Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

HUKUM MEMBUNUH PEMILIK AIR UNTUK DAPATKAN AIR KERANA DAHAGA



Telah sampai kepada saya sebuah video seorang Ustaz yang sedang mengajar kitab Mazhab al-Shafi’i berjudul al-Iqna’ li al-Khatib al-Sharbini. Dalam video tersebut, Ustaz tersebut telah menyebutkan tentang sebuah permasalahan Fiqh, iaitu jika seorang yang sedang begitu dahaga, lalu jika dia menemui orang yang memiliki air tetapi dia tidak mahu memberikannya atau tidak mahu menjual air tersebut kepadanya, maka orang yang dahaga tersebut dibenarkan untuk merampas secara paksa daripada orang yang memiliki air tersebut, walaupun terpaksa membunuhnya.

Teks kitab tersebut adalah:

وللعطشان أخذ الماء من مالكه قهرا ببدله إن لم يبذله له

“Dan bagi orang yang dahaga, boleh ambil air daripada tuannya (air) secara paksa dengan bayaran sekiranya tidak diberi secara percuma “

Dalam mensyarahkan teks di atas, Ustaz tersebut berkata:

“Kalau kita dahaga yang nak mati, dan kita jumpa orang yang ada air, kita minta air daripada dia dan dia taknak bagi, jadi apa yang kita boleh buat, kita boleh rampas walaupun bunuh dia, sebab apa, sebab dia berniat nak bunuh kita”.

Terdengar suara yang hadir bertanya “sampai boleh bunuh?”, beliau konsisten dengan jawapannya “walaupun bunuh dia”.

Berdasarkan zahir ucapannya ini, ia boleh menimbulkan kekeliruan kepada pendengar kerana seolah2 menunjukkan boleh membunuh orang lain dengan sengaja kerana hendak merampas air.

Jika demikianlah yang dimaksudkan olehnya, maka syarahan Ustaz ini adalah tidak halus penyampaiannya dan tidak tepat dalam memahami apa yang sebenarnya dihendaki dalam teks tersebut. Boleh jadi beliau telah terkeliru antara sengaja membunuh dan terbunuh orang lain ketika hendak merampas air tersebut.

Jika Ustaz itu tidak bermaksud sedemikian, maka abaikanlah artikel ini.

Ya benar, memang seseorang boleh merampas air dari pemilik air secara paksa jika seseorang berada dalam keadaan yang sangat dahaga yang boleh memudaratkan nyawanya, dan jika dalam proses merampas itu, SEANDAINYA nyawa pemilik air terbunuh secara tidak sengaja, maka darahnya adalah “hadar” yakni dimaafkan, namun BUKAN sengaja hendak membunuhnya untuk dapatkan air tersebut.

Kalimah “hadar” yang digunakan oleh para Fuqaha’ dalam mensyarahkan teks tersebut menunjukkan pembunuhan itu berlaku dengan tidak sengaja, dan pembunuh tidak perlu bayar diyat.

Antara Ulama yang telah mensyarahkan teks di atas ialah Imam al-Bujayrimi, dalam Hashiyah al-Bujayrimi (j.1,ms.475), beliau berkata:

(مِنْ مَالِكِهِ) أَي: غير العطشان. فإن كان مالك الماء عطشانًا لَمْ يُهْدَرْ، بَلْ يَضْمَنُهُ قَاتِلُهُ كَمَا فِي شَرْحِ م ر. بِخِلَافِ المَالكِ غَيْرِ العطشان فَلا ضَمَانَ علَى قاتله إذا كان عطشانا

“Iaitu daripada empunya air yang tidak kehausan. Jika empunya air juga kehausan, darahnya tidak dimaafkan, bahkan pembunuhnya hendaklah membayar diyat, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Ramli dalam Sharh al-Minhaj. Berbeza pula dengan empunya air yang tidak kehausan, pembunuhnya tidak perlu membayar diyat sekiranya dia kehausan.”

Teks tersebut diulas dengan lebih terperinci lagi oleh Ulama lain pula iaitu Imam Qalyubi, dalam kitabnya Hashiyah Qalyubi ‘ala Kanz al-Raghibin (j.1,ms.83) beliau berkata:

وَمَحَاسِنُ الشَّرِيعَةِ تَأْبَى ذَلِكَ صِيَانَةً لِلرُّوحِ، فَهُوَ كَالِاضطِّرَارِ. وَلِذَلِكَ جَازَ لِلْعَطْشَانِ وَلِغَيْرِهِ لِأَجْلِهِ أَنْ يَأْخُذَ الْمَاءَ مِنْ مَالِكِهِ إِذَا لَمْ يَكُنْ عَطْشَانًا، وَلَا مَعَهُ عَطْشَانٌ، قَهْرًا عَلَيْهِ وُمُقَاتَلَتُهُ وَلَا ضَمَانَ لَو تَلِفَ؛ لِأَنَّهُ ظَالِمٌ يَمْنَعُهُ، بَلِ الطَّالِبُ مَضْمُونٌ لَوْ أَتْلَفَهُ لِأَنَّهُ مَظْلُومٌ.

“Keindahan Syariat melarang perkara tersebut (mengutamakan wuduk daripada minum air), kerana Syariat menuntut untuk nyawa dipelihara. Situasi ini adalah seperti darurat. Justeru dibenarkan bagi orang yang keharusan – dan orang terdesak yang lain – untuk mengambil air daripada empunya sekiranya empunya itu tidak kehausan juga dan tidak ada orang haus yang perlu dijaganya, secara paksa, serta merebutnya untuk mendapatkan air. Dia tidak perlu membayar ganti rugi sekiranya pemilik air itu terbunuh, kerana orang itu zalim yang menghalang air. Bahkan orang meminta airlah yang dipelihara haknya sekiranya dia dibunuh, kerana dia dizalimi”.

Seluruh teks-tes di atas menunjukkan bahawa maksud mengambil air dengan cara paksa ialah bermaksud merebutnya untuk merampasnya, jika tuan empunya air terbunuh, maka darahnya dimaafkan. Bukan dari awal terus ambil pistol atau pisau dan terus membunuh pemilik air dengan sengaja. Amat jauh jurang perbezaan antara membunuh dengan sengaja dan terbunuh dengan tidak sengaja.

Oleh itu, hendaklah dibezakan antara darah yang halal dan darah yang hadar, kedua2nya mempunyai definisi yang berbeza. Darah pemilik air adalah hadar bukan halal. Yakni nyawa pemilik air bukan termasuk orang yang halal darahnya iaitu boleh dibunuh secara syar’i (al-qatlu bu al-haqq) contohnya qisas, jenayah, hudud dan lain2, sebaliknya hadar yakni jika dia terbunuh secara tidak sengaja dalam pergelutan atau perebutan maka darahnya dimaafkan yakni tidak wajib dibayar diyat.

Juga hendaklah diambil perhatian bahawa bukan semua darah pemilik air adalah hadar, hanya pemilik air yang tidak kehausan sahaja yang hadar, adapun pemilik air yang kehausan, darahnya tidak hadar, yakni pembunuh perlu membayar diyat jika pemilik air yang kehausan terbunuh.

Kemungkinan besar Ustaz tersebut telah tersalah faham antara perbezaan antara darah yang halal dan darah yang hadar, serta tidak membezakan antara membunuh dengan senagaja dan yang tidak sengaja.

Untuk membaca kitab Fiqh, seseorang hendaklah ada sanad yang bersambung kerana jika seseorang yang cuba untuk mengupas sesautu ilmu yang dia tidak mempunyai sanad bermakna dia tidak berkeahlian untuk mengajarnya. Jika dia cuba mengajarnya juga, dia akan mendatang keajaiban dalan syarahan ilmunya itu. Bagi para penuntut ilmu pula, telah menjadi tanggungjawab murid untuk mencari ilmu dari guru yang bersanad, dia perlu membuat fact finding berkenaan latarbelakang keilmuan guru yang dia ingin ambil ilmu daripadanya.

Telah berkata Imam ‘Abdullah bin Mubarak berkata:

إن الإسناد من الدين، ولولا الإسناد لقال من شاء ما شاء

“Sistem sanad (isnad) adalah dari urusan agama, dan kalaulah tidak kerana isnad, nescaya berkatalah orang yang mau apa yang ia mau berkata.”.

Imam Muhammad bin Sirin pula berkata:

اُنْظُرُوا عَمَّنْ تَأْخُذُونَ هَذَا الْعِلْمَ فَإِنَّمَا هُوَ دِينٌ
.
“Perhatikanlah dari siapa kamu mengambil ilmu ini, karena sesungguhnya ia adalah agama”
.
(Muqaddimah Sahih Muslim)
Wa Allahu a’lam bi al-Sawab…


Ustaz Iqbal Zain al-jauhari

12/06/2022 - Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah

No comments yet.

Leave a comment