Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

KUMAN ITU BANGSA JIN?

KUMAN ITU BANGSA JIN???

Dr Hj Mahyuddin Bin Ismail

(Petikan daripada Majalah Al-Islam Bulan Januari 2016)

Pendahuluan

Kuman itu bangsa jin? Kedengaran agak pelik. Bila masa pula kuman ini dikategorikan sebagai jin? Saintis mana yang kata macam tu? Buku mana yang dirujuk? Mungkin itu antara reaksi para pembaca. Untuk makluman anda, ini sebenarnya hipotesis atau andaian yang boleh jadi benar, dan boleh jadi tidak benar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, alam jin dan syaitan merupakan alam ghaib yang tidak dapat kita capai melalui pancaindera. Maka, maklumat yang paling tepat tentang alam ini perlu datang dari Tuhan Yang Maha Pencipta. Mungkin melalui analisa yang mendalam terhadap apa yang disabdakan oleh para Nabi dan RasulNya, mampu membuka satu dimensi dan rahsia baru dalam dunia perubatan.

Bentuk dan Jenis Jin

Kejadian jin tidak sama dengan kejadian manusia. Ia dijadikan dari lidah api dan sifatnya boleh berubah-ubah. Sesetengahnya boleh menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Mereka juga mempunyai pelbagai kategori dan kebolehan yang tertentu. Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al Bukhari dan Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda:

Jin terdiri daripada tiga golongan: Golongan yang mendapat pahala dan juga siksa, golongan yang berterbangan di antara langit dan bumi, dan golongan yang berupa ular dan anjing.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim dari Abu Thalabah al Khisyni r.a, Rasulullah SAW bersabda:

Jin terdiri dari tiga golongan: Golongan yang bersayap terbang di udara, golongan yang berupa ular serta anjing dan golongan yang menetap dan berpindah randah.

Maka, tidak hairanlah jika ada riwayat tentang kisah para Nabi, sahabat dan alim ulama yang terserempak dengan jin dalam keadaan mereka berbentuk seperti manusia, haiwan dan binatang, atau bentuk lain seperti bayangan, lembaga hitam, hantu dengan rupa yang menyeramkan dan pelbagai lagi. Justeru, jelas kepada kita bahawa jin itu mempunyai bentuk dan kebolehan yang tertentu.

Jin dan Syaitan Memasuki Tubuh Manusia

Antara kebolehan yang dimiliki oleh makhluk jin ialah kemampuan memasuki dan bergerak dalam tubuh manusia melalui salur darah. Sabda Rasulullah S.A.W. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Sesungguhnya syaitan itu berlari (bergerak bebas) di dalam tubuh anak Adam melalui saluran darah.

Dalam surah Sad, ayat 41, terdapat kisah tentang nabi Ayub a.s. yang diganggu fizikalnya melalui kemasukan syaitan ke dalam tubuh baginda sehingga menimbulkan pelbagai penyakit. Firman Allah SWT:

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami, Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kesusahan dan azab seksa (penyakit)”.

Melalui pengalaman merawat pesakit, boleh dikatakan bahawa sebahagian besar gangguan pada fizikal dan mental manusia bermula apabila makhluk jin mula memasuki dan menyerap ke dalam tubuh mangsa. Penyerapan ke dalam tubuh manusia ini berlaku kerana makhluk ini mempunyai tubuh yang halus dan menyerupai angin. Menurut guru saya, Dr Haji Jahid Sidek, oleh kerana asal kejadian jin dan syaitan daripada api, maka jasad mereka hanya terdiri dari dua unsur iaitu api yang bersifat panas dan angin yang bersifat halus (yang tidak boleh dilihat tapi dapat di rasa). Manakala dalam Kitab Al-Rūh, Ibnu Qayyim al-Jawziyyah menggambarkan penyerapan jin ke dalam tubuh manusia umpama serapnya air ke dalam batang kayu atau ke dalam awan, serapnya kepanasan api dalam besi, atau serapnya makanan ke dalam badan.

Bagaimana Syaitan dan Jin Memasuki Tubuh Manusia?

Terdapat beberapa hadis yang mengandungi pesanan oleh Rasulullah SAW untuk mencegah kemasukan syaitan atau jin ke dalam jasad anak adam. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Jika seseorang dari kalian menguap, maka tutuplah mulut dengan tangannya kerana sesungguhnya syaitan masuk (ke dalam mulut yang terbuka).

Secara tidak langsung, kita dapat mengetahui bahawa jin dan syaitan masuk ke dalam tubuh kita melalui mulut. Baginda juga menyuruh agar makanan dan minuman ditutup tidak dibiarkan terdedah kerana dibimbangi akan dimasuki syaitan dengan sabdanya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Diriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda: Tutuplah bekas-bekas makanan dan ikatlah kantung air kamu, kuncilah pintu-pintu dan padamkan lampu-lampu. Sesungguhnya syaitan tidak akan membuka kantung minuman yang diikat, pintu yang dikunci dan juga bekas makanan yang ditutup.

Berdasarkan hadis di atas, kita dapat maklumat bahawa jin dan syaitan turut memasuki mana-mana bekas makanan dan minuman yang tidak ditutup. Penemuan sains dan perubatan moden menunjukkan bahawa makanan atau minuman yang terdedah akan mudah dimasuki kuman dan bakteria. Kuman dan bakteria ini biasanya akan dibawa masuk dan disebar melalui serangga dan haiwan melata seperti nyamuk, lipas, tikus, cicak dan lalat yang tinggal di tempat-tempat kotor seperti longkang, tandas dan tong sampah. Tempat-tempat yang kotor dan busuk merupakan antara kawasan yang disukai dan dihuni oleh jin dan syaitan. Justeru, adakah persamaan sifat dan habitat jin dan syaitan dengan kuman itu merupakan suatu kebetulan? Bahkan, serangga yang menjadi agen penyebaran kuman ini kebanyakkannya keluar di waktu senja, iaitu saat syaitan keluar berkeliaran dan beroperasi. Sabda Nabi Muhammad SAW dalam Shahih Muslim:” Apabila seorang itu memasuki rumahnya dan mengingati Allah (dengan membaca Bismillah) ketika memasukinya dan ketika ingin makan, maka syaitan akan berkata kepada golongannya: “Tiada tempat untuk bermalam dan tiada makan malam untuk kita semua di sini”. Sebaliknya apabila seorang itu memasuki rumah dan tidak mengingati Allah ketika memasukinya, syaitan berkata kepada golongannya: “Kita telah mendapat tempat untuk bermalam.”

Suatu persoalan yang menarik untuk difikirkan juga ialah adakah serangga yang melata itu, yang bertindak sebagai agen penyebaran kuman dan bakteria, adalah tunggangan jin?

Kuman dan Jin Menurut Ulama

Dalam memperkatakan perihal kuman dan bakteria ini, Syeikh Rashid Ridha menyatakan dalam kitab al Tafsir wa al Mufassirun, halaman 585:

Dan Ahli ilmu kalam (Tauhid) berkata: Sesungguhnya jin itu adalah (makhluk Allah) yang hidup, bertubuh halus dan tidak boleh dilihat. Dan sesungguhnya di dalam kitab Tafsir Al Manar, telah kami nyatakan berkali-kali bahawa: “Makhluk Allah yang hidup, bertubuh halus, yang dikenali di zaman ini sebagai mikroorganisma menerusi mikroskop, adalah sebenarnya satu jenis dari bangsa jin. Dan telah pun terbukti bahawa ianya merupakan antara punca bagi kebanyakan penyakit.

Kuman dan bakteria adalah unsur luar yang tidak dikenali yang memasuki tubuh manusia sama ada melalui udara, air atau sentuhan pada kulit dan bergerak di dalam tubuh badan manusia melalui salur darah lalu menempati di sel-sel serta organ-organ dalaman.  Ini adalah bersamaan dengan sifat kejadian jin yang halus dan boleh mengubah bentuk mengikut keadaan. Ia boleh memasuki tubuh manusia melalui rongga tubuh yang terbuka dan terdedah seperti mulut atau hidung mahupun liang-liang roma. Fakta ini mempunyai persamaan dengan hasil kajian perubatan moden yang mendedahkan punca bagaimana sesuatu penyakit yang merebak iaitu antaranya melalui udara, sentuhan mahupun makanan yang tercemar.

Kuman Adalah Sebahagian dari penyebab Penyakit

Dalam kitab Al Muwatta karangan Imam Malik, beliau mendengar riwayat bahawa Saidina Umar hendak pergi ke Iraq. Lalu Ka’ab al Ahbar menasihatkan kepadanya dengan berkata:

“Wahai Amirul Mu’minin! janganlah engkau ke sana kerana di sana sembilan persepuluh sihir dan di sana juga ada kumpulan jin yang fasik serta wabak penyakit yang berjangkit.”

Sebenarnya, terdapat dua unsur penting yang ada pada jasad manusia yang banyak mempengaruhi kesihatan seorang manusia iaitu air dan darah. Fungsi darah ialah untuk menyalurkan oksigen ke otak dan bahagian-bahagian tubuh lain manakala air sebagai bendalir untuk penghasilan cecair-cecair enzim di dalam tubuh dan membantu sistem perkumuhan. Sekiranya salah satu unsur ini kurang atau terjejas akibat jangkitan kuman dan  bakteria, maka ia akan memberi kesan kepada seluruh atau sebahagian anggota badan. Kita juga biasa mendengar bahawa apabila seseorang itu dijangkiti kuman, antara simptom paling awal yang dialaminya ialah demam dan panas dalam tubuh. Adakah mungkin kuman yang menjangkiti itu adalah jin kerana sifat panas itu berpunca dari jin yang dijadikan dari api? Itu persoalan yang perlu para pembaca sama-sama fikirkan.

Menghalang Kemasukan Jin dan Syaitan ke dalam tubuh

Sifat kejadian jin dan syaitan sememangnya halus dan tiada berbentuk sebagaimana kejadian api. Walau bagaimanapun, keistimewaan ini mempunyai beberapa batasan. Antaranya ialah mereka tidak dapat menembusi sesuatu yang disebutkan nama Allah (Bismillah) padanya. Nabi Muhammad SAW bersabda yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Dan kuncilah pintu-pintu kalian dan sebutlah nama Allah (dengan membaca Bismillah) kerana sesungguhnya syaitan  tidak dapat membuka pintu-pintu yang dikunci (dengan menyebut nama Allah). Ikatlah bekas-bekas air kalian dan sebutlah nama Allah, tutuplah bekas-bekas makanan kalian dan sebutlah nama Allah, walau pun (tutupan) itu sekadar meletakkan sesuatu di atasnya dan matikanlah lampu-lampu pelita kalian.

Selain bacaan Bismillah, ayat-ayat al-Quran juga boleh dijadikan sebagai jampi ruqyah. Bahkan melalui pengalaman perawat-perawat Islam, terdapat sebahagian penyakit yang berpunca dari jangkitan kuman dan virus dapat disembuhkan melalui bacaan ruqyah melalui kaedah tertentu dalam satu jangka masa yang tertentu.

Andaikata Kuman itu Bukan Jin…

Boleh jadi andaian bahawa kuman dan bakteria adalah salah satu bangsa jin mungkin tepat, dan mungkin juga sebaliknya. Kita tetap mengharapkan agar ada pihak yang boleh membuat kajian lebih mendalam terutama dari sudut klinikal dan sains moden. Melalui kajian ini, andaian tersebut boleh diputuskan sama ada tepat atau tidak. Sekiranya tidak tepat sekalipun, kita harus percaya bahawa tubuh kita ini boleh dimasuki oleh makhluk tersebut. Perkara ini dinyatakan oleh ulama terkenal, Sheikh Muhammad Mutawalli Al-Sh’arawiyy dalam kitabnya Al-Shaitan wa al-Insan, hlm. 107-108:

Sesungguhnya darah itu terdiri daripada banyak unsur-unsur yang mengalir di dalamnya seperti besi, fosfat, kalsium dan unsur-unsur lainnya sebagaimana yang telah didedahkan kepada kita melalui kajian-kajian moden. Bahkan mikrob dan kuman-kuman yang merupakan bentuk berjisim boleh menembusi kulit dan masuk ke dalam darah dan hidup dalamnya serta membiak sehingga menjadi banyak dan akhirnya terjadilah peperangan antara kuman-kuman tersebut dengan sel darah putih. Sedangkan syaitan tidak berjisim dan berbentuk lebih halus daripada kuman.

Sekiranya para pembaca mempunyai pandangan atau cadangan tentang perkara ini, maka boleh disalurkan mellaui email. Mudah-mudahan satu penerokaan terhadap persoalan kajian ini dapat membuka pelbagai lagi rahsia kejadian yang Allah ciptakan.

Sumber: http://mahyuddin09.blogspot.com/2015/12/kuman-itu-bangsa-jin.html?m=1#7s8d6f87

06/05/2023 Posted by | Informasi, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , | Leave a comment

TAKUT MASUK RUMAH YANG DAH LAMA DITINGGALKAN ATAU DAH LAMA TAK DIDIAMI

Oleh : Ustaz Wan Asrul AL- Kalantani

Ramai yang risau untuk berkunjung ke hotel, homestay dan resort untuk percutian setelah selesai Musim PKP, ALASAN?

Takut ada gangguan jin kata mereka. Rumah atau kediaman yang lama tidak diduduki akan didiami oleh jin, kata mereka lagi. Heboh khabarini. Betulkah?

No.1:

Jangan takut dengan semua itu, takut pada ALLAH. Jangan bimbang, tiada mudharat, dengan izin ALLAH Azza Wa Jalla.

No.2:

Ummar atau Awamir sejenis golongan jin yang akan masuk mendiami rumah manusia selepas 3 hari tiada manusia di dalam rumah. Tempat tinggal mereka sebenar di mana? Mereka ini tinggal di atas bumbung rumah manusia. Eh kenapa pula? Memang itu fitrah. Bayangkan mereka pun tinggal dalam rumah seperti manusia, tentunya haru biru jadinya, adil ALLAH letakkan kedudukan, supaya tidak berebut manusia dan jin. Jadi, selepas 3 hari, tiada manusia menghuni kediaman tersebut, Awamir akan masuk, untuk makluman Awamir jenis jin kebudak-budakan, sifat mereka suka bermain, itu sahaja, tidak lebih dari itu. Sebab itu mereka akan masuk ke dalam rumah manusia yang tiada penghuni. Samalah budak-budak alam manusia pun, begitu juga keadaannya. Dan mereka ini takut pada manusia, terutamanya manusia Soleh, sudah tentu.

No.3:

Jika ada kediaman yang sudah lama tidak didiami, kaedahnya mudah sahaja. Ketuk pintu isyarat kehadiran kita, ucapkan kalimat :

السَّلاَمُ عَلَيْكَ أَيُّهَا النَّبِىُّ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ
السَّلاَمُ عَلَيْنَا وَعَلَى عِبَادِ اللَّهِ الصَّالِحِينَ
“Selamat sejahtera atasmu wahai NABI dan rahmat ALLAH dan keberkatanNYA.
Selamat sejahtera atas kita dan juga hamba-hamba ALLAH yang baik-baik.”

Kemudian ucapkan Salam :

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Rumah tiada orang pun kena bagi salam juga kah? Yes of course. Merujuk Surah An Nur ayat 61 :

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً
“Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada ALLAH cara hidup yang berkat lagi baik.”

Jadi, jangan kepelikan sangat ya.

Jika hendak tambah, boleh tambah dengan doa Masuk Rumah :

اللَّهُمَّ إِنِّى أَسْأَلُكَ خَيْرَ الْمَوْلِجِ وَخَيْرَ الْمَخْرَجِ
بِسْمِ اللهِ وَلَجْنَا، وَبِسْمِ اللهِ خَرَجْنَا، وَعَلَى رَبِّنَا تَوَكَّلْنَا
Ya ALLAH, aku memohon sebaik-baik tempat masuk dan sebaik-baik tempat keluar.
Dengan nama ALLAH, kami masuk (ke rumah), dengan nama ALLAH, kami keluar (darinya) dan kepada RABB kami, kami bertawakkal.

No.4:,

Melangkah masuk ke dalam rumah dengan yaqin pertolongan ALLAH Azza Wa Jalla ada bersama kita. Sudah tentu langkah masuk dengan kaki kanan ya.

Usah kaget mencari ustaz atau paranormal hendak menghalau kononnya jin dalam rumah.

Kalian lakukan seperti kaedah di atas, selesai cerita. InsyaALLAH lancar segalanya.

Semoga bermanfaat. Wassalam..

12/06/2020 Posted by | Informasi, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , , , | Leave a comment

16 Nama Syaitan Dan Tugasnya

Berikut adalah 16 nama syaitan serta tugasnya untuk menyesatkan manusia terutamanya umat Islam.

1. Zalitun – Tugasnya menyuruh manusia gemar boros berbelanja tanpa had dan fikiran hanya ingat pada makan dan makanan.

2. Watin – Tugasnya mendekati orang yang sedang ditimpa musibah agar bersangka buruk kepada Allah.

3. A’awar – Tugasnya menggoda raja dan orang besar agar zalim, rasa takbur dengan jawatan, membiarkan rakyat tanpa dibela dan tidak suka mendengar nasihat ulama. Menghias perempuan agar lelaki segera tergoda dan menggoda wanita agar mendekati lelaki yang dilihat menarik.

4. Hafaf – Tugasnya mengajak manusia berbuat maksiat, suka minum khamar dan berfoya-foya.

5. Murrah – Tugasnya mendekati ahli muzik agar selalu lalai dan leka dan melekakan pula para pengikut mereka. Juga mengganggu ahli-ahli ibadat semasa sedang berwuduk agar membazir, yakni menggunakan banyak air untuk berwuduk.

6. Masud – Tugasnya menyuruh manusia supaya selalu mengumpat, fitnah dan adu domba, suka berdendam sesama manusia.

7. Dasim – Tugasnya memecahkan suami isteri agar suka bergaduh dan bercerai. Menyuruh manusia marah bukan pada tempatnya dan kepada marah yang membawa dosa. Juga menampakkan cela adik-beradik sehingga mudah bertengkar dan bermasam muka.

8. Walahan – Tugasnya menimbulkan rasa was-was dalam beribadat, khasnya ketika seseorang itu mengambil wuduk.

9. Lakhus – Tugasnya mengajak manusia agar menyembah selain daripada Allah.

10. Sabrum – Tugasnya mengajak manusia ke jalan yang jahat dan tidak sabar dengan ujian yang diterima.

11. Miswat/Maswat – Tugasnya mempercepatkan manusia untuk berbuat maksiat dan suka kepada setiap perkara maksiat, disamping melengah-lengahkan berbuat amal soleh. Ia gemar membawa berita dusta dan gosip liar.

12. Zaktabur/Zaknabur/ Zalanbur – Tugasnya menimbulkan raja ujub dan takbur dengan segala kelebihan yang ada pada dirinya.

13. Khinzab – Tugasnya mengganggu orang yang beribadat, khasnya yang bersembahyang dengan membuatkan manusia berasa was-was dengan amalan baik yang dilakukannya dan sentiasa cuba meruntuhkan keyakinan terhadap agama islam yang dianutinya.

14. Laqnis – Tugasnya mengganggu orang yang bersuci dan berwuduk sehingga jadi ragu dan tidak sempurna.

15. Abyadh – Syaitan yang paling berat godaannya, paling buruk sikapnya kerana tugasnya ialah menggoda para nabi dan rasul yang diutuskan kepada manusia.

16. Khannas – Syaitan yang menimbulkan was-was hati terhadap adanya Allah, adanya perkara-perkara sam’iyat dan melalaikan hati manusia daripada mengingati Allah sepanjang masa.

29/06/2015 Posted by | Informasi, Tazkirah | | Leave a comment

Politik syaitan dan politik ulama

FIRMAN ALLAH SWT bermaksud: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu.” (Yasin: 60). Demikian perintah ALLAH kepada umat manusia.

Perintah ALLAH itu ditujukan kepada umum, terutama kepada golongan yang berilmu pengetahuan atau disebut ulama. Oleh kerana tingginya kedudukan ulama tersebut sehingga ALLAH membicarakan mengenainya dalam urusan keagamaan. Disebabkan manusia itu sangat fanatik (taklid) menuruti para ulama, maka syaitan berusaha sedaya upaya untuk masuk ke dalam darah daging ulama-ulama, akhirnya ulama-ulama itu banyak yang tidak sedar, telah menjadi kaki tangan dan tali barut syaitan untuk menyesatkan manusia.

Perdayaan syaitan yang telah bertempat dalam tubuh badan ulama-ulama itu, amatlah susah bagi kita melepaskan diri dari perdayaannya, sebab tidak adanya garis pemisah yang terang antara perdayaan ulama dan perdayaan syaitan. Laksana kita berhadapan dengan serigala berbaju kambing atau musang berbaju ayam. Sabda Nabi SAW bermaksud: “Akan keluar beberapa kaum nanti, muka mereka seperti muka manusia, akan tetapi hati mereka seperti hati syaitan.”

Untuk mengetahui tanda-tanda bahawa ulama itu telah diperkudakan syaitan iblis, lihatlah kepada pekerjaan-pekerjaan mereka, apabila mereka berusaha dengan sedar atau tidak sedar untuk menyalahi ajaran agama yang sebenarnya, bercanggah dengan ajaran  dibawa para Rasul.

Mereka memutar belitkan kenyataan-kenyataan ajaran agama dan itulah tanda-tanda mereka diperdayakan oleh syaitan dan kunco-kunconya.

Perhatikan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Lihatlah oleh kamu akan orang-orang yang kamu temani duduk bersama-sama mereka itu, kenalilah siapa mereka itu, dan perhatikanlah dari siapa guru yang kamu mengambil pelajaran daripadanya, kerana pada akhir zaman syaitan iblis menjelma menyerupai lelaki (ulama).”

Demikianlah politik percaturan syaitan iblis memperdayakan umat manusia. Semua perkara dunia dijadikan alat untuk memperdayakan manusia.

Syaitan iblis telah membukakan tirai rahsianya secara terang-terangan bahawasanya mereka itu tidak mempunyai kesanggupan untuk memperdayakan manusia-manusia yang ikhlas menjadi hamba ALLAH.

Firman ALLAH bermaksud: “Berkatalah iblis: Demi kebesaran Engkau ya ALLAH, sesungguhnya aku akan memperdayakan dan menipu sekalian anak Adam selain hamba Engkau yang berbuat ibadat kepada Engkau dengan ikhlas.”

Agar tidak diperdayakan oleh syaitan iblis itu, maka hendaklah kita beramal sepenuh keikhlasan kerana ALLAH, seperti firman-Nya yang bermaksud: “Maka perhambakan dirimu akan ALLAH dengan keadaan tulus ikhlas bagi ALLAH semata-mata.”

Orang-orang yang ikhlas dalam mengerjakan amalnya untuk ALLAH, bangsa, agama dan negara, pasti disanjung tinggi oleh kawan dan lawan serta menjadi kepercayaan orang ramai yang tidak menangguk di air keruh atau ada udang di sebalik batu, yang mana menjadi hilang kepercayaan bagi masyarakat awam.

Oleh kerana itu jadikanlah keikhlasan itu pedoman kita dalam mengerjakan segala perkara khususnya yang bersangkutan dalam agama.

Saidina Ali berkata dalam suatu pidato: “Janganlah kamu ambil syaitan menjadi pemimpin pekerjaan kamu, kalau kamu mengambil syaitan menjadi pemimpin kamu, maka bertelurlah syaitan itu dan beranak pinak di dalam dada kamu, merangkaklah syaitan itu dalam darah daging kamu, dia memandang dengan mata kamu, dia mendengar dengan telinga kamu, dia berkata dengan lidah kamu, maka dikenderainya tubuh kamu, dia menjatuhkan diri kamu mengerjakan segala larangan ALLAH.”

Sabda Rasulullah SAW bemaksud : “Semua manusia itu mati yakni mati perasaan, mati semangat, mati fikiran dan mati hati,sedang yang tidak mati ialah mereka yang berilmu pengetahuan, orang yang berilmu pengetahuan itupun tertidur dan yang tidak tidur hanyalah orang yang bekerja, orang yang bekerja pun semuanya tertipu dan terpedaya, hanyalah yang tidak tertipu itu ialah orang yang ikhlas.”

 

(Oleh: Ibrahim Abdullah Sinar harian 21 November 2012)

21/11/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , | Leave a comment

Syaitan watak manusia

KHOMEINI di mata penganut Syiah, Imam 12, maka dia adalah ulama agung yang maksum. Dia dikatakan mendapat wahyu daripada langit dan setiap butir bicaranya adalah kalimah Ilahi.

Lantas dia dikalungkan ‘Ayatullah’ atau Tanda-Tanda Allah pada pangkal namanya. Tetapi dia adalah lidah syaitan pada pandangan Ahli Sunnah. Dia mengkafirkan Abu Bakar, Umar dan Uthman, malah seluruh sahabat baginda yang lain.

Abdullah Al Harari pula di hati pengikut Ahbash ulama mujtahid Ahli Sunnah Wal Jamaah. Diagungkan sebagai ahli hadis ulung abad ini dan dikatakan diiktiraf oleh Universiti Al-Azhar. Pengikutnya percaya dia memiliki karamah wali tetapi rupanya dia adalah Syeikul Fitan (Syeikh Fitnah) yang selalu menipu. Universiti Al-Azhar lantas menetapkan dia dan jemaahnya sebagai sesat dan menyesatkan.

Ahbash bukan saja beraqidah Jahmiyah yang sesat, malah mereka mengkafirkan seluruh ulama Ahli Sunnah dan ahli hadis. Jika kita catatkan nama setiap ulama yang dikafirkan mereka akan menjadi berjela-jela justeru cukuplah kita senarai sedikit saja iaitu Imam Humaidi, Imam Ibnu Abi Hatim Ar Razi, Ibnu Khuzamah, Imam Barbahari, Imam As Sobuni, Imam Izz Abdis Salam dan Syeikul Islam Ibnu Taimiyyah.

Walhal mereka semua ini adalah Imam Muktabar dalam aliran Ahli Sunnah! Taqiyuddin An Nabhani pada pemikiran Hizbut Tahrir adalah seorang ulama pembaharuan Islam. Dialah yang membersihkan akidah Islam daripada pencemaran dan kecelaruan. Dia berjuang hingga detik nafas terakhir bagi membawa ketulenan Islam yang berasal daripada Rasulullah s.a.w. Malah, dialah tokoh Mujahid yang Mujaddid. Taqiyuddin adalah serpihan Ikhwanul Muslimin.

Tetapi pada pandangan Ahli Sunnah, dia adalah golongan menolak Ahli Sunnah. Di sisi lain Hizbut Tahrir adalah Muktazilah kontemporari.

Mereka adalah kelompok rasionalis yang bertuhankan akal dan rasional. Mereka menolak Qadar sebagai Rukun Iman, menolak turunnya Imam Mahdi, keluarnya Dajjal dan adanya azab kubur. Taqiyuddin mengeluarkan fatwa ‘berdosa’ jika beriman dengan azab kubur, keluarnya Dajjal serta hal yang bersumber daripada hadis ahad.

Syaitan yang berjubah Inilah antara sederet manusia sesat yang diulamakan masyarakat tetapi Ahli Sunnah tidak pernah mengiktiraf mereka sebagai ulama pewaris Nabi. Mereka tidak termasuk dalam sabda Baginda: “Al ulama warasatul anbiya.” Tetapi mereka termasuk dalam hadis yang di bawah ini.

“Pada suatu ketika Rasulullah menggariskan kepada kami suatu garisan lalu bersabda: Inilah jalan Allah, kemudian menggariskan beberapa garisan di sebelah kanan dan kirinya lalu bersabda: Inilah jalan-jalan yang pada setiap jalan ini ada satu syaitan yang menyeru kepada jalan tersebut.” (Riwayat Imam Ahmad, An Nasa’i, Ibnu Abi Hatim) Ternyata Rasulullah mengingatkan kepada sahabat sekali gus kepada kita semua bahawa ada jalan palsu yang kononnya membawa kepada syurga yang diseru oleh syaitan. Syaitan itu bukan dalam rupa yang menggerunkan: matanya merah terjojol, gigi taring tertancap di bibir, bau busuk dan hapak. Sesungguhnya syaitan itu persis seperti alim ulama. Mereka itu berjubah, berserban, berbahasa Arab, malah petah berbicara.

Bukankah Ibn Abbas menceritakan watak kaum Haruriyah yang mengkafirkan Ali r.a iaitu muka mereka cengkung kerana seringnya qiamulail, dahi mereka hitam kerana banyaknya sujud, jubah mereka lusuh kerana banyaknya beribadah. Tetapi mereka sesat dan menyesatkan. Mereka seperti ulama tetapi merekalah syaitan dalam watak manusia.

Ulama sesat ini bukanlah turun ke dunia daripada neraka. Mereka adalah manusia yang dibisikkan oleh syaitan untuk mencipta ajaran yang mengelirukan jalan Rasulullah dan sahabat baginda. Juga sebagai isyarat bahawa ajaran yang mereka ciptakan ini akan diwarisi keturunan dan pengikut mereka.

Ada kita melihat seseorang itu persis seperti Ahli Sunnah pada permulaannya. Maka kita didatangi lalu berguru dengannya. Mulanya nama ulama Sunni sering terpacul daripada tingkap bibirnya – ibarat zikir tetapi lama-kelamaan mula menyulam nama tokoh sesat dalam perbicaraan.

Satu persatu disusupkan masuk dalam fatwa. Jadi akhirnya dia berlagu dengan nyanyian ulama sesat. Berjoget sama rancak dengan musuh Ahli Sunnah. Tokoh sesat adalah mantera buat lidahnya. Maka benarlah kata cendekiawan Cina, Kung Fu Tze; “Hilang kabus nampaklah gunung”.

Watak seperti ini banyak terjadi dalam sejarah Islam. Dulu, Snouck Hurgronje didatangi Ahmad Zaini Dahlan, mufti kepada Sharif Husein yang memberontak kepada Turki Uthmaniyah. Dia kononnya memeluk Islam dan menukar nama Syeikh Abdul Ghaffar, namun selepas beberapa bulan belajar, Mufti Ahmad Zaini Dahlan menulis beberapa surat pengiktirafan untuk diserahkan kepada agamawan di Jawa.

Bermudiklah dia ke Kepulauan Jawa dan disambut meriah oleh agamawan di sana. Dalam senyap-senyap maka Syeikh Abdul Ghaffar mula menanam kebudayaan Barat kepada penduduk Jawa. Dia meneliti kehidupan orang Melayu dan kemudian merencana program pengkristianan. Sempat dia menulis sepatah dua mengenai gurunya; “seorang mufti yang cintakan harta!” Watak ini terus berulang-ulang seperti putaran roda. Hari ini, lulusan agama tidak semestinya akan berdakwah Ahli Sunnah kepada masyarakat. Boleh jadi mereka akan mengajak kepada Syiah, kepada Ahbash, kepada Hizbut Tahrir, kepada Ikhwanul Muslimin, malah kepada Islam Liberal yang percaya penganut agama lain akan tetap masuk syurga.

Telitilah tokoh sandaran Bagaimana kita ingin menghindarkan diri daripada syaitan yang berjubah ini? Caranya adalah meneliti setiap tokoh yang dijadikan sandaran oleh ulama tersebut. Seandainya dia sering menyebutkan nama tokoh yang sesat atau meragukan maka ketahuilah bahawa dia adalah sebahagian daripada gerombolan sesat itu. Dia bukan ulama tetapi adalah ahli bidaah yang bertopengkan watak ulama. Kerana pepatah Arab berkata: “Burung sejenis terbang seiringan.” Aqidah dan prinsip Ahli Sunnah adalah meninggalkan ahli bidaah dan tidak merekodkan ucapan mereka. Ibnu Muflih berkata: “Imam Ahmad menerangkan secara nash mengenai larangan daripada melihat buku ahli falsafah dan ahli bidaah, yang mereka itu menyesatkan; daripada membacanya dan melarang daripada merekodkannya.” (Adab As Syar’iyyah 1/125) Ketika mana agamawan itu mula menyebutkan nama Fazlur Rahman, Tariq Ramadhan, Taha Jabir Al Alwani dan Rachid Ghanouchi, maka tinggalkanlah dia. Kerana nama-nama ini adalah tokoh kepada ajaran sesat Islam Liberal. Ajaran yang menganggap semua agama adalah benar di sisi Allah. Ajaran yang mengatakan Islam sudah lapuk dan perlu diubah.

Begitu juga ketika agamawan ini mula memasukkan nama Syed Qutub, Hasan Albanna, Muhammad Al Qhazali dan Dr Yusuf Al Qaradhawi. Bermakna orang ini sedang mengiring kita kepada pemikiran Ikhwanul Muslimun yang liberal, malah tidak kurang berpuluh ulama Sunni yang menyesatkan jemaah berkenaan.

Ikhwanul Muslimin adalah biasan kepada pemikiran Islam Liberal. Hasan Albanna sendiri menetapkan dasar liberal ini: “Dakwah Ikhwanul Muslimin tidaklah ditujukan untuk melawan satu aqidah, agama ataupun golongan, kerana faktor pendorong perasaan jiwa pengembang dakwah jemaah ini adalah berkeyakinan asasi bahawa semua agama sama berhadapan dengan musuh yang sama, iaitu atheisme”. (Qafilah Al Ikhwan As Siisi 1/211) Natijahnya, adik bongsu kepada Hasan Albanna, Gamal Albanna akhirnya menjadi tokoh ulung dalam Islam Liberal. Gamal hidup bersama Hasan Albanna, malah bersama-sama dengan abangnya dalam Ikhwanul Muslimin.

Tidak cukup setakat itu, cucu beliau sendiri iaitu Tariq Ramadhan menjadi bintang di Universiti Oxford sebagai ulama agung yang berdakwah dalam Islam Liberal.

Di petik dari My Metro 26hb Mei 2012
Penulis:Mohd Radzi Othman – pengkaji perbandingan agama di Sekretariat ILMU

26/05/2012 Posted by | Politik dan Dakwah, Tazkirah | , | Leave a comment

Orang mati yang di sangka hidup semula sebenarnya adalah Syaitan bernama Qareen

Aisyah r.a menceritakan bahawa pada suatu malam Rasulullah s.a.w. keluar dari rumahnya (Aisyah), Aisyah berkata: “Aku merasa cemburu.” tiba-tiba Baginda berpatah balik dan bertanya: “Wahai Aisyah apa sudah jadi, apakah engkau cemburu?” Aku berkata: “Bagaimana aku tidak cemburu orang yang seumpama engkau ya Rasulullah.” Sabda Baginda: “Apakah engkau telah dikuasai oleh SYAITAN?” Aku bertanya: “Apakah aku ada syaitan?” Sabda Baginda: “Setiap insan ada syaitan, iaitu Qareen.” Aku bertanya lagi: “Adakah engkau pun ada syaitan ya Rasulullah?” Jawab Baginda: “Ya, tetapi Allah membantuku sehingga Qareen Ku telah MASUK ISLAM.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kita sering mendengar di kalangan masyarakat Melayu Nusantara cerita orang mati hidup  semula.Cerita orang yang jelas sudah mati, di saksikan oleh ramai orang,di mandikan,di kafankan, di solatkan dan di kebumikan di katakan hidup semula dan kembali kerumah menemui dan berbual bual dengan keluarga.Bahkan ada yang mendakwa simati ini hidup semula dan menjalani hidup saperti sedia kala.

Ada pula yang berpendapat perkara ini mustahil boleh berlaku.Dengan alasan mana mungkin orang yang sudah mati, jasadnya sudah tidak berfungsi lagi,di tanam, dan roh nya sudah di bawa oleh Allah ke alam barzakh boleh kembali ke dunia.

Bagi pengamal perubatan moden, orang yang dikatakan sudah mati tiba tiba bangkit sebelum di kebumikan memang boleh berlaku.Pada pendapat mereka ini terjadi kerana ada kematian yang di istilahkan sebagai “mati klinikal” atau “clinical death” .Bagi para doktor mati saperti ini belum di kira  mati walaupun seseorang itu tidak bernafas.

Cerita orang mati kembali semula kerumah memang biasa kedengaran.Banyak cerita kita dengar, terutama yang berlaku di sebelah Nusantara.Biasanya orang mati ini di anggap luar biasa dan keramat hingga kuburnya di puja.

Cerita orang mati kembali semula kerumah biasanya kita dengar berlaku keatas pengamal ilmu kebatinan saperti di antaranya bomoh,dukun, pengamal sesetengah silat batin, pengamal susuk,pengamal ilmu hitam,pengamal saka dan lain lain dan bukan keatas manusia biasa.

Seorang ulama yang terkenal di Malaysia dan arif mengenai hal hal kebatinan ia itu Al Fadhil Prof Dr Haron Din berkata sebenarnya orang yang melihat seseorang yang kembali setelah matinya bukan lah si mati sebenarnya.Besar kemungkinan dia adalah makhlus halus yang di sebut dalam Al Quran yang bernama Qareen atau Quranah iaitu sejenis jin yang menjadi sahabat baik kepada manusia ketika hidupnya.

“Dan kami tetapkan bagi mereka teman-teman (Qareen) yang menjadikan mereka memandang bagus apa yang di hadapan dan di belakang mereka. Dan tetaplah atas mereka keputusan (hukuman) asal, pada umat-umat yang terdahulu sebelum mereka dari jin dan manusia bahawa sesungguhnya mereka adalah golongan yang rugi.”
(Al Quran Surah Fussilat, ayat 25 ).

 Dr Haron Din menegaskan lagi, Qareen berbeza istilahnya daripada ifrit, jin, syaitan dan sebagainya, kerana Qareen ini dirujuk sebagai makhluk halus yang berdampingan dengan manusia sehingga menjadi kawan rapat yang boleh bantu membantu.

Malah Allah memberi penjelasan bahawa manusia berlindung dengan jin seperti disebut dalam Surah Jin ayat 6 (mafhumnya),”Dan bahawa sesungguhnya ada kalangan laki-laki manusia, berlindung dengan laki-laki daripada jin, maka bertambah-tambahlah kejahatan syaitan ke atas manusia.”
Ayat ini merujuk kepada persahabatan yang begitu rapat antara manusia dengan jin, sehingga menganggap jin ada kuasa, ada kebolehan untuk melindungi manusia, mereka berlindung dengan jin, mereka tidak berlindung dengan Allah.
Ini adalah Qareen, sehingga sesudah mati manusia itu pun, jin ini boleh menyerupai seperti mereka untuk menyesatkan manusia dan merosakkan aqidah manusia.

Wallahu a’lam.

12/03/2012 Posted by | Aqidah, Informasi, Tazkirah | , | Leave a comment