Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ORANG BELUM HAJI MAHU HAJIKAN ORANG LAIN

SOALAN :

Saya hendak buat haji untuk arwah bapa saya tetapi saya ada mendengar seorang ustaz menyebut di dalam ceramahnya jika orang yang belum menunaikan fardu haji dia tidak boleh buat haji untuk orang lain.

Betulkah kita kena buat haji diri kita dulu?

Kalau kita buat juga jadi macamana?

Bagaimana pula dengan umrah ustaz adakah orang yang belum pernah lakukan umrah dia juga tidak boleh buat umrah utk orang lain?

JAWAPAN :

Bermula syarat menghajikan orang lain ialah orang tersebut mesti terlebih dahulu telah menunaikan haji fardu bagi dirinya.

Telah diriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. sungguhnya Nabi sollallahu alaihi wasallam telah mendengar seorang lelaki berkata :

لَبَّيْكَ عَنْ شُبْرُمَةَ، قَالَ: مَنْ شُبْرُمَةُ؟ قَالَ: أَخٌ لِي – أَوْ قَرِيبٌ لِي قَالَ: حَجَجْتَ عَنْ نَفْسِكَ؟ قَالَ: لَا، قَالَ: حُجَّ عَنْ نَفْسِكَ ثُمَّ حُجَّ عَنْ شُبْرُمَةَ

Artinya : “Labbaika daripada Syubrumah. Bersabda Nabi : Siapakah Syubrumah? Berkata lelaki tiu : Dia saudaraku atau kerabat bagiku. Sabda Nabi : Kamu sudah tunaikan haji dirimu? Kata lelaki itu : Belum. Sabda Nabi : Hajikan diri kamu dulu kemudian baru kamu hajikan dari Syubrumah.” (Hadith riwayat Abu Daud)

Dan pada riwayat Ad-Daruqutni dan Ibnu Hibban dan Ibnu Majah :

فاجعَل هذِهِ عَن نَفسِكَ ثمَّ حُجَّ عن شُبرمةَ

Artinya : “Jadikan haji ini untuk diri kamu dahulu kemudian nanti baru kamu hajikan untuk Syubrumah.”

Dan sebab tidak boleh orang yang belum tunaikan haji yang wajib atas dirinya menghajikan orang lain ialah haji untuk diri itu wajib manakala haji untuk orang lain itu harus maka mesti didulukan yang wajib atas yang harus.

Berkata Imam Ibnu Hibban :

قوله: اجعل هذه عن نفسك. أمر وجوب. وقوله: ثم حج عن شبرمة أمر إباحة

Artinya : “Sabdanya ‘Jadikan haji ini untuk diri kamu dahulu’ adalah perintah yang wajib manakala sabdanya ‘kemudian nanti baru kamu hajikan untuk Syubrumah’ itu adalah perintah yang harus.” (Kitab Syarah Misykah Al-Masobih)

Imam Nawawi berkata :

قَالَ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ لَا يَجُوزُ لِمَنْ عَلَيْهِ حَجَّةُ الْإِسْلَامِ أَوْ حَجَّةُ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَنْ يَحُجَّ عَنْ غَيْرِهِ

Artinya : “Imam Syafie dan Ashab telah berkata : Tidak harus bagi mereka yang ada atas dirinya kewajipan menunaikan haji atau haji qadha atau nazar dia menghajikan untuk orang lain.” (Kitab Al-Majmu’)

Berkata Syeikh Al-Mubarakfuri :

ظاهر الحديث أنه لا يجوز لمن لم يحج عن نفسه أن يحج عن غيره

Artinya : “Bermula zahir hadith ini bahawsanya tidak harus bagi mereka yang belum menunaikan haji dirinya dia menghajikan orang lain.” (Kitab Mir’atul Mafatih)

Berkata Imam As-Son’ani :

قال: “حج عن نفسك” ابدأ بالحج عن فريضتك التي كلفت بها

Artinya : “Sabdanya ‘ hajikan dirimu dahulu’ artinya mulakan dengan haji yang difardukan ke atas dirimu dahulu yang kamu diwajibkan dengannya.” (Kitab At-Tanwir)

Dan jika orang yang belum menunaikan fardu haji itu dia kerjakan juga haji untuk orang lain maka jadilah haji itu bagi dirinya tidak bagi orang lain.

Berkata Imam Nawawi :

فان أحرم عن غيره وعليه فرضه انعقد أحرامه لنفسه

Artinya : “Maka jika dia ihram untuk orang lain sedangkan atasnya ada kefarduan haji nescaya jadilah ihram itu bagi dirinya.” (Kitab Al-Majmu’)

Dan begitu juga dengan umrah maka tidak boleh orang yang belum menunaikan umrah untuk dirinya hendak menunaikan umrah untuk orang lain.

Berkata Imam As-Syairazi :

ولا يجوز أن يعتمر عن غيره من لم يعتمر عن نفسه قياساً على الحج

Artinya : “Dan tidak harus seorang itu buat umrah bagi orang lain jika dia belum umrah untuk dirinya kerana dikiaskan atas haji.” (Kitab Al-Muhazzab)

Maka jika dia lakukan umrah juga untuk orang lain sedangkan dia belum pernah umrah untuk dirinya maka jadilah umrah itu untuk dirinya di sisi jumhur ulamak dan di sisi mazhab Hanbali pada satu riwayat tidak jadi ia bagi dirinya dan tidak juga bagi diri orang lain.

Berkata Imam Nawawi :

وَلَا لِمَنْ عَلَيْهِ عُمْرَةُ الْإِسْلَامِ إذَا أَوْجَبْنَاهَا أَوْ عُمْرَةُ قَضَاءٍ أَوْ نَذْرٍ أَنْ يَعْتَمِرَ عَنْ غَيْرِهِ بِلَا خِلَافٍ عِنْدَنَا فَإِنْ أَحْرَمَ عَنْ غَيْرِهِ وَقَعَ عَنْ نَفْسِهِ لَا عَنْ الْغَيْرِ هَذَا مَذْهَبُنَا وبه قال ابن عباس والاوزاعي وأحمد اسحق وَعَنْ أَحْمَدَ رِوَايَةٌ أَنَّهُ لَا يَنْعَقِدُ عَنْ نَفْسِهِ وَلَا غَيْرِهِ

Artinya : “Dan tidak harus bagi mereka yang ada atasnya kewajipan menunaikan umrah apabila kami wajibkan umrah itu atau ada atasnya umrah qadha atau umrah nazar bahawa dia hendak umrahkan orang lain tanpa khilaf di sisi kami. Maka jika dia ihram juga umrah untuk orang lain nescaya jadilah umrah itu bagi dirinya tidak jadi bagi orang lain. Inilah mazhab kami. Dan dengannyalah telah berkata oleh Ibnu Abbas r.a. dan Al-Auza’ie dan Imam Ahmad dan Ishaq. Dan diriwayatkan dari Imam Ahmad akan satu riwayat bahawa tidak jadi umrah itu bagi dirinya dan tidak juga bagi orang yang lain.” (Kitab Al-Majmu’)

wallahua’lam


Ustaz Azhar Idrus

01/03/2022 - Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) |

No comments yet.

Leave a comment