Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Menjawab Pertuduhan Abu Hadif “Salafi”: Ibn Hajar Al-Haitami dan Selawat Di Sela Taraweh.

1. ARG mendapati terdapat trend dikalangan salafi wahabi di Malaysia baru-baru ini gemar mencedok qaul dari kitab-kitab mazhab syafie semata-mata untuk menyesatkan amalan penganut mazhab syafie di Malaysia sedangkan mereka sendiri tidak belajar secara tuntas kitab-kitab mazhab syafie.

2. Tindakan mereka ini kerap mencetuskan kekeliruan dikalangan masyarakat awam kerana apabila seseorang itu tidak terlatih dalam memahami ibarat-ibarat dalam kitab mazhab syafie risiko untuk silap faham amatlah tinggi. Apatah lagi jika segelintir dikalangan mereka menipu dengan tidak jujur menaqalkan ibarat-ibarat kitab tersebut. Jadi ada 3 kemungkinan terhadap penulisan ini, pertama Abu Hadif “Salafi” tersilap, kedua, Abu Hadif “Salafi” berbohong di Bulan Ramadan yang mulia ini.

3. Pihak ARG tidak mahu membuat kesimpulan tentang penulisan Abu Hadif “Salafi” ini kerana ARG akan membiarkan para pembaca menilai sendiri dikategori mana penulisan beliau, adakah beliau tersilap atau beliau berbohong dalam menulis. terserah pembaca selepas membaca analisis ARG ini.

4. Abu Hadif “Salafi” dalam penulisan beliau seolah-olah membuat kesimpulan Imam Ibn Hajar Al-Haitami menyesatkan Selawat Disela Taraweh dengan membawakan Kitab Al-Fatawa Al-Fiqhiyyah Al-Kubra.

5. Setelah pihak ARG menyemak kembali kitab tersebut, kami mendapati bahawa beliau tidak menterjemahkan secara lengkap fatwa Imam Ibn Hajar tersebut. Ini adalah ucapan lengkap Imam Ibn Hajar dan terjemahannya.

Imam Ibn Hajar al-Haitami ketika menjawab amaliyyah selawat di sela-sela taraweh, berfatwa:

الفتاوى الفقهية الكبرى – (ج 1 / ص 186(
وَسُئِلَ فَسَّحَ اللَّهُ في مُدَّتِهِ هل تُسَنُّ الصَّلَاةُ عليه صلى اللَّهُ عليه وسلم بين تَسْلِيمَاتِ التَّرَاوِيحِ أو هِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عنها فَأَجَابَ بِقَوْلِهِ الصَّلَاةُ في هذا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ لم نَرَ شيئا في السُّنَّةِ وَلَا في كَلَامِ أَصْحَابِنَا فَهِيَ بِدْعَةٌ يُنْهَى عنها من يَأْتِي بها بِقَصْدِ كَوْنِهَا سُنَّةً في هذا الْمَحَلِّ بِخُصُوصِهِ دُونَ من يَأْتِي بها لَا بهذا الْقَصْدِ كَأَنْ يَقْصِدَ أنها في كل وَقْتٍ سُنَّةٌ من حَيْثُ الْعُمُومُ بَلْ جاء في أَحَادِيثَ ما يُؤَيِّدُ الْخُصُوصَ إلَّا أَنَّهُ غَيْرُ كَافٍ في الدَّلَالَةِ لِذَلِكَ

“Imam Ibn Hajar ditanya pada masa itu, apakah sunat membaca selawat kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di antara salam tarawih atau itu bid’ah yang dilarang? Beliau menjawab: “Selawat di tempat ini secara khusus, aku tidak melihat dalilnya dari sunnah dan juga ucapan dari ashhab kami (Syafi’iyyah). Itu adalah bid’ah yang pelakunya di larang apabila dengan maksud sebagai sunnah pada tempat tersebut secara khusus. *DAN TIDAK DILARANG ORANG YANG MELAKUKANNYA BILA TIDAK DENGAN TUJUAN SEPERTI ITU,* seperti bermaksud bahawa selawat tersebut sunnah dalam setiap waktu secara umum, bahkan datang dalam beberapa hadits yang menguatkan secara khusus, hanya sahaja tidak cukup dalam dalil”.

Amat jelas sekali bahawa Imam Ibn Hajar tidak melarang seseorang yang mahu berselawat di sela taraweh jika seseorang itu tidak menganggap ia adalah dari perbuatan Nabi.

6. Pembaca boleh menilai sendiri tulisan beliau. Wallahualam.

Disediakan Oleh:

Unit Penyelidikan
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG Johor)

Facebook: http://www.facebook.com/aswjresearchgroup

29/05/2018 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), wahabi | | Leave a comment

Al-WAHHABYAH ADALAH KHAWARIJ.

Al-Allamah al-Mufassir Al-Muhaddits Syeikh Yusuf al-Dijwi dalam kitab yang sama, m/s 138 menegaskan :” Maka kami katakan : Kamu ( Ibn taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) telah mengkafirkan (umat Islam) ketika mana kamu melontarkan kepada Umat Islam dengan kekufuran? ataupun kami mengatakan : Sesungguhnya kamu (Ibn taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) adalah orang yang mengaburi kita dengan memperbanyakkan solat, banyak membaca Al-quran (dengan lidah-lidah mereka) tetapi tidak sampai ke hati sanubari mereka.

Mereka menyeleweng daripada agama sebagaimana terselewengnya panah daripada busur?! ataupun kami katakan : Sesungguhnya mereka (Ibn Taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) adalah Golongan al-Khawarij yang mana Ibn Umar mengatakan -sebagaimana ia termaktub di dalam sohih bukhari- ” mereka sengaja membawa ayat yang sebenarnya diturunkan kepada orang-orang musyrikin lalu mereka meletakkan (ayat tersebut) kepada umat Islam)? atau kami katakan sebagaimana Ibn Umar juga: “ Sesungguhnya kamu telah membunuh penduduk masyarakat Islam sedangkan kamu membiarkan penyembah berhala (bermaharajalela ))? atau kami mengatakan : ” Dan kami tidak mahu melainkan mereka merupakan golongan pelampau agama yang pekat tolol, degil, bersifat jumud lagi jahil.”

Seterusnya Al-Allamah al-Mufassir Al-Muhaddits Syeikh Yusuf al-Dijwi meyambung :” Sesungguhnya kamu ( wahai Ibn Taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) adalah musuh Allah yang mana kamu mensabitkan bagi-Nya (Allah) dan mentashbihkan Nya dengan makhluk. Dan juga kamu ( wahai Ibn taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) musuh Rasulullah yang mana mereka (wahai Ibn Taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) tidak memuliakan dan juga tidak meraikan dengan menghormatinya. Dan Kamu ( wahai Ibn taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah)) adalah musuh para auliya’ yang mana kamu telah menghina mereka dengan segala bentuk penghinaan. Dan Kamu ( wahai Ibn taymiyah, Ibn Qayyim dan al-Wahhabiyah) adalah musuh kepada semua Umat Islam yang mana kamu telah menghalalkan darah-darah mereka dan harta benda mereka sehingga mereka telah membunuh anak-anak lelaki dan juga anak-anak perempuan mereka. Demikian itu kami tidak melakukannya, sedangkan perkara tersebut perkara yang paling membawa kekufuran dan sangat membawa maksiat kepadaNya.

Al-Allamah al-Mufassir Al-Muhaddits Syeikh Yusuf al-Dijwi mengketegorikan ibn Taymiyah, Ibn Qayyim dan Wahhabiyah sebagai mana berikut ;
1.Khawarij (ini kerana mereka suka mengkafirkan umat Islam)
2.Ghulat ; pelampau agama
3.Musuh Allah
4.Musuh Rasulullah
5.Musuh para ulamak dan awliya’ yang sholihin
6.Menyeleweng daripada agama.
7. Bersifat jumud dan “primitif”
8.Kumpulan pengganas yang membunuh umat islam sehingga kanak-kanak lelaki atau perempuan.

Disediakan oleh;
Abu Lehyah Al-Kelantany

28/05/2018 Posted by | wahabi | Leave a comment

Benarkah Bulan Ramadhan Dibahagi Kepada Tiga Fasa Iaitu Awalnya Rahmat, Pertengahannya Keampunan dan Terakhir Pembebasan Dari Neraka ?

(Bicara Hadith Bersama Ustaz Mohd Khafidz Soroni)

Benarkah Bulan Ramadhan Dibahagi Kepada Tiga Fasa Iaitu Awalnya Rahmat, Pertengahannya Keampunan dan Terakhir Pembebasan Dari Neraka ?

Jawapan :

Dalam satu bulan (Qamariyah) sebanyak 29 hingga 30 hari. Apabila dikelompokkan maka ia akan menjadi tiga iaitu 10 hari pertama, 10 hari kedua dan 10 hari ketiga iaitu terakhir.

Nabi SallaLlahu ‘alaihi wasallam telah menyebutkan ketiga-tiga fasa tersebut kerana memang dalam satu bulan bila dikelompokkan kepada 10 hari. 10 hari pertama, 10 hari kedua dan 10 hari terakhir. Nabi SallaLlahu ‘alaihi wasallam menganjurkan pada fasa yang ketiga iaitu 10 hari terakhir agar lebih meningkatkan ibadah pada malam harinya. Kerana di antara malam-malam ganjil akan turun malam yang lebih baik dari 1000 bulan yang dikenali sebagai Lailatul Qadar.

Pada fasa yang ketiga iaitu 10 hari terakhir Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan ibadah sunnah dan i’tikaf, juga membangunkan ahli keluarganya.

Aishah RadiyaLlahu ‘anha berkata : Bahawa sesungguhnya RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam apabila telah masuk (fasa ketiga Bulan Ramadhan) sepuluh hari terakhir beliau bangun dan solat sepanjang malam dan membangunkan keluarganya serta tidak mencampuri isterinya (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim) . Nailul Authar IV/270 dan Mukhtasor Sahih Bukhari hal 383.

Dan dalam riwayat Ahmad dan Muslim dari Aisyah RadiyaLlahu ‘anha : “Adalah Nabi sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersemangat memperbanyakkan ibadah pada sepuluh hari terakhir berbeza dengan sebelumnya. (Nailul Author Juz IV/270)

Hadith tersebut sudah jelas, bahawa RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam menyebutkan fasa-fasa tersebut. Kalau hadith tersebut menyebutkan ada fasa terakhir iaitu fasa ketiga, bererti ada fasa pertama dan fasa kedua. Hadith berikut ini juga menegaskan adanya tiga fasa tersebut dan justeru itu 10 hari (fasa) pertama disebut rahmat, fasa kedua iaitu 10 hari kedua Maghfirah dan fasa ketiga iaitu 10 hari terakhir disebut itqun minannaar (pembebasan dari neraka).

Diceritakan dari Salman RadiyaLlahu ‘anhu, ia berkata :

Nabi Muhammad sallaLlahu ‘alaihi wasallam memberikan khutbah kepada kami pada akhir hari bulan Sya’ban, baginda bersabda : “Wahai manusia, telah hampir datang bulan suci Ramadhan yang penuh berkah, bulan yang didalamnya terdapat malam yang lebih baik dari ibadah seribu bulan. Bulan yang dijadikan oleh Allah, puasa pada siang harinya suatu kewajipan dan solat pada malamnya (selain solat fardhu) sebagai solat sunnah. Barangsiapa mendekatkan diri kepada Allah dengan amal kebaikan, pahalanya laksana orang yang melakukan kewajipan pada selain bulan Ramadhan. Barangsiapa yang melakukan kewajipan di bulan tersebut, pahalanya laksana pahala orang yang melaksanakan tujuh puluh kewajipan di lain bulan suci Ramadhan. Ia adalah bulan sabar, bagi orang yang bersabar tidak lain balasannya syurga, dan merupakan bulan toleransi, dan bulan ditambahkannya rezeki bagi orang Mukmin, orang yang memberi buka puasa bagi orang yang berpuasa maka diampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka dan baginya pahala seperti pahala orang yang diberinya berbuka puasa tanpa dikurangi sedikitpun pahalanya.

Mereka bertanya : “Wahai RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam, tidaklah semua kami ini mampu memberikan makanan untuk berbuka puasa bagi orang lain ? Maka RasuluLlah sallaLlahu ‘alaihi wasallam bersabda : “Allah akan memberikan pahala tersebut bagi orang yang memberikan makanan bagi orang yang berpuasa sekalipun hanya dengan satu biji kurma atau seteguk minuman air putih atau sepotong susu kering. Dan adalah Bulan Ramadhan awwalnya (10 hari pertama) rahmat, pertengahannya (10 hari kedua) keampunan dan akhirnya (10 hari terakhir) pembebasan dari neraka.

Barangsiapa meringankan hamba sahayanya pada bulan itu Allah mengampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka. Maka perbanyakkanlah di Bulan Ramadhan 4 hal. Dua hal kamu mendapat redha Tuhanmu dan dua hal kamu tidak akan merasa puas dengannya. Adapun dua hal yang membuatkan kamu diredhai Allah adalah : Mengucapkan dan bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan kamu mohon keampunan kepada-Nya. Adapun dua hal yang kamu tidak akan merasa puas dengannya adalah : Kamu minta syurga kepada-Nya dan minta perlindungan dari api neraka.

Dan barangsiapa yang memberi minum orang yang berbuka puasa, maka Allah akan memberinya minum dari telagaku, sekali minum sahaja tidak akan haus selamanya sehingga masuk ke syurga “. Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya, kemudian berkata jika sahih hadith ini, dan diriwayatkan dari jalan al Baihaqi, dan diriwayatkan Abu Asy Syaikh Ibnu Hibban dalam at Tsawwab dengan ringkas (at Targhib wa at Tarhib II/94) dan Al Feqh Al Islamiy Wa Adillatuh (2/572)

Sumber Rujukan : Drs. KH. M. Sufyan Raji Abdullah LC. Menyikapi Masalah-masalah yang dianggap Bid’ah, Cet Pertama 2010, Pustaka Al Riyadl, Jakarta

27/05/2018 Posted by | Bicara Ulama, Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

Apa maksud Waktu Imsak?

Perbezaan Waktu Imsak & Subuh – Ramadan Bulan Puasa Sahur Waktu Berbuka

Soalan: Kenapakah waktu Imsak dan Subuh adalah 2 waktu yang berlainan padahal puasa dikatakan menahan lapar dan dahaga serta perkara yg membatalkan puasa daripada terbit fajar hingga terbenam matahari. Bukankah terbit fajar bermakna masuk waktu subuh ?

Segala puji bagi Allah SWT dan salawat serta salam ke atas Nabi Muhammad SAW.

Jawapan: Sebagaimana yang dimaklumi, puasa bermaksud menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkannya bermula daripada terbit fajar sadiq (masuk waktu subuh) hingga terbenam matahari (masuk waktu solat maghrib) disertai dengan niat dan syarat-syarat yang tertentu.

Dalil waktu bermulanya puasa adalah sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

Dihalalkan bagi kamu, pada malam hari puasa, bercampur (bersetubuh) dengan isteri-isteri kamu. Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka. Allah mengetahui bahawasanya kamu mengkhianati diri sendiri, lalu Ia menerima taubat kamu dan memaafkan kamu. Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu….

….dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib); dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid. Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu menghampirinya. Demikian Allah menerangkan ayat-ayat hukumNya kepada sekalian manusia supaya mereka bertaqwa. – (Al-Baqarah 2:187)

Berdasarkan kepada dalil tersebut maka jelaslah bahawa waktu puasa itu bermula apabila masuknya waktu Subuh. Hal ini telah pun disepakati oleh Ijma’ Ulama’.

Adapun waktu imsak yang diamalkan bermula kira-kira 10 minit sebelum masuknya waktu subuh atau kira-kira tempoh membaca 50 ayat al-Qur’an yang sederhana panjang.

Imsak adalah perkataan bahasa Arab yang bermaksud menahan daripada sesuatu.

Waktu imsak ini adalah sebaik-baik waktu bagi seseorang itu berhenti makan/minum ketika bersahur bagi membolehkannya bersiap-siap untuk menantikan masuknya waktu subuh dan juga sebagai waktu ihtiati (berjaga-jaga/berwaspada) agar tidak tergopoh-gapah bersahur hingga masuknya waktu subuh.

Bersahur ketika hampir waktu imsak ini juga adalah lebih afdhal kerana ia amalan Rasulullah SAW sebagaimana maksud hadis daripada Zaid bin Thabit iaitu:

“kami sahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya “berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?”, baginda bersabda “50 ayat al-Qur’an” (HR Bukhari).

Jadi jelaslah apa itu waktu imsak dan waktu bermulanya puasa (subuh). Kesimpulannya, mereka yang makan/minum selepas waktu imsak tidaklah membatalkan puasanya selagi mana tidak sampai masuknya waktu subuh tetapi bersahur ketika hampir waktu imsak (tidak terlalu cepat atau lambat) adalah yang digalakkan kerana ia sunnah Rasulullah SAW dan merupakan adab bersahur yang sangat baik. – Sumber: Ana Murabbiy

Beberapa Kekeliruan Mengenai Bermula Waktu Imsak – Jabatan Penerangan Agama – Brunei

1. Kekeliruan mengenai hadits bersahur setelah kedengaran azan

Dalam usaha kita untuk mendalami hukum-hakam berhubung dengan puasa, pada masa kini telah diperkenalkan perkhidmatan sistem teknologi informasi dan komunikasi yang berfungsi sebagai tempat penyebaran maklumat-maklumat. Namun sejauhmana setiap perkongsian maklumat tersebut memberikan fakta yang tepat, shahih dan benar?

Antara maklumat yang pernah disebarluaskan ketika dulu melalui perkhidmatan aplikasi moden ini, ialah satu perkongsian tazkirah mengenai sebuah hadits yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a Rasulullah SAW telah bersabda:

Maksudnya: “Jika salah seorang daripada kamu mendengar azan, sedangkan terdapat bejana (tempat menyimpan makanan atau minuman) pada tangannya maka janganlah diletakkan bejana itu sehingga dia menyelesaikan hajatnya (makan atau minum) dari bejana itu.” – (Hadits riwayat Abu Daud)

Sebilangan orang berpendapat bahawa hadits ini menjelaskan tentang keadaan seseorang yang sedang bersahur yang tiba-tiba mendengar laungan azan subuh, sedangkan pada ketika itu dia belum selesai menghabiskan makanan atau minuman pada bekas atau gelas yang berada di tangannya, maka tidaklah perlu dia meletakkannya sehingga dia menghabiskan baki makanan atau minumannya itu.

Menurut fahaman mereka juga, perkara ini apabila dilakukan tidak akan membatalkan puasa seseorang itu.

Persoalannya adakah benar seperti apa yang mereka fahami? Sejauhmana tazkirah ini dapat menyampaikan ilmu dan maklumat yang benar-benar tepat? Jika ia tidak dihuraikan dengan lebih jelas maka ia akan menimbulkan kekeliruan.

Penjelasan mengenai hadits di atas, menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah bahawa azan yang dimaksudkan dalam hadits tersebut adalah laungan azan pertama sebelum fajar dan ia bukan azan subuh.
Ini bertepatan dengan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Bilal melaungkan azan pada waktu malam, maka makanlah dan minumlah kamu sehingga Ibn Ummi Maktum mengumandangkan azan.” – (muttafaq ‘alaih)

Hadits ini menunjukkan bahawa harus melaungkan azan sebanyak dua kali, azan pertama sebelum terbit fajar (masih malam) dan azan kedua setelah masuk waktu subuh. Imam an-Nawawi menyebutkan dalam kitab Syarah Muslim, menurut ulama bahawa Bilal Radhiallahu ‘anhu melaungkan azan sebelum fajar dan beliau berdoa dan sebagainya sementara menanti terbitnya fajar.

Apabila fajar sudah hampir terbit, beliau akan mengkhabarkan Ibn Ummi Maktum Radhiallahu ‘anhu, kemudian Ibn Ummi Maktum Radhiallahu ‘anhu akan bersiap-siap dengan bersuci dan sebagainya lalu mengumandangkan azan subuh di awal masuknya waktu terbit fajar.

Hikmah melaungkan azan pertama sebelum terbit fajar itu antaranya bertujuan supaya orang ramai bersiap sedia sebelum menunaikan sembahyang subuh seperti bersuci daripada junub, berwudhu, mandi dan termasuk juga untuk bersahur bagi orang yang hendak berpuasa.

Hadits ini juga menunjukkan bahawa orang yang hendak berpuasa harus makan, minum, jima’ dan sebagainya selagi fajar shadiq belum terbit.

Oleh itu, jelaslah bahawa tanggapan segelintir orang mengenai keharusan makan dan minum walaupun setelah azan subuh berkumandang adalah tidak tepat. Ini kerana hadits yang disebutkan di atas menunjukkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh makan dan minum selagi fajar shadiq belum terbit.

2. Kekeliruan waktu imsak yang tercatat dalam kalendar

Di Negara Brunei Darussalam telah disediakan waktu-waktu sembahyang, imsak dan syuruk sepanjang tahun yang pada kebiasaannya dicetak dalam kalendar. Apa yang menjadi kekeliruan segelintir masyarakat adalah waktu imsak yang tercatat dalam kalendar tersebut, waktunya bermula sepuluh minit lebih awal daripada waktu subuh.

Menurut mereka, jika masuk waktu imsak yang tercatat dalam kalendar tersebut, maka bermulalah waktu berpuasa dan batal puasa jika masih meneruskan bersahur.

Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, waktu imsak bagi orang yang hendak berpuasa bermula dari terbit fajar shadiq iaitu setelah masuk waktu subuh. Malahan sunat melambat-lambatkan sahur sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Abu dzar Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Umatku sentiasa berada dalam kebaikan selama mereka menyegerakan berbuka dan mengakhirkan bersahur” – (Hadits riwayat Imam Ahmad)

Hukum sunat melambatkan sahur itu tertakluk apabila tidak timbul keraguan pada waktu terbitnya fajar. Jika ada keraguan pada waktu terbitnya fajar maka tidak sunat melambat-lambatkan sahur bahkan afdhal untuk tidak melambatkannya sehingga ke akhir waktu. Ini kerana meninggalkan perkara yang diragukan itu adalah disuruh syara’ sebagaimana diriwayatkan oleh al-Hasan bin ‘Ali, apa yang beliau hafal daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sabdanya:

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang meragukanmu kepada apa yang tidak meragukanmu.” – (Hadits riwayat at-Tirmidzi)

Jika dilihat kembali mengenai puasa, antara perkara sunnah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang disukai ialah melambatkan bersahur kerana sesiapa yang mengakhirkan atau melambatkan sahur pada akhir malam iaitu hampir terbit fajar akan mendapat ganjaran pahala sunat bersahur itu.

Adapun waktu afdhal melambatkan sahur itu kira-kira kadar membaca lima puluh ayat sebelum terbit fajar. Zaid bin Tsabit Radhiallahu ‘anhu telah meriwayatkan:

Maksudnya: “Kami bersahur bersama Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, kemudian Baginda mendirikan sembahyang, lalu ditanyakan kepada Baginda: “Berapakah jarak antara azan dan sahur?” Baginda bersabda: “Kira-kira lima puluh ayat.” – (Hadits riwayat al-Bukhari)

Walau bagaimanapun waktu imsak yang tercatat dalam kalendar (sepuluh minit lebih awal daripada waktu subuh) itu, adalah bertujuan antara lain sebagai langkah berhati-hati agar orang yang berpuasa bersiap sedia untuk menempuh waktu berpuasa seperti membersihkan makanan yang terselit di celah-celah gigi dan seumpamanya.

Demikianlah penjelasan mengenai waktu imsak bagi menghuraikan kekeliruan segelintar masyarakat.

Apa yang penting, kita hendaklah berhati-hati dan tidak sewenang-wenangnya mengambil maklumat, pengajaran, ilmu lebih-lebih lagi yang menyangkut perkara hukum tanpa menyelidiki keshahihan sumber dan huraiannya.

Kita hendaklah merujuk atau bertanya kepada orang yang benar-benar tahu mengenainya agar kita lebih terarah ke jalan yang benar sebagaimana firman Allah Ta’ala: Tafsirnya: “Maka bertanyalah kepada orang-orang yang mempunyai pengetahuan (mengenai kitab-kitab Allah) jika benar kamu tidak mengetahui.” – (Surah an-Nahl: 42)

Sesungguhnya Allah Ta’ala Maha Mengetahui.

Rujukan sumber: Pelita Brunei

AnaGhaib

22/05/2018 Posted by | Bicara Ulama, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment

PERSOALAN TADARUS & KHATAM AL-QURAN

Bacaan al-Quran secara tadarus dinamakan sebagai (قراءة الإدارة). Ia merujuk kepada kaedah membaca al-Quran beramai-ramai secara bergilir-gilir iaitu seseorang membaca al-Quran di dalam sesuatu kumpulan dan disemak oleh ahli kumpulan yang lain untuk diperbaiki bacaan dan penguasaan tajwid secara amali kemudian dia memberhentikan bacaan. Seterusnya bacaan tersebut disambung pula oleh ahli kumpulan yang lainnya sehinggalah akhir majlis. Bacaan al-Quran secara bertadarus sepertimana yang disebutkan di atas hukumnya adalah harus sepertimana yang dipilih oleh Imam Malik, Imam al-Nawawi dan Ibn Taimiyyah. Manakala menurut pendapat yang muktamad di dalam Mazhab Hanbali, hukumnya adalah makruh (فيض الرحمن: 460-461). Bahkan, bacaan al-Quran secara berkumpulan ini bersesuaian dengan hadis riwayat Muslim (no. 2700 & 2699), sabda Rasulullah sollallahu alaihi wa sallam;

لَا يَقْعُدُ قَوْمٌ يَذْكُرُونَ اللَّهَ إِلَّا حَفَّتْهُمُ الْمَلَائِكَةُ ، وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ ، وَنَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ ، وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فَيْمَنْ عِنْدَهُ
“Tidaklah suatu kaum duduk berzikir kepada Allah Taala, melainkan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat dan akan dilimpahi rahmat serta akan diturunkan ke atas mereka ketenangan dan Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”

مَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ تَعَالَى يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلَّا نَزَلَتْ عَلَيْهِمْ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمْ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمْ الْمَلَائِكَةُ وَذَكَرَهُمْ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
“Tiada berhimpun satu kaum di mana-mana masjid Allah sedang mereka membaca kitab Allah (al-Quran) dan bertadarus sesama mereka melainkan akan diturunkan ke atas mereka ketenangan, akan dilimpahi rahmat dan mereka akan dikelilingi oleh para malaikat serta Allah akan menyebut (memuji) mereka di hadapan para malaikatNya.”

Justeru, khatam al-Quran secara bertadarus ini hanya sesuai diistilahkan sebagai khatam secara kumpulan@jamaah. Namun dari segi pengistilahan sebenar, cara itu tidaklah dikirakan sebagai khatam secara individu. Hal ini kerana khatam yang sebenar adalah apabila seseorang membaca al-Quran secara tertib (susunan) mushaf bermula daripada Surah al-Fatihah sehingga Surah al-Nas (معجم علوم القرءان: 137). Malah kelebihan mengkhatamkan al-Quran secara individu juga berbeza berbanding mengkhatamkan al-Quran secara berkumpulan.

Namun demikian, tidaklah salah menggalakkan umat Islam agar membaca al-Quran sekalipun hanya beberapa helaian dalam khatam secara kumpulan@jamaah ini kerana masing-masing akan memperolehi ganjaran berdasarkan kadar ayat yang dibacakan. Bahkan, tadarus sebegini juga merupakan peluang terbaik untuk pembaca al-Quran dapat saling menegur serta memperbaiki kesalahan masing-masing, dan bukan sekadar membaca untuk khatam semata-mata.

Hal ini juga hampir sama dengan aktiviti mengedarkan juzuk-juzuk al-Quran kepada orang-orang yang hadir dalam sesuatu majlis perhimpunan. Di mana setiap orang daripada mereka akan membaca satu hizb daripada al-Quran misalnya. Perbuatan seperti ini juga tidaklah dikira setiap orang dari mereka telah mengkhatamkan al-Quran. Namun setiap ahli kumpulan akan mendapat pahala berdasarkan bacaan yang telah dilakukannya. Hal ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Hakim (1/472), sabda Nabi sollallahu alaihi wa sallam;
أجرُك على قَدْرِ نصَبِك
“Ganjaranmu adalah berdasarkan kepada kadar keletihanmu.”
Disebutkan dalam kaedah fiqh;

مَا كَانَ أَكْثَرَ فِعْلًا ، كَانَ أَكْثَرَ فَضْلًا (قاعدة التاسعة العشر,الأشباه والنظائر: 143)
“Apa yang lebih banyak perbuatan maka lebih banyak kelebihan.”
اليسع

Wallahua’lam.
Ustaz Alyasak Berhan

Blogger Tolib al-‘Ilm

19/05/2018 Posted by | Fad hail Amal, Ibadah | Leave a comment

DOA MALAIKAT JIBRIL MENJELANG RAMADHAN: SAHIHKAH?

Hadis ini sahih tak?

Doa Jibrail menjelang ramadhan:-
“Ya Allah, abaikan puasa umat Muhammad jika sebelum masuk ramadhan dia tidak melakukan 3 hal ini:

1.Tidak minta maaf kepada kedua orang tua.
2.Tidak bermaafan dengan sahabat sahabatnya.
3.Tidak bermaafan dengan orang sekitarnya.” maka, Rasullullah pun mengaminkannya sebanyak 3kali.

Dengan ini, saya ingin memohon maaf jika ada salah dan silap yang telah dilakukan sebelum sebelum ini. Minta maaf kalau ada terkasar bahasa, menyinggung atau mengguris hati. Mohon ampun dan maaf sekali lagi dari saya dan keluarga.

Jawapan:

Ia hadis palsu. Tiada asal padanya. Berdosa besar sesiapa yang mereka-rekanya dan menyebarkannya.

Imam Muslim dalam Muqadimah Sahih Muslim membawakan beberapa hadis yang mengajar kita untuk berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

لاَ تَكْذِبُوا عَلَىَّ فَإِنَّهُ مَنْ يَكْذِبْ عَلَىَّ يَلِجِ النَّارَ

Janganlah berdusta menggunakan diri ku, sesungguhnya sesiapa yang berdusta menggunakan diri ku nescaya akan masuk neraka [hadis no:2]

مَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ

Sesiapa yang dengan sengaja berdusta menggunakan diri ku, maka dia menempah tempat duduk dalam neraka [hadis no: 4]

كَفَى بِالْمَرْءِ كَذِبًا أَنْ يُحَدِّثَ بِكُلِّ مَا سَمِعَ

Cukuplah seseorang dianggap berdusta apabila dia menyampaikan setiap apa yang dia dengar [hadis no: 7]

Terdapat banyak lagi riwayat yang disebutkan oleh Imam Muslim dalam Muqadimah Sahihnya. Ini hanyalah sebahagian kecil sahaja.

Hadis-hadis melarang berdusta atas nama nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam atau mereka-reka hadis adalah mutawatir. Ia merupakan dosa besar.

Kita tidak perlukan hadis palsu ini. Cukuplah dengan hadis yang sahih atau hasan. Antaranya ialah hadis yang benar seperti di bawah:

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ ، ” أَنّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَقَى الْمِنْبَرَ ، فَلَمَّا رَقَى الدَّرَجَةَ الأُولَى ، قَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّانِيَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، ثُمَّ رَقَى الثَّالِثَةَ ، فَقَالَ : آمِينَ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، سَمِعْنَاكَ تَقُولُ : آمِينَ ثَلاثَ مَرَّاتٍ ؟ قَالَ : لَمَّا رَقِيتُ الدَّرَجَةَ الأُولَى جَاءَنِي جِبْرِيلُ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ رَمَضَانَ ، فَانْسَلَخَ مِنْهُ وَلَمْ يُغْفَرْ لَهُ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ أَدْرَكَ وَالِدَيْهِ أَوْ أَحَدَهُمَا فَلَمْ يُدْخِلاهُ الْجَنَّةَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ، ثُمَّ قَالَ : شَقِيَ عَبْدٌ ذُكِرْتَ عِنْدَهُ وَلَمْ يُصَلِّ عَلَيْكَ ، فَقُلْتُ : آمِينَ ” .

Jabir bin ‘Abdullah berkata Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam menaiki mimbar, ketika baginda menaiki anak tangga yang pertama, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga yang kedua, baginda menyebut “Amin”, kemudian apabila menaiki anak tangga ketiga, baginda menyebut “Amin”.

Para sahabat bertanya: Ya Rasulullah. Kami mendengar engkau menyebut Amin sebanyak tiga kali. Baginda menjawab: Ketika aku menaiki anak tangga yang pertama, Jibril datang kepada ku dan berkata: Celaka sungguh seorang manusia yang bertemu dengan Ramadhan, tetapi keluar daripadanya tanpa diampuni dosanya. Lalu aku pun menyebut Amin.

Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang ibu bapanya masih hidup atau salah seorang daripada mereka masih hidup, tetapi hal itu tidak memasukkannya ke dalam syurga. Aku pun menyebut Amin.

Kemudian Jibril berkata: Celakalah manusia yang engkau (iaitu Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam) di sebut di sisinya, tetapi dia tidak berselawat ke atas engkau. Aku pun menyebut Amin.

[Al-Imam Al-Bukhari dalam Al-Adab Al-Mufrad, hadis no: 640. Shaikh al-Albani berkata ia Sahih Lighairihi dalam Sahih al-Adab al-Mufrad]

Dari FB Dr Abu Anas Madani

17/05/2018 Posted by | Hadis, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Uncategorized | Leave a comment

Syarat-syarat Sah Jemaah di Dalam Bangunan Selain Masjid.

PANDUAN HUKUM: Ringkasan Syarat-syarat Sah Jemaah di Dalam Bangunan Selain Masjid.

Berikut adalah keterangan ringkas berkaitan syarat-syarat sah jemaah di dalam bangunan selain masjid:

a. Mengetahui perpindahan (pergerakan) imamnya berdasarkan ijmak ulama.

b. Disyaratkan tiada halangan yang boleh menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya dengan berjalan biasa tanpa berbelok-belok (berkelok-kelok/berliku-liku) sehingga berpaling dari kiblat (membelakangi kiblat).

Sehubungan itu, jika terdapat halangan yang boleh menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya sekalipun ia tidak menghalang pandangan makmum tersebut seperti jendela, jaring-jaring, cermin dan seumpamanya, maka ia tetap tidak sah kerana di antara jemaah tersebut terdapat halangan yang menghalang untuk dilalui oleh makmum. Ia seumpama hukum dinding.

c. Disyaratkan tiada halangan yang boleh menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir. Halangan tersebut termasuklah dinding, tirai atau tabir tebal yang dilabuhkan sehingga ia boleh menghalang pandangan makmum dan pintu yang tertutup sekalipun ia tidak dikunci serta boleh dilalui oleh makmum. Hal ini adalah kerana ia boleh menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir.

Namun, menurut Syeikh Ahmad al-Fatani, jika tirai atau tabir tersebut jarang (nipis) sekira-kira ia tidak menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir, maka sayugia dihukumkan sah qudwah (mengikut imam) tersebut. Ini kerana, ia tidak menghalang makmum untuk pergi kepada imamnya dengan berjalan biasa, tidak menghalang pandangan makmum kepada imam/makmum yang terakhir dan tidak menghalang mereka daripada sempurna berhimpun di sesuatu tempat.

d. Disyaratkan juga pandangan tersebut adalah dari tempat yang boleh dilalui oleh makmum.

e. Disyaratkan jarak mereka tidak terlalu jauh menurut majoriti ulama. Ditetapkan oleh Imam Syafi’i, jarak tersebut hendaklah tidak melebihi 3 ratus hasta (150 meter).
اليسع
Wallahu a‘lam.

Rujukan;

– Al-Majmuk
– Hasyiah I‘anah al-Talibin
– Bughyah al-Mustarsyidin
– Fath al-‘Allam
– Al-Fatawa al-Fataniyyah
– Al-Taqrirat al-Sadidah

Ustaz Alyasak bin Berhan
Blogger Tolib al-‘Ilm

15/05/2018 Posted by | Fiqh, Ibadah | Leave a comment

Bagaimanakah islam akan naik untuk gemilang kali keduanya?

Setiap orang yang mengaku beragama Islam, mahu tidak mahu pasti inginkan Islam memerintah negara ini khususnya, dan dunia ini amnya. Namun ramai yang masih tidak mengetahui bagaimanakah caranya Islam dapat naik semula untuk memerintah dunia ini. Masih ramai yang tertanya-tanya bagaimanakah caranya Islam boleh muncul sebagai kuasa baru dunia itu. Dan masih terlalu ramai yang tidak nampak apakah ada cara yang sesuai untuk Islam naik. Selain itu, masih ramai yang keliru dengan kaedah kebangkitan Islam seperti yang disebut oleh RSAW 1500 tahun yang lampau.

Dari Nukman bin Basyir katanya,

“Suatu ketika kami sedang duduk-duduk di Masjid Nabawi SAW dan Basyir itu adalah seorang yang tidak banyak cakap.

Datanglah Abu Saklabah lalu berkata, “Wahai Basyir bin Saad, adakah kamu hafaz hadis Rasulullah SAW tentang para pemerintah?”

Huzaifah RA lalu segera menjawab, “Aku hafaz akan khutbah baginda SAW itu.”

Maka duduklah Abu Saklabah Al-Khusyna (untuk mendengarkan hadis berkenaan).

Maka kata Huzaifah RA, Nabi SAW telah bersabda,

“Telah berlaku Zaman Kenabian ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu seperti yang Dia kehendaki, kemudian Allah pun mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki.

Kemudian berlakulah Zaman Kekhalifahan yang berjalan menurut cara Zaman Kenabian. Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah ia berlaku. Kemudian diangkat-Nya apabila Dia berkehendak mengangkatnya.

Kemudian berlakulah pula Zaman Pemerintahan Yang Menggigit (Fitnah). Maka berlakulah zaman itu seperti yang dikehendaki oleh Allah berlakunya. Kemudian Dia mengangkatnya seperti yang Dia kehendaki mengangkatnya.

Kemudian berlakulah Zaman Pemerintah Yang Zalim (Diktator). Maka berlakulah zaman itu seperti yang Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian Dia mengangkatnya apabila Dia mahu mengangkatnya.

Kemudian berlakulah pula Zaman Kekhalifahan yang berlaku menurut cara Zaman Kenabian.”

Kata Huzaifah RA, “Kemudian baginda SAW diam.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Juzuk 4, halaman 273. Ia juga terdapat di dalam Kitab As-Silsilatus Sahihah, Jilid 1, hadis nombor 5.

Akibat daripada itu, ramailah yang mengikut-ikut sahaja cara yang sedia ada. Ramailah yang taklid buta dan yang mentaklidbutakan orang, sedangkan pada masa yang sama mereka sibuk mengajak orang ramai supaya jangan bertaklid buta, kononnya tidak akan maju sampai bila-bila. Masing-masing masih tidak jelas apa itu pemerintahan Islam yang sebenar, dan jika dikatakan kepadanya bahawa Islam naik tidak melalui kaedah politik yang digunakan pada hari ini, tiba-tiba sahaja mereka akan garu kepala yang tidak gatal. Tidak kurang pula yang terus menolak tanpa berfikir lagi dan sebagainya.

Setelah itu, timbul pula beberapa persoalan yang amat penting untuk dijawab dengan penuh saksama dan tepat menurut kehendak ajaran Islam yang tulen. Antara persoalan utama yang selalu diajukan jika diberitahu kepadanya bahawa Islam tidak naik melalui sistem yang sedia ada ialah, apakah kaedah itu adalah:

1. Kaedah politik Barat, yang menekankan penggunaan sepenuhnya sistem demokrasi yang diasaskan oleh Barat, sistem politik ala-Barat atau menggunakan gabungan antara sistem demokrasi yang disesuaikan dengan Islam (separuh demokrasi dan separuh lagi Islam )?

2. Kaedah rampasan kuasa seperti yang pernah digunakan di Pakistan, Afghanistan, Libya dan Iran?

3. Kaedah jihad terhadap yang berlainan agama seperti mengebom gereja-gereja, menyerang kuil-kuil dan membunuh pengikut-pengikut mereka seperti oleh KMM, Al-Ma’unah, GAM dan MILF?

4. Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu pengetahuan seperti yang sering dilaung-laungkan oleh para sarjana dan cendekiawan Islam di hampir setiap puncak menara gading?

5. Kaedah penguasaan ekonomi seperti yang dicanang dan dipraktikkan oleh para usahawan dan koperat Islam?

6. Kaedah penerapan nilai-nilai Islam yang menekankan penghayatan secara tebuk-tebuk seperti yang pernah cuba diterapkan ke dalam sistem

pentadbiran dan perbankan kita suatu ketika dahulu?

7. Atau adakah cara lain lagi, selain daripada yang di atas, yang boleh digunakan untuk membolehkan Islam naik semula memerintah dunia ini? Jika ada, apakah nama cara itu? Siapa pengasasnya? Di mana tempatnya? Apakah orang itu sudah ada pada masa kita ini? Bagaimana fikrahnya? Bagaimana ilmunya? Apa nama partinya jika dia orang politik? Jika dia bukan orang politik, apakah nama gerakannya? Militankah dia?

Islam tidak akan dan tidak pernah berjaya jika dinaikkan menggunakan kaedah yang lain daripada kaedah Islam itu sendiri. Diumpamakan kita membasuh kain yang terkena tahi ayam dengan menggunakan arak. Itulah umpamanya orang yang cuba menegakkan Islam dengan menggunakan kaedah selain dari kaedah yang ada dalam Islam itu sendiri. Ada yang berkata, kita naik dahulu dengan cara Barat, dan selepas mendapat kuasa nanti, kita tukarlah sistem Barat itu dengan sistem Islam. Cara ini juga tidak betul kerana apabila kita menggunakan kaedah yang selain dari Islam, pastilah hasilnya akan melencong pula dari yang disasarkan.

Kaedah rampasan kuasa tidak akan berjaya kerana bukti-bukti sejarah yang terang jelas menunjukkan bahawa kaedah ini sentiasa gagal membawa keamanan kepada sesebuah negara itu, malah rakyat akan bertambah membenci kerajaan yang didirikan secara kekerasan dan rampasan kuasa.

Kaedah jihad seperti yang cuba dilaksanakan oleh beberapa pihak sebenarnya bukanlah bentuk jihad yang dikehendaki oleh Islam. Ada banyak bentuk jihad yang lain yang lebih sesuai diterapkan kepada orang ramai, sama ada kepada yang beragama Islam sendiri, mahupun kepada orang yang bukan Islam. Jihad dengan senjata bukanlah kaedah yang pertama dan utama yang patut kita gunakan. Lagipun kaedah ini tidak pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW dalam hadis-hadis mengenai peristiwa akhir zaman.

Kaedah cakna dan memperkasakan ilmu seperti yang selalu disebut-sebut di hampir setiap forum dan seminar sebenarnya bukanlah kaedah yang terbaik untuk membangunkan Islam. Ilmu yang tidak disertakan tauhid, roh Islam dan amalan hati pasti akan gagal juga. Apatah lagi jika guru yang mengajar agama Islam itu adalah orang yang tidak tentu akidahnya, orangnya fasik ataupun orang kafir. Jika benar dengan memperkasakan ilmu-ilmu agama dapat membangunkan ummah, kenapa sehingga kini universiti masih gagal menunjukkan bahawa merekalah pelopor terhadap kebangkitan semula Islam di rantau sebelah sini? Setakat artikel ini ditulis, tidak pernah lagi ada orang yang berkata bahawa kebangkitan semula Islam pada zaman ini di Timur ini, bermula di universiti, dibangkitkan oleh para pensyarahnya. Kaedah penguasaan ekonomi juga menunjukkan hasil yang hampir sama jika dilihat secara umum, menurut kaca mata orang ramai.

Kaedah penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran dan perbankan juga tidak menunjukkan bahawa kaedah ini mampu menjadi peneraju kebangkitan semula Islam pada zaman ini. Malah sebenarnya kaedah ini lebih banyak menghasilkan orang-orang yang berpura-pura dan bersikap berketrampilan (serba boleh). Maksudnya, orang itu akan mempermain-mainkan Islam sama ada secara sedar atau tidak. Misalnya mereka berpakaian biasa yang terdedah sana dan sini pada hari-hari biasa, manakala pada hari Jumaat, bertudung litup. Kemudian pada hari lain, buka semula seperti biasa. Atau contoh lain ialah orang itu boleh menjadi imam sembahyang pada satu masa, manakala pada masa yang lain, dia juga mampu menjadi imam semasa berjudi atau minum arak.

Memang persoalan seperti ini pernah ditimbulkan oleh orang ramai. Pada hari ini, umat Islam sudah mula frust dan fed up terhadap sistem politik yang ada dan digunakan pada hari ini. Mereka bukan tidak mahukan Islam itu naik, tetapi jemaah-jemaah yang kononnya mendukung perjuangan menegakkan sebuah negara Islam masih belum juga menampakkan sebarang persediaan untuk menyambut tugas yang maha besar itu. Mereka masih lagi sibuk dengan cara dahulu juga iaitu bertempik dengan penuh semangat sambil mencerca pihak lawan yang kononnya tidak mahukan Islam, tidak nampak lagi usaha yang bersungguh-sungguh dari mereka, yang menjurus ke arah itu, sedangkan canangannya sudah begitu lama diwar-warkan.

Sebenarnya memang benar bahawa Islam tidak naik dengan cara yang sedia ada pada hari ini, dan sekali-tidak tidak akan naik dengan cara itu. Islam ada sistemnya sendiri yang amat jauh berbeza daripada sistem-sistem yang sedia ada, baik pada hari ini mahupun pada masa lalu.

Jika begitu, persoalannya, bagaimanakah islam akan naik untuk gemilang kali keduanya?

Hapiza MA

14/05/2018 Posted by | Informasi, Q & A (Soal Jawab), Renungan & Teladan | Leave a comment

Ragu Kentut, Apa Perlu Dituruti?

Kadang kita mendapati hal seperti ini ketika shalat, apakah kentut ataukah tidak? Perut terasa sesuatu, padahal itu masih ragu-ragu, bukan yakin. Apakah ragu-ragu atau was-was seperti ini perlu dituruti?

Ada hadits yang bisa diambil pelajaran pagi ini sebagai berikut.

وَعَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ – رضي الله عنه – قَالَ: قَالَ رَسُولُ اَللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – – إِذَا وَجَدَ أَحَدُكُمْ فِي بَطْنِهِ شَيْئًا, فَأَشْكَلَ عَلَيْهِ: أَخَرَجَ مِنْهُ شَيْءٌ, أَمْ لَا? فَلَا يَخْرُجَنَّ مِنْ اَلْمَسْجِدِ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا, أَوْ يَجِدَ رِيحًا – أَخْرَجَهُ مُسْلِم

_Dari Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, ia berkata bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Jika salah seorang di antara kalian mendapati ada terasa sesuatu di perutnya, lalu ia ragu-ragu apakah keluar sesuatu ataukah tidak, maka janganlah ia keluar dari masjid hingga ia mendengar suara atau mendapati bau.” Diriwayatkan oleh Muslim. (HR. Muslim no. 362)._

Dalam shahih Bukhari-Muslim disebutkan hadits dari ‘Abdullah bin Zaid radhiyallahu ‘anhu bahwasanya ia pernah mengadukan pada Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam mengenai seseorang yang biasa merasakan sesuatu dalam shalatnya. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam pun bersabda,

لاَ يَنْصَرِفْ حَتَّى يَسْمَعَ صَوْتًا أَوْ يَجِدَ رِيحًا

_“Janganlah berpaling hingga ia mendengar suara atau mendapati bau.” (HR. Bukhari no. 177 dan Muslim no. 361)._

*Berpegang dengan Keadaan Suci*

Pelajaran pertama yang bisa kita gali bahwa orang yang dalam keadaan suci jika ia ragu apakah ia berhadats ataukah tidak dan itu masih dalam taraf ragu-ragu, maka ia tidak diharuskan untuk wudhu. Yang dalam keadaan ragu-ragu seperti ini tetap shalat hingga dia yakin telah datang hadats, bisa jadi dengan mendengar suara kentut atau mencium baunya.

*Jauhkan Was-Was*

Hadits di atas menunjukkan bahwa setiap muslim mesti menghilangkan was-was pada dirinya. Jangan ia perhatikan was-was tersebut karena hal itu hanya mempersulit diri. Diri seseorang hanya merasa payah karena terus menuruti was-was.

Kaedah Fikih: Yakin Tidak Bisa Mengalahkan Yang Ragu

Dari hadits di atas, dapat diambil suatu kaedah yang biasa disebutkan oleh para ulama,

اليقين لا يزول بالشك

_“Yang yakin tidak bisa dihilangkan dengan ragu-ragu.”_

Imam Al Qorofi dalam kitab Al Furuq mengatakan, “Kaedah ini telah disepakati oleh para ulama. Maksudnya adalah setiap ragu-ragu dijadikan seperti sesuatu yang tidak ada yang dipastikan tidak adanya.”

_Abu Daud berkata, “Aku pernah mendengar Imam Ahmad ditanya oleh seseorang yang ragu mengenai wudhunya. Imam Ahmad lantas berkata, jika ia berwuhdhu, maka ia tetap dianggap dalam kondisi berwudhu sampai ia yakin berhadats. Jika ia berhadats, maka ia tetap dianggap dalam kondisi berhadats sampai ia berwudhu.” Lihat Masail Al Imam Ahmad, hal. 12._

Ibnu Taimiyah rahimahullah berkata,

كُلُّ احْتِمَالٍ لَا يَسْتَنِدُ إلَى أَمَارَةٍ شَرْعِيَّةٍ لَمْ يُلْتَفَتْ إلَيْهِ

_“Setiap yang masih mengandung sangkaan (keraguan) yang tidak ada patokan syar’i sebagai pegangan, maka tidak perlu diperhatikan.” (Majmu’ Al Fatawa, 21: 56)_

Pelajaran Penting: Kentut Membatalkan Wudhu

Hadits yang kita kaji kali ini menunjukkan bahwa kentut itu membatalkan wudhu, baik jika hanya keluar saja atau bau saja. Dan orang yang kentut mesti mengulangi wudhunya dari awal. Jika kentut membatalkan wudhu, maka shalat pun batal karenanya karena setiap pembatal wudhu menjadi pembatal shalat.

(Ustaz Muhammad Abduh tuasikal, MSc)

Sumber: muslim.or.id

14/05/2018 Posted by | Fiqh, Ibadah, Uncategorized | Leave a comment

TERCELANYA BANGGA DIRI

Berkata Al-Imam Sufyan At-Tsauri رحمة الله تعالى :

“ Berhati-hatilah dari hal-hal yang akan merosakkan amalanmu kerana yang akan merosakkan amalanmu adalah riya’, dan jika bukan riya’ maka kagum kepada diri sendiri (yang akan merosakkan) sehingga digambarkan dalam benakmu bahawa engkau lebih utama dari saudaramu, padahal boleh jadi engkau tidak mampu melakukan amalan seperti apa yang dia mampu lakukan, dan boleh jadi dia lebih wara’ (berhati-hati) darimu dari perkara-perkara yang telah Allah haramkan, dan lebih suci darimu amalannya.

Dan jika engkau tidak membanggakan dirimu sendiri maka berhati-hatilah dari cinta akan pujian manusia dan sanjungan mereka sehingga menjadikan engkau suka agar mereka memuliakanmu kerana amalanmu, dan agar mereka memandang dirimu kerananya dengan kemuliaan dan kedudukan di dalam dada mereka, atau sebuah hajat yang engkau tuntut dari mereka dalam banyak perkara, namun hendaknya yang engkau inginkan dengan amalanmu hanyalah wajah Allah dan negeri akhirat, bukan menginginkan dengan itu selain-Nya.

Maka cukuplah dengan mengingat kematian menjadikan zuhud di dunia dan mengharapkan negeri akhirat, dan cukuplah dengan panjangnya angan-angan menunjukkan akan sedikitnya rasa takut dan kelancangan terhadap kemaksiatan, dan cukuplah sebagai suatu kerugian dan penyesalan di hari kiamat nanti bagi siapa saja yang berilmu namun dia tidak beramal (dengan ilmunya).”

[ Hilyatul Awliya – 6/391]

14/05/2018 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

Pedoman Mencari Kebenaran!

Satu panduan untuk orang awam yang keliru kumpulan mana satu yang benar dan mana satu tidak benar serta permasalahan agama yang terjadi pada masa kini yang dianjurkan oleh Mufti Tarim Al-Allamah Al-Habib Ali Masyhur Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafidz.
Beliau mengatakan “Kalau kamu nak tahu kumpulanmu ini betul ataupun tidak…

Pertama sekali kamu mesti berlapang dada dahulu. Bersedia untuk tengok salah ataupun tidak. Sebab padahnya ialah kamu boleh nak mempertahankan kumpulan kamu tapi kumpulan kamu ini tak boleh mempertahankan kamu di depan mahkamah Allah سبحانه وتعالى. Di dunia bolehlah dia nak mempertahankan kumpulan dia. Dia dengan pemimpin atau syeikh dia. Dia dengan ustaz dia. Dia dengan fulan dia tapi bagaimana bila di depan mahkamah Allah سبحانه وتعالى.
Kalau kumpulan itu tidak benar maka sudah tentu mereka tidak dapat membela kita depan Allah سبحانه وتعالى.

Satu panduan kita perlu tahu pengumpulan kita ini, mazhab kita ini, pandangan kita ini, kumpulan kita ini benar atau pun tidak. Kita rujuk satu ayat Al-Quran yang mudah iaitu Surah Al-Fatihah.

Dari Surah Al-Fatihah hari-hari kita baca dan minta pada Allah سبحانه وتعالى
“Ya Allah Tunjukkanlah aku (kami) jalan yang lurus.” Agaknya Allah tak tunjukkan ke kepada kita jalan yang lurus? Pada ayat berikutnya sendiri Allah dah tunjukkan kepada kita jalan yang lurus “Iaitu Jalan yang lurus ini adalah mereka yang Allah kurniakan nikmat ke atas mereka.”
Siapa mereka itu?

Para Nabi, Para Siddiqin, Para Syuhada, Para Solihin.Jadi jalan yang lurus ialah jalan Para Nabi, Para Siddiqin, Para Syuhada, Para Solihin.Selain daripada jalan ini bukan jalan yang lurus.

Apa kena mengena dengan kita?

Memang ada kena mengena dengan kita. Kamu lihat dalam kumpulan kamu. Kita tengok “Ya Allah tunjukkan aku jalan yang lurus.” tapi dalam kumpulan kamu ini ada yang mengata dan menghina Para Sahabat Nabi ﷺ Saidina Abu Bakar tak betul, Saidina Umar tak betul, Saidaitina Aisyah tak betul dan sebagainya. Kalau kumpulan kamu ini benci dan tidak berkenan dengan Para Sahabat Nabi ﷺ yang telah dijamin syurga mereka bersama Nabi ﷺ tetapi kumpulan kamu tetgamak dan berani kutuk dan mencerca sahabat.

Bermakna kumpulan kamu tidak sehaluan dengan Para Siddiqin…Bermakna tidaklah kumpulan kamu ini berada dalam “Sirrathol Mustaqim (jalan yang lurus).” Maka kamu tinggalkanlah kumpulan ini.

Kalau kumpulan kamu dengan sombong dan berani menyebut tak payah ikut Imam Syafie, tak payah ikut Imam Maliki, Imam Hanbali dan Imam Abu Hanifah… Tak payah bermazhab. Jadi sebenarnya kumpulan ini juga tidak suka dengan Para Solihin. Ketahuilah imam-imam mujtahid, semua mereka ini adalah pemimpin-pemimpin Para Solihin..

Kalau kumpulan kamu berani mencerca semua mereka ini termasuk Imam Al-Ghazali sedangkan mereka termasuk Imam-imam mujtahid yg soleh… Apakah ini sikap yg benar?

Kalau kumpulan kamu tidak berkenan dengan imam-imam ini sedangkan mereka ini adalah para solihin bermakna kumpulan kamu tidak termasuk dalam konsep Surah Al-Fatihah iaitu “Sirrathol Mustaqim (Jalan yang lurus).

Kalau kumpulan kamu pula tidak berkenan pada Wali-Wali Allah. Kononnya siapa yg percaya Wali-Wali ini adalah syirik dan tak betul.Tidaklah kumpulan kamu ini sehaluan dengan Syuhada kerana Para Auliya termasuk orang2 yg soleh.

Kalau kumpulan kamu pula benci dan tidak suka dengan Ahlul Bait Nabi ﷺ. Dan mengatakan jangan ikut Habib-Habib ini maka kumpulan kamu tidak bersetuju dengan Anbiya Wal Mursalin. Siapa Habaib ini? “Sesiapa pun boleh mengaku zuriat Nabi ﷺ. Keturunan Nabi Muhammad ﷺ.” Kalau kumpulan kamu ada mengatakan ini semua maka kumpulan kamu ini tidaklah berada di “Jalan yang lurus.”

Satu perkara lagi kita nak tahu kumpulan kita ini betul ataupun tak betul. Walaupun berdalil sekalipun dengan ayat Al-Quran dan Hadis Nabi ﷺ dan kumpulan yang satu lagi ini pula dengan ayat Al-Quran dan Hadis Nabi ﷺ.

Satu tanda yang perlu kita kesani dan kita perlu berhati-hati. Kita tengok AKHLAK siapa yang lebih mulia. Nabi ﷺ bersabda “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kesempurnaan AKHLAK.”

Mencerca itu bukan menunjukkan akhlak yang baik. Apatah lagi menuduh. Apatah lagi menyalahkan lagi dan mengatakan sudah terkeluar daripada Agama Islam.
Mencerca Agama apa-apa pun, bangsa apa-apa pun sepakat mengatakan mencerca itu bukan AKHLAK yang baik. Ini menjelaskan yang mana mereka yg suka mencerca ini bukanlah kumpulan yang benar kerana tidak mengikut AKHLAK Nabi ﷺ.

Jadi kalau kita dah tahu maka janganlah kita terikut dengan kata-kata ataupun ajakan orang lain apatah lagi yang suka mencerca, mengutuk, menghina dan sebagainya.

Itu bukan AKHLAK kita.Walaupun kita diserang, dihina dan dikatakan pelbagai-bagai tuduhan dan tomahan maka jangan kita melawan balik dengan AKHLAK yang tidak baik.

Kita mengalah, tidak melawan bukan tandanya kita ini kalah. Kita ini tidak kuat tetapi sekiranya kita pun berdebat sama dengan mereka maka ia secara tak langsung menyatakan yang kita setuju, membenarkan dengan AKHLAK mereka.

Kita tahu kita benar. Kita tahu kita ada sandaran. Kita tahu siapa ikutan kita. Kita tahu nas dan dalil-dalil kita. Cukuplah memandai Allah سبحانه وتعالى dipihak kita.Tak perlu kita mengorbankan AKHLAK kita untuk mempertahankan dengan melawan kembali dengan CERCAAN dan HINAAN yang serupa dengan mereka Tak payah kita dah pun dipertahankan..

Wallahua’lam

Ustaz Yunan A Samad

03/05/2018 Posted by | Tazkirah | Leave a comment

   

%d bloggers like this: