Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apakah hukum memakai beg atau kasut yang diperbuat daripada kulit haiwan yang tidak disembelih cara Islam.

Fatwa Malaysia

Kulit haiwan yang telah disamak adalah suci, sama ada haiwan tersebut adalah haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih, ataupun haiwan tersebut adalah haiwan yang tidak boleh dimakan, kecuali anjing dan babi.

Ini berdasarkan kepada sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya: “Apa jua kulit apabila disamak maka ia menjadi suci”. (Riwayat Al-Tirmizi, 4/221, no: 1728; Al-Nasai, 7/173, no: 4241; dan Ibn Majah, 2/1193, no: 3609).

Dalam hadis yang lain, Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berjalan melalui satu bangkai kambing lalu baginda bersabda, "Kenapa kamu tidak mengambil kulitnya, menyamaknya dan memanfaatkannya?". Mereka menjawab, "Ia adalah bangkai". Lalu baginda bersabda, "Yang haram adalah memakannya". (Riwayat Al-Bukhari, 2/128, no: 1492; dan Muslim, 1/276, no: 363).

Berdasarkan kepada dua hadis di atas, menurut pandangan mazhab Syafie bahawa kulit haiwan yang boleh dimakan tetapi mati tanpa disembelih mengikut syarak dan kulit haiwan yang tidak boleh dimakan (kecuali anjing dan babi) adalah suci sekiranya disamak.

Oleh itu harus memakai dan menggunakan barangan seperti beg, kasut, tali pinggang dan lain-lain yang diperbuat daripada kulit yang telah disamak yang diambil daripada bangkai atau haiwan yang tidak disembelih mengikut syarak.

Wallahu A’lam.

27 December 2013 Posted by | Fatwa, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Jangan Mudah Mengkafir Dan Menerakakan Orang

Antara ciri wasatiyyah (tidak melampau dan tidak cuai) Ahlus Sunnah wal Jamaah ialah sikap berhati-hati dalam menghukum pihak lain dengan tuduhan kufur, laknat ataupun neraka. Mereka sedaya upaya mencari keuzuran bagi pihak yang hendak dikenakan tuduhan sedemikian. Ini kerana perkara yang nampak pada zahir, mungkin tidak sama pada hakikat yang sebenar.

Menilai Hakikat

Nabi s.a.w mengajar kita berhati-hati dalam menuduh orang lain sebagai kafir ataupun musuh Allah sewenang-wenangnya. Sabda Nabi s.a.w:

“Sesiapa yang memanggil orang lain dengan ‘kafir’ atau ‘musuh Allah’ sedang dia tidak begitu, maka tuduhan itu kembali kepadanya (penuduh)”. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bahkan dalam hadis, Nabi s.a.w melarang melaknat seorang sahabat yang meminum arak kerana walaupun pada zahirnya dia berdosa dan minum arak adalah perbuatan yang dilaknat. Namun setiap orang mempunyai keadaan yang berbeza. Kejahatan dosa peribadi seseorang tidak semestinya dia sama sekali tidak mempunyai nilai baik yang lain. Mungkin dia lemah pada satu nilai, tapi ada kebaikan lain yang tidak melayakkan dia dilaknat.

Dalam hadis al-Imam al-Bukhari, Rasulullah s.a.w mengajar kita hakikat ini:

“Seorang lelaki bernama ‘Abdullah, digelar ‘himar’ (kaldai). Dia pernah menyebabkan Rasulullah s.a.w ketawa. Juga pernah Nabi s.a.w. menyebatnya (menjatuhkan hukuman) disebabkan kesalahan meminum arak. Pada suatu hari dia ditangkap lagi (disebabkan kesalahan meminum arak), maka baginda pun menghukum lalu dia disebat. Seorang lelaki berkata: “Ya Allah! Laknatilah dia, alangkah kerap dia ditangkap”. Lantas Nabi s.a.w pun bersabda: “Jangan kamu semua melaknatinya! Demi Allah apa yang aku tahu dia mencintai Allah dan RasulNya”.

Kekufuran

Kemudian, bagi mereka yang membuat kesalahan yang membawa kepada kekufuran ataupun dosa yang besar mungkin tidak sampai kepada mereka ajaran yang sebenar dengan penghujahan yang cukup. Jangan kita sibuk menerakakan orang sedang Allah menyebut: (maksudnya)

“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15)

Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqahmenyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab neraka, antaranya beliau menyebut:

“Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini –dengan izin Allah- iaitu mereka yang berada di penghujung Rome dan Turki yang tidak sampai dakwah. Mereka itu tiga golongan; (golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan. (golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata. Mereka ini berjiran dengan Negara Islam dan bergaul dengan kaum muslimin. Mereka ini kuffar yang nyata. (golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad s.a.w tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya. Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang pendusta yang mengelirukan bernama Muhammad telah mendakwa menjadi nabi… mereka ini pada pendapatku sama seperti golongan yang pertama. Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad tetapi mereka juga mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran..”

Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zaman beliau tetapi juga memberi gambaran bahawa sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekali mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka. Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang muslim juga sering bertindak mengelirukan orang lain tentang Islam yang sebenar. Tuhan Maha Rahmat kepada sekelian hamba-hambaNYA.

Hujah

Mungkin penjelasan mengenai Islam dengan satu pendekatan yang pada zaman dahulu memadai, pada zaman ini sudah tidak memadai lagi. Mungkin memadai untuk segolongan manusia tetapi tidak bagi golongan yang lain. Maka, Allah Maha Mengetahui keadaan hamba-hambaNYA.

Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:

“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.

Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:

“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)

Sumber: Dr Maza

26 December 2013 Posted by | Politik dan Dakwah | , | Leave a comment

Aqidah sesat Syiah Zaidiah di antaranya Al-quran tidak qadim

23 December 2013 Posted by | Aqidah, Q & A (Soal Jawab), Video | | Leave a comment

Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay)

Cicak Tokay

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-95 yang bersidang pada 16-18 Jun 2011 telah membincangkan mengenai Hukum Memakan Dan Berubat Dengan Cicak Gekko Geckko (Tokay) . Muzakarah telah membuat keputusan seperti berikut:

Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah berpandangan bahawa para fuqaha’ telah mengklasifikasikan Cicak Gekko Geckko (Tokay) sebagai binatang yang haram dimakan kerana tergolong dalam kategori haiwan yang menjijikkan (khabis) dan mempunyai racun. Begitu juga dengan uruf masyarakat Islam di Malaysia yang tidak menjadikan binatang ini sebagai makanan yang biasa dimakan. Selain itu, sehingga kini tidak ada bukti saintifik dan ujian klinikal yang membuktikan bahawa Cicak Gekko Geckko (Tokay) mampu menjadi penawar atau mengubati penyakit-penyakit tertentu.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa hukum memakan Cicak Gekko Geckko (Tokay) adalah diharamkan oleh Islam. Manakala untuk tujuan perubatan, penggunaan Cicak Gekko Geckko (Tokay) diharuskan dengan syarat keberkesanannya dapat dibuktikan dari segi saintifik dan tiada alternatif ubat lain yang boleh digunakan bagi merawat penyakit berkaitan.

20 December 2013 Posted by | Fatwa, Informasi, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Apakah hukumnya jika surau atau masjid melaungkan azan menggunakan pita rakaman, bukannya melalui muazzin yang melaungkan azan.

Azan

 

Fatwa Malaysia

PENJELASAN:

Azan merupakan salah satu syiar dalam Islam yang disyariatkan sebagai tanda masuk waktu sembahyang fardu. Ia juga adalah satu ibadah kepada Allah Taala yang tidak sah dilakukan kecuali oleh muazzin yang mencukupi syarat-syaratnya.

Justeru para ulama yang membincangkan berkenaan azan menegaskan bahawa tidak sah azan dilaungkan oleh orang bukan Islam atau orang yang tidak siuman kerana tidak mencukupi syarat-syaratnya. Al-Shirazi menyebut:

ولا يصح الأذان إلا من مسلم عاقل فأما الكافر والمجنون فلا يصح أذانهما لأنهما ليسا من أهل العبادات

Maksudnya: “Tidak sah azan kecuali daripada seorang muslim yang berakal. Manakala orang kafir dan gila tidak sah azan mereka, kerana mereka bukan dari kalangan ahli ibadat”. (Al-Muhazzab, 1/111).

Oleh itu laungan azan dengan menggunakan pita rakaman, cakera padat, dan seumpamanya adalah tidak sah dan tidak dikira sebagai azan secara syar’ie. Azan secara syar’ie mestilah dilakukan oleh seseorang mukallaf yang mencukupi syarat-syaratnya.

Beberapa badan fatwa negara Islam dan kesatuan fikah sedunia telah memutuskan bahawa azan melalui pita rakaman dan seumpamanya adalah tidak sah.

Antaranya, Majmak al-Fiqh al-Islamiy (Islamic Fiqh Council) yang bernaung di bawah Muslim World League dalam persidangan ke-9 yang berlangsung di Makkah pada tahun 1406H telah meluluskan resolusi berikut:

أن الاكتفاء بإذاعة الأذان في المساجد عند دخول وقت الصلاة بواسطة آلة التسجيل ونحوها لا يجزئ ولا يجوز في أداء هذه العبادة، ولا يحصل به الأذان المشروع، وأنه يجب على المسلمين مباشرة الأذان لكل وقت من أوقات الصلوات في كل مسجد على ما توارثه المسلمون من عهد نبينا ورسولنا محمد صلى الله علية وسلم إلى الآن.

Maksudnya: “Laungan azan di masjid-masjid ketika masuk waktu solat dengan menggunakan peralatan rakaman adalah tidak memadai, tidak harus dalam menunaikan ibadah ini, dan tidak terhasil azan yang syar’ie. Adalah wajib ke atas orang Islam untuk melakukan azan secara sendiri setiap kali masuk waktu solat di setiap masjid, sebagaimana amalan yang diwarisi oleh umat Islam sejak zaman Nabi dan Rasul kita Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, hingga sekarang”.

Dalam masalah kanak-kanak lelaki melaungkan azan, maka Mazhab Syafie dan Jumhur Ulama’ dari kalangan Hanafiah dan Hanabilah menegaskan azan tersebut adalah tidak sah melainkan dia sudah Mumaiyiz iaitu sekitar usia 11 hingga 12 tahun sebelum baligh. Maka mereka menyimpulkan bahawa kanak-kanak lelaki yang sudah Mumaiyiz boleh melaungkan azan dan sah azannya walaupun yang lebih utama azan tersebut dilaungkan oleh lelaki dewasa.

Namun yang demikian para ulama Malikiyah berpendapat kanak-kanak sama ada yang belum baligh, diharamkan dari melaungkan azan sama ada sudah Mumaiyiz atau tidak (Hashiyah Al-Dasuki 1/344).

Keterangan Jumhur Ulama’ dapat dilihat pada keterangan Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani: “Mereka (ulama’ Hanafiyah, Syafi’iyah dan Hanabilah) sepakat bahwa azan dari anak yang sudah Tamyiz untuk jemaah dewasa statusnya sah” (Ikhtilaf a’immatil-Ulama 1/94).

Azan oleh kanak-kanak yang belum Mumaiyiz statusnya tidak sah dan wajib diulang walaupun suara kanak-kanak itu seperti orang dewasa dan walaupun dia mempunyai bakat melaungkan azan. Al-Wazir Abul-Muzaffar Al-Syaibani menjelaskan:

“Tidak sah azan kanak-kanak yang belum Mumaiyiz, dan laungannya tidak menggugurkan kewajiban azan satu kampung.” (Al-Fiqh ‘Alaa Al-Madzahib Al-Arba’ah, 1/463)

Wallahu A’lam.

 

20 December 2013 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Najis yang di maafkan tidak menjejaskan solat

Seseorang yang hendak mendirikan sembahyang hendaklah terlebih dahulu memastikan dirinya, pakaiannya serta tempatnya bersembahyang suci daripada najis. Jika terdapat najis pada perkara-perkara yang disebutkan itu, maka hendaklah ianya dibersihkan terlebih dahulu sehingga tempat yang terkena najis itu menjadi suci. Salah satu daripada syarat sah sembahyang itu ialah suci tubuh badan, pakaian dan tempat sembahyang daripada najis yang tidak dimaafkan. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Tafsirnya: “Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan!” (Surah al-Muddatstsir: 4)

Syarat suci daripada najis ketika di dalam sembahyang adalah juga berdasarkan hadits yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jika datang darah haid maka tinggalkanlah sembahyang, dan jika telah berlalu haidh itu maka bersihkanlah (darah) dari dirimu dan kerjakanlah sembahyang.” (Hadits riwayat al-Bukhari)

Daripada ayat dan hadits di atas, jelas bahawa tidak sah sembahyang seseorang yang terdapat najis pada tubuh badan, pakaian atau tempatnya bersembahyang. Namun jika sekiranya najis itu merupakan najis yang dimaafkan, maka sembahyangnya adalah sah walaupun dia tidak menghilangkan najis dan menyucikan tempat yang terkena najis itu terlebih dahulu.

Untuk memudahkan seseorang itu melaksanakan ibadatnya, adalah perlu dia mengetahui apakah perkara yang dikategorikan sebagai najis yang dimaafkan.

Apakah Dia Najis Yang Dimaafkan itu?

Menurut para ulama mazhab asy-Syafi‘e, kaedah umum yang boleh dirujuk untuk mengenal pasti najis-najis yang dimaafkan itu ialah suatu perkara yang susah untuk dielakkan daripadanya.

Berikut adalah sebahagian contoh najis-najis yang dimaafkan:

1. Najis yang tidak nampak pada pandangan mata kasar, walaupun ia daripada najis mughallazhah. Umpamanya darah yang terlalu sedikit atau air kencing yang terpercik sama ada pada tubuh badan, pakaian atau tempat bersembahyang yang tidak nampak oleh pandangan mata kasar.

2. Najis yang sedikit seperti darah nyamuk, agas atau kutu yang tidak mengalir. Begitu juga darah yang keluar dari kudis, bisul, jerawat kecil, luka atau nanah pada badan seseorang, pakaian atau tempatnya bersembahyang yang bukan disebabkan perbuatannya sendiri.

Jika darah tersebut keluar disebabkan oleh perbuatannya sendiri, umpamanya membunuh nyamuk yang ada pada bajunya atau memicit kudis atau jerawat sehingga mengeluarkan darah, maka darah tersebut tidak dikira sebagai najis yang dimaafkan.

Darah atau nanah luka yang banyak juga termasuk najis yang dimaafkan dengan syarat, iaitu:-

  • Darah atau nanah tersebut merupakan darah/nanah dari orang itu sendiri
  • Darah atau nanah itu keluar bukan disebabkan perbuatannya atau disenghajakannya.
  • Darah atau nanah yang keluar itu tidak mengalir dari tempatnya, seperti darah yang banyak itu tidak mengalir daripada lukanya.

3. Darah ajnabi iaitu darah orang lain yang terkena pada badan, kain atau tempat bersembahyang dengan kadar yang sedikit dengan syarat najis tersebut bukan dari najis mughallazhah iaitu daripada anjing dan babi. Jika ia berasal dari keduanya atau salah satu dari keduanya, tidaklah ia dimaafkan walaupun hanya sedikit.

Menurut Imam al-Adzra‘ie Rahimahullah bahawa adalah termasuk juga darah yang terpisah daripada badan seseorang itu yang kemudiannya terkena semula padanya sebagai darah ajnabi.

4. Darah yang sedikit yang keluar dari hidung atau darah yang keluar dari bahagian-bahagian tubuh seperti mata, telinga danyang seumpamanya, selain dari jalan tempat keluar najis seperti tempat keluar tahi.

Jika darah keluar dari hidung seseorang sebelum dia melakukan sembahyang dan terus menerus keluar darah tersebut, dalam hal ini jika pendarahan itu diharapkan berhenti dengan keadaan waktu sembahyang yang masih panjang, maka hendaklah ditunggu. Akan tetapi jika sebaliknya, hendaklah dia membersihkan dahulu darah tersebut dan hidungnya (tempat keluar darah tersebut), kemudian menyumbatnya dengan kapas umpamanya dan melapisnya dengan kain jika perlu.

5. Darah yang masih tinggal di tempat lukanya yang keluar hasil dari perbuatan mengeluarkan darah dengan tusukan atau berbekam, sekalipun banyak yang masih tinggal di tempat lukanya.

6. Darah yang keluar dari gusi bila tercampur dengan air ludah sendiri. Sah sembahyang bagi orang yang gusinya berdarah sebelum dicucinya darah tersebut selagi dia tidak menelan air ludahnya ketika di dalam sembahyang.

7. Sedikit tanah tempat laluan seperti jalanraya atau yang seumpamanya yang memang diyakini kenajisannya, dengan syarat najis tersebut tidak jelas di tempat itu dan dia telah pun berusaha untuk mengelak daripada terkena tempat laluan tersebut seperti tidak membiarkan hujung kain terkena tanah tempat laluan tersebut.

Perhatian: Dasar menentukan kadar sedikit atau banyak yang dimaksudkan bagi najis itu ialah merujuk pada adat kebiasaannya, iaitu apa yang dianggap oleh adat kebiasaan sebagai sedikit, maka dikira sebagai sedikit dan begitulah sebaliknya. Jika ada syak darah tersebut banyak atau sedikit, maka dihukumkan sedikit dan dimaafkan.

Sesungguhnya Islam adalah agama yang mengutamakan kebersihan. Kerana itu umat Islam diperintahkan untuk memelihara diri dari segala najis sehinggakan suci daripada najis pada tubuh badan, pakaian dan tempat dijadikan sebagai salah satu syarat sah sembahyang. Walau bagaimanapun Islam juga adalah agama yang tidak membebankan umatnya dengan kesukaran. Contohnya pengecualian terhadap najis yang dimaafkan yang tidak menjejaskan kesahihan sembahyang, kerana kesukaran menghilangkannya atau mengelak dari terkena najis tersebut.

 

[Sumber: Islamituindah]

19 December 2013 Posted by | Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Ideologi moden perosak akidah

Ideologi seleweng akidah

 

Ibu bapa berperanan didik anak menghayati Islam

AJARAN Islam membawa sinar melenyapkan penyelewengan fahaman bangsa Arab di zaman jahiliah. Namun, jika diperhatikan masa ini sinar Islam seakan tenggelam apabila akidah umat Islam lemah.

Ramai dalam kalangan umat Islam yang mengaku sebagai orang Islam, namun realiti kehidupan mereka langsung tidak mencerminkan keperibadian seorang Islam.

Benarlah seperti digambarkan Rasulullah SAW ketika ditanya sahabat mengenai keadaan umat Islam pada akhir zaman seperti makanan dikerumuni pelahap.

Sahabat bertanya: “Bagaimanakah keadaan umat Islam pada waktu itu? Baginda menjawab: Umat Islam ramai tetapi ibarat buih yang berada di lautan. Rapuhnya akidah mereka terhadap Allah SWT.”

Persoalan besar timbul kenapa ini berlaku kepada umat Islam? Berdasarkan pemerhatian, antara penyebabnya ialah sifat umat Islam sendiri yang terlalu cintakan dunia, takutkan kematian serta kelemahan iman mereka dan kemiskinan kehidupan.

Kesan kemiskinan ini boleh membawa kualiti hidup yang lemah, mudah terjebak dalam kegiatan sosial dan membawa kekufuran. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Hampir saja kemiskinan itu membawa kepada kekufuran.” (Hadis riwayat Abu Naim)

Asas akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaan-Nya dan kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara membawa kepada syirik sama ada secara i’tiqad atau tingkah laku.

Islam agama diiktiraf di sisi Allah SWT, menjamin umat Islam kebahagiaan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya.” (Surah Ali-Imran, ayat 19)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi.” (Surah Ali-Imran, ayat 85)

Dalam kemajuan dan globalisasi, umat Islam terdedah cabaran yang menguji kekuatan akidah. Pelbagai fahaman, ideologi moden seperti kapitalisme, materialisme, humanisme dan unsur negatif mempengaruhi umat Islam dengan mudah.

Kita juga dikejutkan dengan fahaman liberalisme, pluralisme serta komunisme yang diperkatakan semula hari ini. Kita juga digemparkan dengan isu murtad dan cubaan memurtadkan umat Islam. Kita dihimpit budaya songsang black metal, punk, gejala gay, seks bebas serta sukan judi.

Kepincangan hidup berkeluarga juga menyelubungi umat Islam, ada anak yang sanggup menghina kibu bapa bahkan lebih malang lagi menderhaka kepada mereka.

Gejala ini disebabkan lemah keimanan anggota keluarga terutama ibu bapa sebagai ketua keluarga sedangkan ibu bapalah yang paling utama mendidik anak menghayati ajaran dan akidah Islam.

Kelemahan akidah turut mendedahkan mereka kepada amalan khurafat seperti bertenung nasib, sihir dan ilmu guna-guna. Semua gejala keruntuhan akidah sebenarnya menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Akibat lebih buruk ialah azab seksa yang pedih di akhirat menanti golongan ingkar.

Sebagai umat Islam kita perlu sedar dan bangkit mempertahankan akidah Islam kerana ia adalah asas kekuatan menghadapi musuh yang mahu menghancurkan Islam dan umatnya. Umat Islam memerlukan penghayatan Islam secara menyeluruh melalui pelaksanaan ibadat umum dan khusus.

Di samping itu, umat Islam perlu membina kekuatan dari sudut ilmu dan teknologi supaya maklumat yang diperoleh adalah benar dan tepat. Ibu bapa hendaklah berperanan mendidik anak ajaran Islam yang sebenar supaya menjadi generasi yang diredai oleh Allah SWT dan menjauhi seksa neraka.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” (Surah al-Tahrim, ayat 6)

Sumber: BH

19 December 2013 Posted by | Aqidah, Tazkirah | , | Leave a comment

Bagaimana cara berzikir ketika sibuk bekerja?

Tasbih

Zikir ialah ibadat paling ringan tetapi amat berat timbangan pahalanya. Walaupun mudah dan ringan diamalkan, kebanyakan muslim lupa melakukannya disebabkan tidak dilatih berbuat demikian.

Pengarang kitab Shafwah al-Shafwah menceritakan tentang seorang ahli ibadah melihat seekor burung yang selalu membawa sepotong daging setiap hari. Burung itu hinggap di atas pokok kurma. Ahli ibadah itu merasa hairan kerana tidak ada seekor burungpun yang mempunyai sarang di situ. Beliau berkata: “Saya memanjat pokok itu, saya melihat di sana ada seekor ular yang buta matanya. Setiap kali burung itu mendekatinya iapun bersuara lalu ular itu membuka mulutnya, sang burung meletakkan sepotong daging itu ke mulut ular dan kemudian terbang. Perbuatan itu dilakukannya setiap hari.”

Kisah tersebut mengajar kepada kita bahawa kemuliaan itu terletak pada seberapa besar manfaat yang boleh anda berikan kepada orang lain. Manakala kehinaan itu adalah kerana mensia-siakan potensi dan kekuatan jasmani dan rohani yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita. Sedangkan binatang bekerja mencari makanan tanpa tangan dan kaki yang sempurna. Tetapi manusia masih lagi diulit mimpi angan-angan yang panjang. Binatang dan alam semesta semuanya berzikir kepada Allah SWT, tetapi manusia sibuk melupakan Allah SWT.

Allah SWT berfirman menyeru kepada orang-orang yang mengaku beriman yang maksudnya:”Bekerjalah kamu, nescaya Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang beriman akan melihat pekerjaanmu itu dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakannya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (Surah al-Taubah Ayat 105)

Bekerja adalah ibadat. Bahkan nafkah yang dihulurkan kepada ahli keluarga adalah sedekah yang paling utama. Tetapi sifat malas sering timbul sewaktu melakukan jihad ini. Ia sentiasa hadir dalam kehidupan para pekerja yang beriman. Di manakah kelemahannya hingga semangat bertempur untuk mendapatkan keuntungan dunia yang halal itu menjadi kendur? Padahal Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: ”Jika datang hari kiamat dan di tangan seorang daripada kamu ada satu bijian tanaman, maka jika dia mampu menanamnya, hendaklah dia melakukannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Ahmad)

Semangat kerja Nabi Allah Idris AS patut dicontohi. Baginda adalah seorang tukang jahit yang mencari nafkah dengan hasil usaha tangannya sendiri. Pada suatu hari Allah SWT berfirman yang maksudnya:“Wahai Idris, tahukah kamu mengapa Aku mengangkat darjatmu hingga ke tempat yang sangat tinggi? Sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Dan kami mengangkatnya ke kedudukan yang tertinggi.” (Surah Maryam; Ayat 57). Nabi Idris menjawab: “Saya tidak tahu wahai Tuhanku.” Allah berfirman: “Setiap hari amalanmu terangkat ke sisi-Ku seperti setengah amalan penduduk dunia ini kerana kamu banyak berzikir.” Allah berfirman yang maksudnya: “Kepada-Nyalah naik perkataan-perkataan yang baik dan amal yang soleh.” (Surah Fatir: Ayat 10)

Demikianlah keutamaan Nabi Idris AS kerana setiap kali baginda menusukkan jarumnya, pasti kalimah zikrullah yang empat diucapkan iaitu; Subhanallah, Walhamdulillah, Walailahaillallah, wa Allahu Akbar. Pekerjaan yang dilakukan sambil berzikir sungguh berat timbangannya di sisi Allah dan boleh menyuntikkan semangat untuk berjaya semata-mata kerana keredaan Allah.

Zikir adalah amalan yang paling mudah dan ringan tetapi amat berat pahalanya. Syaikh al-Islam al-Imam Ibnu Taimiyah dalam kitab agungnya, Majmu’ al-Fatawa menyatakan; Amalan yang paling utama selepas amalan yang fardhu adalah zikrullah. Dalam hadis sahih riwayat al-Imam Ahmad dan al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu aku tunjukkan amalan yang paling utama dan yang paling bersih di sisi Allah? Lebih baik daripada kamu bertemu dengan musuh-musuhmu lalu kamu memenggal leher mereka dan mereka juga memenggal leher-lehermu? Para sahabat menjawab: Tentu wahai Rasulullah. Rasulullah bersabda: Zikrullah.”

Demikianlah zikir yang dilakukan. Ia tidak memerlukan wuduk atau menutup aurat. Ia tidak dibatasi oleh waktu dan tempat. Di mana dan bila-bila sahaja dan dalam keadaan apapun ibadat ini boleh dilakukan. Sungguh senang tetapi ramai manusia yang meninggalkannya.

Al-Imam Ibnu al-Qayyim menyatakan: “Baginda memberi petunjuk supaya berzikir dalam setiap ucapan, tindakan, tarikan nafas, kala berdiri, duduk dan berbaring, gerak geri baginda adalah zikir kepada Allah.”

Rasulullah SAW adalah seorang manusia yang paling sibuk dengan dunianya dan paling bersedia untuk bekalan akhiratnya. Baginda adalah seorang Ketua Negara yang amanah, Mahaguru yang dihormati, pakar motivasi, Jeneral perang dan penganalisis politik yang hebat, ketua rumah tangga yang adil, pendakwah yang karismatik, ayah yang penyayang, saudara lelaki yang penyantun. Seluruh masa dan tenaga dikerahkan untuk memastikan mereka yang hidup di sisi baginda mendapat kebahagiaan dunia akhirat. Begitu juga dengan kita yang memenuhi hari-hari dengan kerja dan zikrullah, pastikanlah ianya tidak terhenti kecuali kedua kaki ini telah sampai di pintu kenikmatan tertinggi, syurga yang abadi!

Oleh : Dr Juanda (Mufti Perlis)

17 December 2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | | Leave a comment

Hukum Menggunakan Telefon Bimbit Ketika Khutbah Jumaat

Matikan talipon

Adapun perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat boleh diqiyaskan kepada maksud sebuah hadits sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu, bahawasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya: “Sesiapa yang berwudhu dan menyempurnakan wudhunya, kemudian dia (pergi ke masjid) untuk menunaikan Sembahyang Fardhu Jumaat, lalu mendengar dan tidak bercakap (ketika khutbah disampaikan), maka diampuni dosa-dosanya yang ada di antara hari Jumaat itu dan hari Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari lagi. Dan sesiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu (ketika khutbah), maka dia telah berbuat sia-sia”. (Hadits riwayat Muslim)

Dalam hadits ini, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan jelas telah menegaskan bahawa barangsiapa yang bermain-main dengan anak-anak batu ketika khutbah Jumaat itu telah melakukan suatu perbuatan yang sia-sia. Maksud “sia-sia” dalam hadits ini sepertimana yang telah diterangkan sebelum ini ialah bertentangan dengan sunnah, adab dan mengakibatkan rugi pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat walaupun sembahyangnya masih dikira sah.

Menurut ulama, larangan dalam hadits tersebut tidak hanya terbatas terhadap bermain dengan anak batu sahaja, bahkan larangan tersebut menyeluruh terhadap semua perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jika dinilai dan diteliti, perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khutbah dibacakan ini adalah lebih buruk lagi daripada perbuatan bermain dengan anak batu kerana perbuatan seperti bermain game, melayari halaman internet, berkomunikasi melalui halaman rangkaian sosial dan sebagainya itu adalah sangat jelas lebih menghilangkan kekhusyukan dan menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat.

Jadi sangat jelas di sini bahawa perbuatan menggunakan telefon bimbit ketika khatib membaca khutbah Jumaat adalah suatu perbuatan yang bertentangan dengan sunnah dan adab yang menuntut kita supaya diam dan meninggalkan segala perbuatan yang boleh menjejaskan tumpuan terhadap khutbah Jumaat. Oleh itu, perbuatan ini sayugianya ditinggalkan kerana ianya mengakibatkan kerugian yang sangat besar, iaitu kehilangan pahala dan kelebihan-kelebihan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Perhimpunan Sembahyang Fardhu Jumaat itu bukannya lama, tidak ada kerugian apa-apa jika telefon bimbit ditutup seketika atau langsung tidak perlu di bawa ke dalam masjid. Tinggalkanlah buat seketika segala perkara dan urusan duniawi yang kurang penting apatah lagi yang sia-sia. Hadirkanlah hati dan seluruh anggota tubuh badan zahir dan batin, dan isikan seluruh jiwa raga dengan perisian rasa khusyu‘, taat, taqwa dan penghambaan yang mutlak terhadap Allah Subhanahu wa Ta‘aala untuk mendengarkan khutbah dan seterusnya mendirikan Sembahyang Fardhu Jumaat.

Sumber: Mufti Brunei

13 December 2013 Posted by | Fatwa, Ibadah, Q & A (Soal Jawab), Tazkirah | , | Leave a comment

Virus Syiah

Bahaya Syiah1

Keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengenai ajaran Syiah pada tahun 1996 telah menetapkan bahawa:

Pertama: Umat Islam di negara ini hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.

Kedua: Memperakukan pindaan kepada semua undang-undang negeri yang berhubung dengan hukum syarak bagi menyelaraskan takrif hukum syarak atau undang undang Islam yang berasaskan kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak. Penetapan dasar ini selaras dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan objektif pertama adalah memelihara agama, Dalam konteks sebuah negara, mimbar ingin menyatakan sememangnya tanggungjawab memelihara keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Justeru, sebagai umat Islam di negara ini yang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita seharusnya memahami penetapan mazhab ini sebagai mazhab rasmi negara adalah bertujuan untuk memastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dipertahankan, dibela dan dipelihara dan ianya tidak sekali kali untuk menindas pihak yang lain.

Yakin dan percayalah bahawa asas segala akidah ialah beriman kepada Allah SWT iaitu kepercayaan kepada keesaanNya dan kepercayaan diatas kebenaran risalah Nabi Muhammad SAW. Islam amat mengambil berat dan menyeru kepada mentauhidkan Allah SWT secara ilmu dan amal serta menjelaskan perkara-perkara yang membawa kepada syirik baik secara i’tiqad atau tingkahlaku. Hanya Islamlah agama yang diiktiraf di sisi Allah SWT, iaitu agama yang menjamin umat Islam kepada kebahagiaan di dunia dan di akhirat . Firman Allah SWT dalam surah Ali Imran ayat 19:

Bermaksud: Sesungguhnya agama (yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Dan orang (Yahudi dan Nasrani) yang diberikan Kitab itu tidak berselisih kecuali setelah sampai kepada mereka pengetahuan kerana hasad dengki di kalangan mereka. Dan (ingatlah), sesiapa yang kufur ingkar akan ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah amat segera hitungan hisab-Nya. ”

Dan firman-Nya lagi dalam surah Ali Imran ayat 85:

Bermaksud:Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada hari Akhirat kelak dari orang yang rugi

Namun, di akhir-akhir ini kita dapati ajaran Syiah yang dibawa masuk ke Nusantara semakin berkembang di negara kita. Ajaran Syiah yang bertapak di Malaysia adalah ajaran Syiah Imamiyyah Ithna ‘Asyariyyah (Ja’fariyyah). Fahaman Syiah ini semakin meruncing apabila ada dari kalangan mereka yang berpendidikan tinggi dan berlatarbelakang agama telah memainkan peranan untuk menyebarkan fahaman ini secara serius terutama kepada para pelajar di universiti dan menular kepada masyarakat awam. Banyak penyelewengan yang telah dilakukan oleh golongan ini yang menyentuh samada dari sudut akidah, syariah dan kepentingan umum. Mimbar ingin mengingatkan kepada jemaah dan seluruh umat Islam sekalian bahawa gerakan mereka berlaku terutamanya dengan penyebaran kitab-kitab utama Syiah dalam bahasa melayu ke seluruh pelusuk tempat di negara kita. Ini bermakna dakyah Syiah kini disebarkan oleh warganegara Malaysia berbangsa Melayu, hasil daripada mereka yang melanjutkan pelajaran ke negara yang berfahaman dengan Syiah.

Antara pegangan akidah yang dipegang oleh penganut Syiah di negara kita ialah:

Pertama: Mendakwa imamah sebagai rukun Islam yang pertama dan termasuk dalam perkara Usuluddin.

Kedua: Menafikan kekhalifahan Sayyidina Abu Bakar, Sayyidina Umar dan Sayyidina Uthman.

Ketiga: Mengkafir dan memfasikkan para sahabat.

Keempat: Mendakwa bahawa al-Quran telah diubah.

Kelima: Berdoa supaya dihapuskan penentang Syiah termasuk pihak berkuasa,

Keenam: Mengharuskan perbuatan meliwat.

Ketujuh: Menyambut Hari Karbala pada setiap 10 Muharam.

Kelapan: Mempertahan amalan nikah mutaah,

kesembilan: Mempertikai kesahihan dan keutuhan mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah dan

kesepuluh: Mendakwa Syiah adalah pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang sebenar dan mencabar pihak berkuasa.

Justeru, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang diadakan pada 2 dan 3 Mei tahun 1996 di Langkawi, Kedah, telah membuat keputusan bagi mengharamkan ajaran Syiah di Malaysia dan menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikuti ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah samada dari segi aqidah, syariat dan akhlak.

Lihatlah, jika di zaman masyarakat Islam yang sebahagian besarnya dididik oleh Rasulullah SAW sendiri, yang di kala itu masih ramai orang yang teguh iman dan keyakinannya, racun-racun yang disemburkan oleh Syiah itu telah dapat juga melemahkan sebahagian masyarakat islam sehingga menimbulkan huru hara yang berpanjangan. Bayangkanlah,.bagaimana agaknya jika racun-racun yang berbisa itu disemburkan kepada masyarakat Islam terutamanya kepada orang yang lemah akidahnya, cetek pengetahuannya tentang ajaran islam yang sempurna.tentu sekali dalam masa yang singkat sahaja akan membawa kehancuran yang sangat besar terutamanya kepada umat islam dan negara.

Oleh itu, mimbar menyeru kepada semua umat Islam agar sentiasa berwaspada dan bersedia mempertahankan kesucian akidah Islam daripada sebarang bentuk penyelewengan dan pencemaran yang boleh menggugat akidah umat Islam, perpaduan ummah dan keharmonian hidup yang selama ini berpegang teguh dengan pegangan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Semua gejala keruntuhan akidah ini sebenarnya telah menjatuhkan kemuliaan dan darjat manusia. Sedarlah bahawa perbezaan fikrah atau aliran pemikiran yang bertentangan dengan prinsip akidah dan syariah boleh menyebabkan perkelahian dan permusuhan sesama kita, Bukankah kita pernah membaca ayat al-Quran yang menceritakan tentang perkelahian antara adik-beradik iaitu Nabi Musa dan abangnya Nabi Harun AS akibat perbezaan aliran pemikiran. Firman Allah SWT di dalam surah Tahaa ayat 92-94:

Bermaksud: Sekembalinya Nabi Musa berkata: Wahai Harun, apakah yang menghalangmu ketika engkau melihat mereka telah sesat. Apakah engkau tidak mengikut aku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku? Nabi Harun menjawab: Wahai anak ibuku! Janganlah engkau merenggut janggutku dan janganlah menarik rambut kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata: Engkau telah memecah belahkan Bani Israil dan engkau tidak mengambil berat pesananku.

Mimbar yang mulia ini menyeru umat Islam sekalian marilah sama-sama kita mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk membendung gejala penyebaran ajaran Syiah di tempat kita sebelum menjadi lebih parah. Waspadalah kita kerana virus-virus syiah ini sudah mula meresap ke dalam aliran fikiran dan telah merebak ke dalam jiwa segelintir umat Islam di negara ini sehinggakan mereka sanggup menjadi penyebar dan pendokong Syiah dan sedang berusaha untuk meracuni umat Islam melalui pelbagai gerakan yang tersembunyi.

Maka, setiap daripada kita seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah “cegah sebelum parah”. Sebagai umat Islam kita berkewajipan membuat laporan kepada pihak berkuasa agama di tempat masing-masing jika mengsyaki, menyedari atau melihat sendiri terdapat mana-mana pihak yang berusaha menyebar ajaran Syiah yang sesat ini. Ingatlah bahawa sebarang usaha ke arah membendung ajaran sebegini adalah termasuk dalam ertikata “jihad” kerana mempertahankan kesucian ajaran agama yang diwarisi dari junjungan Nabi kita Muhammad SAW manakala sebarang usaha yang cuba menghidupkan fitnah dengan menyebarkan ajaran Syiah adalah termasuk di dalam perbuatan sesat lagi menyesatkan. Inilah masanya.kita mesti bangun dengan penuh keberanian dan bersatu dalam satu saf, satu barisan, satu akidah, satu niat serta tekad untuk memelihara kesucian akidah.

Ibu bapa kita juga hendaklah berperanan dalam mendidik anak-anak dengan ajaran Islam yang sebenar agar menjadi generasi yang diredhai oleh Allah SWT dan berusaha menjauhi keluarga dari neraka Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Tahrim ayat 6:

Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu api Neraka yang bahan bakarannya manusia dan batu; Penjaganya malaikat-malaikat yang keras kasar; tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan. ”

Mengakhiri khutbah pada minggu ini, mimbar menyeru sidang jumaat dan seluruh umat Islam sekalian, marilah sama-sama kita mendokong segala usaha demi memperkasa akidah umat Islam. Ingatlah bahawa negara kita terkenal dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah sejak zaman berzaman sehingga masa kini. Ternyata disebabkan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah di kalangan Umat Islam maka, perpaduan Umat Islam di Malaysia dan rantau Alam Melayu terus berkedudukan aman dan makmur, tanpa berlakunya pertumpahan darah sejak berabad yang lalu.

Oleh yang demikian, sebarang usaha ke arah penyimpangan daripada ajaran tersebut akan membawa kepada perpecahan dan bercakaran sesama sendiri yang akhirnya akan menghancurkan Islam dan menyebabkan mudah di tawan oleh musuh Islam. Marilah sama-sama kita meletakkan perhambaan kita kepada Allah SWT dalam segenap kehidupan dengan mengembalikan diri kita kepada Allah SWT dan menjaga akidah kita daripada terpesong jauh dari landasan yang digariskan oleh Allah SWT. Akhir sekali marilah kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’ ayat 136:

Bermaksud: Wahai orang yang beriman! Tetapkanlah iman kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan kepada Kitab yang diturunkan kepada Rasul-Nya, dan Kitab-kitab Suci yang diturunkan sebelumnya. Dan sesiapa yang kufur kepada Allah, dan Malaikat-Malaikat-Nya, dan Kitab-kitab-Nya, dan Rasul-rasul-Nya dan juga Hari Akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.

[Sumber: E Khutbah – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (29 Nov 2013/25 Muharram 1435H)]

12 December 2013 Posted by | Aqidah, Berita dan Isu Semasa, Ibadah | | Leave a comment

Tasawwuf & Tariqat

sufism_and_tasawwuf_by_essani666-d464bu6

Ada Yang Tidak Senang Kepada Tasawwuf Dan Tareqat. Kedua-Duanya Dibenci Terus. Seboleh-Bolehnya Hendak Dikuburkan, Dihilangkan Dari Hati Umat Islam. Memang Ada Tareqat Yang Tersasar Dari Landasan (Melanggar Panduan Al-Quran Dan As-Sunnah), Namun Ada Tareqat Yang Muktabar Dan Diiktiraf Oleh Alim Ulamak.

 Kepada Mereka Yang Memusuhi Tasawwuf, Amat Sukar Sekali Untuk Menghapuskannya Dari Umat Islam. Kerana Sebagaimana Yang Dijelaskan Oleh Habib Ali Al Jufri – Walaupun Ada Yang Mempergunakan Kalam Ibnu Taimiyyah Untuk Mengecam Ahli Sufi, Beliau Tetap Memuji Tasawwuf Dan Merasa Terhormat Dirinya Memiliki Hubungan Sanad Dengan Imam Abdul Qadir Al Jailani.

Ibnu Qayyim Yang Sering Dijadikan Peluru Untuk Menembak Ahli Sufi, Malah Menulis Tiga Jilid Kitab Tentang Tasawwuf Iaitu Madarij Al-Salikin Fi Syarh Manazil Sa’irin. Imam Ahmad Bin Hanbal Menulis Kitab Al-Zuhd. Imam Hafiz Az-Zahabi Menulis Siyar A’lam An-Nubala’ Yang Bukan Hanya Mendedahkan Biografi Imam Hadith Tetapi Juga Para Imam Besar Tasawwuf Contohnya Ma’ruf Al-Karkhi Begitu Juga Kitab Sifat As-Sofwah Karya Imam Ibn Al-Jauzi.

Begitulah Keadaan Para Ulama Hadith Yang Bergelar Al-Hafiz Yang Kadang-Kadang Mereka Tuduh Benar, Kadang-Kadang Salah. Bahkan Ketika Bersangkutan Dengan Aqidah, Mereka Katakan Para Ulamak Salafussoleh Itu Salah Semuanya.

Jadi Menurut Mereka, Aqidah Ibnu Al-Jauzi Itu Salah. Aqidah Imam An-Nawawi Itu Salah, Kerana Ia Menulis Sejarah Hidup Guru-Gurunya Yang Meriwayatkan Hadith Sampai Kepada Imam Muslim Dan Menyebut Mereka Sebagai Sufi. Aqidah Imam Az-Zahabi Salah. Aqidah Imam Al-Suyuthi Salah. Demikian Pula Aqidah Imam As-Subki, Imam As-Sakhawi, Imam Ibn Hajar Serta Imam Mazhab Yang Merujuk Kepada Kaum Sufi Dan Memegang Ucapan-Ucapan Mereka Untuk Melembutkan Hati.

Jika Mereka Menuduh Kaum Sufi Itu Syirik Dan Sesat, Bererti Mereka Tidak Percaya Kepada Al Quran Dan Hadith Yang Ada Sekarang. Kenapa ?

Kerana Seluruh Sanad Dan Rantaian Riwayat Al-Quran Dan Hadith Yang Sampai Kepada Kita Sekarang Penuh Dengan Ahli Sufi. Setiap Periwayatan Bacaan Al-Quran Yang Tujuh (Qira’ah Sab’ah) Atau Yang Sepuluh (Qira’ah ‘Asyarah) Pasti Di Dalamnya Ditemukan Imam Sufi.

Sesiapa Yang Boleh Menyemak Sohih Bukhari Dan Sohih Muslim Serta Kitab-Kitab Hadith Yang Lainnya Tanpa Melalui Perawi Yang Bukan Sufi ? Jika Ada Yang Mengatakan (Ahli Sufi) Itu Musyrik, Mereka Kafir, Dan Kita Diam Sahaja. Ini Ertinya Bencana Akan Mengancam Generasi Setelah Kita. Yang Mereka Tahu Tentang Para Sufi Kemudiannya Adalah Bahawa Mereka Kafir Dan Sesat.

Sekarang Ini, Kita Seperti Malas Bertindak. Padahal Di Luar Sana, Melalui Khutbah, Kaset, Dan Buku-Buku Berbagai Kebohongan Telah Dihembuskan Sekelompok Orang Yang Tidak Menjaga Ketaqwaan Kepada Allah Ketika Berbicara Tentang Orang-Orang Soleh. Berbagai Tuduhan-Tuduhan Serong Diarahkan Kepada Kaum Sufi.

Jika Ini Dibiarkan, Tentu Generasi Setelah Kita Akan Berkesimpulan Bahawa Hadith Dan Al-Quran Yang Mereka Terima Tidak Dapat Dipercayai Kerana Diriwayatkan Kaum Sufi Yang Mereka Ketahui Kafir Dan Sesat.

[OLEH:- HABIB ALI AL-JUFRI]

=================

 

Sumber Rujukan:-

Kitab Ma’alim Al Suluk Li Al Mar’ah Al Muslimah

Karya Habib Ali Al-Jufri

Terbitan Dar Al Ma’rifah, Beirut, Cetakan 5, 1428 H/2007M

11 December 2013 Posted by | Tasauf | , | Leave a comment

Redha dan Syukur

Syukur pagi pagi

[Sumber: Dato’ Dr Hasan bin Mohamed Ali ]

 

 

 

 

 

 

11 December 2013 Posted by | Madah dan Sajak, Renungan & Teladan, Tazkirah | | Leave a comment

Amalan Zikir harian

Terjemahan :

“Tiada Tuhan berhak disembah melainkan Allah, Raja yang Haq lagi Nyata.”

Ini adalah zikir yang telah diijazahkan oleh guru kita Al-Allamah الحبيب عمر بن حفيظ – Habib Omar pada jumaat lalu (06/12/13) di Maulid Bulanan MTDM bersama Al-Allamah Al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafidz kepada para jamaah yang dikasihi.

Dibaca sebanyak 100x setiap hari & pada kebiasaannya, zikir ini dibaca antara waktu selepas solat fardhu Zohor dan sebelum masuk waktu solat fardhu Asar.

Selain itu, Al-Habib juga ijazahkan kita supaya istiqomah hadir majlis ilmu.

Alhamdulillah kita telah sama-sama menerimanya.

Selamat beramal…

 Membaca ” La Ilaha Illallahul Malikul Haqqul Mubin”

Barangsiapa setiap hari membaca La ilaha illallahul malikul haqqul mubin maka

bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa

takut dalam kubur (HR. Abu Nu’aim dan Ad Dailami).

10 December 2013 Posted by | Ibadah | | 2 Comments

Sifat-sifat Yang Perlu Dijauhi

 Sifat-sifat Yang Perlu Dijauhi Berdasarkan Firman Allah swt dalam Surah Al-Baqarah ayat 1-5.

Maksudnya: “Alif laam miim. Kitab (Al Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (yaitu) mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat dan menafkahkan sebahagian rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Qur’an) yang telah diturunkan kepadamu dan Kitab-kitab yang telah diturunkan sebelummu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat. Mereka itulah yang tetap mendapat petunjuk dari Tuhannya, dan merekalah orang-orang yang beruntung.”

InsyaAllah, berikut merupakan sifat-sifat yang perlu dijauhi berdasarkan surah Al-Baqarah ayat 1-5. Marilah sama-sama kita berusaha untuk mengaplikasikan dan mengelakkan sifat-sifat ini daripada ada di dalam hidup kita.

1. Merasa diri serba mengetahui. Allah swt memulakan surah Al-Baqarah dengan lafaz yang tidak diketahui maknanya oleh manusia. Oleh itu, umat manusia perlu menginsafi bahawa mereka tidak mengetahui semua perkara yang berlaku di dunia ini.

2. Menterjemahkan kalimah yang tidak difahami tanpa asas. Kita perlu menyedari hakikat bahawa kita tidak sepatutnya menterjemahkan kalimah-kalimah yang tidak kita fahami. Kalimah-kalimah ini termasuklah kalimah Allah swt, kalimah Nabi saw dan kalimah sahabat radhiallahu anhum ajma’in. Namun, kalimah-kalimah manusia biasa juga perlu dielakkan daripada diterjemahkan menurut cita-rasa kita.

3. Meletakkan ragu-ragu terhadap apa-apa yang didatangkan kepada kita oleh Rasulullah saw. Kepercayaan merupakan asas dalam beragama. Amatlah sukar untuk menetapkan diri kita pada jalan Allah swt, jika kita mempunyai sifat “ragu-ragu” terhadap apa yang dibawa oleh Rasulullah saw. Hendaklah kita berusaha menjadi seperti Abu Bakar As-Siddiq yang mempercayai Rasulullah saw tanpa ragu-ragu. Lagipun, kejujuran Rasulullah saw sendiri diperakui oleh orang-orang yang menentang baginda, jadi, kenapakah kita yang bersama baginda tidak mempercayai baginda pula?

4. Tidak berusaha untuk mendapatkan petunjuk yang sudah disediakan oleh Allah swt dalam al-Quran. Salah satu kesilapan yang dilakukan oleh orang-orang yang lalai adalah melupakan al-Quran sebagai punca petunjuk oleh Allah swt. Al-Quran merupakan petunjuk paling agung yang mana ia tidak akan berubah selama-lamanya. Jadi, jangan kita berpaling kepada buku-buku “mencari Tuhan” yang tidak berasas, sedangkan kita melupakan Al-Quran.

5. Tidak mempercayai perkara-perkara ghaib yang disebutkan secara sahih daripada Rasulullah saw. Rasulullah saw tidak pernah menipu, itu adalah salah satu daripada sifat Rasulullah saw. Jadi, setiap perkara yang diucapkan oleh baginda perlu dipercayai semuanya. Ini termasuklah cerita-cerita ghaib seperti isra’ mi’raj, kisah jin yang mendengar bacaan Al-Quran, janji syurga, malaikat-malaikat, turunnya wahyu, mukjizat baginda dan lain-lain.

6. Tidak berusaha sedaya upaya mendirikan solat. Ini merupakan kesilapan yang banyak berlaku kepada orang ramai. Mereka melengah-lengahkan sembahyang sehingga mereka terlupa.

7. Kedekut dalam menafkahkan harta sebagaimana yang disuruh oleh Allah swt. Zakat merupakan kewajipan agama. Ia merupakan salah satu asas untuk mengelakkan sifat buruk daripada bersarang dalam diri (iaitu kedekut) dan ia juga merupakan salah satu cara memastikan kestabilan ekonomi negara. Kewajipan ini merupakan kewajipan yang kurang dititik-beratkan dalam masyarakat pada zaman ini. Sebagai pelajar dan bakal pekerja, adalah wajib untuk kita mempelajari sekitar zakat, kerana kita merupakan future zakat payee. Janganlah kita melupai tanggungjawab sebagaimana yang sepatutnya ditunaikan.

8. Tidak mengimani apa yang ada dalam Al-Quran dan kitab-kitab sebelumnya. Kita perlu mengimani perkara-perkara yang dibawa oleh Al-Quran. Antara perkara yang perlu diimani adalah hukuman-hukuman jenayah yang telah diperuntukkan secara nas dalam Al-Quran. Umat Islam perlu mendabik dada dan berani berkata “Undang-undang Islam pasti akan menyelesaikan segala masalah di dunia” dan semua perlu meyakininya. Jika undang-undang ditegakkan namun, kemaksiatan masih berleluasa, maka, itu bukan menunjukkan undang-undang Islam tidak berupaya menyelesaikan masalah, tetapi, ia menunjukkan bahawa ada lagi bahagian-bahagian di dalam Islam yang tidak diletakkan pada tempatnya. Islam itu ibarat sebuah mesin. Ia saling memerlukan, barulah ia mampu memberikan kebaikan yang diinginkan. Tidaklah sebuah kereta boleh bergerak jika ia hanya mempunyai tayar, tetapi enjin tidak dihidupkan. Justeru, perlulah seluruh komponen Islam dihidupkan untuk memastikan negara aman dan damai. Namun, janganlah berputus asa jika kita tidak mampu untuk menghidupkan semua sekali pada satu-satu masa, setelah kita berusaha sedaya upaya. Islam itu ibarat ubat (vitamin), ia tetap mendatangkan kebaikan kepada badan, walaupun keputusannya bukanlah seperti yang diharapkan. Ini bukannya satu seruan supaya mengamalkan Islam secara tidak menyeluruh, sebaliknya ini adalah galakan kepada orang-orang yang sudah berusaha sedaya upaya menegakkan Islam secara kaffah (namun tidak mampu), supaya tidak berputus asa mengaplikasikan Islam ke dalam hidup mereka.

9. Tidak meyakini kewujudan hari kiamat. Meyakini kewujudan hari kiamat merupakan satu ciri besar yang perlu ada di dalam diri manusia. Jika kita melupakan perkara ini, kita akan senang melakukan apa sahaja kerana tiada yang akan mengadili kita pada hari kiamat. Oleh itu, selalulah mengingati hakikat hari kiamat.

10. Melakukan sesuatu yang menyebabkan diri tergolong dalam golongan yang tidak mendapat petunjuk dan tidak beruntung.

Semoga kita mampu berusaha memastikan keberjayaan kita di dunia dan akhirat. Amin.

 

[Perkongsian dari http://sebarislam.blogspot.com/2013/03/sifat-sifat-yang-perlu-dijauhi.html]

9 December 2013 Posted by | Tasauf, Tazkirah | Leave a comment

Solat Rawatib Sewaktu Musafir

[Diterjemahkan daripada Shafiifiqh.com: http://www.shafiifiqh.com/praying-rawatib-while-traveling/ Saya berusaha melakukan terjemahan secara tepat, namun, hanya Allah yang sempurna. Jika saya ingin lakukan penambahan fakta, saya akan condongkan perkataan yang saya tambah dan huruf akan saya warnakan dengan warna merah].

Soalan:

Assalamualaikum wbth. Apakah hukum bersembahyang solat sunat yang berkaitan dengan sembahyang wajib sewaktu musafir?

– Soalan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE)

Jawapan:

Waalaikumussalam wbth.

Di dalam Raudah At-Talibin (1/338, Al-Maktabah Al-Islami terbitan ke-3), Imam Nawawi menyebut, adalah sunat bagi seseorang untuk sembahyang sunat rawatib (solat sunat sebelum dan selepas solat fardu) sewaktu musafir.

Di dalam Khabaya Al-Zawaya (page 63 Dar Al-Kitab Beirut, edisi pertama), Imam Al-Zarkashi menyebut bahawa perkara ini disebut di dalam Zawaid Al-Raudah pada penghujung kitab Saum Al-Tatawwu’. Dan Al-Syasyi menyebut yang demikian di dalam Al-Mu’tamad kepunyaannya.

Di dalam kitab Khabaya Al-Zawaya, kita dapati bahawa Imam Al-Zarkashi menyebut “pada penghujung kitab Solat Al-Tatawwu'” bukannya “pada penghujung kitab Saum Al-Tatawwu’.

Di dalam kitab Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam Asy-Syafie (2/285 Dar Al-Minhaj) Imam Al-‘Imrani (Yahya bin Abu Al-Khair Al-Imrani) menyebut bahawa diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan Ali bin Husain, bahawa sewaktu bermusafir, mereka tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Imam Al-‘Imrani juga meriwayatkan bahawa Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud melakukannya. Begitu juga, Imam Hasan Al-Basri menyebut bahawa sahabat Nabi saw menjaga amalan ini. Pandangan ini diriwayatkan daripada sumber-sumber hadis terawal, contohnya Ibnu Abi Syaibah di dalam Musannafnya, terdapat sebuah bab berkenaan dengan mereka yang tidak melakukan amalam ini dan terdapat sebuah bab berkenaan mereka yang melakukannya.

Di dalam kitab Al-Bayan fi Mazhab Al-Imam Asy-Syafie di dalam bab kecil “Solat Nawafil sewaktu Musafir”, Imam Al-‘Imrani menyebut: “Diriwayatkan daripada Ibnu Umar dan Ali bin Husain, bahawa sewaktu mereka bermusafir, mereka tidak melakukan solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Dalil kami (berkenaan dibolehkan melakukan solat sunat sewaktu musafir) adalah apa yang diriwayatkan “Rasulullah saw menunaikan solat sunat sewaktu bermusafir”. Dan seperti itu juga yang diriwayatkan daripada Umar, Ali dan Ibnu Mas’ud radhiallahu anhum. Dan Imam Al-Hasan Al-Basri menyebut, sahabat-sahabat Nabi saw apabila mereka bermusafir, mereka bersembahyang sunat sebelum solat wajib, dan begitu juga selepasnya.”

Di dalam Syarah Sahih Muslim (5/198 ), Imam Nawawi menyebut bahawa telah bersepakat ulama-ulama bahawa melakukan solat sunat sewaktu bermusafir adalah dibenarkan. Tetapi, ulama-ulama berbeza pandangan pada melakukan solat rawatib sewaktu bermusafir.

Dalilnya adalah sifat umum hadis yang menyebut berkenaan dengan solat rawatib, yang mana hadis-hadis ini diriwayatkan secara umum, terpakai sama sahaja kepada orang yang tidak bermusafir dan tidak.

Dan Allah sebaik-sebaik Yang Mengetahui.

[Perkongsian oleh Himayah Al-Kalantani]

 

9 December 2013 Posted by | Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Peringatan Kepada Golongan Pencaci Dan Pembuat Fitnah

Sedikit tazkirah ataupun peringatan kepada masyarakat Islam di zaman yang kita hidup; di saat kita hidup di zaman yang penuh dengan fitnah dan pancaroba ini. Kita lihat hari ini, tersebarnya fitnah yang begitu dasyat di kalangan kita. Ada orang yang menyebarkan tulisan-tulisan, membuat tuduhan kepada orang (secara) sembarangan. Ada orang yang menyebarkan melalui alat-alat media, melalui youtube, video, dalam TV, dalam radio. Kita kena ingat, bahawa jiwa seorang Muslim, seorang yang beriman kepada Allah swt itu, bukanlah jiwa yang dibiarkan begitu sahaja. (Jiwa orang Muslim itu adalah) jiwa yang mempunyai harga yang begitu mahal.

Darah kamu, harta kamu, kehormatan kamu, haram atas diri kamu. Hari ini kita lihat, kehormatan diri manusia telah menjadi mainan, (hanya) kerana perbezaan ideologi, perbezaan pandangan, samada pandangan politik, pandangan pemikiran mazhab, pandangan yang tidak serupa dengan kita sahajalah senang, terus akan dijatuhkan hukuman yang begitu dasyat. Bahkan sanggup mengatakan seseorang ini ahli neraka, orang ini ahli sesat, yang begitu mudah sekali kita lemparkan tuduhan-tuduhan. Kadang-kadang yang menjadi mangsa ini, bukan orang-orang yang biasa. Samada orang politik sesama mereka, itu kita anggap orang biasa. Tapi, tuduhan ini dilemparkan ke atas para pendakwah, bahkan orang yang boleh dianggap sebagai alim ulama’, orang yang wara’ (yang) kita lihat pada zahirnya, (kita) tuduh bermacam-macam, (kemudian tuduhan ini) disebar melalui video, melalui internet. Gambar-gambar yang telah diedit, (di)masuk(kan ke dalam internet).

Kamu kena ingat, Allah swt telah menyebut dalam Al-Quran Al-Karim dalam surah An-Nur ayat 15:

(Maksudnya: Ingatlah di waktu kamu menerima berita bohong itu dari mulut ke mulut dan kamu katakan dengan mulutmu apa yang tidak kamu ketahui sedikit juga, dan kamu menganggapnya suatu yang ringan saja. Padahal dia pada sisi Allah adalah besar.)

Ingatlah, ketika kamu menerima berita itu dari mulut ke mulut, kita dengar berita orang buat, kita tengok dalam youtube, orang ini jahat, scandal – tidak kira, skandal seks ke, skandal balak ke, skandal apa benda lah – ataupun pendakwah ini dituduh membawa ajaran sesat contohnya, kerana perkara-perkara yang tertentu, وَتَقُولُونَ بِأَفۡوَاهِكُم kamu juga kata dengan lidah kamu, dengan mulut kamu. Samada mulut kita yang kita bercakap ataupun tangan yang kita tulis tulisan kita. مَّا لَيۡسَ لَكُم بِهِۦ عِلۡمٌ۬ Sedangkan kamu tidak mempunyai ilmu, maklumat yang tepat tentang peristiwa yang ada itu, وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا kamu ingat main-main sahaja, suka-suka sahaja. Like dalam facebook, gelak-gelak, suka-suka sahaja, buat ceramah masuk kampung dan bandar mencerca orang (dan) sebagainya, وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ perbuatan ini merupakan perbuatan yang sangat besar di sisi Allah azza wa jalla.

Nabi saw dalam hadis yang panjang, tentang yang menyebut tentang peristiwa muflis,

 (Maksudnya: Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Sahabat-sahabat Baginda menjawab: “Orang yang muflis di antara kami ya Rasulullah ialah orang yang tidak mempunyai wang dinar dan dirham (ringgit) dan tiada harta benda.” Nabi s.a.w seterusnya bersabda: “Sebenarnya orang yang muflis daripada kalangan umatku ialah orang yang datang pada hari kiamat membawa solat, puasa dan zakat, sedangkan datangnya itu dengan kesalahan memaki hamun orang, dan menuduh orang itu, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang itu dan juga memukul orang; maka akan diambil daripada amalan kebajikannya serta diberi kepada orang ini dan orang itu. Kemudian apabila habis amalan kebajikannya sebelum habis dibayar kesalahan-kesalahan yang ditanggungnya, akan diambil pula daripada kesalahan-kesalahan orang yang dianiaya serta ditimpakan ke atasnya. Kemudian, ia dihumban ke dalam neraka.”)

Nabi saw (ber)kata di antara sahabat, “Siapa di antara kamu orang muflis?” أتدرون من المفلس Nabi kata, “Kamu tahu apa itu muflis?” Sahabat kata “Muflis ini orang yang tiada harta, yang hutang banyak, duit untuk bayar takde, itu muflis”. Nabi kata, إن المفلس من أمتي orang muflis dalam kalangan umat aku ini يأتي يوم القيامة mereka datang pada hari kiamat bawa amalan dia, solat ada, puasa ada, zakat ada, tapi, mulut dia juga telah maki orang perli orang telah ambil harta orang telah memukul orang, apa jadi (kepada orang sebegini)? Maka akan diambil kebajikannya diberi kepada orang yang difitnahnya tadi, orang yang dia zalim tadi. Kalau habis pahala orang tadi, akan diambil dosa dan dicampak ke atas kepala. ثم طرح في النار kemudian akan dicampak ke dalam neraka.

Ini pesanan oleh Nabi yang begitu besar kepada kita. Kerana itulah, saya memberi peringatan, (dan saya memberi) tazkirah ini kepada semua muslimin dan muslimat. Tidak kira apa jenis kita ini, blogger ke, baru-baru nak belajar menulis ke, ahli-ahli facebook ke, wartawan ke, pembaca berita tak kira tv apa, semua kamu ingat, apa yang kamu kata, apa yang kamu tulis, kamu ingat main-main, “saya cuma baca skrip”, وَتَحۡسَبُونَهُ ۥ هَيِّنً۬ا kamu ingat benda itu main-main, وَهُوَ عِندَ ٱللَّهِ عَظِيمٌ۬ tapi, ia besar di sisi Allah.

Kamu nak jadi orang muflis di akhirat? Dengan permainan-permainan alat-alat moden yang ada hari ini, duk reka cerita, ambil gambar orang, potong sana potong sini, akhir sekali keluar fitnah.

Kamu ingat orang (yang) kena fitnah ini boleh tidur malam? Kamu ingat orang (yang) kena fitnah berdiam diri begitu sahaja? لا (tidak)

Orang (yang kena) fitnah, orang yang kena zalim, doa orang yang kena zalim ini mustajab.

Allah swt sebut لأنصرنّك ولو بعد حين (ertinya) “Aku akan memberi pertolongan, walaupun selepas beberapa ketika”. Hari ini kita lihat, tidak kira orang hidup ataupun orang mati, semua tak selamat. Orang mati pun tidak selamat. Apabila ada tokoh ulama mati, semua orang mengeluarkan kenyataan, statement yang begitu dasyat. Tulis macam-macam kepada orang ini.

Kita kena ingat, kita boleh keluarkan pandangan mereka yang bercanggah daripada kebenaran tapi jangan mencerca mereka.

Dalam hadis Nabi saw berkata, لا تسبوا الأموات (ertinya) jangan kamu maki orang yang telah mati, فإنهم قد أفضوا إلى ما قدموا (ertinya) mereka telah pergi bawa apa yang mereka bawa. (Hadis riwayat Bukhari daripada Aisyah)

Kalau dia bawa yang tak baik, dia berjumpalah dengan malaikat dalam kubur. Tak payah kamu yang jatuh hukum, biarkan mereka dengan amalan mereka. Kita tak payah jadi hakim, biarlah Allah azza wa jalla.

Banyak hadis-hadis nabi yang mengarahkan kepada kita supaya jaga lidah. Nabi kita sendiri saw kata,

(“إن اللعانين لا يكونون شفعاء ولا شهداء يوم القيامة” Dikeluarkan oleh Imam Muslim.)

إن اللعانين orang yang suka melaknat orang, mencelaka orang لا يكونون شفعاء ولا شهداء يوم القيامة orang ini tidak boleh jadi saksi dan tidak boleh bagi syafaat pada hari kiamat.

Dan hadis lain lagi, Nabi saw berkata, ليس المؤمن بالطعان ولا اللعان ولا الفاحش ولا البذيء orang mukmin bukan suka membuat tuduhan kepada orang.

Hari ini, kita tengok penceramah-penceramah, masuk kampung-kampung dengan serban mereka, membuat tuduhan, maki orang, pagi sampai gelap, sekali-sekali boleh masuk dalam TV, buat cercaan kepada orang, subhanallahil ‘azim. Kita boleh berbeza pandangan, kadang-kadang tuduhan yang dia tuduh bukan tuduhan yang besar. Benda yang masih dalam skop yang boleh berikhtilaf dalam kalangan ulama. Ulama-ulama besar boleh ikhtilaf dalam masalah ini, tapi, kita ulama kecil, kadang-kadang tidak ulama pun, tapi orang angkat sebagai ulama sebab boleh digunakan orang ini, maka kita bercakap lebih daripada para ulama. Mujtahidun pun tidak bercakap lebih daripada itu.

Nabi kata (seperti hadis di atas), (adalah) bukan mukmin orang yang الطعان (iaitu) orang yang suka membuat tuduhan, ولا اللعان bukan juga orang yang suka melaknat orang, ولا الفاحش orang yang suka bercakap keji, cakap kotor, apa lagi hari ini duduk menyebarkan kekotoran, tunjuk video lucah sana-sini, tulis dalam surat khabar, sampai budak-budak pun pening, dia kata, “Apa cerita orang Malaysia ini?” Itu fitnah yang berlaku. Itu hadis At-Tirmidzi, ولا البذيء orang bercakap yang tidak baik.

Dalam hadis lain, Nabi saw berkata,

لم يكن النبي صلى الله عليه وسلم سباباً ولا فحّاشاً ولا لعّاناً

Nabi sendiri bukanlah seorang yang suka melaknat, bukan orang yang suka memaki, mencerca orang, tidak (Nabi bukan begitu).

Jadi, kita belajarlah, banyak hadis yang mengatakan; dalam hadis Abu Daud mengatakan,

يا معشر المسلمين wahai orang beriman, ataupun dalam riwayat (lain) يا معشر من آمن بلسانه wahai orang beriman dengan lidah dia, tapi tidak masuk dalam hati dia. (يَا مَعْشَرَ مَنْ آمَنَ بِلِسَانِهِ وَلَمْ يَدْخُلِ الْإِيمَانُ قَلْبَهُ)

لا تتبعوا عورات المسلمين jangan sekali-kali mencari keaiban orang. Sesiapa yang suka mencari keaiban orang, duk memburukkan orang, duk menjatuhkan orang, يَتَّبِعْ اللَّهُ عَوْرَتَهُ وَمَنْ يَتَّبِعِ اللَّهُ عَوْرَتَهُ يَفْضَحْهُ فِي بَيْتِهِ Allah akan mendedahkan keaibannya walau dalam rumahnya sendiri.

Kita tengok hari ini macam mana, orang yang buat perbuatan-perbuatan seperti ini. Cuba kembali kepada sejarah. Kita lihat. Bila dia duduk sebelah ini, dia duduk kafirkan orang sebelah sini. Orang itu kafir, murtad, pergi ke jirat, hari ini dia duduk sebelah ini, dia kafirkan orang sebelah ini pula. Orang ini, mulut dia, kalau tak sebut kafir, tidak boleh duduk, boleh jadi tidak boleh makan puak-puak ini. Kita pula duk angkat, “Inilah tokoh pejuang, tokoh (lain-lain)” pejuang apa? Pejuang maki orang? Pejuang kutuk orang? Ini bukan pejuang, ini peruntuh agama. Duduk di mana-mana pun ghuluw. Nabi kata إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ, (lafaz penuh adalah إِيَّاكُمْ وَالْغُلُوَّ؛ فَإِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ بِالْغُلُوِّ فِي الدِّينِ) “Aku beri peringatan kepada kamu, jangan melampau dalam agama. Binasanya orang dulu-dulu, kerana melampau dalam agama.” kononnya nak membela Islam, tapi, kita meruntuhkan Islam dengan adab kita, dengan akhlak kita, dengan sikap kita.

Hari ini hendak mendakwa kalimah Allah swt, kononnya orang yang menyokong kalimah Allah swt ini kafir harbi, kafir harbi. Apakah kalimah Allah swt yang kamu hendak sokong? Sekadar tulisan? Kalau hendak sokong sungguh, ini perjuangan Islam.

من قاتل لتكون كلمة الله هي العليا فهو في سبيل الله

Nabi kata, sesiapa yang berjuang menegakkan kalimah Allah, untuk meninggikan agama Allah, فهو في سبيل الله inilah barulah orang (yang bersikap) pejuang. Kalau setakat tulisan, itu bukan pejuang namanya. Dengan adab-adab dan akhlak yang kamu tunjuk, ini bukan pejuang kalimah, tapi orang yang nak meruntuhkan agama, sebenarnya. (Hadis sahih Muslim)

Maka, berhati-hatilah. Mana-mana golongan yang melampau, melampau dalam membuat tuduhan kepada orang, samada mengkafirkan orang, menyesatkan orang, mengata itu mengata ini, semua ini kita perhatikan, tengok gelagat mereka, tengok tingkah laku mereka, apa perjuangan yang dia hendak sebenarnya.

Tidak kira, pejuang Melayu, pejuang Arab, sama sahaja. Nabi saw kata Nabi kita larang daripada perjuangan bangsa, Nabi sebut دعوها فإنها منتنة orang ini dikira orang yang busuk, orang yang menyeru kepada perkauman. (Hadis riwayat Bukhari)

Jadi, alhamdulillah, dalam Islam, banyak adab yang mengajar kepada kita. Yang pertama, jaga lidah. ما يلفظ من قول إلا لديه رقيب عتيد Tidak ada satu lafaz, tidak ada perkataan yang kita tulis, tidak ada tuduhan yang dibuat, semuanya ada rakib atid, ada malaikat yang menulis amalan dan semuanya akan dikira di hadapan Allah azza wa jalla. (Surah Qaf ayat 18)

Pernah seorang datang menemui syeikh Abdullah ibnu Al-Mubarak. Dia duduk (men)cerca seseorang di hadapan Syeikh Ibnu Al-Mubarak. Syeikh (Ibnu Al-Mubarak) itu pun (ber)kata, “Hei saudara, kamu pernah pergi berperang melawan Rom?” Lelaki ini kata “Tidak”. (Syeikh Ibnu Al-Mubarak kata), “kamu pernah pergi berperang melawan Parsi?” Dia kata “Tidak”. Syeikh Ibnu Al-Mubarak kata, “Subhanallah, orang kafir (iaitu) Rom dan Parsi selamat daripada kamu, tapi saudara kamu orang Islam tidak selamat daripada kamu.”

Hati-hatilah kita para jemaah, daripada menjadi orang yang tidak selamat (seperti yang disebut dalam hadis) المسلم من سلم الناس من لسانه ويده. (Maksudnya:) Orang Islam itu, (adalah) orang yang orang Islam lain selamat daripada lisannya dan tangannya. (Petikan hadis riwayat Ahmad, disahihkan oleh Syeikh Arnaut) Kalau kita menjadi orang Islam yang mencerca, memaki orang, maka kita belum lagi benar-benar seorang Islam.

Semoga tazkirah saya ini, memberi kesedaran kepada diri saya sendiri, supaya bersikap adil dalam menangani masalah dalam umat ini. Dan para pendengar bersikap adillah kita dalam membuat penilaian. Jangan melampau dalam perkara ini, kerana binasa umat dahulu kerana melampau, dan binasa umat ini juga kerana melampau. Janganlah kita mendedahkan keaiban orang , janganlah sampai Allah mendedahkan keaiban kita walaupun dalam rumahnya.

[ Di petik dari syarah Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman –http://www.youtube.com/watch?v=Gz70T-V_r2U]

Assalamualaikum wbth.

Perkongsian dari Sebar IslamBlogspot

6 December 2013 Posted by | Ibadah, Tasauf, Tazkirah | , | Leave a comment

Pekerjaan di sektor penjualan arak dan judi

Fatwa Malaysia

ISU: Apakah hukum jenis pekerjaan di sektor penjualan arak dan perjudian yang melibatkan individu beragama Islam seperti pelayan bar di kelab malam (bartender) dan pelbagai pekerjaan di premis perjudian berlesen.

PENJELASAN: Tidak harus bagi seseorang Islam untuk bekerja dalam sektor yang melibatkan dirinya dalam hal-hal berkaitan dengan arak, seperti penjualan arak, pemprosesan arak, pengangkutan arak, penyimpanan arak dan seumpamanya.

Larangan ini dinyatakan oleh Nabi S.A.W. dalam sebuah hadis:

Maksudnya: “Allah melaknat arak, peminumnya, pemberi minumnya, penjualnya, pembelinya, tukang perahnya, orang yang meminta diperahnya, pembawanya, dan orang yang meminta dibawakan kepadanya”. (Abu Daud, 3/326, no: 3674).

Justeru, bekerja di kelab malam dan premis-premis hiburan yang menghidangkan minuman keras dan menggalakkan aktiviti maksiat seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan adalah diharamkan.

Begitu juga dengan sektor perjudian, orang Islam tidak dibenarkan untuk melibatkan diri dalam pekerjaan yang berkait dengan perjudian. Ini kerana perjudian adalah satu dosa besar yang dinaskan pengharamannya dalam Al-Quran dengan perintah supaya menjauhinya. Firman Allah Taala:

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”. (Surah al-Maidah: ayat 90).

Justeru, tidak harus bagi orang Islam untuk bekerja di premis-premis perjudian kerana ia dikira sokongan dan kerjasama dalam perkara maksiat. Dalam Islam, sokongan dan kerjasama atas sesuatu aktiviti maksiat adalah dikira sebagai maksiat. Kaedah ini berdasarkan firman Allah Taala:

Maksudnya:“Dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan”(Al-Maidah: ayat 2).

 

Wallahu A’lam.

4 December 2013 Posted by | Bicara Ulama, Fatwa, Fiqh, Ibadah, Q & A (Soal Jawab) | , | Leave a comment

Kenderaan ke Alam Barzakh

Kenderaan kealam barzakh

2 December 2013 Posted by | Renungan & Teladan, Tazkirah | | Leave a comment

   

%d bloggers like this: