Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Orang Islam bertutur baik

Dalam Islam, kata-kata kotor, makian serta ucapan menghina merupakan satu perkara yang sangat tercela dan dilarang. Sesungguhnya segala sumber perkataan kotor atau nista itu timbul daripada watak yang rendah dan jiwa yang hina.

Oleh hal yang demikian itu, ada pendapat mengatakan “Bahasa Jiwa Bangsa” dan kerana itulah Rasulullah s.a.w mengingatkan kita bahawa “Jauhilah olehmu semua kata-kata kotor kerana Allah tidak suka kepada kata-kata kotor atau yang menyebabkan timbulnya kata kotor daripada orang lain.”

Kata-kata kotor, nista, umpatan dan kejian menyebabkan manusia berkonflik, bergaduh dan seterusnya bersengketa sehingga berlakunya pembunuhan, pertumpahan darah dan lenyap sama sekali. Mungkin kita boleh jadikan teladan, bagaimana masyarakat Islam terus membenci bekas Presiden Amerika Syarikat George W. Bush apabila beliau menyifatkan Iran dan Iraq sebagai “paksi kejahatan.”

Seluruh masyarakat Islam, sama ada secara langsung atau tidak langsung mengutuk pemberian gelaran itu terhadap negara-negara Islam.

Kita mungkin teringat dengan hukuman yang pernah diberikan oleh Ayatollah Khomeini apabila Salman Rushdie mempersendakan Rasulullah s.a.w dan ayat-ayat Allah sebagai ‘surah syaitan’. Mungkin juga kita tidak lupa dengan kata-kata pedih yang pernah dikeluarkan oleh pemimpin tertentu bagi menggambarkan watak yang tidak disukainya. Dengan menggunakan kata-kata kesat, umpatan dan nista, Shahnon Ahmad telah meloyakan khalayak pembaca melalui perulangan kata-kata dalam novel Shit, dan pernah menimbulkan kontroversi kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan politik negara suatu ketika dahulu.

Mungkin kerana marah atau ada sesuatu yang terguris di hatinya, Shahnon Ahmad mungkin telah lupa bahawa Rasulullah s.a.w pernah memberikan peringatan bahawa: seorang mukmin bukanlah tukang mencela, tukang melaknat orang, tukang berkata kotor dan berkata rendah. Syurga itu diharamkan bagi setiap orang yang berkata kotor untuk memasukinya.

Dalam membuat sesuatu tuduhan, berkata-kata kita seharusnya menjadikan perilaku dan tutur kata Rasulullah s.a.w sebagai contoh yang terbaik. Baginda tidak pernah mengeluarkan kata-kata kesat, walaupun berhadapan dengan musuhnya.

Sebaliknya, baginda membalas dengan senyuman dan menasihati secara berhemah dan tidak menyakiti atau melukai perasaan orang lain.

Anas bin Malik r.a pernah merakamkan bahawa: “Tidak pernah Rasulullah s.a.w melakukan perbuatan keji, tidak pula kotor lidah (suka mengutuk) dan tidak pula mancaci maki. Ketika seseorang mencela baginda sebagai seorang yang kotor (berdebu) kerana banyak (sujud), baginda hanya mengatakan apa yang dia miliki.”

Rasulullah s.a.w adalah seorang yang benar-benar memelihara lisannya. Sekalipun terhadap orang-orang kafir yang menentang dakwahnya. Baginda tidak mudah mengeluarkan kata-kata laknat atau menyakitkan hati.

Abu Hurairah r.a berkata bahawa ia menemui seorang lelaki yang ketagihan arak. Lalu dihadapkan lelaki itu kepada Nabi Muhammad s.a.w agar dihukum. Di antara para sahabatnya ada mengatakan: “saya memukul dengan tangan”, “saya memukul dengan kasut” dan “saya memukul dengan baju.”

Ketika lelaki itu berpaling (ke arah sahabat), seorang sahabat menyatakan “semoga Allah s.w.t menghinamu!” Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Janganlah kamu meminta bantuan syaitan dalam menghadapinya.”

Daripada Abu Darda r.a. katanya:

“Aku memohon kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, doakanlah (kecelakaan) bagi orang-orang musyrik. Rasulullah menjawab: Sesungguhnya aku diutus bukan untuk melaknat (mengutuk), tetapi aku diutuskan untuk memberi rahmat.”

Begitulah citra peribadi Rasulullah s.a.w, dengan akhlak yang luhur telah memberikan contoh kepada manusia agar selalu menghindari sebarang tindakan secara melulu dan selalu sabar dalam menghadapi setiap rintangan atau masalah.

Dalam konteks ini jelas sekali sikap berlebih-lebihan dalam beragama yang menjadi pegangan sesetengah orang bukanlah daripada ajaran Islam. Ini kerana Islam lebih mendahulukan sikap pertengahan atau kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan. Bukan sekadar itu sahaja, bahkan Islam mengingatkan setiap umatnya agar tidak terjerumus pada dua kesesatan, iaitu berlebih-lebihan atau bersikap lalai.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Tunjukilah kami jalan yang lurus (iaitu) jalan orang-orang yang telah Engkau anugerahkan nikmat kepada mereka dan bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat.” (Al-Fatihah: 6-7)

Dalam masyarakat Islam, tidak ada tempat bagi kaum Muslimin untuk meremehkan nilai-nilai luhur yang dijunjung oleh Islam. Masyarakat Islam menjunjung tinggi nilai-nilai moral dan kemanusiaan yang luhur dalam kehidupan umat manusia.

“Tahukah kamu siapa yang disebut orang bankrap itu. Para sahabat menjawab: “Orang yang tiada lagi mempunyai wang dan harta.” Rasulullah s.a.w bersabda: Orang yang bankrap adalah yang datang pada hari kiamat amalan solat, puasa dan zakat, tetapi bersamaan itu juga ia telah mencaci maki, menuduh, memakan harta tidak halal, mengalirkan darah (tanpa hak) dan memukul ini dan itu.”

Maka amalan baiknya dilimpahkan kepada orang yang berhak menerimanya (yang ia caci) dan jika amalan baiknya habis padahal belum dapat menutup kesalahannya, maka kesalahan (orang yang dicaci itu) dilimpahkan kepadanya, kemudian ia ditempatkan ke dalam neraka.

Seseorang Muslim itu perlu memelihara lisan atau lidahnya daripada mencaci maki, walaupun dengan alasan yang kuat. Lebih utama memadamkan api kemarahan itu agar tidak terjadi permusuhan yang mengheret kepada perbuatan dosa.

Daripada Ali bin Abi Talib r.a, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Yang berbuat keji dan menyiarkan kekejiaan itu berada dalam keadaan sama-sama berdosa.”

Allah berfirman yang bermaksud: “Kecelakaan besarlah bagi tiap-tiap pencaci dan pengkeji.” (Al-Humazah: 1)

Dalam ayat ini, Allah s.w.t mengutuk perbuatan jahat iaitu menyebarkan fitnah, bercakap ataupun mengisyaratkan perkara yang jahat sama ada terhadap seorang lelaki atau perempuan dengan kata-kata ataupun secara isyarat, atau perangai, atau secara mengajuk-ajuk, ataupun sindiran atau caci maki.

Sesungguhnya Allah s.w.t itu pemalu, penutup (cela), menyukai malu dan tertutup, maka apabila salah seorang kamu mandi maka hendaklah ia ditutup.

Demikian juga firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (Wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Bukanlah tergolong daripada orang mukmin yang suka mencela, mengutuk dan mengeji. Dan bukan pula mereka yang berlidah kotor.” (An-Nahl: 25)

Daripada ayat-ayat al-Quran serta beberapa hadis yang tersebut jelaslah membuktikan bahawa Islam melarang umatnya melabelkan dengan sesuatu yang buruk dan memaki hamun sesama Muslim.

Ini kerana kerja-kerja mencarut, memaki, dan mencaci adalah kegiatan dan perbuatan syaitan. Bagi mereka yang masih tegar dengan pengucapan negatif bagi mewajarkan kenyataan berbaur fitnah, nista dan cela bersandarkan pendapat bahawa Islam tidak melarang umatnya mencarut adalah satu usaha pemesongan dan bertentangan dengan budaya Islam. Mohonlah perlindungan Allah s.w.t daripada sifat yang buruk.

 

 

Oleh MOHD SHAUKI ABD MAJID (YADIM)

4 April 2013 Posted by | Tazkirah | , , , | Leave a comment

Bila diharuskan memperkatakan keburukan orang lain?

Mengatalah tu….

1. Hukum asal memperkatakan keburukan orang lain adalah haram. Jika keburukan itu benar-benar dilakukannya lalu kita memperkatakannya -tanpa suatu desakan yang diiktiraf oleh Syariat- kita dianggap mengumpat (ghibah). Jika keburukan itu tidak dilakukannya (yakni kita yang mengada-adakannya), kita telah melakukan dosa fitnah dan juga ghibah (umpatan). Sama ada mengumpat (ghibah) atau fitnah, kedua-duanya adalah dosa besar, apatah lagi jika menggabungkan kedua-duanya. Dalam Soheh Muslim, terdapat hadis dari Abu Hurairah yang menceritakan; Nabi pernah bertanya para sahabatnya; “Tahukah kamu apa itu ghibah (umpatan)?”. Mereka menjawab; “Allah dan RasulNya lah yang paling tahu”. Nabi menjawab; “Ghibah (umpatan) ialah kamu menyebut tentang saudara kamu sesuatu yang ia tidak suka”. Lalu seorang bertanya Nabi; “Apa pandangan kamu ya Rasulullah jika apa yang aku sebutkan tentang saudaraku benar-benar ada pada pada dirinya”. Jawab Nabi; “Jika ia benar-benar ada pada dirinya, lalu kamu menyebutnya, maka kamu mengumpatinya. Namun jika ia tidak ada padanya, lalu kamu menyebutnya (dengan mereka-rekanya), maka kamu telah mengadakan suatu pembohongan terhadapnya” (HR Imam Muslim, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah).

2. Bagi masalah ghibah (iaitu menceritakan/mendedah keburukan orang lain atau menyebut orang lain dengan suatu nama yang buruk) dikecualikan bagi enam situasi berikut mengikut yang dijelaskan oleh para ulamak (antara Imam an-Nawawi dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim dan Riyadhus-Salihin);

A) Apabila diri dizalimi; Harus orang yang dizalimi membuat pengaduan kepada pemerintah, qadhi atau pihak berkuasa lainnya dengan menceritakan keburukan atau kezaliman orang yang menzaliminya.

B) Memohon bantuan untuk mengubah suatu kemungkaran dan mengembalikan pelaku maksiat kepada kebenaran. Seperti seorang melaporkan kapada pihak yang berkuasa mengubah kemungkaran; “Si Fulan telah melakukan perbuatan sekian sekian, tegahlah ia”.

C) Bertujuan mendapatkan fatwa (pandagan agama); Seperti Hindun yang mengadu kepada Nabi sikap kedekut suaminya. Ia berkata kepada Nabi; “Ya Rasulullah, suamiku Abu Sufyan seorang yang kedekut, bolehkah aku mengambil wangnya tanpa diketahuinya?”.

D) Memberi peringatan kepada kaum muslimin agar berjaga-jaga dari suatu kejahatan; Seperti mendedahkan kepalsuan seorang yang pura-pura alim atau pembawa ajaran sesat supaya orang ramai mengetahui hakikat dirinya yang sebenar. Begitu juga, mendedahkan penyelewengan seorang pemimpin dalam mentadbir rakyat kepada orang yang berkuasa melantiknya agar mereka tidak tertipu untuk terus memberi kuasa kepadanya.

E) Seorang yang berterang-terangan melakukan dosa atau kesesatan seperti berterang-terang minum arak, berterang-terang menganut fahaman sesat atau seumpamanya. Orang sebegini harus disebut tentang dirinya dengan maksiat yang dilakukannya secara terang itu. Adapun maksiat yang dilakukannya secara tersembunyi, tidak harus disebut kecuali ada suatu sebab yang lain.

G) Untuk memperkenalkan seseorang; Harus menyebut seseorang dengan suatu gelaran jika ia masyhur dikenali dengan gelaran itu. Haram menyebut suatu gelaran dengan tujuan merendahkan martabat orang lain.

Dalam enam situasi di atas, dibolehkan kita memperkatakan/mendedahkan keburukan orang lain kerana ia mempunyai tujuan yang diharuskan Syariat untuk maslahah yang lebih besar dari maslahah individu yang diperkatakan keburukannya.

3. Oleh kerana hukum mengumpat adalah haram pada hukum asalnya dan dosanya adalah besar, maka orang yang terpaksa menggunakan pengecualian di atas ia hendaklah memerhatikan perkara berikut;

A) Memerhati niat dalam hatinya; apakah ia benar-benar terpaksa memperkatakannya atau hanya lahir dari keinginan nafsunya sahaja. Jika hati benar-benar berkata; “Aku wajib mendedahkannya demi agama dan ummah”, maka bertawakkallah kepada Allah dan teruskanlah apa yang diyakini. Namun jika hati berkata; “Ini hanya keinginan nafsu sahaja”, batalkanlah niat untuk berkata tentang orang lain itu, kerana padah yang bakal kita terima tidak padan dengan sedikit kepuasan yang kita dapat.

B) Ia hendaklah mengukur natijah darinya; adakah dengan memperkatakannya akan membawa kesan lebih baik atau dengan senyap sahaja dan mencari pendekatan lain yang lebih baik untuk membetulkan orang terbabit.

C) Setiap yang dilakukan kerana darurat (kerana hukum asalnya adalah haram) tidak harus berlebihan, yakni dilakukan sekadar perlu sahaja.

D) Maksiat yang dilakukan berkait dengan orang lain, yakni pendedahan terpaksa dilakukan untuk mengelak orang lain turut terlibat atau terzalimi jika mereka tidak mengetahuinya. Adapun maksiat yang bersifat peribadi tidak harus didedahkan kerana ia adalah dosa antara pelakunya dengan Allah. Sesuatu yang ditutup Allah, tidak berhak kita membukanya kerana nanti keaiban kita pula akan dibuka Allah.

Walalhu a’lam.

Rujukan;

1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, Kitab al-Birr wa as-Silah, bab Tahrim al-Ghibah.
2. Riyadhus-Salihin, Imam an-Nawawi, Bab Ma Yubahu Min al-Ghibah.

Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL (SU Panel Syariah HPA)

14 June 2011 Posted by | Politik dan Dakwah, Tasauf | , , | Leave a comment

Adakah mengumpat dan lidah cabul amalan orang politik?

Lidah cabul, suka memaki hamun, mengumpat dan suka berkata benda benda kotor adalah sifat keji yang di larang oleh agama.Ia nya adalah di antara sifat sifat yang tercela.Dalam agama manusia yang ada sifat ini di kategorikan manusia yang jahat dan durjana.

Amat malang sekali Umat Islam zaman ini terutama pemimpin pemimpin politik berdemokrasi dan penyokong penyokong nya, ramai yang terkena penyakit ini.Mereka mengamalkan sifat ini terang terang tanpa segan silu.Seolah olah ia nya satu kemestian bagi orang orang politik untuk memiliki sifat ini dalam berpolitik.Orang politik yang tidak mempunyai sifat ini akan tertekan dan tersingkir.

Bahkan ada ahli ahli agama yang membenarkan perkara ini (terutama bab mengumpat) atas alasan menentang kezaliman.Memang benar tetapi sifat ini tidak boleh di pergunakan sesuka hati .Hanya kadhi, hakim dan ulama sahaja boleh mengumpat.Kerana mereka arif dalam perkara ini.Bagi orang awam adalah terhad.Itu pun ada juga ulama mengatakan mengumpat yang di benarkan itu pun amat bahaya kalau di laksanakan.Ia nya umpama bermain main di pinggir neraka! Tersilap mengumpat masok ke dalam lubang neraka.

Mengumpat itu melanggar kehormatan orang lain saperti yang di jelaskan oleh Sabda Rasulullah s.a.w:

“Wahai golongan orang orang yang telah beriman lidah nya, tetapi belum beriman hati nya! Jangan lah kamu mengumpat kaum Muslimin dan jangan pula mengintip intip keaiban keaiban nya.Sebab barang siapa yang mengintip keaiban saudara nya nescaya Allah akan mengintip keaiban nya, nescaya Dia kan mendedahkan nya, meskipun ia berada di tengah tengah rumah.”

Sabda nya lagi“Wahai orang orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum menghina kaum yang lain, sebab mungkin sekali mereka yang di hina itu lebih baik dari yang menghina.Dan jangan pula kaum perempuan menghina perempuan yang lain, barangkali mereka yang dihina lebih baik dari mereka yang menghina.”

Rasulullah s.a.w telah bersabda bermaksud:
“Waspadalah kamu dari kata kata yang kotor, kerana sesungguh nya Allah Ta’ala tiada suka kepada kata kata yang kotor dan perilaku yang cabul.”

Rasulullah s.a.w pernah melarang para sahabatnya supaya jangan memaki hamun kaum Musyrikin yang terbunuh di dalam peperangan Badar dengan sabdanya:
“Jangan kamu memaki maki mereka ini, yakni orang orang Musyrikin yang terbubuh di dalam perang Badar itu, sebab caci maki mu itu tidak akan memberikan apa apa kesan kepada mereka, malah sebalik nya kamu akan menyakiti hati orang orang yang masih hidup (dari keluarga si mati).
Bahawsanya kata kata kotor itu adalah suatu kejahatan.

Rasulullah bersabda lagi:” Bukan seorang Mukmin jika ia jadi pencaci, pelaknat, yang suka berkata kotor kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata kata hina.”

Datang seorang Arab badawi kepada Rasulullah s.a.w lau bertanya.
“Wahai Rasulullah! Berikanlah aku suatu wasiat ! Maka Rasulullah pun bersabda:
” Hendaklah engkau bertaqwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau lantaran sesuatu keaiban yang di ketahuinya ada padamu, maka jangan lah hendaknya engkau membalasnya dengan memalukan nya lantaran sesuatu keaibannya yang engkau mengetahui pula, kelak bencananya akan tertimpa atas orang itu, manakala pahalanya pula akan dicatitkan bagi mu.Juga jangan sekali kali memaki sesuatu.”


Rujukan: Kitab Ihya’ Ulumiddin

 

28 April 2009 Posted by | Politik dan Dakwah | , | 2 Comments

Ghibah (Mengumpat)

DI ANTARA BAHAYA LIDAH YANG MENGGAWATKAN MASYARAKAT

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu ‘Ala Rasulillah, Wa’alaa Aalihie Wasahbihie Waman Walaah Hakikat yang dimaksudkan dengan mengumpat atau ghibah itu ialah menyebut akan hal seseorang dengan sesuatu yang tidak disukainya di belakangnya. Baik yang disebut itu ada pada badannya, agamanya, dunianya, dirinya, isteri/suaminya, ahli keluarganya, orang gajinya, sahabatnya, pakaiannya dan lain-lain. Di dalam sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu berkata yang maksudnya :

“Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? ” Para sahabat berkata: “Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu” Baginda bersabda: “(Mengumpat itu ialah) Penyebutanmu terhadap saudaramu tentang sesuatu yang tidak disukainya” Dikatakan: “Bagaimana pendapat Tuan jika yang aku katakan itu memang benar terjadi pada saudaraku?” Baginda bersabda: “Jika apa yang engkau katakan itu memang benar maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnyat, tetapi jika apa yang engkau katakan itu tidak benar maka sesungguhnya engkau telah membuat dusta kepadanya.”

(Hadits riwayat Muslim)

Adapun contoh-contoh mengumpat dengan menyebut bahagian badan seseorang itu, umpamanya dengan menyebut bahawa si polan itu gemuk, kurus, hitam, atau pendek. Terhadap agama seseorang, misalnya dikatakaan si polan itu fasik, pengkhianat, berpura-pura alim, meremehkan kewajipan agama, kurang ajar kepada orang tua, bakhil atau suka mengumpat. Terhadap dunia seseorang pula misalnya disebut si polan itu tidak beradab, tidak peramah dan peduli orang, pemalas berkerja, kuat membuang masa, tidak pandai bergaul.

Contoh mengumpat yang berhubung dengan diri, suami/isteri, ibubapa, ahli keluarga, orang gaji dan sahabat seseorang pula misalnya dikatakan si polan itu sombong, buruk perangai, pencuri, penipu, tukang kebun, peminta sedekah, tidak bermaruah atau berpenyakit.

Yang berhubung dengan pakaian seseorang umpamanya disebut si polan itu pakaiannya murah, tidak berseterika, berpakaian kotor, selekeh dan lain-lain.

Pendeknya apa saja perkara yang diperkatakan di belakang seseorang yang jika didengar oleh orang yang diperkatakan (diumpat) itu, dia membencinya dan tidak menyukainya maka itulah namanya umpat atau ghibah. Orang yang melakukan perkara sedemikian adalah berdosa dan layak mendapat seksa sebagaimana yang diberi amaran oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Mengumpat itu tidak hanya terbatas perlakuannya dengan menyebut dengan lidah sahaja, bahkan ia termasuk juga perlakuan dengan tulisan, pergerakan, isyarat dengan mata, tangan, mulut dan sebagainya. Kesimpulannya setiap ungkapan atau perbuatan yang dapat difahami daripadanya menyebut kekurangan atau keaiban seorang Islam di belakangnya adalah dikira perkara mengumpat yang diharamkan.

Sebagai contohnya, meniru-niru cara berjalan seseorang kerana timpangnya jalan seseorang itu atau dari bermacam-macam gerak-geri orang yang dianggapnya sebagai sesuatu kekurangan, maka perbuatan seperti itu dianggap sebagai umpat juga yang mana hukumnya adalah haram tanpa ada perselisihan pendapat di kalangan ulama.

Demikian pula misalnya seorang pengarang buku yang dengan jelas menyebut seseorang yang tertentu di dalam tulisannya umpamanya: “Si polan itu begini dan begini”, dengan maksud menyebutkan kekurangan dan menghinanya, maka adalah haram hukumnya.

Tetapi jika tulisan itu dimaksudkan untuk menerangkan kesalahan seseorang agar tidak diikuti oleh orang lain atau dengan maksud menerangkan lemahnya satu-satu pendapat itu agar orang lain tidak terpedaya kepadanya, maka itu tidaklah dinamakan ghibah (umpat) bahkan ia adalah nasihat yang memang wajib dilaksanakan bagi memelihara kesucian agama.

Demikian juga apabila seorang pengarang menulis: “Sebenarnya pendapat satu kaum atau jemaah itu adalah salah dan satu kejahilan, kebodohan, kelalaian dan seumpamanya” , maka tulisan yang seumpama ini tidak disebut sebagai ghibah. Sebab yang dinamakan ghibah itu ialah menyebut secara langsung dan terang peribadi orang perseorangan atau suatu kaum atau jemaah dengan langsung dan terperinci.

Termasuk juga dalam ghibah yang diharamkan, seperti umpamanya dikatakan: “Yang melakukan perkara buruk itu ialah orang-orang itu, sebahagian fuqaha, sebahagian orang alim, sebahagian pendakwah, sebahagian orang kampung di hujung sana” Bilamana orang yang diajak bercakap mengetahui, memahami dan mengenali mereka yang disebut itu, maka jadilah ia ghibah.

Begitu juga ghibah yang diharamkan termasuk apabila ada niat untuk menyindir dan menghina seseorang yang ditanyakan. Contohnya apabila ada orang ditanya: “Bagaimana keadaan dan khabar si polan?” Orang itu menjawab: “Semoga Allah mengampuni dan menjadikan kita ini baik” atau “Kita bermohon saja keselamatan daripada Allah” atau “Kita berlindung kepada Allah dari kejahatannya” atau “Semoga Allah memaafkan kita kerana kurang malu” dan sebagainya yang dapat difahami bahawa jawaban itu adalah mengandungi sindiran sinis yang menyatakan kekurangan orang yang ditanyakan.

Inilah di antara contoh-contoh ghibah (umpat) secara tidak langsung, tetapi si pendengar atau orang yang diajak bercakap memahami bahawa maksudnya ialah menyebut kekurangan seseorang itu.

Hukum haram mengumpat bukan hanya terbatas kepada orang yang mengumpat sahaja. Orang yang mendengar atau menyetujui apa yang diumpatkan juga adalah haram hukumnya. Orang yang mendengar seseorang yang mengumpat, wajiblah bagi yang mendengar itu mencegah perkara tersebut jika dia tidak merasa takut terancam olehnya. Jika dia tidak mampu untuk mencegahnya, maka wajib dia mengingkarinya dengan hatinya dan menjauhi atau meninggalkan tempat itu jika dia boleh berbuat begitu. Jika dia mampu menegur dengan kata nasihat atau dapat mengalihkan percakapan tersebut kepada hal-hal yang lain, maka wajiblah dia melakukan perkara itu. Jika dia tidak melakukannya, dia juga turut berdosa.

Apabila seseorang berada di dalam suatu majlis yang sedang berlaku di dalamnya ghibah (umpat) dan dia tidak mampu mencegahnya atau dia sudah cuba mencegahnya, tetapi tidak dihiraukan oleh orang-orang yang berada di majlis itu dan tidak ada jalan baginya untuk meninggalkan majlis tersebut, maka untuknya beberapa jalan keluar. Hendaklah dia berzikir kepada Allah Ta‘ala dengan lidah dan hatinya atau dengan hatinya sahaja atau hendaklah dia berfikir pada perkara lain bagi memalingkan dirinya dari mendengar ghibah yang ada di majlis itu. Dengan demikian tidaklah ada apa-apa (dosa) setelah itu jika dia terdengar percakapan ghibah itu. Jika ada peluang baginya untuk meninggalkan majlis tersebut sesudah itu, maka wajib dia meninggalkan tempat itu selagi mereka tetap melakukan ghibah (umpat). Firman Allah Ta‘ala dalam surah Al- An‘am ayat 68 yang tafsirnya :

“Dan apabila engkau melihat orang-orang yang memperkatakan dengan cara mencaci atau mengejek-ejek ayat-ayat Kami, maka tinggalkanlah mereka sehingga mereka memperkatakan soal yang lain dan jika engkau dilupakan oleh syaitan (lalu engkau duduk bersama mereka), maka janganlah engkau duduk lagi bersama-sama kaum yang zalim isesudah engkau teringat (akan larangan itu).”

Yang terlebih baik bagi seorang Islam itu apabila dia mendengar seseorang mengumpat orang Islam yang lain lebih-lebih lagi orang yang diumpat itu orang yang mempunyai nama baik dan tergolong di kalangan orang baik-baik, maka seharusnya dia melarang perkara tersebut demi mempertahankan kehormatan orang itu. Apabila di akhirat nanti, Allah Ta‘ala pula akan mempertahankan dirinya daripada api neraka sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abu Darda’ Radhiallahu ‘anhu daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: “Barangsiapa menolak (melarang) dari (diumpat) kehormatan peribadi saudaranya, nescaya Allah akan menolak (memalingkan) api neraka daripada dirinya kelak di Hari Kiamat.”

(Hadits riwayat Tirmidzi)

Manakala daripada Jabir bin Abdullah dan Abu Thalhah bin Sahl Al-Anshari Radhiallahu ‘anhum, keduanya berkata, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya : “Tidak ada seorang yang menghina seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menghinakannya di tempat di mana dia ingin mendapat pertolongan- Nya. Dan tidak ada seorang yang menolong seorang muslim di suatu tempat di mana dijatuhkan kehormatannya dan dikurangkan harga dirinya, melainkan pasti Allah akan menolongnya di tempat di mana dia sangat mengharapkan pertolongan- Nya.

(Hadits riwayat Abu Daud)

Apabila seseorang telah terlanjur melakukan ghibah (umpat) kepada saudaranya, maka dituntut dengan segera agar dia bertaubat dari dosa itu. Taubat kerana perlanggaran hak Allah (yang wajib dilaksanakan oleh hamba-Nya) adalah dengan tiga syarat iaitu:

1. Menarik diri dari melakukan maksiat ketika itu juga

2. Menyesal dari perbuatan dosa itu

3. Berazam tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu

Oleh kerana maksiat ghibah ini menyangkut dengan hak orang lain maka selain tiga syarat di atas ditambah lagi dengan syarat yang keempat iaitu:

4. Mengembalikan sesuatu yang diambilnya secara tidak sah kepada pemiliknya atau meminta maaf dari kesalahannya itu dan memohon supaya dibebaskan dari tuntutan sesuatu itu.

Dari Pejabat Mufti Brunei Darul Salam

25 August 2008 Posted by | Bicara Ulama | , | Leave a comment

   

%d bloggers like this: