Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Apa Kelebihan Malam Nisfu Sya’ban


Malam Nisfu Sya’ban merujuk kepada malam ke 15 Syaban yang jatuh pada tahun ini pada 24 februari 2024, Sabtu malam Ahad.

Malam Nisfu Syaban sunat dihidupkan dengan pelbagai ibadah seperti solat berjamaah, beriktikaf di masjid, mendengar kuliah dan pengajaran, solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, beristighfar dan berdoa kepada Allah dengan apa sahaja doa kerana terdapat banyak hadis yang menjelaskan kelebihannya. Hadis-hadis tersebut ada yang Sahih, Hasan dan Dhaif tetapi semuanya memperkuatkan makna bahawa malam tersebut merupakan malam yang mempunyai kelebihan tersendiri yang wajar dihidupkan dengan ibadah.

Adapun mengkhususkan malam itu dengan solat yang khusus dan membaca Surah Yasin sahaja diiringi dengan 3 jenis doa sahaja adalah salah faham masyarakat tentang kaedah beramal pada malam tersebut.

Namun sesiapa yang membanyakkan solat solat sunat atau membaca beberapa kali surah Yasin atau surah-surah yang lain seperti al-Kahfi atau seumpamanya dan berdoa dengan pelbagai doa seperti doa dipanjangkan umur, dijauhkan bala dan dilapangkan rezki dan lainnya setiap kali selesai membaca surah-surah al-Quran, ia termasuk amalan yang dibolehkan bagi menghidupkan malam tersebut. Dalam masa yang sama kefahaman tentang kaedah beramal itu mesti dijelaskan agar dilihat keluasan serta kesungguhan beramal ibadah pada malam tersebut.

Menurut Ibnu Rajab dalam Lataif al-Ma’arif, para Tabi’un di kalangan penduduk Syam seperti Khalid bin Ma’dan, Makhul, Luqman bin Amir dan selain mereka, membesarkan dan bersungguh-sungguh beribadah pada malam Nisfu Sya’ban. Daripada merekalah umat Islam mengambil panduan tentang kelebihan dan membesarkan malam tersebut. 

Menurut Imam Syafie pula; sampai kepada kami bahawa berdoa itu mustajab pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam dua hari raya, malam awal Rejab dan malam Nisfu Sya’ban.

Antara Hadis menjelaskan kelebihan beribadah pada malam Nisfu Sya’ban ialah Hadis daripada Mu’az bin Jabal (RA), bahawa Nabi SAW bersabda:

‎يَطَّلِعُ اللهُ إِلَى خَلْقِهِ فِيْ لَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيْعِ خَلْقِه إِلَّا لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ

Maksudnya: “Allah SWT meninjau makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya’ban lalu Dia memberi keampunan kepada semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang saling membenci”.
(Sahih Ibn Hibban, no. Hadith 5665 dan Ibnu Majah, no 1390)

Menurut Syeikh Syuaib al-Arnaouth dalam pengukuhannya terhadap kitab Sahih Ibn Hibban, hadis berkaitan kelebihan malam Nisfu Sya’ban adalah Sahih berdasarkan pelbagai hadis yang saling menyaksikan serta memperkuatkan satu sama lain walaupun setiap jalur riwayatnya itu ada ruang perbincangan dan pertikaian. Syeikh al-Albaani pula menilai Sahih satu lagi riwayat hadis yang seumpamanya oleh Ibnu Majah daripada Abu Musa al-Asyari (RA).

Hadis ini juga memberi pengajaran bahawa sifat benci-membenci yang menimbulkan permusuhan di kalangan umat Islam adalah dibenci oleh Allah Taala sehingga keampunan dosa daripada Allah dikecualikan daripada dinikmati oleh mereka yang saling membenci di kalangan muslimin pada malam Nisfu Sya’ban.

Dr Khairuddin Takiri
Jumaat 23 Februari 2024/ 13 Sya’ban 1445

23/02/2024 - Posted by | Uncategorized

No comments yet.

Leave a comment