Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Jangan Biadab Kepada Para Imam

Imam al-Shafi’i rahimahu’Llah adalah antara Imam Mazhab yang terkemuka dan salah seorang pemimpin utama umat Islam yang banyak menyumbang kepada peradaban Islam. Dalam usaha meletakkan Imam al-Shafi’i pada tempatnya yang sesuai, Imam al-Ghazali rahimahu’Llah merumuskan 4 sifat yang menjadi ciri keunggulan beliau yang patut menjadi contoh tauladan bagi para ulama’ sehingga kini. 4 sifat tersebut adalah kuat beribadah, zuhud, berilmu dengan ilmu akhirat dan kemaslahatan manusia di dunia, dan ikhlas mencari keridhaan Allah. Bagi Imam al-Ghazali kesemua imam-imam mazhab memiliki keempat-empat sifat ini terutamanya Imam al-Shafi’i.

Persoalan sama ada sesuatu pandangan para ulama’ terdahulu itu boleh diterima pada masa ini ataupun tidak perlu dilihat dengan berhati-hati. Kita perlu membezakan pandangan yang lahir daripada pemahaman langsung daripada nas dengan pandangan yang berdasarkan kepada pengetahuan dan budaya setempat. Dalam persoalan wali banyak dalil daripada hadith nabi telah dijadikan sandaran. Tentang Wali mujbir mazhab Shafi’i bersandarkan kepada dua hadith:

الدارقطني: «الثيب أحق بنفسها من وليها، والبكر يزوجها أبوها» ورواية مسلم: «والبكر يستأمرها أبوها، وإذنها سكوتها»

Daripada dua hadith ini menurut Shafi’iyyah jelas bahawa terdapat perbezaan antara janda dengan anak dara, untuk janda wali perlu mendapat persetujuannya sedangkan untuk anak dara persetujuannya tidak wajib, hanya mustahab, berdasarkan hadith kedua.
Wali mujbir ertinya wali yang mempunyai bidang kuasa mengahwinkan anak atau cucu perempuan yang masih perawan atau dara tanpa meminta izin perempuan itu terlebih dahulu.

Perlu diketahui bahawa di dalam Islam, perkahwinan seorang anak dara tanpa wali adalah tidak sah. Ini bermakna kuasa mengkahwinkan anak diberikan kepada Bapa. Kita perlu memahami roh pensyariatan ini yang meletakkan Bapa sebagai orang yang bertanggungjawab dalam menjaga kemaslahatan anak-anaknya. Konsep wali bertujuan agar Bapa bertanggungjawab terhadap perkahwinan anak perempuannya itu, memastikan anaknya mendapat jodoh yang sesuai agar menjadi perkahwinan yang bahagia. Kerana itu dalam Shari’ah diberikan panduan bahawa Ibu bapa perlu memastikan bahawa anak perempuannya dikahwinkan dengan orang yang baik-baik, beragama dan berakhlak, mampu memberi nafkah, sekufu’ dan sebagainya. Anak perempuan tidak dibiarkan mencari pasangan sendiri, ibu bapa lepas tangan dan memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak, ini bukan budaya yang dikehendaki dalam Islam. Justeru dengan memberi kebebasan sepenuhnya kepada anak untuk mencari pasangan hidup tanpa apa-apa campur tangan memberi isyarat bahawa Ibubapa tidak mahu bertanggungjawab terhadap apa-apa yang berlaku kepada anaknya.

Maka jika timbul persoalan mengapa Bapa berhak mengahwinkan anak daranya tanpa persetujuannya, ia perlu dilihat secara positif dan tidak mengandaikan terus bahawa perkara ini akan menjejaskan kepentingan kaum wanita. Bahawa Ibubapa akan memastikan kemaslahatan anak terjamin, adapun jika ada sesetengah orang tua yang bertindak kejam dan tidak memikirkan kemaslahatan anak, maka ia adalah kes-kes yang terpencil dan tidak dibiarkan begitu sahaja. Pada dasarnya umum Ibubapa tidak akan memaksa anak untuk berkahwin dengan seseorang yang ia tahu perkahwinannya itu tidak akan membawa kepada kebahagiaan. Dengan kata lain terdapat syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk mengahwinkan anak tanpa persetuannya. Justeru itu Islam menggalakkan konsep musyawarah dan berhemah, dan bukannya konsep kuku besi dan paksaan.

Kerana itu seseorang itu tidak sewajarnya mengatakan bahawa pandangan Imam al-Shafi’i di atas tidak sesuai diamalkan kerana orang sekarang tidak boleh menerimanya. Dengan kata lain zaman berubah, dulu pandangan itu boleh diterima sekarang tidak lagi. Pendekatan seperti ini lebih dekat kepada liberalisme, sesuatu hukum itu boleh ditolak dan diterima dengan mengikut mana yang disukai orang ramai. Kecenderungan seperti ini di kalangan sesetengah Wahhabi menunjukkan bahawa ia lebih dekat dengan pendekatan liberal dalam hal hukum-hakam fiqh.

Sebagai Imam yang banyak berjasa kepada umat Islam seyogianya kita menghormati Imam al-Shafi’I dengan sebenar-benarnya. Beliau adalah Imam bagi umat Islam bukan sahaja di Malaysia tetapi di seluruh dunia. Bahkan ulama’ daripada mazhab lain pun mengakuinya sebagai imam dan ikutan, kerana perbezaan mazhab hanyalah perbezaan ranting, semua ulama’ itu merujuk kepada asas yang sama, kerangka Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah. Kepada seorang Imam besar kita tidak boleh berkata kita hormat tetapi kita sanggah pandangannya dan mengutamakan pandangan kita sendiri. Bayangkan untuk berkata ah! kepada Ibubapa sahaja dianggap biadab, inikan menyanggah secara terang-terangan pandangan mereka. Kedudukan ulama’ yang benar di dalam Islam lebih mulia daripada kedudukan Ibubapa. Orang yang menyanggah dihadapan orang ramai pandangan ulama’ besar seperti Imam al-Shafi’i, di hadapan masyarakat yang bermazhab Shafi’i pula, pada hakikatnya menunjukkan bahawa ia tidak hormat. Walaupun ia memulakannya dengan kata-kata “kita hormat”. Hormat itu bukan hanya kata-kata di mulut, ia adalah sikap yang dijelmakan dengan adab yang sepatutnya terhadap orang yang dihormati. Justeru orang yang mengatakan seperti ini sebenarnya telah menjelmakan kebiadapannya terhadap imam al-Shafi’i, tidak faham maksud daripada apa yang diperkatakan oleh sang Imam. Ia juga menunjukkan kejahilannya tentang kedudukan Imam al-Shafi’i di dalam peradaban Islam dan secara palsu mendakwa dirinya bertaraf mujtahid yang boleh mengetepikan pandangan para imam mujtahidin yang sebenar.

Di bawah ini adalah kes penghakiman yang diputuskan oleh Lembaga Rayuan Mahkamah Syari’ah Singapura pada akhir 50an berkaiatan amalan perwalian di Malaysia sejak sekian lama. Sebenarnya pandangan kaum Wahhabi yang tidak sesuai di amalkan di Malaysia. Pendekatan golongan Wahhabi ini berbahaya kerana ia adalah pendekatan menggunakan teks al-Qur’an dan al-Hadith tanpa Fiqh dan Usul al-Fiqh. Pandangan yang berdasarkan kepada suatu teks tertentu tanpa pemahaman yang menyeluruh dan mendalam terhadap teks-teks lain dan ilmu-ilmu yang berkaitan boleh membawa kepada banyak masalah seperti ekstrimisme radikal dan ekstrimisme liberal.
____

Dalam kes Syed Abdullah Al-Shatiri lawan Syarifah Salmah (1959, Jld. I, II, JH), ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura, Yang Arif Hakim Ahmad bin Ibrahim menyatakan, mengikut Mazhab Shafi’e, apabila seorang anak dara dikahwinkan oleh bapanya tanpa minta izin anak dara itu terlebih dahulu, maka adalah sah perkahwinan itu.
Fakta kes itu adalah seperti berikut: Seorang bapa Syed Abdullah Al-Shatiri mengahwinkan anak daranya Syarifah Salmah dengan Syed Idros bin Saggof Al-Jofri tanpa izin anak dara itu. Bapa itu bertindak sebagai wali dan ia sendiri menikahkan perkahwinan itu. Anak perempuan itu enggan menerima suami pilihan bapanya. Anak perempuan itu membawa kes itu ke Mahkamah Syariah.

Mahkamah Syariah Singapura telah mengeluarkan perintah bahawa perkahwinan itu tidak sah berdasarkan hadith:
Pertama:
Rasululah saw bersabda:
“Janganlah kahwinkan seseorang perempuan yang tidak anak dara (janda) sehingga kamu mendapat kuasanya terhadap perkahwinnan itu dan janganlah kahwinkan seorang anak dara sehingga dipinta izinnya”.
(Riwayat Al-Bukhari)
Kedua:
Rasulullah saw bersabda:
“Seseorang yang bukan anak dara mempunyai hak yang lebih besar mengenai dirinya daripada penjaganya. Persetujuan seorang anak dara haruslah dipinta berkenaan dengan sesuatu mengenai dirinya dan diam membisu pada haknya itu adalah bererti memberikan persetujuan”.
(Riwayat Muslim)

Bapa telah membuat rayuan kepada Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura bahawa ia mengahwinkan anak dara perempuannya tanpa izin perempuan itu atas bidang kuasanya sebagai wali mujbir.
Menurut Ahmad Ibrahim ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura itu menyatakan:
“Hadith-hadith yang menjadi alasan Mahkamah Syariah Singapura itu sebenarnya dipertikaikan oleh ulama mengenai makna “meminta izin anak dara” yang terdapat dalam hadith-hadith yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dan Muslim. Menurut Imam Malik, Imam Shafi’e, Imam Ahmad dan ulama-ulama dalam Mazhab Syafi’e seperti Imam Nawawi, maksud “meminta izin anak dara” adalah sunat bagi wali mujbir meminta izin terlebih dahulu daripada pengantin perempuan seperti mana dengan maksud hadith yang dieriwayatkan oleh Darul-Qutni”.
Selanjutnya Ahmad Ibrahim memetik pandangan Mazhab Syafi’e sepertimana yang terdapat dalam kitab Minhaj Talibin, karangan Imam Nawawi:
“Seseorang bapa boleh mengikut kehendaknya mengahwinkan anak perempuannya tanpa meminta izinnya, tidak kira berapa umurnya dengan syarat anak itu masih anak dara. Walau bagaimanapun adalah sunat berunding dengannya mengenai bakal suaminya itu; dan izin rasminya ke atas perkahwinan itu adalah perlu jika dia telah kehilangan daranya. Manakala seseorang bapa mengahwinkan anak perempuan sewaktu anak itu masih di bawah umur, maka anak perempuan itu tidaklah boleh diserahkan kepada suaminya sebelum dia mencapai umur akil baligh. Jika berlaku kegagalan pada pihak bapanya, maka bapa kepada bapanya (datuknya sebelah bapa) hendaklah menjalankan semua kuasanya. Kehilangan dara menghapuskan hak mengahwinkan anak perempuan tanpa izinnya, dan tidaklah ada perbezaan di dalam aspek ini bahawa kehilangan dara antara yang disebabkan oleh persetubuhan yang halal dengan yang diakibatkan oleh persetubuhan haram. Sebaliknya hak itu tetap tidak terjejas jika kehilangan itu berlaku tanpa persentuhan badaniah, umpamanya akibat terjatuh ke atas tanah”.
Ketika menyampaikan keputusan Lembaga Rayuan itu juga Ahmad Ibrahim merujuk kepada buku “Mohamed Law Of Inheritance, Marriage And Right Of Women” oleh Syeikh Abdul Kadir bin Muhammad Al-Makkawi menyatakan : Seseorang bapa atau datuk mengahwinkan seorang anak dara tanpa persetujuan anak dara itu adalah sah dengan syarat:
1. Janganlah hendaknya terdapat antara anak dara itu dengan bapanya atau datuknya yang mengahwinkannya itu apa-apa sifat permusuhan yang nyata dan tidak pula terlindung daripada pengetahuan orang-orang di tempat anak dara itu berada.
2. Si suami itu hendaklah sama tarafnya (sekufu) dengan anak dara itu.
3. Si suami itu hendaklah mampu membayar mas kahwin.
4. Janganlah hendaknya terdapat sifat permusuhan baik di luar mahupun di dalam antara anak dara itu dengan si suami.
5. Bapa atau datuk itu tidak boleh mengahwinkan anak daranya dengan mas kahwin yang terkurang menurut nilai mata wang negara itu.
Berdasarkan alasan-alasan di atas, Lembaga Rayuan Mahkamah Syariah Singapura berpendapat bahawa perkahwinan yang dianjurkan oleh wali mujbir tanpa izin perempuan itu adalah sah. Maka keputusan Mahkamah Syariah yang terdahulu itu telah dibatalkan.

Rujukan:
http://jksnpp.penang.gov.my/index.php/18-penerbitan-mahkamah/88-bidang-kuasa-wali-dalam-pernikahan

Author: Dr Khalif Muammar

19/02/2022 - Posted by | Berita dan Isu Semasa, Bicara Ulama, Politik dan Dakwah

No comments yet.

Leave a comment