Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

CIRI CIRI PEMIKIRAN NEO KHAWARIJ

Hadis oleh Ibn Umar dalam Sahih al-Bukhari iaitu, “golongan Khawarij adalah sejahat-jahat makhluk Allah. Mereka mengambil ayat Al-Quran yang diturunkan kepada orang kafir dan meletakkan kepada orang Islam.”

Pemikiran Khawarij ini antaranya bertitik tolak daripada ketaksuban terhadap kelompok sendiri dgn mempertikai keabsahan atau keluar dari ketaatan kepada pemimpin yg sah yg dipersetujui, sehinggalah kemuncaknya timbul isu menuduh dan mempersoalkan keimanan dan keIslaman seseorang.

Di sebabkan pemikiran ghuluw ini berlakunya perbalahan/perpecahan umat seperti yang telah berlaku di awal sejarah perkembangan Islam ketika zaman para sahabat dahulu.

Islam menentang keras terhadap pemikiran yang ghuluw dan ekstrem. Rasulullah saw berjaya meletakkan prinsip-prinsip yang bijaksana dalam menunjukkan sikap kesederhanaannya. Demikian juga para ulama salaf yang mengamalkan dasar kesederhanaan dalam melaksanakan syariat.

Golongan pelampau agama seperti Khawarij ini merupakan orang yang melanggar batas kesederhanaan dalam amalan agama sama ada dari sudut pemikiran dan amalan. Ia merupakan satu tindakan yang terkeluar dari jalan yang ditempuh oleh ulama salaf dalam memahami Islam.

Hadis Ibnu Abbas menyebut bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau. Maka sesungguhnya umat sebelum kamu telah dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (HR Ahmad).

Biasanya golongan pelampau agama ini jg dikaitkan dengan sikap ketaksubannya berhubung dengan pandangannya tanpa mengiktiraf pandangan orang lain. Mereka menafikan pandangan orang lain dengan sewenang-wenangnya.

Apa yang menghairankan golongan ini membolehkan dirinya berijtihad dalam masalah yang kompleks dan isu yang kabur, lalu mengeluarkan fatwa mengikut pemikirannya, sama ada bertepatan atau bersalahan dengan agama seolah olah golongan ini tidak menemui pandangan ulama semasa yang pakar dalam sesuatu bidang, secara individu atau kolektif berijtihad pada pendapat yang bertentangan dengan pendapatnya.

Pola pemikiran neo-khawarij dan karakternya hampir sama dengan khawarij lama. Berfikir secara simplistik terhadap Islam yang selayaknya dapat menjawab segala tuntutan zaman, sehingga membuat mereka terlihat eksklusif dan konservatif.

Maka inilah taksub yang dibenci di mana ia merasakan dirinya sahaja yang betul, menolak pendapat yang selain daripadanya. Golongan pelampau agama lebih kasar dan keras sifatnya dalam pergaulan dan tindakan. Bahkan terlalu radikal dalam menyampaikan seruan dakwah. Kdg² ternampak emosional, lantang dgn ugutan dan hukuman dlm penyampaian.

Sudah menjadi tabiat golongan pelampau agama di mana menjadi kebiasaannya bersangka buruk terhadap orang lain serta memandang mereka dengan pandangan yang negatif. Berburuk sangka dengan menyembunyikan kebaikan orang lain dan pada masa yang sama membesar-besarkan keburukan orang.

Kemuncak kepada ciri-ciri melampau dalam beragama ialah mereka menggugurkan hak muslim yang lain sehingga ke tahap menghalalkan darah sepertimana golongan Khawarij yang mengkafirkan semua orang yang tidak sependapat dengannya pada zaman pemerintahan Khalifah Ali bin Abi Talib.

Pada hari ini wujudnya mereka yang masih mengkafirkan/memunafikkan sesama Islam hanya kerana dosa-dosa kecil atau khilaf di dalam perkara-perkara furu’ agama atau berbeza pendekatan dalam isu politik

Sikap melampau dalam agama sebenarnya berpunca daripada kefahaman yang salah/cetek terhadap doktrin Islam dan hukum-hakamnya serta tidak memahami suasana yang mendorong serta menyumbang ke arah pembinaan doktrin serta hukum tersebut

Beberapa ciri ciri khawarij

  1. Mudah mengkafirkan/memunafikkan orang yang tidak segolongan dengan mereka.
  2. Islam yang benar adalah yang diamalkan kelompoknya. Islam lainnya dianggap tidak benar
  3. Puak khawarij bersikap fanatik/keras dan tidak segan menggunakan kekerasan untuk mencapai tujuannya.
  4. Sangat fanatik terhadap pendapat/puak mereka yang dianggap benar. Mereka mudah menuduh orang atau kelompok lain sesat hanya kerana berbeza pendapat/fahaman.
  5. Mereka ini juga adalah golongan yang taat beragama, berpuasa, mendirikan sembahyang dan membaca al-Quran. Tetapi mereka telah rosak dari segi ideologi dan bukannya jasmani.

Biasanya tabiat pemikiran kelompok ini menempatkan politik atas kemanusiaan. Sifat mereka sangat keras dan sukar untuk diajak berdamai. Setengah mereka rela menumpahkan darah (paradigma takfiri) demi mencapai cita-cita politik mereka. Pada hal Islam mengajarkan meletakan kemanusiaan diatas segala-galanya. ”Siapa yang bukan saudaramu dalam agama adalah saudaramu dalam kemanusiaan” kata Sayidina Ali.

Sesetengah ciri pergerakan Islam hari ini jg cuba menampilkan keperibadian seorang insan daripada kalangan mereka yang dianggap warak. Tetapi hakikatnya mereka melampau daripada batas keadilan dan kasih sayang

Ciri-ciri khawarij ini akan kekal wujud hingga ke akhir zaman sebagaimana nas-nas hadis yang mengisyaratkan hal tersebut.

IBNU ALI…

10/03/2024 Posted by | Bicara Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

MASIH WUJUDKAH KHAWARIJ?

Salah faham

Terdapat pihak yang mengatakan tidak benar mereka yang mendakwa kelompok Daesh atau ISIS itu sebagai Khawarij. Ini kerana Khawarij telah lama luput ditelan zaman. Sebaliknya Daesh atau ISIS adalah kelompok yang berpegang kuat kepada al-Qur’an dan al-Sunnah demi menegakkan Khilafah Islamiyyah. Benarkah kenyataan ini?



Pencerahan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Dari segi sejarah, kemunculan Khawarij berkait rapat dengan suasana ketidakstabilan politik yang berlaku dalam kalangan umat Islam pada penghujung zaman Khulafa al-Rasyidin. Menurut Dr. Muhammad ‘Imarah, kumpulan Khawarij pada awalnya muncul kebanyakannya daripada kalangan golongan al-Qurra’ yang majoritinya terdiri daripada golongan ‘arab badwi yang tidak memahami selok belok percaturan politik. Mereka juga tidak mampu untuk menerima hakikat apabila kaum Quraish mengambil alih kepimpinan dan memiliki keistimewaan tertentu setelah Islam menyamaratakan antara kaum Muslimin.

Golongan al-Qurra’ berperanan besar sehingga tercetusnya pemberontakan terhadap Sayyiduna Uthman bin Affan, terutamanya ketika timbulnya isu yang melibatkan kaum kerabat Bani Umayyah pada enam tahun kedua pemerintahan Uthman. Selepas pembunuhan Uthman, golongan al-Qurra’ menjadi kumpulan teramai yang menyokong Sayyiduna Ali bin Abi Talib dalam memerangi penentang-penentang Ali. Bagaimanapun setelah perang Siffin dan peristiwa tahkim antara Ali dan Mu‘awiyah, golongan ini telah keluar daripada kumpulan Ali kerana tidak bersetuju dengan tindakan Ali untuk menerima tahkim. Kumpulan ini kemudiannya dikenali dengan gelaran Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 15-19)

Kata-kata terkenal yang dilaungkan oleh puak Khawarij ketika menolak tahkim antara Ali dan Mu’awiyah adalah, “Kedua-dua pengadil itu telah kafir, tidak ada pengadilan melainkan bagi Allah”. (Lihat Tarikh al-Ya’qubi, 2/190) Peristiwa tahkim adalah titik mula kemunculan golongan Khawarij. Ia bermula dengan pendirian mereka yang mengkafirkan Ali bin Abi Talib, Mu’awiyah bin Abi Sufyan, Talhah, al-Zubayr dan Aishah RAnhm serta menghalalkan darah mereka. Lama kelamaan konsep kafir turut mengalami perubahan. Kafir bukan lagi hanya dinisbahkan kepada orang yang tidak berhukum dengan al-Quran, tetapi orang yang berbuat dosa besar juga turut dipandang sebagai kafir oleh golongan Khawarij. (Lihat Tayyarat al-Fikr al-Islami, 23; al-Madhahib al-Tawhidiyyah wa al-Falsafah al-Mu‘asirah, 59-60)

Daripada peristiwa ini, isu ini akhirnya telah berubah menjadi satu fahaman teologi melibatkan kedudukan pelaku dosa besar. Bagi Khawarij, mereka berpandangan pelaku dosa besar adalah kafir dan terkeluar daripada Islam. Ini berbeza dengan Muktazilah yang berpandangan bahawa pelaku dosa besar adalah bukan mukmin dan bukan juga kafir tetapi berada antara dua kedudukan atau dikenali sebagai al-manzilah bayn al-manzilatayn. Sementara Murji’ah pula mengatakan bahawa pelaku dosa besar tetap dianggap beriman dengan iman yang sempurna manakala dosanya diserahkan kepada Allah SWT sama ada diampuni atau tidak.

Secara umumnya, pemikiran Khawarij berkait rapat dengan perbahasan mengenai kedudukan pelaku dosa besar yang melibatkan tiga aliran utama yang lain. Pertama, golongan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang mengatakan pelaku dosa besar dianggap sebagai seorang yang beriman dan menjadi fasiq dengan perlakuan itu manakala urusannya di akhirat nanti adalah terserah kepada kehendak Allah SWT. (Lihat Tarikh al-Mazahib al-Islamiyyah, 1/167)

Asas kedudukan ini kerana Ahli Sunnah mendefinisikan iman sebagai ikrar dengan lisan, tasdiq dengan hati, beramal dengan anggota badan serta bertambah dan berkurang.

Kedua, golongan Murjiah yang berpendapat pelaku dosa besar tetap kekal keimanannya tanpa berkurangan atau terjejas sedikit pun.

Ketiga, golongan Muktazilah yang beranggapan kedudukan pelaku dosa besar tergantung-gantung antara menjadi seorang mukmin atau seorang kafir, manakala di akhirat nanti ia kekal di dalam neraka selama-lamanya.

Di antara kumpulan-kumpulan tersebut, Khawarij menjadi kumpulan yang paling esktrem. Ini kerana Khawarij berpandangan pelaku dosa adalah kafir dan kekal di dalam neraka selama-lamanya. Ia bermula pada awalnya dengan pengkafiran mereka terhadap Ali, Muawiyah dan mereka yang terlibat dalam peristiwa al-Tahkim lalu menghalalkan darah mereka untuk diperangi. Pegangan ini kemudiannya diteruskan oleh kumpulan-kumpulan Khawarij yang terkemudian seperti al-Muhakkimah, al-Azariqah, al-Mukarramiyyah, al-Syabibiyyah, al-Baihasiyyah, al-Yazidiyyah dan al-Najadat.



Khawarij Akhir Zaman

Terdapat riwayat bahawa Rasulullah SAW telah memberi perkhabaran mengenai kemunculan Khawarij. Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif:

هَلْ سَمِعْتَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: فِي الخَوَارِجِ شَيْئًا؟ قَالَ: سَمِعْتُهُ يَقُولُ، وَأَهْوَى بِيَدِهِ قِبَلَ العِرَاقِ: «يَخْرُجُ مِنْهُ قَوْمٌ يَقْرَءُونَ القُرْآنَ، لاَ يُجَاوِزُ تَرَاقِيَهُمْ، يَمْرُقُونَ مِنَ الإِسْلاَمِ مُرُوقَ السَّهْمِ مِنَ الرَّمِيَّةِ»

Maksudnya: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda – sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.”

Riwayat al-Bukhari (6934)

Para ulama yang mensyarahkan hadis ini telah bersepakat bahawa hadis ini ingin mengisyaratkan kepada kemunculan Khawarij. Ia termasuk daripada tanda-tanda kenabian Baginda SAW kerana apa yang dikhabarkan oleh Baginda benar-benar telah berlaku. Kemunculan Khawarij bermula di Kufah yang terletak di sebelah timur Madinah. Mereka telah mengisytiharkan diri keluar daripada tentera Ali, lalu mereka dengan jumlah lapan ribu orang telah menuju ke Harura’, sebuah perkampungan di Kufah sebelum menjadikan Basrah sebagai markas mereka. (Lihat Akmal al-Bayan fi Sharh Hadith Najd Qarn al-Shaytan, 52)

Bahkan al-Hafiz Ibn Hajar telah menukilkan satu athar yang diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu’jam al-Awsat dengan sanad yang baik bahawa Abu Hurairah dan Abu Sa’id al-Khudri telah ditanya oleh seorang lelaki dari Iraq. Lelaki itu mengatakan bahawa di negerinya terdapat satu kaum yang memberontak dan membunuh sesiapa sahaja yang mengucapkan syahadah dan beriman kecuali daripada kumpulan mereka. Lalu kedua-duanya menjawab: “Kami mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang memerangi mereka, baginya pahala syahid dan sesiapa yang dibunuh oleh mereka maka baginya pahala syahid”. (Lihat Fath al-Bari, 12/302)

Ini menunjukkan kelompok Khawarij akan terus wujud hingga ke akhir zaman. Nas-nas syarak yang mengisyaratkan berkenaan Khawarij tidak menyatakan ia hanya wujud pada zaman tertentu. Antaranya seperti sabda Rasulullah SAW:

يَحْقِرُ أَحَدَكُمْ عَمَلَهُ مِنْ عَمَلِهِمْ، يَقْتُلُونَ أَهْلَ الْإِسْلَامِ، فَإِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ، ثُمَّ إِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ، ثُمَّ إِذَا خَرَجُوا فَاقْتُلُوهُمْ

Maksudnya: “Mereka menghina amalan kamu (dengan membandingkan amalan mereka dengan amalan kamu), mereka memerangi umat Islam, maka apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka, kemudian apabila mereka keluar maka perangilah mereka…”

Riwayat Ahmad (5562)

Di samping itu, terdapat satu lagi athar yang lebih nyata menjelaskan ciri-ciri golongan Khawarij yang akan datang pada akhir zaman. Ia diriwayatkan daripada Sayyidina Ali RA bahawa beliau berkata:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّايَاتِ السُّودَ فَالْزَمُوا الْأَرْضَ فَلَا تُحَرِّكُوا أَيْدِيَكُمْ، وَلَا أَرْجُلَكُمْ، ثُمَّ يَظْهَرُ قَوْمٌ ضُعَفَاءُ لَا يُؤْبَهُ لَهُمْ، قُلُوبُهُمْ كَزُبَرِ الْحَدِيدِ، هُمْ أَصْحَابُ الدَّوْلَةِ، لَا يَفُونَ بِعَهْدٍ وَلَا مِيثَاقٍ، يَدْعُونَ إِلَى الْحَقِّ وَلَيْسُوا مِنْ أَهْلِهِ، أَسْمَاؤُهُمُ الْكُنَى، وَنِسْبَتُهُمُ الْقُرَى، وَشُعُورُهُمْ مُرْخَاةٌ كَشُعُورِ النِّسَاءِ، حَتَّى يَخْتَلِفُوا فِيمَا بَيْنَهُمْ، ثُمَّ يُؤْتِي اللَّهُ الْحَقَّ مَنْ يَشَاءُ

Maksudnya: “Jika kalian melihat bendera hitam, maka bertahanlah di bumi (tempat tinggal kamu). Jangan gerakkan tangan dan kaki kalian. Kemudian akan muncul kaum yang lemah. Hati mereka seperti potongan besi. Mereka (mengaku) pemegang kekuasaan (pemilik daulah). Mereka tidak mempedulikan apa-apa perjanjian. Mereka mengajak kepada haq namun mereka bukan ahlinya. Nama mereka menggunakan kunyah (seperti Abu) dan nisbat mereka menggunakan nama daerah (seperti al-Baghdadi). Rambut mereka terurai seperti wanita, hingga mereka berselisih di antara mereka. Kemudian Allah mendatangkan kebenaran kepada yang dikehendaki-Nya.”

Riwayat Nu’aim bin Hammad dalam kitab al-Fitan (573)

Menurut sebahagian ulama, walaupun sanad athar ini daif, namun begitu berdasarkan realiti apa yang berlaku dengan kemunculan golongan seperti Islamic State (IS), maka athar ini boleh dianggap hasan atau sahih terutama dalam athar-athar yang melibatkan sejarah atau fitnah-fitnah akhir zaman.

Justeru, dalam isu golongan yang menggelarkan diri mereka sebagai IS di Syria dan Iraq, kita dapati para ulama dari seluruh dunia termasuk di Syria dan Iraq sendiri telah bersepakat mengatakan bahawa ciri-ciri yang wujud pada kumpulan ini menyamai dengan ciri-ciri yang wujud pada kumpulan Khawarij. Ini kerana mereka telah mengkafir dan menghalalkan darah sesama umat Islam.

Antara ulama yang berpandangan sedemikian adalah Syeikh Abdullah Rahhal ketua Rabithah Ulama’ Idlib (Ketua Mahkamah Syariah di Aleppo Selatan dan anggota Rabithah Persatuan Ulama’ Syria), Muhammad bin Ali bin Jamil Ash Shabuni, ulama tafsir terkemuka dari bumi Syria, Syeikh Muhamad Kurayyim bin Sa’id bin Kurayyim Rajih (Ketua Rabitah Ulama Syria), Imam Masjid al-Haram Syeikh Sudais, Syeikh Abdullah Ben Bayyah, ahli Majma’ al-Fiqh al-Islami, Kesatuan Ulama Muslimin di Iraq di bawah pimpinan Syeikh Ali Qurrah al-Daghi, Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia di bawah kepimpinan Dr Yusuf al-Qaradawi di Qatar, pemimpin parti Islam Ennahda, Dr Rashid Ghannoushi dan lain-lain lagi.

Boleh dikatakan, jumhur ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah bersepakat di serata dunia mengenai kesesatan dan juga penyelewengan golongan IS dan memperingatkan umat Islam agar tidak terpedaya dengan segala propaganda IS. Pada 25 September 2014, lebih kurang 126 ulama Muslim terkenal dari seluruh dunia juga telah menandatangani kenyataan bersama yang dibacakan oleh Nihad Awwad, presiden Council on American Islamic Relations (CAIR) mengutuk IS dan juga menolak keganasan dan juga khilafah yang diisytiharkan oleh IS.



Kesimpulan

Berdasarkan pencerahan di atas, kami berpandangan bahawa kumpulan Khawarij pada namanya tidak dinafikan ia telah luput ditelan zaman. Ini kerana, tiada sesiapa pun dalam kalangan individu atau kumpulan yang mengaku pada hari ini bahawa mereka daripada golongan Khawarij. Namun demikian, ciri-ciri kumpulan tersebut masih kekal wujud hingga ke akhir zaman sebagaimana nas-nas hadis yang mengisyaratkan hal tersebut. Bayangkan jika Khawarij yang terdahulu berpegang kepada doktrin mengkafirkan orang yang melakukan dosa besar, tetapi pada hari ini wujud mereka yang mengkafirkan sesama Islam hanya kerana dosa-dosa kecil atau khilaf di dalam perkara-perkara furu’ agama atau berbeza pendekatan dalam isu politik.

Akhirnya, kami berdoa semoga Allah SWT memberikan taufiq dan hidayah-Nya kepada kita semua agar dijauhkan daripada segala sifat melampau dan ekstrem terhadap semasa umat Islam. Wallahu a’lam.

Tashih al-Mafahim

Sumber: https://muftiwp.gov.my/artikel/tashih-al-mafahim/2981-tashih-al-mafahim-8-masih-wujudkah-khawarij

03/09/2023 Posted by | Bicara Ulama, Informasi, Perbahasan Ulama, Politik dan Dakwah, Uncategorized | , | Leave a comment

BAHAYA KHAWARIJ MODEN

Rasulullah saw telah mengingatkan kepada kita tentang bahaya Khawarij. Maka berhati-hatilah kita dan ahli keluarga kita, ingatkan kepada anak² tentangnya. Mudah mudahan kita tidak tergolong dan dijauhkan dari kelompok tersebut.

Banyak hadis Rasulullah saw memberi amaran tentang Khawarij, antaranya :

Sayyidina Ali bin Abi Thalib menyatakan bahawasanya dia mendengar Rasulullah ﷺ bersabda: ”Pada akhir zaman nanti akan muncul kaum yang berusia muda (ahdasul asnan), berfikiran pendek (sufahaul ahlam), mereka memperkatakan sebaik-baik ucapan kebaikan, mereka membaca Al-Quran tetapi bacaan mereka itu tidak melebihi (melampui) kerongkong mereka, mereka memecah agama sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya maka dimanapun kamu menjumpainya maka perangilah mereka sebab dalam memerangi mereka terdapat pahala disisi Allah pada hari kiamat kelak.

” (Sahih Bukhari/6930, Sahih Muslim/2462, Sunan Abu Daud/4767, Sunan Nasai/4107 Sunan Ibnu Majah/168, Sunan Ahmad/616 ).

Rasulullah ﷺ bersabda: “Nanti pada akhir zaman akan muncul kaum yang mereka membaca Al-Quran tetapi tidak melebihi kerongkong mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya, dan mereka akan terus muncul sehingga keluar yang terakhir daripada mereka bersama Dajjal, maka jika kamu berjumpa dengan mereka, maka perangilah, sebab mereka itu seburuk-buruk makhluk dan seburuk-buruk khalifah.

“(Sunan Nasai/4108, Sunan Ahmad/19783

Abu Said al Khudri menceritakan bahawa Ali – sewaktu berada di Yaman – menghantarkan Dhahiibah dalam taribahnya kepada Rasulullah. Barang tersebut dibahagi-bahagikan Rasulullah kepada : Aqra’ bin Habis al Hanzali, dan Ainah bin Badr al Fazari, Alqamah bin Alasah al Amiri, dan salah seorang daripada Bani Kilab, dan Zaid al Khair al Thai, dan salah seorang Bani Nabhan. Pembahagian itu membuatkan kaum Qurasiy dan Ansar merasa tidak senang sehingga berkata : Ya Rasulullah, kamu telah memberikannya kepada kelompok askar daripada Najd dan meninggalkan kami ”. Rasulullah menjawab: ”Aku berbuat sedemikian, semata-mata untuk menjinakkan hati mereka. “Abu Said melanjutkan: Tidak lama kemudian datang seorang lelaki yang buta, lebar dahinya, lebat janggutnya, gundul kepalanya berkata: ”Ya Muhammad, bertakwalah kamu kepada Allah”. Baginda berkata : “Siapakah lagi yang akan taat kepada Allah jika aku tidak taat kepadaNya. Dia (Allah) telah memberikan kepercayaan kepadaku untuk menjaga bumi ini, mengapa engkau tidak percaya kepadaku ? Abu said melanjutkan: ”selanjutnya seorang lelaki –menurut sebahagian riwayat Khalid bin Walid-telah meminta izin kepada Nabi untuk membunuh lelaki tersebut tetapi baginda melarangnya. Setelah lelaki itu pergi Rasulullah ﷺ bersabda : ”Sesungguhnya dari keturunan lelaki ini nanti akan muncul satu kaum yang membaca Al-Quran tetapi ianya tidak melepasi pangkal kerongkong mereka. Mereka keluar dari Islam sebagaimana keluarnya anak panah dari busurnya. Mereka membunuh umat Islam dan membiarkan umat penyembah berhala. Sekiranya aku menjumpai mereka, niscaya aku akan memerangi mereka seperti yang menimpa kaum Ad.

” (Sahih Bukhari/3344; Sahih Muslim/2451)

Wallahualam.

19/03/2022 Posted by | wahabi | , | Leave a comment

Jangan cepat melabel buruk dan tuduhan berat kepada seseorang

Cari salah orang aje
Masyarakat kita perlu dididik agar TIDAK CEPAT menuduh seseorang yang berbeza dengannya dengan tuduhan yang berat seperti Kafir, Liberal, Syirik, Bid’ah, Wahhabi, Ahbash, Khawarij, Sesat, Mujassim, Munafiq, Hina Islam, Persenda hukum, cabar Allah swt, Hina Nabi s.a.w dan yang sepertinya TANPA punyai bukti jelas.

Malah jika ada bukti pun, masih sangat perlu meneliti konteks percakapan, perbuatan dan tulisan itu.

Bukan itu sahaja, malah perlu juga meneliti faktor kesilapan tidak sengaja seperti salah cetak, tersalah tulis, tersalah catat, media tersalah quote dan mungkin hasil kurang ilmu & kefahaman dan bukan sengaja ingin berniat jahat.

Kebodohan itu tidak aib jika mereka sanggup belajar TETAPI si bijak yang mencerca si bodoh itulah sangat aib.

Masyarakat yang mudah melabel dan menuduh dengan tuduhan berat pasti akan sentiasa hidup dalam stress. Hari ini kita boleh menuduh seseorang dan bergembira dengan ‘label buruk’ itu, kelak nanti pasti ‘label buruk’ yang lain pula menimpa kita..tatkala itu akan dirasakan pedihnya.

Sukar dibayangkan bagaimana seorang yang mengaku ilmuwan atau pendakwah ke arah Islam, kebenaran dna kebaikan tetapi sangat mudah membuat gelaran membenci, mengutuk, menghina. bagiaman mereka nak menarik mad’u kepada mereka dengan sifat itu???

Banyak sungguh dalil dalam hal ini, cuma tidak mahu memanjangkan status ini. Lihatlah ayat Al-Hujurat ayat 11. dan juga hadis nabi

Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :

ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة

Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :

أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها

Ertinya : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)

Imam Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)

Semuanya ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan ramai agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’ dan menganggap seseorang yang berbeza pendapat dengannya.

Dr Zaharuddin Abd Rahman
Presiden MURSHID

23/10/2014 Posted by | Bicara Ulama, Tazkirah | , , , , , , , | Leave a comment

Mengenali Ideologi Aliran Khawarij

khawarij (1)

(Gabungan artikel dari tulisan di blog Insan Berdakwah dan tulisan Dr. Umar Abdullah Kamil)

Firman Allah سبحانه وتعالى :

يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱجْتَنِبُوا۟ كَثِيرًۭا مِّنَ ٱلظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ ٱلظَّنِّ إِثْمٌۭ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا۟ وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًۭا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ تَوَّابٌۭ رَّحِيمٌۭ

“Wahai orang-orang yang beriman, jauhilah dari banyak berprasangka; Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan dan keaiban orang, dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain, dan janganlah ada di antara kamu yang mengumpat sebahagian yang lain. Adakah di antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

(Surah Al-Hujurat, 49; Ayat 12)

Kaum Khawarij telah dibuktikan menjadi golongan yang paling mudah berburuk sangka. Dalam catatan sejarah, mereka berburuk sangka terhadap Rasulullah s.a.w dalam pembahagian ghanimah, bahkan sehingga sanggup menuduh Rasulullah s.a.w tidak mencari keredhaan Allah Taala. Mereka tidak sabar-sabar untuk membuat kesimpulan daripada sebab Rasulullah s.a.w melebih-lebihkan pembesar berbanding golongan marhein. Padahal apa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w adalah dalam rangkai dakwah dan ta’liful qulub. Mereka juga menuduh Syaidina Uthman Affan r.a sebagai pengamal nepotisme dan menuduh Syaidina Ali r.a sebagai pemimpin yang tidak berwawasan.

Dzul Khuwaishirah si bodoh yang melemparkan tuduhannya yang mengatakan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak ikhlas dengan berkata :

"Ertinya : Demi Allah, sesungguhnya ini adalah suatu pembahagian yang tidak adil dan tidak dikehendaki di dalamnya wajah Allah". [Hadis Riwayat Muslim II/739, No. 1062, Ahmad IV/321].

Dzul Khuwaishirah ketika melihat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam membahagi harta kepada orang-orang kaya, bukan kepada orang-orang miskin, dia tidak menerimanya dengan prasangka yang baik atas pembahagian tersebut.

Ini adalah sesuatu yang menghairankan. Kalaulah tidak ada alasan selain pelaku pembahagian itu adalah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam cukuplah hal itu mendorong untuk berbaik sangka. Akan tetapi Dzul Kuwaishirah enggan untuk itu, dan berburuk sangka disebabkan jiwanya yang sakit. Lalu dia berusaha menutupi alasan ini dengan keadilan. Yang demikian ini mengundang tertawanya iblis dan terjebak dalam perangkapnya.

Seharusnya seseorang itu introspeksi, meneliti secara cermat dorongan, tindak tanduk dan maksud tujuan serta waspada terhadap hawa nafsunya. Hendaklah dia berjaga-jaga terhadap ‘pendorong-pendorong’ iblis, kerana dia banyak menghias-hiasi perbuatan buruk dengan dibungkus secara indah dan rapi, dan membaguskan tingkah laku yang keji dengan nama dasar-dasar kebenaran yang mengundang seseorang untuk menentukan sikap menjaga diri dan menyelamatkan diri dari tipu daya syaitan dan perangkap-perangkapnya.

Jika Dzul Khuwaishirah mempunyai sedikit saja ilmu atau sekelumit pemahaman, tentu tidak akan terjatuh dalam kumbangan ini.

Berikut kami paparkan penjelasan dari para ulama mengenai keagungan pembahagian Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan hikmahnya yang tinggi dalam menyelesaikan perkara.

Berkata Syaikh Islam Ibnu Taimiyah :" Pada tahun peperangan Hunain, Baginda Sallallahu ‘alaihi wa sallam membahagikan ghanimah (harta rampasan perang) Hunain pada orang-orang yang hatinya lemah (muallafah qulubuhum) dari penduduk Najd dan bekas tawanan Quraisy seperti ‘Uyainah bin Hafsh, dan beliau tidak memberi kepada para Muhajirin dan Anshar sedikitpun.

Maksud Baginda, dengan memberikan harta rampasan perang kepada mereka, secara halusnya sebagai untuk mengikat hati mereka dengan Islam, kerana keterkaitan hati mereka dengannya merupakan maslahat umum bagi kaum muslimin. Sedangkan yang tidak baginda berikan adalah kerana mereka lebih baik di mata Baginda dan mereka adalah wali-wali Allah yang bertaqwa dan seutama-utamanya hamba Allah yang soleh setelah para Nabi dan Rasul.

Jika pemberian itu tidak dipertimbangkan untuk maslahat umum, maka Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam tidak akan memberi pada aghniya’, para pemimpin yang ditaati dalam perundangan dan akan memberikannya kepada Muhajirin dan Anshar yang lebih memerlukan dan lebih perlu diberikan keutamaan.

Oleh sebab inilah orang-orang Khawarij mencela Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan dikatakan kepada baginda oleh pelopornya :" Wahai Muhammad, berbuat adillah. Sesungguhnya engkau tidak berlaku adil ". dan perkataannya :" Sesungguhnya pembahagian ini tidak dimaksudkan untuk wajah Allah …..". Mereka, meskipun banyak shaum (berpuasa), solat, dan bacaan Al-Qur’annya, tetapi keluar dari As-Sunnah dan Al-Jama’ah.

Memang mereka dikenal sebagai kaum yang suka beribadah, wara’ dan zuhud, akan tetapi tidak disertai ilmu, sehingga mereka memutuskan bahawa pemberian itu semestinya tidak diberikan kecuali kepada orang-orang yang berhajat, bukan kepada para pemimpin yang ditaati dan orang-orang kaya itu, jika di dorong untuk mencari keredhaan selain Allah -menurut perasangka mereka-.

Inilah kebodohan mereka. Kerana sesungguhnya pemberian itu menurut kadar maslahah agama Allah. Jika pemberian itu akan semakin mengundang keta’atan kepada Allah dan semakin bermanfaat bagi agama-Nya, maka pemberian itu jauh lebih utama. Pemberian kepada orang-orang yang memerlukan untuk menegakkan agama, menghinakan musuh-musuhnya, memenangkan dan meninggikannya lebih agung daripada pemberian yang tidak demikian itu, walaupun yang kedua lebih memerlukan". [Lihat Majmu’ Fatawa : XXVIII/579-581, dengan sedikit ringkasan].

Sebenarnya pemberian ini dibuat diatas kepentingan agama Islam. Kerana itu setiap kali sesuatu perbuatan anugerah pemberian yang dilakukan itu mendatangkan ketaatan yang lebih kepada Allah dan kemanfaatan kepada agama maka perbuatan itu adalah lebih aula atau lebih utama. Sesuatu anugerah pemberian itu amatlah berharga nilainya dalam usaha mendirikan ugama Allah, menewaskan musuh, menzahir dan mempropagandakan Islam itu, maka ia  adalah lebih utama daripada memberi kepada golongan yang tidak memberi timbal balik faedah yang banyak. 

Oleh kerana itu anugerah pemberian kepada golongan yang memberi timbal balik yang lebih besar itu lebih wajar walaupun kedudukan golongan yang kedua dari kalangan orang mukmin itu lebih memerlukan pemberian tersebut. Memang menjadi kewajipan kepada setiap individu agar memiliki sifat kebijaksanaan , memahami ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan fiqh al-dakwah serta memahami maqasid al-syariah agar tidak terumbang ambing di dalam perkara yang samar  dan belum ditentukan tentang kedudukan hukumnya.

Sekiranya seseorang itu tidak memiliki ciri-ciri tersebut  maka ia akan menghadapi suatu keadaan yang terkebil-kebil tidak menentu lalu ditimpa pula dengan kerosakan dan membawa kepada hilang pedoman hidup. Setelah itu individu tersebut  akan ditimpa oleh sifat buruk sangka, kecelaan dan pada masa yang sama juga ianya telah melakukan pelbagai perkara kebaikan yang wajar diberi pujian dan ucapan terima kasih.

Fenomena ini sedang berjalan dengan giatnya di negara kita. Sikap buruk sangka sudah menjadi sebahagian daripada rangka dakwah atau pengembangan pengaruh. Sebarang keburukan yang membabitkan kaum yang disokongnya, segera dikatakan sebagai berita palsu atau adu-domba dan fitnah sekalipun dia belum lagi melakukan siasatan yang membenarkan sangkaannya.

Read more: http://www.penaminang.com/2014/06/ideologi-khawarij-ada-pada-ahli.html#ixzz352qEWcfH

19/06/2014 Posted by | Aqidah, Bicara Ulama, Ibadah, Informasi, Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Perpecahan umat kerana kepentingan politik

Adakah di antara kita begitu kaku berpegang kepada al-Quran dan Hadis

hanya dalam kerangka pemikiran kelompok kita?

Dan tidak menghormati pemahaman kelompok yang lain?

Apakah kita lebih menghargai umat lain daripada sesama Islam?

Atau kita menghalalkan cara,memfitnah, mengata,mengumpat, mengaibkan dan menjatuhkan maruah orang,

kerana untuk menjatuhkan orang yang tidak sehaluan dengan kita?

Golongan ini tak ubah saperti Khawarij.

Mereka menjual dan menjaja kewarakan diri demi kepentingan politik.

(Sumber: http://ummatanwasatan.net)

17/04/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | , , | Leave a comment

Mengenali Puak Khawarij Moden

 

 

Dalam sejarah, Puak Khawarij adalah asalnya sekumpulan orang Muslim yang pada mulanya menyokong Saidina Ali Abu Talib tetapi kemudian menolak kepimipinannya.Maka boleh lah kita mengambil pengertian bahawa maksud khawarij ialah : kumpulan orang Muslim yang keluar dan mengistiharkan penentangan terhadap penguasa atau pemerintah Muslim yang dulunya mereka sokong dengan melabelkan diri mereka lebih Islamik.(Namun pengertian ini mungkin tidak tepat kerana ada bermacam tafsiran lagi yang boleh di dapati dalam kitab kitab,buku dan kamus).Saya guna istilah tersebut dengan harapan boleh mempermudahkan fahaman sidang pembaca.

 

Ulama dan kerajaan negara Islam hari ini melabelkan kumpulan pengganas yang membunuh orang yang tidak berdosa sebagai golongan “Khawarij Moden” kerana golongan pengganas seperti ini menghalalkan darah orang kafir dan orang Islam yang mereka hukum kafir melalui Takfir.

 

*(Takfir atau Takfeer adalah amalan mengkafirkan atau memurtadkan seseorang atau kumpulan orang Islam.Pengistiharan takfir dibuat hanya jika seseorang Muslim itu mengisytiharkan dirinya sebagai kafir, tetapi lazimnya berlaku apabila tindakan atau kenyataan individu/kumpulan terbabit menunjukkan secara terang-terangan meninggalkan ajaran Islam. Hukum bagi mereka yang meninggalkan Islam atau murtad, mengikut tafsiran adalah bunuh. Bagaimanapun, syarat-syarat menjatuhkan hukuman takfir sangat ketat selalunya memerlukan bukti yang kukuh, dan mahkamah atau seorang alim untuk mengjatuhkan hukum takfir ke atas individu atau kumpulan terbabit).

 

Puak Khawarij di anggap tersesat dari ajaran Ahlil Sunnah Wal Jamaah.Walaupun pada zahirnya mereka kelihatan hebat dalam pengamalan beragama.

 

HADIS TENTANG KHAWARIJ.

 

Kata Abu Said al-Khudriyy r.a.:

 

Maksudnya: “Ali r.a. telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah, hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda membahagikannya kepada al-AqraIbn Habis al-Hanzaliyy, Uyainah Ibn Badr al-Fazariyy, Alqamah Ibn Ulathah al-Amiriyy dan Zaid at-Taiyy. Tetapi pembahagian itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap baginda s.a.w. lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada mereka. Mengetahui hal itu, Baginda s.a.w. menegur mereka: “Kenapa kamu tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah (agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang, sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati) mereka. Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol, berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata: “Bertaqwalah kamu kepada Allah wahai Muhammad!’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa? Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia boleh mempercayaiku atas sekelian penduduk bumi sedangkan kamu tidak percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil, sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil? Kemudian lelaki itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Izinkan aku memenggal lehernya”. Baginda s.a.w. menjawab: “Jangan, boleh jadi dia bersolat, minta dilindungi Allah daripada orang bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana dia ada pengikut”. Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap apa yang tidak dicakap oleh hatinya? Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan menebuk hati mereka. Kemudian baginda s.a.w. memandang kepada lelaki yang sedang beredar itu seraya bersabda; “Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum Ad, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. pada Hari Kiamat. Petanda hal itu ialah di kalangan mereka ada seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak. Tanda pengenalan mereka ialah at-tahliq (bercukur kepala), mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Kata Ali r.a: “Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad s.a.w.”. Kata Abu Sa’id r.a: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadith) ini daripada Rasulullah s.a.w. dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama (Khalifah) Ali Ibn Abi Talib r.a. telah membunuh mereka, lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga ia djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.”.

 

Di sini saya bentangkan di antara ciri ciri Puak Khawarij Moden.

 

Kelompok khawarij moden telah berkembang pesat ke sebahagian besar negara negara Islam seluruh dunia samada secara individu, kelompok,kumpulan atau jemaah (samada di sedari atau tidak).

 

  • Sifat Khawarij yang paling keji ialah mudah mengkafirkan sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan fahaman kelompoknya.
  • Khawarij gemar mencabar secara egois, emosional,sentimen dan menyerang pemerintah (kerajaan) Islam serta penyokongnya dengan ayat-ayat Al-Quran, hadis-hadis lemah dan palsu serta memberi fatwa yang keliru untuk mengaburi fikiran masyarakat Islam.
  • Mereka pakar spin,memutar-belit, mentakwil, merubah maksud atau menyelewengkan tafsiran Al-Quran mengikut hawa nafsu dan akal fikiran mereka demi mencapai matlamat iaitu untuk memenuhi selera dan kepentingan mereka.
  • Mereka gemar menghalalkan cara.
  • Mereka pakar menyelindung kebatilan dengan kebenaran.
  • Mereka mengaburi masyarakat dengan slogan dan gelaran indah, seperti gelaran yang arif,ulama,mursyid dan al-allamah al-muhaddith (ulama hadith) bagi Tok Tok guru atau pemimpin mereka saperti yang berlaku dalam kumpulan Ahbash di Lubnan.

 

*(Kemunculan kumpulan Ahbash di Lubnan ketika negara itu berada dalam konflik perang saudara sama seperti puakKhawarij dahulu yang muncul ketika umat Islam berpecah belah. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Sebagaimana puak Khawarij mengambil kesempatan untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika keadaan umat Islam di zaman khalifah Ali r.a. berpecah belah, maka demikianlah juga kumpulan Ahbash mengambil peluang untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika Negara Lubnan berada dalam keadaan huru-hara akibat perang saudara).

 

  • Mereka gemar di gelar al-Muhakkimah misalnya.Diberi kerana slogan yang sering mereka laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya hanya mereka sahaja yang berhukum dengan hukum Allah.Hakikatnya semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang mereka lakukan terhadap umat Islam.
  • Perbuatan mereka yang buruk dan keji itu telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w., “Adapun sesudah itu: Sesungguhnya kamu akan melihat sikap (ahli bid’ah) yang suka menyalahkan orang lain, maka bersabarlah sampai kamu berjumpa dengan aku.” (Hadis sahih dalam As-Sunan Ibn Abi ‘Asim. No. 1102).
  • Khawarij mudah menimbulkan kekecohan, malah suka kepada pemberontakan.
  • Ingatlah! Pemberontakan terhadap pemimpin Islam adalah ditegah oleh para Salaf as-Soleh. Abu Al-Haris Ahmad bin Muhammad As-Saigh berkata, “Aku melihat Abu Abdullah (Imam Ahmad bin Hambal) mengingkari memberontak kepada pemimpin. Beliau berkata: Aku tidak menyetujui pertumpahan darah (pemberontakan) dan tidak memerintahkannya.” (As-Sunnah, hlm. 89. Hadis Riwayat Abu Bakar Al-Khallal dengan sanadnya yang sahih).
  • Muhammad Soleh Fauzan al-Fauzan hafizahullah pula berkata, “Orang-orang Khawarij menghukum pelaku dosa besar sebagai kafir yang keluar dari Islam, dan apabila mati dalam keadaan tidak bertaubat, maka ia kekal dalam neraka.” (Zahiratu Tabdi wa-Tafsik wa-Takfir wa-Zawbituha, Bab 7).
  • Atas dasar inilah golongan Khawarij menghukum kafir bagi pemerintah Islam yang tidak melaksanakan hukum hudud.
  • Mereka gemar menghina dan menjatuhkan maruah para ulama yang tidak sehaluan dengan mereka.
  • Dan Khawarij menghalalkan pemberontakan terhadap penguasa yang melakukan dosa besar.
  • Mereka gemar bertakalluf.Takalluf bermaksud menimbulkan persoalan yang remeh temeh dan tidak perlu

 

Banyak lagi ciri ciri Khawarij moden yang tak sempat saya paparkan di sini.

 

Kesimpulannya:

 

Berdasarkan fakta-fakta di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sesiapa sahaja individu atau kumpulan yang mempunyai ciri dan sifat seperti khawarij, maka dialah yang layak untuk digelar khawarij moden.

 

Demikian juga sebarang perkumpulan yang memiliki dasar dan pegangan yang sama dengan dasar dan pegangan khawarij, maka merekalah yang layak untuk digelar puak khawarij moden.

 

Semakin banyak aspek persamaan, maka semakin dekatlah mereka dengan golongan tersebut. Meskipun mereka juga tidak pernah mengaku mereka khawarij, namun jika ideologi dan cirinya sama, maka mereka tetap khawarij.

 

Ya, mereka adalah khawarij dari segi amalan dan pegangan, meskipun mereka bukan khawarij dari segi nama. Nama khawarij tentu tidak wujud pada mana-mana jamaah pada hari ini, kerana tiada sesiapa pun yang begitu bodoh untuk memakai nama kumpulan yang telah disepakati sebagai sesat. Tetapi amalan dan pegangan khawarij mungkin wujud sama ada dalam konteks individu atau kumpulan. Justeru, tulisan ini mengajak pembaca sekelian supaya bermuhasabah agar kita dapat menjauhkan diri, keluarga dan masyarakat daripada terpalit dengan sebarang ciri dan ideologi khawarij yang sesat dan menyesatkan itu.

 

Wallahu’alam.

 

 

 

Sumber Rujukan:

 

1.Khawarij Moden : Dr Azwira Abdul Aziz ,Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangiyang beliau bentangkan dalam program Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.

 

2. Lain lain sumber.

 

11/01/2012 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment