cuma sebagai satu bentuk penghargaan dan tanda penghormatan atas dasar sesama manusia tanpa bertujuan mengiktiraf kebenaran agama lain. Kami bahagikan kepada kumpulan yang mengharamkan dan juga membenarkan.

Pertama: Diharamkan Mengucap Tahniah

Antara mereka yang berpendapat hukumnya haram secara total adalah:

Ulama Silam (mutaqaddimin)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah.
Syeikh al-Islam Ibn Qayyim.
Ulama Kontemporari (muta’akhkhirin)

Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin (Ulama Terkenal Di saudi)
Syeikh Abdul Aziz Bin Baz (Mantan Mufti Besar Saudi)
Syeikh Soleh al-Munajjid (ulama masa kini) dan ramai lagi.
Dalil Pengharaman:

Secara asasnya, mereka berdalilkan dengan:

Firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ لَا يَشْهَدُونَ الزُّورَ وَإِذَا مَرُّوا بِاللَّغْوِ مَرُّوا كِرَامًا
Maksudnya: dan (hamb-hamba Ar-Rahman itu) mereka tidak menghadiri Az-Zur dan apabila mereka melintas dengan perkara yang sia-sia mereka lalu dengan penuh kemuliaan.
(Surah al-Furqan: 72)

Abu al-‘Aliyah, Tawus Ibn Sirin al-Dahhaq al-Rabi’ bin Anas dan lain-lain berkata: “makna al-Zur ialah ‘Perayaan-perayaan Musyrikin”. Ulama’ lain menyatakan ia adalah majlis yang terdapat padanya nyanyian dan muzik.[13]

Rasulullah SAW bersabda:
‏ مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum maka dia dalah daripadanya-
(Riwayat Abu Daud, no. 4031 dan al-Tabarani, no. 8327)

Syeikh Nasiruddin menyebutkan: “Agama Islam telah pun menggariskan suatu ketetapan bahawa seseorang penganut Islam daripada kalangan lelaki dan wanitanya tidak harus meniru atau mencontohi orang-orang bukan Muslim seluruhnya samada dari segi peribadatan, perayaan dan perhiasan yang khusus yang tertentu hanya kepada kalangan mereka sahaja.

Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ مِنَّا مَنْ تَشَبَّهَ بِغَيْرِنَا، لاَ تَشَبَّهُوا بِاليَهُودِ وَلاَ بِالنَّصَارَى، فَإِنَّ تَسْلِيمَ اليَهُودِ الإِشَارَةُ بِالأَصَابِعِ، وَتَسْلِيمَ النَّصَارَى الإِشَارَةُ بِالأَكُفِّ
Maksudnya: “Bukanlah daripada kami sesiapa yang meniru dengan selain kami. Janganlah meniru Yahudi dan Nasrani dan sesungguhnya salam Yahudi itu dengan isyarat jari dan salam Nasrani itu dengan tapak tangan.”
(Riwayat al-Tirmizi, no. 2695)

Ibn Taimiyyah menyatakan sekurang-kurang hadis Ibn Umar di atas menyatakan haram menyerupai walaupun zahir hadis menyatakan murtadnya orang yang menyerupai orang bukan Muslim. Oleh itu, tidak hairanlah jika ada ulama’ mazhab Hanafiyyah dan Malikiyyah berfatwa bahawa dikira murtad orang yang memberi hadiah lilin kepada Kristian di hari Krismas.

Memberi ucapan tahniah kepada mereka juga adalah dilarang kerana ini menzahirkan kegembiraan dan keredhaan kepada kekufuran mereka. Ibn al-Qayyim telah meriwayatkan ijma’ ulama’ akan haramnya tahniah kepada orang kafir bersempena perayaan mereka:

Katanya: “…dan adapun memberi tahniah kepada syiar-syiar bukan Islam yang khusus dengannya maka adalah haram dengan disepakati para ulama’ seperti memberi tahniah pada perayaan-perayaan mereka dan puasa mereka seperti dikata: ” ‘Eid Mubarak”(Selamat Hari Raya”) atau “Tahniah dengan perayaan ini” dan seumpamanya. dan hukum ini(haram) jika selamat pengucapnya daripada kufur maka ia adalah haram seumpama memberi tahniah kepada kafir atas sujudnya pada salib bahkan itu lebih besar dosanya di sis Allah daripada memberi tahniah kepada peminum arak dan pembunuh dan penzina dan seumpamanya.”[14]

Bagi para ulama’ yang mengharamkannya, perbuatan mengucapkan tahniah itu adalah bercanggah dengan firman Allah SWT:

إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلامُ
Maksudnya: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam.”
(Surah Ali ‘Imran: 19)

Kedua: Diharuskan Mengucap Tahniah

Antara mereka yang mengharuskannya ialah:

Ulama Silam (mutaqaddimin):

Syeikh Muhammad Ahmad ‘Alish al-Maliki ketika ditanya: “Sekiranya seorang Muslim pergi ke rumah dhimmi pada hari perayaannya dan mengucapkan ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’. Adakah ia dikira sebagai terkeluar daripada Islam atau tidak? Jawab beliau: “Tidak terkeluar daripada Islam seseorang Muslim yang berkata kepada seorang Kristian ‘Moga Allah memelihara umurmu sepanjang tahun’ di mana beliau tidak bermaksud untuk membesarkan kekufuran dan tidak meredhai kekufuran.[15]
Disebutkan oleh al-Hattab al-Rauyani bahawa Sultan al-Ulama’ al-Imam al-‘Izz Abd al-Salam al-Syafie telah ditanya telah hukum mengucapkan “Semoga hari sambutan ini diberkati untuk kamu.” kepada dhimmi semasa perayaan mereka. Jawabnya: “Sekiranya Muslim tersebut mengucapkan sedemikian kepada dhimmi dengan niat mengagungkan agama mereka dan perayaan mereka, sesungguhnya dia telah terkeluar daripada Islam. Adapun sekiranya beliau tidak bermaksud sedemikian dan ucapan itu sekadar terlontar di mulutnya, beliau tidak terkeluar daripada Islam kerana ucapannya adalah tanpa niat.”[16]
Ulama Kontemporari (muta’akhkhirin)

Syeikh Muhammad Rashid Redha (Pengarang Tafsir al-Manar)
Syeikh Dr. Ahmad al-Syarbasi (Pengarang kitab Yas’alunaka fi al-Din wa al-Hayah)
Syeikh Dr. Mustafa al-Zarqa (Ulama besar Syam)
Syeikh Abdullah bin Bayyah (Ulama besar Mauritania)
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi (Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia)
Syeikh Syauqi Ibrahim Abdul Karim ‘Allam (Mufti Mesir)
Syeikh Dr. Ali Jumu’ah (Mantan Mufti Mesir)
Syeikh Abdul Sattar Fathullah Said (Pensyarah Universiti al-Azhar)
Secara umumnya, dalil-dalil mereka adalah:

Firman Allah SWT:
لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ
Maksudnya: Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
(Surah al-Mumtahanah: 8)

Al-Maraghi berkata: “Allah SWT tidak melarang kamu daripada melakukan perbuatan baik kepada bukan Muslim yang tidak memerangi kamu atas dasar agama, tidak mengusir kamu dari kampung halaman dan tidak membantu orang lain untuk mengusir kamu.”[17]

Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيْتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّواْ بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا
Maksudnya: Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Nisa’: 86)

Imam al-Fakhru al-Razi berkata: “Ketahuilah lafaz (تَحِيَّةٍ) sebagai mana yang kami nyatakan merupakan kiasan kepada perbuatan memuliakan sesuatu. Justeru semua bentuk jenis perbuatan memuliakan boleh dimasukkan di bawah lafaz berkenaan.”[18]

Apabila ada rakan-rakan bukan Muslim mengucapkan Selamat Hari Raya kepada kita, maka kita membalasnya dengan ucapan tahniah yang sama. Tujuannya jelas, iaitu memuliakan beliau sebagai seorang saudara, sebagai penghargaan atas ucapan beliau dan tidak bermaksud menerima dan mengagungkan agamanya. Perihal pengagungan agama itu sudah masuk kepada perbahasan yang lain daripada perkara ini.

Daripada Asma’ binti Abu Bakar RAnhuma, katanya:

قَدِمَتْ عَلَيَّ أُمِّي فِي مُدَّةِ قُرَيْشٍ مُشْرِكَةً، وَهِيَ رَاغِبَةٌ – يَعْنِي مُحْتَاجَةٌ -، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي قَدِمَتْ عَلَيَّ وَهِيَ مُشْرِكَةٌ رَاغِبَةٌ أَفَأَصِلُهَا؟ قَالَ: صِلِي أُمَّكِ .
Maksudnya: “Telah datang ibuku untuk menziarahiku pada masa perjanjian dalam keadaan musyrik dan dia begitu berhajat untuk bertemuku, lantas aku bertanya Rasulullah SAW seraya berkata; “Sesungguhnya ibuku datang mengziarahiku sedangkan dia musyrik tetapi berkeinginan menemuiku, adakah aku menyambungnya? Sabda Rasulullah SAW: “Sambungkanlah silaturrahim dengan ibumu.”
Riwayat al-Bukhari (2620) dan Muslim (1003)

Daripada Anas bin Malik RA berkata:
كَانَ غُلَامٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ”. فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا الْقَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ .
Maksudnya: “Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: “Masuklah Islam”. Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: “Taatilah Abu al-Qasim SAW”. Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.”
Riwayat al-Bukhari (1356)

Tarjih

Selepas melihat dua pandangan dan juga situasi semasa di Malaysia, kami berpendapat ucapan Merry Christmas kepada penganut Kristian dan seumpamanya adalah diharuskan. Ini kerana,

Firman Allah SWT:
وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَآنُ قَوْمٍ عَلَى أَلَّا تَعْدِلُوا اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوَى وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ
Maksudnya: Dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
(Surah al-Maidah: 8)

Al-Maraghi berkata: “Ini kerana ketidakadilan yang dilakukan akan menimbulkan kerosakan yang boleh menghancurkan kehidupan bersosial, memutuskan hubungan antara individu dan datang malapetaka yang besar.”[19]

Bersekutu (tahaluf) bersama golongan bukan Islam yang mencintai kedamaian dan meninggalkan permusuhan yang bertujuan untuk menyelamatkan kemanusiaan dari peperangan.
Rasulullah Saw memuji perjanjian Fudhul sedangkan ia berlaku pada masa Arab Jahiliah.
لَقَدْ شَهِدْتُ فِي دَارِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ جُدْعَانَ حِلْفًا مَا أُحِبُّ أَنَّ لِيَ بِهِ حُمُرَ النَّعَمِ، وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الْإِسْلَامِ لَأَجَبْتُ. تحالفوا أن ترد الفضول على أهلها، وألا يعز ظالم مظلوما
Maksudnya: “Aku menyaksikan perjanjian di rumah Abdullah Bin Jud’an, kalau aku diminta melakukannya pada zaman Islam nescaya aku menyahutnya. Perjanjian mereka untuk dikembalikan harta kepada tuan punya dan tidak memuliakan orang yang zalim atas kezalimannya.”

Hak minoriti bukan Muslim. Ini kerana hak-hak golongan minoriti yang bukan Muslim juga perlu diraikan lebih-lebih lagi apabila mereka mengambil hak kewarganegaraan (muwatanah). Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam bukunya Fi Fiqh al-Awlawiyyat ada menekankan tentang keperluan meneliti masalah-masalah yang dihadapi oleh minoriti bukan Muslim.
Perlu membezakan antara penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Syeikh Abdullah bin Mahfudh Ibn Bayyah menyatakan bahawa perlu ada perbezaan antara memahami istilah penyerupaan (tasyabbuh) dan persamaan (musyabahah). Menurut beliau, bukan semua perkara yang kita lakukan dan dalam masa yang sama ia juga dilakukan oleh ahli agama lain maka ia menjadi haram. Ia menjadi haram jika menyamai mereka dengan niat (tashabbuh) bukannya semata-mata dengan wujudnya persamaan (musyabahah).
Hal ini adalah sebagaimana komentar Ibn ‘Abidin terhadap Durr al-Mukhtar pada perbahasan hukum membaca mushaf dalam solat yang dikatakan menyerupai ahli kitab, katanya:

قَالَ هِشَامٌ: رَأَيْت عَلَى أَبِي يُوسُفَ نَعْلَيْنِ مَخْصُوفِينَ بِمَسَامِيرَ، فَقُلْت: أَتَرَى بِهَذَا الْحَدِيدِ بَأْسًا؟ قَالَ لَا قُلْت: سُفْيَانُ وَثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ كَرِهَا ذَلِكَ لِأَنَّ فِيهِ تَشَبُّهًا بِالرُّهْبَانِ؛ فَقَالَ «كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَلْبَسُ النِّعَالَ الَّتِي لَهَا شَعْرٌ» وَإِنَّهَا مِنْ لِبَاسِ الرُّهْبَانِ. فَقَدْ أَشَارَ إلَى أَنَّ صُورَةَ الْمُشَابَهَةِ فِيمَا تَعَلَّقَ بِهِ صَلَاحُ الْعِبَادِ لَا يَضُرُّ… وَفِيهِ إشَارَةٌ أَيْضًا إلَى أَنَّ الْمُرَادَ بِالتَّشَبُّهِ أَصْلُ الْفِعْلِ: أَيْ صُورَةُ الْمُشَابَهَةِ بِلَا قَصْدٍ.
Maksudnya: “Hisham berkata: Aku melihat Abu Yusuf (memakai) sepasang sandal yang dijahit dengan paku-paku. dan berkata: ‘Adakah kamu merasa susah memakai ini? Dia menjawab, ‘Tidak’. Aku berkata, ‘Sufyan dan Thaur bin Yazid tidak suka kepada sandal ini kerana ia menyerupai rahib. Beliau menyatakan, ‘Nabi SAW memakai sandal yang mempunyai bulu di atasnya.’ (Ibn ‘Abidin menyatakan) Sesungguhnya ia (sandal itu) adalah daripada pakaian rahib. Maka ini menunjukkan bahawa apa-apa persamaan / penyerupaan yang berkaitan dengan kebaikan manusia adalah tidak bermasalah … dan ini juga menunjukkan mengenai asal perbuatan meniru itu – ia adalah bentuk persamaan tanpa niat.”[20]

Perlu dibezakan antara hukum fiqhi dan fatwa. Ini kerana, hukum fiqhi ada yang bersifat thabit yang tidak mungkin berubah seperti hukum قطعية الثبوت و الدلالة. Begitu juga ada yang boleh berubah iaitu yang tidak thabit. Hal ini harus berijtihad. Berlainan pula dengan fatwa yang boleh menerima perubahan berdasarkan kemaslahatan zaman. Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata: Ini yang menyebabkan aku menyalahi pandangan Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkenaan pengharaman ucapan tahniah kepada orang Kristian.”
Menghukumi sesuatu adalah dengan isinya dan kandungannya, bukan dengan kulit atau namanya semata-mata (العبرة بالمسميات لا بالاسماء).
Kami melihat, perbezaan pandangan yang timbul adalah pada memahami definisi yang tepat bagi perkataan “tahniah” yang menyebabkan hukumnya terbahagi kepada dua seperti di atas. Bagi menjelaskan hal ini, kita perlu melihat definisi “tahniah” dalam konteks bahasa dan pemahaman yang sebenar. Dalam Bahasa Melayu, “tahniah” bermaksud: “ucapan yang ditujukan kepada seseorang untuk menyatakan rasa gembira kerana kejayaannya dll; ucapan selamat”[21]
Maka, dapat difahami bahawa ucapan Merry Christmas adalah termasuk dalam fatwa keharusan mengucapkan tahniah atas perayaan agama lain tanpa mengagungkan agama mereka. Ia tidak lebih daripada sekadar ucapan bagi menzahirkan rasa gembira dan seronok apabila melihat mereka bergembira meraikannya.

Keputusan Institusi Fatwa

Bagi menyokong keharusan yang kami tarjihkan, kami kemukakan di sini sebahagian pendapat Institusi Fatwa:

Dar Ifta al-Misriyyah. Harus mengucapkan tahniah kepada orang bukan Muslim merayakan perayaan mereka itu dengan lafaz yang tidak bertentangan dengan akidah Islamiyyah dan perbuatan ini termasuk di bawah bab Ihsan.[22]
Majlis Fatwa Eropah. Mereka juga mengharuskannya sesuai dengan Fiqh al-Aqaliyyat (Minoriti Muslim di negara bukan Muslim).[23]
Garis Panduan (dhawabit) Umum

Ucapan tahniah adalah sebagai tanda perpaduan dan hubungan kemasyarakatan yang erat dan harmoni. Adapun melibatkan diri dalam upacara-upacara keagamaan khusus mereka, ia tetap tidak dibenarkan di sisi Islam.
Ucapan tersebut tidak disertai dengan niat untuk mengagungkan, memuliakan dan menyetujui agama lain serta tidak juga menumpahkan kasih sayang yang terlalu tinggi melangkaui batas agama.
Ucapan tahniah tidak mengandungi sebarang bentuk penghargaan yang menyalahi syarak seperti menghadiahkan arak dan perkara yang tidak diizinkan dalam Islam.
Ucapan tersebut adalah kepada orang bukan Muslim yang tidak bermusuh dengan Islam, khususnya kepada seseorang yang mempunyai ikatan tertentu seperti kaum kerabat, jiran tetangga, teman-teman pengajian, kawan-kawan sekerja dan sebagainya.
Menghadiri jemputan makan malam bukan Muslim, menziarahi bukan Muslim dan bertukar-tukar hadiah juga adalah dibenarkan. Rasulullah SAW pernah menerima hadiah daripada Raja al-Muqawqis[24] yang tidak beragama Islam. Saidina Umar al-Khattab RA juga pernah menghadiahkan baju kepada saudaranya yang tidak memeluk Islam.[25]
Kenyataan Mufti Wilayah

Setelah kami amati dan tekuni isu ini dengan berhemah, di samping membincangkan dengan pakar serta kembali kepada rujukan yang muktabar sebagaimana yang telah dilampirkan kesemuanya di atas, maka kami berpendapat hukum mengucapkan Merry Christmas adalah HARUS dan perlu meraikan garis panduan yang telah kami nyatakan. Ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-78 yang bersidang pada 12 Jun 2007, “Memberi ucapan tahniah dan selamat atau mengirimkan ucapan melalui kad atau alat-alat telekomunikasi seperti e-mel atau sistem pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya kepada orang bukan Muslim sempena dengan perayaan agama mereka adalah harus, dengan syarat ucapan itu tidak mengiktiraf, memuji atau memuliakan agama bukan Muslim serta tidak menggunakan sebarang simbol atau lambang keagamaan mereka dalam kiriman ucapan tersebut.”

Kami menguatkan hujah ini melalui kenyataan Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya al-Halal wa al-Haram fi Islam antara lain menyebut: “Jika kita hendak menyimpulkan ajaran-ajaran Islam dalam tindakannya terhadap orang-orang yang menyalahinya dalam lingkungan apa yang halal dan apa yang haram, maka memadailah kita berpegang kepada dua ayat daripada al-Quran al-Karim yang boleh dianggap sebagai prinsip yang menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT:

لَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ أَنْ تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ. إِنَّمَا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ قَاتَلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَأَخْرَجُوكُمْ مِنْ دِيَارِكُمْ وَظَاهَرُوا عَلَى إِخْرَاجِكُمْ أَنْ تَوَلَّوْهُمْ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ فَأُولَئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ
Maksudnya: Allah SWT tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah SWT mengasihi orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah SWT hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
(Surah al-Mumtahanah: 8-9)

Ayat yang pertama di atas tidak hanya menggalakkan seseorang berlaku adil dan saksama kepada orang-orang yang bukan Muslim, yang tidak memerangi, iaitu tidak menunjukkan permusuhan kepada kaum Muslimin dalam agamanya.

Tegasnya, mereka itu tidak menaruh niat permusuhan atau peperangan terhadap kaum Muslimin, malah ayat itu juga menggalakkan supaya berbuat baik dan memberikan layanan yang sempurna kepada mereka. Perkataan “al-bir” iaitu “baik” merupakan kalimah yang meliputi segala pengertian dan maksud yang baik umumnya dalam sebarang maksud, dan ianya adalah suatu perkara yang melebihi “keadilan”. Kalimah al-bir tersebut pernah digunakan oleh kaum Muslimin untuk menunjukkan kewajipan yang utama tentang hak-hak kemanusiaan ke atas diri mereka, ketika menggunakan perkataan itu untuk berbuat baik kepada kedua ibu bapa (birr al-walidain)

Kami menyatakan di sini bahawa ayat itu menggalakkan apa yang kami nyatakan kerana firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya Allah SWT menyukai orang-orang yang berlaku adil. Seseorang Mukmin itu mestilah berusaha dengan sepenuh daya upaya untuk merealisasikan apa yang disukai oleh Allah SWT, dengan tidak sama sekali menafikan atau menolak pengertian “menggalakkan dan menuntut” yang terdapat di dalam ayat ini, kerana ianya berbunyi dengan ungkapan “Allah SWT tidak melarang kamu…” Ini kerana ungkapan seumpama ini adalah untuk menolak apa yang terlekat di dalam pemikiran Muslim, yang mana masih lagi berlaku sehingga ke hari ini.

Sesiapa sahaja yang menyalahi ajaran Islam tidak berhak baginya mendapat kebaikan, keadilan dan pergaulan yang baik. Lantaran itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia tidak melarang orang Islam untuk melakukan sedemikian, meskipun orang-orang itu menyalahi agama mereka, bahkan sekalipun mereka memeranginya dan bermusuhan terhadapnya.”

Sudah sampai masanya bagi para ulama’ menginterpretasikan apa yang didapati daripada teks-teks klasik ulama’ silam supaya sesuai dengan kerangka masa kini tanpa meninggalkan batasan syarak. Tidak cukup hanya sekadar menukilkan apa yang dicatatkan pada lembaran kertas daripada kitab-kitab silam, bahkan para ulama’ perlu turun ke lapangan bagi memahami kitab al-waqi’ (‘membaca’ realiti semasa). Kemampuan untuk berinteraksi dengan teks-teks klasik inilah yang akan membawa umat Islam ke satu paradigma yang jauh ke hadapan dan lebih berpijak kepada realiti sebenar pada zaman sekarang serta tidak ketinggalan dalam arus perdana. Dengan itu, akan terzahirlah Islam sebagai agama yang bersifat rahmatan li al-‘alamin (memberi rahmat ke seluruh alam jagat).

Semoga dengan pencerahan ini menjadikan kita sentiasa berada di landasan yang sebenarnya mengikut neraca syariah.

Akhukum Fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
19 Disember 2016 / 19 Rabi’ al-Awwal 1438H

__________________________________________________

[1] Al-Maraghi, Mustafa. Tafsir al-Maraghi, terj., 1/174.

[2] Syed Qutb. Fi Zilal al-Qur’an (terj.), 10/102

[3] https://en.oxforddictionaries.com/definition/merry

[4] https://en.oxforddictionaries.com/definition/christmas

[5] https://en.oxforddictionaries.com/definition/christ

[6] https://en.oxforddictionaries.com/definition/mass

[7] Reverend John Trigilio Jr. & Reverend Kenneth Brighenti. The Catholicism Answer Book: The 300 Most Frequently Asked Questions , m.146.

[8] The Oxford Dictionary of the Christian Church (ed. E.A. Livingstone). m. 335-336.

[9] Rujuk http://www.statistics.gov.my/index.php?r=column/cthemeByCat&cat=117&bul_id=MDMxdHZjWTk1SjFzTzNkRXYzcVZjdz09&menu_id=L0pheU43NWJwRWVSZklWdzQ4TlhUUT09

[10] http://www.operationworld.org/country/malc/owtext.html

[11] Al-Kasysyaf ‘an Haqa’iq Ghawamidh al-Tanzil, jil. 4, m. 374.

[12] Riwayat al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 1113.

[13] Ibn Kathir, Tafsri Ibn Kathir, 3/309.

[14] Ibn al-Qayyim. Ahkam Ahl al-Zimmah, 1/441.

[15] Al-Maliki, Muhammad Ahmad ‘Alish. Fath al-‘Ali al-Malik fi al-Fatawa ‘ala Mazhab al-Imam al-Malik, jil. 2, m. 350.

[16] Al-Hattab al-Ru’yani, Muhammad Abu ‘Abd Allah ibn Muhammad at-Tarabulsi. Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar al-Khalil, jil. 6, m. 289.

[17] Al-Maraghi, Mustafa. Tafsir al-Maraghi (terj.), 14/6969.

[18] Al-Razi, Al-Fakhr al-Razi. Tafsir Mafatih al-Ghaib, 5/221.

[19] Al-Maraghi, Mustafa. Tafsir al-Maraghi (terj.), ?/1506.

[20] Ibn ‘Abidin. Radd al-Muhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 1/624

[21] http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=tahniah

[22] http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?sec=fatwa&ID=13237

[23] http://www.e-cfr.org/fatwa/3ما-حكم-تهنئة-غير-المسلمين-بأعيادهم؟-/

[24] Ia adalah gelaran kepada pemerintah Mesir berbangsa Qibti kuno.

[25] Ia ada terdapat dalam hadis yang panjang dalam riwayat al-Bukhari dan Muslim. Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadis ini menyatakan: “Dibolehkan seorang Muslim menghadiahkan orang Musyrik pakaian dan selainnya.” Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/38.

26 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

PELIHARALAH ADAB KETIKA MENZIARAHI PESAKIT!

OLEH : MUFTI BRUNEI 

ﺑﺴﻢ ﺍﷲ ، ﻭﺍﳊﻤﺪ ﷲ ، ﻭﺍﻟﺼﻼﺓ ﻭﺍﻟﺴﻼﻡ ﻋﻠﻰ ﺭﺳﻮﻝ ﺍﷲ ، ﻭﻋﻠﻰ ﺁﻟﻪ ﻭﺻﺤﺒﻪ ﻭﻣﻦ ﻭﺍﻻﻩ

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Islam sangat mengambil berat kepentingan mengeratkan hubungan tali persaudaraan atau silaturrahim sesama muslim. Salah satu cara yang dianjurkan oleh Islam  untuk mengeratkan hubungan persaudaraan atau silaturrahim  sesama muslim  itu ialah dengan menziarahi orang sakit. Menziarahi orang sakit adalah salah satu hak seorang muslim ke atas muslim yang lain.

Dalam sebuah hadits  yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, beliau berkata:

Maksudnya: “Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu ‘alaihi  wasallam bersabda:  “Hak seorang muslim ke atas muslim (yang lain) ada lima perkara, iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menjawab (menghadiri) undangan dan  mendoakan orang bersin.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Terdapat banyak hadits yang menyebutkan tentang anjuran dan kelebihan menziarahi orang sakit, antaranya sabda Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi orang sakit atau menziarahi saudaranya kerana Allah, nescaya penyeru (malaikat) akan berseru kepadanya: “Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, telah tersedia untukmu sebuah rumah di  dalam syurga!”.(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Hukum menziarahi orang sakit adalah sunat  mu’akkadah iaitu  sunat yang sangat dituntut.

Menziarahi orang  sakit tidak hanya  terbatas kepada sahabat atau jiran tetangga yang sakit sahaja, bahkan disunatkan  juga menziarahi saudara Islam yang tidak dikenali hatta musuh atau orang  yang pernah menyakiti kita.

Hukum menziarahi kafir  dzimmi yang sakit pula pada dasarnya adalah harus, namun disunatkan menziarahinya jika dia dari  kalangan ahli terdekat atau jiran, atau kerana berharap supaya dia  memeluk Islam.

Adab Ketika Ziarah

Dalam menziarahi orang sakit, adakalanya kita lupa akan adabadab yang perlu diikut sehingga niat yang baik hanya akan  membebankan orang sakit dan bukan seperti yang diharapkan.

Antara adab-adab menziarahi orang sakit yang perlu dijaga  ialah:

1) Hendaklah tujuan melakukan ziarah itu  ikhlas kerana Allah Ta‘ala dan dengan niat yang baik seperti kerana rasa kasih dan sayang, persaudaraan, tanggungjawab dan sebagainya, bukan disebabkan niat dan tujuan yang tidak baik, juga bersifat duniawi semata-mata seperti ingin merebut harta dan kemewahan.

2) Melakukan ziarah pada waktu yang sesuai. Jangan terlalu lama dan kerap  melakukan ziarah  kerana dikhuatiri akan mendatangkan kesusahan dan gangguan kepada orang sakit, malah juga kepada orang sakit berhampiran sekiranya berada di rumah sakit.

Makruh hukumnya melakukan ziarah jika mendatangkan kesusahan atau gangguan kepada orang sakit, menghalang pergerakannya atau membuatkannya berasa tidak selesa. Dianjurkan untuk melakukan ziarah secara berselang agar tidak mendatangkan sebarang kesulitan atau gangguan kepada orang sakit.

Namun sebaliknya, digalakkan untuk kerap melakukan ziarah bagi yang mempunyai hubungan rapat dengan orang sakit itu serta yang disenangi kehadirannya seperti keluarga atau sahabat karib selama mana tidak ada tegahan atau tidak menimbulkan gangguan.

Begitu  juga digalakkan untuk kerap melakukan ziarah jika dengan tidak melawat tiap-tiap hari akan mendatangkan kesusahan kepada  orang sakit itu apabila tidak menjenguknya.

Ulama ada mengatakan bahawa  melakukan ziarah pada hari Jumaat itu lebih afdhal daripada hari-hari lain.

3) Berada di sisi orang sakit, sebaiknya di bahagian kepalanya, bagi membolehkan orang sakit itu berinteraksi dengan mudah dan selesa.

4) Bertanya akan keadaan orang sakit sambil meletakkan tangan di atas dahi atau tangannya sebagaimana tersebut di dalam sebuah hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Kesempurnaan cara mengunjungi orang yang sakit, hendaklah seseorang itu  meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan orang sakit  itu, lalu bertanya kepadanya tentang keadaannya.”

(Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Disunatkan juga menanyakan kepada ahli keluarga pesakit akan keadaan orang sakit  terutama sekali  bilamana orang tersebut dalam keadaan tenat  tidak boleh bercakap-cakap.  Namun perlu diingat, janganlah terlalu banyak bertanya dan janganlah bertanya sehingga menjengkelkan.

5) Ucapkanlah kata-kata yang elok dan baik yang dapat menyenangkan, menggembirakan dan mententeramkan hati orang sakit, bukannya kata-kata yang tidak disukainya dan yang boleh merisaukannya, melemahkan semangat serta menambahkan kesakitannya. Jika ia kelihatan takut atau gelisah, adalah elok untuk bercakap mengenai kelebihan yang ada padanya, jasa atau kebajikan yang pernah dibuatnya agar perasaan takut itu hilang. Disunatkan untuk memberinya nasihat agar banyak bersabar dan tabah menghadapi penderitaan yang di alaminya, sentiasa bersangka baik terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘ala.

Orang yang berziarah hendaklah memberi harapan sembuh  dengan mengatakan kepadanya bahawa apa yang ditanggungnya ini merupakan ujian dari Allah  Subhanahu wa Ta‘ala  dan insya Allah akan membersihkan dirinya daripada dosa serta mendapat ganjaran pahala yang besar. Antara ucapan Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam  yang memberi keyakinan dan harapan sekali gus menjadi doa ialah:

Maksudnya: “(Penyakit ini) tidak apa-apa, malah membersihkan (daripada dosa), insya Allah.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

6) Disunatkan untuk  mendoakan orang sakit supaya cepat  sembuh, sama ada ketika melakukan ziarah ataupun tidak dan  sama ada besar harapan untuk sembuh ataupun sebaliknya.

Terdapat banyak hadits  shahih yang menyebutkan mengenai doa-doa yang boleh dibaca  bagi memohon kesembuhan dan keafiatan orang sakit, antara  doa yang afdhal ialah membaca doa yang diajarkan oleh Baginda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi  wasallam  sebanyak tujuh kali kepada pesakit, nescaya Allah Subhanahu wa Ta`ala menyembuhkannya:

Maksudnya: “Aku memohon kepada Allah Yang Maha Agung, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung, semoga Dia menyembuhkanmu.”

Di samping pengambilan ubat dan penggunaan peralatan perubatan,  pengubatan secara  ruqyah  (jampi) yang merupakan  sunnah Baginda  Shallallahu ‘alaihi wasallam juga boleh dilakukan apabila berziarah.

Di antara  ruqyah atau dipanggil juga menawari di kalangan masyarakat kita itu adalah dengan meletakkan tangan kanan ke atas badan orang sakit atau di tempat yang sakit dan membaca “Bismillah”, kemudian meniup kepadanya  seraya membaca  mu‘awwidzat  (surah al-Ikhlas, surah al-Falaq dan surah an-Nas) atau doa  perlindungan.

Sayyidatina ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha  ada meriwayatkan:

Maksudnya: “Bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah meniup badan Baginda sambil membaca al- mu‘awwidzat di kala Baginda mengalami sakit yang membawa kepada kewafatannya.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Selain itu juga pesakit dianjurkan membaca doa pelindung ini dengan meletakkan tangan pada tempat yang sakit sebanyak tujuh kali yang bersumber daripada hadits Muslim:

 

Maksudnya:  “Aku berlindung dengan  kemuliaan Allah dan kekuasaanNya daripada kejahatan yang aku dapat dan aku waspadai.”

7) Dianjurkan untuk  meminta orang sakit itu mendoakan kesejahteraan dan kebaikan kita kerana doa orang sakit adalah mustajab berdasarkan sabda Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Apabila engkau datang mengunjungi orang yang sakit, maka mintalah agar dia mendoakanmu, kerana doanya (makbul) seperti doa para malaikat.”(Hadits riwayat Ibnu Majah)

8) Berpesan kepada keluarga orang sakit atau orang yang menjaganya untuk berbuat baik, berlaku lembut dan sabar dengan karenah orang sakit dan beban ditanggung kerananya.

9) Menjaga aurat dan batas pergaulan semasa menziarahi orang sakit, lebih-lebih lagi bagi  yang bukan mahram. Harus bagi seorang perempuan menziarahi seorang lelaki yang sakit selama mana ia menutup aurat, tidak menimbulkan perkaraperkara keji, syak, fitnah  dan bukan dinamakan khalwat (berdua-duaan). Sayyidatina ‘Aisyah  Radhiallahu ‘anha  ada meriwayatkan bahawa beliau pernah menziarahi Abu Bakar dan Bilal bin Rabah Radhiallahu ‘anhuma yang mengalami demam panas, lalu ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha berkata:

Maksudnya: “Wahai ayah, bagaimana yang ayah rasakan dalam diri ayah? Dan wahai Bilal, bagaimana yang engkau rasakan dalam diri engkau?”   (Hadits riwayat al-Bukhari)

10) Jangan bercerita tentang perkara buruk atau aib orang sakit kepada orang lain. Hendaklah disembunyikan sebarang keburukan atau keaiban yang dilihat.

11) Bagi orang sakit yang tiada  harapan untuk sembuh atau sedang nazak, dituntut ke atas ahli terdekat untuk membacakan talqin atau mengajarkannya ucapan ﺍﷲ ﺇﻻ ﺇﻟﻪ ﻻ agar kalimah tauhid tersebut menjadi ucapan terakhir sebelum dia meninggal dunia. Tidak perlu mengulang-ulang talqin jika orang sakit itu mengucapkan kalimat  tauhid tersebut melainkan jika selepas mengucapkannya dia masih lagi bercakap atau menyebut perkara lain selain kalimat tauhid.

Menghadapkannya ke arah kiblat iaitu dengan membaringkannya pada rusuk sebelah kanannya dan menghadapkan mukanya ke arah kiblat. Jika sukar, baringkan dia pada rusuk sebelah kirinya  dengan menghadapkan ke arah kiblat. Jika sukar juga, baringkan dia dengan menelentang dan menghadapkan muka serta telapak kakinya ke arah kiblat.

Angkat sedikit kepalanya supaya mukanya menghadap ke arah kiblat.  Sunat  dibacakan di sisi orang sakit itu surah Yasin dengan jahr dan surah ar-Ra‘d dengan israr. Jahr ialah suara nyaring atau tinggi sehingga dapat didengar oleh orang lain dan  Israr ialah suara perlahan yang hanya  dapat didengar oleh dirinya sendiri.

Sekurang-kurang  jahr itu ialah suara yang hanya dapat didengar oleh orang yang bersamanya. Dan sekurang-kurang israr ialah suara yang  hanya dapat didengar  oleh diri sendiri mengikut pendengaran yang biasa tanpa ada halangan untuk mendengar seperti tuli.

Sebagai kesimpulan, tuntutan menziarahi orang sakit memang mempunyai peranan dalam menanai sifat berkasih sayang , ambil peduli dan tidak camah mata di kalangan masyarakat. Di samping menghibur dan meringankan penderitaan orang sakit, dengan saling ziarah-menziarahi, ikatan persaudaraan dan sillaturrahim akan menjadi erat. Selain itu, peranan ruqyah mengikut cara Islam juga mempunyai hikmah tersendiri.

Insya Allah dengan mengikut dan menjaga adab-adab yang ditetapkan, amalan menziarahi orang sakit ini akan menjadi  lebih berkat. Amalan  ini sangat dituntut kerana ianya boleh mengingatkan kita kepada kematian dan mengajak kepada keinsafan.

20 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Tazkirah | Leave a comment

Mari kita Mengenali Pengarang Maulid Al-Barzanji Sayyid Ja‘far bin Hasan bin ‘Abdul Karim bin Muhammad bin Rasul Al-Barzanji

Mari kita Mengenali Pengarang Maulid Al-Barzanji Sayyid Ja‘far bin Hasan bin ‘Abdul Karim bin Muhammad bin Rasul Al-Barzanji, pengarang Maulid Barzanji, adalah seorang ulama besar keturunan Nabi SAW dari keluarga Sadah Al-Barzanji yang termasyhur, berasal dari Barzanj di Irak. Beliau lahir di Madinah Al-Munawwarah pada tahun 1126 H (1714 M).

Datuk-datuk Sayyid Ja‘far semuanya ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amalnya, keutamaan dan keshalihannya. Sayyid Muhammad bin ‘Alwi bin ‘Abbas Al-Maliki dalam Hawl al-Ihtifal bi Dzikra al-Mawlid an-Nabawi asy-Syarif pada halaman 99 menulis sebagai berikut: “Al-Allamah Al-Muhaddits Al-Musnid As- Sayyid Ja`far bin Hasan bin `Abdul Karim Al-Barzanji adalah mufti Syafi`iyyah di Madinah Al-Munawwarah.

Terdapat perselisihan tentang tahun wafatnya. Sebagian menyebutkan, beliau meninggal pada tahun 1177 H (1763 M). Imam Az-Zubaid dalam al-Mu`jam al-Mukhtash menulis, beliau wafat tahun 1184 H (1770 M). Imam Az-Zubaid pernah berjumpa beliau dan menghadiri majelis pengajiannya di Masjid Nabawi yang mulia. Beliau adalah pengarang kitab Maulid yang termasyhur dan terkenal dengan nama Mawlid al-Barzanji.

Sebagian ulama menyatakan nama karangannya tersebut sebagai ‘Iqd al-Jawhar fi Mawlid an-Nabiyyil Azhar. Kitab Maulid karangan beliau ini termasuk salah satu kitab Maulid yang paling populer dan paling luas tersebar ke pelosok negeri Arab dan Islam, baik di Timur maupun Barat. Bahkan banyak kalangan Arab dan non-Arab yang menghafalnya dan mereka membacanya dalam acara-acara (pertemuan-pertemuan) keagamaan yang sesuai. Kandungannya merupakan khulashah (ringkasan) sirah nabawiyyah yang meliputi kisah kelahiran beliau, pengutusannya sebagai rasul, hijrah, akhlaq, peperangan, hingga wafatnya.”

Kitab Mawlid al-Barzanji ini telah disyarahkan oleh Al-Allamah Al-Faqih Asy-Syaikh Abu Abdillah Muhammad bin Ahmad Al-Maliki Al-Asy‘ari Asy-Syadzili Al-Azhari yang terkenal dengan panggilan Ba‘ilisy dengan pensyarahan yang memadai, bagus, dan bermanfaat, yang dinamakan al-Qawl al-Munji ‘ala Mawlid al-Barzanji dan telah berulang kali dicetak di Mesir. Beliau seorang ulama besar keluaran Al-Azhar Asy-Syarif, bermadzhab Maliki, mengikuti paham Asy‘ari, dan menganut Thariqah Syadziliyyah. Beliau lahir pada tahun 1217 H (1802 M) dan wafat tahun 1299 H (1882 M).

Selain itu, ulama terkemuka kita yang juga terkenal sebagai penulis yang produktif,
Syaikh Muhammad Nawawi Al-Bantani Al-Jawi, pun menulis syarahnya yang dinamakannya Madarijush Shu‘ud ila Iktisa-il Burud. Kemudian,
Sayyid Ja‘far bin Isma‘il bin Zainal ‘Abidin bin Muhammad Al- Hadi bin Zain, suami anak satu-satunya Sayyid Ja‘far Al-Barzanji, juga menulis syarah kitab Mawlid al-Barzanji tersebut yang dinamakannya al-Kawkabul-Anwar ‘ala ‘Iqd al-Jawhar fi Mawlidin-Nabiyyil-Azhar.

Sebagaimana mertuanya, Sayyid Ja‘far.ini juga seorang ulama besar lulusan Al-Azhar Asy-Syarif dan juga seorang mufti Syafi‘iyyah. Karangan karangan beliau banyak, di antaranya Syawahid al-Ghufran ‘ala Jaliy al-Ahzan fi Fadha-il Ramadhan, Mashabihul Ghurar ‘ala Jaliyyil Qadr, dan Taj al-Ibtihaj ‘ala Dhau’ al-Wahhaj fi al-Isra’ wa al-Mi‘raj. Beliau pun menulis manaqib yang menceritakan perjalanan hidup Sayyid Ja‘far Al-Barzanji dalam kitabnya ar-Raudh al-‘Athar fi Manaqib as-Sayyid Ja‘far. Kembali kepada Sayyidi Ja‘far Al-Barzanji.

Selain dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut. Beliau terkenal bukan saja karena ilmu, akhlaq, dan taqwanya, tetapi juga karena karamah dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdoa untuk mendatangkan hujan pada musim-musim kemarau. Diceritakan, suatu ketika di musim kemarau, saat beliau sedang menyampaikan khutbah Juma’tnya, seseorang meminta beliau beristisqa’ memohon hujan. Maka dalam khutbahnya itu beliau pun berdoa memohon hujan. Doanya terkabul dan hujan terus turun dengan lebatnya hingga seminggu, persis sebagaimana yang pernah terjadi pada zaman Rasulullah SAW dahulu. Sayyidi Ja‘far Al-Barzanji wafat di Madinah dan dimakamkan di Jannatul Baqi‘.
Sungguh besar jasa beliau. Karangannya membawa umat ingat kepada Nabi SAW, membawa umat mengasihi beliau, membawa umat merindukannya. Sayyid Ja’far Al-Barzanji adalah seorang ulama’ besar keturunan Nabi Muhammad saw dari keluarga Sa’adah Al Barzanji yang termasyur, berasal dari Barzanj di Irak.
Datuk-datuk Sayyid Ja’far semuanya ulama terkemuka yang terkenal dengan ilmu dan amalnya, keutamaan dan keshalihannya. Beliau mempunyai sifat dan akhlak yang terpuji, jiwa yang bersih, sangat pemaaf dan pengampun, zuhud, amat berpegang dengan Al-Quran dan Sunnah, wara’, banyak berzikir, sentiasa bertafakkur, mendahului dalam membuat kebajikan bersedekah,dan pemurah. Nama nasabnya adalah
24)Sayid Ja’far ibn
23)Hasan ibn
22)Abdul Karim ibn
21)Muhammad ibn
20)Sayid Rasul ibn
19)Abdul Sayid ibn
18)Abdul Rasul ibn
17)Qalandar ibn
16)Abdul Sayid ibn
15)Isa ibn
14)Husain ibn
13)Bayazid ibn
12)Abdul Karim ibn
11)Isa ibn Ali ibn
10)Yusuf ibn
9)Mansur ibn
8)Abdul Aziz ibn
7)Abdullah ibn
6)Ismail ibn Al-Imam Musa Al-Kazim ibn
5)Al-Imam Ja’far As-Sodiq ibn
4)Al-Imam Muhammad Al-Baqir ibn
3)Al-Imam Zainal Abidin ibn
2)Al-Imam Husain ibn
1)Sayidina Ali r.a.
Semasa kecilnya beliau telah belajar Al-Quran dari Syaikh Ismail Al-Yamani, dan belajar tajwid serta membaiki bacaan dengan Syaikh Yusuf As-So’idi dan Syaikh Syamsuddin Al-Misri.Antara guru-guru beliau dalam ilmu agama dan syariat adalah : Sayid Abdul Karim Haidar Al-Barzanji, Syeikh Yusuf Al-Kurdi, Sayid Athiyatullah Al-Hindi. Sayid Ja’far Al-Barzanji telah menguasai banyak cabang ilmu, antaranya: Shoraf, Nahwu, Manthiq, Ma’ani, Bayan, Adab, Fiqh, Usulul Fiqh, Faraidh, Hisab, Usuluddin, Hadits, Usul Hadits, Tafsir, Hikmah, Handasah, A’rudh, Kalam, Lughah, Sirah, Qiraat, Suluk, Tasawuf, Kutub Ahkam, Rijal, Mustholah. Syaikh Ja’far Al-Barzanji juga seorang Qodhi (hakim) dari madzhab Maliki yang bermukim di Madinah, merupakan salah seorang keturunan (buyut) dari cendekiawan besar Muhammad bin Abdul Rasul bin
Abdul Sayyid Al-Alwi Al-Husain Al-Musawi Al-Saharzuri Al-Barzanji (1040-1103 H / 1630-1691 M), Mufti Agung dari madzhab Syafi’i di Madinah. Sang mufti (pemberi fatwa) berasal dari Shaharzur, kota kaum Kurdi di Irak, lalu mengembara ke berbagai negeri sebelum bermukim di Kota Sang Nabi. Di sana beliau telah belajar dari ulama’-ulama’ terkenal, diantaranya Syaikh Athaallah ibn Ahmad Al-Azhari, Syaikh Abdul Wahab At-Thanthowi Al-Ahmadi, Syaikh Ahmad Al-Asybuli. Beliau juga telah diijazahkan oleh sebahagian ulama’, antaranya : Syaikh Muhammad At-Thoyib Al-Fasi, Sayid Muhammad At-Thobari, Syaikh Muhammad ibn Hasan Al A’jimi, Sayid Musthofa Al-Bakri, Syaikh Abdullah As-Syubrawi Al-Misri. Syaikh Ja’far Al-Barzanji, selain dipandang sebagai mufti, beliau juga menjadi khatib di Masjid Nabawi dan mengajar di dalam masjid yang mulia tersebut.

Beliau terkenal bukan saja karena ilmu, akhlak dan taqwanya, tapi juga dengan kekeramatan dan kemakbulan doanya. Penduduk Madinah sering meminta beliau berdo’a untuk hujan pada musim-musim kemarau. Setiap kali karangannya dibaca, shalawat dan salam dilatunkan buat junjungan kita Nabi Muhammad SAW, selain itu juga tidak lupa mendoakan Sayyid Ja‘far, yang telah berjasa menyebarkan keharuman pribadi dan sirah kehidupan makhluk termulia di alam raya.

Semoga Allah meridhainya dan membuatnya ridha.

15 December 2016 Posted by | Bersama Tokoh, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Melayan Kejahilan Bermusim Wahhabi

Oleh: Ustaz YM Engku Ahmad Fadzil.

Sebenarnya saya dah malas nak melayan perangai golongan yang suka membid’ah sesatkan amalan ummat Islam dengan alasan perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh RasuululLaah S.A.W. kerana sikap mereka mengharamkan perbuatan2 yang tidak dilakukan oleh RasuululLaah S.A.W. semata-mata ianya tidak dilakukan oleh RasuululLaah sebenarnya merupakan bid’ah yang sesat di dalam agama kerana mereka cipta sesuatu yang tidak ada asas di dalam agama malah bertentangan dengan Al-Quran dan As-Sunnah itu sendiri dan termasuk di dalam perbuatan keji mengharamkan sesuatu yang tidak haram di dalam agama.

Apapun, oleh kerana ada sahabat2 yang bertanya berkaitan poster recycled ini dan “logik kedai kopi” yang tidak bersandarkan kaedah fiqhiyyah sebenar ini dicampur aduk dengan penyelewengan fakta yang dikitar semula saban tahun, maka saya copy paste perbualan saya dengan seorang pengikut Wahhabi di dalam sebuah Group Telegram mungkin sekitar 2 tahun yang lalu ketika saya masih aktif melayan perbincangan2 di dalam Group Telegram. Moga2 ada manfaatnya kepada mereka yang Allah SWT bukakan hati mereka untuk mencari kebenaran 👇

SOALAN WAHHABI: Abu lahab ko sapo org hok mula2 smbut maulud nabi?
Bg pnjlasan ckit shabat2.

JAWAPAN SAYA: Kalau Abu Lahab sambut mawlid Nabi Muhammad SAW pun apa masalahnya? Adakah kerana sesuatu perbuatan yang baik dilakukan oleh orang2 kafir, maka perbuatan itu jadi buruk? Kalau ada orang-orang kafir yang hormat kepada ibubapa, membantu orang-orang miskin, maka perbuatan itu jadi buruk. Wahhabi yang galak membid’ah dholaalah kan sambutan mawlid Nabi Muhammad SAW seakan terlupa puasa 10 Muharram asalnya amalan orang-orang Yahudi tetapi oleh kerana baik mengikut kayu ukur syarak (menzahirkan kesyukuran atas keselamatan Nabi Allah Musa a.s. daripada ancaman Firaun) maka diiktiraf, dianjurkan dan diamalkan oleh RasuululLaah SAW. Mereka juga lupa antara orang yang paling awal menyambut mawlid adalah RasuululLaah SAW sendiri yang menyambut hari kelahiran baginda setiap minggu dan mereka lupa dan buat muka tak malu menyambut mawlid insan bernama Muhammad bin Abdul Wahhab pengasas gerakan Wahhabi, tetapi apabila yang disambut mawlid itu namanya Muhammad bin Abdullah SallalLaahu ‘alaihi wa sallam maka jadi bid’ah dholaalah masuk neraka. Wahhabi bukan sahaja ada masalah dari segi ilmu, hatta kalau ada ilmu sekalipun racun Wahhabi yang menyerap di dalam hati dan fikiran mereka mematikan kebolehan mereka untuk berfikir secara adil dan konsisten.
نسأل الله العفو والعافية.

SOALAN WAHHABI: Sabar syeikh
Kt kan brbncang.
Mana sumber enta amik yg kata rasulullah smbut maulidnya stiap mnggu?
Bg hujah syeikh…jgn ckap sj hehe.

JAWAPAN SAYA: Sabar dan marah ada tempatnya. Kita disuruh marah kalau agama dirosakkan oleh juhala berlagak pandai. Lagipun, memang masih cool 😎 aje, cuma bagi point2 moga2 dengannya Allah bukakan hati dan fikiran mereka yang masih di peringkat mencari hak dan kebenaran.

SOALAN WAHHABI: Mana hujjah yg ana mnta? Enta org alim bg la …sy geng2 juhalah.

JAWAPAN SAYA: Hujjah apa lagi? Menzahirkan kesyukuran atas kelahiran insan yang menjadi rahmat kepada sekelian alam yang turut dilakukan oleh yang empunya diri yang perkataan dan perbuatan, malah diamnya boleh menjadi sandaran hukum, masih mahu tanya hujjah? Hrrmm…

SOALAN WAHHABI: Mana sumber enta amik yg kata rasulullah smbut maulidnya stiap mnggu?
Sbut hads atau ayat al quran
Itu hujjah namanya…takkan org alim cam enta pon x tau.

JAWAPAN SAYA:
كنا مع النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم إذ أتى على رجلٍ فقالوا : ما أفطَر مُذْ كذا وكذا , فقال : لا صام ، ولا أفطَر ، أو ما صام وما أفطَر , شكَّ غيلانُ , فلما رأى عُمرُ غضَب رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ، قال : يا رسولَ اللهِ صومُ يومَينِ وإفطارُ يومٍ ؟ قال : ويطيقُذاك أحدٌ ؟ قال : قلتُ : يا رسولَ اللهِ ، صومُ يومٍ وإفطارُ يومٍ ؟ قال : ذاكَ صومُ أخي داودَ عليه السلامُ , قال : يا رسولَ اللهِ صومُ يومٍ وإفطارُ يومَينِ ؟ قال : ومَن يطيقُ ذاكَ , قال : يا رسولَ اللهِ صومُ يومِ الاثنَينِ ؟ قال : ذاكَ يومٌ وُلِدتُ فيه وأُنزِلَ عليَّ فيه النبوةُ

RESPON WAHHABI: Ini br btul …ada hujjah👍

RESPON SAYA:👆hujjah bagi orang-orang yang Allah SWT masih belum tutupkan mata hatinya dengan ketaksuban terhadap kecenderungan Wahhabi yang suka membid’ah dholaalah kan amalan2 ummat Islam yang mempunyai dalil dan sandaran seolah2 kefahaman mereka sahaja yang betul tidak boleh tersalah.

*KEMUDIAN WAHHABI DIAM LAMA, MUNGKIN GOOGLE MAKNA HADITH YANG DIBERIKAN. SETELAH LAMA MEMBISU, WAHHABI MASIH BELUM BERPUAS HATI, DAPAT IDEA UNTUK MEMPERPANJANGKAN PERTIKAIAN, LALU BERTANYA:

Nabi gembira dengan hari kelahirannya pada hari Isnin…maka baginda pun berpuasa atas menunjukkan kegembiraan tersebut…maka hujahnya Baginda saw menyambutnya setiap minggu
sambutan stahun skali mana hujahnya?

JAWAPAN SAYA: Tak jumpa hujjah, bukan bermakna tiada hujjah, carilah, mengajilah, kembangkan lah kefahaman, jangan disempitkan apa yang Allah SWT perluaskan.

SOALAN WAHHABI: sambutan stahum skali mana hujahnya?

RESPON SAYA:👆dah agak soalan nih.

SOALAN WAHHABI: Mana syeikh? Gtau la.

JAWAPAN SAYA: Ijmak
Ijmak ulama tidak wajib berpuasa setiap Isnin.

RESPON WAHHABI: Nak bramal mst ada hujah syeikh.

RESPON SEORANG AHLI GROUP: dah bg hujah rasulullah sambut sendiri x nk terima
Perangai wahabi memang ego..

SOALAN WAHHABI: Smua kita mngakui puasa sunat hr isnin
Tp yg stahun skali manaaaa?

JAWAPAN SAYA:
العبرة بعموم اللفظ، لا بخصوص السبب
Mengambil hukum adalah daripada keumuman lafaz, bukan dengan kekhususan sebab
Itu kaedah…
Yang pasti daripada hadis, jelas boleh menzahirkan kesyukuran atas kelahiran RasuululLaah SAW. Adakah mesti setiap minggu? Adakah mesti dengan cara berpuasa? Ijmak ulama bahawa kedua2 itu tidak wajib. Maka ummat bebas menzahirkan kesyukuran mereka dengan apa2 cara yang mereka mampu selagi mana tidak melanggar batas2 syarak. Berselawat, menjemput Ustaz2 memberi tausiah dan tazkirah, menjamu makan semuanya masih termasuk di dalam perkara2 yang dianjurkan oleh Islam. Wahhabi yang suka menyempitkan apa yang Islam perluaskan. Kasihan…

SOALAN WAHHABI: Siapakah orang yang pertama menyambut maulid Nabi???

JAWAPAN SESEORANG: Sambutan peringatan Maulid Nabi pertama kali dilakukan oleh Raja Irbil (wilayah Iraq sekarang), bernama Muzhaffaruddin al-Kaukabri.
Sejak bilakah sambutan maulidur rasul ini diadakan?
Ia dimulakan oleh Sultan Muzhaffaruddin pada awal abad ke 7 hijriyah.
Ibn Katsir dalam kitab Tarikh berkata:
“Sultan Muzhaffar mengadakan peringatan maulid Nabi pada bulan Rabi’ul Awwal. Beliau merayakannya secara besar-besaran. Beliau adalah seorang yang berani, pahlawan,` alim dan seorang yang adil -semoga Allah merahmatinya-”.

Dijelaskan oleh Sibth (cucu) Ibn al-Jauzi bahawa, dalam peringatan tersebut, Sultan al-Muzhaffar mengundang seluruh rakyatnya dan seluruh para ulama’ dari berbagai disiplin ilmu, baik ulama’ dalam bidang ilmu fiqh, ulama’ hadits, ulama’ dalam bidang ilmu kalam, ulama’ usul, para ahli tasawwuf dan lainnya untuk meraikannya.

Selama tiga hari, sebelum hari pelaksanaan mawlid Nabi, beliau telah melakukan berbagai persiapan. Ribuan kambing dan unta disembelih untuk hidangan para hadirin yang akan hadir dalam perayaan Maulid Nabi tersebut.

Segenap para ulama’ saat itu membenarkan dan menyetujui apa yang dilakukan oleh Sultan al-Muzhaffar tersebut. Mereka semua menganggap baik perayaan maulid Nabi yang dibuat untuk pertama kalinya itu.

Ibn Khallikan dalam kitab Wafayat al-A`yan menceritakan bahawa al-Imam al-Hafizh Ibn Dihyah datang dari Moroco menuju Syam dan seterusnya ke menuju Iraq, ketika melintasi daerah Irbil pada tahun 604 Hijrah, beliau mendapati Sultan al-Muzhaffar, raja Irbil tersebut sangat besar perhatiannya terhadap perayaan Maulid Nabi. Oleh kerana itu, al-Hafzih Ibn Dihyah kemudian menulis sebuah buku tentang Maulid Nabi yang diberi judul “al-Tanwir Fi Maulid al-Basyir an-Nadzir”. Karya ini kemudian beliau hadiahkan kepada Sultan al-Muzhaffar.

Para ulama’, semenjak zaman Sultan al-Muzhaffar dan zaman selepasnya hingga sampai sekarang ini menganggap bahawa perayaan maulid Nabi adalah sesuatu yang baik.
Para ulama terkemuka dan Huffazh al-Hadits telah menyatakan demikian. Di antara mereka seperti ;
al-Hafizh Ibn Dihyah (abad 7 H)al-Hafizh al-’Iraqi (W. 806 H)Al-Hafizh Ibn Hajar al-`Asqalani (W. 852 H)al-Hafizh as-Suyuthi (W. 911 H)al-Hafizh aL-Sakhawi (W. 902 H)SyeIkh Ibn Hajar al-Haitami (W. 974 H)al-Imam al-Nawawi (W. 676 H)al-Imam al-`Izz ibn `Abd al-Salam (W. 660 H)mantan mufti Mesir iaitu Syeikh Muhammad Bakhit al-Muthi’i (W. 1354 H)Mantan Mufti Beirut Lubnan iaitu Syeikh Mushthafa Naja (W. 1351 H)
dan terdapat banyak lagi para ulama’ besar yang lainnya.

Bahkan al-Imam al-Suyuthi menulis karya khusus tentang maulid yang berjudul “Husn al-Maqsid Fi ‘Amal al-Maulid”. Karena itu perayaan maulid Nabi, yang biasa dirayakan di bulan Rabi’ul Awwal menjadi tradisi ummat Islam di seluruh dunia, dari masa ke masa dan dalam setiap generasi ke generasi.

RESPON SAYA: Dalil dan istidlaal pun tak tahu beza tapi galak nak menghukum orang-orang lain sesat dan bid’ah. Semoga Allah SWT lindungi kita dan zuriat kita daripada kebebalan dan kedegilan menerima kebenaran
Mana pula dalil haram menzahirkan kesyukuran atas kelahiran RasuululLaah SAW setahun sekali? Kalau tak mampu bersyukur setiap detik, sekurang2nya setahun sekali, takkan jadi haram masuk neraka?

SOALAN WAHHABI: Sapa kata haram?
TERANG SAYA: Dalil ada yang qhatie dan ada yang zhonni, kedua-duanya diterima di dalam skop masing2.

TANYA SESEORANG: Knp anta nk dalil qati,’?

JAWAB WAHHABI: Utk dijadikn hujah dlm bribadah.

JAWAPAN SAYA: Wahhabi suka pusing2 cakap. Kalau tak haram sambut mawlid tahunan selesai masalah, tak perlu lah ikut fatwa Ibn Uthaimin yang mengharamkan sambutan mawlid Nabi tetapi menghalalkan mawlid Muhammad bin Abdul Wahhab
Hujjah dalam beribadah tak perlu dalil qathie.

SOALAN WAHHABI: Hangpa dok asyik wahabi dr td…knal ke sapa wahabi tu.

RESPON SAYA KEPADA JAWAPAN WAHHABI SEBELUM ITU: Ini namanya jahil dua lapis. Kalau jahil selapis senang pi belajar. Sejak bila pula dalam ibadah mesti dalil qhatie?
Qathie dari segi thubut dan dalaalah, begitu juga zhonni.

JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN KLISE BUAT2 TAK TAHU WAHHABI: Wahhabi tu dalam bahasa Arab ditulis وهابي. Apa fungsi huruf ي dihujung perkataan Wahhabi? Kalau yang itu pun tak faham, no wonder selalu keluar ayat “Jangan tuduh orang Wahhabi bla bla”. Sedangkan tak ada pengikut imam Syafie atau Imam Ahmad rahimahumalLaah yang melenting atau sensitif bila dipanggil Syafie atau Hanbali. Kasihan yang ikut pola fikir dan pegangan Muhammad bin Abdul Wahhab tetapi menuduh orang2 lain tidak berakhlak semata-mata kerana memanggil dia Wahhabi (pengikut Muhammad bin Abdul Wahhab) sungguh kasihan…

Salam
Surah Al-Furqan, Ayat 63:
وَعِبَادُ الرَّحْمَٰنِ الَّذِينَ يَمْشُونَ عَلَى الْأَرْضِ هَوْنًا وَإِذَا خَاطَبَهُمُ الْجَاهِلُونَ قَالُوا سَلَامًا.
– TAK MAHU HABISKAN MASA MELAYAN WAHHABI YANG BUKAN INGIN MENCARI KEBENARAN

15 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

KITA APABILA SAKIT AKAN MENGELUH. TETAPI TAHUKAH ANDA HIKMAHNYA DISEBALIK SAKIT ITU?

Bahagian Dakwah, JAKIM

Apabila Allah SWT memberi kita sakit, ia adalah sesuai dengan daya tahan kita sebagai hamba-Nya, dan banyak hikmahnya :

1) Sakit itu Zikrullah.
Mereka yang diuji dengan sakit lebih sering menyebut nama Allah berbanding di waktu sihatnya.

2) Sakit itu Istighfar.
Kita akan mudah teringat akan dosa kita ketika sakit sehingga mudah bibir untuk beristighfar memohon ampun.

3) Sakit itu Muhasabah.
Orang yang sakit akan lebih banyak waktu utk merenung diri dalam sepi & menghitung bekal untuk dibawa apabila kembali ke rahmatullah.

4) Sakit itu Jihad.
Orang yang sakit tidak boleh menyerah kalah, diwajibkan untuk berikhtiar sedaya upaya agar cepat sembuh.

5) Sakit itu Ilmu.
Sakit akan membuat kita mencari ilmu seperti belajar tentang khasiat herba, menghafal ayat syifa’, ruqqiyah dll sebagai penawar & pendinding dari sakit.

Pengalamannya pula lebih menyediakan kita untuk mencorak hidup yang boleh mengelakkan berulangnya penyakit itu. Dan, berkongsi pengalaman ini dengan orang lain.

6) Sakit itu Nasihat.
Mereka yang sakit selalu suka menasihati yang sihat agar menjaga diri. Yang sihat pula menasihati yang sakit agar bersabar.

7) Sakit itu Silaturrahim
Ahli keluarga, sahabat dan jamaah yang jarang berjumpa akan datang menziarahi, penuh senyum, rindu mesra dan dengan buah tangan lagi.

8) Sakit itu gugur dosa.
Anggota badan yang sakit akan mendapat penyucian daripada dosa yang telah dilakukan.

9) Sakit itu Mustajab Doa.
Org yang sakit mustajab doanya. Imam As-Suyuthi mengelilingi kota mencari orang yang sakit agar dapat mendoakannya.

10) Sakit itu menyusahkan Syaitan.
Orang yang sakit apabila diajak maksiat tak mahu dan tak mampu, malah disesalinya.

11) Sakit itu sedikit tertawa dan banyak menangis.
Satu sikap keinsafan yang di sukai oleh Anbiya’ & makhluk di langit.

12) Sakit meningkatkan kualiti ibadah.
Solat orang sakit lebih khusyuk terutama dalam rukuk dan sujudnya apabila ia banyak bertasbih dan beristghfar, berdoa dan meminta ampun agar sakitnya segera sembuh.

13) Sakit itu memperbaiki iman dan akhlak.
Kesombongan terkikis. Sifat tamak dipaksa tunduk. Peribadi akan menjadi santun, lembut dan tawadhuk.

14) Sakit mengingatkan kita akan Mati
Membuatkan kita sentiasa beringat untuk lebih beramal & beribadat.

Ayuh Zikir, Fikir, Syukur & Sabar. Semoga kita mendapat rahmat dan keampunan daripada Allah s.w.t.

15 December 2016 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

HUKUM MENYAMBUT MAULID AL-RASUL – FATWA JABATAN MUFTI WP

BAYAN LINNAS

BAYAN LINNAS SIRI KE-80: HUKUM MENYAMBUT MAULID AL-RASUL.

Ditulis oleh Mohamad Razif Mohamad Fuad
Diterbitkan: 11 Disember 2016.

Mukadimah
Alhamdulillah, dengan kedatangan 12 Rabi’ al-Awwal, ramai di kalangan umat Islam mengingati peristiwa Maulid al-Rasul SAW walaupun sesetengahnya berpendapat Rasulullah dilahirkan pada 9 Rabi’ al-Awwal. Mereka semua menzahirkan rasa syukur dengan kelahiran insan agung yang mulia ini yang menjadi penyambung risalah Ilahi kepada manusia sejagat. Bersempena dengan Maulid al-Rasul pada kali ini, kami kemukakan dengan panjang lebar isu berkaitan hukum menyambutnya. Kami harapkan Bayan Linnas pada kali ini memberi satu jawapan yang tuntas kepada semua pihak.

Sejarah Sambutan Maulid al-Rasul
Sebagai mukadimah, dinyatakan dalam kitab Al-Bidayah wa al-Nihayah 13/136 al-Allamah Ibn Kathir antara lain beliau memuji Raja al-Muzaffar yang telah menyambut majlis Maulid al-Rasul secara besar-besaran dengan berkata: “Adalah Raja Muzaffar menganjurkan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awal dan membuat perhimpunan secara besar-besaran.

Disamping itu, beliau adalah seorang yang berhati bersih, bersemangat, berani, mempunyai semangat keperwiraan, cerdik, alim, adil. Semoga Allah merahmatinya dan memuliakan kuburnya.” Dinukilkan di sini daripada beberapa kitab bagaimana para penyair di kalangan sahabat dan lainnya memuliakan Baginda SAW samada di hadapannya atau melalui syair-syair mereka. Antaranya:

Al-Abbas bersyair: “Di kala dikau dilahirkan, bumi bersinar terang hingga jelas pasak bumi tidak mampu untuk menanggung cahayamu dan kami dapat terus melangkah lantaran kerana terangnya cahaya dan jalan yang terpimpin.” Lihat al-Mustadrak ala al-Sahihain.

Hasan bin Thabit banyak menggubah syair di hadapan Rasulullah SAW dan para Sahabat Baginda. Isu ini seringkali menjadi polemik dalam kalangan sarjana Islam.

Hukum Sambutan Maulid al-Rasul
Ada yang mengharuskannya dan ada yang sebaliknya. Saya nukilkan sebahagian pendapat ulama:

Pertama: Hukum sambutan Maulidurrasul adalah bid’ah. Ini dipelopori oleh sebahagian ulama. Antara hujahnya adalah:

Perayaan ini tidak pernah dilaksanakan pada generasi yang paling mulia, generasi sahabat, tabiin, tabi’ tabi’in, dan juga tidak pada generasi setelahnya. Ia adalah satu bentuk pemujaan yang melampau kepada Nabi SAW.

Sabda Nabi SAW,

لاَ تُطْرُونِي، كَمَا أَطْرَتْ النَّصَارَى ابْنَ مَرْيَمَ، فَإِنَّمَا أَنَا عَبْدُهُ، فَقُولُوا عَبْدُ اللَّهِ، وَرَسُولُهُ
Maksudnya: “Janganlah kalian berlebihan dalam memujiku seperti kaum Nasrani yang memuji anak lelaki Maryam. Aku hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah (mengenaiku) “ Hamba Allah dan Rasul-Nya “
(Riwayat al-Bukhari, no. 3445)

Sambutan maulid seperti ini pasti disertai dengan berbagai bentuk kemungkaran dan hal-hal yang diharamkan dalam agama

Kedua: Hukumnya adalah dibolehkan. Syeikh Abu Shamah atau nama sebenarnya, Syeikh Abdul Rahman bin Ismail al-Maqdisi (salah seorang Syeikh Dar al-Hadis di Damsyik) berpendapat: Adalah dibolehkan sambutan Maulidurrasul berdasarkan amalan oleh tokoh ulama zaman dahulu antaranya di Irbil (salah satu wilayah di Iraq).

Antara tokoh-tokoh yang berpegang kepada keharusannya dan termasuk dalam bid’ah hasanah ialah:

Imam Jalaluddin al-Suyuti
Imam Ibn Hajar al-Haithami
Syeikh Ibn al-Hajj al-Abdari
Imam Ibn al-Battal
Al-Hafiz Shamsuddin Muhammad bin Nasiruddin al-Dimashqi
Al-Hafiz Shamsuddin bin al-Jazari
Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili
Syeikh Abdul Halim Mahmud
Syeikh Atiyyah Saqr
Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi dan lain-lain.
Para ulama yang mengharuskan Maulid al-Rasul menggunakan hadis di bawah:

Dari Abu Qatada, sesungguhnya Rasulullah SAW pernah ditanya tentang puasa Isnin? Maka Baginda menjawab:

فِيهِ وُلِدْتُ وَفِيهِ أُنْزِلَ عَلَيَّ
Maksudnya: “Padanya aku dilahirkan dan padanya diturunkan (al-Quran) ke atasku.”
(Riwayat Muslim, no. 1162)

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah mensyukuri nikmat Allah atas kelahirannya pada hari Isnin dengan berpuasa. Maka, jika Baginda SAW berpuasa pada hari Isnin kerana bersyukur kepada Allah atas kelahirannya sendiri pada hari itu, maka begitu juga bagi ummatnya untuk mensyukuri nikmat kelahiran Baginda SAW untuk berpuasa pada hari Isnin, membaca al-Quran, membaca kisah kelahiran Baginda SAW, bersedekah, atau melakukan perbuatan baik yang lain.

Sabda Nabi SAW:

مَنْ سَنَّ فِي الْإِسْلَامِ سُنَّةً حَسَنَةً، فَلَهُ أَجْرُهَا، وَأَجْرُ مَنْ عَمِلَ بِهَا بَعْدَهُ، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَنْقُصَ مِنْ أُجُورِهِمْ شَيْءٌ
Maksudnya: “Barang siapa yang melakukan (merintis) dalam Islam sesuatu perkara yang baik maka ia akan mendapatkan pahala daripada perbuatan baiknya tersebut, dan ia juga mendapatkan pahala dari orang yang mengikutinya selepasnya, tanpa dikurangkan pahala mereka sedikitpun”.
(Riwayat Muslim, no. 1017)

Hadis ini memberikan satu kefahaman bahawa dibenarkan untuk melakukan perkara perkara baru yang baik dan tidak bertentangan dengan al-Quran, al-Sunnah, athar mahupun ijmak ulama. Maulid al-Rasul adalah perkara baru yang baik dan sama sekali tidak menyalahi satu-pun di antara dalil-dalil tersebut. Dengan demikian, bererti hukumnya diharuskan bahkan sebagai salah satu jalan untuk mendapatkan pahala jika bertepatan dengan syarak.

Selain itu, antara hujahnya adalah fatwa ulama seperti berikut:

Ibn Hajar al-Asqalani ketika ditanya tentang hukum perayaan Maulid al-Rasul menjawab: “Asal dalam amalan sambutan peringatan Maulid adalah bid’ah yang tidak diriwayatkan dari ulama Salaf al-Soleh. Akan tetapi Maulid tersebut mengandungi banyak kebaikannya. Maka barangsiapa yang berusaha meraih kebaikan dalam Maulid dan menjauhi yang buruk, maka termasuk bid’ah yang baik (hasanah). Jika tidak, maka tidak disebut bid’ah hasanah.” (Al-Haawi Lil Fataawa oleh Imam Jalaluddin al-Suyuti)

Imam al-Suyuti juga antara lain menyebut: “Amalan memberi makan adalah perbuatan yang baik. Dengan demikian, amalan Maulid termasuk perkara baru yang dianjurkan sebagaimana yang diungkapkan oleh Sultan al-Ulama Syeikh Izzuddin bin Abd al-Salam.”

Sebenarnya al-Suhaili telah menyebut bahawa al-Abbas berkata: “Tatkala Abu Lahab meninggal dunia, aku bermimpi bertemunya selepas setahun pada seburuk keadaan lantas dia berkata: “Tidak aku dapati selepas kamu sebarang kerehatan kecuali azab diringankan daripadaku setiap hari Isnin. Yang demikian kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari Isnin dan Thuwaibah telah memberikan berita gembira kepada Abu Lahab berkenaan dengan kelahiran Nabi SAW lantas dimerdekakannya.” (Imam Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari Syarah Sahih Bukhari, 9/43 – 48)

Syeikh Muhammad Bakhit Al-Muti’i (Mantan Mufti Mesir): “Justeru setiap apa yang dijadikan ketaatan dan untuk mendekatkan diri kepada Allah yang tidak ditentukan syariat(Allah) waktu tertentu dan tidak pula tempat tertentu maka boleh bagi setiap mukallaf untuk melakukannya pada setiap waktu dan tempat, dan begitu juga setiap yang tidak termasuk dalam larangan umum atau khusus daripada syariat maka hukumnya Mubah/Harus, dan apa yang selainnya(yakni ada larangan) adalah bid’ah yang haram atau makruh. Maka wajib untuk menghindarinya dan menghalangnya” (Ahsanul Kalam Fi Ma Yata’allaqu Bi al-Sunnah wa al-Bid’ah Min Ahkam, m. 74).

Syeikh Abdul Halim Mahmud: “Sambutan Maulid Nabi SAW adalah sunnah/jalan yang baik daripada sunnah-sunnah yang diisyaratkan oleh Rasul SAW dalam sabdanya: “Barangsiapa melakukan sunnah yang baik, maka dia mendapat pahalanya dan pahala orang yang beramal denganya, barangsiapa yang melakukan sunnah yang buruk, maka dia menanggung dosanya dan dosa sesiapa yang beramal dengannya” Dan ianya adalah kerana terdapat usul/asas yang membimbingnya dan dalildalil yang sahih yang berpandukan padanya. “Dan tidaklah bererti peninggalan salafussoleh bagi amalan yang soleh ini merupakan pertentangan kepada syariat, kerana salafussoleh masih mempunyai kebangkitan/keprihatinan agama dan cinta Nabi yang mulia yang mana menyebabkan mereka tidak memerlukan kepada peringatan hari maulid untuk disambut.” (Fatawa Imam Abdul Halim Mahmud, m. 273)
Tarjih

Setelah mengamati pendapat-pendapat ulama, saya berpandangan bahawa sambutan Maulid al-Rasul adalah harus dan termasuk dalam bid’ah hasanah tetapi hendaklah dengan meraikan beberapa syarat utama, antaranya:

Pengisian yang baik seperti tazkirah dan ceramah.
Tiada percampuran lelaki dan perempuan.
Menutup aurat.
Tiada unsur maksiat.

Mempelajari riwayat hidup Baginda SAW atau sirahnya dengan lebih baik dari tahun ke tahun. Alhamdulillah terdapat banyak kitab yang kita dapat manfaat untuk mengenali dan makrifah Rasulullah SAW. Antaranya:

Kitab al-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Safiyurrahman al-Mubarakfuri
Kitab Sirah Nabawiyyah oleh Ibn Hisham
Kitab al-Syamail al-Muhammadiyyah oleh Imam al-Tirmizi

Penekanan kepada keperluan mengikuti Sunnah Rasulullah SAW. Begitu juga memahami fiqhnya seperti:
Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Muhammad al-Ghazali
Kitab Fiqh al-Sirah oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadhan al-Buti
Kitab Al-Sirah al-Nabawiyyah Durus wa ‘Ibar oleh Syeikh Dr. Mustafa al-Siba’ie
Kitab Al-Manhaj al-Haraki li al-Sirah al-Nabawi oleh Syeikh Dr. Munir al-Ghadban dan lain-lain

Disemarakkan dengan berselawat kepada Nabi SAW. Antara kelebihan selawat yang sahih sebagaimana sabda Nabi SAW:
مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً وَاحِدَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ عَشْرَ صَلَوَاتٍ، وَحُطَّتْ عَنْهُ عَشْرُ خَطِيئَاتٍ، وَرُفِعَتْ لَهُ عَشْرُ دَرَجَاتٍ
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan (dosa)nya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”
(Riwayat al-Nasa’i, no. 1297)

Berhubung lafaz selawat yang afdhal, maka antaranya ialah riwayat dalam Sahih al-Bukhari no. 2497 dari Ka’ab bin ‘Ujrah RA yang menceritakan bahawa para sahabat pernah bertanya kepada Nabi SAW tentang bagaimana cara berselawat kepada beliau. Baginda menjawab dengan mengatakan: “Katakanlah

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Meraikan kegembiraan dan kesyukuran kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah kepada fakir miskin. Sebagai mengukuhkan kenyataan ini, suka saya petik pendapat Imam Abu Syamah. Antara lain berkata: “Termasuk perkara baru atau bid’ah yang dilakukan pada masa kita iaitu sambutan setiap tahun pada hari kelahiran Baginda SAW dengan bersedekah, melakukan yang ma’ruf, menzahirkan perhiasan dan kegembiraan. Maka sesungguhnya disamping itu, melakukan ihsan kepada golongan fakir miskin adalah tanda kecintaan dan memuliakan Rasulullah SAW dalam hati orang yang menyambutnya. Begitu juga merupakan tanda kesyukuran kepada Allah kerana diutus-Nya Rasulullah SAW sebagai pembawa rahmat ke seluruh alam.”

Penutup

Antara tugasan Rasul adalah untuk menyatukan ummah daripada pelbagai kabilah, kaum, bangsa dan ras agar semuanya kembali mengubudiyyah kepada Yang Maha Esa dengan penuh hikmah dan rahmah, Rasulullah SAW menyampaikan dakwah sehingga akhirnya ukhuwwah Islamiyyah yang kukuh dan dapat membina perpaduan yang mapan. Natijahnya, ummat yang bijak mencari titik persamaan dan mengurangkan jurang perbezaan menjadi ummat yang terkehadapan sehingga dapat memimpin dunia.

Parsi tumbang, Rom lemah dan Islam menggemakan syiarnya dan syariatnya sehingga melahirkan kerukunan sejagat. Rasulullah SAW telah menjadikan tali persahabatan dan ukhuwwah Islamiyyah sejak mula menegakkan negara Islam Madina dengan sistem mu’akhah (persaudaraan) dan diletakkan dalam Piagam Madinah. Justeru, kami menyeru kepada diri ini dan khalayak masyarakat ummah serta rakyat Malaysia agar kita bina perpaduan dan kita kukuhkannya sehingga perasaan kasih sayang terbina dan saling hormat menghormati sesama kita.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita mentahqiqkan hasrat dan tema Majlis Sambutan Maulid al-Rasul SAW Peringkat Kebangsaan 1438H yang berteraskan Ukhuwwah Islamiyyah Asas Penyatuan Ummah.

Akhukum fillah,
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

15 December 2016 Posted by | Bersama Tokoh, Bicara Ulama, Fatwa, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

21 DALIL KEHARUSAN MENYAMBUT SAMBUTAN MAULIDURRASUL

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Yang pertama merayakan Maulid Nabi SAW adalah Sohibul Maulid sendiri, iaitu Nabi SAW, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis sohih yang diriwayatkan Muslim bahawa, ketika ditanya mengapa berpuasa di hari Isnin, Baginda menjawab, “Itu adalah hari kelahiranku.” Ini nas yang paling nyata yang menunjukkan bahawa memperingati Maulid Nabi adalah sesuatu yang dibolehkan syara’.

Banyak dalil yang boleh kita jadikan sebagai dasar untuk memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW.

PERTAMA, peringatan Maulid Nabi SAW adalah ungkapan kegembiraan dan kesenangan dengan beliau. Bahkan orang kafir saja mendapatkan manfaat dengan kegembiraan itu (Ketika Tsuwaibah, budak perempuan Abu Lahab, bapa saudara Nabi, menyampaikan berita gembira tentang kelahiran sang Cahaya Alam Semesta itu, Abu Lahab pun memerdekakannya. Sebagai tanda suka cita. Dan kerana kegembiraannya, kelak di alam baqa’ siksa atas dirinya diringankan setiap hari Isnin tiba. Demikianlah rahmat Allah terhadap siapa pun yang bergembira atas kelahiran Nabi, termasuk juga terhadap orang kafir sekalipun. Maka jika kepada seorang yang kafir pun Allah merahmati, kerana kegembiraannya atas kelahiran sang Nabi, bagaimanakah kiranya anugerah Allah bagi umatnya, yang iman selalu ada di hatinya?

KEDUA, Baginda sendiri mengagungkan hari kelahirannya dan bersyukur kepada Allah pada hari itu atas nikmat-Nya yang terbesar kepadanya.

KETIGA, gembira dengan Rasulullah SAW adalah perintah Al-Quran. Allah SWT berfirman, “Katakanlah, ‘Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira’.” (QS Yunus: 58).

Jadi, Allah SWT menyuruh kita untuk bergembira dengan rahmat-Nya, sedangkan Nabi SAW merupakan rahmat yang terbesar, sebagaimana tersebut dalam Al-Quran, “Dan tidaklah Kami mengutusmu melainkan sebagai rahmat bagi semesta alam.” (QS Al-Anbiya’: 107).

KEEMPAT, Nabi SAW memperhatikan kaitan antara waktu dan kejadian-kejadian keagamaan yang besar yang telah lepas. Apabila datang waktu ketika peristiwa itu terjadi, itu merupakan kesempatan untuk mengingatnya dan mengagungkan harinya.

KELIMA, peringatan Maulid Nabi SAW mendorong orang untuk membaca selawat, dan selawat itu diperintahkan oleh Allah Ta’ala, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kalian untuknya dan ucapkanlah salam sejahtera kepadanya.” (QS Al-Ahzab: 56).

Apa saja yang mendorong orang untuk melakukan sesuatu yang dituntut oleh syara’, bererti hal itu juga dituntut oleh syara’. Berapa banyak manfaat dan anugerah yang diperoleh dengan membacakan salam kepadanya.

KEENAM, dalam peringatan Maulid disebut tentang kelahiran beliau, mukjizat-mukjizatnya, sirahnya, dan pengenalan tentang peribadi beliau. Bukankah kita diperintahkan untuk mengenalnya serta dituntut untuk meneladaninya, mengikuti perbuatannya, dan mengimani mukjizatnya. Kitab-kitab Maulid menyampaikan semuanya dengan lengkap.

KETUJUH, peringatan Maulid merupakan ungkapan membalas jasa beliau dengan menunaikan sebahagian kewajiban kita kepada beliau dengan menjelaskan sifat-sifatnya yang sempurna dan akhlaqnya yang utama.

Dulu, di masa Nabi, para penyair datang kepada beliau melantunkan qasidah-qasidah yang memujinya. Nabi redha (senang) dengan apa yang mereka lakukan dan memberikan balasan kepada mereka dengan kebaikan-kebaikan. Jika beliau redha dengan orang yang memujinya, bagaimana beliau tidak redha dengan orang yang mengumpulkan keterangan tentang perangai-perangai beliau yang mulia. Hal itu juga mendekatkan diri kita kepada beliau, iaitu dengan menarik kecintaannya dan keredhaannya

KELAPAN, mengenal perangai beliau, mukjizat-mukjizatnya, dan irhas-nya (kejadian-kejadian luar biasa yang Allah berikan pada diri seorang rasul sebelum diangkat menjadi rasul), menimbulkan iman yang sempurna kepadanya dan menambah kecintaan terhadapnya.

Manusia itu diciptakan menyukai hal-hal yang indah, baik fizik (tubuh) mahupun akhlak, ilmu mahupun amal, keadaan mahupun keyakinan. Dalam hal ini tidak ada yang lebih indah, lebih sempurna, dan lebih utama dibandingkan akhlak dan perangai Nabi. Menambah kecintaan dan menyempurnakan iman adalah dua hal yang dituntut oleh syara’. Maka, apa saja yang memunculkannya juga merupakan tuntutan agama.

KESEMBILAN, mengagungkan Nabi SAW itu disyariatkan. Dan bahagia dengan hari kelahiran beliau dengan menampakkan kegembiraan, membuat jamuan, berkumpul untuk pengingat beliau, serta memuliakan orang-orang fakir, adalah tampilan pengagungan, kegembiraan, dan rasa syukur yang paling nyata.

KESEPULUH, dalam ucapan Nabi SAW tentang keutamaan hari Jumaat, disebutkan bahawa salah satu di antaranya adalah, “Pada hari itu Adam diciptakan.” Hal itu menunjukkan dimuliakan-nya waktu ketika seorang nabi dilahirkan. Maka bagaimana dengan hari dilahirkannya nabi yang paling utama dan rasul yang paling mulia?

KESEBELAS, peringatan Maulid adalah perkara yang dipandang bagus oleh para ulama dan kaum muslimin di semua negeri dan telah dilakukan di semua tempat. Karena itu, ia dituntut oleh syara’, berdasarkan kaedah yang diambil dari hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud, “Apa yang dipandang baik oleh kaum muslimin, ia pun baik di sisi Allah; dan apa yang dipandang buruk oleh kaum muslimin, ia pun buruk di sisi Allah.”

KEDUA BELAS, dalam peringatan Maulid tercakup berkumpulnya umat, zikir, sedekah, dan pengagungan kepada Nabi SAW. Semua itu hal-hal yang dituntut oleh syara’ dan terpuji.

KETIGA BELAS, Allah SWT berfirman, “Dan semua kisah dari rasul-rasul, Kami ceritakan kepadamu, yang dengannya Kami teguhkan hatimu.” (QS Hud: 120). Dari ayat ini nyatalah bahawa hikmah dikisahkannya para rasul adalah untuk meneguhkan hati Nabi. Tidak diragukan lagi bahwa saat ini kita pun perlu untuk meneguhkan hati kita dengan berita-berita tentang beliau, lebih dari keperluan Baginda akan kisah para nabi sebelumnya.

KEEMPAT BELAS, tidak semua yang tidak pernah dilakukan para salaf dan tidak ada di awal Islam berarti bid’ah yang munkar dan buruk, yang haram untuk dilakukan dan wajib untuk ditentang. Melainkan apa yang “baru” itu (yang belum pernah dilakukan) harus dinilai berdasarkan dalil-dalil syara’.

KELIMA BELAS, tidak semua bid’ah itu diharamkan. Jika haram, nescaya haramlah pengumpulan Al-Quran, yang dilakukan Abu Bakar, Umar, dan Zaid, dan penulisannya di mushaf-mushaf kerana khuatir hilang dengan wafatnya para sahabat yang hafal Al-Quran. Haram pula apa yang dilakukan Umar ketika mengumpulkan orang untuk mengikuti seorang imam ketika melakukan solat Tarawih, padahal ia mengatakan, “Sebaik-baik bid’ah adalah ini.” Banyak lagi perbuatan baik yang sangat diperlukan umat akan dikatakan bid’ah yang haram apabila semua bid’ah itu diharamkan.

KEENAM BELAS, peringatan Maulid Nabi, meskipun tidak ada di zaman Rasulullah SAW, sehingga merupakan bid’ah, adalah bid’ah hasanah (bid’ah yang baik), kerana ia tercakup di dalam dalil-dalil syara’ dan kaedah-kaedah kulliyyah (yang bersifat global).

Jadi, peringatan Maulid itu bid’ah jika kita hanya memandang bentuknya, bukan perincian-perincian amalan yang terdapat di dalamnya (sebagaimana terdapat dalam dalil kedua belas), kerana amalan-amalan itu juga ada di masa Nabi.

KETUJUH BELAS, semua yang tidak ada pada awal masa Islam dalam bentuknya tetapi perincian-perincinan amalnya ada, juga dituntut oleh syara’. Kerana apa yang tersusun dari hal-hal yang berasal dari syara’, pun dituntut oleh syara’.

KELAPAN BELAS, Imam Asy-Syafi’i mengatakan, “Apa-apa yang baru (yang belum ada atau dilakukan di masa Nabi SAW) dan bertentangan dengan Kitabullah, sunnah, ijmak, atau sumber lain yang dijadikan pegangan, adalah bid’ah yang sesat. Adapun suatu kebaikan yang baru dan tidak bertentangan dengan yang tersebut itu, adalah terpuji.”

KESEMBILAN BELAS, setiap kebaikan yang tercakup dalam dalil-dalil syar’i dan tidak dimaksudkan untuk menyalahi syariat dan tidak pula mengandung suatu kemungkaran, itu termasuk ajaran agama.

KEDUA PULUH, memperingati Maulid Nabi SAW bererti menghidupkan ingatan (kenangan) tentang Rasulullah, dan itu menurut kita disyariatkan dalam Islam. Sebagaimana yang Anda lihat, sebahagian besar amaliah haji pun menghidupkan ingatan tentang peristiwa-peristiwa terpuji yang telah lalu.

KEDUA PULUH SATU, semua yang disebutkan sebelumnya tentang dibolehkannya secara syariat peringatan Maulid Nabi SAW hanyalah pada peringatan-peringatan yang tidak disertai perbuatan-perbuatan mungkar yang tercela, yang wajib ditentang.

Adapun jika peringatan Maulid mengandung hal-hal yang disertai sesuatu yang wajib diingkari, seperti bercampurnya laki-laki dan perempuan, dilakukannya perbuatan-perbuatan yang terlarang, dan banyaknya pemborosan dan perbuatan-perbuatan lain yang tak diredhai shahthul Maulid, tak diragukan lagi bahawa itu diharamkan. Tetapi keharamannya itu bukan pada peringatan Maulidnya itu sendiri, melainkan pada hal-hal yang terlarang tersebut.

Diambil dari kitab Sayyid Prof. Dr. Muhammad ibn Sayyid ‘Alawi ibn Sayyid ‘Abbas ibn Sayyid ‘Abdul ‘Aziz al-Maliki al-Hasani al-Makki (1365 H -1425 H)

15 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Ibadah, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Benarkah Tarikh Kelahiran Nabi ( Maulid Nabi ) Pada Tarikh 12 Rabiul Awwal Itu Palsu Dan Tidak Tepat?

Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Masyarakat mulai memperkatakan tentang tarikh sebenar Maulid Nabi dan sesetengahnya berkata bahawa tarikh 12 Rabiul Awwal yang disambut oleh majoriti umat Islam itu palsu malah tidak tepat. Adakah benar kenyataan itu?
Mari kita lihat perbahasan dibawah ini.

Hari Lahir Nabi

Para Ulama’ dah ilmuwan bersepakat bahawa Rasulullah saw dilahirkan pada Hari Isnin sebagaimana dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Muslim.

Berkenaan Tahun Kelahiran Rasulullah saw pula telah dijelaskan dalam banyak hadis diantaranya:

وَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: وُلِدَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْفِيْلِ. رواه البزار والطبراني في الكبير ورجاله موثقون (مجمع الزوائد ومنبع الفوائد . محقق – ج 1 / ص 242)

“Ibnu Abbas berkata: Rasulullah dilahirkan di tahun gajah” Hadis ini diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan At-Thobroni dan para perawinya adalah dipercayai.

Dalam riwayat lain juga ditegaskan bahawa Qais bin Makhzamah memiliki persamaan tahun kelahiran dengan Rasulullah di tahun Gajah (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan dinilai hasan oleh Syuaib al-Arnauth)

Tarikh Kelahiran Nabi

Imam Nawawi berkata:

وَاخْتَلَفُوا فِي يَوْم الْوِلَادَة هَلْ هُوَ ثَانِي الشَّهْر ، أَمْ ثَامِنه ، أَمْ عَاشِره ، أَمْ ثَانِي عَشَره ؟ (شرح النووي على مسلم – ج 8 / ص 66)

“Ulama berbeza pendapat tentang hari kelahirannya, adakah hari 2 bulan Rabiul Awal, ke 8, ke 10 ataukah ke 12 ? (Syarah Sahih Muslim 8/66)

Dalil-Dalil Yang Kuat Rasulullah saw Lahir Pada 12 Rabiul Awal

– Hadis Riwayat Imam Baihaqi:

عَنْ مُحَمَّدِ بْنِ إِسْحَاقَ قَالَ : وُلِدَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِاثْنَتَيْ عَشْرَةَ لَيْلَةً مَضَتْ مِنْ شَهْرِ رَبِيْعِ الْأَوَّلِ قَالَ الْبَيْهَقِي رَحِمَهُ اللهُ : وَرَوَيْنَا عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ثُمَّ عَنْ قَيْسِ بْنِ مَخْزَمَةَ ثُمَّ عَنْ قبُاَثَ بْنِ أَشِيْمٍ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وُلِدَ عَامَ الْفِيْلِ وَكَانَ الزُّهْرِي وَمَنْ تَابَعَهُ يَقُوْلُوْنَ وُلِدَ بَعْدَهُ وَالْأَوَّلُ أَصَحُّ (شعب الإيمان – ج 2 / ص 134)

Muhammad bin Ishaq berkata: “Rasulullah dilahirkan pada 12 malam bulan Rabiul Awal”. Al-Baihaqi berkata: “Kami meriwayatkan dari Ibnu Abbas kemudian dari Qais bin Makhzamah kemudian dari Qubats bin Asyim bahawa Nabi dilahirkan pada tahun Gajah. Al-Zuhri dan yang mengikutinya mengatakan bahawa dilahirkan sesudah tahun Gajah. Pendapat pertama lebih sahih (Hadis Riwayat Imam Baihaqi dalam Syuab al-Iman)

– Riwayat Ibnu Abi Syaibah

قَالَ أَبُوْ بَكْرِ بْنِ أَبِي شَيْبَةَ : حَدَّثَنَا عُثْمَانُ عَنْ سَعِيْدِ بْنِ مَيْنَاءَ عَنْ جَابِرٍ وَابْنِ عَبَّاسٍ قَالَا : وُلِدَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَامَ الْفِيْلِ يَوْمَ الْاِثْنَيْنِ الثَّانِيَ عَشَرَ مِنْ رَبِيْعِ الْأَوَّلِ وَفِيْهِ بُعِثَ وَفِيْهِ عُرِجَ بِهِ إِلَى السَّمَاءِ وَفِيْهِ هَاجَرَ وَفِيْهِ مَاتَ فِيْهِ انْقِطَاعٌ وَقَدِ اخْتَارَهُ الْحَافِظُ عَبْدُ الْغَنِى بْنُ سُرُوْرٍ الْمَقْدِسِي فِي سِيْرَتِهِ (سيرة ابن كثير – ج 2 / ص 93)

“Jabir dan Ibnu Abbas berkata: “Nabi dilahirkan pada tahun Gajah, hari Isnin 12 Rabiul Awal. Di hari Isnin beliau diangkat menjadi Nabi, melakukan Mi’raj ke langit, berhijrah ke Madinah dan hari Isnin beliau wafat”

Sanadnya terputus dan dipilih oleh al-Hafiz Abd al-Ghani bin Surur al-Maqdisi dalam kitab sejarahnya” (Sirah Ibni Katsir, 2/93). Riwayat ini juga dapat dilihat dalam al-Bidayah wa Nihayah Ibnu Katsir.

– Ahli Hadis al-Munawi

(تنبيه) الْأَصَحُّ أَنَّهُ وُلِدَ بِمَكَّةَ بِالشُّعَبِ بِعِيْدِ فَجْرِ الْاِثْنَيْنِ ثَانِيَ عَشَرَ رَبِيْعَ الْأَوَّلِ عَامَ الْفِيْلِ (فيض القدير – ج 3 / ص 768)

“Pendapat yang lebih sahih bahawa Nabi dilahirkan di Kabilah Quraisy pada fajar hari Isnin, 12 Rabiul Awal tahun Gajah” (Faidh al-Qadir 3/768)

– Syaikh Abdullah al-Faqih

وَأَكْثَرُ أَهْلِ السِّيَرِ عَلَى أَنَّهُ وُلِدَ يَوْمَ الثَّانِيَ عَشَرَ مِنْ رَبِيْعِ الْأَوَّلِ عَامَ الْفِيْلِ، بَعْدَ الْحَادِثَةِ بِخَمْسِيْنَ يَوْماً (فتاوى الشبكة الإسلامية – ج 44 / ص 50)

“Kebanyakan ahli sejarah bahawa Nabi dilahirkan pada 12 Rabiul Awal, tahun Gajah, setelah 50 hari dari peristiwa tersebut” (Fatawa al-Syabkah al-Islamiyah, 44/50)

فَالْمَشْهُوْرُ فِي كُتُبِ السِّيْرَةِ النَّبَوِيَّةِ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وُلِدَ فِي الثَّانِيَ عَشَرَ مِنْ شَهْرِ رَبِيْعِ الْأَوَّلِ عَامَ الْفِيْلِ يَوْمَ الْاِثْنَيْنِ (فتاوى الشبكة الإسلامية – ج 126 / ص 120)

“Pendapat yang masyhur dalam kitab-kitab sejarah kenabian bahawa Nabi dilahirkan pada 12 Rabiul Awal, tahun Gajah” (Fatawa al-Syabkah al-Islamiyah, 126/120)

Marilah semua umat Islam kita bersama-sama menyambut Sambutan Maulidur Rasul tanpa ragu-ragu atau bimbang dengan persoalan-persoalan yang sudah lama dibahaskan oleh para Ulama’ terdahulu dan semoga kita tergolong dalam golongan yang mencintai Rasulullah saw.

 

15 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

MARI JAUHKAN DIRI DARI IRI HATI DAN DENGKI

Syekh Abdul Qadir Al-Jailani memberi nasehat:
“Wahai orang-orang yang beriman mengapa engkau merasa iri terhadap tetanggamu yang hidup senang, yang memperoleh rahmat-rahmat dari Tuhannya. Tidakkah kau tahu bahwa yang demikian itu dapat melemahkan imanmu, mencampakkanmu di hadapan Tuhanmu dan membuatmu dibenci oleh-Nya?

Tidakkah engkau sadar sabda Nabi bahwa Allah SWT berfirman: “Kedengkian adalah musuh rahmat-Ku.” Tidakkah engkau dengar juga sabda Nabi, “Sesungguhnya kedengkian melahap kebajikan sebagaimana api melahap kayu bakar.”

Lalu, mengapa kau iri dan dengki kepadanya?

Jika engkau iri hati terhadapnya, karena karunia Allah baginya, maka berarti kau tak ridha dengan firman-Nya, “Kami karuniakan di antara mereka rezeki di kehidupan duniawi ini.” (QS Az-Zukhruf [43]: 32). Berarti kau benar-benar zalim terhadap orang ini, yang menikmati karunia Tuhannya. Itu merupakan karunia khusus untuknya, yang tidak diberikan-Nya sedikit pun dari bagian itu kepada orang lain. Maka, siapa sebenarnya yang lebih zalim, serakah dan bodoh?

Jika engkau dengki terhadapnya karena bagianmu, maka kau berarti telah bertindak sangat bodoh, sebab bagianmu tidak akan diberikan kepada orang lain, juga tidak akan berpindah dari tanganmu ke tangan orang lain. Allah SWT bebas dari kecacatan dan kelemahan hal semacam itu. Allah SWT berfirman, “Keputusan di sisi-Ku tidak dapat diubah dan Aku sekali-kali tidak menganiaya hamba-hamba-Ku.” (QS Qaf [50]: 29).
Sesungguhnya Allah tidak akan mencabut darimu segala yang telah ditentukan-Nya bagimu dan tak akan memberikannya kepada selainmu. Ini adalah bentuk kebodohanmu sendiri dan kezalimanmu pada saudaramu.”

–Syekh Abdul Qadir Al-Jailani dalam kitab Adab As-Suluk wa At-Tawassul ila Manazil Al-Muluk

15 December 2016 Posted by | Bersama Tokoh, Ibadah, Renungan & Teladan, Tasauf, Tazkirah | Leave a comment

Benar kah Ulama Silam menolak Maulid Nabi SAW?

Berikut pendapat sebenar Alhafiz Ibn Katsir pada amalan maulid dan perkembangannnya, dan yang telah disembunyikan oleh mereka yang mendakwa kononnya mereka bermunaqasyah dengan penuh keadilan dan keinsafan.

Alhafiz Ibn Katsir berkata dalam Albidayah Wannihayah Juzuk 13, Halaman 136, Penerbitan Maktabah Al-Ma’arif seperti berikut:
“… Al-Malik Al-Mudzaffar Abu Sa’ied, salah seorang dari pemimpin besar yang cemerlang serta raja-raja yang mulia,baginya kesan-kesan yang baik (lihat kata Ibn Katsir “kesan-kesan yang baik”), beliau telah mengadakan maulid yang mulia pada Rabiul Awal, dan mengadakan sambutan yang besar. Selain itu, beliau seorang yang amat berani, berakal, alim lagi adil. Semoga Allah merahmati beliau dan memperbaikkan kesudahannya…” dan beliau berkata seterusnya : “dan beliau (Sultan Muzaffar) berbelanja untuk menyambut maulid 300,000 dinar.”

Maka lihatlah sidang pembaca sekalian, kepada puji-pujian kepadanya oleh Ibn Katsir, yang menyifatkan beliau sebagai seorang yang alim, adil lagi berani, dan tidak pernah mengatakan, zindiq, pembuat dosa, fasiq, melakukan dosa besar, seprti mana yang didakwa oleh mereka yang anti-sambutan ini. Sidang pembaca boleh merujuk sendiri kepada rujukan yang diberi, dan akan menemui kata-kata yang lebih hebat lagi dari ini, yang tidak disebutkan di sini bagi tidak memanjangkan perbahasan ini.

Lihatlah juga kata-kata Al-Imam Alhafiz Addzahabi dalam Siyarul A’lamun Nubala’, Juzuk 22, halaman 336, ketika menerangkan perihal Al-Malik Al-Mudzaffar apabila disebutkan: : Beliau merupakan seorang yang tawadhu’, baik, ahli sunnah, dan menyintai para fuqaha’ dan muhaddisin.”

Selain itu bagi menjawab tohmahan mereka kononnya ulamak silam mencerca sambutan ini, kita bawakan kata-kata yang jelas dari tiga ulamak yang kehebatan mereka diakui semua.

1) Al-Imam Al-Hujjah Al-Hafiz As-Suyuthi : Di dalam kitab beliau, Al-Hawi Lilfatawa, beliau telah meletakkan satu bab yang dinamakan Husnul Maqsad Fi ‘Amalil Maulid, halaman 189, beliau menyebutkan: Telah ditanya tentang amalan Maulid Nabi pada bulan Rabiul Awal, apakah hukumnya dari sudut syara’? Adakah ia dipuji atau dicela? Adakah pelakunya diberikan pahala atau tidak?

Dan jawapannya di sisiku, bahawa asal kepada perbutan maulid, yang merupakan perhimpunan manusia, membaca Al-Quran dan hadis serta riwayat pada permulaan kehidupan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, serta apa yang berlaku pada saat kelahiran baginda dari tanda-tanda kenabian, dan dihidangkan jamuan, dan bersurai tanpa apa-apa tambahan daripadanya, ia merupakan bid’ah yang hasanah yang diberikan pahala siapa yang melakukannya kerana padanya mengagungkan kemuliaan Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan menunjukkan kegembiraan dengan kelahiran baginda yang mulia.

2) Syeikh Ibn Taimiyah : “Di dalam kitab beliau, Iqtidha’ Siratail Mustaqim, cetakan Darul Hadis, halaman 266, beliau nyatakan : Begitu jua apa yang dilakukan oleh sebahagian manusia samaada menyaingi orang Nasrani pada kelahiran Isa ‘Alaihissalam, ataupun kecintaan kepada Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dan mengangungkan baginda, dan Allah mengurniakan pahala kepada mereka atas kecintaan dan ijtihad ini…
Seterusnya beliau nyatakan lagi : Ia tidak dilakukan oleh salaf, tetapi ada sebab baginya, dan tiada larangan daripadanya.”Kita pula tidak mengadakan maulid melainkan seperti apa yang dikatakan oleh Ibn Taimiyah sebagai : “Kecintaan kepada Nabi dan mengagungkan baginda.”

3) Syeikhul Islam Wa Imamussyurrah Al-Hafiz Ibn Hajar Al-‘Asqalani : Berkata Al-Hafiz Assuyuthi dalam kitab yang disebutkan tadi : Syeikhul Islam Hafizul ‘Asr Abulfadhl Ibn Hajar telah ditanya tentang amal maulid, dan telah dijawab begini: “Asal amal maulid (mengikut cara yang dilakukan pada zaman ini) adalah bid’ah yang tidak dinaqalkan dari salafussoleh dari 3 kurun (yang awal), walaubagaimanapun ia mengandungi kebaikan serta sebaliknya. Maka sesiapa yang melakukan padanya kebaikan dan menjauhi yang buruk, ia merupakan bid’ah yang hasanah.

Telah jelas bagiku pengeluaran hukum ini dari asal yang tsabit iaitu apa yang tsabit dalam kedua-dua sohihain (Bukhari dan Muslim) bahawa Nabi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika tiba di Madinah mendapati orang Yahudi berpuasa Asyura’, lalu baginda bertanya kepada mereka (sebabnya). Mereka menjawab: Ia merupakan hari ditenggelamkan Allah fir’aun dan diselamatkan Musa, maka kami berpuasa kerana bersyukur kepada Allah. Maka diambil pengajaran darinya melakukan kesyukuran kepada Allah atas apa yang Dia kurniakan pada hari tertentu, samaada cucuran nikmat atau mengangkat kesusahan.”

Seterusnya beliau berkata lagi: Dan apakah nikmat yang lebih agung dari nikmat diutuskan Nabi ini Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, Nabi rahmah, pada hari tersebut? Dan ini adalah asal kepada amalan tersebut. Manakala apa yang dilakukan padanya, maka seharusnya berlegar pada apa yang difahami sebagai bentuk kesyukuran kepada Allah Ta’ala samaada tilawah, memberi makan, sedekah, membacakan puji-pujian kepada Nabi, penggerak hati atau apa sahaja bentuk kebaikan dan amal untuk akhirat.”

Inilah istinbat-istinbat yang dikatakan oleh mereka yang anti-maulid sebagai istidlal yang batil serta kias yang fasid, lalu mereka mengingkarinya.

Cukuplah bagi kita memerhatikan siapakah yang mengingkari dan siapa pula yang mereka ingkari!!!

15 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

ADAKAH BATAL SOLAT JIKA MEMBACA AL-FATIHAH TANPA TAJWID?

AL-KAFI LI AL-FATAWI #489 : ADAKAH BATAL SOLAT JIKA MEMBACA AL-FATIHAH TANPA TAJWID?

Soalan:

Benarkah solat seseorang itu tidak sah jika di baca al-Fatihah dengan tajwid yang salah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Membaca Surah al-Fatihah di dalam solat adalah rukun solat bagi setiap rakaat samaada solat sunat ataupun fardu. Dalam kata lainnya, tidak dikira solat seoseorang itu sekiranya dia tidak membaca Surah al-Fatihah. Ini jelas melalui sabda Nabi SAW:
لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ

Maksudnya: Tiada solat bagi siapa yang tidak membaca al-Fatihah.

Riwayat Al-Bukhari (756)

Bacaan Yang Betul

Surah al-Fatihah perlu dibaca dengan bacaan yang betul lagi sahih dengan meraikan bacaan dengan baris yang betul berserta dengan tajwid dan makhrajnya. Kesalahan dalam tajwid seperti bacaan mad (panjang pendek), ghunnah (dengung) ataupun kesalahan-kesalahan tajwid yang lain tidaklah membatalkan solat namun perlulah diperbaiki bacaan tersebut dari semasa ke semasa dengan berguru dengan mereka yang benar-benar berkaliber dan berkelayakan.

Ini sebagaimana firman Allah SWT:
وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا ٤
Maksudnya: Dan bacalah Al Quran itu dengan perlahan-lahan.
(Al-Muzammil: 4)

Al-Syeikh al-Tantawi Rahimahullah di dalam tafsirnya al-Wasit menyebutkan yang dimaksudkan dengan وَرَتِّلِ ٱلۡقُرۡءَانَ تَرۡتِيلًا itu adalah membaca dengan suara yang merdu, dengan khusyu’ dan tadabbur serta beriltizam dengan bacaan yang sempurna lagi sahih dengan melihat kepada makhraj-makhraj hurufnya, waqafnya, hukum mad, izhar, ikhfa’ dan sebagainya.

Adapun bacaan yang membatalkan solat adalah bacaan yang boleh merubah makna. Sekiranya seseorang membaca أَنْعَمْتُ(an’amtu) dengan dhommah (baris hadapan) dengan sengaja sedangkan bacaan yang sebetulnya adalahأَنْعَمْتَ (an’amta) dengan fathah (baris atas) maka batal solatnya. Sekiranya terlupa maka perlu diulangi bacaan tersebut.

Kesalahan bacaan yang berkaitan dengan hukum hakam tajwid di dalam ilmu tajwid disebut sebagai Lahn al-Khafiy (kesalahan yang tersembunyi) manakala Lahn al-Jaliy (kesalahan yang jelas) pula seperti berubah makna, huruf serta baris ayat tersebut dan kesalahan jenis ini boleh membatalkan solat.

Wallahu a’lam.

15 December 2016 Posted by | Fiqh, Ibadah, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

HUKUM MEMAKAN TELUR HAIWAN YANG TIDAK DIBASUH

image

AL-KAFI #481 : HUKUM MEMAKAN TELUR HAIWAN YANG TIDAK DIBASUH

SOALAN:
Assalamualaikum wbt,
Apakah hukum seseorang yang membuat roti canai telur menggunakan telur ayam yang tidak dibasuh? Adakah ia bernajis atau sebaliknya?

JAWAPAN:
Waalaikumussalam wbt,
Jika telur tersebut tidak kelihatan padanya najis seperti tahi ayam dan sebagainya maka ia dihukum suci. Berkata Imam Abu Bakar al-Dimyati, dalam syarahnya terhadap kitab Fath al-Mu`in yang bermaksud:
“Perkataan musannif ‘bahawa tidak wajib untuk membasuh zakar selepas berjimak, telur dan anak yang dilahirkan,’ bererti (barang) yang terkena lembapan faraj, sama ada lembapan itu suci atau tidak, dan kalau ia najis sekalipun ia dimaafkan, maka ia tidak menajiskan perkara-perkara yang telah disebutkan.”
Rujuk I’anah al-Talibin (1/104)

Namun jika ternampak najis pada telur itu, maka wajiblah membasuhnya. Jika tidak nampak atau disangka sahaja ada najis, maka kembali kepada hukum bahawa ia tidak bernajis.

Jawapan bagi soalan di atas, maka hukumnya suci selagi tidak ada kesan yang menunjukkan kenajisannya seperti tahi ayam. Jika terdapat najis sekalipun, namun yang dimaka ialah isinya, bukan kulitnya. Justeru, jika tiada nampak najis yang masuk ke dalam roti canai berkenaan maka hukumnya adalah suci pada asalnya. Sekalipun begitu, membasuh telur bagi memastikan kebersihan dan kesucian adalah etika yang baik dalam penyediaan makanan.

Wallahua’lam.

Pautan ke laman rasmi: https://goo.gl/4LX6eC

1 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Fatwa, Fiqh, Uncategorized | Leave a comment

Apakah pandangan berkenaan dengan golongan Wahabi?

Q & A Bersama Felo Penyelidik Fatwa.

ISU:

Apakah pandangan berkenaan dengan golongan Wahabi? Adakah golongan yang berzikir dan berdoa secara sendiri-sendiri selepas solat itu Wahabi?

PENJELASAN:

Aliran Wahabi bukanlah satu mazhab akan tetapi satu bentuk gerakan pemikiran agama yang banyak dipegang oleh ulama-ulama Haramayn (Mekah dan Madinah) kontemporari mengikuti pendekatan yang diambil oleh Muhammad bin Abd Wahhab (m.1792). Dari segi mazhab , mereka lebih hampir dengan mazhab Hanbali walaupun dari beberapa segi mereka lebih ketat dan keras.

Dalam sejarah tradisi ilmu Islam, aliran Wahhabi bukanlah mewakili arus perdana mazhab Ahl Sunnah wa al-Jamaah kerana sejak seribu tahun lebih, aliran yang menjadi peneraju kepada pentafsiran Ahl Sunnah wa al-Jamaah dalam bidang akidah ialah Asha’irah dan Maturidiyah, manakala dalam bidang fiqh ialah empat mazhab utama iaitu Shafi’i, Hanafi, Maliki dan Hanbali.

Dari segi pendekatan ilmiah, aliran Wahabi membawa pendekatan yang agak sempit dengan metodologi harfiah (literal) yang mereka ambil dalam memahami sumber agama khususnya al-Qur’an. Justeru itu, sebahagian dari pandangan mereka dalam agama bersifat agak keras terutama terhadap orang yang tidak mengambil pendekatan mereka. Pendekatan sebegini akhirnya telah membawa kepada kecenderungan untuk mudah mengeluarkan orang Islam dari lingkungan agama yang tidak sealiran dengan aliran Wahabi.

Contoh perbezaan pandangan golongan Wahabi yang agak jelas ialah pandangan mengenai sunnah dan bid’ah. Berdasarkan makna literal beberapa hadis Nabi, mereka menganggap bahawa setiap amalan ibadat yang tidak mengikuti secara langsung cara yang dibawa oleh Nabi saw, dianggap bid’ah dan terkeluar dari Islam.

Justeru itu banyak amalan dan pegangan yang telah diamalkan oleh masyarakat Islam telah dianggap terkeluar dari agama Islam oleh golongan Wahabi. Pendekatan ini telah menyebabkan perpecahan di kalangan sebahagian masyarakat yang telah lama mempunyai kesatuan dalam ibadat menurut pentafsiran imam-imam muktabar dalam mazhab Shafi’i dan dalam akidah menuruti aliran al-Ash’ari dan al-Maturidi.

Banyak persoalan yang bersifat khilafiah telah diangkat dan dianggap sebagai perkara usul sehingga menjadi permasalahan dalam masyarakat, seperti larangan doa qunut, wirid dan berdoa secara berjamaah selepas solat, tahlil, berzanji, qasidah, burdah, membaca yasin pada malam jumaat, perayaan maulid, kesemuanya ditolak atas nama bid’ah yang sesat. Ini sama sekali tidak selari dengan pemahaman sunnah dan bid’ah yang sebenar dalam Islam dan juga tidak bertepatan dengan semangat ilmiah dalam tradisi Islam yang membenarkan perbezaan pandangan dalam persoalan khilafiah.

Dalam konteks tasawuf, mereka amat keras membid’ah amalan-amalan tariqat, amalan wirid dan selawat yang dilakukan oleh golongan sufi. Dalam akidah, mereka membid’ahkan ajaran tauhid berdasarkan sifat yang kesemuanya dipelopori oleh ulama-ulama berwibawa dalam aliran Ahl Sunnah wa al-Jama’ah.

Contoh lain perbezaan pemahaman aliran Wahabi ialah pendekatan mereka dalam memahami ayat-ayat mutasyabihat dalam al-Qur’an seperti ayat berkaitan ‘tangan dan wajah Allah’, istiwa’ dan lain-lain. Dengan mengisbatkan secara literal ayat-ayat ini dan menolak sama sekali pendekatan ta’wil yang juga salah satu pendekatan yang diambil oleh ulama salaf dan khalaf, ia membawa kepada kecenderungan tajsim (kefahaman Allah berjism) dan tashbih (kefahaman Allah menyamai makhluk) terutama kepada mereka yang berfahaman simplistik berkaitan isu tersebut.

Ramai ulama-ulama yang telah mengkritik dan menghujah aliran Wahabi termasuk saudara kandung Sheikh Muhammad Abdul Wahhab sendiri iaitu Sheikh Sulayman Abd Wahhab dalam kitabnya bertajuk al-Sawa’iq al-Ilahiyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah. Antara ulama-ulama lain ialah Sayyid Ahmad Ibn Zaini Dahlan (m.1886) Mufti Mekkah dan Shaykh al-Islam dalam kitabnya al-Durar al-Saniyyah fi al-Radd ‘ala al-Wahhabiyyah dan Dr. Sa’id Ramadhan al-Buti dalam karyanya al-Salafiyyatun Marhalatun Zamaniyyatun Mubarakatun la Mazhabun Islamiyyun.

Memandangkan Malaysia jelas mengambil pendirian sejak beratus tahun lalu bahawa aliran yang harus diikuti ialah mazhab Shafi’i dan dalam akidah aliran Ash’ari dan Maturidi dan ianya telah menghasilkan perpaduan yang utuh di kalangan umat Islam, baik dalam ibadah, muamalah dan lain-lain sehingga memberi ketenangan dan keharmonian dalam masyarakat dan negara, maka aliran Wahabi adalah tidak sesuai dalam konteks kefahaman dan amalan agama di Malaysia.

Manakala mereka yang berzikir secara sendiri-sendiri selepas solat tidak semestinya dari aliran Wahabi. Namun sekiranya mereka membid’ahkan orang yang berzikir secara berjamaah selepas solat berkemungkinan besar ia dari golongan tersebut.

Wallahu A’lam

1 December 2016 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

   

%d bloggers like this: