Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Hari-Hari disunatkan Berpuasa

1. Puasa enam bulan Syawal
Nabi Muhammad S.A.W. bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berpuasa Ramadan kemudian dituruti dengan 6 hari Syawal, maka dia seperti berpuasa setahun.” – HR Muslim.

Bagaimanapun, para ulama mempunyai pendapat berbeza mengenai sama ada puasa tersebut adalah lebih afdal dilakukan secara berturutan atau diasing-asingkan. Namun, kita bebas untuk melakukan puasa enam bulan Syawal pada bila-bila masa, selama mana ia masih dalam bulan Syawal dan tidak pada hari yang dimakruhkan berpuasa.

2. Puasa Isnin dan Khamis
Dalam riwayat Abu Hurairah r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda: “Diangkat amalan seseorang pada Isnin dan Khamis, maka aku lebih suka amalanku diangkat dalam keadaan aku berpuasa.” – HR Tarmizi.

3. Puasa 3 hari setiap bulan (Hari Putih)
Hari Putih bermaksud hari ke-13, 14 dan 15 pada setiap bulan Hijrah. Pada tiga tarikh ini, bulan sedang mengambang penuh, sehingga cahayanya menjadi terang. Disebabkan itu, ia digelar ‘Hari Putih’. Adalah lebih afdal untuk kita berpuasa pada Hari Putih.

Sabda Nabi S.A.W., yang bermaksud: “Apabila kamu berpuasa tiga hari dalam sebulan, maka puasalah pada hari ketiga belas, empat belas dan lima belas.” – HR Tirmizi.

Bagaimanapun, kita juga boleh berpuasa pada mana-mana tarikh dalam bulan tersebut.

4. Puasa hari Arafah
Hanya untuk orang yang tidak mengerjakan haji. Hari Arafah adalah pada 9 Zulhijjah. Puasa pada hari tersebut adalah besar fadilatnya.

Sabda Nabi Muhammad S.A.W. yang bermaksud: “Puasa hari Arafah, aku mengharapkan pahala kepada Allah bahawa ia menghapuskan dosa setahun sebelumnya dan dosa setahun selepasnya.” – HR Muslim.

5. Hari kelapan Zulhijjah
Kita amat digalakkan untuk berpuasa pada hari kelapan Zulhijjah, yang dilakukan selama dua hari berturut-turut. Ini kerana ada keazaman Nabi Muhammad S.A.W. untuk berpuasa pada sembilan Zulhijjah.

6. Puasa pada bulan-bulan ‘Haram’ iaitu bulan Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah
Ia tidak bererti berpuasa sebulan dalam keempat-empat bulan tersebut. Sebaliknya, memperbanyakkan puasa pada bulan-bulan tersebut.

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud: “… Dan seafdal-afdal puasa selepas Ramadan ialah bulan Allah iaitu bulan Muharram.” – HR Muslim.

7. Puasa bulan Syaaban
Saidatina Aisyah r.a menyatakan: “Tidak pernah Rasulullah S.A.W. berpuasa lebih banyak melainkan dalam bulan Syaaban (selain bulan Ramadan). Sesungguhnya, Baginda S.A.W. telah berpuasa sebulan penuh.” – HR Bukhari dan Muslim.

8. Puasa ‘Asyura
Puasa ‘Asyura ini dilakukan pada hari kesepuluh dari bulan Muharram dan lebih baik jika ditambahkan pada hari kesembilan.

https://today.salamweb.com/ms/hari-hari-yang-disunatkan-berpuasa/

18/12/2022 - Posted by | Ibadah, Perbahasan Ulama |

No comments yet.

Leave a comment