Fitrah Islami Online

Penyebar Ilmu dan Maklumat Islami

Jawapan Balas atas Kaedah Menetapkan Raya Jumaat 21 April 2023 (Ramadhan 1444H hanya 29 hari) Tanpa Melihat Anak Bulan.

– Amaran ! Jika anda tidak mempunyai stamina untuk membaca artikel ilmiah ini lebih baik tinggalkan ! –

Telah sampai kepada pihak Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG) kekecohan yang dipuncakan dari kelompok kecil tetapi bising di Malaysia yang mengajak untuk mengkaji semula kaedah dan kriteria penetapan awal bulan di Malaysia dengan mempromosikan cara NGO Muhammadiyah di Indonesia, iaitu sebuah NGO yang terkenal tidak bermazhab (al-Lamazhabiyyah) dalam penetapan awal bulan menggunakan kaedah wujud al-hilal (kewujudan hilal) bukan ru’yah al-hilal (kaedah melihat anak bulan) atau imkan al-ru’yah (iaitu hisab digunakan untuk memprediksi ketinggian hilal agar dapat dilihat (ru’yah) pada waktu dan tempat yang tepat). *Artikel ini bukan bermaksud mahu menolak 1 syawal adalah 21 April atau bukan kerana ia bergantung kepada penampakan hilal garis panduan 4 mazhab, tetapi fokus artikel ini adalah kaedah ilmiah yang sepatutnya oleh ASWJ 4 Mazhab dalam menetapkan 1 syawal.*

Kelompok tersebut juga mempertikai kriteria yang disepakati oleh Muzakarah MKI dan diwartakan oleh MRR iaitu 3 derajat ketinggian hilal dan 6.4 jarak lengkungan. Kriteria ini merupakan kesepakatan Mabims atau negera-negara di Asia Tenggara.

Oleh itu, pihak penyelidik ARG berusaha menjawabnya secara ringkas tetapi ilmiah sebagai berikut:

1- Penetapan awal bulan hijrah ialah berdasarkan bulan, bukan matahari. Ini disebabkan banyak nas dari al-Quran dan Sunnah seperti firman Allah SWT: “يسألونك عن الأهلة قل هي مواقيت للناس” [al-Baqarah: 189] (Mereka bertanya kepada mu tentang anak-anak bulan, katakanlah: bulan sabit itu ialah tanda-tanda waktu bagi manusia dan (bagi ibadat) haji).

2- Maka berkenaan masuknya tarikh 1 setiap bulan hijrah, mestilah berdasarkan kepada bulan. Maka kaedah yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW dengan hadis yang sahih dan sarih (jelas) ialah: “إذَا رَأَيْتُمُوهُ فَصُومُوا، وإذَا رَأَيْتُمُوهُ فأفْطِرُوا، فإنْ غُمَّ علَيْكُم فَاقْدُرُوا له” [HR: al-Bukhari dan Muslim] (Jika kamu melihat anak bulan maka puasalah, jika kamu melihat anak bulan maka berayalah. Jika mendung (terhalang melihatnya) atas kamu maka kira-kirakanlah (penuhkan 30 hari)). Hadis Sahih lainnya secara jelas menyebutkan: “الشَّهْرُ تِسْعٌ وعِشْرُونَ لَيْلَةً، فلا تَصُومُوا حتَّى تَرَوْهُ، فإنْ غُمَّ علَيْكُم فأكْمِلُوا العِدَّةَ ثَلَاثِينَ” [HR: al-Bukhari] (Bulan itu 29 malam. Maka jangan kamu berpuasa sehingga melihat anak bulan. Jika mendung atas kamu maka sempurnakanlah sebanyak 30 hari).

3- Berdasarkan kepada hadis sahih dan sarih (jelas) ini, maka dapat diambil kesimpulan bahawa penetapan awal bulan di dalam 4 mazhab ialah sama ada dengan ru’yah (melihat anak bulan) atau dengan ikmal (menyempurnakan 30 hari).

4- Sayyid Abd al-Rahman Ba’alawi Mufti Tarem dalam mazhab al-Syafi’I berkata: “نعم إن عارض الحساب الرؤية فالعمل عليها لا عليه على كل قول” [Bughyah al-Mustarsyidin: 109] (Ya! Seumpama hisab berlawanan dengan ru’yah, maka yang diamalkan ialah ru’yah bukan hisab dalam apapun pendapat).

5- Imam al-Qarafi dari Mazhab Maliki berkata: “قاعدة أوقات الصلاة يجوز إثباتها بالحساب والآلات وكل ما دل عليها، وقاعدة رؤية الأهلة في الرمضانات لا يجوز إثباتها بالحساب” [Anwar al-Buruq: 2/178] (Kaedah penetapan waktu-waktu solat boleh mengitsbatkannya dengan hisab dan alat-alat dan segala menunjukkannya. Kaedah berkenaan anak bulan di bulan-bulan Ramadhan maka tidak boleh menetapkannya dengan hisab).

6- Al-Imam Ibn Muqri’ meriwayatkan bahawa pendapat yang muktamad dalam mazhab Hanafi, penetapan awal bulan mesti dengan ru’yah bukan hisab. Beliau berkata: “والمعتمد في المذهب الحنفي أن شرط وجوب الصوم والإفطار رؤية الهلال وأنه لاعبرة بقول المؤقتين ولو عدولا ومن رجع الى قولهم فقد خالف الشرع” [Ikhlas al-Nawi: 1/357] (Yang Muktamad di dalam Mazhab al-Hanafi: sesungguhnya syarat wajibnya puasa dan raya ialah melihat hilal, dan sesungguhnya tidak dianggap perkataan ahli hisab walaupun mereka adil dan barangsiapa yang merujuk kepada pendapat mereka telah menyalahi syarak).

7- Imam Musa al-Hajjawi al-Dimashqi dari mazhab Hanbali berkata: “ويجب صومه برؤية هلاله فإن لم ير مع الصحو كملوا عدة شعبان ثلاثين يوما” [al-Iqna’: 302] (Wajib puasa di bulan Ramadhan dengan melihat anak bulan. Kalau tidak terlihat serta cerah maka sempurnakanlah hitungan Sya’ban sebanyak 30 hari).

8- Walau bagaimanapun, Mazhab al-Syafi’i mengiktiraf hisab ahli falak boleh dijadikan panduan untuk menolak persaksian yang bercanggah dengan ilmu sains. Imam al-Subki berpendapat seumpama persaksian bercanggah dengan hisab yang menyatakan adam imkan al-ru’yah (tidak mungkin melihat anak bulan), maka tertolak persaksian tersebut [Fatawa al-Subki: 1/207].

9- Maka dalam Mazhab al-Syafi’i, juga diiukuti mazhab-mazhab yang lain mengiktiraf ilmu falak sebagai sebuah satu cara untuk mengetahui apakah anak bulan atau hilal mungkin (imkan) atau tidak mungkin (adam al-imkan) untuk di-ru’yah (dilihat) ketika matahari terbenam pada tarikh 29 setiap bulan Islam. Oleh itu ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab dari dahulu sehingga sekarang walaupun menetapkan awal bulan dengan ru’yah atau ikmal 30 hari, mestilah mempersiapkan komuniti mereka dengan ilmu falak, agar mudah dan mengetahui cara-cara ru’yah serta dapat menolak persaksian yang mengarut seperti selalu terjadi di Indonesia beberapa kali sejak tahun-tahun yang lalu. Sebab itulah tidak boleh bermudah untuk mengambil hasil cerapan negara lain yang konon dicadangkan oleh pihak yang membuat riuh tadi. Maka sudah tentu mufti-mufti di negeri-negeri ada yang memiliki kepakaran atau paling tidak memiliki jawatankuasa falak negeri yang pakar dalam bidang falak. Maka janganlah mudah-mudah menuduh mufti-mufti tidak faham ilmu falak.

10- Kriteria “imkan al-ru’yah” ialah ijtihad para pakar falak dengan berbagai cara. Salah satu yang paling rasional ialah dengan jalan istiqra’. Maka kriteria di Mabims berbeza dengan kriteria di Maghribi misalnya, kerana dua benua yang berbeza. Cuaca juga berbeza. Asia Tenggara terkenal selalu hujan dan mendung. Maghribi mungkin cerah dan terang. Kuala Lumpur mungkin banyak jerebu sehingga susah melihat anak bulan. Di pantai-pantai lebih mudah kerana ufuk pantai tidak terdapat jerebu. Maka keputusan istiqra’ selama 30 tahun yang dibentangkan oleh pakar-pakar falak seluruh Asia Tenggara di bawah Mabims meletakkan 3 derajat dan 6.4 jarak lengkung. Ia mungkin boleh berubah setelah 30 tahun atau waktu yang dianggap rasional, sekiranya terbukti tidak akurat.

11- Pada awal abad ke-20M, wujud sebuah NGO Islam di Indonesia bernama Muhammadiyah yang membawa gerakan pembaharuan yang dipelopori oleh Muhammad Abduh dan Rasyid Rida yang dikenal dengan nama Kaum Muda. Salah satu kempen yang dibawa oleh Rasyid Rida ialah menetapkan awal bulan dengan hisab semata-mata. Kriteria yang disebut oleh Muhammadiyah ialah “wujud al-hilal” iaitu (1) telah terjadi ijtimak (konjungsi), (2) ijtimak terjadi sebelum matahari terbenam, dan (3) pada saat matahari terbenam Bulan (piringan atasnya) masih di atas ufuk [https://muhammadiyah.or.id/hisab-hakiki-wujudul-hilal-apa-dan-bagaimana/].

12- Maka dapat disimpulkan, NGO Muhammadiyah tidak berpegang kepada ru’yah (melihat anak bulan) sehinggakan mereka dapat menetapkan awal Ramadhan, Syawal dan bulan-bulan lain setahun lebih sebelumnya. Maka NGO Muhammadiyah jelas-jelas bercanggah dengan pegangan 4 mazhab bahkan bercanggah dengan keputusan Muzakarah MKI dan Majlis Raja-Raja di Malaysia pada tahun 1992. Mereka juga berbeza dengan Keputusan Pemerintah Indonesia melalui Sidang Itsbat Kementerian Agama Republik Indonesia dan NGO yang lebih besar (malah yang terbesar di dunia) iaitu Nahdlatul Ulama yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah al-Ash’ariyyah dan bermazhab dengan mazhab al-Syafi’i serta menerima 3 mazhab yang lain. ARG sebagai sebuah kumpulan penyelidikan yang lahir dari Negeri Johor Darul Takzim (sekarang beroperasi di banyak negeri-negeri) menjunjung Titah DYMM Sultan Johor untuk menolak Muhammadiyah di Negeri Johor kerana bercanggah dengan asas Islam di Johor iaitu Ahli Sunnah Wal Jamaah bermazhab dengan Mazhab al-Syafi’i selain menerima mazhab-mazhab yang lain sesuai kaedah bermazhab. ARG juga yakin, negeri-negeri ASWJ lain juga tegas terhadap perkara ini seperti yang telah ditegaskan oleh DYMM Sultan Selangor yang telah dijelaskan oleh SS Dato’ Setia Mufti Selangor Darul Ehsan baru-baru ini ketika isu raya terkejut diriuh-rendahkan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

13- Berkenaan dengan data hilal Syawal 1444H pada 29 Ramadhan 1444H mengikut kira-kira (hisab) JUPEM dengan hitungan paling moden dan memiliki akurasi yang tinggi serta disepakati oleh Panel Pakar Falak JAKIM, ialah tinggi hilal sebanyak 2 derajat 18 minit, jarak lengkung 2 derajat 41 minit, umur hilal 7 jam 31 minit, dan tempoh hilal hanya 12 minit. Ia Jauh dari kriteria Mabims yang disepakati oleh ahli falak.

14- Pihak yang sengaja mempersoal Kriteria Imkan Ru’yah (KIR) tersebut berhujahkan contoh Syawal 1444H yang juga tidak memenuhi KIR akan tetapi terjadi ‘raya terkejut’. Bahkan disangkakan juga konon raya terkejut tersebut berlaku sebab pihak tersebut sudah berceloteh dengan Menteri Agama yang lalu sehingga berhasil mempercepat raya secara mengejut. Walhal, perkara itu tidak benar kerana pihak JAKIM sendiri telah menjelaskan perkara yang sebenarnya.

15- Menurut data hilal JUPEM untuk Syawal 1443H yang lepas, tinggi hilal ialah 5 derajat 27 minit, jarak lengkung 5 derajat 57 minit, umur bulan 15 jam 28 minit dan tempoh 27 minit. Walaupun ia tidak memenuhi KIR yang menetapkan jarak lengkung mesti 6.4 derajat, akan tetapi ia terlihat di Labuan oleh ahli falak di daerah tersebut. Selain itu, hilal secara yakin telah terlihat di Brunei dan Indonesia dengan jelas oleh pihak berkuasa, bukan persaksian orang yang tidak dapat dipercayai. Maka tidak ada keraguan lagi, hilal benar-benar terlihat, maka dengan kuasa Pemegang Mohor Majlis Raja-Raja, Raya Syawal 1443H ditetapkan setelah Ramadhan hanya 29 hari.

16- Berbeza dengan Syawal 1444H, di mana hilal paling barat ialah 2.18 derajat dan jarak lengkung hanya 2.41 minit. Apatah lagi, Maghribi negara paling Barat Afrika sendiri menetapkan hilal tidak mungkin dilihat menurut kriteria mereka sendiri. Seumpama ada yang bersaksi nampak hilal di Malaysia, maka persaksiannya boleh dipersoal. Harap tidak ada persaksian palsu yang berlawanan dengan sains sebenar.

17- Terakhir, pihak ARG berharap agar masyarakat tidak tertipu dan menjadi riuh rendah sehingga berbagai spekulasi berkenaan bila raya tahun ini, lebih-lebih lagi, jelas terpahat di dalam Keputusan Majlis Raja-Raja bahawa keputusan raya tertakluk kepada Pemegang Mohor Majlis Raja-Raja untuk umumkan bilakah raya sesuai dengan keputusan hasil cerapan hilal pada 20 April 2023. Bahkan, kerana itu syariat Islam menjadikan hukum ulul amri sebagai satu medium untuk mengangkat perselisihan pendapat yang berlaku samada daripada perkara agama dan dunia sepertimana yang disebut di dalam kaedah feqah: “حكم الحاكم يرفع الخلاف” (Hukum ketua negara menghilangkan khilaf). Bahkan, Imam al-Khattabi (w. 388H) di dalam Ma’lim as-Sunan berpendapat jika pemerintah berijtihad untuk menetapkan anak bulan akan tetapi salah di dalam ijtihadnya maka puasa rakyat akan menjadi sah dan tidak perlu untuk diganti kerana ijitihad pemerintah itu mengangkat perselilsihan yang berlaku.

18- Nasihat kami, janganlah berbiacara pada perkara yang kamu tidak berkeahlian. Kalau pihak tersebut bukan ahli falak, maka akui sahaja kamu bukan ahli dan jangan pulak menuduh mufti-mufti tidak ahli. Jangan pula mempertikai KIR yang baru setahun dua ini sebagai pra matang, walhal ia adalah data 30 tahun. Kalau berhasrat untuk mengemukakan cadangan baru, silalah bawa data yang boleh mengalahkan istiqra’ 30 tahun KIR yang baru ini serta mendapat konsensus ahli-ahli falak dan otoriti negara-negara Mabims. Untuk mencapai kesepakatan dan kesatuan puasa dan raya, sepatutnya kita berpegang pada keputusan Mabims bukan NGO minority kecil di Indonesia yang tidak dijadikan rujukan utama untuk keputusan rasmi Kerajaan Indonesia.

Disediakan Oleh:

Unit Penyelidikan
Ahlussunnah Wal Jamaah Research Group (ARG)

Sumber: https://www.facebook.com/785701311460781/posts/pfbid0QJwV9Pg4ERTdn2atWyji9bk2aaJSx6aGfYx5xYTLC7b1f4uEsG3WeV2eJMRbgFjMl/

23/04/2023 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Fad hail Amal, Fatwa, Fiqh, Hadis, Ibadah, Perbahasan Ulama, Politik dan Dakwah, Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

Bapa saya hilang entah ke mana, siapa wali saya?

“Saya nak bernikah tapi ayah (wali) saya hilang. Sudah bertahun-tahun hilang tanpa jejak. Saya tak tahu ayah saya kat mana. Macam mana pernikahan saya nanti? Siapa sepatutnya menjadi wali saya?”

Situasi begini sering terjadi di kalangan kita dimana wali ghaib (hilang) atau disebut juga sebagai ‘wali mafqud’ yang bermaksud wali yang tidak diketahui keberadaannya.

Seperti yang kita tahu, wali merupakan salah satu daripada rukun nikah yang wajib ada di dalam suatu pernikahan iaitu:

1) Lelaki – calon suami
2) Perempuan – calon isteri
3) Wali
4) Dua orang saksi (lelaki)
5) Sighah (ijab dan qabul)

Tapi, macam mana pula sekiranya wali hilang? Bolehkah abang atau adik lelaki atau bapa saudara menjadi wali walaupun yakin dan pasti bahawa wali (ayah) masih hidup?

➡️ Tak boleh. Berdasarkan kaedah fiqh;

اليقين لا يزول بالشك

“keyakinan tidak boleh digugat dengan syak’’

Oleh itu, adalah dicadangkan supaya pihak perempuan mewar-warkan di mana-mana media sosial atau medium perantaraan yang lain untuk mencari/menjejaki wali tersebut. Seterusnya, masalah ini boleh dikemukakan di Mahkamah Syariah supaya Hakim dapat memutuskan penyelesaian terbaik.

Kita tengok pada pandangan Mazhab Syafie, dikatakan sekiranya wali ghaib atau hilang dan tak dapat dikesan, hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim.

Kenapa hak wali tersebut berpindah kepada wali hakim?

▶️ Sebab hak perwalian masih ada pada dirinya, tapi tak dapat melaksanakan tugasnya sebagai wali sebab wali tersebut ghaib atau tak diketahui kedudukannya.

Siapa wali hakim?

👨🏻‍⚖️ Wali yang ditauliahkan oleh YDPA atau DYMM Sultan atau Raja untuk mengahwinkan perempuan yang tak mempunyai wali nasab, wali ghaib, atau walinya enggan mengahwinkannya tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak.

Jadi, dalam keadaan sebegini wali hakim akan menggantikan wali ghaib tersebut.

Oleh: Fahmi Ramli

Peguam Syarie

18/04/2023 Posted by | Fiqh, Ibadah, Muamalat (Keluarga), Q & A (Soal Jawab) | | Leave a comment

SIAPA MOHD HAIRI NONCHI YANG 11 BUKUNYA DIHARAMKAN?

1.  Jawapannya ialah cikgu Geografi yang bernama Mohd Hairi Nonchi.

2.  Muzakarah Majlis Fatwa Negeri Sabah Bil. 2/2016 telah bersidang pada 24-26 Mei 2016M/17-19 Syaaban 1437H, bertempat di Mount Kinabalu Heritage Resort & Spa, Kundasang, Sabah telah bersetuju mengharamkan 11 buku cikgu ini.

3.  Individu ini tidak dikenali latar belakang pengajian agamanya. Tidak pernah dinilai keilmuannya. Bahkan tiada tauliah di Sabah.

4.  Namun, individu yang tidak diiktiraf keilmuaannya ini cuba mempertikai Ustaz Wadi Anuar yang ummah telah menerima baik keilmuan beliau.

5.  Menulis buku tidak menunjukkan kealiman seseorang. Terbukti dengan dirinya yang telah menulis beberapa buku, tetapi bukunya diharamkan kerana bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Inilah ajaibnya dunia.

Hafiz Al-Za’farani (HAZA)

17/04/2023 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Informasi, Politik dan Dakwah | Leave a comment

PEMIMPIN yang zalim atau jahat, datang dari rakyat yang jahat.

PEMIMPIN yang zalim atau jahat, datang dari rakyat yang jahat (sebahagian atau ramai yang jahat walaupun ada yang baik).

Sheikh Abdul Qadir Al-Mandili di dalam kitabnya Perisai Bagi Sekalian Mukallaf yang merupakan syarahan kepada Kitab Aqidah Thohawiyyah menyebut (wow! ada topik kepimpinan dan politik dalam kitab aqidah?).

“Maka bahawasanya Allah Taala tiada mengeraskan Ia akan mereka itu (pemimpin) atas kita (rakyat) melainkan kerana kejahatan kita. Dan balasan itu semacam dengan pekerjaan. Maka wajib atas kita bersungguh-sungguh dengan minta ampun dan taubat dan membaikkan amal ibadat, kerana firman Allah Taala:

(وَمَاۤ أَصَـٰبَكُم مِّن مُّصِیبَةࣲ فَبِمَا كَسَبَتۡ أَیۡدِیكُمۡ وَیَعۡفُوا۟ عَن كَثِیرࣲ)

“Dan barang yang mengenai akan kamu dari bala’, maka dengan sebab barang yang mengusaha akan dia oleh kamu. Dan memaafkan ia dari yang banyak.”

[Ash-Syura: 30]

Dan firmanNya:

(وَكَذَ ٰ⁠لِكَ نُوَلِّی بَعۡضَ ٱلظَّـٰلِمِینَ بَعۡضَۢا بِمَا كَانُوا۟ یَكۡسِبُونَ)

“Seperti itu memperintahkan oleh Kami (menjadikan pemimpin) setengah daripada sekalian yang zalim akan setengah (rakyat atau orang bawahan) dengan sebab barang yang ada mereka itu (rakyat) mengusahakan akan dia (apa yang mereka usahakan).”

[Al-An’am: 129]

{Rujuk Kitab Perisai Bagi Sekalian Mukallaf cetakan jawi muka surat 117}

Begitulah juga di dalam kitab 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman susunan Sheikh Ahmad Fahmi bin Zamzam, hadis bilangan ke-36 bertajuk; ‘5 Maksiat Yang Disegerakan Balasannya’, Hadis Riwayat Ibnu Majah daripada Ibnu Umar. Antara pengajaran berkaitan pemimpin dari Hadis Rasulullah S.A.W itu ialah:

(1) Jika berleluasa penipuan dalam urusniaga maka Allah akan uji dengan kemarau, krisis ekonomi dan pemimpin yang zalim.

(2) Musuh akan merampas sebahagian dari milik kaum Muslimin apabila mereka mengkhianati janji-janji mereka kepada Allah dan Rasul.

(3) Akan berlaku perang atau bencana sesama kaum Muslimin apabila mereka mengabaikan hukum Allah di dalam Al-Quran dan tidak menjadikan Al-Quran sebagai pilihan mereka

{Rujuk Kitab 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman cetakan rumi muka surat 78-80}

Sebab itu jangan keterlaluan gembira dengan penguasaan politik jika tidak berlakunya keseimbangan kuasa itu dengan kesedaran Islam di kalangan rakyat. Dibimbangi kemenangan itu akan menjadi beban. Sebab itu usaha dakwah dan tarbiyah mesti diganda dan dirancakkan seiring gerak kerja politik. Rakyat yang terlalu jauh dan jahil Islam dibimbangi menjadi ancaman dan fitnah ke atas kemenangan Islam itu sendiri. Oleh itu, rapatkan jurang antara keduanya. Kerja kita sesungguhnya sangat banyak… Jangan leka.

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY

13/04/2023 Posted by | Politik dan Dakwah | | Leave a comment

Hukum bacaan kuat selain azan

Umat Islam sepatutnya menghentikan bacaan-bacaan dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang ramai di luar dan di dalam masjid.

Mematuhi hal itu bukan kerana isu setempat semata-mata namun ia adalah arahan Nabi Muhammad SAW bagi menjaga Islam yang harmoni.


Persoalan tentang bantahan sesetengah pihak terhadap bacaan kuat selain azan yang dilaungkan di masjid:

Bacaan ini telah mengelirukan orang bukan muslim sehingga mereka menyangka ia azan.

Sesetengah pihak cuba mempertahankan amalan tersebut atas alasan ia bacaan al-Quran atau zikir yang patut diagungkan.

Mereka menyangka sikap keras mereka dalam hal ini adalah ‘perjuangan mempertahankan Islam’.

Saya ingin mengulas hal ini seperti berikut;

1. Apa yang Islam syariatkan untuk diangkat suara, hanyalah azan. Adapun selain dari itu, tiada nas yang menyuruh kita menguatkan suara sehingga mengganggu orang lain. Bahkan perbuatan itu dilarang oleh Nabi SAW Apatah lagi dalam Islam ketenteraman orang lain dipelihara melainkan jika ada pengecualian tertentu yang diizinkan oleh syarak.

2. Walaupun bacaan al-Quran dan zikir amatlah baik. Namun kita tidak boleh memaksa orang lain mendengar bacaan kita. Mungkin orang lain ingin membacanya sendiri, atau sedang bersolat sunat sendirian di rumahnya, atau ingin membacanya pada waktu lain, atau mereka sedang sakit atau ada anak kecil yang tidur, atau bukan muslim, atau ada urusan kerja yang tidak boleh ada terganggu dengan bunyi yang kuat dan lain-lain. Bayangkan jika orang lain pula pergi menghalakan bacaan al-Quran atau ceramah yang kuat ke arah rumah pihak yang menguatkan suara bacaan itu sehingga mengganggu urusan orang yang ada dalam rumahnya? Pasti dia juga tidak setuju jika anak kecilnya terganggu atau orang sakit tidak dapat rehat atau urusan kerja tidak dapat diberikan perhatian. Mengapa dia lakukan hal itu pada pihak lain?

3. Ramai orang bukan muslim keliru antara azan dan bacaan-bacaan selain azan yang dilaungkan menerusi corong pembesar suara. Mereka menyangka bacaan-bacaan itu adalah azan yang disuruh oleh Islam, lalu mereka bersangka buruk dengan Islam yang harmoni ini. Apatah lagi bacaan itu mengambil masa yang lama, sedangkan azan yang sebenar tidak lebih dari lima minit.

4. Sebenarnya, Nabi SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain. Dalam hadis Nabi SAW, kata Abu Sa’id al-Khudri:

اعْتَكَفَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْمَسْجِدِ، فَسَمِعَهُمْ يَجْهَرُونَ بِالْقِرَاءَةِ، فَكَشَفَ السِّتْرَ، وَقَالَ: «أَلَا إِنَّ كُلَّكُمْ مُنَاجٍ رَبَّهُ، فَلَا يُؤْذِيَنَّ بَعْضُكُمْ بَعْضًا، وَلَا يَرْفَعْ بَعْضُكُمْ عَلَى بَعْضٍ فِي الْقِرَاءَةِ

“Ketika Nabi SAW beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi SAW berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: “Ketahui setiap kamu bermunajat kepada tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih).

Dalam hadis ini Nabi SAW melarang mengangkat suara bacaan di masjid sehingga menganggu mereka yang lain yang sedang beribadah, atau menyakitkan orang lain. Jika mereka yang berada dalam masjid yang memang bersedia untuk beribadah pun, tidak dibenarkan untuk diangkat suara bacaan sehingga mengganggu konsentrasi mereka, mana mungkin untuk dikuatkan suara bacaan melalui pembesar suara sehingga menggangu mereka yang di luar masjid. Mungkin mereka itu mempunyai anak kecil, orang sakit dan seumpamanya.

5. Ulama besar di zaman ini, Al-Syeikh Muhammad Salih al-Uthaimin r.h mengulas hadis tadi dengan katanya:

“Realiti hari ini menyaksikan apa yang disebut oleh hadis ini. Ini yang kita lihat mereka yang melakukan hal ini dengan menunaikan solat menggunakan pembesar suara (luar masjid). Mereka itu jika menyakiti sesiapa yang ada di sekeliling mereka, maka mereka berdosa..tiada syak lagi meninggal perbuatan ini lebih afdal yang pada hakikatnya tiada faedah pun, sebab insan tidak bersolat dengan mereka yang di luar masjid, sebaliknya dengan mereka yang berada dalam masjid..dengan itu kita berpesan kepada saudara-saudara kita, khususnya para imam masjid jangan lakukan ini..boleh jadi sesetengah orang telah solat dan perlu tidur dan berehat, boleh jadi dia sakit lalu terganggu dengan suara ini, boleh jadi juga masjid dekat dengan rumah, pada musim panas pula dan anak-anak kecil terganggu dengan bunyi pembesar suara. Kesimpulannya, masalah ini telah menimpa sesetengah orang sehingga mereka menyakiti jiran-jiran masjid atau rumah mereka dalam perkara yang tiada faedah baginya”. (Ibn Uthaimin, Syarh Riyadh al-Salihin: http://www.ibnothaimeen.com/all/eBook-o.shtml).

Bayangkan kenyataan ini dikeluarkan oleh ulama besar dan terbilang tersebut di negara Saudi Arabia yang penduduknya kesemuanya muslim. Bagaimanakah pula bagi negara yang seperti kita.

6. Ulama silam juga telah mengingatkan hal ini, bahawa bacaan-bacaan lain di menara-menara masjid adalah dilarang kerana boleh mengganggu orang ramai. Al-Imam al-Hafizd Ibn Jauzi (meninggal 597H) pernah berkata:

“Antara tipu daya Iblis ialah mereka yang mencampur adukkan azan dengan peringatan, tasbih dan nasihat. Mereka jadikan azan perantaranya lalu bercampur aduk. Para ulama membenci segala yang ditambah kepada azan. Banyak kita lihat orang yang bangun waktu malam lalu memberikan peringatan dan nasihat atas menara azan. Dalam kalangan mereka ada yang membaca al-Quran dengan suara yang tinggi lalu menghalang tidur orang ramai dan mengganggu bacaan orang yang bertahajud. Kesemuanya itu adalah perkara-perkara mungkar”. ( Ibn Jauzi, Talbis Iblis, 159, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Ini adalah larangan ulama pada zaman yang belum ada pembesar suara yang gangguannya tidaklah setakat mana, bagaimana jika mereka melihat keadaan pembesar suara pada zaman ini?

7.Maka, dengan itu umat Islam patut menghentikan bacaan-bacaan yang dibuat melalui pembesar suara yang boleh mengganggu orang luar dan dalam masjid. Mematuhi hal ini bukan kerana isu setempat semata, tetapi itu arahan Nabi SAW. dan juga menjaga Islam yang harmoni. Suara-suara yang dikuatkan itu bukan menambahkan cinta mereka kepada Islam, sebaliknya menimbulkan salahfaham banyak pihak.

Oleh: Dr Mohd Asri – Mufti Perlis

12/04/2023 Posted by | Berita dan Isu Semasa, Ibadah, Perbahasan Ulama, Q & A (Soal Jawab) | Leave a comment