Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ZIKIR DENGAN ‘YA LATHIF”: PENCERAHAN BUAT SAUDARA ABD MUEN (GHULAM DAKWAH)

Dalam Artikel kali ini Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG) ingin membuat sedikit pencerahan tentang Zikir Ya Lathif.
.
1. Zikir dengan Asma Husna Allah, contohnya “Ya Lathif”, “Ya Hayyu ya Qayyum” dan lain-lain adalah tidak bercanggah dengan syari’ah atau sunnah, sama ada Asma Husna tersebut berlaku dalam konteks doa atau konteks zikir.

2. Hujjah pernyataan diatas adalah sebagaimana berikut:
.
PERTAMA: DOA ADALAH ZIKIR

Menurut Syaikh Ibn Qayyim al-Jauziyah bahawa doa adalah mengandungi zikir. Beliau dalam Bada’i al-Fawaid (III/251) berkata:
.
الدعاء هو ذكر للمدعو سبحانه متضمن للطلب منه والثناء عليه بأسمائه وأوصافه فهو ذكر وزيادة كما أن الذكر سمي دعاء لتضمنه الطلب كما قال النبي أفضل الدعاء الحمد لله … والمقصود أن كل واحد من الدعاء والذكر يتضمن الآخر ويدخل فيه
.
“Doa adalah zikir kepada Allah (Maha Suci Allah) Dzat yang diminta yang mengandungi permintaan dan pujian kepada-Nya melalui Asma atau Sifat-Nya. Maka doa adalah zikir dengan adanya tambahan, sepertimana zikir boleh disebut doa kerana mengandungi permintaan, seperti sabda Nabi: “Utama-utama doa adalah pujian kepada Allah”. Dan tujuannya adalah bahawa setiap daripada doa dan zikir mengandungi yang lainnya dan masuk padanya”.
.
3. Selain daripada itu, kitab yang mengandungi zikir dan doa-doa Nabawi karangan Imam an-Nawawi juga dibagi tajuk “al-Azkar”. Ini bermakna bahawa antara zikir dan doa adalah saling melazimi dan tidak boleh dipisah-pisahkan dengan hukum yang berbeza.
.
KEDUA: ZIKIR ASMA HUSNA TERDAPAT DALILNYA
.
Dalam hadith-hadith Nabi, Asma Husna boleh berlaku:

a) Sebagai doa, maksudnya Asma Husna disebutkan kemudian diiringi dengan do’a. Dan banyak sekali hadits Nabi yang menyebutkan demikian.

b). Sebagai zikir, maksudnya Asma Husna disebutkan bukan kerana doa, tapi sebagai kalimat zikir.

4. Dan Asma Husna berlaku sebagai kalimat zikir adalah berdasar hadith:

Riwayat al-Bazzar dalam al-Musnad:

عَنْ عَلِيٍّ، قَالَ: لَمَّا كَانَ يَوْمُ بَدْرٍ قَاتَلْتُ شَيْئًا مِنْ قِتَالٍ، ثُمَّ جِئْتُ مُسْرِعًا لِأَنْظُرَ مَا فَعَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَجِئْتُ فَإِذَا هُوَ سَاجِدٌ، يَقُولُ: «‌يَا ‌حَيُّ ‌يَا ‌قَيُّومُ ‌يَا ‌حَيُّ ‌يَا ‌قَيُّومُ» لَا يَزِيدُ عَلَيْهِمَا، ثُمَّ رَجَعْتُ إِلَى الْقِتَالِ، ثُمَّ جِئْتُ وَهُوَ سَاجِدٌ يَقُولُ ذَلِكَ، ثُمَّ ذَهَبْتُ إِلَى الْقِتَالِ، ثُمَّ رَجَعْتُ، وَهُوَ يَقُولُ ذَلِكَ فَفَتَحَ اللَّهُ عَلَيْهِ “
“Daripada Ali bin Abi Thalib, ia berkata: “Saat perang Badar, aku melakukan peperangan dalam medan perang, kemudian aku bersegera datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam untuk melihat apa yang beliau buat. Lalu aku datangi dan ternyata beliau sedang bersujud dan berzikir: “Ya Hayyu ya Qayyum ya Hayyu ya Qayyum” dan beliau tidak menambahi atas itu”.

Zikir Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam diatas secara konteks boleh disebut doa memohon kemenangan dalam perang, tapi juga boleh disebut zikir, walaupun zahir siyaqul kalam tidak dalam konteks doa. Dan orang yang berzikir “ya Lathif”, misalnya, boleh jadi dalam hatinya sedang berharap atau berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala sama seperti zikir Rasulullah diatas.

Riwayat Muslim:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَقُولُ فِي رُكُوعِهِ وَسُجُودِهِ: ‌سُبُّوحٌ ‌قُدُّوسٌ، رَبُّ الْمَلَائِكَةِ وَالرُّوحِ

“Sesungguhnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berkata dalam rukuk dan sujudnya: “Subbuhun Quddusun Rabbul Malaikah war Ruh”.

Hadith ini jelas menyebut Asma Allah dalam konteks zikir, bukan doa.

Riwayat Ibn Abi Dunya:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: “‌‌ إِنَّ عَبْدًا فِي جَهَنَّمَ يُنَادِي أَلْفَ سَنَةٍ: يَا حَنَّانُ ‌يَا ‌مَنَّانُ

“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Sungguh seorang hamba di neraka Jahannam memanggil selama seribu tahun dengan asma Allah “ya Hannan, ya Mannan”.

Secara zahir siyaqul kalam dalam hadith diatas adalah zikir, walaupun boleh dimaknai konteks berdoa. Dan orang yang berzikir “ya Lathif”, misalnya, boleh jadi dalam hatinya sedang berdoa dan berharap kepada Allah seperti mana dalam hadith Nabi diatas. Dan membezakan keduanya adalah ucapan tanpa dalil. Dan dalam hadis yang cukup panjang tersebut, orang itu tidak lagi berada di neraka.
.
KETIGA: TIDAK SETIAP YANG TIDAK DIPERBUAT NABI ADALAH BID’AH

5. Bukti bahwa tidak setiap yang tidak dilakukan Nabi pasti bid’ah, tetapi memerlukan perincian dan penafsilan, adalah athar berikut ini:

Riwayat Ibn Abi Syaibah:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ، رَضِيَ الله عَنْهُ ، لَمَّا دَخَلَ بَيْتَ الْمَقْدِسِ قَالَ : لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ.

“Sesungguhnya Umar bin Khaththab radhiyallahu ‘anhu, saat masuk ke Baitul Maqdis, berkata: “Labbaika Allahu Labbaik”.

Apa yang dilakukan oleh Umar bin Khaththab diatas tidak diperbuat oleh Nabi. Apakah Umar melakukan bid’ah?!

Sangat banyak riwayat atau athar shahabat dan tabi’in yang melakukan sesuatu, sama ada zikir atau doa, yang tidak dilakukan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

KEEMPAT: PERINTAH ZIKIR ADALAH MUTLAK

6. Dalam banyak ayat dan hadith terdapat perintah Allah kepada hamba-Nya untuk memperbanyak zikir, dan zikir adalah menyebut Asma atau sifat-sifat Allah. Perintah tersebut berlaku mutlak, kerana Allah tidak menjelaskan zikir-zikir tertentu dalam perintah tersebut. Oleh kerana itu, dalam kaedah ulama’, ketika seseorang melakukan zikir tertentu atau dalam jumlah tertentu, walaupun yang demikian itu tidak diperbuat oleh Nabi secara khusus, maka kita tidak boleh mengatakan bid’ah, kerana perintah Allah tersebut berlaku umum atau mutlak. Dalam kajian ulama’, yang demikian disebut “taqyidul mutlak” dan majoriti ulama’ mengharuskan. Lebih jelasnya sila membaca kitab “al-Bid’ah al-Mahmudah wal Bid’ah al-Idhafiyah” karya Syaikh Abdul Fattah Qudaisy al-Yafi’i yang banyak menyebutkan riwayat-riwayat shahabat yang melakukan amalan yang tidak diperbuat oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.

7. Diharapkan para pembaca dapat mengambil manfaat dari artikel ARG kali ini.
.
Disediakan Oleh:
.
Unit Penyelidikan
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)

https://www.facebook.com/785701311460781/posts/pfbid02DZ5Y1ByR7zFeKyym6aS2tUiJwnTJUBCeJYh7jNgjr9pdxgca4mRrhyJkeYv4vrzKl/

14/08/2022 - Posted by | Bicara Ulama, Fad hail Amal, Q & A (Soal Jawab), wahabi | ,

No comments yet.

Leave a comment