Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

ADAKAH DOA SEBELUM DAN SELEPAS MAKAN BERSUMBERKAN HADIS YANG SAHIH?

SOALAN:
Assalamualaikum,

Minta pencerahan berkenaan doa sebelum dan selepas makan. Adakah ia sabit dengan hadis yg sahih?

Terima kasih

JAWAPAN:
Riwayat yang menyebutkan bahawa doa sebelum makan dengan lafaz (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ) adalah hadis yang munkar.  Ini disebabkan dalam jalur periwayatan hadis tersebut terdapat perawi yang bermasalah seperti Ibn Abi al-Zuʻaiziʻah dan Ibn Aʻbud. Namun, Imam al-Nawawi meriwayatkan doa ini (اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتَنَا، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ، بِسْمِ اللَّهِ) melalui riwayat Ibn al-Sunni dibawah bab doa sebelum makan dalam karyanya al-Azkar. Hal ini mungkin kerana terdapat riwayat lain yang mempunyai makna hampir sama namun dengan lafaz berbeza. Nabi SAW bersabda:

اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيهِ وَأَطْعِمْنَا خَيْرًا مِنْهُ

Maksudnya: “Ya Allah, berkatilah makanan kami ini dan berilah kami kebaikan daripada makanan tersebut.”

Riwayat al-Tarmizi

Oleh itu, doa ini boleh diamalkan namun tidak boleh beriktikad bahawa lafaz tersebut daripada Nabi SAW. Di samping itu, terdapat dalam riwayat yang lain doa yang hampir sama sepertimana yang diamalkan pada hari ini ialah doa yang diajarkan oleh Saidina Ali RA:

بِسْمِ اللَّهِ، اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيمَا رَزَقْتنَا

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Ya Allah berkatilah segala apa yang Engkau rezekikan kepada kami.”

Perlu diingat bahawa doa ini merupakan suatu bab yang amat luas. Setiap muslim boleh berdoa dengan apa sahaja lafaz dan pada bila-bila sahaja dia kehendaki walaupun tidak mempunyai hadis yang khusus dalam hal tersebut. Manakala doa selepas makan pula memang terdapat hadis daripada Nabi SAW yang menjelaskan lafaz doanya sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Tarmizi dalam Sunan al-Tarmizi, lafaznya seperti berikut:

الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذي أطْعَمَنَا وَسَقانا وَجَعَلَنا مُسْلِمِينَ

Maksudnya: “Segala puji bagi Allah yang memberikan kami makan dan minum serta menjadikan kami dalam kalangan orang Islam.”

Riwayat al-Tarmizi

Untuk penjelasan lanjut, sila rujuk pautan di bawah:
https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-al-hadith/5508-irsyad-al-hadith-siri-ke-575-adakah-doa-sebelum-dan-selepas-makan-bersumberkan-hadis-yang-sahih

20/01/2023 - Posted by | Q & A (Soal Jawab)

No comments yet.

Leave a comment