Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Mengalirkan Pahala

Setiap Muslim menghasratkan agar amal yang dilakukan semasa hidup akan berpanjangan ganjaran pahalanya.Ibarat orang yang menanam pokok, menanamnya sekali namun memetik hasilnya bertahun-tahun tidak berhenti malah semakin lama tanaman yang asalnya ditanam sepohon telah berkembang biak beratus malah beribu pohon dan hasilnya tidak putus-putus dinikmati.

Begitulah perumpamaan sebahagian daripada amalan seseorang, walaupun dia telah meninggal dunia, namun ganjaran pahala tetap diraih setiap masa hasil daripada peninggalan amalnya semasa hidupnya. Rasulullah SAW bersabda:عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ مِمَّا يَلْحَقُ الْمُؤْمِنَ مِنْ عَمَلِهِ وَحَسَنَاتِهِ بَعْدَ مَوْتِهِ عِلْمًا عَلَّمَهُ وَنَشَرَهُ وَوَلَدًا صَالِحًا تَرَكَهُ وَمُصْحَفًا وَرَّثَهُ أَوْ مَسْجِدًا بَنَاهُ أَوْ بَيْتًا لِابْنِ السَّبِيلِ بَنَاهُ أَوْ نَهْرًا أَجْرَاهُ أَوْ صَدَقَةً أَخْرَجَهَا مِنْ مَالِهِ فِي صِحَّتِهِ وَحَيَاتِهِ يَلْحَقُهُ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهِ

Daripada Abu Hurairah RA ia berkata; Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya antara perkara yang akan mengikut orang-orang mukmin dari segi amalan dan kebajikannya sesudah mati antaranya Ilmu (berguna) yang diajar dan disebarkan, atau anak yang soleh yang ditinggalkan (memohon istighfar dan berdoa untuknya), atau al-Quran yang diwariskan, atau masjid yang ia bangun, atau rumah yang ia dirikan untuk ibnu sabil, atau sungai yang ia alirkan (untuk orang lain), atau sedekah yang ia keluarkan dari harta miliknya dimasa sihat dan masa hidupnya, semuanya akan mengiringinya setelah meninggal” (HR Ibnu Majah No: 238)

Status: HasanDalam hadis di atas menerangkan antara amalan seorang Mukmin yang akan berterusan ganjaran pahalanya walaupun pemiliknya telah meninggal dunia antaranya:

1. Ilmu berguna yang diajar dan disebarkan kepada orang lain sama ada melalui lisan seperti ceramah juga tulisan dalam bentuk buku, artikel, jurnal, termasuk dalam bentuk e-book, dalam FB, Laman Sesawang, telegram, WhatsApp dan sebagainya. Ilmu tersebut tersebar terus menerus serta diamalkan oleh orang lain.

2. Anak soleh yang mendoakan dan memohon keampunan untuknya

3. Al-Quran yang diwariskan berbentuk mushaf atau yang diajar

4. Masjid yang dibangunkan

5. Rumah yang didirikan untuk kemudahan musafir yang terputus bekalan.

6. Sungai yang dibina untuk manfaat manusia dan makhluk lain

7. Sedekah yang kita lakukan ke atas harta semasa kita sihat dan masih hidup seperti yang diwakaf, diderma juga disedekahkan untuk manfaat orang ramai. Contohnya wakaf Pendidikan.

Ada amalan soleh yang kita lakukan semasa hidup, terputus apabila kita meninggal dunia, namun ada amal soleh yang akan berterusan mengalir ganjarannya.Berusahalah melakukan amalan soleh semasa kita hidup yang faedah keuntungannya akan berterusan mengalir walaupun kita telah meninggal dunia

.#SuburkanAmalanMantapkanKeperibadianhttps://t.me/kapsul_tazkirah

01/01/2022 - Posted by | Tazkirah |

No comments yet.

Leave a comment