Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Fiqh As Siasah As Syariyyah Satu Pengenalan

Muqaddimah

Perkara siasah syar’iyyah yang berbangkit daripada kewajipan khalifah yang telah ditetapkan oleh Allah Taala kepada manusia di atas muka bumi. Ia merupakan bidang yang sangat penting dan dilupakan oleh orang Islam di zaman mutakhir ini akibat malapetaka pemikiran serangan musuh-musuh Islam ke atas umat Islam.

Catatan ini saya bangkitkan sebagai memperkenalkan fiqh As-siasah As-syar’iyyah secara ringkas kerana الحكم على الشىء فرع عن تصوره

Pengertian Fiqh As-Siasah As-Syar’iyyah

Fiqh bermakna الفهم ( memahami ) dan العلم ( mengetahui ) .

Firman Allah Taala :
“لا يكادون يفقهون حديثا  – اى لا يفقهون”

Manakala السياسه  berasal dari perkataan: ساس يسوس  سياسة bermaksud mentadbir sesuatu urusan dengan perkara yang memberi maslahah.

Di dalam hadis : “كان بنى اسرائيل تسوسهم ابنائهم”

Perkataan siasah menurut pandangan ulama’ silam, merujuk kepada dua makna, umum dan khusus.

Maknanya yang umum adalah mentadbir urusan manusia berhubung hal keduniaan mereka dengan syariat agama. Justeru mereka menakrifkan khilafah :

نيابه عن رسول الله صلى الله عليه وسلم فى حراسة الدين وسياسة الدنيا به

Maksudnya: menggalang ganti dari Rasulullah dalam menegakkan agama dan mentadbirkan dunia dengannya (agama).

Adapun makna-makna yang khusus adalah pandangan-pandangan imam atau hukum-hukum dan peraturan yang dikeluarkan oleh imam sebagai mencegah dari berlakunya kerosakkan atau untuk menghindari dari wujudnya suasana yang rosak.

Mafhum siasah syar’iyyah yang dikehendaki adalah siasah yang ditegakkan di atas dasar syarak.

Berkata ulama’ Syafie: لا سياسة الا ما وقف الشرع

As-siasah As-syar’iyyah : antara usul dan furu’

Sebahagian dari hukum siasah syar’iyyah berpindah daripada kitab-kitab furu’ ke kitab- kitab usul iaitu Usuluddin. Kitab-kitab aqidah atau tauhid membahaskan maudu’ imamah atau khalifah. Syiah Imamiah menganggap permasalahan imamah adalah daripada usuluddin dan sebahagian dari aqidah di sisi mereka sehingga menyebabkan ulama’ Ahli Sunnah membincangkanya dalam kitab-kitab aqidah mereka walaupun ianya di sisi Ahli Sunnah termasuk dalam perkara furu’ kerana ia bersangkut dengan amal perbuatan bukannya dengan aqidah.

Namun ianya tidak boleh dijadikan hujah untuk mempermudahkan dalam perkara ini kerana Islam bukan terdiri daripada aqidah semata-mata tetapi juga melibatkan amal. Solat dan zakat umpamanya perkara furu’ bukan usul tetapi sesiapa yang mengingkari kewajipannya atau mempermudahkannya boleh menjadikan ia kafir. Begitu juga dengan imamah atau berhukum dengan hukum Allah daripada perkara furu’ tetapi iktiqad wajib mengimaminya adalah perkara usul dan termasuk dalam soal keimanan.

Manhaj Fiqh As-siasi Semasa

Manhaj itu perlu diasakan kepada dua perkara :

  1. Kembali kepada usul dan mengambil hukum-hukum dari sumbernya yang sebenar dengan mengambil faedah daripada turath fiqhul Islami.
  2. Selari dan tidak terpisah dari tuntutan semasa, berusaha unuk mengubati masalah dari sudut pandangan syara’ kerana syara’ tidak pernah mengabaikan waqi’.

Faqih yang sebenarnya menurut Ibnu Qayyim adalah orang yang menggabungkan antara kewajipan dan waqi’.

Sunnah Nabawi Dan Petunjuk Khilafah Ar-Rasyidin

Di antara Sunnah Rasulullah saw dalam siasah syari’yyah adalah :

  1. Baginda berazam untuk membakar sesiapa yang meninggalkan solat jemaah dan Jumaat
  2. Memecahkan bekas yang digunakan untuk memasak daging haram.
  3. Memerintahkan perempuan yang melaknat untanya supaya melepaskannya.
  4. Memerintahkan supaya dibunuh peminum arak setelah tiga atau empat kali dihukum

Di antara petunjuk khalifah Ar-Rasyidin :

  1. Saidina Abu Bakar membakar golongan yang melakukan perbuatan liwat.
  2. Abdullah Az-Zubair juga membakar golongan tersebut.
  3. Sabigh bin Asal memukul kepalanya kerana menyoal sesuatu perkara yang tidak ada kaitan dengannya.
  4. Menyuruh ummat Islam supaya melakukan haji ifrad.

Asas Siasah Syari’yyah

Siasah syari’yyah yang kita perkatakan bukanlah percakapan semata-mata bahkan ia adalah gabungan dari mafhum-mafhum syariat dalam mentadbir urusan ummat dalam lingkunagn syariat Islam. Di antaranya adalah apa yag disebut الثوابت iaitu yang tidak berubah dengan perubahan masa dan tempat. Di antaranya juga ialah المتغيرات, iaitu sesuatu yang menerima perubahan.

Fiqh As-siasah As-syari’yyah mempunyai asas atau unsur yang membentuknya, di antaranya ialah:

  1. Asas pertama : فقه النصوص
  2. Asas kedua    : فقه الواقع
  3. Asas ketiga    : فقه الموازنات
  4. Asas keempat : فقه الاولويات
  5. Asas kelima  :  فقه التغيير

Penutup

Demikianlah yang dapat saya kemukakan sebagai bahan perbincangan untuk warasatul anbiya’ dalam waktu yang cukup terbatas. Ia merupakan ringkasan daripada kitab As-Siasah As-Syari’yyah oleh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi. Saya mengharapkan teguran daripada ulama’ sekalian sekiranya di sana terdapat kesalahan dan kesilapan. Wallahua’lam bissawab.

Disediakan oleh,
IBNU ABD. RAHMAN

Dewan Ulama PAS

31 January 2012 Posted by | Fiqh | | Leave a comment

Cara wuduk orang yang cedera/berbalut

“Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku dan sapulah sebahagian dari kepala kamu dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali dan jika kamu berjunub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air) atau dalam pelayaran atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah (debu) yang bersih, iaitu: Sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah debu itu. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sesuatu kesusahan (kepayahan), tetapi Dia berkehendak membersihkan (mensucikan) kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur. ” (Al-Maidah : 6)

Dari firman Allah di atas ini dapat disimpulkan bahawa wuduk merupakan perkara yang wajib dilakukan untuk mengharuskan solat dan perbuatan-perbuatan ibadah yang lain. Tetapi apabila ketiadaan air bagi kawasan tersebut atau air yang ada hanya cukup untuk minum sahaja, maka perlulah seseorang itu bertayammum untuk mengharuskannya solat. Islam adalah agama yang sempurna dan Islam itu adalah agama yang mudah, tetapi jangan kita memudah-mudahkan agama.

Islam mempunyai kaedah bagi orang yang mengalami kecederaan disebabkan kemalangan atau musibah-musibah yang lain. Dikuatiri apabila terkena air akan mendatangkan kecederaan yang lebih teruk, lukanya lambat sembuh dan seumpamanya. Maka cara bagi orang yang sakit seperti yang dinyatakan di atas adalah seperti pesakit wajib membasuh atau mengambil wuduk bagi anggota yang tidak cedera mengikut tertibnya (mengikut susunan wuduk). Apabila sampai ke anggota wuduk yang cedera atau berbalut hendaklah ia menyapuka air di atas balutannya sebagai syarat membasuh. Kemudian pesakit tersebut hendaklah bertayammum pada keseluruhan mukanya dan tangannya dari hujung jari ke sikunya mengikut cara tayammum. Kalau anggota cederanya di kaki atau selain dari anggota tayammum, maka ia tetap juga tayammum di muka dan tangannya sahaja. Dengan cara ini pesakit boleh melakukan solat seperti biasa.

Sebenarnya ada pendapat lain yang menyatakan bahawa anggota wuduk yang cedera hanya disapukan dengan air sahaja dan tidak perlu bertayammum. Tetapi pendapat yang lebih baik adalah seperti yang dinyatakan di atas dengan melakukan wuduk bagi anggota yang tidak cedera, manakala bagi anggota yang cedera atau berbalut hendaklah disapukan air sahaja dan ditayammumkan sekali untuk mengharuskan solat.

 

OLEH USTAZ NOR AMIN SAYANI BIN ZAINAL

BERSUCI ITU SATU KEINDAHAN

31 January 2012 Posted by | Fiqh, Ibadah | , , , | Leave a comment

Maulidurrasul S.A.W semarakkan perjuangan Islam

Firman Allah dalam ayat 29 surah al-Fathu:

Maksudnya :  Nabi Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah tegas terhadap orang-orang kafir serta berlemah lembut sesama mereka. Kamu melihat mereka rukuk dan sujud mencari kurniaan Allah dan keredhaanNya. Tanda-tanda mereka nampak jelas pada muka mereka daripada kesan sujud. Demikianlah sifat mereka dalam Taurat dan sifat mereka dalam Injil iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu membesar dan tegak lurus di atas pokoknya di mana tanaman itu menyenangkan hati penanamnya kerana Allah hendak menyakitkan hati orang-orang kafir dengan kekuatan orang-orang mukmin. Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amalan soleh di antara mereka keampunan dan pahala yang besar

Rabiul Awwal pernah mencatat sejarah gemilang dengan kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w Nabi akhir zaman yang telah membawa rahmat kepada seluruh alam yang selama ini tenggelam dalam kejahilan. Hadirnya bersama wahyu al-Quran bagaikan mentari yang bercahaya terang menerangi alam semesta yang dulunya diselubungi kegelapan jahiliah yang penuh dengan kesesatan dan penindasan. Sudah menjadi sunnatullah di mana setiap yang batil akan dikalahkan oleh yang hak, setiap kesesatan nafsu akan dikuburkan oleh kebenaran wahyu, setiap kegelapan jahiliah akan dihilangkan dengan cahaya Islam dan setiap ancaman kekufuran akan dipadamkan oleh siraman keimanan. Oleh itu, Allah melalui para rasulNya termasuk Nabi kita Muhammad s.a.w telah memberi petunjuk yang jelas kepada umatnya dalam membeza antara yang hak dan batil seterusnya menyuruh agar diikut ajaran yang benar dengan menolak sebarang ajaran yang sesat. Ini ditambah pula dengan betapa sempurnanya ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w sebagai Nabi lagi Rasul akhir zaman di mana ajarannya meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk aqidah, ibadat, muamalat, perundangan.

Kedatangan Rabiul Awwal kali ini sewajarnya digunakan sebaik mungkin oleh seluruh umat Islam pada hari ini untuk kembali semula kepada semua ajaran dan sistem Islam yang menyeluruh agar kita kembali menjadi umat mulia. Apa gunanya kita menghabiskan wang yang beribu dalam memperingati hari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w sedangkan apabila dituntut agar dilaksanakan seluruh ajaran Nabi maka kita tidak mahu. Bezakanlah sambutan Maulidurrasul yang kita adakan saban tahun dengan Maulidurrasul yang pernah dilakukan oleh Abu Lahab. Kita mesti ingat bagaimana Abu Lahab sanggup memerdekakan hambanya Suwaibah serta menyembelih 100 ekor unta kerana terlalu gembira menyambut kelahiran Rasulullah s.a.w tetapi akhirnya apabila Nabi menyatakan tentang kenabiannya serta dakwah Islam maka dialah antara mereka yang paling utama menentang Nabi sehingga dia mengatakan celaka kepada Nabi tetapi Allah telah menyatakan bahawa Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil yang celaka bukannya Nabi sebagaimana yang tertera dalam surah al-Masad. Kita dapat saksikan bagaimana permusuhan Abu Lahab terhadap Nabi begitu kuat antaranya dia sanggup mengahwinkan dua orang anaknya dengan  anak Nabi iaitu Ruqayyah dan Ummi Kalthom tetapi apabila Nabi menyatakan kenabiannya maka Abu Jahal menyuruh agar kedua anaknya itu menceraikan anak Nabi bagi menambah bebanan dan tekanan terhadap Nabi. Begitu juga ketika berlakunya pemulauan terhadap suku Bani Hashim maka Abu Lahab turut serta memulaunya walau pun dia sendiri dari suku yang sama kerana bencinya terhadap Nabi. Manakala isterinya Ummu Jamil sanggup menyakiti Nabi dengan meletak duri disepanjang jalan yang digunakan oleh Nabi.

Oleh itu umat Islam perlu sedar dan insaf  bahawa sambutan Maulidurrasul yang diadakan mestilah selari antara apa yang dipuji dalam bacaan berzanji dan selawat dengan apa yang dilakukan dalam kehidupan seharian. Janganlah pula kita begitu bersungguh memuji akhlak Nabi dan cara baginda menangani masalah sosial dengan sistem Islam sedangkan adanya umat Islam hari ini yang berusaha bersungguh-sungguh dalam memerangi pengajian agama sedangkan dalam masa yang sama menggalakkan hiburan yang melalaikan serta penambahan kelab malam yang lebih banyak melahirkan pelacur dari kalangan umat Islam sendiri. Jangan kita hanya tahu memuji Nabi yang mengharamkan arak sedangkan adanya umat Islam yang mengizinkan pembinaan kilang arak dalam negara. Jangan hanya tahu memuji Nabi yang mengharamkan judi yang banyak membawa masalah kepada negara sedangkan adanya umat Islam yang terang-terang memberi lesen dalam menambah bilangan pusat perjudian dalam negara. Jangan hanya tahu memuji Nabi yang telah berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada umat manusia serta berusaha dalam memperkukuhkan aqidah dan mengawal daripada berlakunya murtad dengan perundangan Islam sedangkan umat Islam hari ini bukan sahaja tidak melakukan kerja dakwah bersungguh-sungguh malah aqidah umat Islam semakin tercabar. Jangan hanya tahu memuji Nabi yang mampu membina ekonomi berasaskan Islam yang kukuh dengan menghapuskan riba sedangkan umat Islam hari ini ramai yang terus bergelumang dengan riba serta negara dihantui oleh masalah ceti haram yang sememangnya menghidupkan amalan riba.

Sambutan Maulidurrasul s.aw yang kita adakan saban tahun jika benar-benar dilakukan dengan ikhlas kerana Allah sebagai menyambut tubuh dan seluruh ajaran yang dibawa oleh Nabi akan menjadi dalil dalam menjawab tohmahan dan cacian tokoh kafir Quraisy yang pernah mengatakan :

“ Biarkan Muhammad  kerana dia akan mati tanpa meninggalkan seorang pun anak lelaki dan perjuangannya tak lama lagi akan berakhir begitu sahaja”.

Nabi Muhammad s.a.w yang diuji dengan kewafatan kesemua anak lelakinya ketika kecil iaitu Qasim, Abdullah dan Ibrahim agak tertekan dengan cacian tersebut sehinggalah Allah menghiburkan nabi dengan turunnya ayat 1-3 surah al-Kauthar :

Maksudnya : Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) nikmat yang melimpah ruah. Oleh itu, dirikanlah solat dengan ikhlas kerana Tuhanmu dan korbankanlah pada hari raya haji. Sesungguhnya orang yang bencikan engkau maka dialah orang yang putus keturunan.

Surah ini menyatakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w dikurniakan nikmat yang terlalu banyak dan berterusan serta menolak dakwaan bahawa dakwah Nabi akan terputus kerana tiada anak lelaki yang bakal meneruskan dakwahnya. Sebaliknya Allah menyatakan bahawa mereka yang kufur sebenarnya yang terputus kejahatannya kerana nama Nabi Muhammad s.a.w terus disanjung sehingga hari ini sedangkan mereka yang menentangnya terus dilupa. Malah dakwah Islam terus berkembang sehingga seluruh pelusuk dunia sedangkan kekufuran yang dibawa oleh oleh musuhnya terus lenyap. Keimanan, kebenaran dan kebajikan tidak mungkin terputus kerana ia tetap menghulurkan dahan-dahan dan cabang-cabangnya dan menunjangkan akar-umbinya jauh ke dalam. Sebaliknya apa yang terputus ialah kekufuran, kebatilan dan kejahatan walau bagaimana pun ia membesar dan kuat.

Semoga kehadiran Rabiul Awwal kali ini memberi sinar kepada umat Islam sebagaimana bersinarnya dunia setelah kelahiran Rasulullah s.a.w. Umat Islam mesti kembali bersatu atas landasan Islam dengan menolak sekuler dan semangat kebangsaan sempit. Umat Islam mesti bersatu atas dasar iman dengan menolak ideologi ciptaan manusia yang sesat dan membawa kepada kekufuran. Cukuplah dengan penjajahan baru yang berlaku di Afghanistan, Iraq dan penderitaan umat Islam di Palestin terutama Menteri Dalam Negeri Israel telah mengumumkan bahawa Yahudi dibenarkan masuk ke kawasan Masjid al-Aqsa untuk beribadat. Jangan tunggu sehingga satu demi satu negara umat Islam dijajah barulah kita mahu bersatu terutama Asia Tenggara kini mula bergolak kembali setelah Asia Barat dihancurkan. Selatan Filiphina telah kembali bertelagah setelah gencatan senjata ditarik balik. Kedudukan Acheh bagaikan menunggu masa untuk dihancurkan oleh saudara seagama Indonesia walau pun usaha baru damai sedang dijalankan. Malah tuduhan bahawa militan Islam terlibat dalam menyerang kem tentera di Yala tidak lebih daripada usaha Thailand dalam menjemput Amerika membuka pusat anti pengganas di Selatan Thailand yang diduduki oleh majoriti umat Islam. Oleh itu kembalilah bersatu sebagaimana yang disifatkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya :

Maksudnya : Perumpamaan orang-orang beriman dalam erti kasih sayang, belas kasihan dan bertimbang rasa sesama mereka seperti tubuh yang satu iaitu apabila mana-mana anggota badan berasa sakit maka seluruh tubuh yang lain turut berjaga malam dan menanggung kesakitan

Bersungguh dalam bersatu dengan Islam sebagai wadah perjuangan. Semarakkan semangat jihad agar kita tidak terus menjadi  mangsa penindasan kuffar. Kita tidak akan sama sekali tunduk kepada kekufuran. Biar bermandi darah asalkan Islam kembali gagah. Biar darah membasahi bumi asalkan Islam dijulang tinggi. Yakinlah kepada pertolongan Allah dan kemenangan yang dijanjikan. Umat Islam yang bermaruah tidak sama sekali menyerah kalah walau pun kita sedar bahawa kemenangan Islam bukannya mudah. Biar pelbagai ujian, halangan, cabaran dan tentangan yang datang dalam perjalanan mencari keredhaan Allah namun perjuangan Islam mesti diteruskan sehingga datangnya ketentuan daripada Allah.

Firman Allah dalam ayat  65 surah al-Anfal:

Maksudnya :  Wahai Nabi! Semarakkanlah semangat para mukmin untuk berperang. Jika ada dua puluh orang yang sabar di antara kamu nescaya mereka dapat mengalahkan dua ratus orang musuh. Dan jika ada seratus orang yang sabar di antara kamu maka mereka dapat mengalahkan seribu daripada orang-orang kafir disebabkan orang-orang kafir itu merupakan kaum yang tidak mengerti

(Intisari dari ekhutbah wordpress.com)

27 January 2012 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Perang dan serang AKIDAH mereka – Raja Peranchis Louis IX

“Jika kamu ingin mengalahkan umat Islam jangan memerangi mereka hanya dengan senjata saja,

karena kamu telah kalah dihadapan mereka waktu kamu menggunakan senjata.

Namun perangilah “AKIDAH” mereka,

“Hancurkan pemikiran-pemikiran mereka”,

“Keluarkan dari dada-dada mereka semangat Islam”, Raja Peranchis Louis IX

jadikan mereka bodoh terhadap akidah Islam,

” karena dalam akidahlah terletak “kekuatan Islam”,

apabila akidah mereka telah keluar dari dada mereka maka mudah bagi kamu mengalahkan mereka,

dengan senjata akan banyak merugikan kita

namun dengan menyerang pemikiran mereka kita tidak akan rugi bahkan kaum muslimin akan rugi.”

Raja Perancis Louis IX,
(Zaman Perang Salib)

23 January 2012 Posted by | Renungan & Teladan | | 2 Comments

Jahiliah di puja umat derita

Firman Allah dalam ayat  40 surah at-Taubah :

إِلاَّ تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُواْ ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لاَ تَحْزَنْ إِنَّ اللهَ مَعَنَا فَأَنزَلَ اللهُُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُواْ السُّفْلَى وَكَلِمَةُ اللهِِ هِيَ الْعُلْيَا وَاللهُُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

Kita pada hari ini baru menyambut kedatangan bulan baru dalam taqwim Hijrah iaitu bulan Safar. Kita baru sahaja melalui bulan Muharram yang begitu banyak meninggalkan kesan kepada kita terutama dalam menghayati sebaik mungkin iktibar daripada peristiwa Hijraturrasul s.a.w. Umat Islam yang mahu berjaya di dunia dan akhirat mesti berhijrah daripada keadaan yang tidak baik kepada yang terbaik, daripada bergelumang dengan maksiat dengan istiqamah dalam ibadat, daripada menggunakan sistem jahiliah ciptaan manusia kepada melaksanakan sistem Islam dalam kehidupan, daripada berkiblatkan cara hidup barat kepada bersemangat dengan cara hidup Islam. Golongan yang berjaya ialah golongan yang yakin dengan kebenaran Islam, sanggup berkorban untuk Islam serta tidak putus asa dalam berjuang. Oleh itu dalam memperjuangkan Islam maka sudah pasti terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran, halangan, sekatan dan tohmahan di mana kemenangan Islam bukanlah dapat dicapai dengan jalan yang senang. Kita juga perlu ingat bahawa jika kita malas atau tidak mahu memperjuangkan Islam maka Allah tetap akan mendatangkan kemenangan kepada agamaNya. Oleh itu pilihlah samada kita mahu berjuang menegakkan sistem Islam sehingga dianugerahkan kemuliaan hidup di dunia dan akhirat atau memilih untuk terus hidup dengan sistem jahiliah anutan penjajah tanpa menghiraukan sistem Islam sehingga dihinakan oleh Allah di dunia dan akhirat. Dua pilihan ditawarkan kepada kita samada dosa atau pahala, syurga atau neraka, Islam atau jahiliah, iman atau kufur. Bijak memilih mulia dunia dan akhirat tetapi jika silap memilih merana hidup dunia dan akhirat

Firman Allah dalam ayat  10-11 surah as-Soff :

يأَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ تُؤْمِنُونَ بِاللهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Adakah kamu gembira jika Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih?. Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya serta kamu berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa ragamu. Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya

Ketika meniti kejayaan Rasululllah s.a.w dalam mendirikan Daulah Islamiah yang gemilang di Madinah Munawwarah maka kerja dan perancangan ke arah itu bukanlah dengan jalan yang mudah termasuk dalam menawarkan kehebatan dan keadilan Islam kepada masyarakat Arab pada masa itu dengan melawat khemah-khemah pemimpin Arab yang datang ke Mekah untuk menunaikan haji bagi menyebarkan dakwah Islam di mana pelbagai jawapan yang diterima hasil daripada usaha yang tidak pernah mengenal erti putus asa itu. Pemimpin Bani ‘Amir sebagai contohnya mahukan janji kesenangan dunia yang dapat dilihat dengan mata sekiranya Islam menang lalu Nabi SAW meninggalkannya.

Golongan yang lebih mementingkan wang daripada Islam, mementingkan dunia daripada agama terus wujud hingga hari ini sehingga ramai yang boleh dijual beli seumpama binatang malah lebih murah daripada itu kerana bagi golongan ini iman dan Islam tiada nilai berbanding wang dan dunia. Sebab itulah Imam Abu Hanifah pernah berwasiat bahawa tiga golongan yang biasanya tecabut imannya ketika mati iaitu:

[1] tidak bersyukur dengan nikmat iman yang dianugerahkan kepadanya

[2] tidak berasa gerun dengan keadaan hari matinya nanti akibat terlalu asyik dengan godaan dunia

[3] suka berbuat zalim kepada manusia

Seterusnya Nabi bertemu dengan pemimpin Bani Syaiban yang mengakui Islam adalah benar tetapi bila mendengar kalimah syahadah lalu dia menyatakan bahawa dia tidak mahu mengucapnya kerana yakin bahawa Islam boleh menyebabkan mereka diperangi bukan sahaja oleh puak Arab malah oleh kuasa besar dunia. Golongan seperti ini juga terus wujud hingga hari ini di mana mengakui kehebatan sistem Islam tetapi takut untuk berjuang apatah lagi berkorban kerana bimbang diperangi oleh kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat atau takut dibuang kerja, diturun pangkat dan sebagainya.

Golongan yang mesti kita contohi ialah pemimpin Aus dan Khazraj dari Madinah yang bukan sahaja menerima Islam malah sanggup bersumpah taat setia dalam mempertahankan Nabi disamping sanggup menjadikan Madinah sebagai Daulah Islamiah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW sendiri. Golongan seperti inilah yang kita mesti lahirkan sehingga dapat memastikan sistem Islam dapat dilaksana

Firman Allah dalam ayat  91 surah al-Maidah :

إِنَّمَا يُرِيدُ الشَّيْطَانُ أَن يُوقِعَ بَيْنَكُمُ الْعَدَاوَةَ وَالْبَغْضَاء فِي الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ وَيَصُدَّكُمْ عَن ذِكْرِ اللهِ وَعَنِ الصَّلاَةِ فَهَلْ أَنتُم مُّنتَهُونَ

Maksudnya : Sesungguhnya Syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi, dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?

Ketika kuasa pemerintahan telah ada dengan terdirinya Daulah Islamiah di Madinah maka antara perkara yang dibuat oleh Rasululllah SAW ialah mengharamkan arak dan judi di mana kedua-dua najis dan senjata syaitan ini merupakan penyebab utama kepada kerosakan akhlak dan jenayah dalam sesebuah negara. Suatu kertas kerja yang pernah dibentangkan oleh bekas Ketua Polis Kelantan pada 2007 telah mencatatkan bagaimana Selangor walau pun nisbah setiap seorang anggota polis perlu menjaga 200 orang rakyat tetapi kadar jenayahnya paling tinggi dalam negara berbanding Kelantan di mana seorang anggota polis terpaksa mengawal 435 orang rakyat mencatat jenayah paling rendah dalam negara. Antara punca utama ialah Selangor terlalu bebas penjualan arak, banyak kelab malam dan pusat judi serta meluasnya amalan rasuah. Inilah bahayanya bila tempat dan aktiviti yang merosakkan akhlak hidup subur sedangkan tempat dan majlis ilmu semakin dikepung menyebabkan suasana yang menakutkan semakin bertambah. Sebab itu tidak hairan  bila seorang tauke judi Genting Highland mati maka kebanyakan pemimpin Melayu, akhbar, tv, radio meratap sedih kehilangannya sedangkan bila seorang bekas mufti Selangor iaitu al-Marhum Ustaz Ishak Baharum meninggal dunia hanya sedikit berita mengenainya. Semoga roh al-Marhum ditempatkan bersama golongan soleh. Begitu juga berkenaan artis yang mati turut diberi liputan yang meluas berbanding ulama’ yang banyak berjasa. Ini tidak pelik kerana hasil negara banyak daripada judi begitu juga akhbar seperti Berita Harian, Utusan Malaysia, Metro mengaut keuntungan ratusan juta hasil daripada menyiarkan keputusan judi.

Inilah tanda akhir zaman bila ahli maksiat dipuja manakala ahli ibadat pula dipandang hina, orang jahil dipuji orang alim dikeji, orang fasik dijulang orang soleh ditendang, jahiliah diangkat Islam disekat.

Firman Allah dalam ayat  87 surah al-Qasas :

وَلاَ   يَصُدُّنَّكَ عَنْ آيَاتِ اللهِِ بَعْدَ إِذْ أُنزِلَتْ إِلَيْكَ وَادْعُ إِلَى رَبِّكَ وَلاَ  تَكُونَنَّ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya : Dan janganlah sekali-kali mereka dapat menghalangmu dan (menyampaikan) ayat-ayat Allah sesudah ayat-ayat itu diturunkan kepadamu. Dan serulah mereka kepada (jalan) Tuhanmu dan janganlah sekali-kali kamu termasuk mereka yang mempersekutukan Allah.

(Intisari Khutbah di nukil dari  ekhutbah January 7 2012)

20 January 2012 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Menjadi pemimpin adalah kerja yang amat berat mengapa ada yang tergila gila merebutnya?

Pemimpin yang sebenarnya yang menetapi kehendak al Quran dan Hadis hanya berlaku keatas beberapa pemimpin pilihan Allah sahaja.Memang jarang ada pemimpin yang baik lagi adil selepas Rasulullah SAW.Namun kalau ada pemimpin yang baik seolah olah jadi sunatullah tidak panjang umurnya pula. Macam bunga asli tidak lama kembangnya dan cepat pula layu.Tetapi bunga plastik bunga palsu memang tahan lama dengan kepalsuannya.

Menjadi pemimpin yang baik adalah kerja yang amat berat.Perlu berlaku adil dan bertanggung jawab bukan sahaja terhadap semua manusia dan semua makhluk di atas bumi bahkan perlu bertanggung jawab juga di hadapan Allah.Namun mengapa jawatan pemimpin tetap jadi rebutan? Sepatutnya kita bersyukur dan berundur kalau ada orang yang lebih baik dari kita nak memimpin.Umpama kita di cabar terjun kedalam laut dalam untuk menangkap jerung.Tentu kita tak sanggup? Kalau ada orang lain yang boleh terjun tentu kita rasa legakan? Begitulah untuk menjadi pemimpin yang adil.Hakikatnya jauh lebih susah dari menangkap jerung itu.

Di sini saya paparkan contoh pemimpin yang adil yang amat sulit dan amat berat untuk melaksanakan.Semoga kita di anugerahkan Allah dengan seorang pemimpin saperti ini.

Pemimpin contoh yang saya maksudkan ialah Khalifah Umar Abdul Aziz.

Sebelum dilantik menjadi khalifah, Umar Abdul Aziz memakai wangi wangian dari jenis yang terbaik, duduk di atas singgahsana yang megah, memakai pakaian yang mahal mahal dan mewah, menikmati makanan yang enak, menunggang kuda yang paling elok dan terbaik dan mempunyai pendapatan yang lumayan.Tetapi setelah di lantik menjadi khalifah semuanya (hartanya) di wakafkan jadi milik negara.Waktu beliau di lantik sebagai khalifah beliau berpesan “Kalau saya melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kebenaran, tinggalkan, jangan ikut dan tetaplah dengan berpegang teguh dengan kebenaran itu saja”.

Setelah dilantik menjadi khalifah dia memanggil isterinya dan berkata bahawa dia tidak dapat lagi menjadi suami yang baik, lalu suruh pilih sama ada hendak hidup susah bersamanya atau bercerai.Isterinya memilih untuk bersusah payah bersama Khalifah Umar dan seluruh perhiasan dan intan permata yang diberi oleh ayahnya diserahkan kebaitulmal.

Isterinya menceritakan “Dia (Umar Abdul Aziz) mengingat Allah ditempat tidur.Tubuhnya gementar laksana seekor burung pipit yang kesejukan kerana takutnya kepada Allah. Bahkan kadang kadang aku (isterinya) berkata kepada diriku sendiri: Jangan jangan esok pagi, di saat semua orang mulai bangun, mereka telah kehilangan khalifah mereka.”

Isterinya juga berkata “Demi Allah dia bukanlah orang yang paling rajin melakukan solat dan puasa tetapi demi Allah, aku tidak pernah melihat orang yang lebih takut kepada Allah daripadanya.”

Langkah awal pemerintahannya, dia bertindak melantik 10 orang ulama yang soleh dan terkemuka sebagai anggota majlis penasihat.Pada mesyuarat majlis yang pertama Umar berpesan:

“Saya ajak tuan tuan berkumpul di mesyuarat ini adalah untuk melaksanakan suatu tugas yang di janjikan beroleh pahala dari Tuhan.Tuan tuan akan menjadi pembantu saya dalam menegakkan kebenaran atas nama Allah.Saya berharap seandainya tuan tuan melihat tindakkan saya nanti bertentangan dengan hukum Allah, ingatkan saya dan tunjuk ajar saya kejalan yang benar.”

Seorang ulama terkenal bernama Said bin Musaiyab sebelum ini tidak mahu menjejak kaki ke istana untuk berjumpa dengan amir atau khalifah, tetapi sebaik sahaja Umar Abdul Aziz menjadi khalifah dia datang dan selalu menghadiri majlis khalifah dan berbincang mengenai pelbagai masaalah umat.

Pada hari kedua beliau menjadi khalifah satu upacara diadakan dengan beliau di jemput menaiki kuda yang di hiasi dengan mewah.Tetapi beliau mengarahkan segala kemewahan itu di masukkan ke Baitumal dan digantikan dengan sehelai tikar yang beliau hamparkan di atas tanah dan duduk di atasnya.

Lalu Khalifah Umar berkata “Ketahuilah aku bukan seorang yang membuat keputusan,aku hanyalah orang yang melaksanakannya.Aku bukanlah orang yang membuat peraturan baru tetapi sekadar mengikuti peraturan itu dan aku bukanlah orang yang paling baik di antara kamu.Aku tidak ada bezanya dengan kamu.Cuma akulah orang yang paling berat beban dan tanggungan di antara kamu.”

Pada suatu hari dia menerima surat dari gabenornya di Khurasan yang meminta izin untuk menggunakkan kekerasan terhadap penduduk disana yang memberontak.Tetapi khalifah Umar memberi jawapan bahawa yang dapat membaiki mereka adalah keadilan dan kebenaran.

Ada orang yang menyarankan kepadanya supaya mengeluarkan sejumlah wang yang besar untuk menukar kiswah (kain menutup Kaabah).Tetapi dia berkata wang itu lebih baik diberikan kepada mereka yang sedang kelaparan.

Semasa pemerintahan khalifah yang terdahulu, sebuah gereja dirobohkan dan di gantikan dengan masjid.Semasa pemerintahan Khalifah Umar, kaum nasrani mengadu akan hal ini.Khalifah Umar segera memerintahkan masjid itu di robohkan dan di gantikan semula dengan gereja semula.Hal ini menimbulkan kontrovesi di kalangan ulama waktu itu. Mereka menemui Khalifah supaya menimbang semula keputusannya.Tetapi khalifah Umar tetap bertegas.Justeru itu ulama mengajak pendeta nasrani berbincang.Akhirnya semua bersetuju masjid dikekalkan dan diberi tapak baru untuk pembinaan gereja.Khalifah Umar amat bersyukur dan merestui keputusan itu.

Semasa khalifah Umar Abdul Aziz meninggal dunia seorang rahib kristian menangis tersedu sedu sehingga menghairankan pengikutnya.Apabila ditanya kenapa? Rahib itu bekata bahawa seorang raja yang adil telah meninggal dunia.Semasa kahlifah Umar sakit seorang rahib kristian juga datang untuk merawat dan mengubatinya.

18 January 2012 Posted by | Bersama Tokoh, Politik dan Dakwah, Renungan & Teladan, Tazkirah | | 1 Comment

Ciri ciri Aqidah yang Sahih

“Katakanlah (wahai Muhammad) “Hai orang orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah.Dan kamu tidak akan mahu menyembah (Allah) yang aku sembah.Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat.Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat.Bagi kamu agama kamu.Dan bagiku agamaku”. (Surah al Kafirun ayat 1- 6)

“Sampaikan secara berterus terang akan apa yang diperintahkan kepadamu (wahai Muhammad) dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir Musyrik itu”. (Surah al- Hijr ayat 94)

Firman Allah Taala ini adalah menjadi dalil bahawa aqidah yang sahih tidak bertolak ansur dalam menanamkan keimanan dan tauhid ke dalam hati seseorang manusia.dan tidak memperdulikan sebarang usaha daripada orang orang yang tidak bertanggungjawab yang cuba hendak memesongkan aqidah dan keimanan seseorang.

CIRI CIRI AQIDAH YANG SAHIH ITU IALAH:

  1. Percaya kepada Allah, malaikat, malaikat Nya, rasul rasulNya, kitab kitab Nya, hari akhirat, qadha’  dan qadar yang menjadi rukun iman.
  2. Aqidah yang berlandaskan dalil dalil syariah dari al Quran dan al Sunnah yang menjadi asas agama Islam.
  3. Amal ibadat seseorang itu hanya sah dan terima Allah adalah ibadat yang terbit dan datang dari aqidah yang sahih.
  4. Amal ibadat yang bukan terbit dari aqidah yang sahih adalah sia sia sahaja, iaitu tidak mendapat apa apa balasan daripada Allah.
  5. Ciri ciri aqidah yang sahih ialah mentauhidkan Allah, iaitu mengiktikadkan dengan iktikad yang pasti dan tetap, Allah Taala itu Maha Esa dan tidak ada yang berhak disembah selain daripada Allah.
  6. Sesuatu amalan dan ibadat yang diterima Allah ialah amalan dan ibadat yang dikerjakan semata mata kerana Allah secara khudhu, rughbah,ruhbah,hunnulillah,tazallul, dan ikhlas.
  7. Ciri ciri aqidah yang sahih juga tidak bertolak ansur dalam penghayatan aqidah yang berlandaskan al Quran dan al Sunnah supaya orang orang yang beriman dan Islam tetap di atas dasar tauhid.
  8. Sikap tidak bertolak ansur dalam penghayatan aqidah yang sahih merupakan suatu ketegasan dalam mempertahankan agama Islam dan aqidah sahih itu.
  9. Rasulullah SAW dengan kekuatan aqidahnya secara berterus terang dan berani menentang dan menolak cadangan kafir Quraisy dan kaum Musyrikin yang mengajak Baginda menyembah berhala mereka.
  10. Aqidah yang sahih adalah aqidah yang berlandaskan “al Quran dan al Sunnah” uang diistilahkan “aqidah ahli al sunnah wal jamaah  iaitu iktikad yang mengikut iktikad Nabi Muhammad SAW dan kumpulan orang ramai.

(Sumber: Kitab Aqidah Ahli Sunnah Waljamaah oleh Haji Said Haji Ibrahim mantan Mufti Negeri Sabah)

15 January 2012 Posted by | Aqidah | 2 Comments

Yahudi DiPuja Umat Merana

Firman Allah dalam ayat 28 – 29  surah Ibrahim :

أَلَمْ تَرَ إِلَى الَّذِينَ بَدَّلُوا نِعْمَتَ اللَّهِ كُفْرًا وَأَحَلُّوا قَوْمَهُمْ دَارَ الْبَوَارِ جَهَنَّمَ يَصْلَوْنَهَا ۖ وَبِئْسَ الْقَرَارُ

Maksudnya : Tidakkah engkau lihat dan merasa hairan terhadap orang-orang yang menukar kesyukuran nikmat Allah dengan kekufuran dan telah menempatkan kaum mereka dalam kebinasaan. Iaitu neraka jahannam yang mereka akan menderita bakarannya dan ingatlah seburuk-buruk tempat tetap ialah neraka jahannam

Kini kita telah berada pada bulan Safar di mana banyak peristiwa penting  yang  pernah berlaku pada bulan ini antaranya Peristiwa berdarah ar-Raji’ yang telah berlaku pada bulan Safar tahun 4 Hijrah di mana beberapa wakil daripada qabilah ‘Adal  dan Qarah telah datang menemui Rasulullah s.a.w untuk meminta agar menghantar beberapa orang sahabat bertujuan bagi mengajar al-Quran dan hukum-hakam agama atas dasar di tempat tinggal mereka yang bernama ar-Raji’ terdapat  sambutan yang baik kepada ajaran Islam. Lalu Rasulullah sa.w menghantar 6 orang sahabat (menurut riwayat imam Bukhari 10 orang sahabat) di mana Mar’id bin Abi Mar’id dilantik menjadi ketua kepada rombongan pendakwah tersebut. Malangnya apabila sampai di ar-Raji’, rombongan pendakwah ini telah dikepung oleh tentera musuh yang sememangnya memasang perangkap untuk menculik pendakwah Islam bagi diserahkan kepada kafir Quraisy Mekah bagi tukaran termasuk membebaskan tawanan perang. Sebahagian besar rombongan pendakwah ini tidak mahu menyerah diri kepada musuh sehingga gugur syahid. Manakala 3 yang sanggup menerima syarat musuh pula telah dijual kepada kafir Quraisy dan turut gugur syahid dibunuh oleh pembeli mereka yang sememangnya benci terhadap Islam.  Peristiwa ini memberi pengajaran besar kepada kita semua bagaimana dalam memperjuangkan Islam mesti berdepan dengan pelbagai helah musuh termasuk diculik dan dipaksa untuk belot kepada perjuangan Islam. Hanya golongan yang benar-benar teguh iman dan kesabarannya sahaja yang tidak akan sekali-kali menjual agama dengan dunia, tidak mengkhianati amanah rakyat demi kepentingan diri sendiri

Sejarah Islam turut mencatatkan bagaimana bulan Safar tahun 656 Hijrah, tentera Tartar Monggol yang berasal dari hujung negara China yang diketuai oleh Halagu telah datang menyerang Kota Baghdad dan menghancurkannya sehingga jatuhnya Kerajaan Abbasiyah setelah 5 kurun memerintah berpusat di Baghdad  yang ketika itu diperintah oleh al-Musta’sim. Kejatuhan kerajaan Islam itu akibat perpecahan umat Islam, ajaran Islam yang menyeluruh diabaikan sehingga ramai yang hanyut dengan hiburan yang melalaikan. Malah ada seorang menterinya yang dikenali dengan ’Alqami telah berpaling tadah dengan meminta pertolongan daripada Halagu pemimpin tentera Tartar untuk menyerang Baghdad. Kita dapat melihat bagaimana perbuatan berpaling tadah dan belot daripada perjuangan sentiasa berlaku sekiranya berjuang untuk dapat kuasa dan harta tetapi ia jarang berlaku apabila diikat kukuh dengan ikatan aqidah yang kuat. Oleh itu kita mesti berhati-hati dalam memilih wakil atau pemimpin kita supaya tidak diserahkan kepada golongan yang sanggup menggadai maruah apatah agama demi keuntungan dunia dan nafsunya.

Pertembungan antara iman dan kufur terus berlangsung, pertentangan antara Islam dan jahiliah terus berlaku, percanggahan antara hak dan batil terus terjadi. Oleh itu kita umat Islam tidak mempunyai masa untuk berehat kerana tugas kita lebih banyak daripada masa yang ada. Hadapan kita ada antara dua pilihan samada berjuang atau hidup sebagai hamba kepada musuh Islam, kembali kepada sistem Islam atau menjadi penyembah kepada sistem musuh Islam. Akhirat pula kita akan mendapat balasan Syurga jika berjuang untuk Islam sebaliknya menjadi bahan bakaran api neraka sekiranya menjadi petualang yang mengkhianati agama.

Kita dapat lihat sendiri bagaimana zionis yahudi telah merancang lebih 100 tahun untuk menguasai dunia iaitu bermula pada tahun 1897 hingga kini di mana mereka telah membahagikan kepada 2 fasa. Fasa pertama bermula tahun 1897 hingga 1947 yahudi mesti mempunyai sebuah negara berdaulat dimana ia telah berjaya dengan terdirinya negara haram Israel di bumi Palestin pada tahun 1948. Cuma fasa kedua iaitu 1947 hingga 1997 untuk menguasai seluruh dunia dengan terdirinya Israel Raya belum lagi berjaya sehingga tersasar hampir 12 tahun. Yahudi antaranya menggunakan formula 5F dalam menghancurkan umat Islam iaitu :

[1] Filem dimana bukan sahaja yahudi dapat mengaut keuntungan malah merosakkan aqidah Islam sehingga adanya laporan suatu kajian ilmiah yang dijalankan di mana ramai remaja Islam yang terlibat dengan pemujaan Syaitan seperti Black Metal, Jangan Ikut Tuhan (JIT) dan sebagainya antaranya disebabkan pengaruh filem. Begitu juga seks bebas dan sikap negatif yang ditanam melalui filem tajaan yahudi.

[2]Famili (keluarga) dengan menanamkan budaya hidup bebas dalam keluarga Islam sehingga berleluasanya perbuatan bersedudukan dengan suami atau isteri orang, anak-anak dibiarkan mendedah aurat dan bergaul bebas tanpa batasan

[3]Fesyen pakaian dengan memperkenalkan fesyen yang mendedah aurat dan mengghairahkan di mana setiap fesyen yang ditayangkan melalui filem terus dipasarkan secara meluas dengan harga yang murah. Umat Islam terus memakai pakaian yang menjolok mata dengan perasaan bangga kerana dianggap memakai pakaian mengikut peredaran masa dan zaman. Pakaian yang mengikut kehendak syarak dihina malah diperangi habis-habisan sehingga pernah berlaku pekerja yang bertudung dibuang kerja, larangan memakai serban di tempat kerja dan pengajian sehingga ada pelajar sekolah dipecat. malah akhir-akhir ini penunggang motosikal yang berserban dipandang seperti penjenayah berbanding mat rempit. Keadaan ini amat membahayakan kerana kita sedia maklum bahawa undang-undang jalanraya membenarkan umat Islam memakai serban semasa menaiki motosikal tetapi akibat tafsiran makna lebai yang kabur menyebabkan sesiapa yang tidak diakui sebagai lebai akan disaman sedangkan sijil atau dokumen untuk lebai belum pernah dikeluarkan oleh mana-mana agensi atau jabatan. Kita doakan semoga tafsiran makna lebai lebih mesra Islam bukannya berada bawah tempurung sekuler yang lebih hormat serban sikh daripada Islam. Begitu juga ketika orang yang tidak menutup aurat dikenakan tindakan seperti saman maka bangkitnya pejuang hak asasi manusia dalam membela mereka sedangkan bila pakaian yang disuruh oleh agama dihina dan disekat pemakaiannya maka tiada siapa yang bangkit secara bersama untuk mempertahankannya. Masyarakat telah diyahudikan pemikiran dan cara berpakaiannya sehingga Islam ditendang jahiliah dijulang. Ingatlah amaran nabi s.a.w melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Said al-Khudri:

قال الرسول e  : لَتَتَّبِعُنَّ سُنَنَ اَّلذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاٍع حَتَّى لَوْدَخَلُوْا فِى حُجْرِ ضَبٍّ لاتبَّعْتُمُوْهُمْ قُلْنَا : يارسولَ الله آليَهُوْدُ وَالنَّصَارَى؟. قَالَ : فَمَنْ ؟

Maksudnya: Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka memasuki lubang dhob nescaya kamu pun akan turut mengikuti mereka. Para sahabat bertanya : “ Ya Rasulullah! Adakah Yahudi dan Nasrani?. Nabi bersabda: Siapa lagi kalau tidak mereka

Senjata yahudi ke-[4] ialah Fun (hiburan) di mana hiburan yang melampau terus dihidupkan sehingga banyak masa umat Islam dihabiskan untuk berbincang perkara berkenaan artis dan filem sedangkan masalah yang besar diabaikan. Umat Islam berasa senang hati untuk hadir program hiburan serta merasakan suatu siksaan dan deraan bila diminta menghadiri majlis keagamaan dan program dalam menggerakkan kerja-kerja Islam

[5] Food (makanan) di mana umat Islam kini lebih berselera untuk menjamu makanan yang dihasikan oleh jenama yahudi dan sekutunya berbanding produk umat Islam sendiri. Kita mesti sedar bagaimana adanya usaha mengedarkan gandum yang diproses di Israel yang dicampur dengan bahan untuk memandulkan manusia. Pernah berlaku di Mesir dan Jordan pengedaran telur ayam Israel yang disuntik ubat mandul. Jangan biarkan kita mandul semangat melawan Israel dan mandul keturunan kerana banyak menjamu selera makanan dan minuman yahudi. Renungilah suatu petikan kitab yahudi :“Angka kelahiran orang bukan Yahudi harus dikurangkan sekecil mungkin.”  ………Firman Allah dalam  ayat 45 surah al-Anfal:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا لَقِيتُمْ فِئَةً فَاثْبُتُوا وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu memerangi pasukan musuh maka teguhkan hatimu dan sebutlah nama Allah sebanyak-banyaknya agar kamu beroleh kemenangan

(Intisari Khutbah di nukil dari  ekhutbah January 8 2012)

13 January 2012 Posted by | Tazkirah | | Leave a comment

Mengenali Puak Khawarij Moden

 

 

Dalam sejarah, Puak Khawarij adalah asalnya sekumpulan orang Muslim yang pada mulanya menyokong Saidina Ali Abu Talib tetapi kemudian menolak kepimipinannya.Maka boleh lah kita mengambil pengertian bahawa maksud khawarij ialah : kumpulan orang Muslim yang keluar dan mengistiharkan penentangan terhadap penguasa atau pemerintah Muslim yang dulunya mereka sokong dengan melabelkan diri mereka lebih Islamik.(Namun pengertian ini mungkin tidak tepat kerana ada bermacam tafsiran lagi yang boleh di dapati dalam kitab kitab,buku dan kamus).Saya guna istilah tersebut dengan harapan boleh mempermudahkan fahaman sidang pembaca.

 

Ulama dan kerajaan negara Islam hari ini melabelkan kumpulan pengganas yang membunuh orang yang tidak berdosa sebagai golongan “Khawarij Moden” kerana golongan pengganas seperti ini menghalalkan darah orang kafir dan orang Islam yang mereka hukum kafir melalui Takfir.

 

*(Takfir atau Takfeer adalah amalan mengkafirkan atau memurtadkan seseorang atau kumpulan orang Islam.Pengistiharan takfir dibuat hanya jika seseorang Muslim itu mengisytiharkan dirinya sebagai kafir, tetapi lazimnya berlaku apabila tindakan atau kenyataan individu/kumpulan terbabit menunjukkan secara terang-terangan meninggalkan ajaran Islam. Hukum bagi mereka yang meninggalkan Islam atau murtad, mengikut tafsiran adalah bunuh. Bagaimanapun, syarat-syarat menjatuhkan hukuman takfir sangat ketat selalunya memerlukan bukti yang kukuh, dan mahkamah atau seorang alim untuk mengjatuhkan hukum takfir ke atas individu atau kumpulan terbabit).

 

Puak Khawarij di anggap tersesat dari ajaran Ahlil Sunnah Wal Jamaah.Walaupun pada zahirnya mereka kelihatan hebat dalam pengamalan beragama.

 

HADIS TENTANG KHAWARIJ.

 

Kata Abu Said al-Khudriyy r.a.:

 

Maksudnya: “Ali r.a. telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah, hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda membahagikannya kepada al-AqraIbn Habis al-Hanzaliyy, Uyainah Ibn Badr al-Fazariyy, Alqamah Ibn Ulathah al-Amiriyy dan Zaid at-Taiyy. Tetapi pembahagian itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap baginda s.a.w. lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada mereka. Mengetahui hal itu, Baginda s.a.w. menegur mereka: “Kenapa kamu tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah (agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang, sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati) mereka. Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol, berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata: “Bertaqwalah kamu kepada Allah wahai Muhammad!’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa? Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia boleh mempercayaiku atas sekelian penduduk bumi sedangkan kamu tidak percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil, sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil? Kemudian lelaki itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Izinkan aku memenggal lehernya”. Baginda s.a.w. menjawab: “Jangan, boleh jadi dia bersolat, minta dilindungi Allah daripada orang bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana dia ada pengikut”. Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap apa yang tidak dicakap oleh hatinya? Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan menebuk hati mereka. Kemudian baginda s.a.w. memandang kepada lelaki yang sedang beredar itu seraya bersabda; “Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum Ad, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. pada Hari Kiamat. Petanda hal itu ialah di kalangan mereka ada seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak. Tanda pengenalan mereka ialah at-tahliq (bercukur kepala), mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Kata Ali r.a: “Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad s.a.w.”. Kata Abu Sa’id r.a: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadith) ini daripada Rasulullah s.a.w. dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama (Khalifah) Ali Ibn Abi Talib r.a. telah membunuh mereka, lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga ia djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.”.

 

Di sini saya bentangkan di antara ciri ciri Puak Khawarij Moden.

 

Kelompok khawarij moden telah berkembang pesat ke sebahagian besar negara negara Islam seluruh dunia samada secara individu, kelompok,kumpulan atau jemaah (samada di sedari atau tidak).

 

  • Sifat Khawarij yang paling keji ialah mudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan fahaman kelompoknya.
  • Khawarij gemar mencabar secara egois, emosional,sentimen dan menyerang pemerintah (kerajaan) Islam serta penyokongnya dengan ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis lemah dan palsu serta memberi fatwa yang keliru untuk mengaburi fikiran masyarakat Islam.
  • Mereka pakar spin,memutar-belit, mentakwil, merubah maksud atau menyelewengkan tafsiran Al-Quran mengikut hawa nafsu dan akal fikiran mereka demi mencapai matlamat iaitu untuk memenuhi selera dan kepentingan mereka.
  • Mereka gemar menghalalkan cara.
  • Mereka pakar menyelindung kebatilan dengan kebenaran.
  • Mereka mengaburi masyarakat dengan slogan dan gelaran indah, seperti gelaran yang arif,ulama,mursyid dan al-allamah al-muhaddith (ulama hadith) bagi Tok Tok guru atau pemimpin mereka saperti yang berlaku dalam kumpulan Ahbash di Lubnan.

 

*(Kemunculan kumpulan Ahbash di Lubnan ketika negara itu berada dalam konflik perang saudara sama seperti puakKhawarij dahulu yang muncul ketika umat Islam berpecah belah. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Sebagaimana puak Khawarij mengambil kesempatan untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika keadaan umat Islam di zaman khalifah Ali r.a. berpecah belah, maka demikianlah juga kumpulan Ahbash mengambil peluang untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika Negara Lubnan berada dalam keadaan huru-hara akibat perang saudara).

 

  • Mereka gemar di gelar al-Muhakkimah misalnya.Diberi kerana slogan yang sering mereka laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya hanya mereka sahaja yang berhukum dengan hukum Allah.Hakikatnya semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang mereka lakukan terhadap umat Islam.
  • Perbuatan mereka yang buruk dan keji itu telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w., “Adapun sesudah itu: Sesungguhnya kamu akan melihat sikap (ahli bid’ah) yang suka menyalahkan orang lain, maka bersabarlah sampai kamu berjumpa dengan aku.” (Hadis sahih dalam As-Sunan Ibn Abi ‘Asim. No. 1102).
  • Khawarij mudah menimbulkan kekecohan, malah suka kepada pemberontakan.
  • Ingatlah! Pemberontakan terhadap pemimpin Islam adalah ditegah oleh para Salaf as-Soleh. Abu Al-Haris Ahmad bin Muhammad As-Saigh berkata, “Aku melihat Abu Abdullah (Imam Ahmad bin Hambal) mengingkari memberontak kepada pemimpin. Beliau berkata: Aku tidak menyetujui pertumpahan darah (pemberontakan) dan tidak memerintahkannya.” (As-Sunnah, hlm. 89. Hadis Riwayat Abu Bakar Al-Khallal dengan sanadnya yang sahih).
  • Muhammad Soleh Fauzan al-Fauzan hafizahullah pula berkata, “Orang-orang Khawarij menghukum pelaku dosa besar sebagai kafir yang keluar dari Islam, dan apabila mati dalam keadaan tidak bertaubat, maka ia kekal dalam neraka.” (Zahiratu Tabdi wa-Tafsik wa-Takfir wa-Zawbituha, Bab 7).
  • Atas dasar inilah golongan Khawarij menghukum kafir bagi pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud.
  • Mereka gemar menghina dan menjatuhkan maruah para ulama yang tidak sehaluan dengan mereka.
  • Dan Khawarij menghalalkan pemberontakan terhadap penguasa yang melakukan dosa besar.
  • Mereka gemar bertakalluf.Takalluf bermaksud menimbulkan persoalan yang remeh temeh dan tidak perlu

 

Banyak lagi ciri ciri Khawarij moden yang tak sempat saya paparkan di sini.

 

Kesimpulannya:

 

Berdasarkan fakta-fakta di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sesiapa sahaja individu atau kumpulan yang mempunyai ciri dan sifat seperti khawarij, maka dialah yang layak untuk digelar khawarij moden.

 

Demikian juga sebarang perkumpulan yang memiliki dasar dan pegangan yang sama dengan dasar dan pegangan khawarij, maka merekalah yang layak untuk digelar puak khawarij moden.

 

Semakin banyak aspek persamaan, maka semakin dekatlah mereka dengan golongan tersebut. Meskipun mereka juga tidak pernah mengaku mereka khawarij, namun jika ideologi dan cirinya sama, maka mereka tetap khawarij.

 

Ya, mereka adalah khawarij dari segi amalan dan pegangan, meskipun mereka bukan khawarij dari segi nama. Nama khawarij tentu tidak wujud pada mana-mana jamaah pada hari ini, kerana tiada sesiapa pun yang begitu bodoh untuk memakai nama kumpulan yang telah disepakati sebagai sesat. Tetapi amalan dan pegangan khawarij mungkin wujud sama ada dalam konteks individu atau kumpulan. Justeru, tulisan ini mengajak pembaca sekelian supaya bermuhasabah agar kita dapat menjauhkan diri, keluarga dan masyarakat daripada terpalit dengan sebarang ciri dan ideologi khawarij yang sesat dan menyesatkan itu.

 

Wallahu’alam.

 

 

 

Sumber Rujukan:

 

1.Khawarij Moden : Dr Azwira Abdul Aziz ,Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangiyang beliau bentangkan dalam program Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.

 

2. Lain lain sumber.

 

11 January 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Matlamat Perjuangan Islam yang jelas

Setiap orang yang menyertai mana mana harakah Islam harus memahami matlamat perjuangan harakah yang disertainya.Perjuangan harakah Islamiah mestilah berpaksi kepada bermatlamat untuk menarik manusia mengabdikan diri kepada Allah samada dalam kehidupan peribadi atau bermasyarakat, samada di dalam solat atau waktu berjual beli, samada dalam pemerintahan atau dalam menegakkan keadilan dan menjatuhkan hukum dan seterusnya.

Allah berfirman maksudnya “ Dan tidaklah Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mereka mengabdikan diri kepada ku”.(Al Zariat Ayat 56)

Mengabdikan diri kepada Allah bukan terhad kepada ibadah ibadah khusus saperti solat dan puasa sahaja tetapi ia merangkumi seluruh cara hidup “way of life” .Iaitu dengan tidak ada pemisahan diantara urusan urusan hidup dunia dan di akhirat.Dalam Islam tidak ada pemisahan atau pengasingan di antara  hal hal dunia dan akhirat.Dengan erti kata Islam menolak fahaman sekular yang mengasingkan hal hal dunia dengan akhirat.

Pengabdian diri kepada Allah juga bererti menolak seluruh sistem ciptaan manusia yang membawa kepada pengabdian diri kepada Taghut saperti sistem demokrasi, kapitalisme, nasionalisme,sosialisme dan segala isme isme yang  diwujudkan oleh manusia.Sistem sistem tersebut nyata gagal dan lemah kerana tidak mampu menegakkan sifat sifat keinsanan manusia dalam menghadapi perjuangan merealisasikan nilai nilai diri manusia.Allah berfirman yang maksudnya “ Apakah (Allah) yang menciptakan itu sama dengan yang tidak menciptakan (apa apa), maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran”. (a Nahl Ayat 17)

Islam menolak sistem sistem tersebut kerana ia mencabul hak Allah ke atas manusia di dalam hal “ubudiyah dan hakimiyyah”. Allah berfirman saperti maksudnya “ Menetapkan hukuman itu hanya hak Allah”. (al-An’am Ayat 57).

 

(Sumber rujukan – Apa erti saya menganut Islam oleh Ustaz Fathi Yakan).

7 January 2012 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Mengurus anggota yang terpotong dari badan

Hari ini seorang jiran saya akan menjalani pembedahan untuk memotong kaki kanannya  hingga keparas atas kepala lutut akibat penyakit diabates (kencing manis).Bagaimana nak uruskan kaki yang dah di potong itu?

Jawapan:

Anggota yang terpotong dari badan seseorang ketika ia masih hidup, yang dituntut untuk dilakukan ialah membalutnya, kemudian menanamnya sebagai menghormati jasad manusia. Adapun membasuhnya, diharuskan tetapi tidaklah diwajibkan mahupun disunatkan. Tidak disyariatkan menyembahyangkannya. Hukumnya sama seperti bayi yang keguguran sebelum usianya 6 bulan dan tidak lahir bernyawa; ia hanya perlu dibalut dan ditanam, harus memandikannya dan tidak perlu disolatkan.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Al-Majmu’, Imam an-Nawawi, kitab al-Janaiz, bab as-Solati Ala al-Mayyit (5/254).
2. Mughni al-Muhtaj, Imam al-Khatib as-Syirbini, Kitab al-Janaiz (4/266).

Oleh: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL – SU Panel Syariah HPA.

1 January 2012 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: